22/10/15

SEJAUH MANA KITA MENGHARGAI JANTUNG KITA?

Sering terjadi apabila berlakunya serangan jantung, pesakit atau ahli keluarga tergamam hingga tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Panik dan lambat dibawa ke hospital yang betul adalah antara punca yang menyebabkan kematian.

Pengetahuan mengenai teknologi-teknologi perubatan terkini dalam bidang kardiovaskular sewajarnya diambil tahu oleh setiap individu.

Pengetahuan ini amat penting kerana ia dapat memberikan kita pilihan kaedah perawatan yang sesuai dengan pesakit dalam usaha menyelamatkan nyawa khasnya kepada penghidap penyakit jantung.

Sering terjadi apabila berlakunya serangan jantung pesakit atau ahli keluarga terdekat terkejut, tergamam hingga tidak tahu apa yang perlu dilakukan bagi membantu pesakit. Panik dan lambat dibawa ke hospital yang betul adalah satu daripada punca yang boleh mengakibatkan kematian.

Menurut Pakar Jantung yang juga Ketua Unit Kardiologi dari Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), Prof Dr Wan Azman Wan Ahmad, di negara ini terdapat 19 buah hospital kerajaan berkemampuan melakukan prosedur segera bagi CAD.

"Sering terjadi pesakit meninggal sewaktu dalam perjalanan kerana lambat dibawa ke hospital."

Penyakit Koronari Arteri (Coronary Artery Disease-CAD) adalah penyakit yang berlaku apabila arteri-arteri yang membekalkan darah ke jantung menjadi sempit atau tersumbat.

"Ia berlaku akibat saluran tersebut tersumbat dengan mendapan lemak yang dikenali sebagai plak. Kesannya, arteri-arteri akan menghadapi halangan untuk membekalkan darah ke jantung," jelas Dr Wan Azman.

Antara tanda-tanda CAD termasuklah:

1. Rasa sakit di bahagian dada (angina)
2. Sesak nafas
3. Rasa berat di bahagian dada
4. Rasa sakit di bahagian rahang dan bawah lengan
5. Pedih hulu hati
6. Loya
7. Muntah
8. Perpeluhan melampau

Selain perubahan gaya hidup dan ubat-ubatan, cara berkesan untuk membuka semula saluran darah yang tersumbat ialah dengan menggunakan kaedah koronari angioplasti.

Kaedah rawatan ini ialah dengan memasukkan belon dan stent melalui saluran darah di tangan atau di peha untuk membuka semula saluran darah koronari yang tersumbat atau yang mengalami penyempitan.

INOVASI PROSEDUR CAD

Di PPUM misalnya, rawatan angioplasti bagi pesakit jantung koronari pertama kali dilakukan pada tahun 1984. Setelah 30 tahun, rawatan ini mengalami perubahan yang sangat pesat.

Daripada sekadar menggunakan belon sahaja untuk meluaskan saluran jantung, kini rawatan diperluas menggunakan stent yang berteknologi tinggi. Kemajuan stent ini juga semakin meningkat dari semasa ke semasa.

"Dari bare metal stent, ia beralih kepada stent yang mempunyai ubat untuk mengurangkan risiko penyempitan semula," kata Dr Wan Azman.

Stent yang mempunyai ubat terus ditambahbaik sehinggalah stent generasi baharu yang sangat efektif. Malah ia mempunyai risiko komplikasi yang sangat rendah.

Terkini, satu lagi evolusi yang berlaku dalam kaedah rawatan angioplasti adalah dengan menggunakan stent yang hancur sendiri setelah 2 atau 3 tahun dipakai oleh pesakit. Teknologi ini dikenali sebagai Bioresorbable Vascular Scaffold (Absorb).

Pemasangan Absorb sama seperti prosedur belon angioplasti yang akan memasukkan tiub gegelung bukan logam beserta belon angioplasti ke dalam saluran darah, yang telah sempit.

Ia kemudian diimplan di arteri sebelum larut secara perlahan setelah arteri yang tersumbat dapat berfungsi dengan biasa dan terbuka dengan sendiri.

"Ia akan larut selepas sesuatu tempoh setelah bertindak dengan unsur-unsur yang terdapat di dalam badan iaitu air (H20) dan karbon dioksida (C02)," jelas beliau.

CAD BUKAN PENYAKIT LAZIM

"Rawatan CAD telah menjadi prosedur rawatan yang semakin lazim. Hingga ia disalah anggap sebagai penyakit yang biasa. Walaupun rawatan CAD mengambil tempoh yang singkat, ia tetap mempunyai risiko serta komplikasi. Cara terbaik ialah melakukan perbincangan dengan doktor yang merawat," kata Dr Wan Azman.

Risiko yang terbabit adalah lebih tinggi ke atas wanita, warga emas yang berusia 75 tahun dan ke atas pesakit yang menghidap penyakit buah pinggang atau diabetes, atau pesakit yang menghidap penyakit saluran darah yang serius.

Selepas prosedur dijalankan, kebanyakan pesakit akan bermalam di hospital bagi pemantauan dan akan pulang pada hari yang seterusnya.

Mereka akan dinasihatkan mengambil ubat-ubatan sepanjang waktu pemulihan dan sebarang rawatan susulan.

CEGAH

Mengakui masih ramai yang bersikap sambil lewa dengan gejala ini, Dr Wan Azman memberitahu pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan sejak bertahun-tahun lamanya bagi menyedarkan orang ramai mengenai CAD.
Menurut beliau, nilai sebuah jantung yang sihat terlalu tinggi untuk disia-siakan.Ramai yang menganggapnya sebagai masalah biasa kerana terlalu ramai yang menghidapnya di negara ini.

Setiap individu yang berisiko perlu mengambil langkah pencegahan. Cara terbaik adalah dengan mengubah gaya hidup seperti aktif dan juga mengawal pemakanan.

