19/12/14

KETAHUI KESAN SAMPINGAN UBAT KEPADA ANAK ANDA


Dalam merawat kanak-kanak, penggunaan ubat yang selamat sangat penting kerana tindak balas tubuh kanak-kanak terhadap ubat tidak sama dengan orang dewasa. Ini kerana wujud perbezaan keadaan fisiologi dan kematangan organ dalam tubuh mengikut peringkat usia dan perkembangan mereka.

Kanak-kanak lebih terdedah kepada risiko mendapat kesan toksik dan kesan sampingan ubat jika berlaku kesilapan pemberian dos ubat. Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting, terutama dalam aspek kesedaran dan pengetahuan berkaitan penggunaan ubat yang betul dan selamat untuk kanak-kanak.

Antara pengetahuan penting harus diberi penekanan adalah cara penyediaan, pengambilan dan penyimpanan ubat untuk memastikan keselamatan dan keberkesanannya ketika digunakan.

Cara pengambilan ubat juga penting bagi memastikan kanak-kanak mendapat rawatan optimum. Ibu bapa atau penjaga perlu mengikut arahan doktor dan ahli farmasi dalam memastikan keberkesanan rawatan.

Pengetahuan berkaitan ubat yang betul, dos yang betul, cara dan masa pengambilan yang betul serta tempoh rawatan ubat yang optimum dapat membantu dalam pemulihan dan pencegahan penyakit.

Beberapa jenis ubat memerlukan penyediaan khas. Sebagai contoh, ubat antibiotik yang biasanya dibekalkan dalam bentuk serbuk perlu dilarutkan dengan air dalam sukatan yang ditetapkan sebelum diberi kepada kanak-kanak.

Ibu bapa atau penjaga perlu tahu cara penyediaan dan sukatan betul dalam memastikan ketepatan dos bagi mengelak kesilapan dos ubat yang membahayakan kanak-kanak.

Cara penyimpanan ubat juga tidak kurang pentingnya. Bukan saja kanak-kanak, malah ubat-ubatan dewasa perlu disimpan dengan selamat. Maklumat penyimpanan ubat yang betul boleh didapati dalam sisip bungkusan atau pada label sesuatu ubat. Suhu, kelembapan dan cahaya mempengaruhi kestabilan dan keberkesanan ubat.

Selain itu, ubat perlu disimpan di tempat yang sukar dicapai kanak-kanak bagi mengelak kes termakan ubat secara berlebihan atau tersalah makan ubat orang dewasa.

Ubat diberi kepada kanak-kanak mesti disukat dengan betul menggunakan sudu penyukat atau picagari penyukat. Amalan memasukkan ubat dalam makanan atau minuman seperti susu tidak digalakkan bagi memastikan semua dos ubat yang diperlukan diambil dengan tepat.

Kesilapan pengubatan
Kesilapan pengubatan boleh berlaku di mana-mana dan dilakukan oleh sesiapa saja. Antara kesilapan yang kerap berlaku adalah pemberian dos dan penggunaan ubat yang tidak disaran pemberiannya untuk kanak-kanak.

Sering berlaku anggapan bahawa dos kanak-kanak adalah separuh daripada dos orang dewasa. Anggapan ini tidak benar kerana dos kanak-kanak ditentukan oleh berat badan. Pengetahuan berkaitan dos betul sangat penting untuk mengelak kesan sampingan atau kesan toksik akibat kesilapan pemberian dos ubat.

Selain itu, ibu bapa atau penjaga perlu faham tujuan dan fungsi setiap ubat dibekalkan untuk mengelak penggunaan ubat yang tidak diperlukan.

Sebagai contoh, penggunaan ubat batuk dan selesema dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur dua tahun. Pada 2008, Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA) mengeluarkan amaran berkaitan penggunaan ubat batuk dan selesema untuk kanak-kanak di bawah umur dua tahun tanpa arahan doktor.

Ubat batuk dan selesema mudah diperoleh di kedai kesihatan dan runcit, oleh itu pemantauan penggunaannya sukar. Beberapa kes kesan sampingan buruk seperti sawan, peningkatan kadar denyutan jantung dan koma serta kes kematian dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur dua tahun yang diberi ubat batuk dan selesema di seluruh dunia.

Hasil kajian dan penyelidikan juga mendapati tiada bukti kukuh menunjukkan keberkesanan ubat ini dalam kalangan kanak-kanak berumur kurang dari dua tahun. Oleh itu, Kementerian Kesihatan menarik balik indikasi penggunaan ubat batuk dan selesema dalam kalangan kanak-kanak kurang dari dua tahun.

Kesan toksik dan kesan sampingan
Keadaan fisiologi dan organ badan tidak matang boleh melambatkan kadar perkumuhan ubat daripada tubuh kanak-kanak. Perkara ini menyebabkan ubat terkumpul di dalam tubuh dan boleh mengakibatkan kesan toksik atau kesan sampingan yang tidak diingini seperti gangguan fungsi buah pinggang atau hati.

Ada juga kesan sampingan berbentuk alahan seperti sesak nafas, keradangan atau kegatalan kulit disebabkan oleh kesan toksik. Oleh itu, kanak-kanak mempunyai risiko tinggi untuk mendapat kesan ini dan ibu bapa atau penjaga perlu tahu dan mengenal pasti kesan ini pada peringkat awal.

Selain itu, jika ada sejarah alahan terhadap ubat, ibu bapa atau penjaga harus memaklumkan doktor atau ahli farmasi ketika mendapatkan rawatan untuk mengelak perkara seperti ini berulang. Pesakit yang diberi kad alahan perlu membawa kad ketika berjumpa doktor.

Nasihat untuk ibu bapa atau penjaga
Semua informasi penting berkaitan ubat ada pada label ubat. Ibu bapa atau penjaga perlu membaca label ubat dengan teliti supaya tidak tersalah memberi ubat. Elak berkongsi ubat walaupun untuk simptom penyakit sama. Ini kerana, simptom penyakit mungkin sama tetapi penyakit berbeza.

Ibu bapa harus sedar ubat bukan saja boleh memulihkan, bahkan memudaratkan anak jika tidak diguna dengan betul dan selamat. Masyarakat dan ibu bapa atau penjaga perlu mengambil berat pengambilan ubat anak bawah jagaan mereka.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai ubat, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1800-88-6722. Disediakan: Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan.

16/12/14

KECUAIAN IBU BAPA DALAM SESAAT BOLEH MENGUNDANG KECELAKAAN PADA ANAK


IPOH: "Ketika kami sampai di R&R itu, dia mengadu sakit perut dan nak berhenti buang air, maka saya pun berhenti. Selepas dia keluar dari kereta ke tandas, entah macam mana tidak lama selepas itu, saya terlupa hal dia yang belum masuk kereta dan teruskan perjalanan.

Mungkin kerana terlalu memikir selepas itu saya ada ceramah di Kuala Kangsar," kata pendakwah PU Yeop mengimbas insiden beliau tertinggal anaknya, Muhammad Iskandar Zulqarnain, 8,  di sebuah stesen minyak di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Lebuh Raya Utara Selatan di Gurun, Kedah, Ahad lalu.

PU Yeop atau nama sebenarnya, Mohd Zainudin Mohamed Zaini berkata, hanya setelah sampai di rumahnya di Simpang, Taiping, baru dia tersedar seorang daripada enam anaknya yang bersama dalam perjalanan dari Perlis sebelum itu, tidak ada.

"Tiba-tiba saya teringat, saya turunkan dia di stesen minyak R&R Gurun kira-kira dua jam sebelum itu. Sampai di rumah, baru saya tersedar anak saya tak cukup seorang. Nak patah balik (ke Gurun)... dalam tempoh dua jam itu, macam-macam boleh jadi. Cemas memanglah cemas tapi saya tak boleh ikutkan perasaan. Mahu tak mahu saya kata kepada isteri, kita kena bertenang. Kita usaha elok-elok. Kalau kelam kabut, apa pun tak jadi.

"Sebagai bapa, siapa tidak sayangkan anak, darah daging sendiri? Tapi kalau saya sendiri buat kelam kabut, tidak bertenang, emaknya lebih lagi.

Tambahan pula, saya ada ceramah yang nak kena pergi di Kuala Kangsar. Saya tak boleh tak pergi, habis majlis orang yang sudah buat persiapan. Sebab itu, saya tak boleh nak berpatah balik ke Gurun walaupun anak sendiri hilang," katanya.

Dalam keadaan itu, bagi Yeop apa yang paling penting ialah betul-betul berserah kepada ALLAH untuk lindungi anaknya itu.

"Saya tidaklah berserah saja, saya telefon polis, saya juga telefon tanya Plus, minta tolong cari anak saya. Saya kira lepas selesai ceramah di Kuala Kangsar itu, baru saya akan putuskan apa yang saya sendiri akan buat," katanya.

Mengimbas perjalanan dalam tempoh selama dua jam dari Gurun ke Taiping, Yeop berkata, dia sendiri tidak habis fikir macam mana dia sendiri, isterinya dan anak-anaknya yang lain boleh terlupa Muhammad Iskandar Zulqarnain tidak masuk kereta ketika mereka meneruskan perjalanan.

"Ini ujian ALLAH untuk saya dan keluarga," katanya.

