
MASALAH jerawat merupakan satu kebimbangan yang menghantui golongan remaja dan dewasa. Ini kerana, ketika remaja, seseorang individu mengalami fasa perubahan hormon dan cenderung dengan kegiatan aktif yang turut mengundang timbulnya masalah jerawat.
Lebih membimbangkan apabila jerawat tidak sekadar menyerang wajah, malah turut tersebar di anggota lain khususnya bahagian badan. Keadaan ini mengakibatkan seseorang hilang keyakinan dan sentiasa mengasingkan diri daripada orang lain.
Jika diamati, masalah jerawat di bahagian badan terjadi akibat beberapa faktor. Antaranya adalah seperti kebersihan, genetik, perubahan hormon badan, persekitaran, stres, gaya hidup dan sebagainya. Oleh itu, boleh dikatakan kebanyakan faktor membawa kepada masalah ini berkait rapat dengan cara seseorang itu menjaga diri sendiri.
Kadangkala, terdapat sesetengah individu yang mengambil ringan terhadap kebersihan diri. Pada masa sama, masalah jerawat yang merebak cepat di seluruh badan kemungkinan besar berkait rapat dengan faktor keturunan seseorang.
Jika dibiarkan, nescaya masalah jerawat ini akan mengundang tekanan terhadap mental seseorang. Ini kerana, jerawat akan menghakis keyakinan dan boleh mengakibatkan gangguan terhadap kehidupan.
5 KAEDAH UNTUK CEGAH JERAWAT
Mandi sebelum tidur
Badan kita mudah terdedah dengan kekotoran yang terperangkap dengan peluh. Oleh itu, disarankan untuk seseorang itu mandi sebelum tidur bagi memastikan bakteria yang terperangkap dapat dihapuskan. Pastikan anda menggunakan produk mandian yang mempunyai fungsi merawat dan mempunyai elemen anti bakteria seperti pembersih badan dengan teh hijau.
Penggunaan krim dengan 10 peratus peroksida
Ini adalah langkah penting selepas mandi. Krim peroksida adalah bahan penting yang berupaya membunuh bakteria degil yang berada dalam liang-liang kecil pada kulit. Pada masa sama, ia turut menghalang jerawat atau masalah kulit lain daripada merebak dengan lebih teruk.
Tukar baju lebih kerap
Tukar pakaian lebih kerap iaitu sekurang-kurangnya dua kali sehari, pagi dan malam. Ini kerana, selain liang-liang kecil dalam badan, pakaian juga akan memerangkap bakteria yang hadir kerana peluh. Selain tukar pakaian, pastikan juga pakaian yang dipakai berada dalam keadaan bersih dan kerap dicuci.
Pemakanan seimbang
Walaupun dianggap klise, tetapi hakikatnya pengambilan makanan seimbang merupakan langkah utama bagi mendapatkan kulit yang sihat. Makanan seimbang adalah makanan yang mengandungi nutrien dan vitamin mencukupi, kurang minyak dan bahan tambahan lain. Perbanyakkan makan sayuran atau buah-buahan dan paling penting, minum air masak dengan mencukupi.
Skrab buah-buahan
Dapatkan skrab buah-buahan dan sapukan pada bahagian badan yang berjerawat bagi mengeluarkan sisa-sisa kotoran dari kulit anda. Amalkan petua ini beberapa kali seminggu dan teruskan selama tiga bulan. Untuk memudahkan proses ini, anda boleh buat rawatan skrab di spa atau pusat kecantikan.
0 Comment to "KAEDAH CEGAH JERAWAT"
Catat Ulasan