"Pertama sekali kita kena tahu adakah kita berisiko tinggi atau tidak. Buatlah pemeriksaan dan sekiranya anda berisiko, doktor akan mengesyorkan kaedah-kaedah terbaik dan bersesuaian sebagai langkah pencegahan," saran beliau.

Apa yang perlu difahami oleh orang ramai ialah apabila diserang CAD, hanya 50 peratus sahaja yang selamat. Selebihnya akan meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke hospital.

"Ketika itu barulah nilai sebuah jantung itu dirasakan sangat-sangat berharga," ujarnya.

Beliau sekali lagi menekankan betapa pentingnya setiap individu mengambil tahu mengenai CAD, apa dan bagaimana tindakan yang perlu diambil jika diserang CAD.

Juga mengambil tahu hospital atau pusat perubatan yang menyediakan prosedur intervensi CAD serta rawatan-rawatan terkini yang berkaitan.

19/10/15

KANAK-KANAK DAN GAJET, KEBAIKAN DAN KEBURUKAN..


Di zaman serba moden ini, teknologi ibarat nyawa kepada setiap kanak-kanak malah mereka dilihat tidak boleh berenggang walau sesaat dengan gajet.

Situasi itu bukan sahaja berlaku di luar negara tetapi di Malaysia sendiri, ia sudah menjadi budaya yang semakin berkembang sehingga menghakis nilai-nilai murni kemanusiaan.

Bunyinya agak kejam namun itu lah kenyataan yang harus diterima hari ini apabila gajet menjadi penyambung nyawa berbeza dengan kanak-kanak dulu.

Ironinya, ibu bapa sekarang lebih mudah menghadiahkan anak-anak dengan gajet termoden kononnya untuk merangsang anak-anak belajar atau pendorong supaya mereka menjadi rajin.

Menurut pensyarah Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Wan Hartini Wan Zainodin, teknologi bukanlah racun dalam masyarakat pada zaman ini memandangkan fitrahnya yang membantu dalam mempercepatkan proses kehidupan.

Namun begitu, disebabkan kekangan masa ibu bapa yang sibuk bekerja, anak-anak didedahkan dengan teknologi tanpa mengambil kira batasan.

“Ia sebenarnya tidaklah salah kerana berkaitan dengan perkembangan minda namun apa yang dibimbangkan adalah apabila tiada pemantauan daripada ibu bapa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Wan Hartini berkata, ibu bapa perlu sedar bahawa kanak-kanak belum matang berfikir mengenai kesan negatif sebaliknya mereka hanya tahu berseronok untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Garis panduan
Dalam keluarga, ibu bapa seharusnya menyediakan jadual dan membuat garis panduan untuk memantau aktiviti anak-anak mereka.

Pembahagian masa dan jadual perlu dipraktikkan ibu bapa supaya anak-anak dapat belajar menyeimbangkan masa untuk bermain serta belajar.

“Sekiranya anak-anak diajar untuk mendisiplinkan diri mengikut apa yang digariskan untuknya, tidak timbul soal penyalahgunaan teknologi,” ujarnya.

Berikutan situasi yang dilihat semakin melemahkan sistem komunikasi kekeluargaan, Wan Hartini memberitahu, sudah tiba masa perlu ada garis panduan khusus terhadap penggunaan teknologi dalam kalangan kanak-kanak.

Mengambil contoh di Taiwan, terdapat undang-undang yang menghalang ibu bapa memberi gajet kepada kanak-kanak di bawah usia dua tahun manakala melarang mereka berusia 18 tahun ke atas menggunakan barang elektronik dalam tempoh masa panjang.

Di negara tersebut, mereka menekankan penggunaan teknologi selama 30 minit bagi mereka berusia 18 tahun ke atas.

Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mengawasi anak-anak yang menggunakan teknologi kerana golongan remaja memang tidak mengetahui kesan negatif akibat penggunaan yang terlalu lama.

Anak-anak akan kurang berinteraksi dengan orang sekeliling termasuk ibu bapa malah kemahiran belajar mereka hanya tertumpu kepada visual berbanding auditori.

“Ini akan memberi kesan kepada pembelajaran kerana sukar bagi mereka menumpukan perhatian jika tidak melihat sesuatu visual. Selain itu, pertuturan dan perkembangan bahasa tidak dapat dikuasai dengan baik,” jelasnya.

Namun apa yang lebih membimbangkan apabila ia turut memberi kesan negatif terhadap kesihatan kanak-kanak kerana penggunaan gajet yang keterlaluan boleh menyebabkan berlaku gangguan motor halus iaitu dari segi pergerakan jari yang tidak berkembang.

Menurutnya, ia akan menyebabkan kanak-kanak kurang cergas dalam aktiviti fizikal.

Bagi memastikan penggunaan teknologi itu memberi implikasi positif, ibu bapa perlu menetapkan isi kandungan bersesuaian supaya mereka memang belajar sekali gus memberi perkembangan kognitif.

Elakkan kandungan yang menyebabkan anak-anak mudah terpengaruh terutama kanak-kanak bawah umur seperti permainan ganas kerana ia memang merangsang minda kanak-kanak untuk mencuba.

“Paling penting, setiap penggunaan gajet itu memberi manfaat terutama dalam aspek akademik memandangkan banyak aplikasi yang mengajak pengguna untuk mencabar minda seperti permainan silang kata atau kuiz matematik,” katanya.

13/10/15

SEJAUH MANA BAHAYA KANSER KOLOREKTAL


Sembelit yang teruk, hilang selera makan sehingga menyebabkan berat badan turun mendadak, kembung dan keluar darah dari dubur. Jika anda mempunyai salah satu daripada tanda ini, anda sepatutnya segera membuat pemeriksaan di hospital bagi melakukan saringan awal kanser kolorektal.

