27/01/15

MASALAH "REGUGITASI" PENYUSUAN TERHADAP BAYI

BAYI akan meragam jika tidak sedap perut atau kembung.

Keadaan bayi yang baru dilahirkan kerap mengalami masalah ketika proses penyusuan (regugitasi) seperti batuk semasa menyusu, memuntahkan susu yang diminum, masalah pernafasan dan tidak selesa selepas menyusu amat membimbangkan ibu bapa serta menimbulkan keresahan.

Bagaimanapun, situasi berkenaan fenomena biasa dinamakan refluks gastroesofagus (GER) iaitu asid perut menolak makanan atau minuman dalam perut ke atas iaitu ke arah saluran esofagus yang juga tiub menghubungkan mulut ke perut.

Keadaan itu disebabkan pencerut esofagus (sphincter) atau otot di bahagian bawah esofagus yang menguncup dan mengembang bagi mencegah asid perut tertolak ke atas di kalangan bayi berumur setahun ke bawah masih lemah kerana belum matang sepenuhnya.

Masalah ini biasa berlaku dialam kalangan bayi yang diberi susu formula dalam botol berbanding bayi yang menyusu badan.

Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Pediatrik, Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Nazrul Neezam Nordin berkata esofagus adalah saluran yang membawa makanan dan minuman ke dalam perut de­ngan bantuan dua otot iaitu pe­ncerut esofagus atas dan pencerut esofagus bawah.

"Namun, otot penting yang menghalang isi perut mengalir semula ke atas dan memasuki saluran esofagus adalah pencerut esofagus bawah yang terletak di bahagian pangkal esofagus yang bersambung de­ngan bahagian atas perut.

"Pencerut­ esofagus bawah akan mengembang sema­sa menelan makanan atau minuman dan akan menguncup sebaik proses menelan berhenti serta perut mulai penuh supaya makanan dan minuman itu tidak tertolak semula ke dalam esofagus.

"Bagi bayi pencerut esofagus bawah tidak berfungsi dengan baik kerana belum mencapai kematangan sehingga menyebabkan masalah regugitasi yang juga dipanggil refluks fisiologikal," katanya.

Menurutnya, refluks atau aliran ke belakang asid perut di kalangan bayi turut berlaku apabila bayi berkenaan terlebih diberikan makanan atau minuman menyebabkan perut tidak dapat menampung lebihan itu dan memaksa keluar menerusi pencerut esofagus bawah .

"Keadaan ini boleh diterjemahkan apabila bayi mengalami regugitasi yang berulang semasa me­nyusu atau selepas menyusu. Ketika regugitasi biasa, bayi akan mengeluarkan susu belum hadam dalam jumlah yang sedikit.

"Berbanding dengan muntah-muntah ia adalah masalah yang serius apabila bayi memaksa isi perutnya yang sudah hadam keluar dengan banyak dan laju.

"Bayi yang mengalami refluks fisiologikal juga kekal sihat dan ceria walaupun beberapa kali mengalami episod refluks dalam sehari," katanya.

Namun, refluks boleh menjadi lebih buruk dan menyebabkan regugitasi bercampur darah disebabkan kecederaan pada lapisan esofagus akibat terjejas dengan isi perut yang berasid.

Lapisan esofagus yang tercedera itu juga menjadi punca bayi terganggu secara tiba-tiba, menangis dengan kuat dan meleng­kungkan tubuh sebagai tanda tidak selesa kerana kesakitan dalam perutnya.

"Komplikasinya, bayi berisiko mengalami anemia yang disebab­kan kehilangan darah berulang-kali daripada lapisan esofagus yang cedera. Malah, proses pertumbuhan berat badan juga terganggu kerana bayi tidak mahu makan atau minum.

"Oleh itu, jika bayi menunjukkan gejala refluks ibu bapa perlu membawa anak mereka mendapatkan pemeriksaan doktor bagi memastikan ia adalah refluks fisiologikal atau masalah lain yang lebih serius," katanya.

Dr Nazrul Neezam berkata, bayi yang mengalami refluks fisiologikal boleh dirawat hanya dengan beberapa langkah mudah bagi melancarkan proses menyusu sekali gus mendapat khasiat diperlukan untuk kekal sihat.

"Tegakkan sedikit kepala bayi ketika menyusu dengan anggaran 45 darjah dan kekalkan posisi yang sama untuk lebih kurang 30 minit selepas penyusuan kerana tekanan graviti akan membantu isi perut mengalir ke bawah.

"Jangan terlebih memberi susu atau makanan. Doktor akan memberi anggaran berapa ba­nyak susu diperlukan bayi dalam sehari. Masalah terlebih memberi susu jarang berlaku di kalangan bayi yang menyusu badan kerana mereka akan melepaskan puting selepas kenyang.

"Elakkan memakaikan bayi dengan pakaian yang ketat terutama yang mempunyai getah elastik kerana ini akan menambah tekanan kepada perut yang mampu menyebabkan episod refluks," katanya.

Ibu bapa juga boleh menggunakan susu formula dengan anti regugitasi bagi me­ngatasi masalah terbabit. Menyusu badan adalah cara terbaik kerana susu ibu me­ngandungi bahan yang merangsang pembersihan cepat isi perut yang boleh mengurangkan episod refluks.

Bayi yang diberi susu formula tetapi masalah refluksnya tidak menunjukkan perkembangan baik walaupun selepas diberi rawatan perubatan mungkin memerlukan pemeriksaan lanjutan.

Ini kerana, terdapat kajian yang me­ngaitkan masalah refluks itu dengan alahan protein susu lembu.
"Refluks fisiologikal di kala­ngan bayi akan mula berkurangan sebaik usia mereka mencecah setahun. Bagaimanapun, bayi de­ngan reflks yang serius mengambil masa lebih lama untuk pulih," katanya.

23/01/15

MENGAPA SI KECIL ALAMI MASALAH PERTUTURAN


Ramai ibu bapa teruja ketika kali pertama si kecil mula bercakap. Walaupun masih pelat dan menggunakan separuh perkataan saja, ia cukup menggembirakan hati ibu bapa.

Menurut pakar kanak-kanak Wiess, Gordon dan Lillywhite (1987), apabila kanak-kanak genap usia dua tahun, sepatutnya mereka mempunyai jumlah kosa kata sekurang-kurangnya 200 perkataan. Namun bagi kanak-kanak berusia dua tahun yang masih tidak bercakap, ini adalah petanda awal kepada masalah pertuturan.

