13/08/17

JANGKITAN BAKTERIA (MULUT) H.PYLORI BOLEH JADI LEBIH SERIUS


Berkongsi makanan atau menyuap makanan yang sama dari mulut ke mulut mungkin kelihatan romantik bagi segelintir pasangan atau menunjukkan kasih sayang jika dilakukan bersama anggota keluarga atau rakan.

Tanpa disedari, tabiat itu sebenarnya boleh mendatangkan masalah kesihatan jangka panjang apabila makanan yang dinikmati bersama itu dicemari dengan bakteria Helicobacter pylori (H. pylori) daripada pembawa atau pesakit sendiri.

Bakteria H.pylori membiak dalam saluran pencernaan dan cenderung menyerang lapisan perut seterusnya menyebabkan jangkitan dalam perut atau bahagian pertama usus kecil. Bagi segelintir orang, ia tidak menyebabkan tanda-tanda atau gejala dan tidak membawa apa-apa komplikasi, namun bagi orang lain bakteria ini boleh membawa komplikasi serius seperti ulser serta kanser perut.

H.pylori sudah lama wujud dalam kalangan manusia sejak ribuan tahun dulu dan jangkitannya disebarkan menerusi mulut pembawa atau penghidap kepada individu lain. Ia juga dikatakan dipindahkan melalui najis tercemar ke mulut yang berlaku apabila seseorang tidak mencuci tangan selepas menggunakan tandas.

Bakteria turut tersebar daripada sentuhan dengan makanan atau minuman tercemar. Bakteria ini dipercayai menyebabkan masalah dalam perut apabila ia menembusi lapisan mukus perut dan menghasilkan sebatian yang meneutralkan asid perut. Ini membuatkan sel perut mudah rapuh terhadap asid yang keras.

Asid perut dan bakteria kemudian menyebabkan keradangan pada lapisan perut serta mengakibatkan luka atau ulser peptik (ulser gastrik) dalam perut atau duodenum iaitu bahagian pertama usus kecil. Malangnya, bakteria ini mampu beradaptasi dan membiak dalam persekitaran berasid dalam perut.

Ia juga boleh mengubah persekitarannya dan mengurangkan keasidan supaya bakteria boleh kekal hidup. Malah, bakteria ini boleh mempengaruhi tindak balas imun supaya tidak dimusnahkan dan keadaan ini menjadi punca kepada masalah dalam perut.

Pakar Perunding Gastroenterologi dan Perubatan Hospital Manipal, Dr Suresh Sithambaran berkata, H.pylori adalah bakteria paling kerap menjangkiti perut dan berada dalam lebih separuh populasi dunia terutama di kawasan penduduk padat seperti di India dan China.

“Bakteria ini biasanya sudah menjangkiti perut sejak kanak-kanak dan dikesan dalam usia sekitar 10 hingga 12 tahun sebelum kekal sehingga dewasa jika dibiarkan tanpa rawatan.

“Biasanya pada peringkat awal bakteria ini tidak berbahaya, tetapi lama-kelamaan menjadi punca kebanyakan ulser dalam perut dan usus kecil sebelum menjadi kanser perut.

“Beban penyakit akan meningkat apabila pada usia 20-an, bakteria yang menyebabkan radang merosakkan perut penghidap sedikit demi sedikit dan mengakibatkan sakit perut yang kerap. Lama-kelamaan lapisan perut akan menipis dan pada usia 40-an, penghidap mendapat ulser sehingga seterusnya kanser perut pada usia antara 50 hingga 60-an.

“Kanak-kanak paling mudah mendapat jangkitan H.pylori dan mereka berisiko tinggi disebabkan amalan kebersihan yang kurang. Bagaimanapun, risiko jangkitan mengikut persekitaran dan keadaan tempat tinggal.

“Risiko jangkitan lebih tinggi di negara membangun, berkongsi kediaman bersama individu dijangkiti yang lazimnya ahli keluarga, menghuni perumahan yang sesak dan tiada akses kepada air bersih,” katanya.

Dr Suresh berkata, beberapa ujian boleh dilakukan untuk mendiagnosis jangkitan H. Pylori termasuk soal selidik sejarah perubatan dan latar belakang keluarga terutama jika ada penyakit tertentu serta mengambil ubatan khas.

“Pesakit akan diminta menjalani ujian untuk mengenal pasti jangkitan seperti mengambil sampel tisu pada lapisan perut menerusi kaedah endoskop dan tisu terbabit akan diperiksa di bawah mikroskop bagi menguji enzim urease yang dikeluarkan oleh H. Pylori.

“Selain itu, pesakit juga boleh menjalani ujian nafas urea iaitu menghembus nafas ke dalam beg khas yang kemudiannya dihantar ke makmal untuk dianalisis bagi membaca tahap karbon dalam sampel nafas berkenaan untuk mengenal pasti kehadiran bakteria.

“Ujian darah turut boleh digunakan untuk mengukur antibodi H.pylori tetapi ujian ini hanya memberitahu jika pesakit mempunyai antibodi H.pylori sebaliknya tidak memberitahu jika pesakit mempunyai jangkitan yang aktif atau tidak. Ujian darah juga tidak boleh digunakan untuk melihat sama ada jangkitan sembuh selepas rawatan,” katanya.

Katanya, jangkitan H.pylori boleh dirawat dengan berkesan menggunakan ubat antibiotik yang perlu diambil sekurang-kurangnya dua minggu atau kombinasi bersama ubat kurangkan asid dalam perut yang boleh membantu meningkatkan keberkesanan antibiotik, di samping mengurangkan gejala dan menggalakkan penyembuhan.

“Selepas dua bulan rawatan, pesakit akan diminta menjalani ujian susulan untuk mengesan kehadiran bakteria terbabit. Bagaimanapun, peluang untuk bakteria ini menjangkiti semula adalah amat tipis.

“Mereka yang kerap mengalami sakit perut dan masalah itu masih tidak selesai walaupun berulang-kali mendapatkan rawatan digalakkan melakukan ujian mengesan H.Pylori. Setiap bulan kira-kira 50 peratus pesakit saya mendapatkan rawatan sakit dalam perut didapati mempunyai jangkitan bakteria ini,” katanya.

Beliau berkata, selain jangkitan bakteria mereka yang mengalami perubahan pada tabiat pembuangan air besar seperti cirit-birit berpanjangan, sembelit, pendarahan atau lendir pada najis, sakit di abdomen dan bengkak ketara di bahagian perut digalak melakukan pemeriksaan pada usus atau ujian kolonoskopi.

“Ini kerana, ada kemungkinan tanda-tanda terbabit menunjukkan pesakit mengalami kanser yang menyerang usus besar terdiri kolon, rektum dan anus. Kolonoskopi adalah ujian untuk memeriksa usus besar dan sebahagian daripada usus kecil menggunakan kabel gentian optik yang dipasangkan kamera serta dimasukkan melalui dubur pesakit.

“Selain untuk mengenal pasti penyakit membabitkan usus besar dan usus kecil, ia juga boleh digunakan untuk rawatan seperti pembuangan polip atau pengambilan sampel bagi mendiagnosis penyakit lain.

“Bagaimanapun, ujian kolonoskopi digalak dilakukan oleh individu berisiko tinggi iaitu mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser usus, penyakit hati berlemak, diabetes dan kuat merokok atau individu tidak mempunyai faktor risiko tetapi mencapai usia 50 tahun,” katanya.

Katanya, sesiapa saja pelbagai peringkat usia boleh menjalani ujian kolonoskopi walaupun tidak menunjukkan sebarang masalah kesihatan berkaitan perut berikutan ada kanser tidak menimbulkan gejala di peringkat awal, sebaliknya ketika penyakit sudah berada di tahap tiga atau empat.

“Kanser usus biasanya berasal daripada ketumbuhan kecil pada permukaan usus dinamakan polip. Jika kanser usus dapat dikesan awal, rawatan segera seperti pembedahan membuang ketumbuhan itu atau bahagian usus yang terjejas boleh dijalankan dan pesakit tidak perlu menjalani kemoterapi.

