20/04/16

TIDAK PERLU `SUPLEMEN` JIKA BADAN SIHAT


ORANG ramai yang mempunyai tahap kesihatan yang baik tidak digalakkan mengambil makanan tambahan atau suplemen, kata pakar pemakanan.

Pensyarah Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan Prof Madya Dr Hamid Jan Jan Mohamed menegaskan bahawa pengambilan makanan tambahan hanya perlu untuk golongan ibu hamil, ibu menyusukan bayi, individu berdiet (kerana makan terlalu sedikit dan perlukan lebih tenaga) serta warga tua yang uzur.

Beliau menasihatkan orang ramai yang ingin mengambil makanan tambahan atau yang merasakan perlu berbuat demikian merujuk serta mendapatkan nasihat pakar pemakanan dan doktor terlebih dahulu.

Tidak dinafikan wujud kesedaran di kalangan rakyat Malaysia mengenai keperluan makanan tambahan, malah ada yang mengamalkannya sebagai rutin harian, namun kata beliau, seseorang yang makan mengikut piramid makanan dan sentiasa bergerak aktif sepatutnya tidak memerlukan makanan tambahan, kecuali kemungkinan vitamin D sahaja yang jarang ada dalam makanan harian.

"Ada kalangan ibu bapa berkemampuan yang memberikan anak-anak mereka vitamin... sedar atau tidak tindakan mereka itu boleh menyebabkan anak-anak tidak gemar untuk makan sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Kanak-kanak akan beranggapan vitamin yang diambil sudah mencukupi, maka mereka tidak perlu makan sayur atau buah," katanya ketika ditemui Bernama pada forum 'Amalan Rawatan Asas pada Abad ke-21' anjuran Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) Selangor baru-baru ini.


BAHAN KIMIA

Beliau berkata terdapat banyak kajian yang menunjukkan pengambilan makanan tambahan tidak berkesan kerana ia terhasil daripada bahan kimia sintetik yang menyerupai sesuatu vitamin berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Hamid Jan berkata vitamin dalam bentuk sintetik bukanlah kandungan yang diperoleh secara semula jadi malah kandungan zatnya tidak menyeluruh berbanding sumber makanan asli.

"Kita sering melihat individu mengambil vitamin C untuk mengelakkan virus selesema tetapi secara logiknya berapa banyak buah oren yang perlu diekstrak bagi menghasilkan sebiji vitamin.

"Ia berbeza apabila kita makan sebiji oren yang bukan sahaja mengandungi vitamin C malah pelbagai nutrisi lain," katanya ketika ditemui selepas membentangkan kertas kerja bertajuk "Makanan Tambahan dan Vitamin Dalam Amalan Harian" pada forum itu.

Justeru, beliau menyarankan agar masyarakat mengambil makanan secara semula jadi kerana produk-produk yang diproses terdiri daripada struktur khasiat yang amat berbeza.

Dr Hamid Jan berkata kepelbagaian dalam penyediaan makanan sihat boleh membantu tubuh seseorang mendapat kesemua nutrien yang mencukupi dan kaedah ini amat penting bagi mengelakkan kebergantungan terhadap pengambilan vitamin serta makanan tambahan.

"Namun amat mengecewakan kerana rata-rata rakyat Malaysia didapati kurang mengamalkan pemakanan daripada kumpulan makanan sayur-sayuran dan buah-buahan khususnya dalam menu harian mereka," katanya.

Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran secara seimbang pula akan membuatkan seseorang itu berasa kenyang kerana kedua-duanya mempunyai kandungan fiber yang boleh diserap tubuh manusia.

Malangnya, kata beliau, rakyat Malaysia lebih gemar mengambil kumpulan makanan yang kaya karbohidrat, lemak dan protein, di mana ketiga-tiga kumpulan makanan tersebut adalah sumber tenaga utama, namun boleh mengundang masalah obesiti dan kegemukan.


ILMU DIET

Dr Hamid Jan berkata sering kali individu yang mengalami masalah berat badan berlebihan akan mengamalkan diet namun ada antara mereka berdiet tanpa ilmu dan hanya bergantung kepada maklumat di Internet semata-mata.

Mengulas lanjut, beliau berkata adalah lebih baik jika individu berkenaan mendapatkan panduan dan nasihat pakar-pakar dietetik tentang cara mengamalkan diet dengan betul dan berdisiplin.

Berdiet tanpa bersenam tidak membawa apa-apa makna kerana amalan diet perlu seiring dengan latihan senaman yang teratur dan konsisten.

"Adalah lebih baik jika penurunan berat badan berlaku secara perlahan-lahan kerana jika turun mendadak, tidak mustahil juga ia akan naik dengan cepat.

"Berdiet dengan 'skip' untuk tidak makan adalah salah dan tidak digalakkan kerana makanan perlu untuk tenaga, namun hendaklah menjaga jumlah kalori setiap yang dimakan.

