22/07/15

BERWASPADA DENGAN JANGKITAN CACING JARUM


Masalah kecacingan adalah suatu penyakit biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Bagaimanapun, ibu bapa disarankan supaya tidak mengambil mudah dengan masalah kecacingan kerana kebanyakan kita mungkin beranggapan cacing hanya berada di dalam usus saja.

Sebenarnya, jangkitan cacing boleh berlaku di mana-mana bahagian badan seperti mata, hati, paru-paru dan salur darah. Jangkitan juga boleh berlaku melalui sentuhan pada kulit.

Sistem imun kanak-kanak yang tidak cukup kuat untuk melawan jangkitan cacing antara penyebab utama mereka mudah dijangkiti, tetapi jangkitan boleh berlaku pada golongan dewasa juga sekiranya kebersihan tidak diamalkan.

Jangkitan cacing juga boleh diperoleh daripada haiwan peliharaan anda seperti kucing atau anjing dengan hanya menyentuhnya (jangkitan melalui kulit).

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan, cacing jarum atau cacing benang ialah sejenis cacing yang sangat halus berukuran kira-kira setengah inci panjang dan tinggal di dalam usus.

Cacing jarum betina keluar dari dubur pada waktu malam dan bertelur berhampiran dengan kulit dubur. Jangkitan cacing yang disebabkan oleh cacing jarum dikenali sebagai 'enterobiasis', satu penyakit yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

Cara jangkitan
Jangkitan berlaku apabila kanak-kanak menelan telur cacing jarum. Seorang kanak-kanak mendapat telur cacing jarum melalui sentuhan dengan kanak-kanak yang dijangkiti atau melalui pakaian tidur, cadar atau persekitaran kediaman kanak-kanak lain yang dijangkiti.

Apabila dijangkiti, kanak-kanak menggaru di kawasan dubur kerana gatal.
Telur cacing jarum melekat di celah kuku. Apabila kanak-kanak makan tanpa mencuci tangan dengan sempurna, telur terbabit akan masuk melalui mulut dan menjadi cacing dewasa dan tinggal di dalam usus.

Kebanyakan kanak-kanak tidak mendapat sebarang tanda dan gejala, namun ada juga kanak-kanak yang mengalami kegatalan di sekeliling dubur dan faraj. Komplikasi yang biasa berlaku adalah tempat yang digaru itu mungkin terdedah kepada jangkitan bakteria.

Ibu bapa boleh mengetahui bahawa anak mereka dijangkiti cacing jarum apabila terdapat cacing di dalam najis anak.

Telur cacing jarum dapat dilihat melalui pemeriksaan di bawah mikroskop dengan cara melekatkan pita pelekat pada kawasan dubur anak dan menanggalkannya semula. Telur cacing jarum melekat pada pita terbabit.

Kaedah rawatan
- Satu dos ubat Albendazole atau Mebendazole diberikan dan diulang selepas dua minggu.
- Rawatan ini perlu diberikan untuk semua ahli keluarga.
- Sapukan jeli petroleum di kawasan yang gatal untuk menghilangkan kegatalan (di sekeliling kawasan dubur atau faraj).
- Cadar dan pakaian yang digunakan perlu direbus dan dibasuh dengan air panas dan bahan pencuci untuk menghapuskan telur cacing jarum.
- Penyakit ini sebenarnya boleh dicegah dengan mengamalkan kebersihan menyeluruh. Selain itu, anak perlu mandi dengan kerap selain menggunakan cadar, pakaian dalam dan pakaian tidur yang bersih.
- Basuh tangan dengan sempurna selepas ke tandas dan sebelum menyediakan makanan.


13/07/15

BAHAYA PARASIT BAWAAN KUCING TERHADAP IBU MENGANDUNG

TOKSOPLASMOSIS mudah menjangkiti ibu hamil dan bayi dalam kandungannya.

Ramai yang beranggapan penyakit toksoplasmosis atau lebih dikenali sebagai penyakit bawaan kucing hanya menjangkiti golongan pembela kucing saja, namun hakikatnya penyakit ini boleh menular kepada sesiapa saja.

Toksoplasmosis adalah penyakit yang disebabkan sejenis parasit di dalam sel yang dikenali sebagai toxoplasma gondii (T.gondii). Parasit ini pada asalnya hanya menjangkiti haiwan tetapi kemudian ia mampu menular kepada manusia.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi Makmal Perubatan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi MARA kampus Puncak Alam Dr Tunku Shahrul Anuar Tunku Ahmad Basri, kucing dan keluarganya (Felidae) berperanan sebagai perumah definitif manakala kebanyakan haiwan berdarah panas termasuk mamalia dan manusia adalah perumah perantara bagi per­kembangan parasit ini.


