23/07/14

`SUSU IBU` - ELAK BERI SUSU FORMULA

Bagi ibu yang baru pertama kali melahirkan anak, semuanya satu pengalaman baru buat mereka, daripada memandikan anak, menidurkannya hinggalah memberi susu badan kepada si kecil.

Kebanyakan ibu baru masih terkontang-kanting dalam menguruskan bayi dek tiada pengalaman, ­ditambah pula tanggung­jawab menjaga kesihatan diri sendiri sepanjang berpantang.


Antara tanggungjawab paling berat dan kadangkala mampu mencabar kesabaran seorang ibu baru adalah memberikan susu badan kepada anak mereka.

Pemberian susu badan memerlukan komitmen ting­gi dan tidak boleh diambil mudah. Ini berikutan kadar susu badan boleh me­nyusut mendadak jika waktu menyusu atau mengepam susu tidak dilakukan secara konsisten.

Ada ibu menganggap mereka sememangnya tidak ada susu atau tidak banyak susu yang boleh diberikan kepada bayi, ada pula yang sudah menyerah kalah sebelum berusaha dan ini tentunya merugikan bayi mereka kerana susu badan adalah hak anak, bukannya ibu.

Oleh kerana rasa tertekan, sibuk dengan kerja atau mungkin tidak mahu memberatkan kepala, segelintir ibu mengambil keputusan mudah dengan memberikan susu formula kepada bayi mereka.

Susu badan mempunyai nutrien mengikut keperluan tepat berdasarkan usia bayi dan ia memiliki antibodi yang tidak ada di dalam susu formula. Pemberian susu badan bukan saja mencukup­kan semua zat yang ­diperlukan bayi untuk membesar, malah ia juga meningkatkan sistem pertahanan bayi.

Kolostrum yang keluar ketika pertama kali bayi disusukan secara terus membantu melindungi bayi sehingga sistem pertahanannya boleh berfungsi dengan sempurna.

Kolostrum juga mewujudkan kesan lawas yang lembut, membantu membuang mekonium (najis awal bayi) dan mengelak peningkatan jumlah bilirubin iaitu faktor penyumbang utama kepada masalah demam kuning dalam kalangan bayi baru lahir.

Banyak kebaikan apabila anak minum susu badan secara terus daripada ibunya. Antaranya, dia berada dalam dakapan dan sangat hampir dengan tubuh ibu, secara tidak langsung membuat­kannya rasa tenang dan ­selamat, selain merapatkan hubungan anak dan ibu.

Rangsangan daripada bayi yang minum susu badan secara terus juga akan membantu memperbanyakkan susu badan. Pemberian susu badan secara terus adalah cara paling bersih memberikan susu pada anak selain susu berada pada suhu yang tepat.

Namun, pengenalan susu formula atau badan menerusi botol boleh menimbulkan masalah ‘keliru puting’ dalam kalangan bayi, begitu juga memberikan anak puting untuk memujuknya supaya berhenti menangis.

Apabila anak ‘keliru puting’, bayi secara langsung enggan meminum susu ibunya secara terus, sebaliknya ia terpaksa dipam terlebih dulu untuk dimasukkan ke dalam botol biarpun ketika ibu ada di sisi anak.

Menurut pakar perunding pediatrik, Dr Yong Junina Fadzil, apabila bayi didedahkan dengan botol pada awal usia, dia secara tidak langsung akan mengalami keadaan keliru antara puting payudara ibu dengan puting lain, hingga agak sukar baginya untuk minum susu badan secara terus.

Puting yang diberi pada anak ketika ia meragam untuk menghentikannya menangis juga boleh menimbulkan kekeliruan pada bayi dan sebaik-baiknya ibu jangan memperkenalkan botol atau beri puting pada bayi yang masih kecil.

“Paling baik, beri terus minum susu badan dari mula dan langsung tidak memperkenalkan botol atau puting. Namun bagi ibu bekerja, pam susu dan penjaga perlu berikan susu badan menggunakan botol.

“Jika ibu bermasalah hendak beri susu badan ­secara terus, ibu boleh berikan susu menggunakan cawan kecil, bukannya ­botol. Namun untuk mengelak anak tersedak sekiranya tidak tahu cara betul atau memudahkan penjaga, pemberian susu dalam botol pilihan lebih wajar,” kata­nya.

Dr Yong Junina berkata, antara faktor yang menyebabkan bayi menolak minum susu badan secara terus kerana pengaliran susu badan lebih perlahan berbanding susu yang diminum daripada botol.

Jumlah susu badan yang dipam juga boleh terjejas sekiranya tidak mendapat rangsangan terus daripada bayi atau tidak dipam me­ngikut masa ditetapkan iaitu setiap tiga jam.

Menurutnya, antara cara memperbanyakkan susu badan bagi ibu yang mengepam susu adalah dengan melihat gambar bayi mereka untuk merangsang pengaliran susu lebih banyak.

Malah bagi bayi yang eng­gan minum susu secara terus daripada ibu selepas diperkenalkan dengan botol, Dr Yong Junina berkata, ­masih belum terlambat malah keadaan itu boleh diubah.

“Caranya memujuk bayi dengan menggalakkannya minum susu ibu secara terus setiap dua jam sambil me­ngusap pipinya. Ibu jangan sesekali mengalah dan perlu berfikiran positif. Jika lapar, bayi akan minum juga tetapi ibu kena banyak bersabar,” katanya.

Bayi di bawah usia enam bulan perlu diberi susu ibu secara eksklusif bagi mendapat manfaat terbaik daripada kandungan nutrien dan antibodi yang ada di dalam susu ibu.


Kebaikan susu ibu

• Melindungi bayi daripada penyakit antaranya virus perut, pernafasan, jangkitan telinga dan meningitis.

• Mengelak masalah alahan.

• Bayi lebih bijak kerana perkembangan kognitif yang lebih baik.

• Mengeratkan hubungan bayi dan ibu.

• Berat badan bayi terkawal.

• Mengurangkan risiko sindrom kematian bayi secara tiba-tiba (SIDS).

• Mampu mengurangkan tekanan diri si ibu dan mengelak daripada mengalami kemurungan selepas bersalin.

• Membantu ibu mengurangkan berat badan.

