31/08/14

BAHAYA AUTISME PADA KANAK-KANAK

Kira-kira 54 peratus kanak-kanak di Amerika Syarikat dan negara membangun menghidap satu atau lebih penyakit kronik dan berdasarkan saintis MIT, jika tiada sebarang tindakan, menjelang 2025 satu dalam dua kanak-kanak akan menghidap autisme.

Autisme adalah ketidakupayaan yang mendatangkan kesan teruk ke atas perkembangan penghidapnya yang memerlukan penjagaan sepanjang hayat. Autisme berasal daripada perkataan bahasa Greek iaitu ‘autos’ yang bermaksud sendiri. 
Ia merujuk kepada seseorang yang hidup dalam dunianya sendiri. Dari sudut perubatan, autisme ialah keadaan di mana interaksi sosial seseorang terganggu akibat masalah kemahiran berkomunikasi, tingkah laku tidak wajar yang berulangan, pemencilan diri serta mempunyai keinginan terhad terhadap sesuatu benda. 

Autisme juga dikenali sebagai gangguan pertumbuhan tumbesar seseorang dalam jangka masa panjang yang memberi kesan dalam pemikiran kanak-kanak serta dalam proses informasi.


Ia berlaku kepada satu hingga dua kanak-kanak dalam 1,000 dan terjadi empat kali lebih kerap dalam kalangan kanak-kanak lelaki. Biasanya ia dikenal pasti ketika usia kanak-kanak mencecah usia tiga tahun.

Penulis buku Brighton Baby, Dr Roy Dittmann berkata, kebanyakan individu menderita akibat kekurangan mineral yang kronik dan tidak seimbang disebabkan tanah kekurangan mineral. 

“Keadaan ini me­ngakibatkan makanan kita kekurangan nutrisi. Kemurungan selepas bersalin dan penyakit kanak-kanak adalah tanda kekurangan mineral. Begitu juga keadaannya seperti petani pintar akan menyiram tanaman mereka menggunakan air laut bagi mengembalikan mineral ke tanah mereka. 

“Setiap kanak-kanak dilahirkan berbeza. Kekurangan mineral boleh menjejaskan kesihatan. Mineral adalah perlu bagi pengangkutan oksigen, metabolisme tenaga, pertumbuhan dan perlindungan sel dan saraf,” katanya ketika ditemui media pada pelancaran Kington Minerale di ibu negara, baru-baru ini. 

Kington Minerale menghadam, menyerap serta menggunakan ­nutrien daripada makanan. Ia juga berupaya mengembalikan kembali mineral kepada badan dan ­menambah baik persekitaran epigenetik. 

Kepekatan mineral yang tinggi dalam Kington Minerale meng­galakkan penghantaran 83 jenis mineral dalam sistem saraf pusat untuk mengekalkan minda sihat dan aktif. 

Menurut Dr Roy, Kington Minerale mengandungi enzim hidup, faktor sampingan serta sinergi yang diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran. 

“Mineral seperti kumprum, kalsium,magnesium, besi dan kalium boleh membantu mengurangkan kemurungan. 

“Terapi Cease meng­gunakan Kington Minerale sebagai sebahagian daripada rawatan autisme yang dibangunkan oleh Dr Tinus Smits. Ia berjaya merawat lebih daripada 300 pesakit autistik, dan memberi mereka kehidupan normal semula,” katanya. 


TANDA DAN GEJALA 

Tanda dan gejala berlaku disebabkan tiga faktor utama: 

KOMUNIKASI 

- Lambat, tidak normal atau tidak boleh bertutur 
- Bahasa tanpa lisan yang tidak normal contoh, kurang pergerakan anggota badan 
- Kurang cerdas semasa bermain 
- Kurang upaya bergaul atau berbincang dengan orang lain 
- Tindak balas sosial 


HILANG TUMPUAN DAN KURANG MIMIK MUKA 

- Tiada kesedaran perasaan terhadap orang lain 
- Suka bersendirian tanpa berkongsi pengalaman dengan orang lain 
- Suka bermain sendirian 
- Tingkah laku yang berulang dari segi minat dan aktiviti 
- Menggerakkan anggota badan berulang kali seperti bertepuk tangan, menggoyangkan badan ke depan dan belakang, mengangguk kepala 
- Menumpukan perhatian kepada satu objek saja seperti tayar kereta mainan 
- Tertekan ke atas perubahan kecil yang berlaku dalam persekitaran 
- Hanya berminat terhadap satu atau dua perkara 


KOMPLIKASI 

Seseorang yang meng­hidap autisme akan mendapat gejala yang berlainan me­ngikut umur masing-­masing 

- Peringkat awal kanak-kanak - Hiperaktif, panas baran 
- Peringkat akhir kanak-kanak - suka menyerang, mencederakan diri sendiri 
- Peringkat remaja dan dewasa - kemurungan dan epilepsi 


RAWATAN 

Beberapa orang yang pakar dalam bidang ini diperlukan untuk: 

- Membaiki kemahiran sosial 
- Menggalakkan lebih ramai masyarakat mengenal pasti kelakuan mereka 
- Menambah baik komunikasi verbal dan non verbal 
- Membantu keluarga mengendalikan masalah ini dengan jayanya 
- Tiada ubat dapat me­nyembuhkan autisme, tetapi beberapa jenis ubat dapat mengawal gejala yang timbul disebabkan autisme seperti: 
- Kelakuan ganas 
- Hiperaktif 
- Kebimbangan yang mung­kin timbul 
- Rehabilitasi 

18/08/14

BUAH DUKU BAIK UNTUK WANITA HAMIL


Di samping rasanya yang manis dan enak, duku mengandungi serat mencukupi dan sangat berkhasiat khususnya buat wanita hamil mengatasi masalah saluran pencernaan seperti sembelit dan sukar membuang air besar. 

Saluran pencernaan yang sihat dapat mengelak tubuh daripada penyakit seperti kanser usus besar dan penyakit berpunca daripada masalah pencernaan. 

Duku juga berkhasiat dalam meningkatkan kesihatan gigi kerana kandungan fosfor yang dimilikinya bermanfaat dalam mencegah sakit gigi, menguatkan gigi dan memutihkan gigi secara semula jadi.

Duku juga mampu mengubati rasa gatal akibat digigit serangga kerana bukan hanya buahnya yang mempunyai manfaat untuk kesihatan, tetapi kulit duku juga ada ba–nyak kelebihan.

Kulitnya boleh digunakan untuk mengatasi masalah gatal akibat gigitan serangga, menghilangkan jerawat serta menghaluskan kulit. 

Gosok kulit duku pada kulit yang gatal dan rasai kesannya. Kulit duku juga digunakan dalam mengatasi gigitan nyamuk dengan cara menggosok kulitnya pada bahagian kulit badan yang mahu dilindungi dan nyamuk lazimnya tidak menggigit anda. 

Duku juga membantu untuk menurunkan kadar kolesterol dalam darah dan mengurangkan tekanan darah tinggi yang juga antara punca strok.