“Kos bagi merawat kanser usus sangat tinggi berbanding kos menjalani ujian kolonoskopi. Oleh itu, pemeriksaan awal sangat digalakkan bagi mengelakkan penyakit melarat,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Hospital Manipal, Shoba Subas Chandra berkata, mereka yang sering mengalami kesakitan bahagian abdomen yang berlanjutan sehingga berbulan-bulan lamanya dan tidak pulih walaupun sudah menemui doktor termasuk diketahui mengalami penyakit berkaitan perut, usus kecil, usus besar, hati dan pankreas adalah digalakkan menjalani pemeriksaan saluran gastrousus.

“Mengesan masalah penghadaman di peringkat awal sangat penting disebabkan banyak tanda-tanda mungkin menunjukkan lebih serius. Pemeriksaan kaedah paling berkesan. Misalnya, kanser kolon boleh dicegah jika dikesan awal.

“Malah, pemeriksaan membolehkan doktor merawat atau mencegah penyakit yang boleh melarat sehingga mengancam nyawa. Ujian endoskopi seperti gastroskopi dan kolonoskopi membolehkan doktor mengesan sebarang keadaan tidak normal dalam perut, duodenum, esofagus dan kolon atau rektum.

“Doktor juga akan melihat ke dalam salur penghadaman untuk diagnosis ulser, polip dan kanser. Tiub gastroskopi akan dimasukkan ke dalam tekak, manakala tiub kolonoskopi dimasukkan melalui rektum untuk melihat usus besar,” katanya mengenai pakej ujian pemeriksaan pada saluran gastrousus yang dilancarkan hospital berkenaan, baru-baru ini.

Katanya, individu yang tidak mempunyai faktor risiko patut menjalani pemeriksaan untuk mengesan gangguan dan penyakit penghadaman bermula usia 50 tahun. Namun, mereka yang mempunyai faktor risiko patut mula menjalani pemeriksaan pada usia lebih awal.

“Temu janji boleh dilakukan dengan mengunjungi hospital atau melayari laman web untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai pemeriksaan berkenaan. Doktor akan mengesyorkan kaedah ujian terbaik selepas menilai sejarah kesihatan dan faktor risiko,” katanya.

Tanda-tanda jangkitan H.pylori

• Loya

• Muntah

• Kembung perut

• Sendawa yang kerap

• Berat badan susut mendadak

• Tidak berselera makan

• Nafas berbau busuk

• Sakit abdomen

Komplikasi jangkitan

• Ulser peptik

• Pendarahan dalaman apabila ulser peptik pecah

• Penyumbatan dalam perut

• Dinding perut bocor

• Jangkitan peritoneum

• Faktor risiko kanser perut

12/08/17

CARA MERAWAT BAYI KEMBUNG


Tangisan bayi yang berpanjangan pasti meresahkan ibu bapa. Ada pelbagai sebab bayi menangis antaranya lapar, letih, mengantuk, kurang selesa kerana lampin basah dan keadaan persekitaran yang sejuk serta panas. Selain itu, punca lain mungkin kembung perut.

Masalah kembung perut adalah normal dan kerap berlaku pada bayi terutama berumur kurang dari enam bulan. Abdomen bayi kelihatan kembung walaupun sebenarnya normal kerana ruang dalam abdomen masih kecil berbanding saiz organ lain dalam abdomen.

Masyarakat sering mengaitkan kembung perut dengan masalah ‘colic’ kerana bayi akan menangis untuk beberapa jam tanpa henti, kelihatan tidak selesa tanpa sebab yang jelas dan akan kembali normal selepas beberapa ketika.

Selalunya keadaan seperti ini berlaku beberapa kali dalam seminggu. Bagaimanapun, ibu bapa tidak perlu risau kerana masalah kembung ini akan berkurangan apabila bayi makin membesar kerana penyusuan yang semakin baik.

Antara sebab bayi kembung perut adalah cara penyusuan yang tidak betul. Posisi menyusu condong dan saiz puting botol yang tidak sesuai (bagi bayi yang menggunakan botol untuk menyusu) menyebabkan banyak udara ditelan serta masalah kembung perut pada bayi.

Selain itu, masalah ketidakhadaman, usus yang sensitif kepada protein tertentu yang terdapat dalam susu dan bayi yang menangis terlalu lama turut menjadi punca kepada masalah kembung perut. Pelbagai cara digunakan bagi mengatasi masalah ini termasuklah menggunakan ubat atau tanpa menggunakan ubat.

Simethicone dan cairan ‘gripe water’ antara ubat yang kerap digunakan sebagai penawar. Simethicone membantu membebaskan gas yang terdapat dalam perut. Dos bagi simethicone bergantung kepada formulasi disediakan oleh syarikat pengilang. Kebiasaan, simethicone dicampur ke dalam susu dan diberikan kepada bayi.

Cara lain membantu bayi kembung atau angin adalah memberikan gripe water. Ia mengandungi Dill Seed Oil yang dipercayai boleh melegakan simptom angin dan boleh digunakan pada bayi berumur satu bulan ke atas. Selain itu, sapuan minyak yang sesuai dengan urutan lembut juga boleh membantu mengatasi masalah ini.

Pendekatan lain selain ubat adalah mengamalkan teknik penyusuan yang betul. Posisi penyusuan yang betul dan selesa membantu bayi menyusu tanpa menelan angin. Sekiranya bayi diberi susu formula, pastikan ibu bapa menggunakan saiz puting yang bersesuaian.

Saiz puting sesuai memberikan aliran susu yang baik dan keselesaan pada perut bayi. Alahan terhadap susu formula tertentu menyebabkan masalah kembung. Sesetengah bayi mempunyai alahan terhadap protein susu lembu atau laktosa.

Pencernaan tidak sempurna mengganggu keselesaan perut. Oleh itu ibu bapa boleh cuba menukar jenama susu formula. Amalkan mengurut bayi untuk sendawa setiap kali selesai penyusuan.

Bayi yang kurang disendawakan berpotensi mengalami kembung perut kerana mempunyai angin yang terperangkap. Gunakan terknik yang betul untuk sendawakan bayi dan ibu bapa tidak perlu risau apabila bayi muntah sedikit selepas menyusu kerana tidak berbahaya kepada bayi.

Umumnya, masalah ini tidak berbahaya melainkan terdapat tanda penyakit lain. Walaupun perut bayi kelihatan kembung, ia sepatutnya lembut apabila disentuh. Jika ibu bapa berasa perut bayi sangat keras apabila disentuh, kemungkinan besar disebabkan masalah usus lain dan perlulah dirujuk kepada doktor untuk rawatan lanjut.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai ubat, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1800-88-6722.

7/06/17

RAWATAN ASAS UNTUK PENGHIDAP TALASEMIA


Pemindahan darah adalah asas rawatan semua penghidap talasemia dan segelintir pesakit talasemia intermedia. Tujuan pemindahan darah adalah untuk mengatasi masalah kurang darah (anemia) dan pengeluaran sel darah merah yang tidak berkesan.

Pemindahan darah secara tetap mencegah kebanyakan komplikasi talasemia major iaitu tumbesaran dan tulang terbantut serta masalah neurologi. Bagaimanapun, komplikasi akibat pemindahan darah menjadi sumber morbiditi (jumlah kesan penyakit terhadap pesakit) yang utama.

Ketika ini, kira-kira 5,000 penghidap talasemia bergantung pada pemindahan darah (TDT) yang memerlukan pemindahan setiap bulan. Dianggarkan juga bakal ada kenaikan diagnosis baru talasemia kira-kira 100 kes setahun. Ini bermaksud akan berlaku juga peningkatan keperluan darah untuk TDT.

Sehubungan itu, dijangkakan ada keperluan untuk meningkatkan kutipan darah setiap tahun sebanyak dua hingga empat peratus bagi memastikan bekalan darah mencukupi untuk seluruh negara.

Dianggarkan kira-kira 17 hingga 20 peratus bekalan darah negara diberikan kepada TDT setiap tahun.

Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata, kerajaan melancarkan Program Kebangsaan pada 2005 dan Daftar Talasemia Kebangsaan, yang dilancarkan kira-kira dua tahun kemudian, adalah antara komponen program berkenaan.

“Pada peringkat awal fasa program ini, penekanan diberi untuk menyelamatkan nyawa dan peruntukan penjagaan komprehensif terhadap pesakit di klinik. Sehingga kini, pihak kementerian sudah melakukan tugas yang terbaik apabila sangat sukar berlaku kes kematian sekunder akibat pengum­pulan lebihan zat besi dalam kalangan pesakit remaja.