Walaupun ia berada dalam kumpulan kanser yang tidak popular, setiap tahun berlaku peningkatan dalam jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan sehingga ia dicatatkan sebagai kanser utama lelaki dan kedua paling banyak membabitkan wanita di negara ini.

Menurut Pakar Bedah Am Hospital Pusrawi Dr Syed Anees Ahmad, kanser kolorektal atau kanser usus berlaku pada organ penghadaman iaitu usus besar yang terletak pada bahagian bawah sistem perkumuhan.

Ia berlaku apabila sel kanser menyerang kolon dan rektum iaitu bahagian usus besar yang membantu mencernakan makanan dan membuang bahan kumuh.

Kebanyakan kes kanser kolorektal bermula daripada ketumbuhan kelompok sel bukan kanser (benign) yang digelar polip adenomatous dan dari semasa ke semasa, polip ini boleh bertukar menjadi kanser. Dalam kebanyakan kes, punca kanser kolorektal tidak dapat dikenal pasti, namun kanser ini berlaku apabila sel sihat di dalam usus mengalami perubahan.

Individu yang mempunyai genetik keluarga menghidap kanser dikatakan berisiko tinggi mendapat kanser usus. Oleh itu, golongan ini dinasihatkan membuat pemeriksaan awal pada usia 30 tahun ke atas manakala mereka yang tiada sejarah menghidap kanser sebaiknya menjalani pemeriksaan apabila usia meningkat 40 tahun.

“Daripada kajian yang dijalankan menunjukkan kanser kolorektal berpunca daripada interaksi kompleks antara faktor persekitaran dan genetik. Antara faktor persekitaran termasuk gaya hidup seperti tidak mengamalkan makanan sihat, kurang makan sayur-sayuran dan buah-buahan serta selalu mengambil daging dalam menu harian. Perokok tegar juga dikatakan berpeluang mendapat kanser usus termasuk golongan obes,” katanya.

Apa yang membuatkan individu lambat mendapatkan rawatan awal pengesanan kanser kerana kebanyakan permulaan kanser kolorektal tidak mempunyai simptom yang nyata. Mereka hanya mengalami perut kembung, selera makan berkurang sehingga berat badan turun mendadak.

“Pesakit juga biasanya mengalami simptom perubahan pembuangan air besar, sakit ketika membuang air besar dan keluar banyak lendir. Najis selalunya mengandungi banyak air dan kehilangan darah lalu menyebabkan pesakit mudah penat dan pucat,” terang Dr Syed Anees.

Oleh kerana simptom yang ditunjukkan kurang jelas dan berbeza-beza, sepatutnya individu mengambil tahu mengenai perubahan badan mereka serta segera bertemu dengan pakar. Ini bagi mengelak rawatan lambat diberikan kepada pesakit.

Jelasnya, kurang peka pada perubahan diri menyebabkan pesakit bersikap lewa dan membiarkan tanda seperti kembung, sembelit dan dubur berdarah sebagai perkara biasa.

“Apabila bertemu pakar dan membuat pemeriksaan, kanser sudah berada pada tahap empat. Apabila berada pada tahap ini sudah semestinya ia sukar dirawat dan memerlukan masa yang lama,” katanya.
Rawatan kanser kolorektal

Bagi mengenal pasti jenis kanser yang dialami pesakit, doktor biasanya mengesyorkan ujian darah pada tinja untuk memeriksa tanda awal kanser kolorektal. Sekiranya ujian pertama masih belum tepat, cara terbaik dengan melakukan kolonoskopi.

Namun berdasarkan pengalaman, kebanyakan pesakit tidak mahu melakukan pemeriksaan ini disebabkan rasa tidak selesa dan juga anggapan ia me–nyakitkan. Namun sebenarnya tidak.

Kolonoskopi ialah prosedur mengenal pasti bahagian usus pesakit menggunakan kabel gentian optik yang dipasangkan kamera pada hujungnya kemudian dimasukkan ke dalam usus besar. Ini membolehkan doktor melihat keadaan dalam usus dan mengenal pasti diagnosis yang sesuai untuk mereka.

Pada sesi yang sama, sebarang ujian atau prosedur lanjut yang diperlukan boleh diteruskan. Terdapat pelbagai sebab pesakit perlu menjalani kolonoskopi. Antaranya ialah perubahan pada tabiat pembuangan air besar seperti cirit-birit untuk masa yang lama, sembelit, pendarahan atau lendir pada najis, sakit di abdomen dan bengkak ketara di bahagian perut.

Tanda ini menunjukkan kemungkinan pesakit mengalami kanser usus, ketumbuhan kecil dalam usus besar. Oleh sebab itu, amat penting untuk pesakit menjalani kolonoskopi supaya diagnosis yang tepat boleh dibuat.

Sebelum kolonoskopi dijalankan, usus pesakit perlu dibersihkan terlebih dulu bagi membolehkan kabel gentian optik dimasukkan untuk mendapatkan imej yang jelas dalam usus besar. Pesakit juga diminta tidak mengambil makanan berserat seperti sayuran, daging atau makanan berasaskan protein, sehari sebelum prosedur dijalankan.

“Mereka diminta makan bubur, air dan jus tanpa serat sebelum ubat pembersihan usus dimasukkan. Kaedah biasa untuk membersihkan usus dengan mengambil sodium fosfat dan larutan macrogol,” katanya.

Prosedur kolonoskopi terbahagi kepada dua iaitu:

1. Diagnostik
Doktor akan melakukan prosedur ini dengan membuat penggambaran pada seluruh usus besar dan membuat pengenalan penyakit berdasarkan pemerhatian dalam usus besar misalnya kanser usus, radang usus atau kolitis.

