27/01/16

NYAMUK AEDES BAWA VIRUS BAHARU MAMPU MEMUDARATKAN KANDUNGAN IBU..


VIRUS ZIKA yang disebabkan oleh nyamuk Aedes merebak di sebahagian Amerika Latin dan Caribbean telah menimbulkan kebimbangan malah ia dikatakan penyebab bayi yang dilahirkan berkepala kecil di Brazil dan berkemungkinan turut menyebabkan beberapa isu kesihatan yang lain.

Memetik laporan AP, virus Zika (ZEE-ka) ditemui kali pertama pada monyet di Uganda pada tahun 1947. Namanya diambil dari sebuah hutan Zika iaitu lokasi virus itu ditemui.

Ia berasal terutamanya dari tropika Afrika dengan wabak di Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik dan muncul di Brazil tahun lalu dan sejak itu telah dilihat di banyak negara-negara Amerika Latin dan kepulauan Caribbean.

Virus Zika disebarkan melalui gigitan dari nyamuk dari jenis yang sama yang menyebarkan penyakit tropika yang lain seperti demam denggi, chikungunya dan demam kuning.

Ia bagaimanapun masih tidak diketahui sama ada ia merebak dari individu ke individu yang lain.

Pengkaji sedang mengkaji kemungkinan virus tersebut boleh dijangkiti melalui seks.

Ia ditemui di dalam air mani seorang lelaki di Tahiti dan terdapat satu lagi laporan mengenai kemungkinan penyebaran virus melalui hubungan seks.

Pertubuhan Kesihatan Dunia berkata, virus Zika cepat merebak di Amerika kerana ia adalah sesuatu yang baru di rantau itu.

Orang ramai masih tidak kebal (imun) kepada virus itu dan nyamuk Aedes aegypti (Aedes) ada dimana sahaja termasuklah sepanjang selatan Amerika Syarikat.

Hanya Kanada dan Chile yang tidak mempunyai nyamuk jenis ini.

SIMPTOM

Pakar berpendapat, orang yang dijangkiti virus Zika ini tidak jatuh sakit. Biasanya mereka hanya mengalami gejala ringgan seperti deman, ruam, sakit sendi dan mata merah yang hanya untuk tidak kurang dari seminggu.

Tiada ubat yang khusus dan tiada vaksin yang dibangunkan untuk itu yang berlaku untuk beberapa penyakit tropika lain yang menyebabkan wabak berkala.

APA YANG MENJADI KEBIMBANGAN SEKARANG

Di Brazil, ada bukti yang mengaitkan virus Zika yang menjangkiti wanita hamil akan menyebabkan kecacatan kelahiran yang dipanggil microcephaly di mana kepala bayi yang baru lahir adalah lebih kecil daripada biasa dan otak bayi mungkin tidak berkembang dengan baik.

Pegawai kesihatan Brazil Oktober lalu menyedari peningkatan yang mendadak dalam kes-kes microcephaly seiring dengan wabak Zika itu.

Bagaimanapun kaitan virus Zika masih dalam siasatan dan pegawai maklum bahawa banyak sebab keadaan tu. Hampir 4,000 kes yang berkemungkinan mempunyai kaitan.

Sementara itu, doktor juga mengambil perhatian kepada peningkatan laporan terhadap penyakit keadaan saraf yang dipanggil Guillain-Barre (gee-YAHN'-bah-RAY) yang boleh menyebabkan lumpuh.

Namun  kaitan penyakit itu kepada virus Zika masih tidak jelas.

ADAKAH JANGKITAN DAPAT DIHENTIKAN

Individu boleh melindungi diri mereka daripada gigitan nyamuk dengan menggunakan penghalau serangga dan memakai baju serta seluar lengan panjang terutama pada waktu siang, apabila nyamuk cenderung untuk menjadi yang paling aktif.

Pegawai kesihatan berkata, menghapuskan tempat pembiakan dan mengawal populasi nyamuk boleh membantu mencegah penyebaran virus.

NASIHAT PERJALANAN

Pegawai kesihatan AS mengesyorkan bahawa wanita hamil perlu mengambil kira untuk menangguhkan perjalanan ke 22 destinasi di Amerika Latin iaitu Bolivia, Brazil, Colombia, Ecuador, El Salvador, French Guiana, Guatemala, Guyana, Honduras, Mexico, Panama, Paraguay, Suriname dan Venezuela. Di Caribbean: Barbados, Guadeloupe, Haiti, Martinique, St. Martin dan Puerto Rico, Cape Verde, di luar pantai barat Afrika dan Samoa di Pasifik Selatan.