Sedar dirinya dalam ujian, bagi Yeop itulah peringatan untuk beliau dan keluarganya bersikap tenang hadapi keadaan itu," katanya.

Penyerahan dan doa Yeop ternyata dimakbulkan ALLAH. Habis ceramah, beliau pulang ke rumah. Tidak lama kemudian, Muhammad Iskandar Zulqarnain sudah ada di depan pintu rumah.

"Rupa-rupanya ada orang yang baik hati jumpa dia di stesen minyak itu. Keluarga itu dari Changlun, Kedah dalam perjalanan ke Bagan Serai ke rumah kenduri saudara mereka," katanya.

Mengulas apa yang berlaku kepada anaknya, Yeop mengakui, punca kejadian itu kerana kecuaian beliau sendiri.

"Orang boleh kata apa saja kepada saya, dan bagi saya, ALLAH menguji saya. Ini jadi peringatan untuk diri saya sendiri. Kita masing-masing kena beringat selalu, tak boleh leka macam saya. Paling penting, macam mana kita kendalikan diri, keadaan sekeliling, anggota keluarga apabila berlaku kecemasan seperti itu supaya tidak bertambah cemas dan panik. Sebaiknya maklumkan segera dengan pihak berkuasa, dengan kemudahan teknologi seperti WhatsApp dan Facebook sedikit sebanyak membantu kita,” katanya.

14/12/14

KHATAN BAYI SEMASA KECIL - IKUT SUNAH RASULULLAH


HARIAN METRO: Seorang bayi lelaki berusia dua bulan mengekalkan tradisi dipelopori dua abangnya apabila dikhatankan pada usia muda kerana disifatkan mudah untuk dijaga selain mengikut sunah Rasulullah SAW.

Bayi itu, Abdul Halim Abdul Khalik yang juga anak kepada seorang pekerja kontrak menjadi peserta pertama dikhatankan pada majlis berkhatan beramai-ramai anjuran Jawatankasa Perwakilan Penduduk (JPP) Taman Cenderawasih yang berlangsung di Hospital Langkawi (HL) di sini, semalam.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak menangis ketika dikhatankan ditemani bapanya, Abdul Khalik Mohd Saad, 32, dan ibunya, Asma Aziz, 27.

Abdul Khalik berkata, anak sulung mereka kini berusia empat tahun juga berkhatan awal iaitu pada usia 15 hari diikuti adiknya yang dikhatankan selepas Asma tamat tempoh berpantang.

"Bayi mudah dijaga kerana mereka tidak boleh berjalan atau berlari berbanding kanak-kanak," katanya.

11/12/14

DUA PRODUK DIET DI KATEGORI MERBAHAYA

Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli atau memakan dua produk menurunkan berat badan haram yang diperoleh secara dalam talian, sehingga menyebabkan dua remaja dimasukkan ke hospital kerana mengalami halusinasi dan kegagalan buah pinggang yang teruk selepas menggunakannya.

Salah satu produk, 'Nutri Drops Grapefruit Diet' diuji oleh HSA mengandungi bahan kimia yang tidak diisytiharkan seperti sibutramine, benzyl sibutramine (sejenis sebatian berkaitan kimia daripada sibutramine) dan phenolphthalein, kata pihak berkuasa itu dalam kenyataan.

Sibutramine, sejenis ubat menurunkan berat badan diharamkan di Singapura sejak 2010 berikutan kebimbangan keselamatan yang serius terhadap pengguna.

Paras sibutramine yang dikesan dan ditemui adalah pada kuantiti yang tinggi dan boleh meningkatkan toksik dalam produk tersebut.

Produk kedua adalah 'Nutrex Research Adipodex' yang dipasarkan secara dalam talian sebagai makanan diet tambahan dan dilabel mengandungi yohimbine iaitu mengandungi ramuan perubatan barat yang tidak dibenarkan dijual dalam makanan tambahan yang dijual di negara ini. 

Kedua-dua kes penyakit serius berkaitan dengan produk menurunkan berat badan yang menyalahi undang-undang itu, dilaporkan kepada HSA oleh mereka yang profesional dalam penjagaan kesihatan, baru-baru ini.

Seorang remaja mengalami halusinasi selepas memakan 'Nutri Drops Grapefruit Diet' lebih daripada sebulan untuk mengurangkan berat badan dan beliau telah dimasukkan ke hospital.

Seorang lagi individu berusia 20-an menggunakan 'Nutrex Research Adipodex' yang diiklankan untuk menurunkan berat badan dan mengalami kegagalan buah pinggang yang teruk menyebabkan beliau dimasukkan ke hospital.

Kedua-dua produk berkenaan dibeli secara dalam talian dan dikatakan dapat membantu mengurangkan berat badan. 

'Nutri Drops Grapefruit Diet' dilabel mengandungi bahan-bahan semula jadi seperti anggur, 'raspberry ketone', 'hawthorn berry', teh hijau dan delima tetapi dikesan mengandungi bahan-bahan yang diharamkan.- Bernama





30/11/14

APAKAH RISIKO MAKAN UBAT KETIKA MENYUSU BAYI?


Kementerian Kesihatan meng­galakkan amalan penyusuan susu ibu kepada bayi yang baru lahir. Amalan penyusuan susu ibu adalah diet terbaik untuk bayi kerana ia memberi fa­edah nutrisi yang lengkap dan berupaya meningkatkan sistem pertahanan tubuh daripada jangkitan kuman. Ia juga boleh mengurang­kan risiko alahan kepada bayi.

Tempoh penyusuan ibu yang disaran adalah sehingga anak berusia dua tahun. Sepanjang tempoh itu ada kalanya pengambilan ubat-ubatan adalah satu keperluan kepada ibu.

Ramai ibu yang menyusukan anak tidak pasti sama ada boleh meneruskan penyusuan atau tidak jika mengambil ubatan. Justeru penting bagi ibu yang menyusukan anak mengetahui jenis ubat-ubatan yang berse­suaian diambil atau sebaliknya ketika tempoh penyusuan.

Kerisauan timbul kerana ada ubat-ubatan yang diambil boleh meresap masuk ke dalam susu ibu. Situasi seperti ini boleh mendatangkan kemudaratan kepada bayi jika kepekatan ubat yang memasuki susu ibu adalah tinggi.

Selain itu, fungsi organ seperti hati dan buah pinggang pada bayi yang baru lahir belum cukup matang. Keadaan ini menjadi lebih kritikal lagi jika bayi dilahirkan pramatang.

Bagaimanapun, tidak semua ubat-ubatan itu berbahaya jika diambil ketika penyusuan.

Berikut beberapa contoh ubat-ubatan yang perlu diberi perhatian oleh ibu yang menyusukan anak, terutama baru lahir atau pramatang. Ubat-ubatan seperti ini boleh meresap masuk ke dalam susu ibu dalam kepekatan tinggi, seterusnya memberi kesan terapeutik ubat kepada bayi.

Sebagai contoh ubat darah tinggi seperti atenolol, ubat sawan seperti lamotrigine dan phenobarbitone, ubat antikemurungan seperti citalopram, fluoxetine dan venlafaxine, ubat antibiotik seperti metronidazole dan ubat tahan sakit yang selalu digunakan dalam rawatan radang sendi (arthritis) seperti piroxicam.

Contoh seterusnya adalah ubat-ubatan yang tidak selamat diambil ketika penyusuan kerana boleh memberi kesan sampi­ngan kepada bayi yang disusukan. Ubat-ubatan ini untuk rawatan penyakit parkinson seperti amantadine, ubat untuk rawatan jantung seperti amiodarone.

Ubat dalam kumpulan statin untuk rawatan kawalan lipid atau antikolesterol seperti atorvastatin, fluvastatin dan simvastatin, ubat untuk rawatan kanser, ubat untuk rawatan sakit mental seperti clozapine dan ubat untuk rawatan radang sendi (artritis) seperti sspirin dalam dos tinggi dan digunakan secara berterusan.

Ada juga ubat boleh mengurangkan pengeluaran susu ibu dan menyebabkan bayi mudah meragam. Contohnya ubat antihistamin seperti chlorpheniramine dan loratadine, sediaan ubat batuk dan selesema seperti dekstrometorfan dan pseudoefedrin.

Nikotin daripada tabiat merokok atau yang digunakan dalam rawatan terapi gantian, ubat darah tinggi dalam kumpulan diuretics thiazide, ubat hormon kontraseptif mengandungi hormon estrogen dan ubat yang digunakan untuk penyakit parkinson seperti bromokriptin.

Ada beberapa petua bagi me­ngurangkan pendedahan bayi terhadap ubat-ubatan ketika penyusuan. Antaranya, memberhentikan sementara waktu pengambilan ubat-ubatan yang tidak diperlukan.

Jika terpaksa ambil pun, pastikan sebaik selesai menyusukan anak supaya kepekatan ubat tidak terlalu tinggi apabila tiba sesi seterusnya. Penting diingat supaya susukan bayi dulu, kemudian baru ambil ubat atau boleh juga perah susu dulu sebelum me­ngambil ubat dan simpan susu untuk sesi penyusuan seterusnya.

Ibu perlu berbincang dengan doktor untuk menggantikan ubat yang tidak selamat diambil ketika penyusuan kepada ubat alternatif yang lebih selamat. Jika tiada ubat alternatif yang boleh ditukar ganti, ibu dinasihatkan berhenti menyusukan anak secara keseluruhan atau buat sementara waktu dalam tempoh rawatan menggunakan ubat-ubatan.