2. Terapeutik
Terapeutik pula ialah prosedur tambahan ketika kolonoskopi diagnostik dijalankan. Apabila ketumbuhan dijumpai dalam usus besar seperti polip kolon, doktor boleh menjalankan pembedahan kecil untuk mengeluarkan ketumbuhan terbabit ketika kolonoskopi.

Ini dipanggil pembedahan buang polip atau polypectomy. Begitu juga dengan ketumbuhan dalam usus besar yang disyaki sebagai barah, pada sesi yang sama doktor melakukan biopsi sampel ketumbuhan dan menghantarnya ke makmal untuk pemeriksaan histopatologi untuk mengesahkan barah usus besar.

Dengan prosedur terapi sedia ada, ketumbuhan awal dalam usus boleh dikenal pasti dan dibuang. Prosedur ini membolehkan pesakit mendapatkan rawatan awal untuk mengelakkan ketumbuhan berlarutan menjadi barah.

Selepas melakukan kolonoskopi, biasanya pesakit mengalami rasa tidak selesa disebabkan kembung perut kerana udara terperangkap dalam usus besar, sedikit rasa sakit, dan ketidakselesaan abdomen. Ini komplikasi kecil yang boleh pulih dengan sendirinya.

Selepas menjalani kolonoskopi, sekiranya pesakit disahkan menghidap kanser kolorektal, rawatan diberikan kepada pesakit bergantung kepada tahap kanser. Ada tiga rawatan utama iaitu pembedahan, kemoterapi dan radiasi.

Pembedahan dilakukan sekiranya saiz sel kanser masih kecil, berbentuk polip dan berada pada tahap awal. Ini hanya dilakukan ketika menjalankan kolonoskopi. Namun sekiranya sel kanser merebak ke kedua-dua atau lebih bahagian usus, keseluruhan usus akan dibuang dan disambungkan hujungnya ke bawah. Sempadan tisu normal usus dan nodus limfa yang berdekatan turut dibuang bagi memastikan kanser tidak merebak.

Rawatan susulan pula bergantung kepada keadaan sama ada kemoterapi atau jika kanser berlaku pada bahagian rektum, biasanya radiasi dilakukan.

Pencegahan
Menurut Dr Syed Anees, amat penting masyarakat mempunyai kesedaran tinggi mengenai kanser kolorektal. Ini boleh dilakukan dengan mengubah gaya hidup menjadi lebih sihat. Mengamalkan diet seimbang, cuba untuk mengurangkan makanan berminyak, daging dan lemak serta melebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam menu hidangan.

Bagi individu berusia 45 tahun ke atas, amat penting menjalani pemeriksaan berkala kerana golongan ini berisiko tinggi mendapatnya. Namun begitu golongan muda juga kini semakin ramai mendapat kanser ini disebabkan faktor genetik atau sejarah keluarga terdekat yang pernah mengalaminya.

Selain itu, pemikiran orang ramai perlu ditukar supaya tidak membiarkan kanser berada pada tahap empat. Sebenarnya kanser kolorektal boleh dirawat jika mendapat rawatan awal dan pesakit boleh menjalani kehidupan seperti biasa selepas rawatan.

7/10/15

RAMAI YANG TAK TAHU AMALAN `DIET` YANG SEBENAR


Apabila menyentuh tentang soal diet, perkara yang terlintas di minda kita hanyalah pil kurus, jamu, dan ikat perut. Disebabkan itu ramai dalam kalangan kita yang dikatakan sedang ‘berdiet’ dimasukkan ke hospital gara-gara mahu menurunkan berat badan.

Memang tidak dinafikan dengan mengawal makan dan mengambil pil-pil kurus, mampu mengembalikan bentuk badan yang langsing, namun mengamalkan diet yang tidak tepat, berat badan ideal yang berjaya dicapai tidak semena-semena kembali naik malah kesihatan juga mungkin terjejas.

Menurut Perunding Diet dan Nutrisi Hospital Beacon, Gurdip Kaur, ramai yang tersalah anggap jika mahu kurus mereka tidak boleh makan. Sedangkan apabila mereka tidak mematuhi jadual pemakanan, kadar metabolisme akan turun mendadak lalu menyukarkan mereka menurunkan berat badan.

Kesalahan utama mereka yang gagal mendapatkan berat badan ideal adalah disebabkan tidak tahu cara yang betul untuk menetapkan sasaran penurunan berat badan yang realistik dan selamat.

Sebenarnya, tiada undang-undang khusus untuk menurunkan berat badan. Apa yang paling penting adalah ilmu nutrisi dan perubahan kepada gaya hidup yang sihat.

“Sokongan daripada orang sekeliling juga amat penting kerana motivasi yang tinggi amat diperlukan jika mereka serius untuk melakukannya. Jika mereka memandang rendah keinginan kita untuk menurunkan berat badan, berkemungkinan kita boleh gagal mencapai sasaran,” katanya.

Jangan elak pengambilan nasi
Ujar Gurdip, pengambilan kumpulan makanan yang salah juga banyak berlaku dalam kalangan mereka yang berdiet terutama sekali tentang pengambilan nasi.

Ramai yang mengelak untuk mengambil hidangan nasi sedangkan mereka tidak perlu berpantang 100 peratus nasi kerana makanan yang berlemak dan manisan yang akan menyebabkan kegemukan.

Akuinya, walaupun mereka tidak mengambil nasi, jika kandungan kalori di dalam badan melebihi keperluan turut akan mengganggu proses penurunan berat badan. Jelasnya, menghentikan sesuatu nutrisi seperti karbohidrat dalam pemakanan bukanlah sesuatu yang bijak dan tidak berkesan untuk jangka masa yang lama kerana nasi adalah makanan ruji orang Asia.

Katanya, satu gram karbohidrat mempunyai kadar sebanyak empat kalori sahaja berbanding lemak sembilan kalori.