“Majoriti TDT sekarang dijangka dapat hidup sehingga menjangkau usia 40-an, manakala di Barat ada harapan untuk menjangkau usia 60-an. Ini adalah berbeza sekali berbanding pada zaman lalu apabila pesakit talasemia lazimnya meninggal dunia sebelum usia 20-an.

“Kejayaan ini boleh dikaitkan dengan penyediaan darah yang selamat dan mencukupi untuk pesakit. Teknologi lebih moden digunakan sekarang bagi memastikan pemindahan sel darah merah yang bebas patogen untuk semua jenis pesakit yang melalui pemindahan darah,” katanya ketika merasmikan kempen derma darah anjuran Novartis Corporation (M) Sdn Bhd (Novartis), baru-baru ini.

Kementerian Kesihatan juga mengambil inisiatif pada pelbagai peringkat untuk memperbaiki kadar ikhtiar hidup pesakit di tahap kawalan, pencegahan dan rawatan. Beberapa aktiviti dijalankan untuk menekankan aspek pencegahan program kebangsaan.

November tahun lalu, Kementerian Kesihatan melancarkan inisiatif pemeriksaan disasarkan ke seluruh negara membabitkan pelajar tingkatan empat dengan harapan semua remaja dan belia menjalani saringan talasemia. Oleh itu, ia membolehkan kaunseling dan panduan sewajarnya diberikan kepada individu yang disahkan sebagai pembawa supaya kelak mereka tidak memilih pasangan yang mempunyai penyakit sama.

Selain saringan sasaran terhadap remaja 16 tahun, program saringan secara sukarela juga ditawarkan di semua pusat penjagaan kesihatan seluruh negara. Semua belia dan pasangan yang mahu berkeluarga juga digalakkan untuk menjalani saringan talasemia sekali seumur hidup sebelum berkahwin.

“Ini membolehkan pembawa talasemia berhati-hati memilih pasangan hidup dan tidak mengahwini pembawa talasema atau pesakit talasemia intermedia bagi mengelakkan kes mendapat zuriat talasemia major.

“Kempen kesihatan talasemia masih dijalankan menerusi inisiatif kesedaran kesihatan awam dan media konvensional. Kebelakangan ini, kita juga menumpukan lebih banyak sumber kepada media baru dan medium media sosial lain yang lebih banyak digemari populasi muda.

“Kita berharap keputusan saringan ini nanti akan membawa kepada penurunan perkahwinan dalam kalangan pasangan berisiko dan dengan itu menunjukkan pengurangan kelahiran baru talasemia,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Azman berkata, jumlah bekalan darah ketika ini tidak mencukupi berikutan hanya sekitar dua peratus daripada rakyat negara ini menjadi penderma secara tetap. Oleh itu, pihak kementerian mensasar meningkatkan jumlah penderma darah tetap kepada tiga hingga lima peratus daripada populasi rakyat negara ini dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Tahun lalu saja sebanyak 693,982 beg darah diperoleh hasil kesedaran yang meningkat dalam kalangan anggota masyarakat dan penyertaan mereka dalam kempen derma darah. Namun, keseluruhannya jumlah bilangan penderma darah tetap di Malaysia adalah masih rendah dibandingkan dengan negara maju.

“Secara purata, sebanyak 2,000 beg darah diperlukan setiap hari di hospital kementerian seluruh negara untuk menyelamatkan nyawa. Di Lembah Klang saja, sebanyak 500 beg darah sehari dibekalkan kepada hospital kementerian dan sebilangan kecil kepada hospital swasta,” katanya.

Pakar Perunding Kanan Hematologi Hospital Ampang, Dr Jameela Sathar berkata, kos perubatan bagi pesakit talasemia mampu mencecah RM4 juta sepanjang hayat mereka membabitkan pemindahan darah, terapi dan ubat-ubatan.

Bilangan pesakit talasemia didapati meningkat setiap tahun. Berdasarkan pengumpulan data komprehensif Daftar Talasemia Kebangsaan sehingga Mei 2017, bilangan pesakit talasemia dicatatkan seramai 7,220 orang.

“Majoriti pesakit talasemia adalah TDT untuk mengembalikan aras hemoglobin ke tahap lebih baik dan tisu-tisu dalam badan akan mendapat bekalan oksigen yang mencukupi. Setiap kali seorang pesakit menjalani pemindahan darah, ia membabitkan kos RM1,200 bagi satu beg darah dan rawatan ini perlu dilakukan satu hingga dua kali sebulan sepanjang hayatnya.

“Namun, pemindahan darah yang kerap menyebabkan pengumpulan zat besi yang berlebihan dalam organ penting. Fungsi organ seperti jantung, hati dan kelenjar endokrin akan terjejas dan ini mendatangkan kesan buruk kepada pesakit.

“Oleh itu, rawatan penyingkiran zat besi adalah amat penting. Ia boleh diberikan secara suntikan atau oral membabitkan kos kira-kira RM5,000 sebulan untuk sepanjang hayat dan belanja bertambah untuk rawatan penyakit diabetes, kegagalan jantung dan penyakit hati,” katanya dalam forum awam sempena kempen derma darah itu.

Pesakit talasemia yang melakukan proses penyingkiran zat besi berlebihan menerusi suntikan akan memerlukan mesin pam infusi dianggarkan bernilai RM4,000 dan jarum suntikan yang perlu sentiasa ditukar berharga kira-kira RM10 seunit.

Proses penyingkiran ini membabitkan penggunaan jarum yang dicucuk ke bawah kulit dan bersambung dengan mesin pam infusi yang mengandungi bancuhan ubat untuk dipindahkan ke badan pesakit. Biasanya pesakit melakukannya sendiri di rumah antara lapan hingga 10 jam.

Mesin ini menggunakan kuasa bateri sepenuhnya dan perlu dihantar untuk diselenggara secara berkala supaya ia berfungsi pada tahap yang sepatutnya. Jika rosak, perlu ditukar dengan mesin yang baru. Kebanyakan pesakit talasemia di Malaysia mendapatkan mesin ini secara pinjaman dari hospital kerajaan.

“Pesakit talasemia hanya boleh sembuh dengan pemindahan sum-sum tulang daripada adik-beradik yang sihat, dan sama antigen leukosit manusia (HLA) atau penderma adik-beradik yang sepadan. Namun, keberangkalian untuk mendapatkan adik beradik yang sepadan HLA hanya 25 peratus dalam satu keluarga. Peratus kejayaan untuk prosedur pemindahan sum-sum tulang pula lingkungan 70 hingga 80 peratus.

“Oleh itu, rawatan yang ada adalah pemindahan darah untuk melegakan gejala-gejala anemia dan melengahkan proses kegagalan fungsi organ sahaja. Rawatan ini juga hanya memastikan kualiti kehidupan yang lebih baik dan melanjutkan jangka hayat pesakit talasemia,” katanya.

Dr Jameela berkata, ujian ‘prenatal’ untuk mengesan talasemia digalakkan pada ibu hamil untuk mengetahui sekiranya kandungan menghidapi penyakit talasemia major. Sekiranya didapati anak dalam kandungan menghidapi talasemia major, pasangan boleh mengambil tindakan menggugurkan atau meneruskan kehamilan itu.

“Perkahwinan di antara pembawa (talasemia minor) dan pembawa, atau pembawa dengan pesakit talasemia major atau intermedia, akan menyebabkan risiko menghasilkan zuriat yang mempunyai talasemia minor atau major atau intermedia.

“Pembawa adalah sihat, tidak menunjukkan apa-apa tanda atau masalah kesihatan dan pengesanannya hanya boleh dibuat melalui ujian darah. Talasemia major mempunyai tahap hemoglobin yang sangat rendah, biasanya kurang daripada empat gram sedesiliter (g/dL) dan menunjukkan tanda-tanda penyakit mulai umur enam hingga 18 bulan.