Pakar Terapi Pertuturan Ruby Speech Therapy, Sungai Petani, Kedah, Izyan Atika Abu Bakar berkata, sebaik saja ibu bapa merasakan anaknya tidak bercakap seperti rakan sebaya apabila mencecah usia dua tahun, mereka seharusnya berjumpa pakar terapi pertuturan untuk mendapatkan nasihat dan membuat penilaian.

Ini kerana sepanjang mengendalikan kes kanak-kanak berusia dua tahun, ada yang langsung tidak bercakap atau penguasaan mereka amat terhad iaitu kurang daripada 20 perkataan.

Ada pula ibu bapa memberitahu anak mereka boleh bercakap, tetapi tidak difahami butirannya iaitu bercakap dalam bahasa 'Jerman'. Ada juga yang awalnya boleh menyebut perkataan 'nak', 'mama' atau 'kakak', namun kemahiran itu hilang begitu saja.

"Ini antara masalah yang kerap dirujukkan kepada saya. Dengan perkembangan teknologi dan gajet yang diberikan kepada anak seperti i-Pad, telefon pintar dan televisyen menyebabkan ramai kanak-kanak mampu menyebut A sehingga Z dan 1 sehingga 10 dengan baik, tetapi tidak boleh memanggil mama dan ayah, apatah lagi perkataan lain yang bermakna. Malah si anak juga bijak bermain permainan dalam tablet serta tahu membuka aplikasi YouTube dan video kartun," katanya yang sering berkongsi panduan dengan pembaca menerusi rubyatika.wordpress.com.

Menurut Izyan, menonton televisyen secara berlebihan dan didedahkan dengan gajet sejak usia di bawah dua tahun sememangnya mengganggu perkembangan daya tumpuan kanak-kanak. Daya tumpuan antara kemahiran penting bagi si comel menguasai pertuturan bahasa.

Televisyen dan permainan gajet sebenarnya tidak membabitkan komunikasi dua hala. Maka ia tidak melatih kanak-kanak untuk berinteraksi. Telefon pintar tidak boleh menunggu tindak balas kanak-kanak, apatah lagi menjawab berdasarkan perkataan yang keluar daripada mulut mereka.

"Selain itu, ada juga rancangan yang tidak bersuara, tetapi hanya menunjukkan pergerakan saja. Memang kanak-kanak akan menari dan menunjukkan aksi seperti di dalam televisyen. Apabila melihat anak berjoget dan bertepuk tangan di depan televisyen, ibu bapa rasa seronok kerana merasakan anak mereka seorang yang aktif dan pintar tanpa menyedari sebenarnya anak itu tidak memberikan tindak balas secara verbal," katanya.

Ada beberapa petanda awal yang boleh dikenal pasti ibu bapa sama ada anak mereka mempunyai masalah pertuturan atau tidak. Antaranya dengan mendengar perkataan awalan seperti memanggil insan yang rapat dengan mereka (mama, ayah, abang, tok), menggunakan perkataan fungsian (tu, nak, habis, sedap), perkataan harian (makan, mandi, ambil, sakit, buat, main) serta boleh menggabungkan dua perkataan menjadi ayat mudah, misalnya adik mandi, adik nasi, makan roti, main taman dan mama punya yang biasanya membabitkan situasi menjawab soalan, meminta informasi dan membuat kenyataan.

"Namun begitu daripada segi sebutan, anak dua tahun sememangnya masih pelat dan berada dalam julat perkembangan normal kanak-kanak. Namun tidak dinafikan memang ada dalam kalangan mereka sudah mampu bercakap dengan baik dan tidak mengalami pelat yang lama dalam perkembangan bahasanya.

"Pelat yang biasa bagi anak dua tahun ialah menyebut suku kata hujung perkataan. Contohnya baju sebagai ju, mandi sebagai ndi atau sakit sebagai kit. Selain itu, bunyi huruf 's' menjadi 'c' contohnya naci (nasi) dan 'k' menjadi 't' contohnya matan (makan)," katanya.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan si kecil lambat bercakap. Antaranya mempunyai latar belakang sejarah dalam keluarga yang lambat bercakap, pernah mengalami sejarah kesihatan seperti sawan, lemas sewaktu kelahiran, kelahiran pramatang, mengalami sindrom tertentu seperti hiperaktif, autisme dan palsi serebral dan masalah pendengaran.

Faktor persekitaran seperti televisyen dan gajet walaupun bukan menjadi punca utama, ia menyumbang kepada perkembangan bahasa kanak-kanak dan sosial mereka.

"Namun begitu ada juga kanak-kanak autisme tahap sedikit tidak mengalami masalah lambat bercakap. Ibu bapa harus sedar masalah lambat bercakap hanyalah salah satu petanda kepada masalah ini. Selain pendengaran dan autisme, kanak-kanak yang mengalamai sawan, lemas sewaktu kelahiran, kemalangan yang membabitkan kepala, palsi serebral dan sumbing bibir lelangit juga berisiko tinggi untuk mengalami masalah pertuturan.

"Oleh itu segera bawa anak berjumpa pegawai terapi pertuturan jika anak masih tidak bercakap pada usia dua tahun atau ibu bapa boleh membawa anak untuk buat penilaian pertuturan bahasa jika merasakan yang pertuturan anak tidak seperti rakan sebaya.

"Jika pada usia empat tahun anak masih pelat atau tidak boleh bercerita, masalah ini juga perlu dirujuk dengan pakar terapi untuk penilaian," katanya.

Peranan ibu bapa
Ada banyak cara yang boleh diambil oleh ibu bapa dalam mengatasi masalah pertuturan anak mereka. Menyedari ramai kanak-kanak tidak suka dipaksa meniru perkataan yang diucapkan ibu bapa dan hanya mengangguk saja, ibu bapa boleh memulakan 'terapi' dengan bermain bersama anak.
Dalam keadaan bermain, aktiviti bersuara dan bercakap akan menimbulkan keseronokan. Antara contoh permainan yang boleh dipraktikkan adalah:

1. Permainan haiwan -Ibu boleh mereka cerita sambil bermain. Misalnya, "lembu ni cari anak dia. Dia panggil moo moo..mana baby ni.mooo." "Itik ni nak mandi.pap pap pap.gosok gigi pap pap pap.basuh kaki..pap pap pap." "Singa nak makan lembu.aum aum.makan lagi aumm."