Namun katanya, nasi yang mengandungi karbohidrat jika diambil berlebihan boleh membahayakan kesihatan kerana akan menukarkan kepada lemak, jadi sukatan yang dicadangkan adalah semangkuk kecil nasi bersama sayur-sayuran dan sedikit protein.

Cara penyediaan makanan juga berkait rapat dengan keperluan jumlah kalori di dalam badan. Di Malaysia, kita agak sukar untuk mengelak makanan yang bergoreng, berlemak, serta manis, sebaliknya jika diminta untuk mengambil makanan yang disediakan secara stim, kukus atau rebus, ramai yang tidak mahu.

Masakan yang dimasak juga perlu bebas lemak terutamanya santan yang banyak terdapat dalam hidangan orang kita. Santan boleh digantikan dengan susu rendah lemak atau menggunakan herba-herba seperti jintan putih, jintan manis, dan kayu manis.

“Saya sangat menggalakkan mereka yang sedang berdiet atau menjaga pemakanan agar tidak makan di luar kerana masakan yang disediakan sendiri lebih menyihatkan. Kita sendiri tahu apa bahan yang digunakan,” katanya.

Menurut Gurdip, ramai yang tidak tahu pengambilan buah-buahan secara berlebihan juga akan menyebabkan kandungan gula di dalam badan meningkat.

Namun, asalkan mereka tahu jumlah hidangan yang sepatutnya diambil, buah-buahan memang digalakkan. Sebagai contoh, sebiji epal sudah mencukupi untuk satu hidangan, manakala lapan biji buah anggur juga bersamaan dengan satu hidangan.

Menurutnya, setiap orang juga tidak boleh mengabaikan gaya hidup aktif kerana membantu mengekalkan kadar metabolisme di dalam badan.

Jika mampu, setiap orang digalakkan bersenam pada setiap hari selama 40 minit pada setiap sesi. Namun, adalah disyorkan untuk bersenam dua atau tiga kali seminggu.

“Jika tidak mempunyai masa untuk bersenam, pastikan anda aktif dalam aktiviti harian. Sebagai contoh, di tempat kerja elakkan menggunakan lif dan hanya menggunakan tangga manakala di rumah pula, sekadar mengemas rumah seperti mop lantai juga sudah dikira melakukan senaman,” katanya.

Kini ramai orang Malaysia mula mengikuti diet-diet yang diperkenalkan dan popular dari negara-negara Barat seperti diet Atkin dan diet detox, namun bukan semuanya bersesuaian serta mempunyai pro dan kontranya.

Jelas Gurdip, diet Atkin yang dikenali sebagai diet rendah karbohidrat popular diamalkan oleh golongan yang mahu kurus dengan cepat, namun sebenarnya hanya berhasil dalam tempoh jangka masa yang pendek sahaja.

Secara am, konsep diet Atkin adalah mengurangkan karbohidrat dalam diet tetapi melebihkan makanan yang tinggi dengan protein, sedangkan jumlah pengambilan protein yang disyorkan adalah satu gram bagi setiap berat manusia.

Badan kita memerlukan semua zat makanan, bukan bergantung kepada protein semata-mata. Protein akan mengambil masa yang lama untuk dicerna dan boleh memberi tekanan kepada buah pinggang.

“Mungkin ramai yang mengamalkannya namun bukan dalam tempoh masa yang lama, dan apabila keadaan itu berlaku, berat badan kembali naik kerana badan mula menerima karbohidrat,” ujarnya.

Bagi diet detox pula, adalah diet berasaskan tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, dan sayur-sayuran hijau bertujuan mencuci sistem penghadaman dan dikatakan memberi tenaga kepada sel.

Ujarnya, diet ini juga tidak digalakkan kerana tidak memberi sumber tenaga yang mencukupi. Menurutnya, detox hanya memberi kebaikan kepada mereka yang menghadapi masalah pencernaan seperti sukar membuang air besar, tetapi bukan orang yang normal.

Beliau hanya mengesyorkan diet seimbang, yang mampu membekalkan nutrien mencukupi kepada pengamalnya kerana mengandungi kesemua nutrisi diperlukan daripada semua kumpulan makanan untuk fungsi sel-sel badan, organ dan tisu.

Mengamalkan diet yang seimbang boleh meringankan masalah kesihatan termasuk masalah jantung, artritis, tekanan darah tinggi dan kolesterol.

“Badan yang seimbang dari segi mental dan fizikal memberi kecergasan dan kekuatan yang lebih, membolehkan kita menjalani kehidupan lebih panjang dan sihat,” katanya.

5/10/15

KERAP PERIKSA PAYUDARA ANDA

Pada bulan Oktober setiap tahun merupakan bulan kesedaran kanser payudara.

Kempen kesedaran mengenai pemeriksaan kanser payudara perlu terus diperluas bagi meningkatkan pemahaman orang ramai mengenai perkara berkenaan.

Pakar Bedah, Payudara dan Endokrin KPJ Damansara, Dr.Naqiyah Ibrahim menekankan orang ramai perlu tahu, ujian mamogram-3D adalah untuk pemeriksaan, bukannya rawatan.

"Maknanya kalau kita datang hospital kalau pesakit ada ketulan, doktor akan periksa sejarah  keluarganya, kebiasaannya pesakit yang mempunyai sejarah kanser ini berisiko tinggi, " jelasnya ketika ditemui .

Ujar Dr.Naqiyah lagi, ujian mamogram biasanya dilakukan kepada wanita berusia 40 tahun ke atas sementara imbasan bunyi kepada mereka di bawah 40 tahun.

"Kenapa kita tak buat dua-dua? Bukan mamogram lagi baik dari ultrasound (imbasan bunyi) atau ultrasound lebih baik dari Mamogram, Mamogram ini ada benda ia boleh nampak, ultrasound tak nampak, tetapi ada juga yang ultrasound boleh nampak dan mamogram tidak nampak," katanya.