• Membantu melindu­ngi ibu daripada kanser ovari dan payudara.

• Mengurangkan risiko bayi menghidap diabetes, asma dan obesiti.

• Sumber zat lengkap sesuai untuk pertumbuhan bayi yang sihat.


Kandungan susu ibu

• Protein. Sejumlah 60 peratus daripada kandungan protein susu ibu adalah protein whey manakala 40 ­peratus lagi protein casein. Ini menyeimbangkan ­penyerapan protein dan mempercepatkan penghadaman.

• Laktoferin. Mengelak pertumbuhan bakteria ­dalam saluran usus yang bergantung kepada zat besi. Ibu yang makan ikan membantu memperbanyakkan protein jenis ini dalam susu mereka.

• Secretory IgA. Ia melindungi bayi daripada virus dan bakteria termasuk E coli dan alahan lain. 

• Enzim Lysozyme yang melindungi bayi ­daripada E coli dan Salmonella selain menyokong kesihatan usus serta bersifat antiradang.

• Bifidus menyokong bakteria jenis lactobacillus yang bermanfaat melindu­ngi bayi daripada bakteria berbahaya dengan ­membentuk persekitaran berasid.

• Lemak. Kandungan ­lemak dalam susu ibu ­memastikan perkembangan otak yang sihat, membantu serapan vitamin larut lemak dan sumber kalori untuk bayi. Lemak penting untuk pertumbuhan otak, retina dan sistem saraf yang sihat.

• Vitamin. Nutrien daripada pemakanan ibu secara sihat disalurkan ke dalam susu badan seterusnya kepada bayi.

• Karbohidrat. Laktosa adalah karbohidrat ­utama dalam susu ibu yang ­berfungsi mengurangkan jumlah bakteria tidak sihat dalam perut bayi dan menggalakkan serapan kalsium, fosforus dan magnesium.

• Leukocytes iaitu sel hidup yang hanya boleh didapati daripada susu ibu. Ia berperanan melawan serangan jangkitan. Ia adalah antibodi, sel hidup, enzim dan hormon yang menjadikan susu ibu sangat istimewa.

18/07/14

ANUGERAH ANAK ISTIMEWA


Memiliki anak istimewa ternyata anugerah terindah buat dirinya dan suami apabila anak itulah pengikat kasih sayang hubungan mereka selain dua yang lain.

Anak kecil berusia hampir lima tahun itu kelihatan seperti masih bayi berusia dua tahun kerana perkembangan mental dan fizikalnya lambat sedikit daripada kanak-kanak normal. 

Namun sebagai ibu, Rohani Ariffin, 38, bersyukur dengan kurniaan Tuhan itu kerana menjadikan keluarganya begitu rapat selepas dia mengambil keputusan untuk berhenti daripada kesibukan menguruskan perniagaan. 

Sebelum ini dia terlalu sibuk dan kekurangan masa untuk memberi sepenuh perhatian kepada tiga anak terutama anak bongsu, Muhammad Nasrullah Nazarul yang mengalami masalah ‘global development delayed’ (GDD) iaitu kanak-kanak yang mempunyai perkembangan akal, minda dan tumbesaran tubuh yang tidak seiring dengan usia.

Walaupun tumbesaran anaknya agak lambat, dia bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia cuba berusaha sedaya upaya mencari jalan penyelesaian dengan membawa anaknya itu menjalani pelbagai terapi sama ada di hospital mahupun pusat asuhan swasta yang menawarkan pakej pembelajaran sesuai untuk anak istimewa berkenaan.

Menurut Rohani, masalah yang dialami anaknya itu disedari sejak awal iaitu ketika enam bulan di dalam kandungan. 

“Ketika menjalani pemeriksaan kandungan setiap bulan, saya membuat ujian imbasan kerana mahu tahu perkembangan bayi. 

“Pada usia kandungan mencecah enam bulan, pakar perubatan memaklumkan anak saya mengalami sedikit masalah kerana pergerakannya yang agak lambat dan tidak aktif seperti dua abangnya. 

“Saya juga dapat merasainya kerana pergerakannya tidak sama dengan kandungan sebelum ini dan hanya berdoa supaya masalah itu selesai,” katanya. 

Pada awalnya dia tidak dapat menerima kenyataan itu, namun bersyukur kerana apabila dilahirkan, anaknya dalam keadaan sihat walaupun tidak normal seperti orang lain. 

Dia mula memasang tekad untuk menyediakan rawatan rapi kepada bayi kecilnya itu, malah tidak jemu membawanya berjumpa pakar sama ada di hospital kerajaan mahupun swasta. 

Walaupun terpaksa menghabiskan wang ribuan ringgit, dia berpuas hati kerana dapat memberikan yang terbaik kepada anaknya demi masa depannya. 

Sebagai ibu bapa, dia berusaha sedaya mungkin untuk memberi semuanya kepada anak demi perkembangan fizikal, mental dan minda yang sihat. Dalam usia tiga tahun, anaknya itu baru pandai berjalan selepas menjalani pelbagai terapi. 

“Ketika berumur setahun, anak saya menjalani pembedahan membetulkan kedua-dua kaki yang membengkok di negara jiran dengan menelan belanja ribuan ringgit. 

“Saya terpaksa mendapatkan khidmat perubatan di negara jiran dengan mengeluarkan belanja sendiri kerana mahu dia membesar secara normal dan dapat berjalan seperti orang lain. 

“Walaupun berjalan pada usia tiga tahun, ia amat menggembirakan kerana sekurang-kurangnya anak boleh berdikari apabila dia besar nanti,” katanya sambil menambah, anaknya juga menjalani pembedahan lidah untuk memudahkan pertuturan. 

Menerusi pelbagai terapi, anaknya juga menunjukkan perkembangan positif apabila boleh memanggil ibu dan ayah pada usia sebegini. Ia tentunya memberi kepuasan kerana pengorbanan suami isteri ini yang menghabiskan banyak masa dengan menjalani pelbagai rawatan amat berbaloi. 

Dia akui anaknya itu juga mudah menerima arahan walaupun dirinya kekurangan dari segi tumbesaran fizikal dan mental. 

