5/12/18

AWAS JIKA ANDA ADA GEJALA MENGANTUK


Pada awalnya rungutan seorang kenalan mengenai sering mengantuk dilihat cuma gejala biasa. Katanya, rasa mengantuk pada waktu siang mungkin lebih berupakan ‘penanda’ semula jadi terhadap faktor diri yang keletihan disebabkan tuntutan harian yang padat.

Namun, apabila gejala mengantuk itu semakin ketara dan kerap daripada biasa, masalah itu mula menjejaskan rutin harian termasuk mengganggu penumpuan lebih-lebih lagi ketika bekerja dan memandu.

Sedangkan dia tidak pernah menghadapi masalah gangguan tidur kerana dia menikmati waktu tidur berkualiti iaitu tujuh hingga lapan jam. Adakah masalah mengantuk dihadapinya itu gejala penyakit lain?

Sebenarnya, secara alami, adalah normal andai seseorang individu terasa mengantuk selepas seharian melakukan pelbagai aktiviti. Umumnya kita mengantuk apabila fungsi badan dan otak penat dengan aktiviti seharian. Tindak balas semula jadi akan berlaku dan kelenjar tertentu mengeluarkan hormon dengan menghantar tindak balas ke otak.

Malah berkenaan peranan hormon, antaranya pengkaji menemui rasa mengantuk berpunca daripada kompaun kimia bernama edenosin yang wujud dalam otak bertindak balas dengan reseptor otak.

Selain itu, kitaran tidur dipengaruhi ‘jam tubuh’ yang juga dikenali sebagai ritma sirkadian iaitu proses fisiologi berlaku dalam tubuh membolehkan badan bertindak balas dengan persekitaran seperti waktu tidur, makan dan aktif.

Jam tubuh ini yang sensitif dengan perubahan persekitaran seperti cahaya matahari dan suhu, membantu dalam menentukan sama ada waktu untuk berjaga pada waktu siang atau tidur ketika malam.

Namun, dalam masalah dihadapi kenalan tadi, Pakar Otorinolaringologi UiTM Private Specialist Centre (UPSC), Dr Ahmad Kusyairi Khalid, menyarankan pesakit menjalankan pemeriksaan menyeluruh.

Menurut beliau, mengantuk luar biasa bukan semata-mata gangguan tidur seperti dihadapi kebanyakan pesakit kecelaruan tidur ritma sirkadian tetapi boleh menjadi petanda penyakit lebih serius.

“Mengantuk mempunyai gejala mirip bagi simptom penyakit lain yang mungkin menyerupai gejala disebabkan gangguan tidur. Gangguan tidur juga ada pelbagai jenis dan merujuk pada keadaan dialami pesakit.

“Masalah mengantuk tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menjadi petanda bagi penyakit serius dihadapi individu berkenaan. Ini termasuklah komplikasi penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi pada usia muda.

“Maka, sebaik-baiknya pesakit ini menjalani pemeriksaan menyeluruh bagi mengenal pasti punca mengantuk itu adakah disebabkan gangguan tidur atau tanda-tanda kepada masalah lebih serius.

“Tidak saja merujuk ke doktor hidung, telinga dan mulut, malah pakar neurologi, psikiatri dan lain-lain bagi menangani isu mengantuk luar biasa berkenaan,” katanya.

Merujuk pada mengantuk yang biasa dihadapi pesakit diabetes, gejala itu lazim berlaku selepas makan. Apatah lagi makanan yang diambil pesakit kandungannya tinggi karbohidrat dan gula.

Ia bermula dengan rasa penat dan diikuti mengantuk disebabkan kapasiti tubuh pesakit diabetes tidak lagi dapat menghasilkan insulin bagi menukar gula ke sumber tenaga.

Sambil menerangkan gejala mengantuk yang biasa dialami pesakitnya, Dr Kusyairi berkata, untuk kes yang dirujuk kepadanya biasanya pesakit mengadu mengalami masalah mengantuk luar biasa akibat gangguan tidur atau hidung tersumbat.

“Biasanya saya menerima pesakit yang menghadapi gejala tidur terganggu termasuklah rasa tercekik, lemas, kerap bangun untuk kencing dan berdengkur sehingga menjejaskan kualiti tidur.

“Tidak dinafikan dilema ini sering dihadapi mereka yang bekerja syif dan selalu terbang ke luar negara selain tidak mengamalkan hidup sihat termasuk masalah obesiti,” katanya.

Kata Dr Kusyairi lagi, faktor gangguan lain iaitu kesihatan mental dan emosi juga memungkinkan seseorang itu menghadapi masalah mengantuk luar biasa.

“Ada kajian perubatan menerangkan mereka yang mengalami kemurungan dan emosi tidak stabil untuk satu tempoh yang panjang boleh menjejaskan kualiti tidur, seterusnya mencetuskan gejala mengantuk.

“Dalam keadaan normal, individu yang tidak cukup tidur, penat dengan aktiviti seharian selain berasa sedih disebabkan peristiwa tertentu boleh merangsang badan bertindak balas dan menyebabkan mengantuk apatah lagi mereka yang mengalami gangguan mental.

“Paling penting yang berkait dengan gangguan neuron teruk termasuk sawan ketika tidur dan sebagainya. Ini menjadikan gejala mengantuk yang berlaku perlu dirujuk kepada psikiatrik mahupun neurologi,” katanya.

Bagi mengatasi masalah mengantuk keterlaluan, ada beberapa langkah awal boleh diambil seperti diet serta amal gaya hidup sihat.

Melihat pada punca penyakit terutama individu mempunyai masalah obesiti, sebaik atur gaya hidup mereka termasuk pengambilan makanan seimbang iaitu sayur dan buah-buahan yang dapat membekalkan vitamin dan zat mencukupi.

“Usaha yang boleh dilakukan selain mendapatkan rawatan, pesakit seharusnya mengubah diet mereka termasuk mengelak makanan tinggi karbohidrat dan gula pada waktu malam.

“Makanan tinggi karbohidrat memerlukan tempoh pencernaan yang lebih panjang untuk menukar karbohidrat dan gula ke tenaga. Situasi itu menyebabkan organ berkenaan perlu bekerja lebih lama pada waktu malam berbanding fungsi semula jadinya kerana ketika ini ia sepatutnya berada dalam mod rehat,” katanya.

Elak juga pengambilan kafein yang membuat pesakit berjaga sehingga jauh malam, sebaik-baiknya pengambilan air kosong atau teh hijau boleh membantu mereka menikmati tidur malam lebih baik.

Selain itu, amalkan aktiviti bersenam, individu yang mengalami masalah mengantuk pada waktu siang hari boleh amalkan tidur sekejap sekitar 15 hingga 30 minit ketika tengah hari.

Jika di pejabat, gunakan waktu makan tengah hari untuk melelapkan mata seketika. Ini membolehkan mereka ‘mengecas’ kembali tenaga untuk meneruskan tugasan. Namun, jangan tidur selepas waktu Asar kerana anda akan berasa lebih letih dan tidak bertenaga.

Antara penyakit yang sering dikait dengan gejala mengantuk selain diabetes dan masalah psikiatri ialah;

Anemia

Kandungan zat besi yang rendah menyebabkan penghidapnya mudah rasa mengantuk kerana kandungan oksigen kurang dalam darah. Bahkan penderita sering rasa mengantuk meskipun sudah menikmati tidur yang mencukupi.

Penyakit jantung

Antara tanda jantung tidak baik adalah tubuh sering berasa mengantuk, lemah dan lelah. Lebih ketara gejala itu dihadapi ketika waktu siang. Selain itu, gejala awal penyakit jantung biasanya menyebabkan gangguan tidur pada waktu malam termasuk sukar bernafas.

Hipertensi

Lazim bagi penderita tekanan darah tinggi tidak menikmati tidur nyenyak pada waktu malam. Gejala sakit kepala dan tekanan serta sakit pada bahagian bahu selain leher membuatkan mereka tidak cukup tidur. Tidak hairan keesokan hari mereka mudah berasa letih dan kurang bermaya.

Hiperkalsemia

Kadar kalsium dalam darah antara punca penyakit hiperkalsemia yang berpunca daripada gangguan terhadap sistem saraf, jantung dan pencernaan. Kadar kalsium yang normal dalam tubuh adalah sekitar 8,2 - 10,2 mg/dL, namun penderita hiperkalsemia memiliki kadar kalsium antara 12 mg/dL hingga melebihi 14 m/dL.

Hipotiroidisme

Penyakit hipotiroidisme membuatkan pesakit sukar tidur malam, lantas mengantuk pada waktu siang. Hormon tiroid yang dihasilkan kelenjar tiroid berfungsi membantu tubuh atur waktu tidur tetapi jika terlalu banyak, ia sebaliknya mengganggu waktu tidur.

