7/02/18

RISIKO BAYI BANTUT


Sikap sambil lewa ibu bapa terhadap ujian saringan berjadual dilakukan di hospital boleh mengundang kelewatan mengesan penyakit serius pada bayi seperti hipotiroidisme kongenital.

Menurut portal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu myhealth.gov.my, kajian mengenai kes hipotiroidisme di Malaysia menganggarkan 120 kelahiran bayi mempunyai penyakit itu setiap tahun.

Bayi berpenyakit ini berisiko mengalami tumbesaran terbantut, lewat perkembangan dan terencat akal kerana ketiadaan serta kekurangan hormon tiroksin dihasilkan kelenjar tiroid.

Turut berkongsi pandangan ialah Pakar Perubatan Keluarga, Dr Sakinah Sulong menerusi laman Facebook peribadinya mengingatkan pentingnya ibu bapa melakukan saringan darah tali pusat bayi. Ia dikenali dengan prosedur ‘cord TSH’ (hormon perangsang tiroid) dalam kalangan pengamal perubatan.

“Inilah gunanya program saringan hipotiroidisme kongenital yang dimulakan sejak 1998 di hospital kerajaan di seluruh negara.

“Darah tali pusat bayi diuji sebaik dilahirkan untuk mengesan masalah itu lebih awal.

“Sekiranya keputusan darah ini tidak normal, ibu bapa pesakit akan dihubungi untuk makluman agar mereka diberi rawatan secepat mungkin,” katanya.

Turut berkongsi kaedah rawatan diberikan kepada bayi dikesan awal menghadapi masalah terbabit menerusi pemberian pil tiroksin boleh menggantikan masalah hormon tiroid yang kurang.

Tanda bayi alami masalah hipotiroidisme kongenital

• Jaundis neonatal berpanjangan

• Suara tangisan yang kasar atau garau

• Sembelit

• Perut yang buncit

• Hernia di pusat

• Kulit kering, kasar dan pucat

• Lidah besar (makroglosia)

• Raut muka kasar

• Tidak aktif dan banyak tidur

• Terencat akal

• Tumbesaran terbantut

6/02/18

JANGAN AMBIL REMEH TENTANG PENJAGAAN MATA


Hilangnya satu nikmat dunia apabila pandangan mata yang dulunya terang kini seakan-akan berkabus hingga menimbulkan ketidakselesaan menjalani kehidupan seharian.

Penyakit selaput mata atau sebutan saintifiknya, katarak adalah satu masalah kesihatan mata utama yang sering menyerang golongan berusia 65 tahun dan ke atas.

Meskipun katarak lebih ‘popular’ dalam kategori pesakit bagi lingkungan usia lanjut, ini tidak bererti generasi muda bebas daripada risiko penyakit selaput mata ini.

Antara faktor penyebab katarak adalah menghidap kencing manis (termasuk pesakit muda), mengalami kecederaan atau trauma pada mata, bermasalah radang mata dan kanak-kanak yang dilahirkan bersama katarak.

Pakar mata dan motivasi, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad berkata, penyakit selaput mata berlaku dalam keadaan kanta mata mula hilang kejernihan dan mengganggu laluan kemasukan cahaya ke retina sekali gus menghasilkan imej atau fokus yang kabur.

“Seiring dengan peningkatan usia dan kewujudan penyakit lain terutama diabetes, kejernihan dan ketajaman lensa mata kian berkurangan.

“Kanta yang sihat dan jernih ini berfungsi menghasilkan fokus pada sesuatu imej untuk diterjemahkan.

“Proses katarak tidak berlaku secara mengejut dan tiba-tiba. Ia terjadi secara perlahan-lahan tanpa disedari, dalam masa sama, penglihatan mula menjadi kabur seakan-akan berkabus,” jelasnya.

KEMASUKAN cahaya terhalang oleh katarak.

Berdasarkan Kajian Mata Nasional 2 pada 2014, setiap tahun seramai 413,000 penduduk berusia 50 tahun ke atas mempunyai masalah penglihatan.

Malah kenyataan rasmi diumumkan Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan pada 13 Oktober 2017, menyatakan daripada jumlah berkenaan, 113,000 berisiko buta manakala bakinya, 43,000 pesakit pula masih berpeluang untuk dirawat.