Di Brazil, kebanyakan ibu yang mempunyai bayi microcephaly telah dijangkiti semasa trimester yang pertama tetapi terdapat beberapa bukti kecacatan kelahiran boleh berlaku di peringkat akhir kehamilan.

Amaran perjalanan dikeluarkan kepada wanita di semua peringkat kehamilan.

26/01/16

KANSER OVARI PEMBUNUH SENYAP KAUM WANITA?


KANSER OVARI adalah pembunuh wanita secara senyap. Bukan sahaja salah satu kanser reproduktif wanita yang paling berbahaya dan sukar dirawat, ia juga sering lambat dikesan.

Sering disedari hanya bila tiba tahap yang tinggi iaitu tahap tiga dan empat, simptomnya yang tidak nyata membuatkan ia sukar dikesan.

Penyakit yang amat berbahaya ini merupakan punca kepada kebanyakan kematian daripada mana-mana kanser reproduktif yang lain.

Tidak seperti kanser-kanser reproduktif yang lain seperti kanser pangkal rahim yang sering diterangkan kepada umum, ramai yang tidak sedar akan kanser ovari.

Sedangkan, berdasarkan Pendaftaran Kanser Kebangsaan 2006 di Malaysia, kanser ovari merupakan kanser keempat paling banyak ditemui dalam kalangan wanita.

Menurut Konsultan Perubatan Onkologi Hospital Beacon, Dr. Azura Rozila Ahmad, penemuan pada tahap yang tinggi membuatkan ia sukar dirawati kerana ia telah merebak ke organ lain.

Kanser ovari sememangnya diagnosis yang menakutkan tetapi tahap kejayaan untuk pulih bergantung kepada tahap kanser yang ditemui.

Malangnya, kira-kira 70 peratus kanser ovari dikesan pada tahap yang tinggi bermaksud hanya dalam satu daripada lima ditemui di peringkat awal sedangkan 90 peratus kanser ovari di tahap satu boleh dirawat.

Simptom kanser ovari tidak jelas seperti perut buncit, perubahan cara pembuangan air besar, kurang nafsu makan, cepat kenyang dan rasa tidak selesa di bahagian perut.

“Simptom tersebut sering disalah erti sebagai masalah biasa membuatkan mereka tidak bertemu dengan pakar untuk mengadakan pemeriksaan terperinci,” terangnya ketika ditemui di Hospital Beacon, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Terang Dr. Azura, selain simptomnya yang tidak nyata, diagnosis kewujudan kanser ini menggunakan pengimejan ultra bunyi dan CT-Scan hanya dapat mengesahkan kewujudan ketum­buhan kerana ia terlalu jauh di dalam pelvis.

19/01/16

ENDEMIK DEMAM DENGGI DI MALAYSIA MEMBIMBANGKAN?


Pada separuh pertama tahun ini, kes DENGGI di Malaysia meningkat sehingga 66,721 kes, dengan 165 kematian direkodkan di seluruh negara. Lebih membimbangkan, kebanyakan rakyat Malaysia bersikap acuh tak acuh mengenai denggi.

Endemik demam denggi terus meningkat, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), baru-baru ini dalam kenyataannya menyebut kira-kira 390 juta kes dilaporkan setiap tahun dan 96 juta daripadanya dikesan turut memperoleh komplikasi penyakit lain.

Laporan itu menganggarkan lebih 3.9 bilion penduduk di 128 negara seluruh dunia, berisiko tinggi terkena jangkitan virus denggi dan bilangannya terus meningkat.

Sanofi Pasteur menerusi bahagian vaksin Sanofi, baru-baru ini mengumumkan Filipina telah memberi kelulusan pemasaran kepada vaksin pertama yang akan dilesenkan untuk pencegahan denggi di Asia.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Filipina meluluskan vaksin denggi tetravalen berkenaan untuk pencegahan denggi yang disebabkan oleh empat jenis denggi bagi individu berusia 9 hingga 45 tahun yang tinggal di kawasan endemik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sanofi Pasteur, Olivier Charmeil berkata, kelulusan vaksin denggi pertama di Asia yang menanggung 70 peratus beban penyakit ini di peringkat global adalah satu pencapaian yang besar dalam pencegahan denggi dan kesihatan awam.

“Kelulusan penggunaan vaksin denggi di Filipina adalah yang pertama di dunia dan kedua Mexico mengukuhkan komitmen Sanofi Pasteur sejak sekian lama untuk memperkenalkan vaksin baru yang inovatif di seluruh dunia di mana denggi adalah ancaman besar kepada kesihatan awam,” katanya.