2. Mainan patung -Ambil anak patung kemudian sorokkan tangan di belakang bantal. Main secara berulang-ulang, seperti aum cak. Tetapi dalam aktiviti ini, ibu boleh menyebut nama anak. Kemudian apabila ingin me­nyorok semula ke belakang bantal, sebut 'bye'. Anda boleh membuat pelbagai aksi seperti terperanjat dengan menggeleteknya.

3. Main belon -Anda boleh diajar dengan menyebut 'pop pop pop' setiap kali belon dipecahkan. Apabila semua sudah dipecahkan, sebut perkataan 'habis'. Sekiranya anak inginkan lagi minta dia menyebut 'nak' atau 'lagi'. Ulang beberapa kali sehingga dia faham apa yang disebut.

4. Menyanyi -Biasakan menyanyikan lagu yang sama setiap hari empat hingga lima kali sehari. Kemudian anda tunggu sehingga dia menghabiskan perkataan terakhir dalam lagu itu. Contoh 'happy birthday to..' dan minta dia menyambung perkataan seterusnya.

5. Pengukuhan tahap kefahaman -Latih anak mengenal anggota badan, barang di dalam rumah, menunjuk gambar dalam buku dan mengikut arahan yang diberikan.

Selain itu ibu bapa boleh menghantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak bagi memberi peluang mereka meluaskan aktiviti sosial.

Bagi yang memberikan gajet sebagai teman setia sejak anak dilahirkan, mereka mestilah bertindak segera dengan mengurangkan atau menghentikan terus pendedahan kepada gajet. Gantikan dengan pelbagai jenis permainan yang mampu membuatkan anak melupakan televisyen atau gajet itu.

Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah, mereka mestilah dirujukkan kepada pakar terapi pertuturan untuk dibuat penilaian. Ibu bapa perlu tahu apakah jenis masalah yang dihadapi, tahap keterukan dan cara sesuai bagi mengatasi masalah ini.

Walaupun ada kanak-kanak yang akan pulih sendiri atau disebut sebagai penyembuhan spontan, ramai juga memerlukan bantuan dan dimasukkan ke program pendidikan khas. Oleh itu, pengesanan awal adalah jalan terbaik berbanding membiarkan si kecil menanggung risiko yang tidak pasti.

Izyan menjelaskan pembabitan ibu bapa dalam proses terapi adalah sangat penting. Ini kerana ibu bapa adalah insan yang bersama anak sepanjang hari. Pegawai terapi hanya meluangkan masa selama satu jam dalam masa seminggu.

"Apa yang kami lakukan adalah memberi latihan teknik kepada ibu bapa agar boleh digunakan bersama anak di rumah. Pegawai terapi juga akan memberikan cadangan aktiviti yang boleh dibuat bersama anak mengikut situasi bersesuaian.

"Walaupun kebanyakan ibu bapa bekerja, mereka tetap pulang ke rumah untuk bersama keluarga. Oleh itu amat penting berkomunikasi sewaktu bersama anak sama ada ketika makan, menguruskan anak, bermain dan sebelum tidur," katanya.

Dalam hal ini, ibu bapa perlu menggunakan teknik yang betul semasa komunikasi dengan anak. Hanya luangkan masa sekurang-kurangnya 15 minit setiap hari. Kekerapan meluangkan masa bersama anak-anak untuk aktiviti terapi adalah lebih baik berbanding masa yang lama tetapi sekali sekala saja.

Panduan merangsang anak bercakap:
1. Jika didapati anak sukar mematuhi arahan misalnya tidak memahami apa yang dikatakan ibu atau tidak melakukan apa yang disuruh segera bertemu dengan pakar pendengaran. Mungkin si kecil mengalami masalah telinga.

2. Bagi anak-anak hiperaktif, suka berlari ke sana sini dan memanjat, latih daya tumpuan anak. Caranya dengan:
a. Latih anak menerusi permainan imaginasi. Contohnya bermain masak-masak dan lihat sama ada dia boleh mengikuti setiap aktiviti permainan itu (tuang air dalam cawan, ambil sudu dan kacau, potong sayur, basuh pinggan). Dalam permainan robot misalnya perhatikan apakah anak boleh menggunakan robot dan menggayakan seperti hendak terbang, tembak dan melompat. Dengan cara melihat anak bermain, ibu bapa boleh menentukan sama ada anak dapat memberi tumpuan atau tidak.
b. Latih daya tumpuan dengan membacakan buku cerita bergambar. Ceritakan mengenai gambar itu. Perhatikan adakah anak berminat untuk mendengar cerita anda dan menunjuk kepada gambar berkaitan atau dia sekadar ingin menyelak kertas dan mengoyakkannya saja.
c. Menyanyi dan mengikut gerak tangan kaki bersama. Duduk di hadapan anak, nyanyi lagu 'bangun pagi, gosok gigi'. Latih anak tiru gaya itu. Menari ketika iklan tidak termasuk dalam latihan daya tumpuan. Ini kerana komunikasi membabitkan pandangan komunikasi antara manusia, mendengar, meniru dan mengulang bersama.

3. Dengar apa yang disebut oleh anak dan ulang sebutannya dengan perkataan yang betul. Contoh: apabila anak asyik berkata 'syik' yang bermaksud nasi, maka automatik katakan kepadanya 'nasi', 'nasi sedap.' 'nak nasi?' 'Mak masak nasi.' Kesilapan yang berlaku ialah jawapan yang selalu dibuat 'nak makan?' 'Sedap' 'nak asyik?' Sekiranya anda tidak mengulang apakah yang anak ingin perkatakan maka anda mengalami kerugian dan sekiranya anda meniru pula pelatnya, ia akan menjadi lebih susah.

4. Latih perkataan harian berbanding melatih abc atau 1,2,3. Ramai ibu bapa mengadu anak mereka boleh mengenal semua huruf dan nombor, tapi tidak boleh menyebut ibu dan ayah. Ini menunjukkan anak anda bijak dan boleh belajar jika perkataan itu sering didengarnya. Mungkin dia berada di hadapan televisyen lebih lama berbanding di hadapan ibu dan ayah. Atau sekiranya sudah duduk di hadapan ibu ayah, ibu ayah juga menyebut abc atau 1,2,3 dan bukannya perkataan harian.

22/01/15

DIDIK ANAK DENGAN TEKNIK HIPNOPSIS (PUKAU).


Mungkin ramai dalam kalangan ibu bapa pernah mendengar perkataan hipnopsis. Ada juga yang mengatakannya sebagai perbuatan pukau. Cuba bayangkan apakah yang akan berlaku sekiranya kaedah ini digunakan untuk kanak-kanak.