“Walaupun anak saya sudah berusia lima tahun, fizikal dan mentalnya seperti kanak-kanak berusia dua tahun. Segala perbuatan umpama seorang bayi kerana hanya mampu menyebut beberapa perkataan mudah dan baru pandai mengikut arahan yang diberikan,” katanya yang reda dengan kurniaan itu. 

Rohani berkata, anak anugerah yang perlu dididik dengan sempurna supaya menjadi insan berguna demi masa depan yang cerah. 

“Kami sanggup berkorban apa saja, asalkan anak kami ini dapat membesar dengan baik dan menjalani kehidupan normal pada masa depan. 

“Jika saya tidak berbuat demikian, mungkin kami yang menyesal kelak kerana tidak berusaha menyembuhkan anak sedangkan pelbagai kaedah ada di depan mata,” katanya.

16/07/14

LATIH SI KECIL GUNA TANDAS

Latihan ke tandas satu proses biasa yang dilalui semua kanak-kanak. Kesediaan untuk ke tandas tidak berlaku secara automatik tetapi perlu diajar selari dengan peningkatan usia mereka.

Permulaan untuk ke tandas bergantung kepada faktor fizikal dan emosi se–orang kanak-kanak itu. Latihan asas ke tandas ini perlu dilalui semua kanak-kanak bagi menggalakkan mereka berdikari. 

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, latihan ini penting untuk perkembangan kanak-kanak supaya mereka sentiasa berada dalam keadaan selesa, kering dan bersih. 

Pada umur dua atau dua setengah tahun, kanak-kanak boleh dilatih untuk menjaga dirinya dalam keadaan kering dan bersih. Bagi kanak-kanak yang tiada latihan, mereka mungkin boleh berada dalam keadaan kering dan bersih hanya pada umur empat tahun.

LATIH si kecil menggunakan bekas najis.


Bagaimanapun, kanak-kanak kurang upaya memerlukan bantuan latihan untuk menjadikan mereka lebih berdikari tanpa meminta pertolongan manakala latihan kepada kanak-kanak normal dengan mereka yang kurang upaya juga berbeza.


Sebab kanak-kanak tidak mampu ke tandas 

• Perkembangan mental yang lambat dan menghadapi masalah fizikal. 
• Ibu bapa atau penjaga tidak menyediakan keperluan atau tidak memberikan latihan kepada anak. 
• Kanak-kanak tidak mampu mengawal pundi kencing mereka. 
• Kanak-kanak tidak mendengar atau memahami arahan ringkas. 


Langkah untuk latihan ke tandas 

• Mulakan dengan mengenal pasti kekerapan dan masa mereka biasanya buang air. Untuk mengenal pasti keadaan ini, ibu bapa atau penjaga boleh membuat satu jadual mencatatkan kekerapan anak membuang air. 

Ini penting untuk mengetahui tempoh yang diambil anak membuang air. Catatan kekerapan anak membuang air boleh dibuat dalam bentuk jadual. 

Mulakan latihan apabila anak sudah bersedia. Bagi kanak-kanak normal, biasanya pada usia dua tahun mereka sudah boleh dilatih tetapi bagi anak yang mengalami perkembangan agak lewat, latihan ke tandas boleh dimulakan lebih lewat contohnya pada usia tiga, empat atau lima tahun. 


Tiga cara untuk melihat sama ada anak bersedia untuk melakukan latihan 
ke tandas: 

1. Mengawal pundi kencing 

• Adakah anak sentiasa kering pada setiap jam? 

• Adakah anak anda tahu jika mereka mahu membuang air (lihat pada muka dan dua belah kaki)? 

• Adakah anak membuang air dengan banyak pada satu masa tanpa meleleh atau menitis setiap masa? 


Jika anak dapat mengawal tiga atau sekurang-kurangnya dua perkara di atas, ini bererti mereka boleh mengawal pundi kencing dan latihan ke tandas boleh dimulakan. 


2. Persediaan untuk bekerjasama 

Untuk melihat anak cukup memahami dan boleh memberi kerjasama, uji dengan memberikan arahan ringkas seperti baring, berdiri, masukkan mainan dalam kotak dan memintanya menepuk tangan. 

Jika anak boleh membuatnya dengan rela hati, ini menunjukkan mereka sudah bersedia dari segi mental untuk melakukan latihan ke tandas. 


3. Persediaan fizikal dan emosi. Uji dengan cara seperti: 

• Bolehkah anak mengambil objek yang kecil dengan mudah? 

• Bolehkan anak berjalan atau bergerak sendiri? 

• Bolehkah anak mencangkung, duduk di atas bangku atau tempat duduk? Adakah mereka dapat mengimbangkan diri? 

• Bagi anak yang masih memakai lampin pakai buang, mereka akan meminta untuk ditukar baru apabila tidak selesa. 

• Mula menunjukkan minat untuk memakai seluar dalam dan bukan lampin pakai buang. 

• Mahu bersendirian apabila ingin membuang air. 

Jika anak anda dapat melakukan seperti di atas, ini bermakna dia sudah boleh dilatih untuk ke tandas tetapi masih memerlukan pertolo- 
ngan dari segi fizikal dan emosi. 


Melatih anak menggunakan bekas najis untuk kanak-kanak 

• Kenal pasti masa yang biasa si kecil perlu membuang air, contoh selepas makan. 

• Selepas mengenal pasti masa berkenaan, latih anak untuk ke tandas ataupun letakkan dia di atas bekas najis. 

• Berikan galakan kepada anak dengan perkataan yang biasa digunakan (seperti ‘shiiiih’ atau ‘poo’). 

• Tinggalkan anak di atas bekas najis sehingga siap membuang air. Jika tidak, jangan dudukkan atau tinggalkan anak di atas bekas najis lebih daripada 10 minit. 

• Pastikan bekas ini diletakkan dalam keadaan yang selamat. 

• Beri ganjaran selepas anak berjaya membuang air seperti tepuk tangan atau ciuman. 

• Jika anak tidak membuang air ketika latihan, jangan paksa atau menghukum. Jangan mengkritik anak apabila dia melakukan kesalahan semasa latihan ke tandas. 


Membersihkan 

• Terangkan kepada anak bermain dengan najis adalah tidak baik. 

• Ajar anak untuk membersihkannya dan basuh tangan sendiri dengan sabun. 

• Ajar dan bantu anak untuk mengepam tandas. 