“Talasemia intermedia pula mempunyai tahap hemoglobin yang tidak begitu rendah, dalam lingkungan tujuh hingga 10 g/dL yang dapat menampung hidup tanpa pemindahan darah. Namun, menunjukkan tanda-tanda penyakit dari usia lebih lanjut biasanya daripada remaja hingga dewasa seperti osteoporosis, kegagalan jantung kanan, pembengkakan limpa dan pembengkakan korda tunjang tulang belakang yang boleh menyebabkan lumpuh,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Onkologi Novartis, Dr Imran Rasheed berkata, pihaknya menyokong usaha Kementerian Kesihatan dalam rawatan talasemia dengan membekalkan terapi penyingkiran zat besi sejak 2005 dan turut bersama menjalankan kempen kesedaran.

“Pesakit talasemia major amat bergantung pada rutin pemindahan darah dan mereka tergolong dalam komuniti terbesar pengguna darah yang didermakan. Bagaimanapun, mengekalkan bekalan darah yang selamat dan mencukupi adalah sangat mencabar terutama dengan peningkatan pesakit talasemia baru.

“Malangnya, bilangan pendema darah berkurangan akibat pelbagai faktor. Oleh itu, menganjurkan aktiviti derma darah tidak saja mendidik orang ramai dengan mempertingkatkan kesedaran mengenai talasemia, malah bermanfaat bagi pesakit yang memerlukan pemindahan darah dengan bekalan berterusan,” katanya.

12/05/17

PENYAKIT KUNING BOLEH ANCAM NYAWA BAYI


Dilihat dari luaran dia seperti kanak-kanak normal lain. Bermain, bercakap dan ketawa seperti tiada sebarang penyakit tetapi hakikatnya, Batrisya Sofea Mudzaffar Shah, 8, disahkan menghidap penyakit Biliari Atresia (BA) sebaik dilahirkan.

Menurut bapanya yang juga seorang guru, Mudzaffar Shah Ali, 33, pada awalnya, dia hanya menyangka anaknya menghidap demam kuning (jaundis) seperti kebanyakan bayi baru lahir.

Namun, Mudzaffar menyedari sesuatu berlaku kepada puterinya apabila penyakit kuningnya berpanjangan sehingga tiga minggu dan najis anaknya berwarna kuning pucat, berbeza dengan najis bayi lain.

Tanpa membuang masa, Mudzaffar membawa anaknya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai keadaan anak tunggalnya.

Selepas diperiksa, Batrisya yang ketika itu berusia 52 hari didapati menghidap BA dan perlu segera menjalani Kasai iaitu pembedahan bagi membuang duktus hempedu yang rosak serta penyambungan bahagian usus terus ke hati supaya hempedu dapat mengalir dari hati terus ke usus.

Ternyata keputusan Mudzaffar yang juga Presiden Persatuan Biliari Atrisia Malaysia (BAMA) membenarkan anaknya menjalani pembedahan dengan cepat adalah tindakan tepat kerana anaknya kini dapat menjalani kehidupan seperti biasa, walaupun perlu menjalani pemeriksaan berkala dengan pakar bagi memastikan dia kekal sihat.

“Alhamdulillah, syukur kini Batrisya boleh bermain seperti kanak-kanak seusianya selepas menjalani pembedahan Kasai. Mujur saya mengesan lebih awal perubahan najis anak yang berwarna seakan pucat.

“Ramai yang salah faham penyakit BA dengan demam kuning dan masih ada yang kurang peka terhadapnya. Nasihat saya, segera berjumpa doktor bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Prince Court, baru-baru ini.

Pakar Pediatrik dan Genetik, Pusat Perubatan Prince Court, Dr Choy Yew Sing menjelaskan, BA adalah sejenis penyakit terdapat ketidakwujudan sistem hempedu luar, mengakibatkan demam kuning berpanjangan.

“Demam kuning adalah perkara biasa dalam dua minggu pertama selepas kelahiran dan ini dikenali sebagai jaundis fisiologi, tetapi jika ia berterusan lebih dua minggu, satu masalah yang lebih serius mungkin berlaku dan perlu segera melakukan diagnosis serta rawatan secepat mungkin.

“Bagi sesetengah kanak-kanak, BA mungkin berlaku kerana gen penting untuk pembentukan saluran hempedu bermasalah iaitu tidak membentuk dengan betul semasa di dalam kandungan.

“Namun, ada kajian menunjukkan kira-kira 75 peratus penghidap BA menghidapinya selepas kelahiran oleh beberapa sebab iaitu jangkitan virus seperti rotavirus dan reovirus, toksin pada alam sekitar dan penyakit autoimun,” katanya.

Menurut Dr. Choy, BA turut menyebabkan tiub hempedu terjejas dan membengkak lalu tersumbat menyebabkan hempedu tidak boleh keluar secara normal dan kemudian mengalir keluar ke salur darah yang menyebabkan badan jadi kuning. Ia juga menyebabkan najis menjadi pucat atau kelabu kerana ia tidak dirembeskan melalui usus.

“Simptom najis berwarna pucat tanda penting kepada BA, selain penyakit kuning berpanjangan kerana najis bayi biasanya berwarna kuning emas atau mustard. Oleh itu, ibu bapa perlu dididik untuk memantau sebarang kelainan dan segera bertemu dengan pakar,” katanya.

Sehingga kini, punca BA masih belum diketahui tetapi penyakit ini wujud sejak kelahiran lagi. Banyak teori dikemukakan dan besar kemungkinan sistem hempedu luar diserang oleh antibodi badan sendiri (auto-antibodies).

Dr. Choy turut menjelaskan, BA boleh dirawat melalui pembedahan dikenali prosedur Kasai atau pemindahan hati. Pembedahan Kasai, dinamakan selepas pakar bedah yang mencipta pembedahan itu di Jepun, biasanya merupakan rawatan pertama untuk BA.

“Ketika prosedur Kasai, pakar bedah membuang salur hempedu bayi yang rosak dan membawa satu gelung usus untuk menggantikan mereka. Hasilnya, hempedu mengalir terus ke usus kecil.

“Pembedahan ini tidak menyembuhkan BA tetapi ia boleh memulihkan aliran hempedu dan membetulkan banyak masalah yang disebabkan BA. Tanpa pembedahan, bayi dengan BA mungkin tidak dapat hidup melepasi umur dua tahun,” katanya.

Prosedur ini adalah paling berkesan pada bayi berumur kurang dari tiga bulan kerana mereka biasanya masih belum mengalami kerosakan hati kekal. Sesetengah bayi dengan BA yang menjalani prosedur Kasai berjaya mendapatkan semula kesihatan yang baik dan tidak lagi mempunyai penyakit kuning atau masalah hati utama.

“Pembedahan Kasai perlu dilakukan secepat mungkin kerana jika lambat, hati akan rosak. Kajian dijalan menunjukkan mereka lambat membuat pembedahan selepas 90 hari perlu melakukan transplan hati.

“Transplan hati bukan perkara yang mudah

kerana perlu mencari penderma yang dalam keadaan sihat dan penderma juga berisiko sepanjang pembedahan dijalankan, selain ia merupakan pembedahan yang berkos tinggi.

“Walaupun pembedahan Kasai tidak sepenuhnya berkesan merawat BA, ia dapat membeli masa untuk menangguhkan transplan hati dengan menunggu sehingga badan pesakit cukup kuat atau sehingga berat mereka mencukupi,” katanya.

16/02/17

KAITAN PENYAKIT HERNIA DAN ANGIN PASANG


Lazimnya kita mendengar kanak-kanak lelaki yang baru lahir menghidap angin pasang atau hernia. Dalam kalangan bayi baru lahir pula, bayi pramatang lebih cenderung menghidap angin pasang berbanding bayi cukup bulan.

Hernia lazimnya berlaku pada pangkal paha dinamakan inguinal hernia dan femoral hernia. Hernia juga boleh berlaku di kawasan pertengahan bahagian depan abdomen dikenali sebagai epigastric (bahagian atas pada abdomen), paraumbilical (atas dan bawah umbilicus) dan umbilical hernia (pada umbilicus).

Namun pernahkah anda mendengar hernia dalam kalangan lelaki dewasa? Ya! Hernia bukan hanya boleh terjadi terhadap golongan lelaki malah golongan wanita.

Perunding Bedah Am, Payudara dan Endokrin, Pusat Perubatan Tropicana (TMC), Dr Zamzuri Zakaria berkata, ramai tidak sedar mereka mempunyai Hernia sehingga menjalankan pemeriksaan kesihatan disebabkan masalah lain.