 Pasti anak tidak lagi degil, rajin mengaji dan mendengar arahan ibu bapa tanpa banyak soalan disebabkan minda mereka sudah dikuasai ibu bapa. Persoalannya benarkah wujudnya kaedah ini atau ia hanya cakap-cakap kosong saja?

Menurut James Braid, seorang doktor ternama di England, hipnosis ialah keadaan separa sedar yang menyebabkan seseorang kelihatan seperti tidur, tetapi masih boleh mendengar, melihat atau memahami perkara tertentu yang diajukan kepadanya.

Ia juga satu kaedah memasuki minda bawah sedar secara lisan dan memanipulasikannya mengikut kehendak yang dipersetujui kedua-dua pihak dan selalunya digunakan untuk tujuan perubatan, membuang tabiat buruk dan memulihkan trauma. Seseorang yang dihipnosis boleh menjawab pertanyaan yang diajukan serta menerima saranan tanpa bantahan.

Bayangkan sekiranya kaedah ini mampu dipelajari ibu bapa serta dipraktikkan kepada anak, pastinya usaha mereka dalam memberikan pendidikan menjadi lebih mudah dan berkesan.

Menurut Pakar Hipnotis dan Hipnoterapis bertauliah daripada Institut Penyelidikan Lanjutan Neuro di New York, Shamshilawati Abd Rahman yang juga Pengasas Annabella House of Theraphy, ramai ibu bapa tidak mengetahui mengenai kekuatan minda bawah sedar kerana 88 peratus tidak digunakan sepenuhnya.

Ia bukan kaedah pukau sebaliknya satu keadaan apabila seseorang itu menjadi sangat fokus sehingga tahap daya terima saranan meningkat sangat tinggi. Ia adalah fenomena mental semula jadi dan setiap manusia normal mempunyai kemampuan untuk mengalami hipnosis.

Menerusi kajian yang dijalankan di luar negara mendapati teknik hipnosis membawakan banyak kebaikan. Antaranya meningkatkan kepercayaan diri anak sehingga prestasi mereka di sekolah meningkat. Selain itu bagi yang pernah menjalani hipnoterapi, anak akan mula mengubah emosi negatif menjadi tindakan positif. 

Hasilnya, perkembangan anak bukan hanya dalam bidang pendidikan, tetapi juga dalam interaksi sosial mereka.Hipnoterapi juga membuang semua pemikiran negatif, sekali gus meningkatkan prestasi di sekolah. Anak akan merasakan mereka sememangnya pintar, disukai dan bijak. Hipnoterapi membuat anak melepaskan hal negatif daripada pemikiran mereka.

Teknik hipnosis ini boleh digunakan bukan saja dalam pembelajaran, tetapi juga tingkah laku anak. Dalam persekitaran serba mencabar dengan banyak gejala sosial, kebanyakan ibu bapa menyalahkan anak sekiranya berlaku sesuatu ke atas mereka seperti gagal dalam peperiksaan, dikenakan tindakan disiplin tanpa cuba melihat diri sendiri dan hubungan dengan Allah.

"Dalam hal ini, anak belajar mengenai tingkah laku orang yang lebih tua dengan mereka. Misalnya perlakuan ayah atau ibu, cara mereka berkomunikasi yang akan memberikan sesuatu untuk dipelajari. Oleh itu amat penting ibu bapa menguasai minda bawah sedar anak supaya mereka dapat mengawal tingkah laku anak.

"Caranya menerusi komunikasi dan perkataan digunakan. Misalnya ibu tidak boleh menggunakan perkataan degil kepada anak sebaliknya menukar kepada perkataan yang mampu memberikan kesan positif.

"Apabila bercakap ada gelombang yang melaluinya. Kita tidak dapat melihat sama seperti gelombang radio atau telefon. Betulkan intonasi suara supaya apa yang ingin disampaikan kepada anak akan diperoleh secara positif," katanya yang akan mendedahkan teknik hipnosis ini dalam seminar bertajuk Hipnoparenting dan Alpha Learning yang akan diadakan pada 24 Januari ini di Pusat Sains Negara Kuala Lumpur.

Selain Shamshilawati, seminar ini akan turut disertai dua penceramah iaitu Lina Karim daripada www.islamicparentingnetwork.net yang akan membuka minda ibu bapa mengenai corak pendidikan anak di akhir zaman yang penuh dengan cabaran serta Husna Haron yang akan memberi tumpuan mengenai pengurusan masa di rumah.

Menurut Lina, ibu bapa sering beranggapan pembelajaran hanya dilakukan secara formal di dalam bilik darjah saja. Pembelajaran sebenarnya bermula di rumah sejak anak di dalam kandungan lagi. Dia memberitahu dua teori yang diguna pakai iaitu Rosenthal dan Galatea iaitu tanggapan ibu bapa yang akan memberikan kesan buruk kepada anak.

Sebelum mengajar anak, ibu bapa harus membuang tanggapan negatif seperti anak tidak pandai, degil, tidak boleh membaca kepada perkataan hebat, bijak dan berjaya. Ini kerana penukaran pemikiran daripada negatif kepada positif akan memberikan kesan seterusnya mempengaruhi tingkah laku mereka.

"Pada usia 0 sehingga enam tahun, memori dalam minda bawah sedar kanak-kanak sangat kuat. Pada ketika itu ajarlah apa saja mengenai rukun Islam dan iman pastinya anak mudah menerima kerana mereka masih belum menggunakan logik akal. Oleh itu ibu bapa harus mengetahui bilakah masa sesuai untuk mengajar anak," katanya.

Lina yang mempunyai dua anak menjelaskan proses pembelajaran terbahagi dua iaitu alfa dan beta. Bagi kanak-kanak aktif dan gemar bermain, mereka berada dalam gelombang beta, untuk itu ibu bapa perlu tahu cara untuk menukar gelombang beta kepada alfa kerana menurut kajian sains kanak-kanak yang belajar dalam gelombang alfa akan lebih mudah menyerap apa saja yang dipelajari mereka.

"Paling penting elak memarahi anak kerana pada ketika mereka berada dalam gelombang alfa, kemarahan ini tentunya akan meninggalkan kesan ke atas jiwa mereka," katanya.

Menyedari pada masa kini kebanyakan ibu berkerja dan tidak mempunyai masa dan ruang untuk mendidik anak di rumah, Husna Haron ibu kepada dua cahaya mata yang sering berkongsi panduan dengan pembaca mengenai pengurusan masa turut mendedahkan beberapa tip hebat yang boleh digunakan di rumah.