Demi memastikan bekalan susu tidak putus, kaedah perah dan buang boleh digunakan. Kaedah ini sesuai diamalkan dalam situasi terpaksa memberhentikan penyusuan anak buat sementara waktu ketika menjalani rawatan menggunakan ubat-ubatan. Kaedah seperti memastikan proses penyusuan boleh disambung semula selepas selesai rawatan kerana bekalan susu tidak putus atau kering.

Mana-mana ubat yang tidak dinyatakan dalam artikel ini tidak bermaksud ia selamat digunakan ketika penyusuan. Oleh itu, ibu harus sentiasa berwaspada dalam pengambilan ubat ketika penyusuan bayi. Minta nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil sesuatu ubat.

Ingat, susu ibu adalah sumber diet terbaik untuk bayi. Oleh itu, berusaha menyusukan anak dengan susu ibu.

Disediakan Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia. Sebarang pertanyaan lanjut mengenai ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1800-88-6722.

24/11/14

APA ITU "CMPA" DARI SUSU LEMBU?

Jangan ambil mudah sekiranya anak anda sering mengalami muntah atau cirit-birit selepas diberi rumusan susu kanak-kanak kerana ia mungkin disebabkan masalah alahan makanan terhadap protein susu lembu (CMPA).


CMPA ialah satu tindak balas luar biasa yang berlaku apabila tubuh terdedah kepada protein susu lembu.

Tindak balas ini dicetuskan oleh sistem imunisasi tubuh hingga boleh mempengaruhi pelbagai bahagian dalam tubuh seperti kulit, paru-paru dan usus.

Namun, ramai yang menganggap alahan bukan satu penyakit serius yang perlu dirawat dengan segera sedangkan jika dibiarkan, ia boleh memudaratkan kesihatan si kecil.

Simptom CMPA boleh berlaku beberapa minit selepas susu diminum bermula dengan keradangan kulit, masalah penghadaman dan mungkin juga mengakibatkan tindak balas alahan lebih teruk iaitu anafilaksis.

Anafilaksis adalah reaksi alergi teruk berbahaya kerana ia terjadi secara tiba-tiba dan boleh membahayakan nyawa anak.

Menurut pakar perunding pediatrik, Dr Chin Wai Seong, CMPA ialah alahan makanan paling lazim yang berlaku pada kanak-kanak.

Dianggarkan lima hingga lapan peratus kanak-kanak mengalami reaksi alahan terhadap susu lembu di seluruh dunia.

"Masalah CMPA boleh menyebabkan kanak-kanak berdepan gejala ruam, gegata atau urtikaria (bintat merah dan gatal) dan ekzema pada kulit.

"Selain itu, ia juga boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami muntah, cirit-birit, susut berat badan, hidung berair, bersin dan nafas menjadi kasar," katanya.

Dr Chin berkata, alahan itu berlaku kerana sistem usus kanak-kanak kurang matang dan ia boleh menyebabkan protein susu lembu meresap ke dalam saluran darah. Secara tidak langsung, ia menyebabkan sistem imunisasi menghasilkan antibodi dan mengakibatkan alahan.

Menurutnya, masalah paling sukar untuk diatasi apabila anak mengalami CMPA adalah pengesanan awal.

Kebanyakan kanak-kanak yang mengalaminya juga mempunyai ekzema dan ada yang akan terus alah terhadap sesetengah makanan.

"Dalam hal ini, sebenarnya masih ramai ibu bapa yang tersalah anggap bahawa CMPA sama dengan masalah ketidaktoleransi laktosa sedangkan ia tidak benar sama sekali.

"Ini kerana masalah ketidaktoleransi laktosa terjadi kerana ketiadaan enzim laktase untuk mencerna gula (laktosa) dalam susu.

"Justeru, sebaik saja mengesan ada yang tidak kena kepada anak terutama selepas menyusu, ambil langkah segera dengan merujuk kepada pegawai perubatan," katanya.

Bagi membantu mengatasi masalah kesihatan disebabkan alahan berkenaan, Dr Chin menasihati ibu bapa supaya mengelakkan susu lembu daripada amalan pemakanan anak mereka.

Perkara itu mudah dilakukan pada kanak-kanak tetapi bagi kanak-kanak yang besar, ibu bapa mestilah mengenal pasti makanan yang mengandungi protein susu lembu.

"Sebaiknya ibu perlu mengelak daripada memberi anak mereka makan makanan yang mengandungi susu lembu dalam diet harian.

"Susu pula boleh digantikan dengan susu berasaskan soya yang turut mengandungi kandungan nutrisi penting untuk tumbesaran kanak-kanak," katanya.

Sementara itu, Dr Chin turut menyarankan ibu bapa membaca label makanan dengan teliti sebelum membeli kerana ia mungkin mengandungi kandungan berasaskan susu lembu.

Ini kerana masalah alahan walaupun bukan seumur hidup, biasanya akan hanya dapat diatasi selepas usia anak melewati tiga hingga empat tahun.

"Bagaimanapun, ada kes yang mana masalah alahan berkenaan berterusan sehingga usia 18 tahun," katanya.

Sebagai panduan, bagi ibu bapa yang mempunyai anak mengalami CMPA, susu berasaskan soya seperti Isomil Plus adalah gantian untuk susu rumusan biasa.

A. Simptom utama alahan protein susu lembu (CMPA)

Gangguan sistem usus:
> Loya, sakit perut
> Muntah selepas minum susu
> Cirit-birit
> Sembelit
> Darah dalam najis

Gangguan pada kulit:
> Ekzema/ruam
> bengkak kulit

Gangguan sistem pernafasan:
> selesema atau resdung
> lelah

Berat badan yang tidak naik dan perkembangan yang terbantut.

B. Jenis makanan yang perlu dielak
> Semua jenis susu atau makanan mengandungi protein susu lembu (susu skim, tepung, pepejal atau sejat).
> Keju, dadih keju, dadih dan aiskrim.
> Mentega, mentega susu atau marjerin yang mengandungi susu.
> Produk soya yang mengandungi protein susu lembu. Kebanyakan produk soya di pasaran seperti manisan soya mengandungi sedikit susu lembu. Jadi, pastikan anda membaca label sebelum membeli.
> Bijirin campur mengandungi susu tepung.
> Semua produk mengandungi kasein, kaseinate, natrium atau kalsium kaseinate, laktalbumin atau dadih. Ia menandakan kehadiran protein susu.
> Susu bebas laktosa. Walaupun anak anda alah pada susu lembu, kajian menunjukkan kanak-kanak jarang mengalami masalah apabila makan daging lembu. Jadi anda boleh menambah daging ke dalam diet kanak-kanak.

KETAHUI APA ITU KERACUNAN MAKANAN DAN CARA UNTUK MENGELAKNYA


Apa itu keracunan makanan? Keracunan makanan ialah apa juga penyakit yang disebabkan oleh pengambilan makanan atau minuman yang tercemar. Dilaporkan terdapat 6,624 kes keracunan makanan pada 2007 (kadar insiden 26.44/100,000 penduduk).

Apa yang menyebabkan keracunan makanan? Punca keracunan makanan:
-Bakteria atau racun (toksin) bakteria berkenaan dan virus.
-Bahan kimia seperti racun serangga dan racun rumpai.
-Logam berat seperti tembaga, raksa dan plumbum.
-Tumbuhan dan hasil laut yang beracun seperti kulat, cendawan dan hasil laut bercengkerang seperti kekerang.

Apakah tanda dan gejala keracunan makanan? Tanda dan gejala keracunan makanan bergantung kepada:
-Agen penyebab keracunan itu.
-Jumlah (dos) bakteria, virus atau toksin.
-Umur seseorang.
-Sistem ketahanan badan (imuniti) seseorang.

Pesakit mungkin akan mengalami :
-Loya
-Cirit-birit
- Muntah-muntah
-Sakit perut
-Berpeluh/demam
-Sakit kepala
- Keletihan

Apakah kesan (komplikasi) daripada keracunan makanan? Keracunan makanan boleh mengakibatkan kecacatan seperti lumpuh atau sakit sendi yang berpanjangan (kronik). Ia juga boleh mengakibatkan kematian jika tidak mendapat rawatan awal.

Apakah yang menyebabkan terjadinya keracunan makanan?
-Makanan ditinggalkan pada suhu bilik untuk tempoh yang lama (lebih daripada empat jam).
-Makanan tidak dimasak dengan sempurna.
-Makanan tidak disimpan dengan baik (makanan mentah disimpan bersama makanan yang telah dimasak).
-Makanan tidak dipanaskan dengan sempurna.
-Daging dan ayam beku tidak dinyahbekukan dengan sempurna sebelum dimasak.
-Amalan pengendalian makanan yang tidak bersih.
-Makanan disediakan oleh orang sakit atau pembawa penyakit bawaan makanan.