Beban demam denggi di Asia kekal sebagai yang tertinggi di dunia dengan anggaran 67 juta orang dijangkiti setiap tahun. Sebagai penyakit urban, denggi menyerang populasi di Asia dalam bentuk wabak tidak menentu yang mampu melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan seterusnya memberikan kesan yang negatif terhadap aktiviti sosial dan ekonomi.

Negara endemik di Asia membelanjakan kira-kira AS$6.5 bilion (RM28 bilion) setiap tahun untuk kos perubatan dan lain-lain kos yang berkaitan dengan denggi.

Sementara itu, Presiden Yayasan Vaksin Filipina, Dr May Book Montellano menjelaskan, pencegahan denggi adalah keutamaan perubatan yang penting dan semakin diperlukan di Filipina.

“Vaksinasi diterima dengan meluas sebagai salah satu cara yang paling menjimatkan kos untuk mengurangkan penyebaran penyakit berjangkit seperti denggi.

“Kelulusan vaksin denggi pertama di dunia ini adalah penambahan yang penting kepada pendidikan awam yang berterusan serta usaha kawalan vektor yang kini diarahkan kepada pencegahan denggi di negara kami,” katanya.

Denggi adalah keutamaan kesihatan awam di negara tropika dan subtropika di Asia dan Amerika Latin. Sanofi Pasteur kini memperkenalkan vaksin dengginya di negara ini di mana vaksin berkenaan mempunyai potensi yang terbesar untuk mengurangkan beban denggi global dan membantu mencapai matlamat Organisasi Kesihatan Sedunia untuk mengurangkan kadar kematian akibat denggi sebanyak 50 peratus dan morbiditi sebanyak 25 peratus menjelang 2020 di negara endemik.

Sanofi Pasteur mendaftarkan lebih 40,000 peserta di dalam kajian keselamatan dan keberkesanan klinikal menyeluruh yang keba­nyakannya dijalankan di negara endemik serta membina kemudahan penghasilan vaksin khas di Perancis untuk memastikan bekalan vaksin yang berkualiti dan mencukupi bagi memenuhi permintaan daripada negara endemik selepas ia diperkenalkan.

Beban penyakit denggi di peringkat global
Menurut Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), deng­gi adalah penyakit bawaan nyamuk yang paling pantas berkembang di dunia hari ini, menyebabkan hampir 400 juta jangkitan setiap tahun.

Sejak 50 tahun lalu, denggi telah berkembang dari hanya wujud di beberapa buah negara sehingga menjadi endemik di 128 negara yang didiami kira-kira empat bilion orang, dan insiden denggi telah meningkat sebanyak 30 kali ganda dalam tempoh itu.

Walaupun denggi menjangkiti individu semua peringkat umur dan latar belakang sosioekonomi, jumlah kes denggi yang tertinggi di dunia adalah dalam kalangan populasi endemik yang banyak bergerak dan sosial merangkumi golongan praremaja hingga dewasa sekurang-kurangnya berusia 9 tahun.

11/01/16

SAKIT KERONGKONG MAMPU ANCAM NYAWA KANAK-KANAK?


Sakit kerongkong atau difteria adalah penyakit lazim yang mengancam nyawa kanak-kanak kerana ia menjejaskan sistem pernafasan.

Penyakit berjangkit ini pernah berleluasa di seluruh dunia dan menjadi punca utama kepada penyakit serta kematian dalam kalangan kanak-kanak.

Pada 1921, sebanyak 206,000 kes difteria dengan 15,520 kematian direkodkan di Amerika Syarikat sehingga banyak keluarga membuat keputusan untuk berkurung di rumah masing-masing bagi memastikan anak mereka selamat.

Malah penyakit ini juga merebak di negara Eropah sehingga menimbulkan kebimbangan kerana mengakibatkan ribuan kematian setiap tahun. Di Barat, difteria juga digelar Malaikat Melemaskan (The Strangling Angel) disebabkan oleh pembentukan membran berwarna kelabu keputihan yang berbentuk sayap pada tonsil kanak-kanak yang menghidap penyakit ini.

Selaput ini akan memenuhi dan menyekat tekak, peti suara dan paru-paru lalu mengakibatkan mangsa sesak nafas. Vaksin melawan difteria mengurangkan kadar kematian dan morbiditi penyakit ini secara mendadak, bagaimanapun difteria masih menjadi masalah kesihatan kanak-kanak yang ketara di negara dengan liputan program lanjutan imunisasi (EPI) terendah.

Di negara endemik untuk difteria, penyakit ini berlaku kebanyakannya sebagai kes sporadik atau wabak kecil. Difteria mengakibatkan kematian dalam lima hingga 10 peratus kes dengan kematian tertinggi membabitkan kanak-kanak. Rawatan pula membabitkan antitoksin difteria bagi meneutralkan kesan toksin difteria sebagaimana antibiotik membunuh bakteria.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, difteria disebabkan oleh jangkitan bakteria Corynebacterium diphtheria dan disebarkan daripada pesakit kepada individu lain melalui titisan cecair pernafasan apabila seseorang yang dijangkiti itu batuk, bersin atau bercakap.