Menurutnya, T. gondii terdapat dalam tiga bentuk iaitu oosista (berisi sporozoit), takizoit dan sista tisu (berisi bradizoit).

“Sista tisu ini mampu berada dalam tubuh manusia seumur hidupnya dan boleh dijumpai terutama di bahagian otak, otot jantung, mata dan hati.

“T. gondii adalah satu daripada parasit yang menjangkiti hampir 25 peratus daripada populasi dunia. Berdasarkan pemeriksaan serologi yang dilakukan ke atas penduduk Malaysia yang sihat, sebanyak 30 hingga 40 peratus daripada mereka mempunyai antibodi yang positif terhadap parasit ini.

“Apabila seorang ibu hamil mendapat jangkitan T. gondii buat pertama kali, risiko untuk terjadinya toksoplasmosis kongenital pada bayi yang dikandungnya adalah tinggi,” katanya.

Dr Tunku Shahrul Anuar yang juga Ahli Persatuan Parasitologi dan Perubatan Tropika Malaysia berkata, seekor kucing yang dijangkiti T.gondii mampu untuk mengeluarkan jutaan oosista dalam najisnya.

“Oosista ini dapat bertahan selama satu tahun di dalam tanah yang lembap dan teduh.

“Manusia boleh dijangkiti parasit ini dengan pelbagai cara manakala bagi toksoplasmosis kongenital, penularan T.gondii kepada bayi melalui plasenta apabila ibunya dijangkiti buat pertama kali ketika hamil,” katanya.


Penularan boleh berlaku akibat:
1. Makan sayur-sayuran atau buah-buahan yang tercemar dengan oosista.
2. Mempunyai hubu­ngan langsung dengan najis kucing (yang mengandungi oosista) seperti menyentuh tangan dalam mulut selepas berkebun atau membersihkan najis kucing.
3. Makan daging mentah atau separuh masak yang mengandungi sista tisu.
4. Menggunakan perkakas atau papan pemotong yang belum dibersihkan selepas bersentuhan dengan daging mentah (yang mengandungi sista tisu).
5. Pemindahan organ atau darah daripada individu yang sudah dijangkiti dengan T. gondii (peringkat takizoit).

Menurut Dr Tunku Shahrul Anuar, kebanyakan mereka yang dijangkiti toksoplasmosis tidak menunjukkan gejala spesifik.

“Gejala klinikal yang sering dijumpai pada kebanyakan pesakit seperti demam, selesema, limfa membengkak, sakit otot serta sendi berpanjangan.

“Tetapi gejala ini akan menjadi lebih kronik kepada penghidap HIV atau AIDS dan individu yang menjalani rawatan kemoterapi serta penerima pemindahan organ.

“Pada masa sama, kesan toksoplasmosis terhadap ibu hamil dan bayi dalam kandungan ternyata lebih serius,” ujarnya.

Menurutnya, T. gondii boleh menyebabkan keguguran spontan, kelahiran bayi pramatang atau kematian bayi di dalam kandungan.

“Selain itu, parasit ini juga boleh menyebabkan kelahiran bayi dalam keadaan abnormal atau disebut sebagai kelainan kongenital seperti hidrosefalus (kepala membesar), mikrosefalus (kepala mengecil), retardasi mental (gangguan kecerdasan), kelainan saraf mata (korioretinatis) dan kelainan sistemik seperti pembesaran hati dan limfa (hepatosplenomegali).

“Diagnosis toksoplasmosis pula dapat dilakukan dengan pemeriksaan serologi terhadap antibodi Toxoplasma (IgG dan IgM) menggunakan ‘enzyme-linked immunosorbent assay’ (ELISA).

“Ujian TORCH juga disarankan untuk dilakukan pada ibu hamil di trimester pertama kehamilan bagi mengetahui kemungkinan adanya jangkitan toksoplasma, rubela, cytomegalovirus, herpes dan HIV,” katanya.

Antara langkah pencegahan yang dapat diambil bagi mengurangkan risiko toksoplasmosis adalah seperti:
1. Membasuh tangan sebelum mengendalikan makanan
2. Menggunakan sarung tangan ketika berkebun atau mencuci najis kucing
3. Membasuh dengan teliti buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak perlu dimasak
4. Mengelakkan pemakanan daging mentah atau separuh masak.

Menurut Dr Tunku Shahrul Anuar, bagi individu yang memelihara kucing perlu pastikan kucing kesayangan itu menjalani pemeriksaan berkala oleh doktor haiwan.

“Jangan beri kucing anda makan daging mentah terutama untuk kucing yang dipelihara di rumah. Apa yang lebih penting, elak memelihara kucing ketika hamil ­sekiranya langkah ini sukar dilakukan bagi memastikan tidak berlaku sebarang masalah kesihatan membabitkan bayi yang dikandung itu,” katanya.