Dr.Naqiyah berkata, wanita muda tidak digalakkan untuk melakukan ujian mamogram atas beberapa faktor tertentu.

"Kenapa kita tidak buat Mamogram ke atas perempuan yang muda? Selalunya payudara perempuan muda tisunya padat, jadi bila kita buat mamogram ia nampak putih.

"Jadi kalau ada ketulan ia akan nampak putih, apabila  putih atas putih atas mamogram ia tidak nampak terang. Sebab itu kita tidak galakkan orang muda buat mamogram," kata beliau.

Beliau turut menambah, selain pemeriksaan ujian mamogram, pihaknya juga menganjurkan taklimat mengenai kanser payudara secara aktif dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Pada bulan Oktober setiap tahun merupakan bulan kesedaran kanser payudara.
Antara kempen yang giat digerakkan termasuk pemeriksaan mamogram percuma buat wanita 40 tahun ke atas.

Kempen yang dijalankan di bawah Program Subsidi Ujian Mamogram itu merupakan inisiatif Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPKKN).

WANITA PERLU AMBIL BERAT GANGGUAN (KILANG TELUR) SISTA OVARI.


Banyak wanita menganggap sista dan endometriosis serupa. Hakikatnya, kedua-duanya merujuk penyakit pada ovari atau kilang telur. Sista pada ovari atau ketumbuhan dalam ovari yang mengandungi pembendungan cecair. Golongan wanita mengambil berat terhadap sista disebabkan kebimbangan mereka tentang kanser ovari. 


Dalam pada itu, endometriosis merupakan penyakit yang berkait dengan kehadiran tisu atau darah ditemui di kawasan luar rahim. Bagi sebahagian penghidap, tisu endometriosis ini tidak gugur semuanya menuruni pintu rahim ke luar faraj sebagai haid, tetapi masuk menembusi dinding otot rahim ataupun keluar menerusi laluan salur Fallopio ke dalam ruang pelvis atau abdomen.

Kebanyakan sista ovari ini bukanlah ketumbuhan kanser. Berita yang menggembirakan hampir semua sista ovari ini akan hilang secara spontan tanpa memerlukan rawatan. Memandangkan kebanyakan sista ovari benigna (bukan kanser), kewujudan sista ini biasanya tidaklah membimbangkan. Walau bagaimanapun, sebahagian daripada sista benigna sebenarnya memerlukan rawatan kerana tidak hilang dengan sendirinya. Malahan, terdapat beberapa kes terpencil yang telah berlaku sista benigna mampu bertukar menjadi kanser. 

Lazimnya, sista ovari tidak membahayakan serta tidak menimbulkan gejala. Sekiranya berlaku, antara gejala yang mungkin dirasai wanita termasuklah berasa sesak atau bengkak dalam abdomen dan berat badan boleh bertambah. 

Terdapat sebahagian penghidap mengalami sakit (bukan mencucuk-cucuk) dan berlaku berterusan sama ada di sebelah atau di kedua-dua belah pelvis, sakit semasa hubungan seks, haid yang tertunda, tidak teratur dan sakit. Malahan, ada penghidap yang mengalami masalah pertumbuhan bulu roma yang agak banyak sama ada di lengan, betis dan muka. 

Bagi penghidap yang mempunyai sista yang besar mungkin berisiko mengalami gejala sakit teruk yang mencucuk dalam abdomen, demam, adakalanya disertai muntah. Kemungkinan keadaan ini disebabkan oleh sista yang berdarah kerana telah pecah atau terpulas. 

Terdapat beberapa jenis sista ovari antaranya termasuklah sista fisiologikal (physiological cyst), sista folikel dan korpus luteum. Sista fisiologikal merupakan sista yang sangat lazim berlaku dan dikaitkan dengan kelainan daripada fungsi ovari yang normal. 

Contohnya, sista terbentuk apabila ovari cuba dikeluarkan seperti dalam proses pengovulan biasa yang mungkin berlanjutan antara empat hingga enam minggu. Sista ini jarang-jarang merembeskan hormon. Sista folikel dan korpus luteum pula terbentuk apabila folikel yang menghasilkan ovum di dalam ovari membesar dan dipenuhi cecair. 

Sista korpus luteum merupakan jisim tisu berwarna kuning yang terbentuk daripada folikel selepas proses pengovulan. Sista jenis ini sering timbul dan hilang setiap bulan malah sering dikaitkan dengan fungsi normal ovari. Sista yang abnormal terjadi kesan daripada pertumbuhan sel dan kebanyakannya merupakan ketumbuhan benigna. 

Dalam beberapa kes tertentu, sista boleh menjadi kanser. Sista yang abnormal memerlukan rawatan susulan. Sista dermoid ialah sista abnormal yang mengandungi pelbagai jenis tisu seperti bahan lemak, rambut, gigi, serpihan tulang dan tisu rawan. Masalah lain berkaitan sista di ovari juga mungkin disebabkan oleh sindrom ovari polisistik. 

Sista ini terjadi disebabkan timbunan sista kecil yang berganda sehingga menyebabkan berlaku ketidakseimbangan hormon. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya haid yang tidak teratur, timbulnya bulu-bulu roma di badan dan ketidaksuburan atau infertiliti. Tumor Ovari Memandangkan sista ovari biasanya tidak menunjukkan gejala, maka penting bagi wanita yang pernah mengalaminya menjalani pemeriksaan pelvis secara berkala. 

Sekiranya wanita pernah mengalami sista pada masa dahulu atau mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidap tumor ovari, pematuhan kepada pemeriksaan amat diperlukan. Wanita yang pernah mengalami sista ovari mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk dijangkiti lagi pada masa hadapan. 

