5/12/18

AWAS JIKA ANDA ADA GEJALA MENGANTUK


Pada awalnya rungutan seorang kenalan mengenai sering mengantuk dilihat cuma gejala biasa. Katanya, rasa mengantuk pada waktu siang mungkin lebih berupakan ‘penanda’ semula jadi terhadap faktor diri yang keletihan disebabkan tuntutan harian yang padat.

Namun, apabila gejala mengantuk itu semakin ketara dan kerap daripada biasa, masalah itu mula menjejaskan rutin harian termasuk mengganggu penumpuan lebih-lebih lagi ketika bekerja dan memandu.

Sedangkan dia tidak pernah menghadapi masalah gangguan tidur kerana dia menikmati waktu tidur berkualiti iaitu tujuh hingga lapan jam. Adakah masalah mengantuk dihadapinya itu gejala penyakit lain?

Sebenarnya, secara alami, adalah normal andai seseorang individu terasa mengantuk selepas seharian melakukan pelbagai aktiviti. Umumnya kita mengantuk apabila fungsi badan dan otak penat dengan aktiviti seharian. Tindak balas semula jadi akan berlaku dan kelenjar tertentu mengeluarkan hormon dengan menghantar tindak balas ke otak.

Malah berkenaan peranan hormon, antaranya pengkaji menemui rasa mengantuk berpunca daripada kompaun kimia bernama edenosin yang wujud dalam otak bertindak balas dengan reseptor otak.

Selain itu, kitaran tidur dipengaruhi ‘jam tubuh’ yang juga dikenali sebagai ritma sirkadian iaitu proses fisiologi berlaku dalam tubuh membolehkan badan bertindak balas dengan persekitaran seperti waktu tidur, makan dan aktif.

Jam tubuh ini yang sensitif dengan perubahan persekitaran seperti cahaya matahari dan suhu, membantu dalam menentukan sama ada waktu untuk berjaga pada waktu siang atau tidur ketika malam.

Namun, dalam masalah dihadapi kenalan tadi, Pakar Otorinolaringologi UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Dr Ahmad Kusyairi Khalid, menyarankan pesakit menjalankan pemeriksaan menyeluruh.

Menurut beliau, mengantuk luar biasa bukan semata-mata gangguan tidur seperti dihadapi kebanyakan pesakit kecelaruan tidur ritma sirkadian tetapi boleh menjadi petanda penyakit lebih serius.

“Mengantuk mempunyai gejala mirip bagi simptom penyakit lain yang mungkin menyerupai gejala disebabkan gangguan tidur. Gangguan tidur juga ada pelbagai jenis dan merujuk pada keadaan dialami pesakit.

“Masalah mengantuk tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menjadi petanda bagi penyakit serius dihadapi individu berkenaan. Ini termasuklah komplikasi penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi pada usia muda.

“Maka, sebaik-baiknya pesakit ini menjalani pemeriksaan menyeluruh bagi mengenal pasti punca mengantuk itu adakah disebabkan gangguan tidur atau tanda-tanda kepada masalah lebih serius.

“Tidak saja merujuk ke doktor hidung, telinga dan mulut, malah pakar neurologi, psikiatri dan lain-lain bagi menangani isu mengantuk luar biasa berkenaan,” katanya.

Merujuk pada mengantuk yang biasa dihadapi pesakit diabetes, gejala itu lazim berlaku selepas makan. Apatah lagi makanan yang diambil pesakit kandungannya tinggi karbohidrat dan gula.

Ia bermula dengan rasa penat dan diikuti mengantuk disebabkan kapasiti tubuh pesakit diabetes tidak lagi dapat menghasilkan insulin bagi menukar gula ke sumber tenaga.

Sambil menerangkan gejala mengantuk yang biasa dialami pesakitnya, Dr Kusyairi berkata, untuk kes yang dirujuk kepadanya biasanya pesakit mengadu mengalami masalah mengantuk luar biasa akibat gangguan tidur atau hidung tersumbat.

“Biasanya saya menerima pesakit yang menghadapi gejala tidur terganggu termasuklah rasa tercekik, lemas, kerap bangun untuk kencing dan berdengkur sehingga menjejaskan kualiti tidur.

“Tidak dinafikan dilema ini sering dihadapi mereka yang bekerja syif dan selalu terbang ke luar negara selain tidak mengamalkan hidup sihat termasuk masalah obesiti,” katanya.

Kata Dr Kusyairi lagi, faktor gangguan lain iaitu kesihatan mental dan emosi juga memungkinkan seseorang itu menghadapi masalah mengantuk luar biasa.

“Ada kajian perubatan menerangkan mereka yang mengalami kemurungan dan emosi tidak stabil untuk satu tempoh yang panjang boleh menjejaskan kualiti tidur, seterusnya mencetuskan gejala mengantuk.

“Dalam keadaan normal, individu yang tidak cukup tidur, penat dengan aktiviti seharian selain berasa sedih disebabkan peristiwa tertentu boleh merangsang badan bertindak balas dan menyebabkan mengantuk apatah lagi mereka yang mengalami gangguan mental.