“Hernia tidak menyebabkan simptom seperti sakit menyebabkan ramai tidak peka terhadap ‘kehadirannya’. Hernia adalah benjolan tidak normal yang berlaku dari satu kaviti ke kaviti lain.

“Hernia yang paling sering ditemui adalah hernia inguinal yang muncul di kawasan sekitar ari-ari dan pangkal paha. Malah benjolan boleh besar sehingga ke bahagian kerandut kerana bahagian otot dinding kulit yang lemah terlalu besar.

“Komplikasi berlaku apabila bahagian terkeluar contohnya usus, mati akibat halangan untuk masuk kembali dan tisu terbabit tercekik di laluan itu menyebabkan iskimia iaitu darah tidak dapat mengalir ke bahagian berkenaan dan akhirnya gangren.

“Jika kuman mula menyerang bahagian yang mati, ia boleh mengancam nyawa. Sebab itu pengesanan dan rawatan awal amat penting bagi mengelakkan sebarang komplikasi,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu baru-baru ini.

Menurut beliau, kejadian bonjolan yang sekejap ada dan sekejap tiada itu dirujuk sebagai ‘angin pasang’. Sebenarnya terma ini adalah tidak tepat kerana bonjolan itu bukan seketul angin, sebaliknya sebahagian daripada usus kecil atau besar keluar dari abdomen dan terperangkap di luar abdomen.

“Pada orang dewasa, hernia terjadi kerana tekanan yang tinggi dalam rongga perut dan kelemahan otot dinding perut kerana faktor usia. Tekanan dalam perut meningkat disebabkan batuk yang kronik, susah buang air besar, pembesaran prostat pada lelaki, serta mereka yang sering mengangkat objek berat.

“Masalah hernia tidak boleh dipandang ringan kerana jika lambat mendapatkan rawatan, ia boleh menyebabkan komplikasi yang mampu membawa maut,” katanya.

Hernia dalam kalangan lelaki dewasa jarang dibincangkan kerana ramai yang masih bersifat ‘tabo’ membabitkan alat sulit lelaki. Ia juga kerap terjadi dalam lingkungan lelaki berusia 50 tahun ke atas tetapi ada sesetengah kes membabitkan golongan awal 30-an.

Jenis Hernia

1. Inguinal hernia

2. Hernia femoral

3. Hernia hirisan

• Inguinal hernia:

Berlaku di bahagian kelangkang. Sebanyak 70 peratus hernia dari jenis ini. Ia 25 kali lebih kerap berlaku kepada lelaki berbanding wanita. Hernia ini dibahagikan kepada dua jenis iaitu langsung dan tidak langsung. Kedua-duanya dibezakan melalui sedikit perbezaan berdasarkan punca kejadian mereka.

Kedua-duanya boleh kelihatan serupa semasa membonjol di kawasan kelangkang. Membezakan antara kedua-duanya amat penting ketika membuat diagnosa klinikal.

• Angin pasang tidak langsung:

Hernia akibat bonjolan apabila kandungan bonjolan terkeluar melalui jalan yang pernah dilalui oleh testes (buah pelir) semasa perkembangan di peringkat janin dahulu. (Ketika peringkat awal janin, buah pelir berada di dalam abdomen dan semasa perkembangan, ia turun ke bawah sehingga masuk ke dalam buah zakar).

Jalan ini biasanya tertutup sebelum bayi lahir tetapi boleh menjadi tempat berlakunya hernia kemudian hari. Hernia boleh berlaku pada semua peringkat umur. Kadangkala kantung hernia boleh membonjol sehingga dalam buah zakar.

• Angin Pasang langsung:

Hernia ini berlaku pada kawasan di mana dinding abdomen kurang tebal. Ia biasanya tidak menonjol

ke dalam skrotum.

Tidak seperti hernia tidak langsung yang boleh berlaku di semua peringkat umur, hernia jenis ini cenderung berlaku kepada mereka yang berada di peringkat pertengahan umur dan orang tua disebabkan dinding abdomen menjadi semakin lemah apabila usia meningkat.

• Hernia femoral

Saluran femoral adalah jalan di mana salur darah arteri, vena dan saraf femoral keluar daripada abdomen untuk memasuki kawasan paha. Biasanya saluran ini ketat dan padat, tetapi kadangkala ia menjadi besar untuk membolehkan kandungan abdomen menonjol ke dalam saluran berkenaan.

Hernia femoral menyebabkan bonjolan di bahagian bawah lipatan kelangkang, di kawasan tengah paha. Biasanya berlaku kepada wanita dan lebih berisiko untuk tidak bersifat pasang surut/irreducible di mana ia tidak boleh ditolak masuk.

• Hernia hirisan

Pembedahan abdomen boleh mengakibatkan dinding abdomen berubah dari segi struktur terutama di bahagian yang dihiris. Ia menyebabkan kawasan bekas hirisan menjadi lemah. Hernia boleh terjadi pada bahagian yang lemah ini. Ia berlaku dalam dua hingga 10 peratus pembedahan abdomen.

Penyebab hernia

Hernia yang berlaku dalam kalangan warga tua sama ada disebabkan adanya jalan yang terbentuk ketika perkembangan fetus, bukaan sedia ada dalam ruang abdomen atau kawasan dinding abdomen lemah oleh sesuatu keadaan.

Apa jua keadaan yang menyebabkan peningkatan tekanan dalam ruang abdomen boleh menyumbang kepada pembentukan hernia atau menyebabkan menjadi lebih teruk.

Risiko meningkatkan hernia

• Obesiti

• Mengangkat objek berat

• Batuk

• Meneran ketika buang air besar atau kecil

• Penyakit paru-paru kronik

• Ada cecair di dalam ruang abdomen

15/02/17

ADA ENAM JENIS PENYAKIT MEROYAN


Negara digemparkan dengan berita bayi berusia tiga bulan maut akibat dikelar ibunya sendiri baru-baru ini. Peristiwa tragis itu bukan pertama berlaku malah sebelum ini kita pernah disajikan dengan berita bayi dicampak dari pangsapuri akibat masalah sama.

Jika difikir secara logik akal, seorang ibu yang waras tidak akan tergamak berbuat demikian terhadap zuriat sendiri. Dalam keadaan tertentu, gangguan fikiran dan emosi dihadapi menyebabkan sesetengah ibu bertindak di luar kawalan. Bagi masyarakat kita, ia dipanggil meroyan atau kemurungan postpartum yang berlaku selepas melahirkan anak.

Mengikut ilmu perbidanan Melayu, meroyan atau merian hendaklah diberi perhatian kerana penyakit itu akan berlarutan seumur hidup sekiranya dibiarkan tanpa rawatan.

Perunding Perbidanan dan Sakit Puan juga Pakar Kesuburan Pusat Perubatan Tropicana, Dr Nurhazinat Mohamed Yunus berkata meroyan adalah masalah mental selepas bersalin atau acut psychosis.

“Meroyan dikenali dalam kalangan ahli perubatan sebagai postpartum depression (PPD) satu bentuk kemurungan klinikal (clinical depression) yang menjejaskan wanita, dan kadangkala lelaki selepas kelahiran anak.


“Terdapat beberapa jenis meroyan yang biasa menyerang wanita selepas bersalin antaranya postpartum blues, pospartum depression dan yang paling merisaukan ialah pospartum psikosis,” katanya ketika ditemui di hospital itu baru-baru ini.

Menurutnya, postpartum adalah masalah biasa dan tidak perlu dirisaukan. Ada yang mengalaminya pada kelahiran pertama saja. Antara gejalanya ialah rasa tertekan, sedikit murung, sedih, mudah menangis, berasa terlalu terharu tanpa sebab dan emosi cepat berubah.

“Postpartum depression pula ialah ibu yang mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidap kemurungan, hilang selera makan, cepat letih, tidak yakin dan rasa bersalah serta mudah marah.

“Pospartum psikosis pula adalah keadaan yang paling merisaukan di mana ibu akan mendengar suara halus yang menyuruh melakukan perkara di luar batasan seperti yang terjadi baru-baru ini,” katanya.

Beliau juga memberitahu, sokongan dan perhatian suami dan keluarga memainkan peranan terpenting bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

“Misalnya jika isteri mengadu atau meluahkan perkara yang agak tidak masuk akal seperti rasa mahu membunuh bayi, ambilnya sebagai perkara yang serius dan jangan menganggap ia sekadar gurauan. Dalam keadaan seperti ini, sokongan ahli keluarga, terutama suami, sangat penting. Suami perlu beri kerjasama menjaga anak seperti bangun malam atau membantu menukar lampin, supaya isteri boleh mendapat tidur yang cukup.