• Ajar anak supaya membasuh tangan dengan sabun selepas menggunakan bekas najis dengan memberi contoh membasuh tangan anda sendiri.

14/07/14

JANGKITAN KULAT KUKU

"Fungus perosak kuku"

Memiliki kesihatan dan kecantikan kulit tangan terutama kuku impian setiap insan kerana selain wajah, tangan anggota badan yang sering menjadi perhatian umum.

Ia dikatakan lambang keprihatinan seseorang dalam menjaga kebersihan dan kesihatan diri secara keseluruhan.

Begitupun, menjaga kesihatan dan kecantikan ­tangan terutama kuku sering diabaikan menyebab­kan ia mudah mengalami jangkitan.

Golongan paling kurang bernasib baik adalah suri rumah yang kerap ­menggunakan tangan (secara tidak langsung kuku) mereka untuk melakukan pelbagai tugasan termasuk membasuh pinggan, ­mangkuk dan pakaian.

JANGKITAN mengubah warna kekuningan kepada kehijauan.

Proses berulang kali ­setiap hari itu menyebab­kan kuku yang dibina ­daripada zarah lembut, kulit dan isi sekelilingnya mengembang dan mudah dijangkiti bakteria dan kulat.

Kesannya kuku hilang sinar dan kelihatan tidak sihat, sekali gus menjejaskan keyakinan terutama ketika berada di khalayak ramai.

Perunding Dermatologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Noor Zalmy Azizan berkata, masalah kuku yang biasa­nya sering dialami masyarakat di negara ini ialah jangkitan kulat atau dikenali sebagai fungi (Onychomycosis) dan Paronychia iaitu jangkitan tisu lembut di sekeliling kuku.

Fungi adalah organisma mikroskopik yang tidak memerlukan cahaya untuk membiak namun ia lebih cepat membiak dalam keadaan yang lembap dan basah. 

Menurut Dr Noor Zalmy, jangkitan berkenaan akan mengubah struktur asal kuku dan menjadikan ia rapuh, mudah terkopek ­serta kehilangan bentuk asal.

“Ia juga mengubah bentuk kuku, bertukar warna ke warna kekuningan atau kehijauan selain terangkat daripada lantai kuku me­nyebabkan pesakit berasa sakit.

“Memburukkan lagi keadaan, jangkitan kulat juga menyebabkan timbul masalah bau yang kurang menyenangkan,” kata­nya ketika ditemui pada majlis pelancaran ubat jangkitan kulat kuku, Loceryl di ibu negara, baru-baru ini.

Dr Noor Zalmy berkata, fungi yang biasa menyerang kuku tergolong dalam kumpulan dermatophyte, yis atau mould (kulat).

Dianggarkan 18 peratus daripada populasi dunia mempunyai masalah jangkitan kulat berkenaan.

“Mengikut Laporan Perbincangan Meja Bulat Onychomycosis Asia Teng­gara (2002), kira-kira 54 peratus rakyat di negara ini dijangkiti kulat yis Candida, kulat mould (24 peratus) dan kulat dermatophyte (22 peratus).

“Ia boleh memasuki kulit melalui luka kecil atau bukaan antara kuku dan lantai kuku dan mula menimbulkan masalah jika kuku terdedah kepada keadaan panas atau lembap secara berterusan,” katanya.

Jangkitan kulat pada kuku biasanya dialami warga emas namun pesakit diabetes atau pembawa virus HIV juga mempunyai risiko tinggi untuk mengalaminya.

Terdapat beberapa faktor lain yang boleh meningkatkan risiko mendapatkan jangkitan berkenaan antaranya amalan memakai kasut dalam tempoh terlalu lama selain terdedah kepada cuaca lembap dan panas berterusan.

Selain itu, kekura­ngan zat, terdedah kepada bahan kimia, kesan sampi­ngan penyakit dan terlalu kerap melakukan rawatan merias kuku (manicure atau pedicure) sehingga ia ­hilang kelembapan semula jadi juga boleh ­mendatangkan masalah pada kuku.

Dari segi perubatan pula, penghidap kencing manis atau individu yang mempunyai daya tahan yang lemah juga terdedah kepada jangkitan berkenaan.

Masalah kulat kuku lebih serius dalam ­kalangan pesakit kencing manis kerana darah yang manis itu senang dijangkiti segala jenis jangkitan kuman bukan saja kulat tetapi juga bakteria yang ­lebih susah untuk diubati.

Selain daripada jangkitan pada kuku, pesakit kencing manis juga sering mengalami jangkitan kulat pada kulit di celah jari.

Disebabkan itu, pesakit kencing manis disaran memeriksa kaki atau tangan setiap hari supaya sebarang kecederaan boleh dikesan awal.

“Jadi, sebaik mengesan ada tanda awal jangkitan fungus seperti bintik putih atau kuning pada kuku, segera berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan bagi mengelak kerosakan kekal,” katanya.

Dr Noor Zalmy berkata, serangan kulat atau fungus pada kuku juga biasanya sukar dirawat, kerap ­berulang dan memakan masa lama untuk dirawat. Jangkitan kuku kaki mung­kin memerlukan lebih daripada lapan bulan untuk dirawat.

Ia menyebabkan ramai penghidap jangkitan itu menderita secara fizikal dan emosi.

“Kebanyakan mereka ­sering mengasingkan diri dan kurang bersosial kerana kurang yakin ­dengan penampilan diri. Lebih me­nyedihkan, pesakit juga disalah anggap sebagai tidak menjaga kebersihan dan memberi kesan pertemuan pertama yang tidak elok,” katanya.

Namun, menurutnya, masalah jangkitan itu masih boleh dikawal melalui penjagaan rapi dan penggunaan ubat secara teratur.

Individu yang mengalami masalah jangkitan fungus mungkin disaran mengambil ubat sistemik ­antifungus yang turut membantu meng­galakkan pertumbuhan kuku baru selepas ­bebas daripada jangkitan.

“Selain itu, ubat sapu (lakuer) juga satu daripada rawatan topikal yang selamat untuk digunakan dan jarang mempunyai kesan sampingan seperti ubat sistemik antifungus yang dimakan.