Hiponatremia

Hiponatremia adalah gangguan elektrolit ketika kadar natrium dalam darah lebih rendah daripada sepatutnya. Kadar penurunan natrium yang pantas boleh menyebabkan kemudaratan kerana ia penting mengendalikan kadar air dalam tubuh, menjaga tekanan darah serta mengatur sistem saraf dan otot.

4/12/18

TAHUKAH ANDA BAYI PALING MUDAH DIJANGKITI DEMAM VIRUS


Penyakit ringan seperti demam dan selesema sering dikaitkan dengan cuaca panas serta hujan tidak menentu yang berlaku sepanjang tahun. Walaupun ia masalah kesihatan biasa yang kita alami, jika ia kerap berulang tentu membuatkan kita bimbang dan tidak selesa.

Bagi orang dewasa, demam menjejaskan prestasi kerja. Namun, kita akan lebih gundah sekiranya masalah kesihatan ini dialami kanak-kanak yang masih dalam proses membina kekuatan antibodi atau imunisasi bagi melawan pelbagai penyakit, sama ada disebabkan bakteria atau virus.

Kita sering dengar luahan rakan yang mempunyai anak kecil terpaksa mengambil cuti apabila anak mereka dimasukkan ke wad kerana demam virus.

Menurut Pegawai Perubatan Kecemasan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Dr Shamsinar Samsuddin, demam virus adalah nama yang diberikan kepada demam akibat pelbagai jenis virus yang wujud di sekeliling manusia.

Beliau berkata, virus adalah organisma mikro yang menyebabkan jangkitan. Malah, ia lebih kecil daripada fungus dan bakteria.

“Virus ini akan memasuki sel perumah (individu yang dijangkiti) dan melepaskan asid ribonukleik (RNA) atau asid deoksiri bonukleik (DNA). Ia akan mengganda dan bertambah bilangannya yang menyebabkan kematian sel tuan rumah.

“Semua jenis jangkitan virus boleh menyebabkan demam. Virus yang paling sering menimbulkan gejala adalah seperti jangkitan pada saluran pernafasan, salur pemakanan, kulit dan sistem saraf serta otak,” katanya.

Katanya, virus boleh menyerang semua peringkat umur, sama ada kanak-kanak atau golongan dewasa. Golongan kanak-kanak adalah lebih sensitif dan lebih mudah terdedah kepada jangkitan ini disebabkan daya tahan tubuh yang masih lemah dan tidak berkembang sepenuhnya seperti golongan dewasa.

“Kanak-kanak yang jarang terdedah kepada persekitaran luar, contohnya bayi dan kanak-kanak bawah umur tiga tahun, rata-rata masih dijaga rapi oleh ibu mereka sendiri di rumah dan tidak pernah bergaul dengan kanak-kanak lain, secara amnya mempunyai daya tahan tubuh yang lemah terhadap virus biasa.

“Berbanding dengan kanak-kanak yang sudah terbiasa dijaga di tempat asuhan atau pusat jagaan kanak-kanak di luar, daya tahan tubuh lebih kuat,” katanya.

Dr Shamsinar berkata, golongan dewasa yang mendapat jangkitan virus juga akan mengalami gejala tidak sihat yang sama seperti kanak-kanak. Namun, gejala ini mungkin hilang dalam beberapa hari disebabkan daya ketahanan tubuh yang kuat serta kemampuan tubuh untuk melawan jangkitan berkenaan.

Jelasnya, bagi mengenali simptom demam virus, jangkitan virus secara umumnya akan memberikan gejala demam dan mungkin disertai batuk dan selesema.

Bagaimanapun, demam virus dapat dibezakan daripada demam yang disebabkan oleh jangkitan bakteria pada beberapa aspek seperti suhu badan meningkat sekitar 37.5 hingga 38 darjah Celsius,

“Demam bakteria pula boleh mencapai suhu yang lebih tinggi. Selain itu, keadaan kanak-kanak yang mengalami jangkitan virus secara umumnya adalah lebih baik berbanding kanak-kanak yang mendapat jangkitan bakteria, dalam erti kata mereka masih kelihatan aktif dan cergas walaupun sedang demam.

“Kanak-kanak yang diserang jangkitan bakteria umumnya kelihatan lebih sakit dan lesu. Muntah dan cirit-birit bukan faktor penentu sama ada kanak-kanak terbabit diserang jangkitan virus atau bakteria, ia hanyalah perkembangan daripada masalah kesihatan itu sendiri,” katanya.

Buat masa ini tidak ada rawatan khusus untuk merawat jangkitan virus, namun pelbagai kaedah boleh dilakukan bagi mengurangkan gejala yang dialami.

“Demam akan dirawat dengan pemberian ubat mengurangkan demam. Paracetamol kini tersedia luas di pasaran dan diperbuat dalam pelbagai jenama dan sediaan. Dos yang disarankan untuk kanak-kanak adalah sebanyak 15mg/kg berat badan dan boleh diberikan secara berulang-ulang setiap empat hingga enam jam.

“Pada masa yang sama, ibu bapa harus memastikan status hidrasi anak masing-masing tetap bagus, yang bermaksud anak masih mampu minum seperti biasa dan tidak mengalami dehidrasi (kekurangan air),” katanya.

Jelasnya lagi, apabila demam, kanak-kanak akan hilang selera makan. Ini adalah perkara biasa dan pada ketika ini doktor lebih menekankan kemampuan anak untuk minum berbanding makan dalam menentukan kadar hidrasi seorang kanak-kanak.

Tambahnya, jika anak menghidap gejala batuk, selesema, cirit-birit atau muntah, rawatan yang diberikan adalah berdasarkan simptom yang ditunjukkan. Bagaimanapun, tidak semua gejala berkenaan perlu dirawat kerana ia ada hadnya iaitu jangkitan akan hilang dengan sendirinya.

“Satu hal paling penting yang perlu diketahui oleh ibu bapa ialah, jangkitan virus tidak boleh diubati dengan pemberian antibiotik. Jadi, apabila doktor tidak memberikan antibiotik kepada anak, jangan minta!” katanya.

10/08/18

AMALAN GAYA HIDUP BERSIH MAMPU CEGAH PENULARAN VIRUS HFMD


Penyakit tangan, kaki dan mulut juga dikenali sebagai Hand, Foot and Mouth Disease (HFMD) adalah penyakit yang sering berjangkit dalam kalangan kanak-kanak disebabkan jangkitan virus daripada kumpulan enterovirus. Ia merebak melalui sentuhan secara langsung dengan air liur, cecair hidung, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit. Ia juga boleh merebak melalui sentuhan pada permukaan objek atau alatan permainan yang tercemar dengan virus ini.

Penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa saja terutama kanak-kanak bawah umur lima tahun. Jangkitan ini biasanya disebabkan amalan kebersihan diri kurang baik dan pendedahan kepada tempat atau persekitaran sesak yang mungkin meningkatkan lagi risiko penyebaran virus ini. Virus mudah merebak terutama pada awal minggu pertama jangkitan.

Taska adalah tempat yang sering berlaku penyebaran penyakit HFMD. Aktiviti harian seperti sukaneka dan kerja berkumpulan menyebabkan mereka bergaul rapat dan mudah dijangkiti.

Simptom

Individu yang dijangkiti penyakit HFMD biasanya akan menunjukkan satu atau lebih tanda seperti demam, ruam melepuh pada kaki, tangan atau ulser pada mulut dan lidah. Kanak-kanak juga mungkin mengalami muntah, cirit-birit dan kurang selera makan.

Kebanyakan kejadian penyakit ini tidak serius. Namun, ada sesetengah kes membabitkan komplikasi teruk seperti masalah sistem saraf dan jantung. Dapatkan rawatan daripada doktor sekiranya timbul sebarang tanda dan gejala penyakit HFMD pada kanak-kanak agar rawatan yang sesuai dapat diberi.

Rawatan

Penyakit HFMD biasanya sembuh tanpa rawatan menggunakan ubat-ubatan dalam masa tujuh hingga 10 hari. Bagaimanapun, ada keadaan jangkitan yang menyebabkan komplikasi teruk dan memerlukan rawatan intensif.

Ada juga kes kematian disebabkan oleh jangkitan penyakit HFMD, namun ia jarang berlaku.

Tiada rawatan khusus untuk merawat penyakit HFMD. Bagaimanapun, rawatan untuk melegakan simptom boleh diberikan kepada pesakit. Ubat demam seperti Paracetamol boleh diberikan bagi mengurangkan suhu badan dan sebagai ubat tahan sakit sekiranya pesakit mempunyai simptom sakit-sakit badan dan sebagainya.