Bagaimana untuk mengelakkan keracunan makanan? Cara mengelak keracunan makanan :
-Sentiasa menjaga kebersihan.
-Basuh tangan dengan betul sebelum mengendalikan makanan.
-Basuh tangan selepas keluar dari tandas.
-Basuh dengan bersih permukaan dan peralatan yang digunakan untuk menyediakan makanan.
-Pastikan kawasan dapur bebas daripada serangga , makhluk perosak dan haiwan lain.
-Sentiasa pisahkan makanan mentah daripada yang telah dimasak.
-Asingkan daging, ayam dan makanan laut mentah dengan yang telah dimasak.
-Gunakan perkakas seperti pisau dan papan pemotong yang berbeza untuk penyediaan makanan yang belum dimasak.
-Simpan makanan yang telah dimasak dan yang mentah di dalam bekas yang berbeza untuk mengelakkan pencemaran silang.
-Sentiasa masak dengan sempurna terutama daging, ayam, telur dan makanan laut.
-Sentiasa simpan makanan pada suhu yang betul.
-Jangan tinggalkan makanan pada suhu bilik lebih empat jam.
-Simpan semua makanan yang telah dimasak dan yang mudah basi di dalam peti sejuk/peti sejuk beku.
-Sentiasa gunakan air dan bahan mentah yang bersih.
-Minum hanya air yang telah dimasak atau air minuman dibotolkan/berbungkus.
-Pilih makanan yang segar dan berkhasiat.
-Basuh buah-buahan dan sayur-sayuran dengan sempurna jika dimakan mentah (ulam, salad).
-Jangan makan makanan yang sudah melepasi tarikh luput.
-Sentiasa pilih kedai makan yang bersih jika makan di luar.
-Hindari gerai/kedai makan kotor.

Apa yang perlu dilakukan jika mengalami keracunan makanan?
-Segera ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan.
-Ikut nasihat doktor.
-Simpan makanan yang disyaki untuk siasatan oleh pegawai berkuasa.
-Pastikan tiada orang lain makan makanan itu
- Maklumkan dengan segera Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.

(Sumber Kementerian Kesihatan Malaysia)

23/11/14

JANGAN AMBIL REMEH TENTANG ALAHAN

Alahan adalah tindak balas terlebih sensitif atau hipersensitif oleh sel immunisasi badan kepada sesuatu bahan atau alergen. Alahan ini menyebabkan respons berbeza, bergantung kepada organ badan mana berlakunya alahan itu.

Jika berlaku pada kulit, ia boleh menyebabkan ruam alahan kulit atau ekzema. Alahan pada hidung pula boleh menyebabkan hidung berair, bersin, mata dan hidung menjadi gatal.

Tindak balas hipersensitif ini juga boleh mengancam nyawa jika berlaku pada organ paru-paru dan saluran pernafasan. Ia boleh menyebabkan seseorang pesakit seolah-olah mengalami serangan asma.

Tindak balas alahan yang berlaku secara cepat dan tiba-tiba boleh menyebabkan seseorang pesakit koma atau kematian kerana serangan pernafasan yang akut. Ini disebabkan gangguan terhadap bekalan oksigen ketika serangan berlaku.

Alergen yang menyebabkan alahan boleh berpunca dari pelbagai sumber. Alergen akan memasuki badan pesakit dan merangsang sistem imunisasi, menjadikannya terlalu aktif. Keadaan ini menimbulkan simptom alahan.

Satu sumber alahan ialah pemakanan. Setiap pesakit mempunyai alahan berbeza. Antara makanan yang boleh menyebabkan alahan ialah soya, kekacang, makanan laut, ayam, telur, gandum dan susu lembu.

Reaksi alahan ini biasanya hanya berlaku pada kulit pesakit dan jarang mengakibatkan serangan pernafasan. Pesakit mengalami kegatalan dan ruam bintat pada hampir keseluruhan badan.

Bahan kimia seperti sabun basuh pinggan dan sabun mandi pula menyebabkan ruam berlaku pada tapak tangan dan bahagian pelipat baju.

Udara berhabuk dan berdebu, minyak wangi serta penyembur haruman bilik juga boleh menyebabkan berlaku alahan. Namun, biasanya ia hanya membabitkan reaksi di mana hidung dan mata menjadi gatal dan berair.

Ubat seperti antibiotik dan penahan sakit boleh menyebabkan alahan berlaku. Selain itu, gigitan serangga seperti lebah, tebuan, penyengat menyebabkan badan pesakit menghasilkan reaksi imunisasi yang terlalu cepat.

Alahan ini boleh menyebabkan serangan pada saluran pernafasan dan kegagalan beberapa organ badan yang boleh mengancam nyawa dan kematian.

Alahan ialah sesuatu yang pesakit tidak pernah tahu kecuali sesudah terdedah kepada alergen dan pesakit mengalami alahan terhadapnya.

Antara cara mengenal pasti alahan ialah dengan menjalankan ujian darah atau ujian kulit untuk menentukan jenis allergen. Beberapa sampel alergen akan disuntik di bawah kulit, dan pemerhatian dilakukan untuk mengenal pasti jenis alahan.

Namun, hanya beberapa jenis alergen dapat dikesan, bergantung kepada kemampuan makmal atau hospital yang melakukannya.

Biasanya, ujian dilakukan pada jenis alergen yang biasa menyebabkan alahan berlaku. Faktor utama menyebabkan berlaku alahan ialah keturunan.

Jika seseorang itu mempunyai alahan, kemungkinan besar generasi berikutnya mengalami alahan tetapi tidak semua simptom alahan sama.

Reaksi simptom alahan itu berbeza. Selain itu, tidak semua alergen juga sama dalam keturunannya. Namun, penting untuk mengenal pasti jenis allergen bagi mengelak komplikasi yang tidak diingini.

18/11/14

PERUBAHAN BENTUK PAYUDARA MENGIKUT UMUR - PAKAR


Memiliki payudara cantik dan sihat adalah anugerah yang tidak ternilai dan sangat beruntung bagi mereka yang memilikinya. Namun, bukan mudah mengekalkan kecantikan dan kesihatan payudara kerana setiap wanita berisiko menghidap kanser payudara dan ia menjadi ancaman utama sehingga mengundang kematian.

Disebabkan anggapan payudara juga adalah lambang kewanitaan, setiap wanita tanpa me­ngira usia dibayangi kebimbangan mengenai bentuk payudara mereka apabila usia semakin mening­kat.

Ini kerana, wanita muda khuatir dengan saiz payudara sama ada terlalu kecil atau terlalu besar, manakala wanita yang semakin berusia pula runsing apabila payudara mula kendur dan tidak sepejal ketika muda.

Malah, segelintir wanita juga beranggapan memberi susu badan kepada anak akan menjejaskan bentuk payudara.

Perunding Pakar Bedah Payudara, Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Ng Char Hong berkata, sebagaimana tubuh berubah mengikut umur, bentuk dan keanjalan payudara juga akan berubah sebaik wanita memasuki usia 20-an, 30-an, 40-an dan 50-an.

Bagaimanapun, wanita muda atau berusia sepatutnya lebih mengutamakan kesihatan payudara dan bukan bentuk fizikalnya berikutan ancaman utama kepada payudara adalah kanser payudara, kanser paling banyak dihidapi golongan wanita di Malaysia.

Menurut Dr Ng, peluang terbaik untuk mengubati kanser payudara ialah apabila ia dikesan dan dirawat lebih awal. Justeru penting untuk setiap wanita menanam kesedaran mengenai kesihatan payudara dan menjaga bahagian tubuh berkenaan me­ngikut usia masing-masing.

"Pada usia 20-an, amalan penjagaan dilakukan wanita ketika ini mampu mengurangkan risiko mendapat kanser payudara. Amalan pertama, buat pemeriksaan klinikal payudara dan sentiasa peka dengan keadaan payudara. Pemeriksaan klinikal payudara adalah pemeriksaan fizikal yang dijalankan oleh mereka yang profesional dalam perubatan.

"Pemeriksaan sedemikian dan perbincangan bersama doktor mengenai kesihatan keseluruhan dan faktor risiko mendapat kanser terbabit secara peribadi adalah cara terbaik untuk me­ngambil tahu apa yang normal dan tidak untuk mereka.

"Pemeriksaan klinikal ini perlu dilakukan secara tahunan, manakala pemeriksaan kendiri payudara dilakukan secara bulanan bagi mengesan sebarang perubahan walaupun kecil dan segera menemui doktor jika ada benjolan," katanya.

Katanya, wanita juga perlu tahu jika ada sejarah dalam keluarga mereka yang pernah menghidap kanser payudara dan berbincang dengan doktor bagi memahami risiko bakal dihadapi.

Mereka mungkin mempertimbangkan menjalani ujian mutasi gen dikenali sebagai Breast Cancer Susceptibility Gene 1 (BRCA-1) dan BRCA-2 yang berkaitan peningkatan risiko kanser payudara.

"Ibu yang baru melahirkan anak juga wajar memberi susu badan sekurang-kurangnya enam bulan berikutan beberapa kajian mendapati menyusu badan boleh mengurangkan risiko kanser payudara, terutama ibu yang menyusu badan selama setahun setengah hingga dua tahun.

"Kajian dikeluarkan Pusat Kajian Kanser Fred Hutchinson, Amerika Syarikat menunjukkan menyusu badan selama enam bulan atau lebih mengurangkan risiko kanser payudara sebanyak 20 peratus.

"Selain itu, wanita pada usia 20-an perlu melakukan senaman secara teratur sekurang-kurangnya 30 minit sehari sama ada berjalan, berbasikal, joging, menari atau apa saja aktiviti fizikal kerana ia juga mampu mengurangkan risiko kanser payudara sebanyak 20 peratus.