“Ini kerana kebanyakan rawatan kuku mengambil masa sehingga beberapa bulan untuk mendapatkan kesannya. Jadi pesakit perlu bersabar untuk melihat pertumbuhan kuku baru,” katanya.

SAMPAI HATI IBU!

"Kasih ibu di bawa pergi" oleh orang ketiga.Begitulah nasib yang di tanggung oleh enam adi beradik yang berasal dari Taek Gelugor ini.

Sejak bapa mereka meninggal dunia dua tahun lalu akibat strok, kehidupan enam adik beradik berusia lima hingga 22 tahun itu hanya bergantung serta menumpang kasih dengan ibu kandung.

Bagaimanapun, kasih sayang ibu rupa-rupanya tidak bertahan lama apabila wanita terbabit meninggalkan semua anaknya sejak enam bulan lalu selepas berkahwin dengan seorang lelaki awal tahun lalu.

Lebih memeritkan apabila wang pencen arwah bapa mereka yang bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membiayai keperluan rumah serta membayar yuran persekolahan tidak pernah mereka rasai.

Sebaliknya, wang pencen yang menjadi hak mereka dihabiskan ibu bagi menampung keperluan suami baru yang tidak bekerja.

Foto
SHABUDIN bertanya khabar Noor Hamizah (kiri) serta adiknya.

Selepas kematian bapa dan ditinggalkan ibu, tanggungjawab sebagai ketua keluarga itu kini dipikul anak sulung iaitu Noor Hamizah Basir, 22, yang sanggup menjaga adik-adiknya.

9/07/14

CARA TANGANI BAYI MENANGIS

Kombinasi lima teknik

Menangis secara berterusan adalah masalah bayi baru lahir atau berusia kurang dari setahun yang biasa dihadapi ibu bapa atau penjaga.

Menangis adalah satu cara bayi berhubung untuk menunjukkan mereka mempunyai masalah atau tidak selesa. 

Menurut Konsultan ­Tangisan Bayi, Uswatun ­Hasanah Mohd Habib, bayi menangis disebabkan beberapa alasan antaranya kehendak rutin seperti lapar, mengantuk, mahu sendawa, tidak selesa atau kembung perut. 

“Selain itu, bayi menangis juga disebabkan tidak sihat atau berada dalam kesakitan. Bukan itu saja, lazimnya semua bayi akan menangis apabila emosi terganggu.

“Gangguan emosi dalam kalangan dewasa berlaku disebabkan tekanan berbanding bayi yang berpunca daripada perasaan cemas atau berasa rimas.

“Biasanya ibu bapa atau penjaga akan cuba melakukan pelbagai cara untuk mententeramkan bayi bagi mengenal pasti sebab si kecil menangis,” kata­nya. 

Tambahnya, ada kala­nya bayi berasa rimas selepas perubahan dialami iaitu ­daripada alam rahim ke dunia baru. Justeru, pelbagai bunyi suara yang ­
didengari akan membuatkan dirinya berasa lemas atau rimas. 

Kehilangan sensasi ketika bayi di dalam rahim juga membuatkannya berasa tidak selesa. Terdapat lima ­jenis bunyi tangisan rutin bayi yang boleh dikenal ­pasti bagi mengetahui masalah dialami bayi. Antaranya: 

1. Lapar - ‘neh’
2. Mengantuk - ‘owh’
3. Tidak selesa (termasuk emosi terganggu) - ‘heh’
4. Kembung - ‘eairh’
5. Mahu sendawa - ‘eh’


Teknik 5S

“Disebabkan itu, teknik ‘rawatan dakapan’ yang dikenali sebagai colic-calm (penawar sawan ta­ngis) atau suis tutup ta­ngisan bayi diperkenalkan sejak 12 tahun lalu.

“Ia adalah kombinasi lima teknik yang digelar 5S. ­Semua teknik ini di­ilhamkan daripada sensasi di dalam rahim yang menjadi sebab fetus (janin) kekal bertenang sepanjang sembilan bulan di dalam kandungan ibu,” katanya.

Kelima-lima elemen teknik berkenaan bukanlah perkara baru. Hampir semua ibu tahu mengenai teknik itu, namun tidak mengetahui cara yang tepat untuk melaksanaka­nnya mengikut turutan yang betul.

Ini biasa berlaku terutama kepada bayi yang mempunyai masalah kembung atau sensitif. Teknik tepat dan mengikut turutan yang betul dapat membantu menenangkan bayi dalam tempoh beberapa minit saja. 

Lakukan kelima-lima teknik berkenaan mengikut turutan dan apabila bayi sudah bertenang atau tidur, letakkan seperti biasa di tempat tidur. 

Sila ambil perhatian, ­apabila bayi menangis berterusan, ini adalah satu ­petanda penyakit yang teruk. Sekiranya bayi masih menangis berterusan meskipun semua cara sudah diambil untuk memujuk atau ada petanda selain disebutkan di atas, jangan ragu terus mendapatkan rawatan di hospital.

Lima teknik berkenaan sesuai dilakukan kepada bayi di bawah usia enam bulan. Antara tekniknya ­adalah: 

1. Bedung (swaddle)

Bedung adalah salah satu teknik meniru posisi bayi dan keterbatasan ruang di dalam rahim ibu. Ia akan membuatkan bayi berasa seperti sentiasa dipeluk. ­Bedung saja tidak mampu mententeramkan bayi yang sedang mena­ngis, tetapi ­teknik ini diperlukan kerana dapat mengelakkan tangan dan kaki terus bergerak tanpa kawalan. 

Sebarang cara membedung bayi boleh digunakan selagi ia dibalut dengan ketat di bahagian abdomen bagi mengelakkan tangan bayi ter­keluar. Elakkan bedung yang ketat di bahagian kaki dan pinggang agar bayi tidak berasa sakit selain ­memudahkan si kecil membengkok atau meng­gerakkan kaki. 


2. Posisi mengiring atau ­meniarap (side/stomach)

Ia boleh dilakukan de­ngan memegang bayi dalam posisi mengiring atau meniarap dengan keseluruhan perut dan abdomen di atas lengan kita.

Teknik ini meniru posisi bayi semasa di dalam rahim yang sentiasa dalam kedudukan sisi atau terapung dengan bahagian depan badan mengadap ke dinding rahim (3D) dan bukannya baring telentang seperti kebiasaan kita meletak bayi.