Khasiat Buah Duku


Buah duku yang bentuknya hampir seperti kelengkeng ini ternyata memiliki beberapa manfaat yang baik untuk kesihatan, dan berikut adalah beberapa manfaat buah duku untuk kesehatan :

Kulit dan biji buah duku mampu menurunkan demam dan juga sekaligus sebagai ubat diare. 

Kulit kayu dari buah duku ini mampu mengubati kulit dari gigitan serangga. 

Bermanfaat sebagai ubat disentri. 

Kandungan serat yang ada pada buah duku mampu membantu melancarkan pencernaan di dalam tubuh. 

Mampu mencegah akan terserangnya penyakit kanker.

Di atas adalah beberapa manfaat dari buah duku yang bisa kita dapatkan dengan mengkonsumsinya. Untuk itu disarankan bagi anda yang memiliki beberapa gejala penyakit di atas bisa mengkonsumsi buah duku untuk mengobati.


Manfaat Buah Duku Bagi Kesehatan Tubuh

Banyak khasiat dalam buah duku yang memang sangat baik untuk kesihatan, diantaranya adalah komposisi zat gizi yang ada pada setiap buah duku yang cukup banyak, mengandung kalori yang cukup banyak yaitu 70 kal setiap 100gram buah duku, protein, lemak, karbohidrat, mineral alami, kalsium dan fisfir yang baik untuk tulang, zat besi dan beberapa kandungan bermanfaat lainnya. Kandungan - kandungan inilah yang menyebabkan manfaat buah duku ini sangat baik untuk kesihatan tubuh. Dengan mengkonsumsi buah duku ini, anda boleh memenuhi setiap  tenaga yang digunakan setiap hari oleh tubuh anda sekaligus dapat menghindarkan kita dari beberapa penyakit.InsyaAllah..

14/08/14

ANAK SUKAR "BERCERAI SUSU"

Ramai ibu menghadapi masalah memberhentikan penyusuan badan kala anak sudah meningkat usia dua tahun ke atas. Ini kerana dalam tempoh ini bayi disusukan dengan susu ibu sepenuhnya sehingga si kecil merasakan aktiviti itu menjadi satu keperluan yang harus dilakukan tanpa mengira waktu. Selain khasiat susu ibu yang tiada tandingannya, penyusuan badan menjadikan hubungan ibu dan anak bertambah akrab selain jalinan emosi yang stabil serta daya tahan badan yang tinggi berbanding bayi yang tidak disusukan sepenuhnya.

Namun begitu selepas anak meningkat usia dua tahun ke atas, ramai ibu mengeluh kerana proses menceraikan susu badan menjadi amat sukar. Apatah lagi bagi mereka yang ingin hamil kembali. Untuk itu pelbagai cara dilakukan supaya si kecil tidak lagi menyusu. Ada yang menggunakan petua dulu kala dengan meletakkan sesuatu yang masam atau pahit seperti asam jawa, pewarna merah, bawang putih dan belacan pada bahagian payudara bagi memberikan rasa kurang enak lantas anak akan berhenti menyusu sendiri. 

Namun keberkesanannya kurang dipastikan. Ini kerana ada anak yang masih boleh menerima dan hanya berhenti sekiranya ibu melakukan secara konsisten selama enam bulan ke atas. Jika tidak rasa pahit, masam, kelat atau bau busuk semuanya diterima saja. 

Menurut Perunding Laktasi Siti Nur Suraya Mohamed Ali, dia tidak menggalakkan ibu meletakkan sesuatu pada payudara kerana ia akan mengganggu emosi ibu dan anak sehingga membuatkan bayi tidak menyukai susu ibu. Walaupun ada ibu mengakui ia hanyalah langkah terakhir selepas cara diplomatik tidak berhasil namun sebaiknya guna cara yang lebih praktikal dan sesuai.

“Bayi akan melalui pelbagai fasa berbeza ketika menikmati aktiviti penyusuan susu badan. Biasanya proses bercerai susu akan berjaya jika dilakukan secara perlahan-lahan atau berperingkat dalam masa beberapa minggu atau bulan sebelum anak mencecah usia dua tahun,” katanya.

Apa yang boleh dilakukan adalah dengan mengurangkan penyusuan susu badan sedikit demi sedikit dan kemudian apabila anak sudah selesa dan tidak lagi meminta barulah proses memberhentikannya dilakukan. 

“Memberhentikan penyusuan badan secara drastik kadang kala boleh menyebabkan perubahan besar kepada ibu dan anak. Selain kesan fizikal, anda juga akan mengalami kesan emosi. Sesetengah wanita berasa sedih kehilangan keakraban antara ibu dan anak ketika menyusukan bayi mereka,” katanya. 

Dalam hal ini tiada masa yang betul atau salah untuk memberhentikan penyusuan. Ada yang bermula ketika anak genap berusia dua tahun, ada pula mengambil masa dua tahun enam bulan malah ada bayi mungkin menyusu lebih lama berbanding kanak-kanak sebaya bergantung kepada kesediaan ibu dan bayi untuk melalui proses ini. 

Setiap ibu akan melalui pengalaman berbeza bergantung kepada berapa cepat dan mudah bayi membuat penyesuaian. Bercerai susu akan mengambil masa lebih lama sekiranya bayi belum bersedia melakukannya. 

Lebih baik sekiranya ibu tidak menghentikan penyusuan badan serta merta. Ini kerana ia akan mengganggu bayi dan membuatkan ibu berasa kurang selesa apabila mengalami payudara bengkak dan kemungkinan berhadapan penyakit mastitis, satu penyakit radang payudara. Jika bayi tidak menunjukkan tanda dia mahu berhenti menyusu, bersabarlah sehingga dia benar-benar bersedia. 

“Untuk itu ia terpulang kepada ibu membuat keputusan dan menentukan masanya. Tetapi nasihat saya jangan cuba memberhentikan penyusuan ketika anak atau keluarga mengalami tekanan seperti ketika bayi tumbuh gigi, berpindah ke rumah baru atau anda mula menghantar anak ke pusat jagaan. Ini kerana pada saat emosi kurang stabil ia akan menyebabkan ibu menjadi lebih tertekan dan memaksa bayi bersama-sama menghadapi tekanan ini,” katanya. 

Terdapat pelbagai cara yang lebih ‘manis’ dan berhemah boleh dimulakan ibu sebaik saja anak sudah meningkat usia dua tahun. Antaranya adalah: 

1. Jangan tawarkan susu ibu dan lengahkan jika dia minta. 

Pada ketika anak leka bermain, dia terlupa untuk menyusu. Ibu usah memanggil dan mengajaknya menyusu sebaliknya biarkan dia meneroka dunianya. Walaupun proses ini sangat sukar kerana naluri ibu biasanya ingin menyediakan yang terbaik untuk anak mereka. 

Jadi dengan membiarkan anak tidak menyusu akan menyebabkan ibu risau mengenai kesihatan si kecil. Sekiranya bayi meminta susu, lengah-lengahkan seperti memberitahunya untuk basuh tangan atau meminta si comel mengambil air kosong dulu. 