"Setiap hari saya diajukan soalan bagaimana untuk diadakan masa atau dicukupkan masa supaya dapat melakukan perkara yang tidak dapat dilakukan sebelum ini. Antaranya mengajar anak mengaji al-Quran, bersenam atau melakukan hobi seperti memasak, berkebun, membeli-belah atau memanjakan diri di spa. Dalam erti kata lain, mencapai kehidupan seimbang dunia dan akhirat," katanya.

Menurut Husna, ramai memberikan tanggapan yang salah dan mengangap mengajar anak perlu dilakukan secara bersemuka atau formal. Sebenarnya setiap masa adalah waktu mendidik anak kerana ilmu bukan saja berbentuk pembelajaran menerusi buku sebaliknya ketika makan, menonton televisyen atau bermain adalah waktu paling sesuai mengajar anak.

Ini kerana pada waktu ini minda anak berada dalam keadaan di bawah sedar dan mereka dalam keadaan gembira. Oleh itu ini adalah masa sesuai menerapkan nilai positif kepada mereka.

Paling penting ibu bapa perlu jelas mengapa perlu mengajar anak di rumah dan tidak menyerahkan kepada ustaz atau ustazah semata-mata. Apabila sudah menetapkan matlamat mereka pasti mencari masa untuk mendidik anak dengan ilmu berguna.

"Apa yang akan saya dedahkan di dalam seminar ini adalah teknik membuat pengubahsuaian jadual waktu serta menjadikan kerja rumah lebih ringkas dan padat. Misalnya ibu yang mempunyai tiga anak perlu mengajar mereka dalam tempoh satu jam. Tetapi dalam waktu ini ada banyak perkara yang ingin mereka lakukan seperti melipat baju, memasak, mengemas rumah atau menggosok baju.

"Lama-kelamaan niat untuk mengajar berkubur begitu saja. Saya akan ajar cara untuk membahagikan masa secara efektif. Tidak mustahil semuanya boleh dicapai menerusi jadual harian yang berkesan," katanya.

Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai seminar ini boleh melayari http://daftar.mindasupermom.com/pendaftaran/.

Manfaat kaedah hipnosis
1. Mengurangkan tekanan -Hampir semua anak yang mengalami perceraian akan mengalami kemurungan. Akibatnya, mereka selalu mengambil pilihan yang salah seperti makan berlebihan, mengambil ubat terlarang, seks bebas dan tidak boleh berfikir secara rasional.

2. Tidak lagi gelisah, ketakutan dan fobia -Kini semakin ramai kanak-kanak mengalami kegelisahan dan ketakutan berlebihan sehingga tidak mampu ditangani dengan baik. Misalnya takut untuk bangun malam, membuat persembahan di depan kelas dan ada yang bimbang hendak ke sekolah. Sekiranya hal ini tidak dilepaskan semua kegelisahan dan ketakutan itu akan memberikan pengaruh negatif pada perkembangan mereka. Namun begitu selepas menjalani sesi hipnoterapi, anak tidak lagi takut dan gelisah. Mereka boleh berfikir dan bertindak lebih positif.

3. Mengurangkan rasa sakit -Rasa sakit atau tertekan yang dialami kanak-kanak dirasai berulang kali. Rasa sakit disebabkan penyakit tertentu boleh dikurangkan menerusi teknik hipnoterapi. Ia akan membuat daya tahan tubuh mereka meningkat.

12/01/15

BUANG EGO! - PERKONGSIAN KISAH BENAR DAN TAULADAN


RUMAH tangga akan bertahan lama kalau ada persefahaman dan tolak ansur antara suami isteri. Buang ego, saling mengaku kesilapan masing-masing menjadi tonggak kebahagiaan dalam rumah tangga.

Yang salah dibetulkan, yang terlebih dikurangkan dan yang bermasalah diselesaikan dengan cara baik tanpa melukakan hati sesiapa. Itu sebaik-baik cara untuk mengekalkan kebahagiaan suami isteri.

Akan tetapi adakah masih wujud sikap setia dan tulus dalam sebuah perhubungan itu jika salah seorang daripadanya tidak berlaku jujur kepada yang seorang lagi?

Inilah kisah yang akan saya paparkan minggu ini, kisah seorang suami yang tidak telus dalam perhubungan dengan isteri dan selalu mencari alasan untuk mengelirukan sikapnya yang sebenar sehingga isteri selalu bermurung.

Pengakuan Kinah (bukan nama sebenar) kepada saya harap menjadi iktibar untuk kita semua. Ini bukan rekaan tetapi realiti hidup yang berlaku dalam masyarakat kita.

“Saya berusia awal 30-an, bekerja sebagai seorang penjawat awam. Saya telah lima tahun mendirikan rumah tangga dengan kekasih hati, Kamal (bukan nama sebenar) yang dikenali sejak di universiti. Kami dikurniakan seorang cahaya mata lelaki berusia tiga tahun.

“Saya sangat berharap rumah tangga yang dibina hasil daripada cinta pandang pertama ini akan berkekalan sampai ke hujung nyawa. Saya mendoakan suami akan melindungi dan menjaga saya hingga ke saat itu.

“Tetapi sayang, ia tidak berlaku. Saya diduga dengan pelbagai masalah sepanjang perkahwinan kami sejak tiga tahun lalu. Saya tidak tahu di mana silapnya sehingga suami sanggup menduakan saya.

“Segala-galanya bermula apabila saya nampak perubahan diri dan sikapnya awal tahun 2012. Telefon bimbit sentiasa di tangan. Balik kerja lewat malam dan setiap hujung minggu tidak pernah lekat di rumah.

“Saya cuba bertanya dengan baik, meminta penjelasan akan perubahan sikapnya. Jawapan yang saya terima daripada dia, tidak ada apa-apa, semuanya okey. Jangan risau dan macam-macam lagi.

“Sebagai isteri saya terima alasan tersebut kerana tidak mahu terlampau bersangka buruk terhadap suami. Saya harap ia tidak terjadi seperti yang saya jangkakan.

“Tiga bulan kemudian, keadaan semakin teruk. Dia sudah tidak pulang ke rumah beberapa hari terutama pada hujung minggu. Ditanya jawapannya tetap sama. Urusan kerja dan sebagainya.

“Dengan nasihat dan bantuan seorang teman yang rapat dengan kami saya menjalankan siasatan dan intipan. Segala yang saya takutkan benar-benar terjadi. Dia sudah ada orang lain. Tapi masih tidak mengaku.