"Ada individu yang kononnya berdiet dan tidak mahu makan sepinggan nasi sebaliknya individu sama makan lima biji karipap sedangkan jumlah kalorinya adalah lebih tinggi," katanya, dan menambah kata bahawa keperluan tenaga setiap individu adalah berbeza bergantung kepada aktiviti fizikal harian masing-masing.

Jika ingin memiliki tubuh yang langsing dan sihat, kata beliau, makanan dengan kandungan nutrien yang cukup dan seimbang amat penting dalam diet harian.

Dr Hamid Jan berkata setiap hidangan bukan sahaja perlu mempunyai karbohidrat, vitamin, protein dan lemak, malah hendaklah divariasikan serta diambil mengikut kuantiti yang diperlukan tubuh masimg-masing.

BUDAYA SIHAT

Sehubungan itu, beliau berkata institusi kekeluargaan perlu mewujudkan gaya hidup sihat dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menyihatkan tubuh badan.

Dr Hamid Jan berkata ibu bapa yang sentiasa menjaga kesihatan dan mengawal pemakanan, sekali gus akan mendidik anak-anak supaya menjalani kehidupan secara sihat.

"Jika ibu bapa sentiasa bersenam, anak-anak juga akan rajin bersenam, begitu juga amalan-amalan lain, akan menjadi contoh kepada anak-anak, jadi perlu ada kerjasama antara ibu bapa dan anak-anak.

"Selain itu, punca penyakit bukan hanya disebabkan pengambilan makanan tidak seimbang tetapi boleh berlaku atas faktor masalah tekanan di tempat kerja dan tidak mendapat tidur yang cukup," katanya.

Beliau berkata bagi menikmati kehidupan yang sihat, setiap individu perlu tahu menjaga kesihatan tubuh badan demi kesejahteraan diri, keluarga dan negara.

13/04/16

RISIKO JIKA AMBIL AIR DETOKS SECARA BERLEBIHAN


BAGI yang sedang diet air lemon ini memang tak asing lagi. Ia menjadi sebahagian minuman untuk tujuan detoks membuang toksin yang juga salah satu cara untuk menurunkan berat badan.

Botol air berisi hirisan lemon ini selalunya bekalan wajib mereka yang berdiet hingga kadang-kadang ada yang membawa beberapa botol besar untuk minuman seharian di tempat kerja.

Tapi tahukah anda bahawa air lemon ini kalau diminum berlebihan boleh mendatangkan kesan sampingan yang tidak baik untuk tubuh.

Tiga perkara berikut mungkin anda alami jika mengambilnya terlalu banyak. Kurangkan pengambilannya jika kesan ini sudah anda rasai.

1. Hakisan gigi

Terlalu banyak mengambil makanan atau minuman berasid seperti air lemon bergelas-gelas akan menyebabkan gigi turut kerap diselaputi asid.

Ia mampu menghakis enamel gigi dan membuat gigi semakin sensitif pada makanan sejuk dan panas. Bagi melindungi gigi ketika minum minuman berasid sebaiknya gunakan straw.

2. Pedih ulu hati

Minum air lemon juga boleh mencetuskan pedih ulu hati. Ia akan menjadi lebih serius jika anda pernah mengalaminya sebelum ini.

Pedih ulu hati ini akan menyebabkan rasa panas dan juga sakit di bahagian dada. Kurangkan pengambilan makanan dan minuman berasid untuk mengelak serta mengurangkan simptom pedih ulu hati.

3. Kerap buang air dan dehidrasi

Ini juga salah satu kesan sampingan yang mungkin anda alami jika terlebih minum air lemon. Buah ini mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi.

Nutrien ini memang bersifat diuretik yang bermakna ia meningkatkan penghasilan urin oleh buah pinggang untuk membantu tubuh mengeluarkan cecair dan sodium berlebihan dengan cepat.

Sekiranya anda merasai tanda-tanda dehidrasi seperti mulut kering, haus, pening kepala atau mengantuk segera kurangkan pengambilan air lemon.

Apa-apa makanan pun kalau diambil berlebihan tak elok, jadi bersederhanalah. jangan kerana mahu kurus cepat, penyakit lain pula yang datang.

4/04/16

BAKTERIA DARI MULUT MAMPU JADI PUNCA PENYAKIT KRONIK?


JIKA anda merasakan dengan menggosok gigi setiap hari sudah mencukupi untuk menjaga kesihatan mulut dan tubuh badan, anda silap.

Ia masih belum mampu menghalang bekteria di dalam mulut masuk ke saluran darah yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit kronik.

Penyakit kencing manis, kardiovaskular malahan risiko bayi lahir kurang berat badan antara kajian yang dilakukan para saintis dan doktor yang berpunca daripada masalah kesihatan mulut.

Kajian Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati lebih separuh daripada rakyat Malaysia merasakan mereka mempunyai tahap kesihatan mulut yang baik.

Hakikatnya daripada kaji selidik menunjukkan 98 peratus rakyat Malaysia kurang menjaga kesihatan mulut dengan 94 peratus daripada mereka berhadapan dengan masalah gusi.