Pada usia dua tahun anak sebenarnya sudah boleh memahami sekiranya anda memberitahu yang pakaian anda tidak sesuai untuk menyusu atau beritahu yang dia hanya boleh menyusu di dalam kereta dan bukannya di tempat awam. 

2. Berikan minuman lain. 

Bagi ibu yang ingin memberhentikan penyusuan seharusnya sudah memikirkan jenis minuman gantian yang akan disediakan. Ibu atau penjaga boleh menawarkan minuman lain seperti air buah, susu segar, minuman dalam kotak atau air kosong. 

Sediakan satu botol minuman dengan karakter yang disukainya dan ini membolehkan bayi mula menyukai perasaan menjadi kanak-kanak. Gantikan susu dengan snek berkhasiat seperti buah-buahan yang dipotong kecil supaya anak menjadi lebih kenyang. 

3. Berhentikan penggunaan botol dan gunakan bekas air. 

Pada usia bayi lapan bulan, dia sudah boleh mula memegang bekas air dan minum daripadanya. Botol susu ataupun susu formula bukanlah pengganti kepada penyusuan susu ibu. Ia lebih kepada peralihan yang melekakannya, namun apa yang sedang kita lakukan ialah melatih bayi untuk berdikari. 

4. Penggantian rutin. 

Perhatikan rutin bayi dan cuba gantikan dengan aktiviti berfaedah. Penyusuan sebelum tidur adalah waktu paling sukar untuk diberhentikan. Bapa boleh mengambil peluang ini dengan menggantikannya dengan tabiat baru seperti membacakan buku atau melihat bintang bersama-sama bapa. Suami juga boleh memainkan peranan dengan membawa anak yang baru bangun tidur bersarapan pada waktu pagi sebelum anak meminta susu daripada ibu. 

5. Memendekkan tempoh penyusuan. 

Ibu juga boleh mencuba dengan memendekkan waktu penyusuan. Sekiranya menyusu selama 30 minit ibu boleh memendekkan masa selama 10 hingga 15 minit saja. Cara ini berkesan untuk anak berusia dua tahun ke atas. Ibu boleh memujuk anak yang dia hanya boleh minum sedikit saja kerana sudah besar. Tunjukkan contoh abang atau kakak yang sangat baik apabila tidak menyusu. 

6. Sebaik saja bayi anda memakan berbagai jenis makanan, anda akan dapati dengan sendirinya dia kurang meminta susu badan. Jika anda mahu membantu menggerakkan proses ini, ikutilah langkah-langkah ini: 

Langkah 1: Biar­kan bayi menghabiskan penyusuan sepenuhnya, kemudian berikan dia hidangan kecil makanan. Pada waktu ini bayi anda boleh menguji rasa dan tekstur makanan. 

Langkah 2: Sebaik saja bayi anda mula makan dengan baik (tandanya kelihatan daripada najisnya), barulah anda membuat beberapa pertukaran. Cuba dengan beberapa sarapan dulu. Berikan dia makanan sebelum menyusu. Lakukan ini untuk setiap kali penyusuan. 

Langkah 3: Lama kelamaan, berikan bayi anda air dalam cawan bermuncung lembut untuk menggantikan penyusuan badan. Sekurang-kurangnya dia boleh minum susu menggunakan cawan.

13/08/14

ABAI ANAK KERANA TEKANAN HIDUP

Disini kita ingin kongsikan bersama kisah-kisah mengenai peranan dan tanggugjawab ibu bapa terhadap anak-anak mereka.Ini kerana banyak perkara negatif yang telah berlaku di dalam institusi kekeluargaan di kalangan orang melayu yang tidak dapat menanggung bebanan tekanan hidup lalu mengabaikan anak-anak mereka.Ikuti perkongsian ilmu di bawah ini..

Radiah seorang isteri dan ibu kepada dua cahaya mata. Dia juga bekerja di pejabat bermula jam 9 pagi hingga 5 petang. Tamat tugasan dia pulang ke rumah bagi menunaikan tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak. Dia sedar walau bagaimana sibuk sekalipun anak tidak harus diabaikan. Mereka adalah anugerah Allah paling berharga dan harus diuruskan sebaiknya.

Apa yang dialami Radiah mungkin jauh berbeza ­dengan ibu zaman dulu yang hanya menyelesaikan ­tugasan di rumah ­sedangkan ibu pada zaman moden ini memikul semua tugasan sama ada mencari rezeki dan menguruskan anak-anak.

Akibatnya ada di antara wanita tidak dapat memikul bebanan sehingga wujud tekanan dalam diri mereka. Senario lain pula berlaku ibu muda yang tidak tahu tanggungjawab mereka sehing­ga timbul isu pengabaian anak, penderaan dan kes pembuangan bayi. Akhirnya mereka dipersalahkan tanpa melihat terlebih dulu tekanan atau masalah yang dihadapi.

Menurut Perunding Keibubapaan dan juga penulis buku motivasi Ibu Cool Bapa Hebat, Jamilah Samian mengenai rentetan berita dalam akhbar yang memaparkan gejala kerapuhan nilai murni, tidak adil menyamaratakan semua ibu bermasalah.

JAMILAH sentiasa memberikan sokongan kepada anaknya untuk lebih berjaya dalam pelajaran.

Seorang ibu tidak harus diterima seratus peratus atau dilabel sebagai sama. Walaupun banyak berita memaparkan kisah kegagalan ibu menjalankan tanggungjawab, masyarakat harus lihat skop yang lebih luas kerana jumlah ibu bekerjaya yang berjaya mendidik anak dengan sempurna tidak terhitung.

Ramai ibu bapa akur kos kehidupan di kota raya semakin tinggi menyebabkan ramai isteri terpaksa bekerja untuk membantu suami. Gaji suami seorang tidak mencukupi, terutama apabila anak mula bersekolah. Ini satu realiti.

Masalah lain pula timbul apabila perceraian berlaku dan si bapa secara sengaja atau tidak gagal memberi nafkah yang memaksa ibu keluar mencari rezeki bagi meneruskan kehidupannya anak beranak. 

“Ada ibu terpaksa melakukan lebih satu pekerjaan bagi menampung kos sewa rumah, perbelanjaan anak dan keperluan harian,” ujarnya. 

Dari segi akauntabiliti, ibu bapa tetap memikul tanggungjawab membentuk perilaku anak. Tidak ­boleh menyalahkan orang lain apabila anak melakukan kesilapan. Ini bermakna ibu bapa perlu peka, sedar dan arif mengenai pengaruh 
luar dan lakukan apa saja bagi membentuk peribadi mereka menjadi insan sempurna dan berguna.

Ini jelas disebut dalam al-Quran bahawa pendidikan anak adalah amanah ke atas kedua ibu bapa, bukan ibu saja. Malah peranan ibu dan bapa masih kekal sebagai pendidik utama anak.

“Ayah tetap sebagai kapten dan tunggak keluarga bukannya ibu. Ini jelas disebut dalam al-Quran, surah At Tahrim, ayat 6 (66:6) yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman. Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakar adalah manusia dan batu,” katanya.

Memang benar pelbagai tekanan dan masalah yang menjadi faktor utama berlakunya penderaan dan pengabaian seperti yang berlaku kepada adik Firdaus menuntut pengorbanan wanita bergelar ibu untuk lebih peka dengan tanggung jawab mereka. Begitu juga dengan fenomena atau gejala buang bayi yang banyak berlaku, namun ada pelbagai punca yang harus dikaji.

“Masalah multidimensi iaitu pada usia remaja, anak remaja lelaki lebih tertarik kepada remaja perempuan, begitu juga sebaliknya. Ini fitrah. Ibu bapa perlu rapat dengan anak dan bijak menerangkan kepada mereka mengenai perubahan diri yang dialami. Anak remaja perlu bijak memilih kawan dan aktiviti ­bermanfaat serta kurang potensi untuk terbabit dalam gejala negatif. Pendedahan Internet dengan imej negatif di luar kawalan juga satu faktor yang ketara,” jelasnya.

Masyarakat harus sedar masa cepat berlalu, secara tidak langsung persekitaran juga turut berubah. Tiga puluh tahun dulu gejala negatif seperti pornografi hanya disebar melalui majalah. Hari ini, sesiapa saja yang menggunakan Internet terdedah kepada perkara ini. Malah anak yang belum bersekolah atau prasekolah juga ­dapat menyaksikan pelbagai imej negatif melalui ‘pop up’ Internet tanpa ­menekan sebarang kekunci.

Jadi ibu bapa perlu berganding bahu, memastikan matlamat dan usaha selari, sepakat dalam mengurus rumah tangga serta mendidik anak. Ia akan membuatkan anak berasa dilindungi dan tidak disia-siakan.

Terangkan kepada anak mengapa kita bekerja, jadi anak faham dan sokong apa yang ibu bapa lakukan. Anak yang sudah besar, harus dirapati dan sering diajak berbual serta berbincang. Ini membolehkan mereka merasa diri dikasihi dan disayangi. Oleh itu mereka tidak mudah dipengaruhi orang lain dan mendengar cakap ibu bapa.

Bagaimanapun, untuk anak kecil yang masih menyusu, perlu diwujudkan satu sistem di mana ibu tetap menyusukan anak dengan sempurna, meskipun kembali bekerja beberapa bulan selepas bersalin. Ini amat penting bukan saja demi menjamin kesihatan anak, tetapi juga untuk merapatkan hubungan ibu dan anak.

Sentiasa ingat anak boleh jadi pintu syurga untuk ibu bapa. Sebaliknya anak yang salah didikan akan berubah tingkah laku dan mudah terjerumus dalam pelbagai kancah negatif termasuklah penagihan dadah, ­perhubungan bebas remaja lelaki dan perempuan.

Perlu diingat walau sesibuk mana pun, mendidik anak adalah tanggungjawab ibu bapa.

Selain itu kenali guru anak dengan pergi ke sekolah dan berjumpa mereka untuk mengetahui perkembangan anak. Ada banyak isu di sekolah yang perlukan pembabitan ibu bapa secara langsung seperti gengsterisme, melawan guru dan kes buli.

Jadikan waktu bersama anak satu keutamaan. Balik rumah, lakukan yang ‘wajib’ saja seperti memasak dan abaikan kerja sampingan seperti membasuh baju atau mengemas rumah kerana ia boleh dilakukan ketika anak sudah tidur.

Anda perlu bersikap fleksibel dalam meluangkan masa dan tenaga untuk anak. Namun perlu diingat, emosi anak lebih stabil apabila mereka melihat ibu bapa sepakat dan saling membantu. Untuk itu lakukan kerja rumah bersama suami dan elakkan melakukan sendirian.

Bagi yang ada anak remaja pula jangan malu untuk memeluk dan mencium mereka. Ajak bersembang, minta pendapat dan pandangan mereka. Ada kala ibu bapa perlu tegas untuk mendisiplinkan mereka sejak usia remaja.

“Mendidik anak ada batasnya. Terlalu manja atau terlalu keras kesannya tidak baik. Tegas dan manjakan anak biar bertempat.

Ibu bapa perlu tahu pering­kat umur serta fasa pembesaran serta cara terbaik ­untuk mendidik mereka. Anak yang sudah mula ­‘berakal’ iaitu berusia dua tahun ke atas perlu diajar mengenai ‘akibat’ perbuatan mereka. Perbuatan baik akan dibalas baik manakala perbuatan tidak baik akan menerima balasan negatif. Lakukan hukuman secara konsisten selaras ­dengan umur anak,” katanya.

Jamilah yang sering menyampaikan ceramah ­keibubapaan dan berinteraksi dengan ibu bapa ­menolak tanggapan ada ibu tidak bertanggungjawab ­terhadap anak mereka. Persepsi ini tidak benar. Mungkin ada ibu yang kurang pengetahuan mengenai tanggungjawabnya, tetapi jumlahnya tidak ramai. Mungkin ia berlaku dalam keadaan di bawah sedar, bukan sengaja, misalnya sewaktu terlalu sibuk ­dengan kerja.

“Bagi saya kebanyakan ibu bekerjaya peka dengan tanggungjawab serta amanah yang dipikul. Mereka juga ingin menyumbang kepada pembentukan dan pembangunan masyarakat. Ini tertera dalam hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak soleh yang berdoa untuk­nya,” katanya.

PRODUK GALAK PENYUSUAN IBU

Sebagai meraikan bulan penyusuan susu ibu Ogos ini, Bloom & Grow memperkenalkan pelbagai peralatan penyusuan yang bukan saja ditujukan untuk ibu, tetapi juga bakal ibu bagi menggalakkan penyusuan susu ibu. Dengan adanya aksesori ini, ia menjadikan proses penyusuan menjadi lebih senang, malah memberi semangat kepada bakal ibu menyusukan bayi mereka sepenuhnya.

Bantal Theraline - Bantal sokongan penyusuan dari Eropah direka bagi memberi keselesaan kepada ibu menyusukan anak dan melayan bayi mereka. Bantal berbentuk panjang dan fleksibel ini mampu mengurangkan ketegangan pada leher dan bahu ibu. Ia tidak berbau manakala manik mikro yang terdapat di dalamnya memberikan sokongan dan keselesaan berganda terutama untuk ibu yang hamil pada peringkat permulaan dan akhir kehamilan yang biasanya mengalami masalah sukar tidur. Theraline dijual di pasaran pada harga RM339 dan ia boleh didapati di semua kedai bayi seperti Bebe Totz, Happikiddo, Poppies, The Loft Baby dan Mothercare. 

Baju dalam menyusu - Baju dalam menyusu daripada Belly Bandit ini direka bagi memenuhi keperluan semua ibu. Ia bukan saja berfungsi memudahkan proses penyusuan badan, tetapi menyediakan akses seperti bengkung iaitu membentuk badan seperti sedia kala. Menggunakan fabrik lembut bagi memberikan sokongan kepada payudara serta tiga zon strategik menjadikan perut lebih leper. Pakaian ini berharga RM369 dan boleh didapati di The Babyloft, Little Whiz dan E Tiny Toes Concept. 

PENGGENDONG Ergobaby memudahkan bayi dibawa ke masa saja.

JUGA boleh digunakan sebagai kain bedung.

Penggendong Ergobaby - Penggendong Ergobaby direka bagi memudahkan ibu membawa bayi ke mana saja. Ia boleh dipakai di hadapan, belakang dan pinggang kemudian bayi diletakkan di dalamnya. Keselesaan dapat dirasa oleh bayi sama seperti ketika bayi dalam kandungan. Rekaan terkini kedudukan 360 darjah menjadikan penggendong bayi diletakkan dalam pelbagai kedudukan.

Selain itu penggendong kain yang mudah diregangkan ini digunakan dengan cara membalut dalam empat arah sangat fleksibel sehingga bayi anda berada dalam keadaan selesa ketika di luar rumah. Ia juga boleh digunakan ketika menyusukan bayi anda. Pengendong Ergobaby berharga daripada RM349 hingga RM689 dan boleh didapati di butik Mothercare, Fabulousmom, Little Whiz, Bebe Totz, Baby Invasion dan Bebehaus. 

Penggendong BabaSling - Penggendong berbentuk silang atau BabaSling memenangi pelbagai anugerah kerana penciptaan dan revolusi terkini dalam rekaan. Ia dihasilkan bagi memberi keselesaan dan kesederhanaan serta menyokong membangunkan tulang belakang terutama bayi baru lahir. Jalinan keakraban dapat dilihat apabila bayi sentiasa mendengar degupan jantung ibu menjadikan ikatan kemesraan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. 

BabaSling sesuai dipakai ketika perjalanan jauh, menyusukan bayi dengan selesa serta melakukan kerja rumah. Dengan lima fungsi berbeza, BabaSling boleh dilaraskan mengikut keperluan. Berharga RM274 BabaSling boleh didapati di BB Dot Com, Bebe Totz, Bebehaus, Happikiddo dan pusat bayi Manjaku. 

Kain pelbagai guna - Proses menyusukan bayi kini menjadi lebih mudah dengan adanya kain pelindung menyusu yang direka bagi memberi peluang ibu menyusukan bayi mereka walau di mana berada. Ia diperbuat daripada 100 peratus kapas tulen dan boleh digunakan dalam pelbagai cara. Selain menjadi pelindung ketika menyusu, kain ini juga digunakan sebagai lampin tradisional, selimut dan kain bedung bayi. 

Kain ini datang dalam pelbagai rekaan dan warna. Berharga RM129 untuk satu set. Kain pelbagai guna ini boleh didapati di BB dot com, Happikiddo, The Baby Outlet dan The Baby Loft.

12/08/14

KASIH SAYANG YANG `TIDAK BETUL` MAMPU MEROSAKAN ANAK

"Jangan rosakkan anak dengan kasih sayang"

Anak anugerah yang tidak ternilai dan kasih sayang terhadap anak tidak mungkin dapat diungkapkan hanya dengan kata-kata. Pelbagai cara dan usaha dilakukan ibu bapa bagi menunjukkan rasa kasih yang mendalam kepada zuriat masing-masing.

Bagaimanapun, dalam keghairahan mencurahkan kasih sayang, ditambah pula ekonomi keluarga yang semakin baik, ramai ibu bapa tersilap langkah dan mempamerkan konsep sayang yang ‘merosakkan’ anak mereka. 

Ada ibu bapa sanggup menurut apa saja permintaan anak baik dari segi material mahupun keperluan harian. 

Segelintir ibu berasa kasihan melihat anak mereka meminta gula-gula, ais krim dan coklat, lalu membelikannya manakala anak pula dibiar menikmatinya sepanjang hari.

Menyediakan hidangan tinggi kolesterol kepada anak juga dilihat sebagai tanda kasih kepada mereka, lalu berkunjung ke restoran makanan segera setiap kali anak meminta, sedangkan apa yang harus dilakukan ibu bapa adalah membimbing anak dalam semua perkara termasuk soal pemakanan seimbang.

Tidak cukup dengan itu, anak zaman moden ditatang bagai minyak yang penuh dan setiap permintaan mendapatkan peranti mudah alih termasuk telefon pintar dan tablet dipenuhi. 

Mungkin kasih sayang yang ditunjukkan disebabkan rasa bersalah kebanyakan ibu bapa yang sibuk dengan urusan kerja masing-masing hingga tidak ada masa untuk dihabiskan bersama anak mereka. 

Bagi ‘membeli’ kasih sayang anak, ibu bapa bersikap kurang tegas dalam mendidik dan mendapatkan apa saja yang diminta anak sebagai menunjukkan rasa cinta yang mendalam. 

Biarpun setiap permintaan berbentuk bahan material diberikan kepada anak, ia tidak mungkin dapat menggantikan keperluan jiwa anak yang mahukan belaian kasih-sayang, perhatian, bimbingan dan sokongan ibu bapa dalam membesarkan mereka. 

Hakikatnya, anak mendambakan belaian ibu bapa serta peluang berbual-bual, bergurau dan berkongsi pengalaman supaya setiap hari menjadi lebih lebih bermakna dan bahagia di samping kedua-dua orang tua. 

Kasih sayang sebenar adalah bimbingan dan perhatian daripada ibu bapa supaya anak berasa selamat selain dapat membezakan antara perkara buruk dan baik. 

Bimbingan ibu bapa bukan sekadar membabitkan perlakuan positif, kata-kata membina, tetapi ia meliputi gaya hidup terbaik yang akan menjadi ikutan dan tersemat kemas dalam diri anak-anak untuk sepanjang hayat mereka. 

Komunikasi yang baik adalah kemahiran paling penting kepada setiap ibu bapa apabila bercakap dengan anak mereka. Tanpa perlu meninggikan suara atau memarahi, anak akan lebih terbuka dan bersedia untuk mendengar apa yang ingin disampaikan ibu bapa. 

Malah, sifat tenang ibu bapa memberi impak besar pada anak dan mereka sendiri akan datang meminta nasihat apabila berdepan sebarang masalah kerana rasa hormat dan sayang kepada ibu bapa. 

Hubungan ibu bapa dan anak akan menjadi lebih membahagiakan jika ia sentiasa berada dalam keadaan yang positif dan kukuh. Tidak kira peringkat usia anak, bermula dari bayi, remaja dan dewasa, layanan baik daripada ibu bapa akan membantu mengukuhkan hubungan. 

Apabila hubungan anak dengan ibu bapa kukuh, sukar untuk anak terpengaruh dengan anasir buruk, sebaliknya mereka akan merujuk kepada ibu bapa terlebih dulu apabila keliru, bukannya bertanya pada rakan sebaya. 

Ibu bapa mempunyai pengalaman hidup dan pengetahuan lebih luas berbanding rakan sebaya anak mereka lalu nasihat daripada ibu bapalah yang terbaik dan meletakkan keselamatan serta kesejahteraan anak-anak pada kedudukan teratas.

11/08/14

JAGA SISTEM PENGHADAMAN BAYI


Kebanyakan kita tidak sedar kepentingan menjaga kesihatan sistem penghadaman pada usia kecil. Sistem penghadaman adalah antara sistem terpenting tubuh badan manusia kerana jika tidak dijaga, ia boleh menyebabkan pedih ulu hati atau sembelit, sekali gus menjejaskan kehidupan.

Pendidikan berterusan untuk ibu bapa meningkatkan pengetahuan mereka mengenai kepentingan kesihatan sistem penghadaman yang sihat untuk anak kecil sememangnya penting. 

Terdapat juga pendapat bahawa isu sistem penghadaman yang berpunca daripada penyusuan akan hilang selepas 18 bulan pertama dalam kehidupan seorang kanak-kanak. 

Namun tinjauan oleh pengeluar makanan kesihatan Abbot Nutrition International Malaysia mendapati 62 peratus ibu di Malaysia yang mempunyai anak berusia 18 bulan hingga empat tahun masih bimbang dengan keadaan dan kesihatan sistem penghadaman anak mereka.

Bukan kaum ibu saja yang risau mengenai kesihatan anak kecil mereka, malah bapa juga kini menunjukkan keprihatinan dan mahukan yang terbaik untuk anak mereka.

Stanley Chen, 35, dari Klang, Selangor sering membaca dan membuat tinjauan sendiri berkaitan pemakanan yang terbaik untuk anak kecilnya, Chen Wei Jun berusia setahun dua bulan. 

“Saya dan isteri sedar mengenai kepentingan pemakanan. Wei Jun mempunyai masalah dengan rasa susu formula yang diminumnya sebelum ini. 

“Dia hanya minum susu formula itu selama tiga hari saja. Setiap kali minum, dia cuma dapat menghabiskan 80 hingga 100ml sepanjang tempoh itu padahal kanak-kanak sebayanya patut mengambil 180 hingga 240ml susu. 

“Dia akan tolak botol susu selepas minum seketika. Tambahan pula, dia sudah tiga hari tidak buang air besar ketika minum susu yang lain,” katanya. 

Chen juga seperti sebilangan ibu bapa yang lain masih aktif mencari penyelesaian untuk isu penghadaman anak kecil mereka. 

Usaha Chen ini disuarakan dalam satu majlis dianjurkan Abbot Nutrition Malaysia yang mengetengahkan Pengarah Kesihatannya Dr Shaalani Ramachandran yang mengupas isu kesihatan sistem penghadaman kanak-kanak. 

Menurut Dr Shaalani, susu antara makanan terpenting bagi kanak-kanak yang sedang membesar dan ia haruslah mempunyai zat yang terbaik dan tidak mengganggu sistem penghadaman mereka supaya proses tumbesaran mereka tidak terjejas. 

“Susu yang bagus untuk mereka adalah susu dengan berupaya menyerap nutrien utama dengan lebih baik. Susu yang dirumus dengan campuran lemak mudah hadam, membantu penyerapan lemak baik (DHA, AA) dan kalsium dengan lebih berkesan. 

“Kajian saintifik membuktikan produk ini menggalakkan kanak-kanak membuang najis bertekstur lembut dengan mudah. Ia juga berupaya menguatkan sistem pertahanan badan semula jadi. Campuran khas nukleotida diuji secara saintifik dan terbukti berkesan dalam membantu menguatkan sistem pertahanan badan semula jadi kanak-kanak,” katanya. 

Menurutnya, Abbot yang prihatin dan sentiasa tampil dengan produk yang memenuhi permintaan ibu bapa menghasilkan susu formula yang baik untuk penghadaman kanak-kanak berusia dari satu hingga tiga tahun menerusi Similac Total Comfort Plus. 

“Ia mempunyai laktosa yang minimum dan protein whey mudah hadam yang sebahagiannya telah dipecahkan bagi memberi toleransi yang baik terhadap penyerapan susu. 

“Kandungan galacto-oligosakarida (GOS) iaitu sejenis serat mudah larut menggalakkan pertumbuhan bakteria baik di dalam usus yang membantu menyokong kesihatan sistem pencernaan kanak-kanak,” katanya.

6/08/14

LUANGKAN MASA BERSAMA KELUARGA

Tanpa keluarga, kehidupan ini memang tidak bermakna. Lantaran itu, eratkan silaturahim sesama ahli keluarga untuk mewujudkan suasana harmoni, sekali gus membolehkan kita menempuh hari yang menggembirakan di sisi keluarga.

Tidak dinafikan, ada ahli keluarga yang suka menjalani kehidupan sendiri tanpa mempedulikan perasaan orang lain, namun keadaan sebegini tidak seharusnya dibiar berlarutan. 

Peluang untuk bersama ahli keluarga antara cara paling berkesan untuk mendekatkan diri dengan mereka terutama untuk mengeratkan silaturahim. 

Walau sesibuk mana aktiviti harian, luangkan waktu bersama ahli keluarga. Ciptalah sebuah ikatan kekeluargaan yang utuh dengan melakukan perkara berfaedah walaupun ia kelihatan begitu ringkas misalnya makan bersama.

BANYAK aktiviti menggembirakan boleh dilakukan bersama keluarga.


Makan bersama ~ Jika kelapangan, peruntukkan masa untuk makan bersama ahli keluarga khususnya pada waktu malam kerana suasananya lebih aman dan tenteram. Di kesempatan itu pastikan suis televisyen dimatikan dan cuba elak daripada menjawab sebarang panggilan telefon daripada sesiapa saja kecuali kecemasan sepanjang waktu makan malam. Nikmati makan malam itu dengan tenang dengan hanya berbual kosong serta bercerita hal yang menggembirakan.

Sedia hulurkan bantuan ~ Bantulah ahli keluarga yang mengalami masalah atau memerlukan bantuan dengan seikhlas hati pada bila-bila masa. Tugasan rumah misalnya elok dilakukan bersama supaya sambil membuat kerja, anda masih boleh berbual mesra dengan mereka. 

Luangkan masa hujung minggu ~ Luang­kan masa lapang untuk bersantai bersama de­ngan melakukan pelbagai aktiviti menyihatkan sama ada bersukan atau bersiar-siar di sekitar taman. Selain mengeluarkan peluh untuk kesihatan badan, ia berguna untuk mengeratkan hubungan. 

Tonton program kegemaran bersama ~ Jadikan waktu menonton televisyen sebagai satu amalan untuk mengeratkan hubungan kerana masing-masing boleh memberi pandangan dan pendapat berhubung rancangan kegemaran. Ia bukan saja mewujudkan suasana privasi, malah akan menjadikan anda dan ahli keluarga banyak berkomunikasi seterusnya mengeluarkan hujah berguna untuk topik perbualan yang lebih rancak. 

Keluar bersama ~ Sesekali keluarlah berjalan bersama ke pusat beli-belah atau ke kawasan percutian kerana ia akan mewujudkan suasana lebih tenang. Kongsi pandangan ketika membeli-belah malah ketika berjalan di taman pun, banyak perkara boleh menjadi topik perbualan. Perkongsian cerita ini akan menjadikan anda lebih rapat dengan ahli keluarga malah mungkin mengurangkan rasa malu apabila anda perlu memohon bantuan di masa depan. 

Lakukan kerja sosial ~ Aktiviti kebajikan ini bukan saja memberi sinar harapan kepada golo­ngan memerlukan, malah menunjukkan anda dan keluarga sangat mementingkan kebajikan golongan susah. Kerja sebegini juga akan menjadikan anda dan keluarga lebih menghargai antara satu sama lain. 

Melakukan aktiviti gembira ~ Berikan kegembiraan kepada keluarga dengan melakukan aktiviti ceria, bukannya menukarkan keadaan yang baik kepada lebih buruk. Banyak aktiviti menggembirakan boleh dilakukan antaranya bersama-sama bermain video kegemaran. 

Tunjukkan kasih sayang ~ Pelbagai cara boleh ditunjukkan bahawa anda amat menyayangi keluarga menerusi pemberian hadiah, mengingati hari penting dan sentiasa berhubung jika tinggal berjauhan. Jangan putuskan hubungan sesama ahli keluarga kerana ia hanya akan merugikan. Tanpa mereka, siapalah anda di bumi ini. 

Mengadakan hari keluarga ~ Majlis ini tidak perlu dilakukan secara besar-besaran atau berlangsung di tempat menarik. Memadai jika diadakan di tepi pantai atau berkumpul di rumah dengan me­ngadakan majlis makan bersama. Berkumpul bersama keluarga sememangnya detik paling indah yang tiada galang gantinya.

5/08/14

KHASIAT KENTANG REBUS UNTUK SI KECIL

`KENTANG` Ramai menganggap kentang rebus sebagai makanan pengganti nasi yang tinggi nilai karbohidrat, namun sebenarnya manfaat sebiji kentang mengatasi apa yang digambarkan itu.

Ubi yang termasuk dalam kategori sayur-sayuran ini kaya dengan vitamin dan mineral terutama kalium, fosforus serta vitamin B kompleks dan C. Kentang rebus juga rendah kalori dan lemak serta tinggi kadar serat yang membantu anda rasa kenyang lebih lama.

Bahagian paling banyak mengandungi vitamin C adalah kulitnya dan kandungan ini hilang hampir 50 peratus jika kulit kentang dikupas sebelum direbus. Mineral dalam kentang membantu pembentukan tulang, jaringan saraf dan fungsi otot.

Untuk itu, sebiji kentang rebus dengan ukuran besar mampu menyediakan satu perempat kalium yang diperlukan tubuh dan bagus untuk tumbesaran kanak-kanak. Untuk kanak-kanak yang tidak suka makan nasi, ibu boleh menggantikannya dengan kentang lenyek.


Kentang juga boleh dicampur ke dalam lauk seperti ayam, daging atau sayur-sayuran, kari, sup atau masakan bergoreng, selain enak dijadikan salad kentang.

Menurut Izarina Ibrahim yang banyak berkongsi panduan makanan dalam instagram #mommyslovelah, kentang sesuai dijadikan salad bersama sumber protein seperti ayam dan telur. Ini dapat memberikan keseimbangan dalam gizi harian apabila hidangan ini mengandungi semua mineral diperlukan tubuh.

“Paling penting, salad kentang boleh dimakan begitu saja sama ada diambil ketika sarapan, makan tengah hari atau malam. Cara menyediakannya juga sangat mudah, tidak perlu dimasak terlalu lama dan sesuai untuk hidangan seisi keluarga,” katanya.


Resipi salad kentang

Bahan:
• 1 biji bawang merah dipotong dadu
• 2 tangkai daun bawang dipotong kecil
• 2 biji kentang direbus dan dipotong dadu
• 2 biji telur rebus
• Isi ayam disalai garing
• 1 sudu lemon
• Mayonis
• Lada putih dan garam


Cara menyediakan:
1. Campurkan kentang, bawang, ayam yang sudah disalai dan daun bawang ke dalam mangkuk kemudian kacau sehingga rata.

2. Tambahkan lemon, mayonis secukupnya dan lada putih. Kacau rata.

3. Sedia untuk dihidangkan bersama hirisan telur rebus.


Nilai kalori dalam sebiji kentang rebus:
1 biji kentang bersamaan 150 gram = 115 kalori

Nilai nutrisi dalam kentang 150 gram:
• Lemak 0.2 gram
• Karbohidrat 26.8 gram
• Protein 2.1 gram
• Kalsium 40.8 miligram

4/08/14

PETUA HALANG `BATU KARANG`

Sitrat halang kristal melekat

Batu karang terbentuk apabila terdapat kepekatan bahan tertentu yang tinggi di dalam air kencing yang menyebabkan terbentuknya kristal.

Biasanya air kencing mempunyai bahan dipanggil ‘penghalang’ yang menghalang pembentukan batu karang, tetapi ada setengah kes ia tidak berfungsi.

Sebahagian pesakit mungkin mempunyai paras bahan (penghalang) yang lebih tinggi daripada paras normal di dalam darah dan meningkatkan jumlahnya di dalam air kencing.

Jangkitan salur kencing yang berulang kali juga menggalakkan pembentukan batu karang. Apabila terdapat halangan pada saluran air kencing seperti pembesaran kelenjar prostat, takungan air kencing akan menyebabkan berlakunya jangkitan dan pembentukan batu karang yang berulang.

BANYAKKAN minum air terutama ketika musim panas.

Sebahagian pesakit mungkin dilahirkan dengan saluran air kencing yang tidak normal yang menyebabkan halangan pada saluran air kencing.

Air kencing terbentuk di dalam buah pinggang, mengalir melalui struktur tiub yang dipanggil ureter ke pundi kencing sebelum dikeluarkan.

Batu karang atau kalkuli boleh ditemui di mana saja pada buah pinggang, ureter atau pundi kencing. Di Malaysia, batu karang biasa ditemui di bahagian atas saluran kencing (buah pinggang dan ureter).

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, kekerapan batu karang ini antara 10 hingga 20 peratus di Asia berbanding 15 hingga 18 peratus di negara barat.


Batu karang ginjal

Pakar Urologi Pusat Perubatan Tropicana Dr Muhilan Parameswaran berkata, kepekatan air kencing yang tinggi ini biasa terjadi pada mereka yang sering mengalami masalah kekeringan (dehidrasi) kerana kurang pengambilan cecair (minuman).

“Karang ginjal adalah kristal keras atau batuan yang terbentuk di dalam ginjal. Batuan ini bermula daripada kristal kecil dan kemudiannya melekat dan tumbuh menjadi lapisan.

“Bentuknya akan menjadi seperti biji mutiara yang diselaputi lapisan bakteria dan kalsium atau asid urik. Ada beberapa jenis batu karang antaranya ialah kalsium oxalat, asid urik dan xanthine,” katanya.

Batu karang di buah pinggang biasanya tidak menyebabkan kesakitan dan mungkin ditemui secara tidak sengaja semasa pemeriksaan ultrabunyi atau sinaran-X abdomen untuk sebab yang lain.

Batu yang kecil mungkin boleh keluar tanpa rasa sakit atau mungkin menyebabkan rasa sakit yang teramat sangat dari bahagian belakang hingga ke kemaluan dengan rasa mual dan muntah yang biasanya disebut sebagai ‘renal colic’.

Ini berlaku apabila batu itu bergerak melalui saluran ureter yang sempit yang mengecut untuk mengeluarkannya. Setengah pesakit berasa sakit yang tajam pada testikel mereka atau sepanjang zakar mereka semasa kencing.

Mereka biasanya dapat mengesan adanya darah di dalam air kencing. Batu yang lebih besar yang tidak boleh keluar dengan sendiri mungkin tersekat di dalam ureter dan menyebabkan halangan.

Ini akan menyebabkan sakit yang berterusan dan mungkin demam jika terdapat jangkitan kuman. Biasanya pesakit batu karang pada buah pinggang akan rasa sakit dan sengal-sengal di belakang.

Sakit ini tidak dipengaruhi oleh pergerakan atau perubahan postur yang biasanya disebabkan oleh sakit yang berpunca daripada tulang ataupun otot.


Jenis batu karang ginjal

1. Batu kalsium oxalate - Ini terjadi apabila diet yang diambil tinggi dalam oxalate iaitu garam asid oksalik yang terbentuk sebagai hasil sampingan dalam air kencing. Makanan yang mengandungi oxalate tinggi termasuk daging kambing, soya, buah tomato, coklat, teh dan bayam.

2. Batu kalsium fosfat - Ia sering dikaitkan dengan jangkitan. 

3. Batu asid urik - Biasanya asid urik dibuang daripada badan melalui air kencing. Makanan seperti ikan bilis, otak, ginjal dan hati haiwan, sardin serta daging merah meninggikan risiko batu asid urik. 

4. Batu xanthine - Batu kongenital dan ketumbuhan batu xanthine bermula sejak lahir.


Punca batu karang ginjal

“Tidak ada jawapan yang tetap untuk persoalan ini, tetapi yang pasti ia tidak berkaitan dengan isu menahan air kencing.

“Biasanya ketumbuhan batu karang ginjal berkaitan dengan masalah metabolisme makanan sejak lahir, pengambilan makanan yang kaya dalam oxalat atau daging merah dan kekurangan air kencing.

“Air kencing memainkan peranan penting sebagai pelarut untuk melarutkan bahan buangan dan menyimpan batu kecil serta mengurangkan jangkitan yang menyebabkan terjadinya batu karang,” katanya.

Tambahnya, jika batu karang hanya tumbuh di dalam ginjal, biasanya tidak akan ada gejala yang jelas kecuali air kencing.

Air kencing mungkin mengandungi darah, tetapi hanya boleh dikenal pasti melalui ujian lanjut. Pesakit juga mungkin akan mengalami jangkitan ginjal biasanya demam dan sakit belakang.

Apabila batu karang dikeluarkan, pesakit akan merasai kesakitan yang teruk di bahagian belakang badan, berhampiran dengan genitalia (alat kelamin) dan kemungkinan ada darah dalam air kencing.


Rawatan batu karang ginjal

Sehingga ke hari ini, belum ada rawatan yang terbukti dapat menghilangkan batu karang. Doktor merawat batuan kecil melalui ubat sakit dan ubatan yang dapat menolong mengeluarkan batu karang dari badan.

“Batuan yang lebih besar akan dirawat menggunakan gelombang kejutan (Extracorporeal Shockwave Lithotripsy - ESWL) untuk memecahkan batuan dari luar badan ataupun menggunakan laser untuk memecahkan batuan.

“Kebanyakan batu karang yang kurang daripada empat milimeter akan keluar dengan sendiri. Tetapi pesakit memerlukan rawatan jika batu itu tidak keluar selepas tempoh pemerhatian dan berterusan menyebabkan kesakitan.

“Batu berkenaan mungkin akan membesar atau menyebabkan komplikasi seperti halangan dan jangkitan. Kadangkala batu karang itu tidak menyebabkan kesakitan, tetapi menjadikan fungsi buah pinggang semakin teruk,” katanya. 

Ujarnya, rawatan batu karang ini bergantung kepada lokasi, saiz dan jenis batu karang. Pencegahan boleh dilakukan dengan mengurangkan makanan yang tinggi oxalate dan daging merah. 

Bagaimanapun selepas tiga tahun, 30 peratus pesakit akan kembali mendapat batu karang ginjal walaupun diet mereka dikawal. Namun, batu yang terbentuk di dalam ginjal itu kemungkinan lebih kecil dan boleh dibuang melalui air kencing. 

Kaedah yang paling efektif untuk mencegah kejadian batu karang ginjal adalah dengan memastikan badan membuang air kencing dalam jumlah mencukupi. 

Jumlah air kencing yang perlu dibuang setiap hari adalah kira-kira dua hingga 2.5 liter sehari manakala warna air kencing sepatutnya seperti air suling.

Justeru, cara paling mudah membuang air kencing mengikut jumlah diperlukan adalah dengan minum air yang mencukupi setiap hari.


Pencegahan

Apabila pesakit ada batu karang, dia mempunyai risiko untuk pembentukan batu karang semula. Pesakit dinasihatkan untuk meminum sekurang-kurangnya dua hingga tiga liter air sehari untuk memastikan tubuh mempunyai air mencukupi.

Panduan yang baik, apabila kencing, warnanya jernih seperti air. Nasihat ini lebih penting kerana kadangkala kita berada di iklim panas.

Perubahan dalam pemakanan mungkin diperlukan untuk mencegah pembentukan batu karang. Diet yang kaya dengan protein mungkin akan meningkatkan pengeluaran kalsium oxalate dan asid urik dalam air kencing. 

Pesakit yang mempunyai batu karang jenis asid urik dinasihatkan untuk mengurangkan makanan yang kaya dengan purin seperti daging merah, makanan laut dan alkohol.

Tidak ada halangan untuk mengambil makanan tenusu yang kaya dengan kalsium untuk mencegah batu karang jenis kalsium, tetapi biarlah bersederhana. 

Makanan seperti coklat, kopi dan bayam kaya dengan oxalate dan patut dikurangkan pengambilannya untuk mereka yang berulang kali membentuk batu karang jenis oxalate. 

Dalam keadaan lain pesakit mungkin perlu mengambil ubat untuk mencegah pembentukan batu karang jenis kalsium dan asid urik.

Ujar Dr Muhilan, antara makanan yang sesuai diambil pesakit adalah sumber yang kaya dengan sitrat seperti lemon dan limau. Makanan berkenaan akan membantu untuk melambatkan pembentukan batu karang ginjal kerana sitrat boleh memberhentikan kristal daripada melekat.