Mengulas tahap kebimbangan katarak dalam kalangan masyarakat hari ini, Dr Muhaya menyifatkan tahap kesedaran mengenai kepentingan menjaga deria penglihatan menjadi penentu kepada situasi berkenaan.

Menjadi satu daripada penyebab utama golongan warga emas berdepan kesukaran melihat secara normal, beliau menyatakan sikap ‘terlepas pandang’ mengenai katarak terutama bagi yang berada di kawasan luar bandar meletakkan status kesihatan mata mereka di tahap membimbangkan.

“Masyarakat di bandar lebih terdedah mengenai masalah katarak jika dibandingkan dengan komuniti di luar bandar.

“Apa yang membimbangkan adalah mereka hanya mendapatkan rawatan apabila keadaan sudah menjadi teruk, kerana seperti dinyatakan katarak berlaku secara perlahan-lahan.

“Apabila tahap katarak membimbangkan, kita tidak dapat menolak kemungkinan berlaku risiko buta secara kekal,” katanya.

Pesakit diabetes berusia 45 tahun ke atas dinasihatkan melakukan pemeriksaan mata secara menyeluruh setahun sekali.

KANTA mata hilang kejernihan.

Bagi kes kanak-kanak dilahirkan dengan bawaan katarak, dikenali sebagai katarak kongenital, ibu bapa perlu mengambil tindakan awal untuk mengelakkan risiko masalah penglihatan pada masa depan seperti buta dan juga mata malas.

Antara punca katarak kongenital berlaku ialah bayi dijangkiti kuman rubela semasa dalam kandungan dan ia boleh berlaku pada sebelah mata sahaja mahupun kedua-duanya.

Lazimnya, anak ini turut mengalami kecacatan kongenital mata seperti struktur hadapan mata dan struktur primer vitreous (gelemaca) yang abnormal.

Gejala masalah selaput mata kongenital dapat dikesan seiring dengan peningkatan kanak-kanak berkenaan.

Dr Muhaya berkata, kanak-kanak yang menghidap katarak kongenital perlu mendapat rawatan awal kerana mereka berisiko mengalami situasi mata malas.

Katanya, penyakit mata malas berlaku apabila kanta mata mengalami gangguan penerimaan cahaya seterusnya gagal membentuk imej pada retina.

Beliau turut menyarankan kanak-kanak ini mendapatkan rawatan menerusi pembedahan katarak yang sememangnya selamat dilakukan pakar mata kanak-kanak.

Menyentuh soal pemakanan, Dr Muhaya mengatakan pengambilan sayuran dan makanan kaya dengan vitamin A, C dan E berupaya mengurangkan risiko katarak.

5/02/18

GANGGUAN EMOSI ATAU MURUNG PERLU DIRAWAT DENGAN SEGERA


Kemurungan adalah penyakit mental yang menyebabkan emosi seseorang individu semakin menurun. Ia mungkin menjejaskan kehidupan harian individu dari segi perasaan, tingkah laku, pemikiran dan kesejahteraannya.

Sedih dan kecewa itu lumrah. Namun, sekiranya ia berlarutan sehingga berminggu dan mengganggu aktiviti seharian, ia adalah satu masalah kesihatan.

Kemurungan menyebabkan seseorang menjadi antisosial kerana kurang keyakinan diri atau berasakan dirinya bersalah dalam segala hal.

Gejala kemurungan termasuk perubahan corak tidur sama ada terlebih atau terkurang, sering marah atau menangis, tidak bermaya, berat badan turun mendadak serta kurang daya tumpuan sehingga tidak dapat membuat keputusan yang mudah.

Dalam keadaan serius, seseorang individu yang mengalami kemurungan mungkin melakukan cubaan untuk cederakan diri sendiri dan membunuh diri.

Berdasarkan kajian beban penyakit yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemurungan dijangka menjadi penyakit kedua teratas menjelang 2020 selepas penyakit jantung di seluruh dunia. Ini bermakna semakin ramai masyarakat dunia yang berpotensi untuk membunuh diri.

