6/02/18

JANGAN AMBIL REMEH TENTANG PENJAGAAN MATA


Hilangnya satu nikmat dunia apabila pandangan mata yang dulunya terang kini seakan-akan berkabus hingga menimbulkan ketidakselesaan menjalani kehidupan seharian.

Penyakit selaput mata atau sebutan saintifiknya, katarak adalah satu masalah kesihatan mata utama yang sering menyerang golongan berusia 65 tahun dan ke atas.

Meskipun katarak lebih ‘popular’ dalam kategori pesakit bagi lingkungan usia lanjut, ini tidak bererti generasi muda bebas daripada risiko penyakit selaput mata ini.

Antara faktor penyebab katarak adalah menghidap kencing manis (termasuk pesakit muda), mengalami kecederaan atau trauma pada mata, bermasalah radang mata dan kanak-kanak yang dilahirkan bersama katarak.

Pakar mata dan motivasi, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad berkata, penyakit selaput mata berlaku dalam keadaan kanta mata mula hilang kejernihan dan mengganggu laluan kemasukan cahaya ke retina sekali gus menghasilkan imej atau fokus yang kabur.

“Seiring dengan peningkatan usia dan kewujudan penyakit lain terutama diabetes, kejernihan dan ketajaman lensa mata kian berkurangan.

“Kanta yang sihat dan jernih ini berfungsi menghasilkan fokus pada sesuatu imej untuk diterjemahkan.

“Proses katarak tidak berlaku secara mengejut dan tiba-tiba. Ia terjadi secara perlahan-lahan tanpa disedari, dalam masa sama, penglihatan mula menjadi kabur seakan-akan berkabus,” jelasnya.

KEMASUKAN cahaya terhalang oleh katarak.

Berdasarkan Kajian Mata Nasional 2 pada 2014, setiap tahun seramai 413,000 penduduk berusia 50 tahun ke atas mempunyai masalah penglihatan.

Malah kenyataan rasmi diumumkan Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan pada 13 Oktober 2017, menyatakan daripada jumlah berkenaan, 113,000 berisiko buta manakala bakinya, 43,000 pesakit pula masih berpeluang untuk dirawat.

Mengulas tahap kebimbangan katarak dalam kalangan masyarakat hari ini, Dr Muhaya menyifatkan tahap kesedaran mengenai kepentingan menjaga deria penglihatan menjadi penentu kepada situasi berkenaan.

Menjadi satu daripada penyebab utama golongan warga emas berdepan kesukaran melihat secara normal, beliau menyatakan sikap ‘terlepas pandang’ mengenai katarak terutama bagi yang berada di kawasan luar bandar meletakkan status kesihatan mata mereka di tahap membimbangkan.

“Masyarakat di bandar lebih terdedah mengenai masalah katarak jika dibandingkan dengan komuniti di luar bandar.

“Apa yang membimbangkan adalah mereka hanya mendapatkan rawatan apabila keadaan sudah menjadi teruk, kerana seperti dinyatakan katarak berlaku secara perlahan-lahan.

“Apabila tahap katarak membimbangkan, kita tidak dapat menolak kemungkinan berlaku risiko buta secara kekal,” katanya.

Pesakit diabetes berusia 45 tahun ke atas dinasihatkan melakukan pemeriksaan mata secara menyeluruh setahun sekali.

KANTA mata hilang kejernihan.

Bagi kes kanak-kanak dilahirkan dengan bawaan katarak, dikenali sebagai katarak kongenital, ibu bapa perlu mengambil tindakan awal untuk mengelakkan risiko masalah penglihatan pada masa depan seperti buta dan juga mata malas.

Antara punca katarak kongenital berlaku ialah bayi dijangkiti kuman rubela semasa dalam kandungan dan ia boleh berlaku pada sebelah mata sahaja mahupun kedua-duanya.

Lazimnya, anak ini turut mengalami kecacatan kongenital mata seperti struktur hadapan mata dan struktur primer vitreous (gelemaca) yang abnormal.

Gejala masalah selaput mata kongenital dapat dikesan seiring dengan peningkatan kanak-kanak berkenaan.

Dr Muhaya berkata, kanak-kanak yang menghidap katarak kongenital perlu mendapat rawatan awal kerana mereka berisiko mengalami situasi mata malas.

Katanya, penyakit mata malas berlaku apabila kanta mata mengalami gangguan penerimaan cahaya seterusnya gagal membentuk imej pada retina.

Beliau turut menyarankan kanak-kanak ini mendapatkan rawatan menerusi pembedahan katarak yang sememangnya selamat dilakukan pakar mata kanak-kanak.

Menyentuh soal pemakanan, Dr Muhaya mengatakan pengambilan sayuran dan makanan kaya dengan vitamin A, C dan E berupaya mengurangkan risiko katarak.

Share this

0 Comment to "JANGAN AMBIL REMEH TENTANG PENJAGAAN MATA"

Catat Ulasan