12/07/15

KETAHUI KESAN MAKAN MAKANAN PEDAS TERHADAP KESIHATAN KITA


Bagi anda yang sukakan makanan pedas, pasti akan rasa kekurangan atau ‘tidak puas’ makan tanpa ada sambal atau makan pedas lain. Tapi bagaimana untuk anda penuhi selera ketika Ramadan?

Persoalannya, bagaimana kesan kepada kesihatan apabila mengambil makanan pedas ketika perut kosong sama ada waktu berbuka atau bersahur?

Difahamkan, cili mengandungi banyak nutrisi dan serat lain seperti vitamin C dan A, mineral dan antioksidan. Rasa pedas tercetus daripada kandungan ‘capsaisin’ yang ada pada cili.


Cetus rasa
Manfaat capsaisin sendiri difahamkan dapat meningkatkan nafsu makan selain mampu membantu mengurangkan sakit kepada.

Menurut pakar kesihatan bahagian Gastroenterologi Penyakit Dalaman Indonesia, Dr Ari Fahrial Syam menjelaskan, individu yang tidak mempunyai masalah dengan pencernaan boleh makan makanan pedas waktu bersahur dan berbuka, tetapi bukanlah dalam kuantiti berlebihan.

“Cili dapat membantu membuang air besar yang kadangkala sukar bagi kita ketika berpuasa. Kesukaran ini disebabkan oleh kekurangan aktiviti pergerakan tubuh dan kurang minum air.

“Mungkin tidak ramai yang tahu, ada kalanya rasa sakit kepala akan berkurang jika kita makan makanan pedas. Namun perlu tahu, elakkan makan cili berlebihan atau jangan makan jika kita ada masalah pencernaan,” katanya.


Akibat berlebihan
Dijelaskan, pengambilan makanan pedas berlebihan akan merangsang rasa pedih perut dan bagi individu berkaitan, mungkin akan terdedah kepada cirit- birit.

Makan cili berlebihan akan menyebabkan rasa kurang selesa sekiranya ingin membuang air besar dan kemungkinan terjadinya pendarahan.

“Kita tahu, cili adalah makanan kegemaran sebahagian besar rakyat Malaysia dan banyak manfaat kepada kesihatan. Namun sepanjang puasa, kita perlu lebih berhati-hati dalam setiap makanan diambil memandangkan perut ‘diuji’ dengan aktiviti berpuasa,” katanya.

Penulis tahu ada antara kita yang tidak berselera jika tiada makanan pedas dihidang, tetapi sepanjang Ramadan tidak salah untuk kita kurangkan untuk keselesaan kesihatan sendiri.

Untuk elakkan sebarang masalah kepada sistem pencernaan dan tubuh, hadkan pengambilan makanan pedas dengan sebaik-baiknya.

7/07/15

JANGAN AMBIL RINGAN GEJALA SEMBELIT


Hampir semua orang pernah mengalami masalah sembelit pada waktu tertentu. Ia mungkin berpunca daripada kesan perjalanan jauh disebabkan urusan kerja mahupun bercuti, tekanan, kekurangan serat dalam diet, senaman atau pelbagai akibat lain.

Statistik menunjukkan 12 hingga 19 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah sembelit. Walaupun sembelit adalah masalah biasa yang dialami keba­nyakan orang, ia kurang diambil perhatian dengan menjalani rawatan sepatutnya bagi mengelakkan masalah berkenaan berulang.

Gejala sembelit
Menurut wakil Hal Ehwal Perubatan Bahagian Penjagaan Kesihatan Asia Tenggara dan Korea Selatan SEASK Boehringer Ingelheim Dr Sunita Derksen, sembelit adalah satu gejala dan bukan penyakit.

“Ia berlaku apabila individu itu mengalami kesukaran atau kekerapan membuang air besar yang berkurangan. Setiap orang pernah mengalami sembelit dalam kehidupan mereka dan selalunya ia disebabkan amalan pemakanan yang kurang baik.

“Ketika makanan bergerak menerusi kolon, ia akan menyerap air ­daripada makanan yang diambil ketika membentuk bahan buangan atau najis.

“Pengecutan otot pada kolon akan menolak najis ke rektum (bahagian akhir pada usus besar). Selepas najis sampai ke rektum, ia menjadi keras kerana kebanyakan air sudah diserap,” katanya.

Sembelit berlaku apabila kolon menyerap terlalu banyak air atau jika otot kolon mengecut secara perlahan atau lembap menyebabkan najis bergerak terlalu perlahan.

Akibatnya, najis menjadi keras dan kering. Sembelit boleh berlaku disebabkan kekurangan serat dalam diet dan aktiviti fizikal terutama dalam kalangan warga tua.