Selain itu, gel mulut juga boleh digunakan untuk mengurangkan rasa pedih yang disebabkan oleh kewujudan ulser di bahagian dalam mulut. Ruam di bahagian tapak tangan dan kaki lazimnya tidak gatal dan tidak memerlukan sebarang rawatan. Seterusnya, pastikan kanak-kanak minum air yang secukupnya bagi mengelakkan gejala dehidrasi berlaku.

Pencegahan

Pada masa kini masih belum ada vaksin untuk mencegah jangkitan HFMD. Bagaimanapun, kita boleh mengawal penyebaran virus ini dengan mengamalkan kebersihan dalam kehidupan seharian. Ibu bapa dan penjaga seharusnya meningkatkan kebersihan diri dan persekitaran serta mengamalkan tabiat mencuci tangan dengan betul guna air dan sabun sebelum menyentuh anak-anak, sebelum menyediakan makanan, selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan mencuci najis anak. Ini adalah penting bagi mengelak penyebaran penyakit HFMD.

Bagi mengelakkan kanak-kanak yang dijangkiti menyebarkan penyakit ini, ibu bapa dan penjaga kepada pesakit HFMD dinasihatkan untuk elakkan daripada membawa pesakit HFMD ke tempat awam agar penyakit ini tidak merebak.

Ibu bapa atau penjaga juga dinasihatkan untuk membawa anak yang disyaki menghidap jangkitan HFMD berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Penting untuk mengelakkan sentuhan secara langsung dan tidak langsung pesakit HFMD dan orang lain.

Anak juga harus diajar untuk menutup mulut dan hidung dengan tisu atau sapu tangan apabila bersin dan batuk. Tingkatkan kawalan disinfeksi dengan mencuci alat permainan anak dengan agen pembasmi kuman serta elakkan perkongsian peralatan peribadi seperti tuala, sudu dan sebagainya kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan.

Media massa

Media massa memainkan peranan penting untuk menyebarkan maklumat yang betul dan menanam kefahaman berkaitan pencegahan penyakit HFMD. Ini secara tidak langsung memberikan pendidikan kesihatan kepada ibu bapa dan masyarakat bagi menangani penularan penyakit ini.

Kesimpulannya, walaupun kadar penularan penyakit HFMD adalah tinggi, ia masih boleh dicegah sekiranya semua pihak memainkan peranan. Segera bawa anak berjumpa doktor jika mempunyai simptom HFMD dan lakukan langkah pencegahan supaya penyakit ini tidak merebak. Kebersihan langkah utama mencegah penyakit tangan, kaki dan mulut ini.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) melalui talian 1 800-88-6722, Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang.

15/07/18

RISIKO TERKENA JANGKITAN KUMAN JIKA MANDI TERLALU LAMA


Mandi dalam keadaan berpeluh selepas melakukan pelbagai aktiviti harian membantu memberi kesegaran pada permukaan kulit. Mandi juga mengurangkan risiko menghadapi penyakit bawaan kuman dan bakteria.

Namun kajian Pusat Sains Genetik di Universiti Utah, Amerika Syarikat (AS) mendapati tabiat membersihkan diri secara keterlaluan boleh merosakkan mikrob sihat yang baik hidup dalam tubuh.

Untuk pengetahuan, mikrob perlu dikekalkan dalam ekosistem tubuh sebagai perlindungan bagi sistem imun, pencernaan dan jantung.

Pakar Dermatologi dari Metairie, Louisiana AS, Dr Patricia Farris berkata, apabila umur meningkat, kelenjar minyak lebih terbuka menjadikan kelembapan kulit lebih cepat hilang.

Beliau menyarankan individu tidak mandi terlalu lama iaitu melebihi 10 minit agar kerosakan pada kulit dan rambut tidak berlaku.

Berikut disenaraikan 10 tabiat perlu dikikis ketika membersihkan diri;

1. Culas gosok kaki

Saranan kepada individu melakukan aktiviti menggosok badan termasuk membersihkan dan mengeringkan kaki setiap hari.

Gunakan sabun lembut dan perlu membasuh di celah ibu jari. Tabiat ini membantu mengurangkan bau kaki selain merendahkan risiko jangkitan kulat.

2. Letak span basah di dalam bilik air

Menurut pakar dermatologi antarabangsa tabiat meninggalkan span basah di dalam bilik air boleh menggalakkan pembiakan bakteria yang terus hidup di sel kulit mati yang ada pada span berkenaan.

Kulit mati adalah makanan bakteria apatah lagi dengan suhu lembap meningkatkan kadar pembiakannya. Sebaik-baiknya gantung dan keringkan bagi mencegah jangkitan bakteria.

3. Lap kulit dengan tuala kasar

Mengesat badan dengan tuala yang kasar boleh menjejaskan tekstur kulit yang lembut dan menyebabkan pengelupasan. Cara terbaik mengelap badan dengan lembut menggunakan tuala yang gebu.

4. Terlalu kerap guna sabun dan syampu

Tidak sah mandi kalau tidak meratakan sabun ke seluruh badan. Tidak puas juga rasanya jika tidak mencuci rambut dengan syampu kegemaran. Namun sedarkah anda mandi terlalu kerap dan lama boleh menyebabkan kulit kehilangan kelembapannya, apatah lagi jika mandi air suam. Inilah sebabnya juga, kebanyakan portal kesihatan menyarankan penggunaan mandian bersifat organik dan kurang buih.

Walaupun ada orang mencuci rambut setiap hari, ramai pakar penjagaan kecantikan menyarankan supaya hadkan kepada dua kali seminggu bagi mengekalkan pengeluaran minyak semula jadi yang dapat mengembalikan kelembapan kulit.

5. Elak mandi air sejuk

Mandi air panas membantu menenangkan diri. Namun sentuhan air sejuk tidak boleh dinafikan sebagai terapi yang baik bagi tubuh.

Dalam satu kajian mendapati siraman air sejuk pada bilasan akhir yang dikenakan selama 30 saat pada tubuh membantu memperbaiki toleransi terhadap stres, menguatkan sistem imun, meningkatkan pembakaran lemak dan ada kesan antikemurungan.

6. Kerap bungkus rambut

Meskipun tiada kajian merekodkan tabiat membungkus rambut dengan tuala boleh menyebabkan botak, tetapi ia mengakibatkan tekanan dan kerosakan pada akar rambut. Memadai mengelap lembut rambut selain membelai hujung rambut. Kemudian dibiarkan kering dengan semula jadi.

14/07/18

FAKTOR RISIKO BERSALIN BAYI PRAMATANG


Bersalin pramatang ditakrif sebagai proses melahirkan bayi sebelum usia kandungan 37 minggu.

Gejala bersalin pramatang sama seperti normal, termasuk kontraksi teratur berlaku setiap lima hingga 10 minit kepada satu kontraksi setiap jam.

Ada wanita mengalami kebocoran air ketuban. Namun begitu, sejumlah kecil wanita tidak mengalami kontraksi, tetapi leher rahim (serviks) membuka dengan senyap.

Ini mungkin disebabkan kelesuan pada serviks, suatu keadaan yang disebut ketidakseragaman servikal.

Walaupun punca sebenar tidak diketahui, ada pelbagai risiko menyebabkan kelahiran pramatang seperti merokok, mengambil alkohol berlebihan dan penggunaan dadah rekreasi.

Faktor risiko lain termasuk:

• Sejarah kelahiran pramatang sebelum ini.

• Usia terlalu muda (kurang dari 16 tahun) atau ibu berusia melebihi 38 tahun.

• Tekanan gaya hidup.

• Ibu yang kurang berat badan.

Bagaimana saya boleh mengurangkan risiko kelahiran pramatang?

Merancang kehamilan adalah kunci kepada kelahiran selamat dan sihat. Anda harus memastikan tahap kesihatan optimum sebelum cuba hamil.

Masalah perubatan sebelum hamil perlu dirawat dan diambil kira selain doktor perlu dimaklumkan mengenai niat anda untuk hamil.

Itu membolehkan doktor menyarankan tindakan perlu diambil serta memberi preskripsi ubat-ubatan terbaik bagi mengelakkan kelahiran pramatang.

Anda perlu mengubah gaya hidup dengan mengamalkan diet sihat dan menghentikan tabiat merosakkan kehamilan anda.

Sebaik disahkan mengandung, anda perlu berjumpa bidan terlatih atau pakar obstetrik untuk mengesan apa-apa masalah.