"Senaman adalah amalan yang bagus untuk kesihatan keseluruhan membabitkan tulang, sendi dan jantung. Pengambilan makanan seimbang juga perlu dititikberatkan pada usia ini sejajar dengan senaman dilakukan," katanya.

Pada usia 30-an, memupuk kesedaran mengenai penjagaan kesihatan payudara penting dilakukan. Walaupun kadar kanser payudara pada wanita berusia 30-an masih rendah, ini masa penting untuk memulakan penjagaan payudara.

Malah, pada usia ini masalah payudara berkait dengan ketumbuhan bukan kanser. Wanita muda biasanya mengalami pe­nyakit fibrosistik yang menunjukkan gejala seperti kesakitan payudara, sista dan benjolan bukan kanser.

"Kesakitan pada payudara boleh datang sekali-sekala, dialami ketika haid atau boleh juga menjadi tetap. Gangguan fibroadenoma atau ketulan pada payudara juga boleh menjejaskan wanita pada usia 30-an.

"Ketulan membabitkan fibro dan tisu glandular yang bukan kanser tetapi boleh menyakitkan. Jika ia mengganggu, benjolan itu boleh dibuang.

"Bagi meneruskan amalan penjagaan kesihatan yang dilakukan ketika usia 20-an, beberapa lagi perkara boleh dipertimbangkan seperti buat pemeriksaan klinikal payudara dan teruskan pemeriksaan setahun sekali walaupun usia masuk 30-an.

"Nilaikan risiko untuk merancang pelan tindakan. Jika berada dalam kumpulan berisiko tinggi disebabkan sejarah keluarga, doktor akan menyarankan pemeriksaan mamogram atau peng­imejan resonans magnet (MRI) setahun sekali," katanya.

Wanita berusia 30-an juga perlu bijak mengawal tekanan kerana kajian terbaru pada wanita bawah usia 45 tahun mendapati pendedahan kepada hidup yang penuh tekanan seperti mengalami perceraian atau kematian bersangkut-paut dengan risiko kanser payudara.

Bersikap ceria dan optimis mampu membangkitkan daya tahan semula jadi menentang penderitaan. Walaupun bersikap gembira tidak melindungi diri daripada kanser, berfikiran positif akan membuatkan kita terus kekal melakukan semua amalan baik yang dilakukan ketika usia 20-an yang menyumbang kepada gaya hidup sihat.

Ketika menginjak usia 40-an, wanita perlu lebih prihatin terhadap kesihatannya kerana ketika ini kadar kanser payudara mula meningkat berdasarkan kajian yang menunjukkan satu pertiga kanser payudara di Malaysia didiagnosis pada umur 40-an.

Pada usia ini, masalah berkaitan payudara paling kerap ditemui adalah sista iaitu kantung dipenuhi cecair. Walaupun ia sejenis ketulan bukan kanser, ia juga menyakitkan, namun masalah ini boleh diselesaikan menerusi pembedahan.

Jangkitan pada lapisan kulit dan sel tidak normal yang muncul pada kelenjar susu iaitu penyakit atypical ductal hyperplasia juga boleh muncul pada usia ini dan meningkatkan potensi mendapat kanser payudara.

"Selain mengambil pemakanan seimbang, melakukan senaman dan mengehadkan tekanan, penjagaan payudara pada usia ini membabitkan membuat jadual pemeriksaan klinikal dan mamogram tahunan. Wanita berusia 40 tahun ke atas wajar melakukan pemeriksaan klinikal payudara dan mamogram setiap tahun.

"Prihatin dengan keadaan payudara sendiri dan segera menemui doktor jika ada sebarang keganjilan. Walaupun keganjilan pada payudara membabitkan benjolan bukan kanser, wanita perlu bersikap berhati-hati dan prihatin dengan keadaan payudara.

"Elak terdedah kepada pe­nyebab kanser seperti radiasi dan bahan kimia. Beritahu pengamal perubatan yang melakukan sinaran X, terutama berdos tinggi seperti imbasan tomografi berkomputer (CT) jika pernah melakukan imbasan sedemikian.

"Jika perlu melakukan imbasan sedemikian, tanya doktor jika ada ujian alternatif seperti ultra bunyi atau MRI. Doktor akan membantu anda menilai sama ada anda memerlukan imbasan sedemikian atau tidak, bergantung kepada keperluan perubatan," katanya.

Pada usia 50 tahun ke atas, ketika menghampiri menopaus, risiko mendapat kanser payudara terus meningkat dan disebabkan itu wanita berusia 50 tahun ke atas perlu lebih waspada mengenai kesihatan payudara.

Selepas putus haid, payudara menjadi kurang anjal, kurang lembut dan kurang ada benjolan. Benjolan tidak berbahaya muncul dan hilang se­iring dengan kitaran haid pada wanita muda, tetapi benjolan yang muncul ketika usia ini memerlukan perhatian segera doktor.

Di samping meneruskan tabiat penjagaan payudara sebelum ini, wanita berusia 50 tahun ke atas boleh melakukan beberapa perkara untuk me­ngurangkan lagi risiko kanser payudara seperti mengekalkan berat badan yang sihat.

"Berat badan yang sihat membabitkan indeks jisim badan (BMI) sebanyak 25 peratus atau kurang. Kajian menunjukkan berat badan berlebihan atau obesiti, terutama wanita pada peringkat pos menopaus, meningkatkan risiko kanser payudara.

"Wanita dengan berat badan berlebihan mempunyai kadar rendah bertahan dari kanser payudara dan peluang tinggi untuk menghidap penyakit lebih agresif berbanding wanita dengan berat badan biasa atau kurang berat.

"Elak atau hadkan terapi penggantian hormon (HRT) kerana terapi ini meningkat­kan risiko kanser payudara walaupun pada wanita yang mempunyai isu putus haid," katanya.

Dr Ng berkata, penting menjaga payudara pada setiap dekad usia tanpa mengambil kira saiz dan bentuk payudara. Memahami payudara sendiri membantu anda lebih yakin jika wujud sebarang keganjilan.

Perubahan seperti saiz atau bentuk, benjolan berbeza daripada tisu payudara, perubahan pada tekstur kulit seperti kerutan, bengkak pada ketiak atau tulang leher, sakit terus-menerus pada payudara atau bawah lengan, kemerahan atau ruam pada kulit atau sekitar puting, puting berubah kedudukan dan keluar cairan dari puting tanpa memicitnya.

"Peluang untuk pulih adalah lebih baik jika kanser payudara dikesan dan dirawat di peringkat awal. Saiz kanser dan sejauh mana ia merebak adalah faktor penting dalam meramal prognosis pesakit.

"Wanita yang mahu memulakan penjagaan kesihatan payudara mereka tetapi kurang pengetahuan untuk melakukan apa yang perlu diamalkan boleh berkunjung ke hospital yang menyediakan perkhidmatan pusat penjagaan payudara seperti Pusat Kecemerlangan Rawatan Payudara SunMed," katanya.

Pusat berkenaan yang dirasmikan pembukaannya oleh Ahli Exco Kumpulan Sunway, Puan Sri Dr Susan Cheah, baru-baru ini, menyediakan rawatan perubatan bertaraf dunia dengan menjadi pusat maklumat, rawatan perubatan dan sokongan sehenti yang dikendalikan oleh pasukan perunding dan jururawat pelbagai disiplin.

Matlamatnya untuk menyediakan pendekatan bersepadu dan menyeluruh untuk menambah baik capaian, penyelarasan rawatan, pendidikan dan sokongan bagi mereka yang memerlukan rawatan.

Pusat ini dilengkapi alat pengesanan awal menerusi mamogram, pengimejan payudara, perkhidmatan diagnostik dan pembedahan serta kumpulan sokongan kepada pesakit kanser payudara yang menjalani pembedahan dan kemoterapi. Ia juga dileng­kapi perpustakaan dengan sumber seperti buku, risalah, video dan model payudara untuk mendidik pesakit dan pe­ngunjung mengenai pelbagai topik kesihatan.

Seorang jururawat payudara khas sedia menasihati pesakit dengan menyampaikan maklumat perubatan praktikal sambil memberi sokongan emosi dan kepastian di semua peringkat diagnosis, rawatan dan pertemuan susulan untuk kanser payudara serta masalah perubatan lain berkaitan payudara.

11/11/14

MAKANAN TERMOGENIK BAKAR LEBIH LEMAK


Banyak perkara yang boleh diperkatakan mengenai penurunan berat badan sehinggakan tiada satu pun dianggap mustahil. Ini kerana terdapat pelbagai cara menurunkan berat badan terutama mengehadkan pengambilan makanan berkalori tinggi dan bersenam setiap hari.

Menurut pakar pemakanan Orlando Magic, Tara Gidus, ada beberapa makanan yang dapat membantu fungsi pembakaran lemak dipanggil termogenik. Makanan termogenik membakar lebih banyak kalori.

Penulis buku Weight Loss: The Alternative Medicine Guide menjelaskan, makanan pembakar lemak mempunyai tiga karakter iaitu mengandungi protein, lemak dan serat yang tinggi.

"Makanan ini walaupun mengandungi lemak, ia memerlukan tenaga ketika proses penghadamannya. Ini membuatkan proses pembakaran lemak menjadi lebih cepat," ujarnya.