3. Bunyi ‘sssh’ (Ssshing sound)

Buat bunyi ‘sssh’ di telinga bayi atau memasang sebarang bunyian yang dapat menenangkan si kecil. Ini kerana bayi sangat gemarkan bunyian. Ramai pakar dan banyak kajian membuktikan rahim adalah tempat yang sangat bising dengan kekuatan bunyi mencecah hingga 90 desibel iaitu lebih kuat daripada bunyi pembersih vakum. 

Bunyi ini datang daripada pelbagai sumber ­antaranya bunyi aliran deras darah ibu ke setiap salur, buka dan tutup injap jantung, proses pencernaan dalam usus serta bunyian dari dunia luar yang dibuktikan hampir tidak ditapis sebelum menerobos masuk ke dalam rahim.

Namun, ia langsung tidak mengganggu janin kerana bunyian akhir yang sampai ke pendengarannya dikurangkan. Ini kerana gegendang telinga janin masih tebal dengan teli­nganya diselaputi verniks dan ruang tengahnya pula dipenuhi dengan air ketuban.

Justeru, kehilangan unsur bunyian itu meresahkan bayi dan kita dapat membantu bayi bertenang malah tidur lebih lena jika dipasang bunyi-bunyian dengan syarat irama yang dipasang cukup kuat. Ia bagi memastikan bunyian akhir yang sampai ke pendengaran bayi menyamai kekuatan bunyi yang biasa didengari semasa di dalam rahim. 

Ibu bapa boleh menggunakan pelbagai sumber bunyian antaranya membeli cakera padat yang mendapat sentuhan teknik jurutera bunyi atau boleh memasang radio dan televisyen. 

Semua sumber ini boleh dipasang pada jarak empat hingga enam kaki daripada bayi. Selain itu, ibu bapa atau penjaga juga boleh membuat bunyian ‘sssh’ di telinga bayi.

Bunyi dipasang lebih kuat di puncak tangisan bayi dan merendahkan ­kekuatannya apabila bayi bertenang. Mungkin ibu bapa sedar kebanyakan bayi tidur lebih lena di siang hari walau berhampiran sumber bunyi aktiviti ­harian di dalam rumah. Ia juga menjadi sebab bayi lebih mudah dan kerap terjaga di malam hari terutama apabila suasana sunyi.


4. Hayunan (swing)

Semasa di dalam rahim, hampir setiap masa bayi berasa seperti dihayun apabila ibu bergerak. Bayi memang suka dihayun.

Ramai daripada kita sedar janin lebih kerap menendang pada waktu malam ketika ibu tidur. Apabila bayi masih mena­ngis ­selepas melakukan tiga teknik di atas, cuba hayun bayi dengan pantas dan kerap. 

Namun, bayi harus dipegang erat. Kepantasan hayunan bayi boleh dikurangkan ketika si kecil sudah bertenang. Caranya pegang bahagian dagu bayi dan goyangkan kepala. Pada masa sama lakukan hayunan badan sambil membunyikan ‘sssh’.


5. Menghisap (sucking)

Memberi bayi sesuatu untuk dihisap seperti puting, payudara atau jari bersih akan mengurangkan tangisan bayi. Bayi gemar menghisap dan kadang kala ada ibu bapa yang berpeluang melihat imbasan imej janin di dalam rahim sedang menghisap jari. 

Masalahnya, janin mampu mengekalkan jarinya di dalam mulut untuk tujuan menghisap kerana kedudukan dan keterbatasan ruang rahim.

Namun, bayi tidak boleh membuat perkara yang sama selepas dilahirkan kerana kemampuan ototnya dan kemahiran menghisap jari yang hanya muncul selepas berusia empat bulan ke atas. Justeru, bayi perlu dibantu mendapatkan elemen menghisap untuk mengekalkan ketenangannya. 


Kesan membiarkan bayi menangis

Ujar Uswatun Hasanah, satu fakta penting yang harus di ketahui oleh semua orang ialah tangisan berlebihan boleh memudaratkan bayi. Sains memberitahu kita bahawa bayi akan berasa panik dan resah apabila dibiarkan mena­ngis tanpa diberi perhatian.

Bukan itu saja, ia juga boleh memudaratkan bayi serta memberi impak negatif terhadap otak si kecil. Fakta di bawah adalah penerangannya mengenai perkara ini:

Ketidakstabilan hormon dan bahan kimia di dalam otak

Kajian mendapati, bayi yang sering dibiarkan bersendirian dalam suasana tertekan mempunyai tahap lambakan hormon ­kortisol (hormon yang dikaitkan ­tekanan) yang abnormal.

Dr Allan Schore dari Pusat Pengajian Perubatan UCLA menjelaskan, lambakan hormon ini memusnahkan hubungan antara saraf di bahagian penting otak bayi yang sedang berkembang.

Fakta kemusnahan hubungan antara saraf atau dipanggil neurotransmitter ini juga dijelaskan sepasukan pengkaji di Universiti Yale dan Pusat Pengajian Perubatan Harvard. 

Mereka mendapati ­tahap kemusnahan di dalam otak bayi yang sering dibiarkan menangis bersendirian menyamai kemusnahan otak orang dewasa yang ­mengalami penyakit ­kemurungan.

Kajian lanjutan berkaitan impak negatif tangisan terhadap otak menunjukkan bayi mengalami potensi peningkatan 10 kali ganda menjadi kanak-­kanak ­hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD) yang akan alami masalah pembelajaran di sekolah dan mempunyai kemahiran sosial yang lemah. 

Hal ini dapat ­dijelaskan menerusi penemuan Dr Bruce Perry dari Universiti Baylor. Kajian berkenaan mendapati bayi yang ­dibiarkan menangis untuk tempoh panjang berdepan dengan stimulasi tekanan yang kronik dan melampau di dalam otaknya. Situasi ini akan mengubah fungsi dan struktur otak bayi secara amnya.


Kemunduran perkemba­ngan intelektual, emosi dan kemahiran sosial

Pasukan Dr Rao dari Institut Kesihatan Nasional ­Amerika Syarikat membuktikan bayi yang mengalami episod tangisan berpanjangan (tetapi bukan disebabkan kolik) pada tiga bulan pertama mempunyai tahap IQ rendah iaitu purata sembilan mata kurang ­menjelang usia lima tahun berbanding kanak-kanak lain.