Ingat, jangkitan boleh dirawat lebih awal. Pada pesakit mempunyai leher rahim lemah atau pendek, jahitan pembedahan mungkin diletakkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Apa yang akan berlaku jika saya mula berasa sakit bersalin sebelum cukup bulan?

Jika anda mula mengalami kontraksi atau beg air bocor, anda perlu berjumpa doktor dengan segera. Doktor akan meneliti sejarah dan memeriksa perut anda untuk kontraksi dan menentukan kedudukan bayi.

Pemeriksaan dalaman akan dijalankan untuk mencari bukti jangkitan dan menentukan sama ada serviks anda sudah membuka. Kemasukan ke bilik wad mungkin perlu jika anda berada dalam peringkat bersalin pramatang.

Garis panduan menguruskan kelahiran pramatang:

• Masalah pernafasan kerana paru-paru bayi tidak cukup matang untuk membolehkan mereka bernafas sendiri. Bayi mengalami masalah ini mungkin memerlukan sokongan ventilator dengan terapi oksigen.

• Masalah dalam mengekalkan suhu badan terutama pada bayi yang kurang berat.

• Jangkitan seperti radang paru-paru. Bayi pramatang biasanya mempunyai imuniti yang lebih rendah dan mudah terdedah kepada jangkitan.

• Paras gula darah rendah dan kesukaran penyusuan.

Kemajuan dalam teknologi perubatan kini meningkatkan kehidupan yang sihat bagi bayi pramatang. Namun, ada beberapa bukti perubatan menunjukkan bayi lahir kurang daripada 28 minggu akan mengalami risiko seperti kesukaran pembelajaran, pendengaran dan penglihatan.

13/07/18

IBU BAPA RUNSING APABILA ANAK KECIL DIJANGKITI DEMAM CAMPAK, INI KAEDAH RAWATANNYA..


Cacar air atau ‘chickenpox’ antara jangkitan yang merisaukan ibu bapa sekiranya menjangkiti anak kecil.

Kanak-kanak bukan saja kurang selesa dan sakit, malah lebih membimbangkan risiko penularan jangkitan cacar air daripada kanak-kanak lain yang mengalaminya.

Oleh itu, pengetahuan pengesanan awal, pengurusan pesakit dan rawatan berkesan perlu diambil berat khususnya oleh ibu bapa.

Cacar air dan virus varicella zoster

Cacar air disebabkan jangkitan kali pertama virus varicella zoster kepada manusia yang berisiko. Kebiasaannya, golongan pada peringkat usia kanak-kanak, remaja dan awal dewasa lebih mudah mendapat cacar air daripada jangkitan itu.

Virus varicella zoster boleh menjangkiti melalui sama ada sentuhan secara langsung kepada lepuh air yang pecah ataupun melalui cecair pernafasan.

Selepas jangkitan pertama, virus varicella zoster berubah menjadi tidak aktif atau pendam dalam sistem saraf hos yang dijangkiti.

Ia boleh menjadi aktif semula bertahun-tahun selepas itu dan menyebab­kan jangkitan lain iaitu kayap (herpes zoster), terutamanya pada usia lebih dewasa.

Simptom biasa cacar air adalah ruam pada tubuh. Satu hingga dua hari sebelum ruam pada tubuh muncul, individu mengalami cacar air akan berasa lemah badan, sakit kepala, kurang selera makan dan demam.

Ruam muncul di sekitar muka, dada dan belakang tubuh pada awal jangkitan. Ia juga boleh merebak ke seluruh tubuh termasuk dalam mulut, kelopak mata dan kawasan sulit.

Ruam berubah menjadi lepuh berisi cecair yang menyebabkan rasa gatal. Lepuh akan pecah dan akhirnya mengering. Kebiasaannya, seminggu diperlukan untuk semua lepuh menjadi kering.

Dalam beberapa kes yang jarang-jarang berlaku, virus varicella zoster juga menyebabkan komplikasi kepada organ tertentu seperti keradangan hati (hepatitis), keradangan paru-paru (pneumonitis) dan keradangan pada selaput otak (ensefalitis). Keadaan ini boleh mengancam nyawa individu yang dijangkiti.

Rawatan cacar air

Cacar air biasanya akan sembuh sendiri. Bagaimanapun, simptom tertentu boleh dirawat menggunakan ubat am yang boleh dibeli di farmasi atau sesetengah ubat yang memerlukan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi.

a. Ubat demam

Individu mendapat cacar air biasanya mula mengalami demam lebih awal daripada simptom lain. Suhu badan yang tinggi boleh dikurangkan dengan menggunakan ubat demam, contohnya paracetamol.

b. Ubat ruam

Ruam dan lepuh yang muncul pada tubuh akan menyebabkan rasa kurang selesa dan kegatalan. Bagi mengurangkan keadaan ini, produk topikal yang mengandungi ‘calamine’ boleh digunakan. Losyen ini menyejukkan kulit yang menghilang­kan sedikit rasa gatal dan kurang selesa.

c. Ubat tahan gatal

Selain menggunakan produk topikal, ubat tahan gatal daripada kumpulan antihistamin dalam sediaan biji atau sirap juga mungkin digunakan.

Bagaimanapun, pesakit hendaklah mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum menggunakan produk antihistamin.

Terdapat antihistamin menyebabkan kesan me­ngantuk dan tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah umur dua tahun.

d. Ubat antiviral

Cacar air biasanya tidak berbahaya, hanya memerlukan rawatan secara simptomatik. Dalam sesetengah keadaan, ubat antiviral diperlukan bagi mengurangkan jangkitan dialami dan risiko komplikasi.

Antara kumpulan perlu dimulakan dengan terapi antiviral individu menghidap penyakit paru-paru atau kulit yang kronik, wanita mengandung dan mereka yang menjalani terapi steroid.

Antiviral paling kerap digunakan bagi rawatan cacar air ialah acyclovir. Ia ubat terkawal yang hanya boleh dimulakan oleh doktor.

Tablet acyclovir perlu diambil dengan kekerapan ditetapkan manakala sediaan suntikan acyclovir perlu dimulakan bagi pesakit yang lebih serius dalam wad.

Pengurusan individu yang mengalami cacar air

Selain rawatan simptomatik dan antiviral, panduan berikut boleh diamalkan dalam pengurusan individu yang mengalami cacar air:

Elak menggaru badan yang gatal dengan tangan. Pastikan kuku jari anak dipendekkan atau memakai sarung tangan bagi mengelakkan kesan garuan pada kawasan ruam dan lepuh.

Kenakan pakaian longgar dan mempunyai pengudaraan yang baik. Haba dan perpeluhan menambah rasa kurang selesa dan kegatalan.

Pastikan pesakit minum air secukupnya untuk mengelakkan dehidrasi.

Cacar air mudah berjangkit. Oleh sebab itu, individu dijangkiti hendaklah menjauhkan diri daripada kawasan umum yang menjadi tumpuan orang ramai sehingga keadaan sembuh.

Cacar air secara umumnya jangkitan yang tidak serius. Rawatan secara simptomatik sudah mencukupi untuk merawat demam, rasa kurang selesa dan kegatalan.

Pengesanan awal serta pemeriksaan dan diagnosis oleh doktor akan memudahkan pengurusan dan rawatan cacar air dengan lebih berkesan. Sekiranya perlu, rawatan dengan antiviral akan dimulakan bagi mengelakkan komplikasi dan mempercepatkan penyembuhan.

Pertanyaan berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1 800-88-6722, Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang.

25/06/18

KESAN BURUK GAJET TERHADAP MATA KANAK-KANAK


Terdapat segelintir ibu bapa memberikan gajet kepada anak-anak bagi mengelakkan mereka merengek ketika memerlukan perhatian. 

Malah, ibu bapa mengambil kesempatan ini untuk berehat setelah penat bekerja. Masalah lain pula timbul apabila budaya ini diamalkan.

Berdasarkan kajian Akademi Pediatrik Amerika dan Persatuan Pediatrik Kanada berkenaan penggunaan teknologi mengikut umur, kanak-kanak berusia dua tahun tidak sepatutnya didedahkan dengan gajet, manakala penggunaan selama sejam sehari sahaja bagi kanak-kanak berusia tiga hingga lima tahun dan dua jam sehari bagi berusia enam hingga 18 tahun.

Sementara itu, seorang pakar terapi pediatrik, Cris Zone menyarankan agar larangan penggunaan gajet ke atas kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun. 

Pada usia itu, kanak-kanak akan sentiasa mencari cara mengembangkan kemampuan otak untuk mempelajari perkara baharu dan penggunaan gajet dalam tempoh lama akan memberi kesan buruk terhadap perkembangan otak.