Berdasarkan kajian, terdapat enam makanan membakar lemak terbaik antaranya:

-Daging tanpa lemak
Mengambil daging tanpa lemak untuk makan tengah hari akan membuatkan anda kenyang lebih lama. Ini kerana daging kaya protein sehingga memerlukan banyak tenaga ketika proses penghadaman.

Sekiranya tubuh memerlukan lebih tenaga untuk pemecahan protein yang terkandung dalam daging, ini bererti tubuh memerlukan lebih banyak kalori untuk membakarnya.

-Teh hijau
Jurnal Nutrisi Klinikal Amerika melaporkan, minum empat cawan teh hijau setiap hari membuatkan berat badan berkurangan sehingga enam kilogram dalam tempoh lapan minggu. Ini kerana kandungan EGCG iaitu sejenis bahan antioksidan di dalam teh hijau menjadikan minuman ini sangat berkesan sebagai bahan pembakar lemak.

-Avokado
Avokado mempunyai nilai kalori yang sangat tinggi, kaya lemak serta tinggi kandungan serat yang membantu membakar banyak lemak. Pengambilan avokado dalam hidangan harian menjadikan pembakaran kalori berlaku setiap hari.

-Badam
Segenggam badam mengandung protein, lemak dan serat. Badam memberikan rasa kenyang lebih lama dan membantu membakar lemak tiga kali lebih cepat berbanding kekacang lain.

-Cili merah
Ramai tidak tahu cili merah yang berfungsi menambah rasa pedas dalam masakan membantu meningkatkan kemampuan tubuh membakar lemak. Ini kerana kandungan capsaicin di dalam cili meningkat-kan metabolisme.

-Kopi
Kafein juga mampu membuat metabolisme bekerja lebih cepat. Ini kerana kafein dapat melakukan proses pemecahan lemak atau liposis. Satu atau dua cawan kopi setiap hari sudah mencukupi untuk pembakaran kalori anda.

Selain itu, pastikan anda mengambil banyak sayur-sayuran hijau dan buah-buahan kerana kedua-duanya membantu mengurangkan rasa lapar. Kandungan gula semula jadi yang terdapat di dalamnya memberikan rasa kenyang lebih lama.

Untuk mengelak rasa bosan, buah boleh dijadikan salad, jus atau snek harian. Jangan lupa, bersenam setiap hari selama 10 minit membantu tubuh kekal langsing dan sihat.

4/11/14

KETAHUI SUHU BADAN ANAK ANDA


Suhu tubuh normal manusia adalah 36,5-37,5 °C. Jika naik mencapai 38° C atau lebih, barulah disebut demam. Dan sebenarnya, demam adalah tanda tubuh sedang dijangkiti bakteria atau virus.

Di mana mengukurnya? Bahagian badan bayi  yang boleh diletakan termometer adalah di ketiak dan mulut. Namun, akhir-akhir ini, teknologi termometer kian canggih, sehinggakan termometer mampu mengukur suhu di telinga dan dahi. 

Ukur secara Berkala
Jika bayi anda demam, pantau suhubadannya secara berkala. Kira-kira setiap 4-6 jam.
Segeralah bawa ke doktor, bila suhu tubuhnya meningkat hingga lebih dari 40 °C.
Bila suhu tubuh bayi masih berkisar antara 38-39°C, tunggu sampai 3 hari. Jika suhu tubuhnya tidak turun-turun juga, segeralah bawa berjumpa doktor.

25/10/14

KESIHATAN - PUNCA-PUNCA PEMBENGKAKAN TESTIS

NASIHAT KESIHATAN DAN PERKONGSIAN ILMU

Struktur di dalam kantung buah zakar amat kompleks. Bukan buah zakar atau testis saja terletak dalam kantung berkenaan, struktur salur darah dan saluran tiub pembiakan lelaki juga terdapat dalam kerandut itu.

Bengkak yang berlaku pada kerandut ialah perkara yang luar biasa dan memerlukan rawatan segera. Kebanyakan pesakit hanya menerima rawatan pesakit luar disebabkan oleh bengkak kerandut tidak berbahaya dan senang dirawat.

Ada kalanya, rawatan pembedahan kecemasan perlu dilakukan untuk mengelak risiko kerosakan buah zakar. Bengkak ini boleh terjadi kepada mana-mana lelaki semua peringkat umur.

Antara sebab biasa berlakunya bengkak kerandut ialah angin pasang atau hernia. Dalam kebanyakan kes, bengkak itu tidaklah berbahaya dan tidak sakit. Akan tetapi, jika hernia berpintal, pesakit akan mengalami bengkak dan sakit pada karung kerandut. Jika ini berlaku, rawatan pembedahan kecemasan perlu dilakukan untuk mengelakkan masalah yang tidak diingini.

Jangkitan kuman juga boleh berlaku pada struktur di dalam kantung kerandut. Buah zakar dan juga selaput di atas buah zakar iaitu epidydimis boleh mendapat radang dan jangkitan kuman. Jangkitan kuman biasanya berlaku pada mereka yang mengamalkan seks bebas dan kerap bertukar pasangan.
Kuman diperoleh daripada pasangan yang memasuki kantung berkenaan melalui saluran kencing. Biasanya pesakit mengalami bengkak dan sakit dalam kantung itu.

Biasanya ia dimulai dengan rasa pedih ketika kencing dan terdapat cecair keputihan keluar melalui saluran kencing. Untuk kes sebegini, pesakit memerlukan rawatan antibiotik dan juga ubat penahan sakit.

Kanser buah zakar pula biasanya tidak sakit. Pesakit dapat berasakan buah zakar mereka membengkak dan lama-kelamaan bengkak itu menjadi keras. Biasanya kanser buah zakar berlaku pada salah satu buah zakar saja dan kanser ini satu-satunya yang mempunyai kadar kematian paling rendah.

Ia perlu dirawat segera untuk mengelakkan kanser berkenaan merebak. Pembedahan disusuli rawatan kemoterapi dan radioterapi akan dipertimbangkan oleh pakar yang merawat.

Cecair juga boleh terkumpul di dalam buah zakar. Bengkak pada kerandut tidak menyakitkan tetapi pesakit akan berasa tidak selesa dan senak terutamanya pada bahagian pinggang.

Keadaan ini dipanggil Hydrocoele. Pesakit boleh rasa seolah-oloh terdapat belon air di dalam kantung itu. Bagi kanak-kanak, biasanya tiada rawatan aktif untuk kes seperti ini.

Pesakit akan dipantau di rumah dan selalunya surut dengan sendiri sedikit demi sedikit. Bagi pesakit dewasa pula, kebanyakannya perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan cecair itu.

Bengkak juga boleh disebabkan saluran darah yang terdapat dalam kantung berkenaan. Bengkak ini tidak sakit dan juga berlaku hanya pada bahagian atas buah zakar.

Biasanya, pemeriksaan klinikal boleh membezakan penyebab bengkak kerandut. Namun, untuk mengesahkan diagnosis tersebut, ujian ultrasound boleh dilakukan. Ianya dapat membantu pilihan rawatan yang bakal dilakukan. Ujian darah dan juga ujian air kencing jarang dilakukan. Ianya dapat membantu bagi kes yang disebabkan oleh jangkitan kuman.

Biasanya bengkak atau masalah-masalah yang menyebabkan bengkak pada kerandut tidak mengakibatkan kemandulan. Pembedahan membuang salah satu buah zakar juga tidak mengakibatkan kemandulan. Ini kerana buah zakar sebelah lagi masih mampu menghasilkan jumlah sperma untuk pembiakan lelaki.


12/10/14

BILANGAN KANAK-KANAK MASALAH "MENTAL" MEMBIMBANGKAN - KKM

KKM - Bilangan kanak-kanak yang mempunyai masalah mental pada usia lima hingga 15 tahun didapati meningkat di negara ini dan keadaan ini membimbangkan.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam berkata, pada tahun 1996, 13 peratus dari jumlah mereka yang mempunyai masalah mental adalah kanak-kanak dalam lengkongan usia itu dan bilangan itu meningkat ke 19.3 peratus pada 2006 dan 20 peratus pada tahun 2011.

"Boleh dikatakan satu daripada setiap lima kanak-kanak mempunyai masalah mental dan perkara ini perlu diberi perhatian serius memandangkan tempoh tersebut adalah fasa mereka mendapat pengetahuan, nilai kehidupan dan personaliti," katanya.

Dr. Subramaniam bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan 'Asean Mental Health Campaign 2014' di sini hari ini.

Ujarnya, kementeriannya menyarankan supaya kesihatan mental diserap dalam satu daripada spesifikasi kesihatan keseluruhan.

Mengulas lanjut beliau berkata, mengikut kajian kementeriannya sejak tahun

2011 terdapat kira-kira 340,000 atau 1.8 peratus rakyat Malaysia dewasa mengalami kesihatan mental yang tidak mendapatkan rawatan.

Jumlah mereka yang mendapatkan rawatan amat sedikit dan perkara tersebut amat membimbangkan.

9/10/14

FORMULA PENCUCI WANITA HARUS DITITIK BERATKAN.

Pencuci wanita diperkaya protein susu

Ramai wanita mengambil mudah kebersihan bahagian sulit mereka kerana berpendapat ia sangat rahsia untuk dibicarakan. Namun, terdapat risiko yang mendatangkan masalah di kemudian hari sekiranya bahagian ini tidak diberi perhatian.