“Kurang sokongan daripada suami dan ahli keluarga boleh menyebabkan wanita mengalami kemurungan. Apabila ini berlaku dan tidak dibantu segera, masalah jadi lebih berat kerana pesakit tidak dapat mengawal perasaan dan dibelenggu pelbagai perkara yang menekan fikiran,” katanya.

Dr Nurhazinat berkata, kehamilan yang tidak dirancang atau tidak dikehendaki juga boleh menjadikan wanita tertekan dan murung selepas bersalin. Kajian menunjukkan hampir 70 peratus kehamilan yang berlaku adalah tidak dirancang dan ini meningkatkan risiko untuk mengalami kemurungan.

INFO:

Jenis meroyan mengikut kepercayaan masyarakat Melayu

1. Meroyan Api

- Ibu akan menjadi bengis, baran, cepat marah hingga tahap menjerit dan lupa diri

- Perubahan mood yang ketara

- Perubahan sikap lebih ketara ketika datang bulan

2.Meroyan Ketung

- Ibu menjadi murung, hiba, sayu, mudah menangis, perasa (sensitif) dan ada kalanya kelihatan seperti bodoh

- Kebanyakan berlaku kepada ibu yang kehilangan anak

- Ada kes sehingga membunuh diri

3. Meroyan Urat

- Ibu mengalami ketegangan urat sarat sehingga sentiasa mengeraskan diri seperti mengalami kekejangan otot

- Selalu berlaku ketika cuaca sejuk, atau jika ibu tersilap makan benda yang bersifat sejuk

- Berlaku kepada ibu yang melakukan kerja berat atau banyak menggunakan urat besar sejurus lepas bersalin

4. Meroyan Lendir

- Ibu sentiasa pucat, lesu, mata pudar, keguguran rambut dan badan menjadi susut

- Keguguran rambut yang melampau

- Mengalami masalah dingin seks terhadap pasangan

- Penyebab utama apabila darah kotor dan angin jahat di dalam tubuh tidak dikeluarkan sepenuhnya sepanjang tempoh berpantang

5. Meroyan Tinggal

- Ibu tiba-tiba asyik berleter, bercakap seorang diri dan mengambil peluang melarikan diri dari rumah

- Ibu mungkin tidak mahu bayinya sendiri

- Ada tahap sehingga menjadi ganas

6. Meroyan Bulu

- Ibu sentiasa seram sejuk selepas bersalin

- Jika berlarutan, ibu akan mula menghidap rheumatoid artiritis atau keradangan sendi

- Ini berlaku apabila ibu banyak bermain air dan bersejuk ketika berpantang

7. Meroyan Kulit

- Ibu akan berasa gatal serta miang seluruh badan dan tergaru-garu seperti kera

- Ia berlaku disebabkan darah kotor tidak habis keluar menyebabkan kekotoran keluar melalui liang roma peluh

- Ini akan berterusan jika darah nifas tidak habis dikeluarkan sepanjang tempoh berpantang

Antara simptom

- Terlalu lesu

- Hilang kegembiraan untuk menjalani hidup

- Tidak boleh tidur malam (insomnia)

- Sedih keterlaluan

- Menangis tanpa sebab

- Resah gelisah

- Berasa diri tidak berharga

- Sentiasa berasa bersalah

- Emosi mudah terganggu

- Hilang selera makan

- Tidak boleh menumpukan perhatian

Antara punca

- Pernah mengalami kemurungan, sama ada pada diri sendiri atau ahli keluarga (termasuk skizofrenia)

- Perubahan hormon yang banyak (perubahan hormon mendadak boleh merangsang kemurungan)

- Tekanan

- Kurang sokongan keluarga

- Gangguan psiko sosial seperti masalah perkahwinan atau pergaduhan

- Tidak cukup tidur kerana terpaksa bangun malam untuk menyusukan anak

- Melahirkan anak yang tidak dikehendaki (unplaned pregnancy)

- Kekecewaan akibat terlalu inginkan anak lelaki, tetapi dianugerahkan anak perempuan (atau sebaliknya)

7/02/17

APA ITU RADANG SENDI?


Artritis atau radang sendi adalah gejala kepada lebih 100 penyakit berkaitan sendi seperti artritis reumatoid, osteoartritis, gout dan artritis psoriatik.

Namun, artritis reumatoid adalah radang sendi paling serius dan biasa dialami. Gejalanya termasuk keradangan dan pembengkakan tisu lembut di beberapa sendi pada masa yang sama. Ia adalah gangguan pada autoimun mengakibatkan sistem imun yang dikawal mula menyerang sendi dan tisu yang bertindak sebagai pelapik dan pelincir sendi meradang.

Perunding Pakar Reumatologi Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Chow Sook Khuan berkata secara dasarnya artritis reumatoid boleh menyerang semua peringkat usia termasuk kanak-kanak, tetapi ia biasanya berlaku dalam lingkungan usia 30 tahun ke atas dan golongan wanita berisiko tiga hingga empat kali ganda mengalaminya berbanding lelaki.

“Simptom utama yang ditunjukkan seperti sakit, bengkak dan kejang pada sendi di tangan, pergelangan tangan, siku, kaki, tumit, lutut atau leher. Jika sendi pada sebelah badan terjejas, biasanya sebelah badan lagi turut akan terjejas sama.

“Kesakitan akibat artritis reumatoid biasanya lebih teruk pada waktu pagi dibandingkan kesakitan klasik akibat osteoartritis yang lebih teruk sepanjang hari, malah kekejangan pada waktu pagi selalunya berlangsung lebih sejam,” katanya.

Menurutnya, penyakit ini tiada penawarnya dan diagnosis bagi artritis reumatoid yang dilakukan di peringkat awal boleh menentukan jenis rawatan berikutan kira-kira 80 peratus sendi akan rosak dalam tempoh dua tahun jika penyakit terbabit dibiarkan tanpa rawatan wajar.

“Pakar reumatologi biasanya akan menggunakan kombinasi rawatan untuk menyingkirkan kesakitan dengan lebih cekap, meningkatkan keupayaan fungsi dan mencegah kerosakan sendi. Pesakit juga akan disyorkan mengambil ubat antireumatik (DMARDs) sebaik saja reumatoid artritis dikesan dan ubat berkenaan boleh dibahagikan kepada agen xenobiotik dan agen biologikal.

“Xenobiotik yang juga ubatan DMARDs konvensional tidak bertindak secara semula jadi dalam badan seperti biologikal. Walaupun ia terbukti memperlahankan aktiviti artritis reumatoid tetapi turut mempunyai kelemahan apabila ia mungkin tidak berkesan kepada 20 hingga 30 peratus pesakit.

“Kerosakan sendi halus masih berlaku walaupun ada penyembuhan klinikal. Kumpulan ubat ini juga boleh menyebabkan kesan sampingan tertentu yang memerlukan pengawasan,” katanya.

Dr Chow berkata, ubat dalam kumpulan biologikal seperti penghalang faktor tumor nekrosis (TNF) alfa terbukti mampu menghalang aktiviti artritis reumatoid, mencegah kecacatan sendi dan meningkatkan fungsi sendi serta kualiti hidup.

“Ada juga ubatan biologik lain terbukti untuk pengurusan penyakit ini seperti penghalang sel B dan penghalang Interleukin 6. Semua jenis terapi ini mampu memberikan harapan kepada pesakit yang menderita radang sendi sedemikian.

“Ini kerana, amat sukar bagi pesakit meneruskan kehidupan mereka dengan menderita penyakit kronik seperti artritis reumatoid yang mengehadkan keupayaan bergerak walaupun tugasan paling ringan,” katanya.

Menurutnya, walaupun artritis reumatoid adalah penyakit kronik tetapi ia boleh dirawat dan dengan terapi yang bersesuaian pesakit boleh dipulihkan terutama apabila penyakit dikesan di peringkat awal.