Penggunaan gajet tanpa kawalan akan memberi kesan kepada urat saraf kanak-kanak kerana terdedah kepada cahaya berterusan. Saraf yang rosak akan mengakibatkan kesihatan mereka terganggu. 

Malah terdapat beberapa bukti pendedahan gajet terlalu awal menyebabkan pelbagai kesan sampingan seperti pembelajaran terjejas dan perubahan perlakuan.

Secara nisbahnya, seorang daripada tiga kanak-kanak yang memasuki alam persekolahan dilihat mempunyai kekurangan fungsi dan perhatian dalam melakukan sesuatu, kognitif lembab, pembelajaran terjejas, peningkatan kepada perlakuan mengikut emosi dan kurang kebolehan untuk mengawal diri serta cepat mengamuk.

Kanak-kanak ialah masa depan kita, justeru menjadi kewajipan ibu bapa untuk mendidik mereka dengan cara lebih kreatif biarpun tanpa menggunakan gajet dan teknologi.

26/05/18

PANDUAN MAKAN MALAM YANG SIHAT


Demi mendapatkan berat dan bentuk tubuh ideal, ramai individu mengelakkan makan pada waktu malam kerana meyakini tindakan itu mendorong pertambahan berat badan.

Seperti pengambilan sarapan dan makan tengah hari, makan malam juga penting dalam membekalkan tenaga dan nutrisi diperlukan tubuh.

Isu pertambahan berat badan bukan sekadar berpunca daripada tabiat makan malam, sebaliknya amalan diet tidak seimbang seperti makan secara berlebihan, makanan berlemak, berminyak dan tinggi kalori diiringi gaya hidup tidak sihat.

Makan malam adalah pelengkap nutrien yang tidak mencukupi pada siang hari seperti pengambilan sayuran, buahan dan tenusu.

Perlu diingatkan satu daripada faktor penyumbang berat badan berlebihan adalah pengambilan makanan melebihi keperluan.

Justeru, pengambilan makanan harian boleh dibahagikan kepada beberapa hidangan

dalam sehari termasuk makan malam.

Makan malam yang sihat dan tidak melebihi keperluan kalori harian tidak akan menyumbang kepada obesiti.


Faktor makan malam dikaitkan dengan masalah kegemukan termasuk:

1. Makan malam beramai-ramai terutama keluarga akan mempengaruhi saiz hidangan dan seseorang makan lebih banyak berbanding makan sendirian.

2. Sikap melangkau waktu makan pada siang hari menyebabkan kelaparan tidak terkawal sekali gus membuatkan seseorang makan berlebihan ketika malam.

3. Tindakan menjadikan makan malam sebagai satu cara melepaskan tekanan turut mendorong masalah obesiti.

4. Kecenderungan mengambil makanan tinggi lemak dan kalori seperti ais krim, coklat, kerepek ketika menonton televisyen waktu malam turut dikaitkan dengan masalah kegemukan.

Panduan makan malam yang sihat:

1. Utamakan makanan seimbang mengikut saranan Piramid Makanan Malaysia.

2. Hadkan pengambilan makanan bergoreng, berlemak dan berminyak.

3. Ketahui saiz hidangan makan malam seharusnya membekalkan anda 400 hingga 500 kalori.

4. Waktu makan malam paling sesuai 6.30 petang hingga 8.30 malam. Sekiranya berasa lapar dan tidur lewat, pilih buahan, roti, biskut atau susu suam sebagai snek.

5. Tidak digalakkan ambil makanan lewat malam.

6. Elak makan malam sambil menonton televisyen.

7. Elakkan teh atau kopi selepas makan malam kerana ia boleh mengakibatkan gangguan tidur.

8. Jika menghadiri jamuan makan malam, makan secara sederhana dengan saiz hidangan kecil, pilihan makanan sihat, utamakan buah-buahan dan air kosong.

17/05/18

KAEDAH TERBARU BEDAH TUMOR OTAK


Gangguan neurologi kritikal merujuk pada penyakit sistem saraf pusat dan sekitarnya yang serius, biasanya berkait rapat dengan masalah di bahagian otak. 

Penyakit yang tergolong dalam masalah itu termasuk epilepsi, Parkinson, penyakit serebrovaskular seperti strok dan paling serius, tumor otak.

Pesakit tumor otak biasanya mengalami gejala sakit kepala, penglihatan kabur, lemah, gangguan pertuturan, pendengaran dan pitam yang menandakan rawatan diperlukan segera sebelum sel barah merebak dalam otak.

Masalah direkodkan dalam kalangan pesakit tumor otak yang biasa berlaku adalah metastatik (sebaran sel kanser) dari tempat lain dalam badan sedangkan hanya sebahagian kecil yang bermula di otak.

Oleh kerana ketumbuhan ini terlindung di sebalik tengkorak, pesakit hanya berjumpa doktor apabila sudah lewat, tanda klinikal sudah ketara sebaik struktur otak dihimpit oleh pembesaran ketumbuhan itu.

Di sinilah bermulanya dilema pesakit apabila mereka perlu menjalani pembedahan bagi membuang tumor berkenaan menerusi kaedah lama yang dikenali sebagai pembedahan terbuka. 

Pembedahan kaedah konservatif itu memberi kesan mendalam terhadap pesakit apabila mereka membayangkan proses berkenaan terlalu rumit selain melalui tempoh pemulihan yang panjang.

Menerusi revolusi teknologi terbaru dikenali dengan Leksell Gamma Knife Icon yang kini diperkenalkan di Malaysia, pesakit tidak perlu khuatir mengenai komplikasi pembedahan terbuka dan tempoh pemulihan panjang.

Kemampuan pisau gamma itu bukan saja terhad dalam membuang sel kanser terlindung di sebalik tengkorak dengan lebih baik, ia juga merawat masalah neurologi lain seperti epilepsi, metastasis kanser otak, neuroma akustik dan Parkinson.

Pakar Perunding Bedah Saraf Pusat Perubatan Sunway, Dr Ravi Krishnapillai berkata, kelebihan buat pakar bedah saraf apabila menggunakan prosedur terbabit ialah tempoh rawatan lebih singkat selain hasil lebih efektif berbanding pembedahan otak konvensional.

“Teknologi pisau gamma membolehkan doktor menyasarkan bahagian otak bermasalah secara lebih tepat dengan bantuan pelbagai teknik pengimejan termasuk pandangan tiga dimensi (3D) mengenai sasaran dan struktur otak sekitarnya.

“Tambahan pula dengan versi terbaru ini membolehkan pakar bedah merawat kawasan tisu yang lebih besar tanpa sebarang komplikasi ketara daripada penggunaan dos radiasi yang lebih tinggi. 

Jadi masalah kesihatan otak lebih serius dan tidak boleh dirawat dalam dos tunggal (seperti tumor besar) kini boleh ditangani dalam tempoh beberapa minggu sahaja,” katanya.

Tambahnya, pembedahan otak menerusi radiasi yang dipancarkan melalui pisau gamma itu dilihat sebagai alat paling tepat untuk memusnahkan tumor di dalam otak tanpa menjejaskan keadaan saraf lain yang berfungsi dengan baik.

Sistem rawatan itu menggunakan rangkaian 192 pancaran sinar gamma berupaya menghasilkan sinaran radiasi pekat dan berkuasa disatukan di bahagian terjejas. Teknologi Kawalan Dos Adaptive pula memastikan jumlah radiasi yang tepat menuju sasaran dari setiap arah.

Sementara itu Pengarah Urusan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Kumpulan Sunway, Lau Beng Long menyifatkan kemasukan teknologi itu ke Malaysia membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan perubatan terutama membabitkan otak dan saraf tempatan.

“Satu pencapaian apabila ketika ini di Asia Tenggara, Malaysia antara memiliki teknologi yang boleh meningkatkan kualiti perkhidmatan perubatan untuk dinikmati pesakit barah terutamanya.

“Rawatan teknologi ini lebih relevan kerana kredibiliti dalam merawat pesakit mengalami masalah saraf dan tumor otak lebih dipercayai selain ia mengubah pengalaman pesakit daripada situasi kurang selesa kepada rawatan dos radiasi lebih rendah tanpa menjejaskan fungsi tisu sihat,” katanya.

16/05/18

HATI HATI DENGAN PENYAKIT BAWAAN MAKANAN


Penyakit bawaan makanan bukan penyakit yang biasa diketahui umum sehinggalah baru-baru ini apabila timbul sekatan terhadap produk tembikai wangi (rock melon) dari Australia kerana didapati menjadi punca kematian tiga penduduknya serta menyebabkan puluhan lagi dimasukkan ke hospital akibat bakteria Listeria.