“Paling penting yang berkait dengan gangguan neuron teruk termasuk sawan ketika tidur dan sebagainya. Ini menjadikan gejala mengantuk yang berlaku perlu dirujuk kepada psikiatrik mahupun neurologi,” katanya.

Bagi mengatasi masalah mengantuk keterlaluan, ada beberapa langkah awal boleh diambil seperti diet serta amal gaya hidup sihat.

Melihat pada punca penyakit terutama individu mempunyai masalah obesiti, sebaik atur gaya hidup mereka termasuk pengambilan makanan seimbang iaitu sayur dan buah-buahan yang dapat membekalkan vitamin dan zat mencukupi.

“Usaha yang boleh dilakukan selain mendapatkan rawatan, pesakit seharusnya mengubah diet mereka termasuk mengelak makanan tinggi karbohidrat dan gula pada waktu malam.

“Makanan tinggi karbohidrat memerlukan tempoh pencernaan yang lebih panjang untuk menukar karbohidrat dan gula ke tenaga. Situasi itu menyebabkan organ berkenaan perlu bekerja lebih lama pada waktu malam berbanding fungsi semula jadinya kerana ketika ini ia sepatutnya berada dalam mod rehat,” katanya.

Elak juga pengambilan kafein yang membuat pesakit berjaga sehingga jauh malam, sebaik-baiknya pengambilan air kosong atau teh hijau boleh membantu mereka menikmati tidur malam lebih baik.

Selain itu, amalkan aktiviti bersenam, individu yang mengalami masalah mengantuk pada waktu siang hari boleh amalkan tidur sekejap sekitar 15 hingga 30 minit ketika tengah hari.

Jika di pejabat, gunakan waktu makan tengah hari untuk melelapkan mata seketika. Ini membolehkan mereka ‘mengecas’ kembali tenaga untuk meneruskan tugasan. Namun, jangan tidur selepas waktu Asar kerana anda akan berasa lebih letih dan tidak bertenaga.

Antara penyakit yang sering dikait dengan gejala mengantuk selain diabetes dan masalah psikiatri ialah;

Anemia

Kandungan zat besi yang rendah menyebabkan penghidapnya mudah rasa mengantuk kerana kandungan oksigen kurang dalam darah. Bahkan penderita sering rasa mengantuk meskipun sudah menikmati tidur yang mencukupi.

Penyakit jantung

Antara tanda jantung tidak baik adalah tubuh sering berasa mengantuk, lemah dan lelah. Lebih ketara gejala itu dihadapi ketika waktu siang. Selain itu, gejala awal penyakit jantung biasanya menyebabkan gangguan tidur pada waktu malam termasuk sukar bernafas.

Hipertensi

Lazim bagi penderita tekanan darah tinggi tidak menikmati tidur nyenyak pada waktu malam. Gejala sakit kepala dan tekanan serta sakit pada bahagian bahu selain leher membuatkan mereka tidak cukup tidur. Tidak hairan keesokan hari mereka mudah berasa letih dan kurang bermaya.

Hiperkalsemia

Kadar kalsium dalam darah antara punca penyakit hiperkalsemia yang berpunca daripada gangguan terhadap sistem saraf, jantung dan pencernaan. Kadar kalsium yang normal dalam tubuh adalah sekitar 8,2 - 10,2 mg/dL, namun penderita hiperkalsemia memiliki kadar kalsium antara 12 mg/dL hingga melebihi 14 m/dL.

Hipotiroidisme

Penyakit hipotiroidisme membuatkan pesakit sukar tidur malam, lantas mengantuk pada waktu siang. Hormon tiroid yang dihasilkan kelenjar tiroid berfungsi membantu tubuh atur waktu tidur tetapi jika terlalu banyak, ia sebaliknya mengganggu waktu tidur.

Hiponatremia

Hiponatremia adalah gangguan elektrolit ketika kadar natrium dalam darah lebih rendah daripada sepatutnya. Kadar penurunan natrium yang pantas boleh menyebabkan kemudaratan kerana ia penting mengendalikan kadar air dalam tubuh, menjaga tekanan darah serta mengatur sistem saraf dan otot.

4/12/18

TAHUKAH ANDA BAYI PALING MUDAH DIJANGKITI DEMAM VIRUS


Penyakit ringan seperti demam dan selesema sering dikaitkan dengan cuaca panas serta hujan tidak menentu yang berlaku sepanjang tahun. Walaupun ia masalah kesihatan biasa yang kita alami, jika ia kerap berulang tentu membuatkan kita bimbang dan tidak selesa.

Bagi orang dewasa, demam menjejaskan prestasi kerja. Namun, kita akan lebih gundah sekiranya masalah kesihatan ini dialami kanak-kanak yang masih dalam proses membina kekuatan antibodi atau imunisasi bagi melawan pelbagai penyakit, sama ada disebabkan bakteria atau virus.