Kanak-kanak ini juga menunjukkan kelembapan perkemba­ngan fungsi motor badan. Pengkaji di Universiti Penn­sylvania dan Arizona pula mendapati bayi yang menangis secara berlebihan di awal usianya mempamerkan kesukaran mengawal emosi seawal usia 10 bulan serta menjadi sangat cerewet walaupun cuba ditenangkan.

Ini kerana sistem badan dan otak bayi sudah terbiasa berada di dalam fasa sistem adrenalin terlebih aktif hasil keresahan dan panik berpanjangan kerana tangisan mereka diabaikan.


INFO

Sebab bayi menangis:
• Lapar dan dahaga
• Mengantuk atau letih
• Kesejukan atau basah
• Minta didukung
• Perlu ditukarkan lampin
• Berada di dalam kesakitan atau tidak selesa

7/07/14

WANITA BERISIKO TERKENA JANGKITAN SALURAN KENCING (UTI)

"Ubat semula jadi UTI"

Kepada kaum wanita khususnya tidak boleh mengganggap remeh isu jangkitan saluran kencing iaitu UTI yang boleh memudaratkan lagi kesihatan kepada diri mereka.

Wanita mudah terdedah kepada risiko jangkitan saluran kencing (UTI) dan kira-kira 60 peratus daripada wanita akan mengalami UTI sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.

Daripada jumlah itu, kira-kira 10 peratus pula kerap dijangkiti iaitu sehingga sebulan sekali. Begitu juga dengan kanak-kanak di bawah usia dua tahun yang lebih mudah dijangkiti UTI disebabkan organ saluran kencing mereka belum matang.

Pasangan baru berkahwin juga mudah terkena UTI iaitu 90 peratus kes disebabkan hubungan seksual, sekali gus boleh menjejaskan bulan madu mereka.

Selain itu, wanita mengandung juga mempunyai 10 peratus risiko dijangkiti tetapi tidak menunjukkan simptom disebabkan perubahan hormon yang membuatkan refluks kencing dan tekanan pada pundi kencing sebaik kandungan memasuki trimester akhir.

Foto
KRANBERI buah penuh khasiat.


Kira-kira 50 peratus daripada wanita yang sudah menopaus turut mudah dijangkiti UTI disebabkan kadar estrogen yang semakin menurun menyebabkan kekeringan di bahagian saluran kencing.

Kurang minum hingga menyebabkan kekurangan air di dalam tubuh juga antara faktor utama yang boleh menyebabkan seseorang mudah dijangkiti UTI.

Kebiasaannya apabila seseorang dijangkiti UTI, doktor memberikannya antibiotik bagi mengekang serangan bakteria pada saluran kencing, sekali gus mengelak berlakunya kerosakan buah pinggang.

Bagaimanapun, penggunaan antibiotik secara tidak bijak dan sewenang-wenangnya hingga ramai yang mengabaikan dos sepatutnya diambil, mendedahkan diri mereka terhadap rintangan antibiotik, seterusnya menyebabkan jangkitan yang sepatutnya mudah dirawat, mampu membunuh.

Rintangan terhadap antibiotik berlaku apabila penggunaannya bukan saja tidak mampu merawat jangkitan, tetapi turut mewujudkan masalah serius sehingga mengancam kemajuan yang sudah dicapai manusia dalam bidang perubatan.

Ini kerana pakar klinikal dan saintis mengambil masa yang lama, ujian demi ujian bagi mencari penawar kepada pelbagai jenis jangkitan. Persatuan Perubatan Malaysia juga baru-baru ini memberi saranan supaya pemberian antibiotik di sektor perubatan swasta dan farmasi dipantau dengan ketat dalam usaha melawan rintangan terhadap jangkitan bakteria.

Pakar urologi, Dr George Lee berkata, berikutan itu tidak mudah untuk mendapatkan antibiotik di negara Eropah bagi mengelak timbulnya masalah rintangan terhadap antibiotik akibat sikap sambil lewa pesakit yang tidak menghabiskan dos dibeli sendiri dari farmasi atau didapati dari klinik swasta.

Katanya, pengambilan antibiotik sewenang-wenangnya bagi merawat jangkitan tanpa mengikut dos yang betul serta dilakukan secara tidak bertanggungjawab boleh menjejaskan kesihatan masyarakat secara umum.

“Antibiotik yang sudah dihasilkan memang mampu melawan jangkitan tetapi sikap individu itu sendiri yang menyebabkan berlakunya rintangan terhadap tindakan antibiotik,” katanya pada sidang media, baru-baru ini.

Turut hadir, pakar perubatan Dr Khor Joo Guan dan pensyarah Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Ong Teng Aik.

Berikutan itu, alternatif lain yang boleh diamalkan adalah dengan pengambilan jus buah kranberi yang sememangnya terbukti mampu menghalang UTI dan memastikan kesihatan saluran kencing.

Bukan saja rasanya lazat terutama apabila diminum sejuk, jus kranberi satu anugerah alam semula jadi yang mempunyai kemampuan hebat mencegah UTI dan alternatif kepada antibiotik.

“Jus kranberi juga sesuai untuk wanita mengandung kerana ia bukan ubat tetapi berfungsi menjaga saluran kencing supaya ia kekal sihat kerana UTI boleh memberi risiko kepada kandungan.

“Selain mengelak UTI, jus kranberi turut mampu menghalang pembentukan batu karang dalam buah pinggang serta menjaga kesihatan mulut, gigi dan jantung,” katanya.

Menurut Dr Lee, komponen semula jadi antioksidan dikenali sebagai Proanthocyanidins (PAC) yang terkandung di dalam buah kranberi dipercayai mampu membantu ‘menewaskan’ bakteria berbahaya tanpa mengganggu bakteria baik ketika berlakunya jangkitan.

Katanya, data saintifik menunjukkan PAC mampu menghalang bakteria seperti E coli daripada melekat pada selaput pada tubuh manusia, seterusnya membantu ia disingkirkan daripada tubuh.