Pesakit kemurungan biasanya tidak mengaku dirinya murung. Oleh itu, peranan orang terdekat untuk menyedarkan mereka adalah sangat penting.

Jangan biarkan mereka bersendirian supaya tragedi yang tidak diingini dapat dielakkan. Bawa individu yang bermasalah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Beberapa faktor kemurungan yang dikenal pasti adalah genetik, kecederaan otak akibat kemalangan, penggunaan dadah, masalah kewangan, kemerosotan kesihatan fizikal atau masalah sosial, mengalami peristiwa hidup yang tragis seperti kehilangan pasangan, pengambilan sesetengah jenis ubat dan sebagainya.

Keadaan ini mengubah fisiologi badan. Hormon serotonin, dopamin dan norepinefrin yang bertanggungjawab dalam mengawal perasaan di otak menjadi tidak seimbang lalu menyebabkan kemurungan. Berdasarkan faktor di atas, kemurungan sebenarnya boleh dibantu melalui rawatan ubat.

Ada pelbagai jenis ubat antikemurungan atau ubat psikotropik yang efektif serta selamat untuk digunakan. Secara amnya, ubat-ubatan yang digunakan dalam rawatan penyakit kemurungan bertindak mengawal ketidakseimbangan hormon yang terbabit.

Ubat-ubatan psikotropik biasanya dipreskripsikan oleh doktor kepada pesakit bergantung kepada jenis dan tahap kemurungan pesakit.

Apabila keseimbangan hormon ‘perasaan’ diperbetulkan, maka kemurungan akan dapat diatasi. Namun, penggunaan sesetengah ubat-ubatan ini mungkin memberi kesan sampingan yang tidak diingini kepada pesakit.

Antaranya adalah kegemukan, loya, muntah, kembung perut dan kitaran haid yang tidak teratur. Bagaimanapun, keadaan pesakit mungkin lebih teruk sekiranya ubat tidak diambil berbanding kesan sampingan yang dialami.

Oleh itu, jika pesakit mengalami kesan sampingan ubatan yang diberi, maklumkan kepada doktor agar penukaran kepada ubat lain atau penggunaan ubat yang boleh mengatasi kesan sampingan itu dapat dilakukan. Teruskan pengambilan ubat seperti diarahkan oleh doktor.

Selain ubat psikotropik, pendekatan sokongan seperti kaunseling, psikoterapi, pendidikan psikologi dan pemulihan psikososial juga memainkan peranan yang penting dalam rawatan kemurungan.

Kemurungan juga sering dikaitkan dengan masalah spiritual menyebabkan kurang ketahanan mental. Rawatan alternatif seperti rawatan perubatan Islam sangat digalakkan di samping rawatan moden.

Ada beberapa tip bagi mengelakkan kemurungan sebelum melarat. Antara cadangan yang berkesan adalah melakukan sesuatu perkara yang sihat dan disukai seperti bersenam dan melukis.

Cara ini mampu meningkatkan perasaan gembira seterusnya dapat mengelak kemurungan. Di samping itu, meluahkan masalah yang dihadapi kepada seseorang yang dipercayai, contohnya ahli keluarga, kaunselor, doktor, pakar psikiatri atau pakar psikologi juga antara kaedah untuk mengekalkan kesihatan mental.

Pergaulan sosial yang sihat seperti berkomunikasi, sentiasa menghargai dan mempercayai orang lain, dapat menerima pendapat orang secara terbuka, serta memberi dan menerima kasih sayang juga mampu menangani masalah kemurungan.

Sokongan padu dan perhatian ahli keluarga terdekat dan sahabat karib sangat diperlukan bagi pesakit kemurungan untuk membina semula keyakinan diri.

Pantau orang terdekat atau diri anda sendiri, mungkinkah kita menghidapi masalah kemurungan? Segera dapatkan nasihat ahli profesional kesihatan kerana kemurungan boleh membawa kesan buruk sekiranya dibiarkan tanpa rawatan.

Jika ada sebarang kemusykilan atau pertanyaan berkaitan penggunaan ubat-ubatan, boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat jam 8 pagi-5 petang) untuk mendapatkan maklumat lanjut.