“Kesabaran saya terhenti apabila saya terjumpa resit hotel, makan malam dan juga bil membeli-belah di sebuah pusat beli-belah terkenal di selatan tanah air.

“Berderau darah saya, dada saya kencang seperti baru menamatkan larian 400 meter. Saya menangis semahu-mahunya kerana terkejut dan sedih. Inikah balasannya kepada saya?.

“Atas nasihat kawan baik saya juga, perkara itu saya diamkan dahulu. Saya tidak mahu panjangkan lagi sehingga saya mengumpul sebanyak bukti terutama tentang perempuan yang sedang dikaitkan dengannya.

“Berminggu-minggu saya berusaha sehingga akhirnya saya mendapat apa yang saya inginkan, rumah sewa dan di mana perempuan itu bekerja. Alhamdulillah, saya akan bersemuka dengan suami apabila masanya sampai.

“Dalam pada itu saya tidak menunjukkan tanda-tanda terkejut dengan perubahan dan perkara yang telah saya tahu. Saya buat macam biasa dan tidak bersedih.

“Di hadapan Kamal saya berpura-pura baik, gembira dan melayan makan minumnya seperti biasa. Saya tidak mahu dia syak apa-apa sehingga merugikan usaha saya sebelum ini.

“Sampai masa yang sesuai saya buat rancangan. Saya ajak suami pergi bercuti. Kami tidak membawa anak kami kerana saya mahu menyelesaikan perkara itu dengan dia sahaja. Saya akan akur dengan apa yang bakal berlaku. Segala-galanya saya serahkan kepada Allah.

“Pelbagai alasan dia berikan untuk tidak memenuhi impian saya pergi bercuti bersamanya. Setelah saya memujuk dan katakan, sejak bernikah dan ada anak, kami belum pernah bercuti bersama.

“Saya juga katakan yang saya sangat berharap dia dapat memenuhi permintaan saya ini, sekali pun jadilah! Alhamdulillah akhirnya dia setuju.

“Saya memilih untuk ke selatan tanah air, tinggal di hotel yang sama dengan resit yang saya jumpa. Dia juga tidak bertanya di mana kami akan tinggal kerana segala-galanya saya yang uruskan.

“Anak saya tinggalkan dengan ibu dan adik saya buat sehari dua. Ini soal masa depan rumah tangga kami, saya perlu berani untuk menghadapinya tanpa gangguan.

“Hari yang ditunggu pun tiba. Saya dan suami bergerak awal pagi menuju ke destinasi kami di selatan tanah air. Empat jam perjalanan akhirnya kami tiba ke sana. Sebaik sampai di hotel dan check-in, wajah suami nampak murung.

“Ada rasa terkejut di wajahnya, saya buat-buat tak faham... saya tidak mahu dia terasa yang saya merancang semua ini untuk mengenakan dia semula.

“Di bilik hotel, wajah suami masih tidak nampak gembira. Telefon masih tergenggam di tangan. Saya katakan kepada dia, kita matikan telefon. Jangan ada gangguan daripada sesiapa untuk sehari dua ini.. biar kita berdua sahaja.

“Dia setuju. Kami simpan telefon di dalam beg pakaian. Malam itu ada majlis makan malam istimewa untuk kami berdua di tepi kolam. Ramai juga pasangan yang saya lihat bersantai seperti kami. Entah mereka juga ada masalah saya tidak tahu.

“Di meja makan istimewa itu saya luahkan segala yang terpendam dalam hati saya. Saya katakan kepadanya, sejak ijab kabul kami, dia sahaja lelaki yang ada dalam hati saya, tidak ada yang lain.

“Kekurangan saya kelebihan dia. Kelebihan dia kekurangan saya. Kita harus saling lengkap melengkapi, itu kata-kata saya. Saya imbas kembali saat kami bertemu, di mana hati kami mula bersatu. Bagaimana susahnya kami bergelut dengan pelajaran di universiti.

“Segala-galanya tentang kami saya ingatkan dia termasuk hari bahagia kami yang direstui oleh kaum keluarga. Ketika dia sebak mendengar dan hampir menitiskan air mata saya selitkan akan apa yang telah berlaku antara kami sejak akhir-akhir ini.

“Saya berterus terang dengan dia tentang perempuan bernama Zalia (bukan nama sebenar). Siapa dia, di mana dia tinggal dan apa hubungan mereka, segala-galanya saya luahkan.

“Saya tunjukkan resit-resit yang saya jumpa, gambar-gambar dia bersama Zalia semasa pergi bercuti dan tempat-tempat pertemuan mereka dengan penuh berani. Saya tidak menangis. Saya tidak sebak tetapi saya kumpul kekuatan untuk berkata yang terbaik agar suami faham.

“Dia tidak berkata apa-apa. Diam tanpa kata. Saya memandang tepat ke wajahnya dan menunggu apa yang ingin dikatakannya kepada saya sebaik saya tamatkan ayat terakhir saya.

“Saat itu dada saya semakin kencang.... macam saya sudah berlari satu kampung tanpa henti. Wajah anak kami terbayang di mata saya. Dan saya sudah bersedia dengan segala-galanya selepas ini. Apa pun saya reda.

“Jantung saya seperti berhenti kala suami memegang erat tangan saya dan berkata, “abang minta maaf banyak-banyak dengan Kinah. Abang tahu abang salah, abang minta maaf. Abang janji akan melupakan perempuan itu dan segala-galanya yang berlaku dalam rumah tangga kita.

“Abang tahu Kinah terluka. Abang harap Kinah ampun dan maafkan abang. Abang tidak sangka Kinah dapat menghidu perangai buruk abang ini. Abang menyesal Kinah. Abang menyesal sangat-sangat...Abang janji abang akan tinggalkan dia dan teruskan hidup dengan Kinah dan anak kita. Semoga Allah ampunkan abang dan bagi abang hidayah untuk menjadi ketua keluarga yang lebih baik pada masa depan.

“Kami sama-sama menangis dan berpelukan... hilang rasa malu kepada orang keliling. Saya amat bersyukur dengan apa yang berlaku. Terima kasih Allah, terima kasih sahabat yang memberi sokongan dan idea kepada saya. Semoga hubungan ini kekal hingga ke Jannah.

“Percutian ini adalah yang tersangat indah dan penuh makna dalam hidup saya. Inilah rahmat Allah untuk kami tiga beranak. Saya tidak dapat hendak katakan dengan perkataan tentang apa yang saya rasa.