Sebelum ini pun Malaysia pernah menghentikan kemasukan dua jenama epal dari California, Amerika Syarikat, kerana isu serupa bagi mencegah berlakunya kes membabitkan penyakit bawaan makanan.

Perangkaan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada 2015 menganggarkan penyakit bawaan makanan disebabkan 31 agen termasuk bakteria, virus, parasit, toksin dan bahan kimia, mengakibatkan 600 juta kes atau hampir satu dalam 10 orang di dunia jatuh sakit setiap tahun lepas memakan makanan tercemar.

Ini memberi gambaran krisis penyakit bawaan makanan meruncing apabila sebahagian besar mangsa mengalami gejala cirit-birit teruk berpunca daripada tabiat mengambil makanan mentah atau daging kurang masak, telur, keluaran baru dan produk tenusu dicemari bakteria.

BAKTERIA Campylobacter

Tujuh bakteria penyebab penyakit bawaan makanan

1. Escherichia coli (E.coli)

Bakteria ini hidup dalam usus manusia dan ternakan ruminan seperti lembu dan kambing. Ia sering ditemui dalam daging yang kurang masak, susu segar dan jus. Antara tanda keracunan akibat bakteria ini ialah cirit-birit, sakit perut dan muntah berpanjangan selama lima hingga 10 hari.

Bagi menghindari bakteria ini, masaklah daging sebaik-baiknya, cuci buah dan sayur dengan air mengalir sebelum dimasak dan elak susu segar yang belum dipasteur.

2. Campylobacter

Bakteria berbentuk berpilin berkembang pada ayam dan lembu. Penyakit ini boleh merebak tanpa gejala ketara.

Biasanya pesakit menderitai ciri-birit hingga, dalam kes serius, tahap berdarah. Simptom lain ialah kejang, sakit perut dan demam.

Langkah pencegahan ialah masak daging sehingga benar-benar masak, cuci tangan menggunakan sabun selepas menyentuh daging dan pastikan peralatan memasak dikendalikan dengan bersih.

3. Listeria monocytogenes

Bakteria ini biasa ditemui di tanah dan air di samping makanan mentah, makanan proses dan susu yang tidak dipasteur. Ia juga boleh hidup dan tersebar pada suhu dingin.

Gejala jangkitan termasuk demam dan menggigil, sakit kepala, mual dan sakit perut. Ibu hamil lebih berisiko kerana boleh menyebabkan keguguran.

Elak jangkitan dengan mencuci bersih buah berkulit keras seperti tembikai sebelum dipotong. Peti sejuk dan ruang penyimpanan makanan juga harus kerap dibersihkan, serta pisahkan ruang makanan yang sudah dimasak dengan yang mentah.

4. Vibrio parahaemolyticus

Merujuk pada bakteria yang sering ditemui dalam makanan laut kerana habitat bakteria ini ialah air masin. Gejala biasanya berlaku dalam tempoh 24 jam iaitu cirit-birit, mual, muntah dan demam yang berlanjutan hingga tiga hari.

5. Toksoplasma

Gejalanya jarang muncul kerana sistem imun badan melindungi serangan parasit ini. Namun segelintir yang terdedah kepada jangkitan akan mengalami selesema, sakit kepala, badan tidak selesa dan demam.

Risiko lebih tinggi dialami ibu hamil kerana jangkitan menyebabkan kerosakan otak, mata dan organ lain pada janin. Punca biasanya sentuhan langsung dengan najis kucing terjejas, pengambilan daging mentah dan minum air tercemar.

6. Salmonella

Banyak ditemui dalam telur setengah masak, daging, sayur dan buah yang tidak dicuci bersih. Jangkitan menyebabkan gejala demam, cirit, sakit perut dan kepala. Kebanyakan orang akan pulih tanpa ubat tetapi boleh jadi serius bagi kanak-kanak dan penghidap penyakit kronik.

7. Norovirus

Virus penyebab gastroenteritis merujuk pada kesakitan pada perut dan usus, dan biasanya ditemui dalam makanan dan minuman rosak. Punca lain ialah sebaran oleh orang yang mengalami jangkitan virus terbabit.

Antara gejalanya ialah mual, sakit perut, muntah, cirit-birit teruk, sakit kepala, demam dan keletihan yang berlanjutan beberapa hari. Untuk mencegah, cuci tangan dengan sabun selain bersihkan permukaan bilik air dan tandas.

* Sumber: infosihat.gov.my dan lifestyle.kompas.com

15/05/18

PUNCA KEHADIRAN BATU KARANG DALAM SISTEM URINARI MANUSIA


Pembentukan batu karang dalam sistem urinari manusia akibat pengambilan dan penghasilan asid urik serta kalsium berlebihan adalah isu kesihatan biasa sering dialami kebanyakan rakyat Malaysia.

Berdasarkan kajian, penyakit batu karang lebih berisiko terjadi dalam kalangan rakyat di negara yang terletak di garisan khatulistiwa dan tropika, beriklim panas seperti Amerika Utara dan hampir semua negara di benua Asia termasuk Malaysia.

Faktor kurang pengambilan air sekurang-kurangnya 1.5 hingga 2 liter meskipun cuaca panas dikatakan satu daripada penyumbang kepada penyakit batu karang.

Pakar Urologi, Dr Poongkodi Nagappan berkata sistem perkumuhan membabitkan urinari (kencing) manusia merangkumi kedua-dua ginjal (buah pinggang), ureter, pundi kencing dan uretra.

Ginjal berfungsi menapis sel darah merah dan menyingkirkan hasil perkumuhan melalui sistem urinari sebagai air kencing. Manakala ureter pula bertindak menyalurkan air kencing dari buah pinggang ke pundi kencing.

Pundi kencing yang berfungsi menyimpan air kencing sebelum dikumuhkan daripada badan, kemudian dikeluarkan melalui uretra atau salur kencing.

“Masalah batu karang boleh menimpaa mana-mana individu tanpa mengira faktor jantina dan usia sama ada dewasa mahupun kanak-kanak.

“Pembentukan batu karang terjadi apabila ginjal gagal menapis kehadiran bahan seperti kalsium, asid urik dan bakteria seperti Proteus, Psedomonas dan Klebsiella seterusnya melekat pada dinding buah pinggang.

“Pembentukan batu karang ini selalunya bermula daripada buah pinggang, seterusnya terjadi di dalam saluran ureter dan pundi kencing, apabila batuan itu terjatuh di kedua-dua bahagian berkenaan.

“Hasilnya, air kencing pesakit akan menjadi lebih pekat kerana air kencing bertakung dalam salur ureter dan pundi kencing.

“Di Malaysia, batu karang yang disebabkan asid urik adalah lebih tinggi iaitu 17 peratus berbanding hanya empat peratus di negara Barat. Ini menunjukkan gaya pemakanan antara faktor kepada penyakit batu karang berlaku di negara ini.

“Selain masalah metabolisma tubuh, asid urik didapati dalam makanan seperti makanan laut terutama kerang, sotong, ikan bilis dan ikan sardin.

“Tabiat suka makan organ dalaman seperti hati, paru-paru dan usus, pelbagai jenis kekacang dan ulaman yang mengandungi sumber protein tinggi turut menyebabkan pembentukan batu karang,” katanya ketika ditemui.

Mengulas mengenai tempoh pembentukan batu karang dalam sistem kencing manusia, beliau berkata proses itu tidak dapat dikenal pasti kerana ia bergantung pada kuantiti pengambilan makanan berasid urik dan kalsium tinggi, selain faktor metabolisma individu berkenaan.


Jelasnya, saiz batu karang boleh membentuk dengan ukuran panjang dan lebar sebanyak dua sentimeter malah memenuhi ginjal, justeru rawatan bagi batu karang ini ditentukan berdasarkan saiz dan lokasinya.

Kata Dr Poongkodi, batu karang boleh keluar sendiri bersama air kencing seperti berpasir dengan saiz kurang empat milimeter.

Mendedahkan terdapat dua kategori rawatan batu karang, sama ada bukan pembedahan seperti pengambilan ubatan bagi melarutkan batu karang ataupun rawatan Extracorporeal Shock Wave Lithotripsy (ESWL) bagi batuan lebih kecil, kurang daripada 1.5 sentimeter.

Kategori kedua adalah menerusi pembedahan seperti endoskopi dan pembedahan yang sememangnya jarang dilakukan masa kini, melainkan batu karang terbentuk di kawasan yang kompleks dan sukar.

Pembedahan endoskopi pula dilakukan mengikut kawasan yang dikenal pasti mempunyai masalah batu karang.

“Batu karang yang terdapat di pundi kencing selalunya dipecahkan menjadi cebisan batuan kecil menggunakan laser atau imbasan bunyi.