Kita sering dengar luahan rakan yang mempunyai anak kecil terpaksa mengambil cuti apabila anak mereka dimasukkan ke wad kerana demam virus.

Menurut Pegawai Perubatan Kecemasan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Dr Shamsinar Samsuddin, demam virus adalah nama yang diberikan kepada demam akibat pelbagai jenis virus yang wujud di sekeliling manusia.

Beliau berkata, virus adalah organisma mikro yang menyebabkan jangkitan. Malah, ia lebih kecil daripada fungus dan bakteria.

“Virus ini akan memasuki sel perumah (individu yang dijangkiti) dan melepaskan asid ribonukleik (RNA) atau asid deoksiri bonukleik (DNA). Ia akan mengganda dan bertambah bilangannya yang menyebabkan kematian sel tuan rumah.

“Semua jenis jangkitan virus boleh menyebabkan demam. Virus yang paling sering menimbulkan gejala adalah seperti jangkitan pada saluran pernafasan, salur pemakanan, kulit dan sistem saraf serta otak,” katanya.

Katanya, virus boleh menyerang semua peringkat umur, sama ada kanak-kanak atau golongan dewasa. Golongan kanak-kanak adalah lebih sensitif dan lebih mudah terdedah kepada jangkitan ini disebabkan daya tahan tubuh yang masih lemah dan tidak berkembang sepenuhnya seperti golongan dewasa.

“Kanak-kanak yang jarang terdedah kepada persekitaran luar, contohnya bayi dan kanak-kanak bawah umur tiga tahun, rata-rata masih dijaga rapi oleh ibu mereka sendiri di rumah dan tidak pernah bergaul dengan kanak-kanak lain, secara amnya mempunyai daya tahan tubuh yang lemah terhadap virus biasa.

“Berbanding dengan kanak-kanak yang sudah terbiasa dijaga di tempat asuhan atau pusat jagaan kanak-kanak di luar, daya tahan tubuh lebih kuat,” katanya.

Dr Shamsinar berkata, golongan dewasa yang mendapat jangkitan virus juga akan mengalami gejala tidak sihat yang sama seperti kanak-kanak. Namun, gejala ini mungkin hilang dalam beberapa hari disebabkan daya ketahanan tubuh yang kuat serta kemampuan tubuh untuk melawan jangkitan berkenaan.

Jelasnya, bagi mengenali simptom demam virus, jangkitan virus secara umumnya akan memberikan gejala demam dan mungkin disertai batuk dan selesema.

Bagaimanapun, demam virus dapat dibezakan daripada demam yang disebabkan oleh jangkitan bakteria pada beberapa aspek seperti suhu badan meningkat sekitar 37.5 hingga 38 darjah Celsius,

“Demam bakteria pula boleh mencapai suhu yang lebih tinggi. Selain itu, keadaan kanak-kanak yang mengalami jangkitan virus secara umumnya adalah lebih baik berbanding kanak-kanak yang mendapat jangkitan bakteria, dalam erti kata mereka masih kelihatan aktif dan cergas walaupun sedang demam.

“Kanak-kanak yang diserang jangkitan bakteria umumnya kelihatan lebih sakit dan lesu. Muntah dan cirit-birit bukan faktor penentu sama ada kanak-kanak terbabit diserang jangkitan virus atau bakteria, ia hanyalah perkembangan daripada masalah kesihatan itu sendiri,” katanya.

Buat masa ini tidak ada rawatan khusus untuk merawat jangkitan virus, namun pelbagai kaedah boleh dilakukan bagi mengurangkan gejala yang dialami.

“Demam akan dirawat dengan pemberian ubat mengurangkan demam. Paracetamol kini tersedia luas di pasaran dan diperbuat dalam pelbagai jenama dan sediaan. Dos yang disarankan untuk kanak-kanak adalah sebanyak 15mg/kg berat badan dan boleh diberikan secara berulang-ulang setiap empat hingga enam jam.

“Pada masa yang sama, ibu bapa harus memastikan status hidrasi anak masing-masing tetap bagus, yang bermaksud anak masih mampu minum seperti biasa dan tidak mengalami dehidrasi (kekurangan air),” katanya.

Jelasnya lagi, apabila demam, kanak-kanak akan hilang selera makan. Ini adalah perkara biasa dan pada ketika ini doktor lebih menekankan kemampuan anak untuk minum berbanding makan dalam menentukan kadar hidrasi seorang kanak-kanak.

Tambahnya, jika anak menghidap gejala batuk, selesema, cirit-birit atau muntah, rawatan yang diberikan adalah berdasarkan simptom yang ditunjukkan. Bagaimanapun, tidak semua gejala berkenaan perlu dirawat kerana ia ada hadnya iaitu jangkitan akan hilang dengan sendirinya.

“Satu hal paling penting yang perlu diketahui oleh ibu bapa ialah, jangkitan virus tidak boleh diubati dengan pemberian antibiotik. Jadi, apabila doktor tidak memberikan antibiotik kepada anak, jangan minta!” katanya.