Masalah gusi

Ramai yang tidak sedar masalah gusi yang dihadapi boleh membawa pelbagai kesan kepada kesihatan umum mereka, menurut doktor gigi, Dr Harlina Haron yang berpengalaman selama 25 tahun.

Penyakit gusi adalah titik permulaan kepada pelbagai komplikasi terutama risiko mendapat kencing manis.

Mulut yang menjadi takungan bakteria juga boleh menyebabkan ulser di perut selain turut dikaitkan untuk mendapat keradangan hati.

Kesan lain yang boleh menjejaskan kesihatan tubuh badan ia boleh menyebabkan peningkatan risiko pneumonia yang lebih tinggi dan akan memberi kesan kepada kelahiran bayi pra matang serta bayi yang dilahirkan kurang berat badan.

Semuanya berpunca daripada bakteria yang banyak di dalam mulut sekiranya gigi tidak dibersihkan dengan betul. Pembentukan plak pada gigi akan berlaku dalam masa yang cepat iaitu 20 minit selepas makan.

"Bakteria yang memasuki badan kita mengandungi protein beku yang dipercayai boleh menyumbat saluran darah dan arteri, yang berpotensi meningkatkan risiko strok dan penyakit jantung.

"Kerana itu diet pemakanan juga perlu dengan mengurangkan pengambilan makanan yang manis serta makanan snek," katanya ketika memberi penerangan tentang penjagaan kesihatan mulut yang betul bersempena Hari Kesihatan Mulut Sedunia yang disambut pada 20 Mac setiap tahun.

Tema pada tahun ini "Semuanya bermula di sini. Mulut Sihat, Tubuh Sihat" yang disertai lebih sejuta doktor gigi di seluruh dunia.

Kesihatan mulut bukan sekadar gigi sebaliknya merangkumi kesihatan gusi, lelangit keras dan lembut, lapisan permukaan mulut dan tekak, lidah, bibir, kelenjar air liur, otot mengunyah serta rahang bawah dan atas.

Apabila memiliki gigi dan gusi yang sihat, akan mengurangkan bekteria dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan keyakinan diri secara optimum.

Berus gigi dengan betul

Jutaan bakteria sentiasa wujud di dalam mulut dan membersihkan gigi dengan kerap serta mengurangkan penggambilan gula akan menghalang daripada pereputan dan kaviti gigi.

Jika tidak menggosok gigi dengan sempurna boleh menyebabkan masalah yang lebih serius seperti gingvitis, periodontitis dan akhirnya kehilangan gigi.

Untuk rekod sebanyak 7.3 peratus rakyat Malaysia telah kehilangan semua gigi semulajadi mereka.

Dr Harlina yang ditemui di klinik pergigiannya di Bangsar berkata 90 peratus masalah gigi berpunca daripada pengumpulan plak.

Penjagaan oral adalah wajib bagi semua orang yang ingin memperoleh kesihatan mulut yang baik. Caranya ialah dengan memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari.

Memberus gigi secara berkesan perlu bagi menyingkirkan sebanyak mungkin plak yang terkumpul selain melakukan flos sebagai satu-satunya cara menyingkirkan plak di kawasan yang sempit bagi menghalang masalah gusi peringkat awal.

Sekiranya tidak dilakukan dengan sempurna setiap hari akan meningkatkan risiko pereputan gigi termasuk tanda-tanda awal seperti gigi berlubang, kesakitan ketika mengigit dan rasa sensitif dan sakit pada gigi.

"Kajian mendapati mereka yang mempunyai masalah gusi atau periodontal yang kronik 40 peratus lebih tinggi berbanding mereka yang tidak mempunyai masalah tersebut.

"Tanda-tanda awal masalah gusi apabila memberus gigi, keluar darah. Jika keadaan berterusan setiap hari, elok bertemu dengan doktor gigi dengan segera bagi mendapatkan rawatan selanjutnya," katanya gigi membawa identiti diri setiap individu yang tidak akan sama dengan orang lain.

Tingkatkan kesedaran

Bersempana Hari Kesihatan Mulut Sedunia 2016, Philips bekerjasama dengan Persekutuan Pergigian Dunia (FDI) untuk meningkatkan kesedaran kepentingan kesihatan mulut.

Menurut Pengurus Philips Malaysia, Muhammad Ali Jaleel, memberus gigi dan flos bukan sekadar dapat memberikan senyuman yang manis dan nafas yang baik sebaliknya dapat meningkatkan kualiti kesihatan badan.

Bagi memperbaiki penjagaan kesihatan mulut, inovasi rangkaian produk kesihatan Oral Sonicare direka untuk membantu orang ramai tanpa perlu bersusah payah.

Menggunakan kuasa elektrik, berus gigi terbaharu Sonicare FlexCare dapat mengurangkan masalah gusi dan membuang 90 peratus kekotoran pada gigi.

Ia menyamai 31,000 kali memberus menggunakan berus gigi biasa pada setiap satu minit penggunaannya. Dicadangkan dua minit setiap kali penggunaan.