Kini pencuci Wanita V Care diformulasikan secara eksklusif untuk membersih dan menyegar di samping memberi keyakinan kepada wanita. Dengan agen pembersihan ringan, ia bertindak membersih dengan lebih lembut dan memelihara pH di kawasan tersembunyi itu. 

Ia juga diperkaya dengan protein susu bersama estrak susu kapas bagi melindungi dan memberi keselesaan selepas mencuci. Estrak lidah buaya yang terdapat di dalamnya memberi kesegaran dan keyakinan kepada si pemakai sepanjang hari. Asid laktik pula mampu mengekalkan pH semula jadinya. 

Ia hadir dalam dua variasi iaitu pencuci wanita dari astrak kacip Fatimah dan manjakani dan juga protein susu dan estrak susu kapas.

Manjakani dan kacip Fatimah adalah ekstrak tumbuhan tradisional yang dapat mengetatkan vagina dan mencegah pembiakan bakteria yang mendatangkan kegatalan dan bau kurang menyenangkan dari bahagian sulit.

Bagi khasiat tradisional, manjakani dan kacip Fatimah adalah herba tradisional yang dapat mempercepatkan pemulihan luka selepas bersalin di samping meningkatkan hubungan intimasi suami isteri dan dijual pada harga RM12.90 bagi pek 150 mililiter.

Lebih selesa dan lebih ceria..

28/09/14

KELEBIHAN BAKTERIA BAIK

Probiotik adalah istilah digunakan untuk ‘bakteria baik’ yang membantu meningkatkan tahap kesihatan seseorang yang ditemui dalam usus manusia. Probiotik adalah faktor penting kepada kesihatan yang baik.

Probiotik biasanya terdapat dalam dadih (yogurt) dan minuman kultur. Terdapat juga probiotik yang dijual sebagai makanan tambahan dalam bentuk kapsul atau serbuk yang dibancuh. Ada dua jenis probiotik yang utama iaitu dari lactobacillus dan bifidobacterium. 
Terdapat kajian yang dilaporkan dalam jurnal perubatan pada 2013 yang merumuskan bahawa probiotik dan keseimbangan bakteria dalam usus adalah kunci kepada pelbagai jenis manfaat kesihatan yang luas. 

Bukan semua bakteria berbahaya atau menyebabkan penyakit. Dalam perubatan, jika seseorang mendapat jangkitan daripada‚ ‘bakteria jahat’ atau ‘patogen’ maka doktor akan memberikan ubat antibiotik. Peranan probiotik adalah terbalik daripada antibiotik. Ia adalah bakteria, tetapi memberikan faedah kesihatan kepada yang mengambilnya.

BELACAN, cencaluk dan tempe turut mengandungi probiotik selain susu ibu.

Probiotik amat penting terutama dalam usus manusia. Dengan kehadiran probiotik secukupnya di dalam usus, ia akan membantu meningkatkan imuniti tubuh dengan merangsang sel-sel imun menghasilkan lebih banyak antibodi.

Ia juga membantu dalam proses metabolisme dan merembeskan bahan yang mengawal kitaran sel-sel dalam usus. Probiotik juga berperanan mengawal pembiakan bakteria jahat di dalam usus. 

Apabila seorang bayi itu lahir, tiada bakteria baik yang hidup di dalam ususnya. Ketika proses kelahiran yang normal, sebahagian bakteria dalam saluran peranakan akan masuk ke dalam usus bayi dan membiak di dalamnya. 

Oleh itu, bayi yang lahir secara normal adalah lebih beruntung kerana mendapat probiotik semula jadi daripada ibunya. Dalam tempoh dua minggu bakteria baik ini akan mengkolon usus bayi dan kekal ke akhir hayat. 

Jika seseorang mengambil antibiotik, maka sebahagian dari bakteria baik ini akan turut sama mati, oleh itu ia perlu diganti semula untuk mengekalkan keseimbangan bakteria dalam usus. 

Di sinilah peranan probiotik yang mengekalkan keseimbangan bakteria dalam usus ini. Jika tidak bakteria jahat akan membiak dengan banyak dan me­ngakibatkan pelbagai masalah penghadaman dan masalah kesihatan lain. 

Menurut kajian di Korea yang dilaporkan dalam Journal Gastroenterology pada 2013, terdapat beberapa keadaan yang akan menyebabkan jumlah probiotik semakin kurang dan terganggu iaitu apabila kita bertambah usia dan mengambil pil antibiotik secara tidak terkawal. 

Kajian lain yang dilaporkan dalam Journal Nutrient of Healthy Aging pada tahun sama menunjukkan makan makanan proses dan gula berlebihan juga mengganggu jumlah probiotik dalam usus. 

Gangguan dan ketidakseimbangan antara ‘bakteria baik’ dan ‘bakteria jahat’ (patogen) di dalam usus akan me­nyebabkan gangguan dalam keseluruhan sistem imuniti tubuh yang akan mengakibatkan masalah alahan teruk berdasarkan laporan satu kajian yang terbitkan dalam Journal Nutrients pada 2012. 

Selain susu kultur dan dadih, susu ibu dan makanan yang diperam seperti budu, belacan, cencaluk serta tempe juga mengandungi probiotik. Bagi ibu-ibu yang menyusukan anak, anda sebenar­nya membekalkan makanan kepada probiotik dengan kandungan prebiotik yang tinggi dalam susu ibu 'Prebiotik' pula adalah makanan kepada bakteria probiotik. Prebiotik ba­nyak ditambah ke dalam produk susu tepung bayi dan kanak-kanak. Buah-buahan yang kaya dengan prebiotik adalah pisang iaitu bahan yang dipanggil frukto oligo sakarida (FOS). 

Selain kesihatan usus, kajian menunjukkan probiotik juga amat baik untuk pesakit diabetes. Kajian selama enam minggu kepada pesakit diabetes yang diberikan probiotik lactobacillus dan bifidobacterium mendapati paras gula berpuasa dan HbA1C yang lebih rendah berbanding dengan pesakit yang tidak mengambil probiotik ini. Kajian ini diterbitkan dalam Journal of Nutrition pada 2012.

17/09/14

MORAL AYAH DAN IBU MEMBENTUK SI ANAK

Seorang teman mengadu dia pernah dimalukan anak rakan sepejabatnya yang berusia enam tahun dengan panggilan mak cik gemuk.

Lebih menghairankan bagi teman berkenaan, ibu kanak-kanak itu bagaikan tiada reaksi, sebaliknya menganggapnya sebagai satu gurauan semata-mata. 

Situasi itu bukan sesuatu yang baru kerana kebanyakan ibu bapa menjadikan umur sebagai alasan untuk tidak menghukum kesalahan anak mereka meskipun secara terang-terangan tidak mempunyai adab dan budi bahasa. 

Perbuatan seperti itu tidak boleh dibiarkan kerana jika dilakukan di tempat terbuka, ia boleh menjatuhkan maruah seseorang terutamanya yang sudah berusia.

AJAR si kecil supaya berkongsi barang permainan.

Kanak-kanak (dalam ling­kungan umur tiga hingga tujuh tahun) tidak boleh terlalu dimanjakan dan perlu dididik mengenai budi bahasa kerana apa yang dipelajari sewaktu kecil membentuk diri menjadi individu dewasa yang berhemah.

Begitupun, untuk membentuk anak mengenai budi bahasa bukan boleh dilakukan dalam masa sing­kat, sebaliknya ia adalah suatu proses yang berterusan. 

Dalam hal ini, ramai pakar psikologi kanak-kanak menyarankan usia tiga hingga lima tahun adalah waktu terbaik untuk me­ngajar si kecil mengenai adab dan budi bahasa. 

Berikut beberapa panduan yang kerap dikongsikan pakar psikologi kanak-kanak mengenai bagaimana untuk membentuk budi bahasa dalam diri si kecil. 


Ucapan meminta maaf 

Tunjukkan situasi si kecil harus mengucapkan kata-kata maaf. Anda sendiri perlu menjadi contoh kepada si kecil. Jadikan ungkapan meminta maaf sebagai suatu perkara biasa dalam kehidupan seharian. 

Jika anda sendiri melakukan kesilapan pada si kecil, usah malu untuk meminta maaf daripada anak sendiri. Dengan cara ini dia secara tidak langsung akan belajar dan memahami bahawa meminta maaf bukanlah perkara yang memalukan. Ini boleh membuatkan anak anda lebih disenangi dalam pergaulannya dengan rakan sebaya. 


Tunjuk rasa hormat kepada insan lebih dewasa 

Didik anak untuk menghormati orang yang lebih tua daripada mereka seperti kakak, abang, datuk, nenek dan jiran tetangga. 

Si kecil juga perlu dididik supaya tidak meninggikan suara atau menjawab ­dengan perkataan yang kurang elok apabila berinteraksi ­dengan orang lebih dewasa. Sebaiknya, tunjukkan contoh yang baik untuk mereka ikuti. 


Segera tegur apabila anak melakukan kesalahan 

Apabila anak melakukan kesilapan, jangan teragak-agak untuk menegur dan menerangkan kesalahannya. Pada masa sama, tunjukkan cara yang betul supaya dia tidak mengulangi kesilapannya. Jika anak bercakap sesuatu yang boleh membuatkan orang lain malu atau terasa, segera suruh anak supaya meminta maaf. 