Endometriosis mungkin menjadi lebih serius jika berlakunya sista ovari. Malahan, penghidapnya berisiko tinggi dan terpaksa menjalani oforektomi, iaitu pembedahan untuk membuang ovari. Dalam beberapa kes tertentu, jika berlakunya sista ovari yang maligna (kanser ovari), rawatan awal biasanya memberikan lebih jaminan untuk sembuh. 

Wanita yang mendapat sista ovari selepas putus haid lebih berisiko tinggi mengalami kanser ovari. Sehubungan dengan hal itu, amat penting bagi wanita tersebut mendapatkan nasihat doktor dengan segera jika mengalami sebarang rasa sesak, tekanan atau kurang selesa di bahagian pelvis. 

Semakin cepat sista itu dikesan dan dirawat maka semakin cerah peluang wanita untuk sembuh. Sista ovari boleh dikesan melalui pemeriksaan pelvis apabila doktor dapat merasai saiz ovari dan mengesan sebarang keabnormalan yang wujud. 

Ujian lain yang perlu dijalankan ialah ujian imbasan ultrabunyi pelvis, ujian darah dan juga mungkin prosedur laparoskopi. Imbasan ultra bunyi merupakan alat yang menggunakan gelombang bunyi untuk menghasilkan gambar atau imej organ dalaman. Satu alat khas perlu diletakkan di atas abdomen atau dimasukkan ke dalam faraj untuk mendapatkan gambaran yang jelas. 

Ujian darah bagi mengesan tumor juga perlu dilakukan jika doktor mensyaki adanya maligna. Sesetengah penghidap perlu menjalani prosedur laparoskopi, iaitu satu pembedahan kecil yang dilakukan untuk membolehkan doktor melihat struktur dalaman abdomen atau ruang pelvis. 

Rawatan bagi sista ovari ini bergantung pada saiz dan jenis sista, usia sama ada penghidap berada dalam tahun-tahun yang subur atau telah putus haid. Faktor lain yang patut dipastikan ialah keinginan penghidap untuk mendapatkan anak, tahap kesihatan keseluruhannya dan keterukan atau keseriusan gejala yang dialami. 

Sesetengah sista akan hilang begitu sahaja dalam masa satu hingga dua bulan tanpa dirawat. Sekiranya tidak sembuh, pembedahan mungkin diperlukan untuk membuang sista tersebut. Malahan, jika dapat dikesan lebih awal lagi, mungkin pembedahan kecil diperlukan untuk membuang sista tanpa melibatkan ovari. 

Terdapat juga penghidap endometriosis yang tidak bernasib baik apabila terpaksa menjalani pembedahan membuang ovari dan rahim, manakala salur Fallopio pula terpaksa dipotong. Memandangkan risiko yang serius yang terpaksa dihadapi penghidap endometriosis, beberapa langkah pencegahan perlu diberikan perhatian yang serius. 

Antara langkah tersebut termasuklah mendapatkan pemeriksaan pelvis secara berkala seperti yang disarankan oleh doktor dan mengambil ubat tahan sakit jika kesakitan ringan.

1/10/15

KETAHUI APA ITU KETUMBUHAN FIBROID DALAM RAHIM


SOALAN : Saya mengalami haid yang agak banyak sejak enam bulan kebelakangan ini dan telah berjumpa doktor. Doktor mendapati bahawa saya mempunyai fibroid. Saya ada beberapa soalan berkenaan fibroid. Adakah fibroid boleh menjejaskan kesihatan setiap individu? Siapakah yang berisiko untuk mempunyai fibroid? Bagaimanakah manifestasi bagi mereka yang mempunyai fibroid? Mohon doktor perjelaskan.

JAWAPAN : Fibroid merupakan penyakit yang berkaitan dengan rahim. Fibroid atau nama lainnya leiomyoma merupakan salah satu ketumbuhan benigna yang wujud di dalam rahim dan boleh berlaku dalam bentuk ketumbuhan tunggal atau ketumbuhan berganda.

Fibroid membesar secara perlahan-lahan di beberapa lokasi yang berbeza. Pada kebiasaannya, fibroid terjadi kepada wanita yang berusia sekitar 30-an hingga 40-an, iaitu dalam lingkungan usia subur (peringkat reproduktif) dan akan kembali mengecut (mengecil) apabila seseorang wanita itu sudah mengalami menopaus atau putus haid. Wanita yang berisiko untuk mempunyai fibroid ialah wanita pada usia subur (30 hingga 40 tahun), wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan atau indeks jisim badan melebihi 25kg/m, wanita yang mempunyai ahli keluarga yang pernah mengalami fibroid dan juga wanita yang tidak pernah melahirkan anak (nulliparous).

Ada fibroid yang mencetuskan gejala dan ada juga yang berlaku tanpa sebarang gejala. Gejala atau simptom wanita mengalami fibroid adalah berdasarkan lokasi fibroid itu sendiri. Ada sesetengah pesakit yang menghidap fibroid mengalami perdarahan yang berlebihan dan berpanjangan setiap kali mereka mengalami haid dan kadangkala mereka juga mungkin mengalami masalah ketidaksuburan atau infertiliti.

Walau bagaimanapun, fibroid biasanya tidak mempunyai gejala. Lebih kurang 80 peratus wanita tidak mengalami gejala. Hal ini menyebabkan fibroid tidak dapat dikesan. Menoragia atau perdarahan berlebihan ketika haid merupakan tanda utama yang dialami oleh wanita yang mengalami fibroid. Akan tetapi, bebas daripada tanda ini tidak bermakna kita bebas daripada fibroid dan juga sebaliknya. Bagi wanita yang menghidap fibroid dan mengalami simptom, mereka perlu dirawat untuk mengurangkan simptom yang dihadapi sama ada secara rawatan ubatan seperti pil hormon dan suntikan ataupun secara pembedahan dan sebagainya.