“Apa yang saya alami seperti dalam drama televisyen tetapi ini adalah realiti yang harus saya kongsi dengan anda semua. Ada kalanya peranan kita sebagai isteri juga penting untuk menyelamatkan rumah tangga. Sahabat juga sebahagian daripada kebahagiaan yang kita nikmati.

“Terima kasih suami, terima kasih sahabat setia saya. Semoga Allah rahmati kita semua!.’’ Dengan air mata berlinangan Kinah menamatkan ceritanya.

Saya hilang kata-kata, sedih bercampur gembira. Inilah nikmat Allah untuk hambaNya yang sabar dan reda dengan apa yang berlaku.

Tahniah Kinah dan Kamal. Semoga rumah tangga anda kekal bahagia sampai ke syurga. Saya kagum dengan Kinah yang berani bangkit untuk menuntut haknya.

Semoga ramai lagi isteri di luar sana yang akan mengikut jejak Kinah dalam mendapatkan hak mereka sebagai isteri. Jangan takut kerana kebenaran pasti muncul untuk mereka yang tabah, sabar dan reda dengan ujian Allah.

Menamatkan catatan, pesanan saya, terkadang Allah memberi nikmat kepada hambaNya melalui ujian dan di akhirnya dikurniakan rahmat yang pelbagai.

CEMAS DENGAN SINDROM ANAK KEDUA


BOBOY (bukan nama sebenar) dilihat lebih nakal daripada abangnya, Razi. Dia sentiasa terlibat dalam masalah di sekolah dan tidak mengambil kerja sekolahnya secara serius. Dia juga sering nakal di sekolah.

Begitupun, Hafiz merupakan seorang yang senang didekati menyebabkan dia mempunyai ramai kawan. Dia juga berupaya berfikir untuk diri sendiri, berkeyakinan tinggi dan lebih berdikari berbanding Razi.

Biasanya ini adalah bagaimana ibu bapa bercakap tentang anak kedua mereka. Ia menjadi satu perkara yang biasa kita dengar. Kelahiran anak kedua sama ada dirancang atau tidak dirancang disambut dengan kurang meriah dan keterujaan berbanding dengan kelahiran anak pertama.

Ini kerana kebanyakan ibu bapa merasakan bahawa mereka telah melalui keadaan dan pengalaman tersebut, justeru tiada apa-apa yang baharu.

Oleh itu, ibu bapa itu cenderung untuk mengabaikan keperluan emosi dan mental anak kedua.

Adakah susunan kelahiran benar-benar memberi kesan kepada individu? Jawapannya, ya, seperti yang ditunjukkan melalui penyelidikan Alfred Adler.

Susunan kelahiran boleh meninggalkan kesan mendalam kepada gaya hidup individu, iaitu cara seseorang berurusan dengan isu-isu persahabatan, kasih sayang, dan pekerjaan.

Faktor lain susunan kelahiran yang perlu diberi perhatian ialah perbezaan umur antara adik-beradik, jumlah bilangan anak dan perihal perhubungan serta situasi ibu bapa yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa.

Menurut Adler, anak kedua atau pertengahan sering mempunyai rasa tidak mempunyai tempat dalam keluarga, mereka berjuang untuk mendapat perhatian dari ibu bapa dan lebih mudah berasa tidak yakin.

Anak kedua atau pertengahan tidak mempunyai semangat kendiri yang kuat dan mengharapkan panduan daripada anak pertama.

Mereka lebih cenderung untuk mengikut perkembangan situasi dan bertindak mengikut keadaan. Adler juga menggambarkan anak kedua atau pertengahan sebagai orang perantara semula jadi dan biasanya menjadi pendamai dalam keluarga mereka.

Mereka ini akan mempunyai ramai kawan kerana sifat mereka yang senang didekati atau lembut dan kesetiaan kepada rakan-rakan mereka. Anak kedua atau pertengahan ini mungkin mempunyai sifat yang sentiasa tenang atau acuh tak acuh.

Adler juga percaya bahawa anak pertengahan atau kedua berasa tersingkir daripada kedudukan yang istimewa dan penting dalam keluarga sendiri. Oleh itu mereka terpaksa mencari cara dalaman untuk mencari kedamaian dalam keluarga untuk diri sendiri.

Oleh itu adik yang lebih muda akan mempelajari dan memahami cara atau perhubungan keluarga kerana mereka mengakui kuasa anak pertama.

Anak kedua akan membesar dengan personaliti yang berbeza daripada adik-beradik mereka yang lebih tua. Oleh itu personaliti atau tingkah laku anak pertama dan kedua akan sangat bertentangan (Silverman 1988).

Cornell (1984) membuat kajian dan mendapati bahawa anak kedua yang diiktiraf sebagai berbakat adalah lebih berkeyakinan daripada kedua dilahirkan yang tidak diiktiraf sedemikian.

Kanak-kanak itu digambarkan sebagai lebih stabil dari segi emosi, lebih terkawal, kurang tegang atau kecewa, kurang cemas dan neurotik.

Ibu bapa juga menggambarkan mereka sebagai yang lebih baik berkeyakinan daripada anak yang pertama.

Kesimpulannya, anak kedua adalah digambarkan sebagai lebih fleksibel atau senang bekerjasama tapi kuat berdaya saing.

Mereka lebih tenang, murah hati, suka mencabar atau sukakan cabaran dan lembut. Mereka adalah pendamai dan perunding yang kuat, namun mereka gemar berahsia daripada anak pertama kerana mereka lebih berdikari.

Sebagai ibu bapa dan pendidik adalah penting untuk mengenal pasti setiap kanak-kanak sebagai individu yang berbeza.

Hubungan dengan setiap anak perlu diwujudkan secara berasingan. Ibu bapa tidak perlu membandingkan anak-anak mereka kerana ini akan menyebabkan anak tersebut akan berkelakuan sebaliknya.

Sebagai ibu bapa, anda akan mempunyai kesukaran berhubung atau berkomunikasi dengan anak kedua.

Anda mendapati bahawa mereka membina ‘dinding’ di sekeliling mereka iaitu dalam bentuk sikap negatif atau sindiran. Bersabarlah dan pecahkan dinding ini dengan kebaikan, kasih sayang dan cinta.

Mereka mungkin tidak bertindak balas kepada perasaan anda kerana mereka ingin ibu bapa berasa bersalah tidak memberikan perhatian yang cukup kepada mereka.