Bagaimanapun, oleh kerana kanak-kanak sekarang bijak, anda perlu pandai memilih waktu dan perkataan untuk menegur mereka. Jika dia melakukan kesilapan ketika bersama kawan-kawannya, mungkin ada baiknya anda tangguhkan dulu untuk menegur kesilapan si anak kerana teguran yang dibuat secara terbuka boleh membuatkan dia malu. Anda boleh menerangkan kesilapannya ketika duduk berdua bersama anak. 


Minta kebenaran 

Memang diakui pada mulanya agak sukar untuk melatih kanak-kanak meminta kebenaran bagi mendapatkan sesuatu. Ini kerana mereka lebih cenderung merampas barang permainan rakan sebaya atau daripada adik-beradik lain. 

Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk sentiasa menasihatkan anak mereka. Katakan kepadanya dengan lembut bahawa perbuatan itu adalah salah dan perlu meminta kebenaran jika mahu mendapatkan sesuatu yang bukan milik mereka. 


Didik anak guna perkataan sopan 

Jadikan perkataan ‘tolong’ dan ‘terima kasih’ sebagai ungkapan yang wajib dalam keluarga anda. Jika anak anda terlupa untuk mengucapkan terima kasih, anda perlu ingatkan. Selain itu, didik anak supaya menggunakan perkataan sopan ketika berbual de­ngan orang yang lebih dewasa. Dalam hal ini, kanak-kanak perlu diingatkan bahawa mereka tidak boleh bergurau dengan perkataan yang tidak elok. 


Berkongsi permainan 

Berikan kata-kata pujian apabila si kecil anda sedia berkongsi barang permainannya dengan orang lain. Katakan kepadanya sikap suka berkongsi barang membuatkan dirinya lebih disayangi dan disukai ramai. 


Gunakan perkataan ‘tolong’ 

Guna perkataan ini apabila mahu meminta anak anda mengambil barang yang anda mahu. ‘Contohnya, Adik, tolong ibu ambilkan barang itu dan sebagainya. Apabila kanak-kanak kerap mendengar sendiri perkataan yang sopan daripada ahli keluarga, ia sekali gus turut mendidik minda mereka. 


Memberi pujian 

Pujian adalah kata-kata yang menakjubkan buat si kecil. Sentiasa berikan pujian apabila anak anda menunjukkan sikap yang baik. Pujian yang diterima sedikit sebanyak membantu per­kembangan emosi dalam diri mereka. 


Intonasi suara 

Si kecil perlu diberitahu bahawa tidak semua tempat bebas untuk bersuara atau melakukan apa yang disukai. Di tempat awam contohnya, didik mereka supaya bercakap dengan perlahan dan tidak mengganggu orang lain. Beritahu anak tempat yang dia boleh bersuara kuat dan di mana dia perlu memperlahankan suaranya. 


Salam 

Didik anak untuk berjabat tangan menghulurkan salam apabila berjumpa dengan orang yang lebih tua daripadanya. Ia mampu melahirkan perasaan hormat dalam diri kanak-kanak terhadap orang lebih dewasa. 


Sopan di meja makan 

Kanak-kanak paling susah untuk duduk diam apabila berada di meja makan. Jika di rumah sendiri ia mungkin boleh dimaafkan tetapi apabila berada di luar, sedikit sebanyak boleh mendatangkan suasana yang kurang selesa. 

Sebaiknya, didik mereka sejak kecil supaya makan dengan tertib dan tidak berebut-rebut antara satu sama lain. Mereka juga perlu diajar supaya makan dengan sopan tanpa menyepahkan makanan atau minuman.

14/09/14

KETAHUI MENGAPA SAKIT HULU HATI


Ramai tidak menyedari, makanan pedas, berasid, berlemak dan berangin mampu memberi kesan tidak baik dalam tubuh. Namun sukar meninggalkannya disebabkan ia sudah menjadi budaya, terutama masyarakat di Asia.

Memang enak makan berasaskan makanan seperti itu, apatah lagi ia sememangnya selera Asia. Namun tahukah anda, memakan makanan berkenaan tanpa pemantauan sepatutnya boleh me­nyebabkan seseorang itu diserang simptom pedih hulu hati atau refluks gastroesofagus (GERD).

GERD adalah gangguan penyakit pencernaan yang kronik yang berlaku apabila asid dalam perut atau ada kala kandungan perut mengalir semula ke dalam saluran esofagus (laluan antara mulut dan perut).

Keadaan ini secara lazimnya dikenalpasti melalui rasa pedih ulu hati yang kerap serta berterusan dan regurgitasi asid. Pendedahan esofagus secara berterusan kepada kandungan perut akan mengakibatkan luka pada lapisan dinding esofagus yang erosif.

Pada 2004, kadar kelaziman GERD di Malaysia adalah 38.8 peratus manakala kadar kelaziman radang esofagus yang erosif telah meningkat daripada dua kepada 8.4 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Ini selaras dengan kadar kelaziman di beberapa negara Asia yang turut menunjukkan trend penyakit GERD yang semakin meningkat. Bagaimanapun, pe­nyakit ini masih kurang didiagnos dan kurang dirawat disebabkan tahap keseriusan simptom pe­nyakit yang tidak dikenalpasti.

Ketua Jabatan Gastroenterologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Datuk Dr Goh Khean Lee berkata, menurut kajian GERD di Asia Pasifik (GAPS), 94 peratus daripada bilangan pesakit masih mengalami simptom GERD dan 62 peratus daripada jumlah itu mengalaminya pada waktu tidur.

“Ini berlaku meskipun mereka telah menerima terapi perencat pam proton (PPI) yang dianggap sebagai rawatan utama GERD. Terdapat juga 66 peratus daripada pesakit yang mengalami ketidakselesaan pada waktu malam disebabkan simptom pedih ulu hati dan ini mengakibatkan gang­guan ketika tidur.

“Justeru itu, 56 peratus daripada pesakit terpaksa menggunakan pelbagai jenis rawatan tambahan untuk mengawal keadaan mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Dexilant (dexlansoprazole) anjuran Takeda Malaysia Sdn Bhd di ibu negara baru-baru ini.

Dexilant (Dexlansoprazole) adalah perencat pam proton yang baru dengan dua pelepasan ubat dirumuskan untuk penyembuhan dan penjagaan penyakit radang esofagus yang erosif serta penyakit simptomatik refluks gastroesofagus yang tidak erosif.

Bergantung kepada tahap keseriusan GERD pakar kesihatan boleh memperkenalkan PPI sebagai sejenis rawatan jangka panjang apabila terapi asas seperti ubat-ubatan di kaunter (OTC) tidak memadai untuk merawat GERD. PPI bertindak mengurangkan rembesan asid dengan mematikan pam asid dalam perut.

Meskipun menjalani rawatan PPI, GAPS telah mendedahkan hampir separuh daripada pesakit yang dikaji (48 peratus) merasakan simptom GERD telah mengganggu kehidupan mereka.

Hanya 24 peratus daripada pesakit dapat mengawal kesakitan dan ketidakselesaan dialami. Kajian itu juga menunjukkan bahawa hampir 60 peratus daripada pesakit mahukan kawalan simptom penyakit sehingga 24 jam untuk memberi kelegaan pada waktu malam dan 44 peratus pesakit memilih untuk mengambil PPI pada bila-bila masa.

Prof Goh menambah, ramai pesakit GERD di Asia melaporkan tekanan dan produktiviti kerja merosot akibat simptom-simptom mereka dan ini menunjukkan impak GERD terhadap kualiti kehidupan pesakit.

“Oleh itu satu ejen yang memberikan tindakan rawatan untuk jangka masa lebih panjang de­ngan risiko yang minimum untuk simptom kembali terutama pada waktu malam harus disediakan bagi menangani batasan rawatan yang sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Prof Emeritus Perubatan, Jabatan Gastroenterologi dan Hepatologi Pusat Sains Kesihatan Universiti Virginia, David A Peura berkata sebagai satu jenis PPI dengan formula DDR, setiap kapsul Dexilant (dexlansoprazole) mengandungi dua jenis granul bersalut enterik.

“Granul-granul ini mempunyai profil pelarutan berbeza yang bergantung pada nilai pH yang direka untuk melepaskan ubat di lokasi yang berbeza dalam saluran gastrousus.

“Granul satu Dexilant (dexlansoprazole) yang me­ngandungi kira-kira 25 peratus daripada dos ubat mula melepaskan ubat dalam bahagian pertama usus kecil pada nilai pH 5.5 dalam tempoh satu hingga dua jam selepas kapsul diambil.

“Sekitar empat hingga lima jam kemudian, granul dua yang mengandungi kira-kira 75 peratus daripada dos ubat memberi pelepasan ubat yang kedua dalam bahagian hujung usus kecil pada nilai pH 6.75,” jelasnya.

Dexilant (dexlansoprazole) boleh didapati dalam kapsul pelepasan yang lewat dalam dos 30 dan 60 miligram dan diambil secara oral sekali sehari dengan atau tanpa makanan. Ia diluluskan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Malaysia pada awal tahun ini dan boleh didapati di semua hospital dan klinik swasta utama di seluruh Malaysia.