Individu yang dijangkiti boleh menyebarkan penyakit dalam masa dua hingga tiga minggu selepas pendedahan awal kepada bakteria terbabit. Namun individu yang dijangkiti mungkin tidak menunjukkan apa-apa simptom jangkitan sebelum menyebarkan penyakit ini kepada orang lain tanpa diketahuinya.

Bakteria ini kemudian akan menjangkiti tekak iaitu bahagian tonsil, farinks, larinks dan hidung. Kadang­kala ia turut menjangkiti selaput mukus lain, kulit, konjunktiva dan kemaluan.

Ia menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas. Toksin ini juga boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis).

“Di Malaysia, pesakit yang disyaki menghidap difteria akan diberi antitoksin dengan segera tanpa menunggu keputusan ujian makmal kerana sebaran toksin ke seluruh tubuh boleh mengancam nyawa.

“Lazimnya seorang kes difteria memerlukan tujuh hingga lapan vial antitoksin dengan kos RM500 setiap vial berbanding dengan kos vaksin hanya RM34 satu dos dan dapat melindungi daripada lima jenis penyakit,” katanya di Putrajaya, baru-baru ini.

Menurutnya, sejak pelalian difteria dimasukkan ke dalam Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan pada 1972, kejadian penyakit difteria menurun dengan sangat drastik.

Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, bilangan kes difteria yang paling tinggi di Malaysia dicatatkan pada 2013 membabitkan empat kes termasuk dua kematian dilaporkan dengan kadar insiden 0.01 kes per 100,000 populasi penduduk.

“Namun, pada awal November lalu, satu kes difteria dilaporkan berlaku di Kampung Bukit Malut, Langkawi, Kedah. Kes membabitkan pesakit kanak-kanak berumur lapan tahun dan tidak menerima imunisasi difteria.

“Mangsa meninggal dunia kerana komplikasi jangkitan dan sebagai langkah berjaga-jaga, semua anggota keluarga terdekat termasuk individu lain yang rapat diperiksa. Hasil pemeriksaan didapati hanya seorang mengalami gejala yang disahkan dijangkiti difteria.

“Kedah juga pernah melaporkan satu kes kematian difteria yang berlaku di Kampung Bikan, Kulim pada Disember 2014 dan kes ini juga disebabkan mangsa tidak mendapat suntikan lengkap imunisasi difteria,” katanya.

Beliau berkata, pada masa kini, imunisasi difteria terkandung dalam vaksin lima serangkai dikenali DTaP-IPV/Hib untuk penyakit difteria, pertusis, tetanus, polio dan Haemophilus Influenza Jenis B.

Ia diberikan pada bayi umur dua, tiga dan lima bulan sebagai dos utama dan umur 18 bulan sebagai dos tambahan. Liputan imunisasi yang melebihi 95 peratus dalam komuniti akan memberi imuniti kelompok dan melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti bakteria ini. Kanak-kanak yang menerima imunisasi lengkap hanya akan mengalami gejala ringan.

“Jangkitan difteria mempunyai kadar kematian yang sangat tinggi. Ia menunjukkan betapa bahayanya penyakit ini dan betapa mustahaknya kanak-kanak diberi imunisasi difteria.

“Oleh itu, ibu bapa disarankan untuk memastikan anak mereka mendapat imunisasi lima serangkai dos utama yang lengkap. Tindakan bijak kita akan menyelamatkan anak daripada komplikasi jangkitan difteria ini,” katanya.

Vaksin difteria adalah toksin bakteria yang tahap ketoksikannya sudah dimatikan. Pelalian ini biasanya diberi dalam kombinasi dengan vaksin lain seperti DTP. Bagi remaja dan dewasa, toksin tidak aktif difteria biasanya diberi bersama toksin tetanus tidak aktif dalam kepekatan rendah.

Antara penyakit yang boleh dicegah menerusi pemberian vaksin ialah Haemophilus Influenza Jenis B (Hib) yang menyebabkan meningitis dan pneumonia, hepatitis B yang menyerang hati, human papillomavirus (HPV) yang menyebabkan kanser serviks dan jangkitan seks, demam campak menyebabkan buta dan encefalitis, meningitis A iaitu jangkitan pada otak, beguk, pneumococcal, polio, rotavirus yang menyebabkan cirit-birit, rubella, kancing gigi dan demam kuning.