23/01/17

AMBIL BERAT TENTANG SERANGAN SAWAN TERMENUNG PADA KANAK-KANAK


Sekiranya seorang kanak-kanak berusia bawah 12 tahun tiba-tiba didapati mengelamun, janganlah dimarahi kerana dianggap tidak memberi perhatian, sebaliknya periksa keadaannya kerana berkemungkinan mereka diserang sawan termenung.

Sawan jenis ini kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak berbanding orang dewasa dan ia terjadi secara tiba-tiba serta tanpa sebarang tanda amaran. Lazimnya, orang akan mengaitkan epilepsi dengan sawan tarik seperti menggelupur, kejang dan mulut berbuih.

Namun, simptom sawan termenung tidak seperti sawan tarik sebaliknya ia terjadi tanpa disedari kerana tanda-tandanya seperti orang mengelamun dengan pandangan kosong dan kaku selama kurang 15 saat dan boleh berlaku beberapa kali dalam sehari.

Disebabkan itu, ramai yang menyalah anggap kanak-kanak dengan sawan jenis ini sebagai nakal dan tidak memberi perhatian terutama ketika berada di dalam kelas.

Menurut Perunding Pakar Neurologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr Lim Kheng Seang, epilepsi adalah aktiviti elektrik yang tidak normal di dalam otak apabila ia boleh membabitkan pergerakan atau sentakan anggota tubuh badan dan keadaan ini juga disebut sebagai sawan.

Terdapat beberapa punca yang menyebabkan sawan seperti ketumbuhan dan strok, tetapi segelintir masyarakat menganggap sawan disebabkan keletihan, tidak cukup tidur, kekurangan gula atau garam dalam badan. Malah, ada segelintir penghidap disebabkan keturunan dalam sesebuah keluarga yang mendapat sawan.

“Ada banyak jenis sawan, tetapi secara umum sawan dibahagikan kepada setempat dan menyeluruh. Sawan setempat (focal seizure) atau sawan separa bermaksud sawan di satu bahagian otak, sama ada kiri atau kanan, manakala sawan keseluruhan (generalized seizure) bermaksud sawan yang berlaku pada kedua-dua bahagian otak kiri dan kanan secara serentak.

“Sawan setempat ada kala menyerang dengan sentakan membabitkan sebelah bahagian seperti sentakan pada tangan atau kaki di sebelah kanan. Terdapat segelintir penghidap sawan mempunyai perlakuan yang tidak normal apabila mereka berhenti bercakap untuk sementara (oral automatism), kebingungan (blank stare) dan kadang-kadang mengetap bibir.

“Ada juga penghidap mengalami sensasi pelik sebelum mendapat sawan seperti merasa takut, dejavu ataupun berasakan sesuatu yang sensasi, gastrik yang tidak normal dan ini kita panggil sebagai aura,” katanya.

Berlainan pula dengan sawan keseluruhan, Dr Lim berkata, ia berlaku di kedua-dua belah otak pada masa yang sama menyebabkan pesakit jatuh, sentakan pada tangan dan kaki, mata mereka akan ke atas, kadangkala mereka menggigit lidah dan terkencing.

“Tetapi ada juga sawan keseluruhan yang ringan sebagai contoh kanak-kanak yang termenung (absence generalized seizure) dan guru menganggap mereka kurang memberi perhatian dalam kelas ataupun segelintir mereka mendapat sentakan pada waktu pagi dan kadangkala tidak. Ini dipanggil sentakan otot, manakala kebingungan itu dipanggil petit-ma,” katanya.

Katanya, bagi mencari punca sawan di bahagian otak sama ada dari bahagian kiri atau kanan atau kedua-duanya, elektroensefalogram (EEG) sangat penting.

“EEG adalah ujian gelombang otak apabila elektrod akan dilekatkan di kepala untuk merakam gelombang elektrik otak. Dari situ gelombang otak yang tidak normal akan dapat dikesan sekali gus lokasi sawan tercetus dapat dikenal pasti.

“Ujian lain seperti ujian darah, imbasan otak akan digunakan untuk mengetahui keadaan asas pesakit yang menyebabkan sawan,” katanya.

Dr Lim berkata, terdapat kaedah tertentu bagi menangani penghidap yang diserang sawan sama ada di rumah, tempat kerja atau kawasan awam.

“Apabila seseorang mendapat serangan sawan di depan anda, perkara pertama ialah membaringkan penghidap di tempat rata. Pastikan tiada apa-apa di sekeliling yang boleh menyebabkan kecederaan seperti kerusi atau meja.

“Jangan sekali-kali meletak sebarang objek ke dalam mulut pesakit kerana ia akan menyebabkan kecederaan yang lebih serius. Mengelak lidah tergigit tidak akan membantu kerana menggigit lidah adalah tidak bahaya dan tidak menyebabkan kematian.

“Sebaik sawan berakhir, anda boleh mengiringkan penghidap menghadap ke tepi supaya air liur dapat keluar dan mereka boleh sedar semula pada bila-bila masa. Sebaik mereka sedar bermakna sawan sudahpun berhenti. Kebiasaannya, sawan akan berlangsung dalam tempoh kurang lima minit.

Beliau berkata, setakat ini, daripada 10 pesakit yang mengambil ubat sawan dianggarkan enam hingga tujuh orang daripadanya mampu mengawal sawan mereka.

Perunding Pakar Bedah Neuro PPUM, Profesor Bersekutu Dr Vairavan Narayanan berkata, kira-kira 80 peratus daripada pesakit sawan dapat dirawat atau dikawal dengan ubat, manakala bakinya tidak boleh diubati dengan ubatan.

Sebaliknya, penghidap terbabit memerlukan rawatan lanjut dan kira-kira separuh daripada mereka perlu menjalani pembedahan epilepsi.

“Namun, pembedahan epilepsi hanya akan dijalankan terhadap penghidap yang mempunyai kecederaan struktur otak. Pengimejan resonan magnetik (MRI) akan menunjukkan kecederaan dan EEG akan menandakan lokasi gelombang elektrik sawan pada otak.

“Pembedahan epilepsi akan mengeluarkan bahagian otak yang tidak normal. Ini seterusnya melenyapkan sebarang aktiviti elektrik otak yang tidak normal. Ini antara kaedah penyelesaian jangka panjang, berbeza dengan ubatan yang perlu diambil berterusan setiap hari.

“Mengenai kebimbangan adakah pembedahan epilepsi ini bahaya, kita perlu bandingkan antara risiko dan kelebihan pembedahan ini. Pembedahan ini akan menghalang atau mengurangkan epilepsi jangka panjang, di samping membawa lebih banyak manfaat daripada risiko jika dibuat perbandingan,” katanya.

Sementara itu, Pakar Neurologi PPUM, Dr Sherrini Bazir Ahmad berkata penghidap sawan perlu menjalani pemeriksaan dan beberapa ujian untuk menilai sama ada mereka sesuai menjalani pembedahan.

“Pertama sekali pesakit yang mempunyai sawan pernah mengambil dua atau lebih jenis ubatan dengan dos yang maksimum dan disahkan oleh doktor pakar. Semua pesakit perlu menjalani beberapa imbasan seperti MRI yang menjadi satu imbasan penting dalam imbasan neurologi bagi melihat sebarang kecederaan dalam otak.

“Penghidap juga perlu mendaftar masuk di wad neurologi dan menjalani tiga hari ujian video EEG yang diperlukan bagi mengenal pasti jenis sawan serta bahagian otak yang terbabit. Selain itu, imbasan pemancaran foton tunggal tomografi berkomputer (SPECT) atau tomografi pancaran positron (PET) juga akan dijalankan dan ini akan dibincangkan lebih lanjut oleh pakar neurologi.”

Beliau berkata, selepas semua langkah dijalankan, satu perbincangan khas akan dijalankan bersama pakar neurologi, radiologi, juruteknologi dan pakar bedah akan duduk bersama membincangkan kes penghidap sawan. Ini bagi mencapai kata putus mengenai kaedah rawatan mana yang terbaik untuk mereka jalankan.

3/01/17

BAHAYA DEGUPAN JANTUNG TAK SEKATA


MASLAN (bukan nama sebenar) baru berusia 38 tahun dan dia mendapatkan rawatan di hospital kali pertama disebabkan berasa pening. Pada masa sama, denyutan jantungnya juga deras dengan nadinya 190 per minit dan tekanan darahnya juga rendah biarpun pelbagai kaedah sudah dilakukan.