Jangan putus asa. Mereka sebenarnya menghargai perhatian yang anda berikan kepada mereka.

Mereka juga akan cenderung untuk terlibat dalam pelbagai masalah sebagai satu bentuk mencari perhatian, cuba untuk tidak mencela mereka sepanjang masa.

Sebaliknya cuba untuk mendisiplinkan mereka melalui pengukuhan positif dan memberi ganjaran kepada tingkah laku yang baik.

Pengukuhan positif seperti memberi pujian apabila mereka berkelakuan baik dan meluangkan masa setiap hari untuk berbual dengan mereka.

Sebagai anak kedua mereka sudah biasa tidak mendapat perhatian atau motivasi dari ibu bapa maka sesetengah mereka mungkin tidak bercita-cita tinggi kerana mereka merasakan usaha mereka tidak akan diiktiraf. 

Ibu bapa perlu menggunakan pengukuhan positif dan memuji setiap kanak-kanak untuk mengakui kehadiran mereka dan membuat mereka berasa istimewa.

2/01/15

APA ITU POLIFARMASI?


Apa itu polifarmasi? Polifarmasi atau juga dikenali sebagai pengambilan pelbagai jenis ubat merujuk kepada keadaan apabila seseorang pesakit mengambil lebih daripada empat jenis ubat secara serentak untuk merawat satu atau lebih penyakit.

Golongan yang kerap terdedah kepada kesan buruk polifarmasi adalah warga emas. Ini kerana ramai antara mereka mempunyai lebih daripada satu jenis penyakit. Bagaimanapun, pesakit lain juga berisiko mendapat kesan buruk polifarmasi jika mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Mempunyai lebih daripada satu penyakit dan mengambil rawatan ubat-ubatan.
2. Mengambil pelbagai ubat herba, tradisional dan komplimentari, vitamin dan ubat-ubatan am (produk 'over the counter'-OTC).
3. Mengambil ubat-ubatan tidak berdaftar bersama ubat terkawal.
4. Berjumpa lebih seorang dok­tor atau ahli farmasi untuk mendapatkan rawatan dan nasihat.
5. Mempunyai masalah penglihatan atau pendengaran yang menyebabkan gangguan untuk membaca label ubat atau mendengar arahan pengambilan ubat yang disampaikan.
6. Mempunyai penyakit seperti mudah lupa atau nyanyuk.
7. Tinggal berseorangan dan tiada penjaga untuk membantu pengambilan pelbagai jenis ubat.

Antara kesan buruk yang mungkin berlaku disebabkan polifarmasi adalah kesilapan pengubatan, ketidakpatuhan pengambilan ubat, peningkatan risiko mengalami kesan sampingan dan kesan mudarat ubat, peningkatan kadar kemasukan hospital, peningkatan risiko mengalami tidak balas ubat dan peningkatan kos perubatan.

Kesilapan pengubatan boleh berlaku kerana pesakit mudah keliru kepada arahan pengambilan ubat apabila jumlah ubat yang perlu diambil melebihi empat jenis.

Bagi golongan warga emas pula, risiko berlaku kesilapan pengubatan semakin tinggi kerana penglihatan dan pendengaran yang kurang serta masalah mudah lupa atau nyanyuk yang dialami.

Selain itu, amalan mendapatkan rawatan dari beberapa tempat juga boleh menyebabkan berlaku kesilapan pengubatan. Pesakit akan menerima pelbagai jenis ubat daripada pelbagai tempat rawatan dikunjungi. Keadaan ini menyebabkan pesakit mudah keliru ketika mengambil ubat dan dikhuatiri mengambil ubat sama tetapi berlainan bentuk dan warna.

Polifarmasi juga boleh me­nyumbang kepada ketidakpatuhan pesakit dalam pengambilan ubat. Perkara ini berlaku apabila pesakit perlu mengambil ubat dalam kuantiti banyak. Semakin banyak jenis ubat perlu diambil, semakin kompleks cara pengambilan ubat.

Seterusnya ia boleh menyebabkan pesakit kurang bermotivasi, mudah lupa dan pesakit mula memilih jenis ubat yang hendak diambil dan selebihnya ditinggalkan.Dalam golongan warga emas pula, masalah menelan ubat yang banyak antara faktor utama ketidakpatuhan dalam pengambilan ubat.

Apabila banyak jenis ubat perlu diambil, interaksi antara ubat juga boleh berlaku. Mungkin interaksi antara ubat terkawal untuk rawatan penyakit kronik dipertimbangkan oleh doktor dan ahli farmasi ketika pemberian ubat itu. Namun pengambilan ubat herba, ubat tradisional dan ubat am (OTC) secara sendirian tanpa pengetahuan doktor bersama ubat terkawal boleh menyebabkan berlaku interaksi ubat.

Seterusnya, interaksi ubat boleh menyebab­kan kesan sesuatu ubat itu berkurangan atau bertambah. Jika interaksi itu menyebabkan kesan ubat berkurangan, dikhuatiri ubat itu tidak dapat memberi kesan sepatutnya kepada pesakit mengikut dos diberi. Jika interaksi itu menyebabkan kesan ubat bertambah, ia mungkin mencapai tahap toksik dan boleh memudaratkan pesakit.

Kesan tidak langsung daripada kesilapan pe­ngubatan, ketidakpatuhan pengambilan dan interaksi ubat-ubatan akibat polifarmasi pula boleh penyebabkan kadar kemasukan ke hospital meningkat dan seterusnya meningkatkan kos rawatan pada masa depan.

Tip mengelak polifarmasi dan kesan buruknya
Sebagai langkah berjaga-jaga, masyarakat dinasihatkan lebih berhati-hati dalam pengambilan ubat supaya masalah polifarmasi dapat ditangani. Antara amalan yang membantu mengelak polifarmasi adalah sentiasa berbincang dengan doktor atau ahli farmasi berkaitan penggunaan ubat diberi serta ubat tambahan yang diambil dalam rawatan kendiri.

Pesakit juga boleh bawa bersama semua ubat yang diambil setiap kali bertemu doktor atau ahli farmasi untuk mendapatkan nasihat sesuai.

Pembabitan pesakit untuk mengatasi polifarmasi sangat penting. Melalui pembabitan ini, semua informasi tambahan seperti pengambilan ubat herba, tradisional dan komplimentari, vitamin dan ubat-ubatan am (OTC) dapat dikenal pasti dan nasihat sesuai dapat diberi oleh dok­tor dan ahli farmasi.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1 800-88-6722.

Disediakan oleh: Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan