26/05/18

PANDUAN MAKAN MALAM YANG SIHAT


Demi mendapatkan berat dan bentuk tubuh ideal, ramai individu mengelakkan makan pada waktu malam kerana meyakini tindakan itu mendorong pertambahan berat badan.

Seperti pengambilan sarapan dan makan tengah hari, makan malam juga penting dalam membekalkan tenaga dan nutrisi diperlukan tubuh.

Isu pertambahan berat badan bukan sekadar berpunca daripada tabiat makan malam, sebaliknya amalan diet tidak seimbang seperti makan secara berlebihan, makanan berlemak, berminyak dan tinggi kalori diiringi gaya hidup tidak sihat.

Makan malam adalah pelengkap nutrien yang tidak mencukupi pada siang hari seperti pengambilan sayuran, buahan dan tenusu.

Perlu diingatkan satu daripada faktor penyumbang berat badan berlebihan adalah pengambilan makanan melebihi keperluan.

Justeru, pengambilan makanan harian boleh dibahagikan kepada beberapa hidangan

dalam sehari termasuk makan malam.

Makan malam yang sihat dan tidak melebihi keperluan kalori harian tidak akan menyumbang kepada obesiti.


Faktor makan malam dikaitkan dengan masalah kegemukan termasuk:

1. Makan malam beramai-ramai terutama keluarga akan mempengaruhi saiz hidangan dan seseorang makan lebih banyak berbanding makan sendirian.

2. Sikap melangkau waktu makan pada siang hari menyebabkan kelaparan tidak terkawal sekali gus membuatkan seseorang makan berlebihan ketika malam.

3. Tindakan menjadikan makan malam sebagai satu cara melepaskan tekanan turut mendorong masalah obesiti.

4. Kecenderungan mengambil makanan tinggi lemak dan kalori seperti ais krim, coklat, kerepek ketika menonton televisyen waktu malam turut dikaitkan dengan masalah kegemukan.

Panduan makan malam yang sihat:

1. Utamakan makanan seimbang mengikut saranan Piramid Makanan Malaysia.

2. Hadkan pengambilan makanan bergoreng, berlemak dan berminyak.

3. Ketahui saiz hidangan makan malam seharusnya membekalkan anda 400 hingga 500 kalori.

4. Waktu makan malam paling sesuai 6.30 petang hingga 8.30 malam. Sekiranya berasa lapar dan tidur lewat, pilih buahan, roti, biskut atau susu suam sebagai snek.

5. Tidak digalakkan ambil makanan lewat malam.

6. Elak makan malam sambil menonton televisyen.

7. Elakkan teh atau kopi selepas makan malam kerana ia boleh mengakibatkan gangguan tidur.

8. Jika menghadiri jamuan makan malam, makan secara sederhana dengan saiz hidangan kecil, pilihan makanan sihat, utamakan buah-buahan dan air kosong.

17/05/18

KAEDAH TERBARU BEDAH TUMOR OTAK


Gangguan neurologi kritikal merujuk pada penyakit sistem saraf pusat dan sekitarnya yang serius, biasanya berkait rapat dengan masalah di bahagian otak. 

Penyakit yang tergolong dalam masalah itu termasuk epilepsi, Parkinson, penyakit serebrovaskular seperti strok dan paling serius, tumor otak.

Pesakit tumor otak biasanya mengalami gejala sakit kepala, penglihatan kabur, lemah, gangguan pertuturan, pendengaran dan pitam yang menandakan rawatan diperlukan segera sebelum sel barah merebak dalam otak.

Masalah direkodkan dalam kalangan pesakit tumor otak yang biasa berlaku adalah metastatik (sebaran sel kanser) dari tempat lain dalam badan sedangkan hanya sebahagian kecil yang bermula di otak.

Oleh kerana ketumbuhan ini terlindung di sebalik tengkorak, pesakit hanya berjumpa doktor apabila sudah lewat, tanda klinikal sudah ketara sebaik struktur otak dihimpit oleh pembesaran ketumbuhan itu.

Di sinilah bermulanya dilema pesakit apabila mereka perlu menjalani pembedahan bagi membuang tumor berkenaan menerusi kaedah lama yang dikenali sebagai pembedahan terbuka. 

Pembedahan kaedah konservatif itu memberi kesan mendalam terhadap pesakit apabila mereka membayangkan proses berkenaan terlalu rumit selain melalui tempoh pemulihan yang panjang.

Menerusi revolusi teknologi terbaru dikenali dengan Leksell Gamma Knife Icon yang kini diperkenalkan di Malaysia, pesakit tidak perlu khuatir mengenai komplikasi pembedahan terbuka dan tempoh pemulihan panjang.

Kemampuan pisau gamma itu bukan saja terhad dalam membuang sel kanser terlindung di sebalik tengkorak dengan lebih baik, ia juga merawat masalah neurologi lain seperti epilepsi, metastasis kanser otak, neuroma akustik dan Parkinson.

Pakar Perunding Bedah Saraf Pusat Perubatan Sunway, Dr Ravi Krishnapillai berkata, kelebihan buat pakar bedah saraf apabila menggunakan prosedur terbabit ialah tempoh rawatan lebih singkat selain hasil lebih efektif berbanding pembedahan otak konvensional.

“Teknologi pisau gamma membolehkan doktor menyasarkan bahagian otak bermasalah secara lebih tepat dengan bantuan pelbagai teknik pengimejan termasuk pandangan tiga dimensi (3D) mengenai sasaran dan struktur otak sekitarnya.

“Tambahan pula dengan versi terbaru ini membolehkan pakar bedah merawat kawasan tisu yang lebih besar tanpa sebarang komplikasi ketara daripada penggunaan dos radiasi yang lebih tinggi. 

Jadi masalah kesihatan otak lebih serius dan tidak boleh dirawat dalam dos tunggal (seperti tumor besar) kini boleh ditangani dalam tempoh beberapa minggu sahaja,” katanya.

Tambahnya, pembedahan otak menerusi radiasi yang dipancarkan melalui pisau gamma itu dilihat sebagai alat paling tepat untuk memusnahkan tumor di dalam otak tanpa menjejaskan keadaan saraf lain yang berfungsi dengan baik.

Sistem rawatan itu menggunakan rangkaian 192 pancaran sinar gamma berupaya menghasilkan sinaran radiasi pekat dan berkuasa disatukan di bahagian terjejas. Teknologi Kawalan Dos Adaptive pula memastikan jumlah radiasi yang tepat menuju sasaran dari setiap arah.

Sementara itu Pengarah Urusan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Kumpulan Sunway, Lau Beng Long menyifatkan kemasukan teknologi itu ke Malaysia membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan perubatan terutama membabitkan otak dan saraf tempatan.

“Satu pencapaian apabila ketika ini di Asia Tenggara, Malaysia antara memiliki teknologi yang boleh meningkatkan kualiti perkhidmatan perubatan untuk dinikmati pesakit barah terutamanya.

“Rawatan teknologi ini lebih relevan kerana kredibiliti dalam merawat pesakit mengalami masalah saraf dan tumor otak lebih dipercayai selain ia mengubah pengalaman pesakit daripada situasi kurang selesa kepada rawatan dos radiasi lebih rendah tanpa menjejaskan fungsi tisu sihat,” katanya.

16/05/18

HATI HATI DENGAN PENYAKIT BAWAAN MAKANAN


Penyakit bawaan makanan bukan penyakit yang biasa diketahui umum sehinggalah baru-baru ini apabila timbul sekatan terhadap produk tembikai wangi (rock melon) dari Australia kerana didapati menjadi punca kematian tiga penduduknya serta menyebabkan puluhan lagi dimasukkan ke hospital akibat bakteria Listeria.

Sebelum ini pun Malaysia pernah menghentikan kemasukan dua jenama epal dari California, Amerika Syarikat, kerana isu serupa bagi mencegah berlakunya kes membabitkan penyakit bawaan makanan.

Perangkaan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada 2015 menganggarkan penyakit bawaan makanan disebabkan 31 agen termasuk bakteria, virus, parasit, toksin dan bahan kimia, mengakibatkan 600 juta kes atau hampir satu dalam 10 orang di dunia jatuh sakit setiap tahun lepas memakan makanan tercemar.

Ini memberi gambaran krisis penyakit bawaan makanan meruncing apabila sebahagian besar mangsa mengalami gejala cirit-birit teruk berpunca daripada tabiat mengambil makanan mentah atau daging kurang masak, telur, keluaran baru dan produk tenusu dicemari bakteria.

BAKTERIA Campylobacter

Tujuh bakteria penyebab penyakit bawaan makanan

1. Escherichia coli (E.coli)

Bakteria ini hidup dalam usus manusia dan ternakan ruminan seperti lembu dan kambing. Ia sering ditemui dalam daging yang kurang masak, susu segar dan jus. Antara tanda keracunan akibat bakteria ini ialah cirit-birit, sakit perut dan muntah berpanjangan selama lima hingga 10 hari.

Bagi menghindari bakteria ini, masaklah daging sebaik-baiknya, cuci buah dan sayur dengan air mengalir sebelum dimasak dan elak susu segar yang belum dipasteur.

2. Campylobacter

Bakteria berbentuk berpilin berkembang pada ayam dan lembu. Penyakit ini boleh merebak tanpa gejala ketara.

Biasanya pesakit menderitai ciri-birit hingga, dalam kes serius, tahap berdarah. Simptom lain ialah kejang, sakit perut dan demam.

Langkah pencegahan ialah masak daging sehingga benar-benar masak, cuci tangan menggunakan sabun selepas menyentuh daging dan pastikan peralatan memasak dikendalikan dengan bersih.

3. Listeria monocytogenes

Bakteria ini biasa ditemui di tanah dan air di samping makanan mentah, makanan proses dan susu yang tidak dipasteur. Ia juga boleh hidup dan tersebar pada suhu dingin.

Gejala jangkitan termasuk demam dan menggigil, sakit kepala, mual dan sakit perut. Ibu hamil lebih berisiko kerana boleh menyebabkan keguguran.

Elak jangkitan dengan mencuci bersih buah berkulit keras seperti tembikai sebelum dipotong. Peti sejuk dan ruang penyimpanan makanan juga harus kerap dibersihkan, serta pisahkan ruang makanan yang sudah dimasak dengan yang mentah.

4. Vibrio parahaemolyticus

Merujuk pada bakteria yang sering ditemui dalam makanan laut kerana habitat bakteria ini ialah air masin. Gejala biasanya berlaku dalam tempoh 24 jam iaitu cirit-birit, mual, muntah dan demam yang berlanjutan hingga tiga hari.

5. Toksoplasma

Gejalanya jarang muncul kerana sistem imun badan melindungi serangan parasit ini. Namun segelintir yang terdedah kepada jangkitan akan mengalami selesema, sakit kepala, badan tidak selesa dan demam.

Risiko lebih tinggi dialami ibu hamil kerana jangkitan menyebabkan kerosakan otak, mata dan organ lain pada janin. Punca biasanya sentuhan langsung dengan najis kucing terjejas, pengambilan daging mentah dan minum air tercemar.

6. Salmonella

Banyak ditemui dalam telur setengah masak, daging, sayur dan buah yang tidak dicuci bersih. Jangkitan menyebabkan gejala demam, cirit, sakit perut dan kepala. Kebanyakan orang akan pulih tanpa ubat tetapi boleh jadi serius bagi kanak-kanak dan penghidap penyakit kronik.

7. Norovirus

Virus penyebab gastroenteritis merujuk pada kesakitan pada perut dan usus, dan biasanya ditemui dalam makanan dan minuman rosak. Punca lain ialah sebaran oleh orang yang mengalami jangkitan virus terbabit.

Antara gejalanya ialah mual, sakit perut, muntah, cirit-birit teruk, sakit kepala, demam dan keletihan yang berlanjutan beberapa hari. Untuk mencegah, cuci tangan dengan sabun selain bersihkan permukaan bilik air dan tandas.

* Sumber: infosihat.gov.my dan lifestyle.kompas.com

15/05/18

PUNCA KEHADIRAN BATU KARANG DALAM SISTEM URINARI MANUSIA


Pembentukan batu karang dalam sistem urinari manusia akibat pengambilan dan penghasilan asid urik serta kalsium berlebihan adalah isu kesihatan biasa sering dialami kebanyakan rakyat Malaysia.

Berdasarkan kajian, penyakit batu karang lebih berisiko terjadi dalam kalangan rakyat di negara yang terletak di garisan khatulistiwa dan tropika, beriklim panas seperti Amerika Utara dan hampir semua negara di benua Asia termasuk Malaysia.

Faktor kurang pengambilan air sekurang-kurangnya 1.5 hingga 2 liter meskipun cuaca panas dikatakan satu daripada penyumbang kepada penyakit batu karang.

Pakar Urologi, Dr Poongkodi Nagappan berkata sistem perkumuhan membabitkan urinari (kencing) manusia merangkumi kedua-dua ginjal (buah pinggang), ureter, pundi kencing dan uretra.

Ginjal berfungsi menapis sel darah merah dan menyingkirkan hasil perkumuhan melalui sistem urinari sebagai air kencing. Manakala ureter pula bertindak menyalurkan air kencing dari buah pinggang ke pundi kencing.

Pundi kencing yang berfungsi menyimpan air kencing sebelum dikumuhkan daripada badan, kemudian dikeluarkan melalui uretra atau salur kencing.

“Masalah batu karang boleh menimpaa mana-mana individu tanpa mengira faktor jantina dan usia sama ada dewasa mahupun kanak-kanak.

“Pembentukan batu karang terjadi apabila ginjal gagal menapis kehadiran bahan seperti kalsium, asid urik dan bakteria seperti Proteus, Psedomonas dan Klebsiella seterusnya melekat pada dinding buah pinggang.

“Pembentukan batu karang ini selalunya bermula daripada buah pinggang, seterusnya terjadi di dalam saluran ureter dan pundi kencing, apabila batuan itu terjatuh di kedua-dua bahagian berkenaan.

“Hasilnya, air kencing pesakit akan menjadi lebih pekat kerana air kencing bertakung dalam salur ureter dan pundi kencing.

“Di Malaysia, batu karang yang disebabkan asid urik adalah lebih tinggi iaitu 17 peratus berbanding hanya empat peratus di negara Barat. Ini menunjukkan gaya pemakanan antara faktor kepada penyakit batu karang berlaku di negara ini.

“Selain masalah metabolisma tubuh, asid urik didapati dalam makanan seperti makanan laut terutama kerang, sotong, ikan bilis dan ikan sardin.

“Tabiat suka makan organ dalaman seperti hati, paru-paru dan usus, pelbagai jenis kekacang dan ulaman yang mengandungi sumber protein tinggi turut menyebabkan pembentukan batu karang,” katanya ketika ditemui.

Mengulas mengenai tempoh pembentukan batu karang dalam sistem kencing manusia, beliau berkata proses itu tidak dapat dikenal pasti kerana ia bergantung pada kuantiti pengambilan makanan berasid urik dan kalsium tinggi, selain faktor metabolisma individu berkenaan.


Jelasnya, saiz batu karang boleh membentuk dengan ukuran panjang dan lebar sebanyak dua sentimeter malah memenuhi ginjal, justeru rawatan bagi batu karang ini ditentukan berdasarkan saiz dan lokasinya.

Kata Dr Poongkodi, batu karang boleh keluar sendiri bersama air kencing seperti berpasir dengan saiz kurang empat milimeter.

Mendedahkan terdapat dua kategori rawatan batu karang, sama ada bukan pembedahan seperti pengambilan ubatan bagi melarutkan batu karang ataupun rawatan Extracorporeal Shock Wave Lithotripsy (ESWL) bagi batuan lebih kecil, kurang daripada 1.5 sentimeter.

Kategori kedua adalah menerusi pembedahan seperti endoskopi dan pembedahan yang sememangnya jarang dilakukan masa kini, melainkan batu karang terbentuk di kawasan yang kompleks dan sukar.

Pembedahan endoskopi pula dilakukan mengikut kawasan yang dikenal pasti mempunyai masalah batu karang.

“Batu karang yang terdapat di pundi kencing selalunya dipecahkan menjadi cebisan batuan kecil menggunakan laser atau imbasan bunyi.

“Bagi batu karang di salur ureter, kita akan menggunakan ureteroscopy (URS) sebagai kaedah rawatan. Begitu juga, rawatan batu karang bersaiz kecil pada ginjal akan menggunakan URS lebih fleksibel, manakala kaedah percutaneous nephrolithotomy (PCNL) untuk batu karang bersaiz besar,” katanya.

Kata Dr Poongkodi lagi, pesakit batu karang yang berusia 35 tahun ke bawah dikategorikan pesakit berisiko tinggi dan perlu mengikuti rawatan susulan kerana mereka berisiko mendapat penyakit ini berulang.

Penyakit batu karang berulang terjadi disebabkan masalah saluran kencing abnormal, kadar metabolisma tubuh yang menjurus kepada tahap keasidan air kencing yang tinggi.

Antara gejala awal batu karang termasuk rasa sakit sekiranya batu karang berada di salur ureter, mikroskopik hematuria (kencing berdarah), sakit di bahagian belakang dan pinggang, kesukaran untuk kencing dan jangkitan kuman.

Saranan beliau, masyarakat perlu mengamalkan tabiat minum air sekurang-kurang dua liter sehari bersamaan enam hingga lapan gelas atau kekerapan ke tandas pada skala lima hingga enam kali sehari.

Tegasnya juga, pengambilan kalori seimbang diperlukan tubuh antara 2,000 (perempuan) dan 2,500 (lelaki) sehari juga penting, seiring dengan faktor berat badan, usia dan kadar metabolisma tubuh.

Selain itu, masyarakat perlu mengawal kadar diabetes, obesiti dan mengurangkan tabiat pemakanan yang mengandungi asid urik tinggi.