Akhirnya, dia dirujuk kepada doktor pakar dan doktor mengambil keputusan untuk melakukan ujian elektrofisiologi (EP).

Doktor mendapati terdapat lebihan wayar ‘saluran konduksi’ pada bahagian kiri jantung sejak dia dilahirkan dan mengenal pasti rawatan sesuai bagi mengatasi masalah berkenaan dalam tempoh singkat.

Itu antara kes degupan jantung tidak normal yang berlaku secara tiba-tiba kepada pesakit yang sihat, tidak merokok dan pada usia muda, namun peminum kopi yang tegar.

Secara ringkasnya, degupan jantung dikawal perentak jantung semula jadi atau ‘bateri besar’ dinamakan nod sinus (SA) yang terletak pada atrium kanan di bahagian atas jantung.

Nod sinus ini menghasilkan impuls elektrik yang mencetuskan setiap degupan. Impuls elektrik dari nod sinus bergerak merentasi atrium menyebabkan otot atrium menguncup untuk mengepam darah ke dalam ventrikel.

Impuls elektrik itu kemudian tiba di kelompok sel dinamakan nod atrioventrikel (AV) atau dianggap sebagai ‘bateri sokongan’ yang juga laluan tunggal untuk isyarat bergerak dari atrium ke ventrikel di bahagian bawah jantung.

Nod AV memperlahankan isyarat elektrik sebelum menghantarnya ke ventrikel dan kelewatan itu membolehkan ventrikel diisi dengan darah.

Otot ventrikel yang menerima impuls elektrik kemudian mengecut dan mengepam darah ke paru-paru dan bahagian lain tubuh.

Bagaimanapun, jika penjagaan jantung diabaikan dengan tidak mengamalkan gaya hidup sihat seperti senaman, pemakanan dan mengawal tekanan, ia boleh menyebabkan jantung berpenyakit.

Menurut Perunding Kardiologi Intervensi Pusat Perubatan Tropicana Dr Choy Chun Ngok, mana-mana bahagian sama ada di bateri atau wayar boleh mengalami kerosakan.

“Kerosakan itu boleh menyebabkan bateri menjadi lemah, jantung berdenyut terlalu lambat atau terlalu cepat.

“Biasanya, denyutan jantung normal berlaku antara 60 hingga 100 denyutan per minit. Kadar ini dijanakan oleh sel jantung tersendiri yang digelar perentak jantung (pacemaker).

“Kadar denyutan jantung akan berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan badan seseorang. Misalnya, individu itu mempunyai nadi 120 hingga 130 denyutan per minit apabila berlari, tetapi hanya 50 hingga 60 denyutan per minit ketika tidur.

“Sekiranya kadar denyutan jantung tidak berubah mengikut keperluan badan, itulah yang dikatakan sebagai tidak stabil atau normal,” katanya.

Ujarnya, terdapat pelbagai penyebab rentak degupan jantung tidak sekata (arrhythmia) yang dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu denyutan jantung terlalu lambat, terlalu pantas ataupun tidak seragam.

Namun, kebanyakannya berpunca daripada masalah serangan jantung ataupun kerosakan sel perentak jantung apabila usia tua. Ini ditambah pula dengan adanya faktor lain seperti kencing manis dan darah tinggi yang mendorong masalah berkenaan.

Ada pula sesetengah kumpulan pesakit yang dilahirkan dengan keadaan sedemikian. Contohnya, secara kongenital mengalami nadi yang terlalu lambat atau terlalu cepat.

Mengesan degupan tidak normal

“Ujian elektrofisiologi (EP) antara cara yang boleh dijalankan untuk mengesahkan masalah degupan jantung berkenaan. Ia adalah cara invasif untuk melihat rentak degupan jantung.

“EP memeriksa aktiviti elektrik jantung bagi mengesan punca gangguan rentak itu dengan menggunakan kateter yang dimasukkan ke dalam jantung menerusi saluran darah dari celah urat paha.

“Hasil daripada ujian EP juga membantu doktor memilih rawatan yang terbaik untuk pesakit sama ada menggunakan ubatan, perentak jantung (pacemaker) atau alat peranti lain dan pembedahan,” katanya.

Sekiranya jantung mempunyai masalah bateri dan denyutan yang lemah atau wayar mengalami kerosakan, alat elektronik digunakan sebagai perentak (pacemaker) bagi menggantikan penjanaan elektrik yang hilang atau rosak.

Selain pacemaker, ada kaedah lain digunakan bergantung kepada keadaan pesakit. Ini terutamanya digunakan kepada pesakit yang mempunyai masalah degupan jantung terlampau cepat dan bahaya digelar Ventrikular Fibrilasi (VF).

Kaedah implan Implantable Cardioverter Defibrillator (ICD), seakan-akan pacemaker berfungsi membantu mengesan ritma degupan jantung yang laju dan berbahaya secara automatik untuk mengembalikan ritma yang normal.

Cardiac Resynchronization Therapy & Defibrillator (CRTD) pula akan digunakan jika jantung menjadi lemah atau bengkak dan pesakit berasa terlalu penat hingga tidak mampu untuk melakukan apa-apa aktiviti.

CRTD ialah kaedah rawatan dengan memasukkan wayar di bahagian kiri serta kanan jantung dan menyerentakkan kadar degupan jantung bagi mengembalikan ritma yang normal.

Jelasnya, jantung individu dewasa yang sihat berdegup antara 60 hingga 100 kali seminit ketika rehat atau bergantung kepada aktiviti yang dilakukan.

Namun, jika kadar degupan jantung melebihi 150 kali seminit secara tiba-tiba atau disebut ‘litar pintas’, ia bukan sesuatu perkara yang normal dan tidak harus dipandang ringan.

Disebabkan kadar degupan jantung dikawal oleh isyarat elektrik yang dihantar ke dalam tisu jantung, keadaan berkenaan boleh berlaku apabila ketidaknormalan pada jantung menghasilkan isyarat elektrik yang cepat.

“Ini selalunya desebabkan oleh wayar ‘laluan konduksi’ yang berlebihan dalam jantung. Apabila ia berlaku, bahagian yang mengalami ‘litar pintas’ itu akan dikenal pasti dan kaedah ablasi akan dilakukan.

“Ablasi ialah proses menggunakan tenaga haba untuk menyentuh bahagian wayar berlebihan bagi merosakkan sel yang tidak sepatutnya ada di bahagian jantung untuk memastikan degupannya kembali normal,” katanya.

Gejala biasa

Apabila individu mengalami gejala seperti di bawah, segera berjumpa doktor bagi menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan sesuai dengan segera.

Warga emas berusia 60 ke atas atau individu berisiko seperti pesakit darah tinggi, kencing manis dan pernah mengalami masalah serangan jantung berisiko mengalami masalah berkenaan.

Pada masa sama, individu yang mengalami masalah Supraventrikular Takikardia (SVT) atau masalah pacemaker sejak lahir juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga jika ada gejala yang dinyatakan di bawah.

Jika terlewat ia boleh membawa kematian apatah lagi jika denyutan jantung terhenti. Denyutan jantung yang terhenti dalam tempoh enam saat sudah cukup meningkatkan risiko pengsan dan juga kematian.

Antara gejala yang perlu diambil perhatian:

1. Pening atau pengsan. Ia selalunya disebabkan degupan jantung terlalu lambat atau cepat.

Degupan jantung yang cepat juga boleh menyebabkan pesakit pengsan kerana bekalan darah yang dipam tidak mencukupi sekali gus menurunkan paras tekanan darah, pening dan pengsan.

2. Berdebar-debar (palpitation) iaitu peningkatan kadar denyutan jantung. Perkara normal jika jantung berdegup pantas apabila terjaga daripada tidur secara tiba-tiba, marah ataupun terperanjat.

Namun, jika sedang menonton televisyen, berehat ataupun ketika makan, kadar degupan jantung menjadi cepat secara tiba-tiba, mungkin ada perkara tidak normal.

Pencetus keadaan ini juga boleh disebabkan pengambilan minuman kafein berlebihan seperti kopi dan teh terutama dalam kalangan pesakit SVT.

3. Sakit dada.

4. Penat dan nafas menjadi pendek. Nafas boleh menjadi pendek disebabkan jantung lemah, bengkak, injap bocor dan sebagainya.