Selain itu, ia juga boleh disebabkan sindrom gang­guan ketika pembuangan air besar, perubahan dalam kehidupan rutin seperti mengandung, penuaan dan pengembaraan serta gemar menahan membuang air besar.

Sembelit yang berpanjangan dan serius mungkin boleh menyebabkan buasir yang disebabkan kekerapan menahan untuk membuang air besar atau anal fissures (koyakan pada kulit di sekeliling anus).

Ia berlaku disebabkan najis yang keras meregangkan otot sphincter. Kesannya, pendarahan rektum mungkin berlaku yang menyebabkan darah kelihatan di permukaan najis.

Biarpun sembelit dianggap masalah biasa yang berlaku dalam kalangan kebanyakan orang, ia kurang diambil perhatian kerana terdapat mitos dan salah faham mengenai masalah berkenaan.

“Ini termasuk salah faham mengenai penggunaan ubat laksatif. Satu kajian baru-baru ini ditaja oleh Dulcolax, menunjukkan bahawa mitos ini tidak berasaskan bukti.

“Terdapat banyak mitos mengenai penggunaan laksatif termasuk kepercayaan bahawa ia boleh mengakibatkan ketagihan. Tiada asas kukuh dari segi farmasi mengenai ­ketagihan laksatif walaupun kadang kala ia mungkin disalahgunakan,” katanya.

Rawatan mudah
Sementara itu, Ketua Penjagaan Kesihatan ­Peng­guna Malaysia dan Singapura Boehringer Ingelheim Carmenza Alarcon berkata, laksatif membantu mempercepatkan pergerakan bahan buangan (najis).

“Pada masa sama, ia turut membantu merangsang otot usus dan melembutkan bahan buangan di dalam usus sekali gus melancarkan proses pembuangan.

“Pengambilan tablet yang lembut pada perut hanya bertindak apabila diperlukan selain membantu memberi kelegaan ketika mengalami masalah sembelit,” katanya.

Turut hadir pada sesi bual bicara berkenaan, pelakon tempatan, Yasmin Hani dan pakar kecergasan serta kesihatan, Kevin Zahri.

Untuk mendapatkan panduan berguna mengenai gejala sembelit, layari https://www.myconstipationrelief.com.my.

Fakta:
Dalam banyak kes, terdapat panduan mudah yang boleh membantu mengurang­kan masalah sembelit seperti:

- Makan pelbagai jenis makanan. Makan banyak kekacang, bijirin penuh, buah segar dan sayuran.

- Minum banyak air.

- Lakukan senaman secara berkala.

- Jangan menahan atau menangguhkan jika mahu membuang air besar.

- Tabiat membuang air besar yang normal adalah berbeza mengikut individu.

- Sekiranya tabiat membuang air besar berubah, dapatkan pemeriksaan doktor.

Mitos mengenai laksatif dan sembelit
1. Mitos: Makanan kaya serat dapat mencegah sembelit.
Fakta: Kadangkala tabiat pemakanan yang kaya serat dapat membantu mencegah sembelit untuk individu sihat.Namun, peningkatan pengambilan serat boleh memburukkan keadaan bagi individu
yang mengalami sembelit serius.

2. Mitos: Peningkatan pengambilan cecair dapat melegakan sembelit.
Fakta: Tiada bukti yang menunjukkan pengambilan cecair yang tinggi dapat merawat sembelit kecuali untuk kes sembelit yang disebabkan penyahhidrasi yang serius.

3. Mitos: Kurang bersenam boleh menyebabkan sembelit.
Fakta: (Kadangkala) Walaupun gaya hidup kurang aktif boleh menyebabkan atau memburukkan sembelit dalam kalangan warga tua, ada faktor lain yang turut ­menyumbang kepada masalah berkenaan seperti ubat dan tabiat pemakanan.

4. Mitos: Wanita kerap mengalami sembelit sebelum mengalami kitaran haid.
Fakta: (Kadangkala) Hormon berperanan kecil dalam masalah sembelit, namun bagi sesetengah wanita kekerapan ­untuk ke tandas dipengaruhi kitaran haid mereka.

5. Fakta: Wanita hamil kerap mengalami sembelit. Ini disebabkan hormon kehamilan yang boleh mengurangkan kelajuan pergerakan makanan dan sisa dalam usus sekali gus menyebabkan sembelit.

6. Mitos: Ubat julap membantu dalam penurunan berat badan.
Fakta: Mengambil ubat julap tanpa keperluan hanya akan mengakibatkan badan kehilangan cecair dan garam.

7. Mitos: Bergantung kepada ubat julap adalah satu kemungkinan.
Fakta: Walaupun sesetengah invidiu yang mengalami sembelit kronik kerap memerlukan ubat julap untuk membantu melancarkan pembuangan najis, tiada kemungkinan pengambilan dos yang disyorkan boleh menyebabkan ketagihan.