“Bagi batu karang di salur ureter, kita akan menggunakan ureteroscopy (URS) sebagai kaedah rawatan. Begitu juga, rawatan batu karang bersaiz kecil pada ginjal akan menggunakan URS lebih fleksibel, manakala kaedah percutaneous nephrolithotomy (PCNL) untuk batu karang bersaiz besar,” katanya.

Kata Dr Poongkodi lagi, pesakit batu karang yang berusia 35 tahun ke bawah dikategorikan pesakit berisiko tinggi dan perlu mengikuti rawatan susulan kerana mereka berisiko mendapat penyakit ini berulang.

Penyakit batu karang berulang terjadi disebabkan masalah saluran kencing abnormal, kadar metabolisma tubuh yang menjurus kepada tahap keasidan air kencing yang tinggi.

Antara gejala awal batu karang termasuk rasa sakit sekiranya batu karang berada di salur ureter, mikroskopik hematuria (kencing berdarah), sakit di bahagian belakang dan pinggang, kesukaran untuk kencing dan jangkitan kuman.

Saranan beliau, masyarakat perlu mengamalkan tabiat minum air sekurang-kurang dua liter sehari bersamaan enam hingga lapan gelas atau kekerapan ke tandas pada skala lima hingga enam kali sehari.

Tegasnya juga, pengambilan kalori seimbang diperlukan tubuh antara 2,000 (perempuan) dan 2,500 (lelaki) sehari juga penting, seiring dengan faktor berat badan, usia dan kadar metabolisma tubuh.

Selain itu, masyarakat perlu mengawal kadar diabetes, obesiti dan mengurangkan tabiat pemakanan yang mengandungi asid urik tinggi.

7/02/18

RISIKO BAYI BANTUT


Sikap sambil lewa ibu bapa terhadap ujian saringan berjadual dilakukan di hospital boleh mengundang kelewatan mengesan penyakit serius pada bayi seperti hipotiroidisme kongenital.

Menurut portal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu myhealth.gov.my, kajian mengenai kes hipotiroidisme di Malaysia menganggarkan 120 kelahiran bayi mempunyai penyakit itu setiap tahun.

Bayi berpenyakit ini berisiko mengalami tumbesaran terbantut, lewat perkembangan dan terencat akal kerana ketiadaan serta kekurangan hormon tiroksin dihasilkan kelenjar tiroid.

Turut berkongsi pandangan ialah Pakar Perubatan Keluarga, Dr Sakinah Sulong menerusi laman Facebook peribadinya mengingatkan pentingnya ibu bapa melakukan saringan darah tali pusat bayi. Ia dikenali dengan prosedur ‘cord TSH’ (hormon perangsang tiroid) dalam kalangan pengamal perubatan.

“Inilah gunanya program saringan hipotiroidisme kongenital yang dimulakan sejak 1998 di hospital kerajaan di seluruh negara.

“Darah tali pusat bayi diuji sebaik dilahirkan untuk mengesan masalah itu lebih awal.

“Sekiranya keputusan darah ini tidak normal, ibu bapa pesakit akan dihubungi untuk makluman agar mereka diberi rawatan secepat mungkin,” katanya.

Turut berkongsi kaedah rawatan diberikan kepada bayi dikesan awal menghadapi masalah terbabit menerusi pemberian pil tiroksin boleh menggantikan masalah hormon tiroid yang kurang.

Tanda bayi alami masalah hipotiroidisme kongenital

• Jaundis neonatal berpanjangan

• Suara tangisan yang kasar atau garau

• Sembelit

• Perut yang buncit

• Hernia di pusat

• Kulit kering, kasar dan pucat

• Lidah besar (makroglosia)

• Raut muka kasar

• Tidak aktif dan banyak tidur

• Terencat akal

• Tumbesaran terbantut

6/02/18

JANGAN AMBIL REMEH TENTANG PENJAGAAN MATA


Hilangnya satu nikmat dunia apabila pandangan mata yang dulunya terang kini seakan-akan berkabus hingga menimbulkan ketidakselesaan menjalani kehidupan seharian.

Penyakit selaput mata atau sebutan saintifiknya, katarak adalah satu masalah kesihatan mata utama yang sering menyerang golongan berusia 65 tahun dan ke atas.

Meskipun katarak lebih ‘popular’ dalam kategori pesakit bagi lingkungan usia lanjut, ini tidak bererti generasi muda bebas daripada risiko penyakit selaput mata ini.

Antara faktor penyebab katarak adalah menghidap kencing manis (termasuk pesakit muda), mengalami kecederaan atau trauma pada mata, bermasalah radang mata dan kanak-kanak yang dilahirkan bersama katarak.

Pakar mata dan motivasi, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad berkata, penyakit selaput mata berlaku dalam keadaan kanta mata mula hilang kejernihan dan mengganggu laluan kemasukan cahaya ke retina sekali gus menghasilkan imej atau fokus yang kabur.

“Seiring dengan peningkatan usia dan kewujudan penyakit lain terutama diabetes, kejernihan dan ketajaman lensa mata kian berkurangan.

“Kanta yang sihat dan jernih ini berfungsi menghasilkan fokus pada sesuatu imej untuk diterjemahkan.

“Proses katarak tidak berlaku secara mengejut dan tiba-tiba. Ia terjadi secara perlahan-lahan tanpa disedari, dalam masa sama, penglihatan mula menjadi kabur seakan-akan berkabus,” jelasnya.

KEMASUKAN cahaya terhalang oleh katarak.

Berdasarkan Kajian Mata Nasional 2 pada 2014, setiap tahun seramai 413,000 penduduk berusia 50 tahun ke atas mempunyai masalah penglihatan.

Malah kenyataan rasmi diumumkan Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan pada 13 Oktober 2017, menyatakan daripada jumlah berkenaan, 113,000 berisiko buta manakala bakinya, 43,000 pesakit pula masih berpeluang untuk dirawat.

Mengulas tahap kebimbangan katarak dalam kalangan masyarakat hari ini, Dr Muhaya menyifatkan tahap kesedaran mengenai kepentingan menjaga deria penglihatan menjadi penentu kepada situasi berkenaan.

Menjadi satu daripada penyebab utama golongan warga emas berdepan kesukaran melihat secara normal, beliau menyatakan sikap ‘terlepas pandang’ mengenai katarak terutama bagi yang berada di kawasan luar bandar meletakkan status kesihatan mata mereka di tahap membimbangkan.

“Masyarakat di bandar lebih terdedah mengenai masalah katarak jika dibandingkan dengan komuniti di luar bandar.

“Apa yang membimbangkan adalah mereka hanya mendapatkan rawatan apabila keadaan sudah menjadi teruk, kerana seperti dinyatakan katarak berlaku secara perlahan-lahan.

“Apabila tahap katarak membimbangkan, kita tidak dapat menolak kemungkinan berlaku risiko buta secara kekal,” katanya.

Pesakit diabetes berusia 45 tahun ke atas dinasihatkan melakukan pemeriksaan mata secara menyeluruh setahun sekali.

KANTA mata hilang kejernihan.

Bagi kes kanak-kanak dilahirkan dengan bawaan katarak, dikenali sebagai katarak kongenital, ibu bapa perlu mengambil tindakan awal untuk mengelakkan risiko masalah penglihatan pada masa depan seperti buta dan juga mata malas.

Antara punca katarak kongenital berlaku ialah bayi dijangkiti kuman rubela semasa dalam kandungan dan ia boleh berlaku pada sebelah mata sahaja mahupun kedua-duanya.

Lazimnya, anak ini turut mengalami kecacatan kongenital mata seperti struktur hadapan mata dan struktur primer vitreous (gelemaca) yang abnormal.

Gejala masalah selaput mata kongenital dapat dikesan seiring dengan peningkatan kanak-kanak berkenaan.

Dr Muhaya berkata, kanak-kanak yang menghidap katarak kongenital perlu mendapat rawatan awal kerana mereka berisiko mengalami situasi mata malas.

Katanya, penyakit mata malas berlaku apabila kanta mata mengalami gangguan penerimaan cahaya seterusnya gagal membentuk imej pada retina.

Beliau turut menyarankan kanak-kanak ini mendapatkan rawatan menerusi pembedahan katarak yang sememangnya selamat dilakukan pakar mata kanak-kanak.

Menyentuh soal pemakanan, Dr Muhaya mengatakan pengambilan sayuran dan makanan kaya dengan vitamin A, C dan E berupaya mengurangkan risiko katarak.

5/02/18

GANGGUAN EMOSI ATAU MURUNG PERLU DIRAWAT DENGAN SEGERA


Kemurungan adalah penyakit mental yang menyebabkan emosi seseorang individu semakin menurun. Ia mungkin menjejaskan kehidupan harian individu dari segi perasaan, tingkah laku, pemikiran dan kesejahteraannya.