Secara umumnya, wanita yang berada dalam lingkungan usia subur (usia reproduktif) akan berisiko tinggi untuk menghidap fibroid. Dalam lingkungan umur ini, wanita digalakkan untuk hamil dan melahirkan anak. Hal ini demikian kerana para pengkaji menyatakan bahawa anak yang dikandung pada umur ini kurang berisiko untuk mengalami kecacatan. Selain faktor umur, wanita juga perlu menitikberatkan berat badan mereka kerana hal ini juga merupakan faktor risiko fibroid. Fibroid juga dikatakan berisiko kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga yang pernah mengalami fibroid mahupun mereka yang tidak pernah melahirkan anak.

Mengikut kajian yang telah dilakukan, apabila fibroid membesar, ia akan menekan salur darah dan menyebabkan kawasan itu tidak mendapat bekalan darah yang mencukupi. Keadaan ini menyebabkan kawasan tersebut kekurangan oksigen dan dikenal sebagai iskemia. Seterusnya, keadaan ini boleh merangsang sel-sel di sekitar kawasan itu untuk menghasilkan bahan kimia yang akan merangsang pusat kesakitan. Hal ini akan mendatangkan gejala kesakitan yang teruk pada bahagian pelvis. Selain itu, proses pengecutan oleh miometrium ketika haid untuk mengeluarkan ketulan fibroid juga akan menyebabkan kesakitan. Wanita yang menghidap fibroid akan mengalami kesakitan setiap kali waktu haid. Mereka juga akan berasa lenguh atau kurang selesa atau berasa berat (heaviness) di kawasan pelvis. Dalam keadaan tertentu, ketulan fibroid yang tersekat pada bahagian pelvis akan memberikan tekanan pada saraf di bahagian tersebut. Pesakit akan mengalami sakit di bahagian punggung dan menjalar ke bahagian bawah.

Jika fibroid berada di bahagian pangkal rahim, keadaan ini akan menyebabkan kesakitan ketika mengadakan hubungan seks (dyspareunia). Bagi wanita hamil yang mengalami fibroid, mereka juga akan berasa sakit kerana fibroid menjadi tegang dan tertekan. Di samping itu, fibroid akan mengalami proses perubahan yang dinamakan degenerasi. Proses inilah yang menyebabkan kesakitan bagi wanita hamil yang mempunyai fibroid pada bahagian rahim.

Tekanan
Fibroid yang membesar kebiasaannya akan memberikan tekanan pada organ yang berada di sekitar rahim (uterus), iaitu pundi kencing dan hujung usus (rektum). Akibatnya, seseorang wanita akan mengalami masalah kencing seperti kerap kali hendak kencing, sering kali tidak dapat mengawal kencing dan kadang-kadang mereka akan mengalami kesukaran untuk kencing. Jika hal ini berterusan, air kencing akan bertakung di dalam pundi kencing dan akan menyebabkan seseorang wanita itu berisiko untuk mendapat jangkitan kuman pada pundi kencing. Apabila berlaku jangkitan kuman pada pundi kencing, wanita itu akan berasa pedih atau sakit ketika kencing. Apabila fibroid menekan pada usus pula, ia akan menyebabkan simptom seperti sembelit atau sukar untuk membuang air besar.

Pembesaran Rahim dan Perut
Jika fibroid cukup besar, ia akan menyebabkan pembesaran pada saiz rahim dan juga perut. Seseorang wanita itu akan kelihatan buncit di bahagian bawah perut. Perlu diingatkan bahawa keadaan ini bukan disebabkan oleh penambahan berat badan yang ketara.

Keguguran
Ketumbuhan fibroid juga boleh menyebabkan keguguran kandungan. Hal ini bergantung pada saiz fibroid dan lokasinya. Jika fibroid besar dan berada dalam rongga rahim, ia akan mengubah dinding rahim dan seterusnya mengganggu proses penempelan embrio (janin). Oleh itu, wanita itu akan mengalami keguguran pada awal kandungan lagi. Walau bagaimanapun, tidak semua fibroid akan mengganggu kehamilan dan menyebabkan keguguran.

Infertiliti
Mengikut kajian yang dilakukan, fibroid mempengaruhi infertiliti sebanyak lebih kurang lima peratus sahaja. Infertiliti yang terjadi pada wanita yang menghidap fibroid bukan disebabkan oleh fibroid semata-mata. Hal ini demikian kerana mengikut kajian yang dilakukan, fibroid tidak mengganggu proses pengovulan (ovulasi).

Jadi, wanita yang mempunyai fibroid tidak semestinya mengalami kesukaran untuk hamil. Ada kalanya, jika kesukaran untuk hamil berpunca daripada fibroid itu sendiri, hal ini mungkin disebabkan oleh saiz fibroid yang besar dan menyekat salur Fallopio. Jadi, ovum (telur) yang melalui salur Fallopio itu tidak dapat berjumpa dengan sperma (benih lelaki) dan dengan itu persenyawaan tidak dapat berlaku.

Selain masalah kesuburan, bagi wanita yang berjaya hamil, fibroid mungkin akan menimbulkan masalah sepanjang kehamilannya. Antaranya termasuklah mengganggu kedudukan bayi dalam kandungan seperti songsang, melintang dan sebagainya. Dengan itu, proses kelahiran tidak dapat berlaku secara normal. Pembedahan caesarean terpaksa dilakukan ke atas wanita tersebut. Tidak semua wanita mengalami gejala seperti yang disebutkan itu. Fibroid yang kecil tidak akan memberikan sebarang gejala dan tidak memerlukan sebarang rawatan. Akan tetapi, jika seorang wanita mempunyai salah satu simptom yang telah disebutkan itu, tidak semestinya dia menghidap fibroid.