Sedih dan kecewa itu lumrah. Namun, sekiranya ia berlarutan sehingga berminggu dan mengganggu aktiviti seharian, ia adalah satu masalah kesihatan.

Kemurungan menyebabkan seseorang menjadi antisosial kerana kurang keyakinan diri atau berasakan dirinya bersalah dalam segala hal.

Gejala kemurungan termasuk perubahan corak tidur sama ada terlebih atau terkurang, sering marah atau menangis, tidak bermaya, berat badan turun mendadak serta kurang daya tumpuan sehingga tidak dapat membuat keputusan yang mudah.

Dalam keadaan serius, seseorang individu yang mengalami kemurungan mungkin melakukan cubaan untuk cederakan diri sendiri dan membunuh diri.

Berdasarkan kajian beban penyakit yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemurungan dijangka menjadi penyakit kedua teratas menjelang 2020 selepas penyakit jantung di seluruh dunia. Ini bermakna semakin ramai masyarakat dunia yang berpotensi untuk membunuh diri.

Pesakit kemurungan biasanya tidak mengaku dirinya murung. Oleh itu, peranan orang terdekat untuk menyedarkan mereka adalah sangat penting.

Jangan biarkan mereka bersendirian supaya tragedi yang tidak diingini dapat dielakkan. Bawa individu yang bermasalah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Beberapa faktor kemurungan yang dikenal pasti adalah genetik, kecederaan otak akibat kemalangan, penggunaan dadah, masalah kewangan, kemerosotan kesihatan fizikal atau masalah sosial, mengalami peristiwa hidup yang tragis seperti kehilangan pasangan, pengambilan sesetengah jenis ubat dan sebagainya.

Keadaan ini mengubah fisiologi badan. Hormon serotonin, dopamin dan norepinefrin yang bertanggungjawab dalam mengawal perasaan di otak menjadi tidak seimbang lalu menyebabkan kemurungan. Berdasarkan faktor di atas, kemurungan sebenarnya boleh dibantu melalui rawatan ubat.

Ada pelbagai jenis ubat antikemurungan atau ubat psikotropik yang efektif serta selamat untuk digunakan. Secara amnya, ubat-ubatan yang digunakan dalam rawatan penyakit kemurungan bertindak mengawal ketidakseimbangan hormon yang terbabit.

Ubat-ubatan psikotropik biasanya dipreskripsikan oleh doktor kepada pesakit bergantung kepada jenis dan tahap kemurungan pesakit.

Apabila keseimbangan hormon ‘perasaan’ diperbetulkan, maka kemurungan akan dapat diatasi. Namun, penggunaan sesetengah ubat-ubatan ini mungkin memberi kesan sampingan yang tidak diingini kepada pesakit.

Antaranya adalah kegemukan, loya, muntah, kembung perut dan kitaran haid yang tidak teratur. Bagaimanapun, keadaan pesakit mungkin lebih teruk sekiranya ubat tidak diambil berbanding kesan sampingan yang dialami.

Oleh itu, jika pesakit mengalami kesan sampingan ubatan yang diberi, maklumkan kepada doktor agar penukaran kepada ubat lain atau penggunaan ubat yang boleh mengatasi kesan sampingan itu dapat dilakukan. Teruskan pengambilan ubat seperti diarahkan oleh doktor.

Selain ubat psikotropik, pendekatan sokongan seperti kaunseling, psikoterapi, pendidikan psikologi dan pemulihan psikososial juga memainkan peranan yang penting dalam rawatan kemurungan.

Kemurungan juga sering dikaitkan dengan masalah spiritual menyebabkan kurang ketahanan mental. Rawatan alternatif seperti rawatan perubatan Islam sangat digalakkan di samping rawatan moden.

Ada beberapa tip bagi mengelakkan kemurungan sebelum melarat. Antara cadangan yang berkesan adalah melakukan sesuatu perkara yang sihat dan disukai seperti bersenam dan melukis.

Cara ini mampu meningkatkan perasaan gembira seterusnya dapat mengelak kemurungan. Di samping itu, meluahkan masalah yang dihadapi kepada seseorang yang dipercayai, contohnya ahli keluarga, kaunselor, doktor, pakar psikiatri atau pakar psikologi juga antara kaedah untuk mengekalkan kesihatan mental.

Pergaulan sosial yang sihat seperti berkomunikasi, sentiasa menghargai dan mempercayai orang lain, dapat menerima pendapat orang secara terbuka, serta memberi dan menerima kasih sayang juga mampu menangani masalah kemurungan.

Sokongan padu dan perhatian ahli keluarga terdekat dan sahabat karib sangat diperlukan bagi pesakit kemurungan untuk membina semula keyakinan diri.

Pantau orang terdekat atau diri anda sendiri, mungkinkah kita menghidapi masalah kemurungan? Segera dapatkan nasihat ahli profesional kesihatan kerana kemurungan boleh membawa kesan buruk sekiranya dibiarkan tanpa rawatan.

Jika ada sebarang kemusykilan atau pertanyaan berkaitan penggunaan ubat-ubatan, boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat jam 8 pagi-5 petang) untuk mendapatkan maklumat lanjut.

23/01/18

BAHAYA DIABETES KETIKA HAMIL


Berada di kedudukan kesembilan sebagai ‘pembunuh’ wanita di seluruh dunia dengan catatan 2.1 juta kematian, Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil tindakan proaktif dalam meningkatkan kesedaran mengenai penyakit diabetes sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia pada 14 November lalu.

Bersesuaian dengan tema Wanita dan Diabetes: Kesihatan Kita, Milik Kita, Hak Kita; Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kempen tahun ini fokus kepada wanita untuk menerima akses penjagaan dan pengetahuan lengkap dalam mengawal diabetes.

Statistik terbaru 2016 menunjukkan seramai 3.6 juta penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas adalah penghidap diabetes dan daripada jumlah berkenaan, seramai 1.8 juta adalah wanita.

“Kementerian komited memberikan akses penjagaan dan maklumat yang cukup supaya wanita mampu mengawal diabetes.

“Ini merangkumi golongan wanita mengandung untuk mendapatkan saringan, didikan dan penjagaan terbaik demi kesihatan ibu serta anak dalam kandungan.

“Bagi semua ibu hamil yang berisiko, mereka disarankan melakukan saringan diabetes mellitus gestasi (GDM) antara minggu ke-24 hingga 28 kehamilan dengan ujian ‘modified’ toleransi glukosa oral (mOGTT).

“Manakala, pesakit diabetes yang mahu hamil, perlu menghadiri kaunseling prakehamilan sebelum hamil supaya mereka mampu mengawal paras gula dalam darah dengan lebih baik sebelum dan sewaktu kehamilan,” katanya.

Bagi ibu hamil yang berisiko perlu melakukan ujian OGTT untuk memeriksa tindakan balas badan ibu mengawal tahap gula dalam darah sekali gus mengenal pasti penyakit kencing manis ketika hamil.

Berdasarkan kajian Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat, ibu yang hamil bersama diabetes memiliki risiko tinggi antara 20 hingga 50 peratus untuk mendapat penyakit diabetes mellitus (jenis 2) berterusan dalam tempoh lima hingga 10 tahun selepas melahirkan anak.

Untuk mengurangkan risiko penyakit ini, wanita perlu menjalani pemeriksaan gula dalam darah secara tahunan selepas bersalin.

Selain itu, mereka perlu fokus pada penjagaan kesihatan, pemakanan seimbang dan gaya hidup aktif.

Bagi pesakit diabetes mellitus jenis 1 (IDDM) yang berhasrat untuk memiliki cahaya mata pula, mereka perlu mendapatkan khidmat runding daripada pakar perubatan pelbagai bidang selain obstetrik dan ginekologi.

Ini kerana mereka berdepan risiko keguguran atau bayi dilahirkan dengan kecacatan, serta mendapat penyakit jantung 10 kali ganda berbanding ibu normal.

Antara perkara perlu dititikberatkan ketika hamil termasuklah imbasan terhadap pemeriksaan fizikal, darah, air kencing dalam menjaga kesuburan kandungan.

Selain mengamalkan gaya hidup aktif, golongan ibu perlu mengambil makanan berserat untuk kesihatan jantung mereka dan mengurangkan makanan bergula, berlemak serta berminyak.

Peningkatan kes diabetes antara penyakit kronik yang kian membimbangkan, justeru KKM menyambut baik inisiatif daripada pelbagai pihak untuk bersama-sama membantu menyebarkan kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya penyakit diabetes.