“Selain itu, kehadiran PAC juga mengurangkan lekatan patogen serta bentuk sel membrannya. PAC berperanan melindungi tubuh dan membuang sebarang radikal bebas ketika berlakunya jangkitan dan kandungan polifenol yang tinggi dalam kranberi bagi mengurangkan percambahan mikrob.

“Jus kranberi kaya dengan vitamin C, asid salisilik dan mineral penting seperti magnesium, zat besi dan zink. Ia dikategorikan sebagai makanan hebat untuk tubuh, apatah lagi secawan kranberi hanya mengandungi 25 kalori,” katanya.

Kebaikan kranberi yang lain termasuk menghalang beberapa jenis kanser, meningkatkan sistem imunisasi tubuh serta mengurangkan tekanan darah tinggi. Kranberi boleh dinikmati dalam pelbagai bentuk dan sekiranya membeli jus, pastikan ia 100 peratus jus kranberi tanpa gula.


INFO

Simptom UTI:
• Rasa sakit atau terbakar apabila membuang air kecil.
• Rasa seperti perlu kencing lagi walaupun tidak ada air kencing yang keluar.
• Sakit di bahagian bawah perut.
• Air kencing berwarna keruh, merah jambu atau merah dan berbau busuk.
• Sakit di satu bahagian di bawah tulang rusuk.
• Demam atau rasa kesejukan.

Segera dapatkan rawatan jika:
1. Demam, loya dan muntah diiringi rasa sakit di bawah tulang rusuk.
2. Anda menghidap kencing manis, ada masalah buah pinggang atau sistem imunisasi lemah.
3. Berusia lebih 65 tahun.
4. Mengandung.

3/07/14

`DIDIK ANAK BERPUASA`

`DIDIK SI KECIL BERPUASA`


Ramadan Al Mubarak. Satu bulan yang penuh keberkatan. Kedatangannya sering dinantikan dengan penuh gembira. Selain berpeluang untuk menghimpunkan banyak pahala dengan 1,000 keberkatan dan kemuliaan yang dijanjikan oleh ALLAH SWT, bulan mulia ini juga satu cara untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan.

Menjelang bulan penuh keberkatan ini, si kecil juga mula sibuk hendak berpuasa. Malahan mereka juga tidak ketinggalan bangun bersahur. Pada waktu ini, ibu bapa perlu mengambil peluang terbaik untuk mendidik si kecil erti sebenar berpuasa.

Konsultan Laktasi Bertauliah dari International Board Certified Lactation Consultants (IBCLC), Siti Nur Suraya Mohamed Ali berkata, anak kecil bagaikan kain putih dan lukisannya dicorakkan oleh ibu bapanya.

“Seawal usia lima tahun, si kecil sudah boleh dilatih untuk menjalani ibadah puasa walaupun mereka belum diwajibkan untuk melakukannya. Elakkan memberitahu anak bahawa mereka masih kecil dan tidak perlu berpuasa,” katanya pada Sinar Harian.

Tambahnya, kata orang ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’. Justeru, ibu bapa wajar mendidik anak untuk belajar mematuhi rukun Islam yang ketiga ini sejak kecil walaupun puasa tidak wajib ke atas kanak-kanak yang belum baligh.

“Mereka perlu dilatih secara perlahan-lahan sebagai persediaan dan pengertian tanggungjawab seorang Muslim agar apabila dewasa dan telah baligh kelak, mereka sudah biasa dengan kewajipan tersebut,” katanya.

Menurut Siti Nur Suraya, sebagai persediaan asas, setiap ibu bapa perlu mula beritahu si kecil mengenai erti berpuasa iaitu sebulan sebelum Ramadan menjelang tiba.

“Beritahu mereka dengan intonasi dan bahasa yang mudah difahami mengenai apa yang akan dilakukan ketika Ramadan dan apa yang tidak boleh dilakukan. Tunjukkan sifat keterujaan anda dan pastinya si kecil juga tidak sabar untuk turut serta berpuasa dan memeriahkan lagi Ramadan tahun ini,” jelasnya.

Beliau menambah, apabila Ramadan disambut dengan penuh keterujaan, pastinya anak akan mula beranggapan bahawa puasa itu tidak pernah menyusahkan dan tidak memudaratkan.


Rasa dihargai

Siti Nur Suraya yang juga Pengarah Urusan Lunatots berkata, ibu bapa harus mengajak si kecil menyertai aktiviti bersahur dan berbuka puasa.

“Kejut mereka ketika anda bersahur. Tidak perlu risau waktu tidur si kecil terganggu kerana anak akan berasa dihargai apabila dilibatkan dalam aktiviti orang dewasa. Sebaliknya tukar waktu tidur mereka lebih awal,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa juga disarankan untuk memilih aktiviti yang sesuai bagi si kecil tetapi sebelum itu perlulah mengajak si kecil berehat atau tidur sebentar pada waktu tengah hari.

Katanya, dengan rehat yang mencukupi, anak akan lebih bertenaga untuk menyambung puasa mereka sampai ke waktu berbuka.

“Berpuasa sementara tidak mengganggu sistem tubuh anak kecil sebaliknya ia mencergaskan sistem impuls dan menggalakkan mereka supaya berkelakuan baik.

“Kadar tenaga yang rendah sepanjang siang hari juga membuatkan mereka boleh fokus dengan lebih baik. Oleh itu, pilih aktiviti yang sesuai seperti aktiviti dalaman untuk mereka sepanjang siang hari,” katanya.

Selain itu, katanya, seboleh-bolehnya jauhkan makanan dan minuman daripada pandangan si kecil pada siang hari.

“Kasihan perasaan anak kecil terganggu dengan imej makanan dan minuman yang menduga. Jadi, elakkan daripada membawa mereka keluar membeli belah di pasar raya,” katanya sambil tersenyum.


Teladan baik

Beliau berkata, ibu bapa seharusnya memilih teladan yang baik untuk anak selain mereka sendiri. Bagi si kecil yang sudah mempunyai rakan, elakkan mereka berkawan dengan rakan yang malas berpuasa.

Tunjukkan contoh rakan mereka yang baik untuk mereka teladani. Ibu bapa juga boleh luangkan masa dengan bercerita kisah teladan Nabi dan Rasul bagi mempamerkan teladan yang baik. Mendidik anak adalah tanggungjawab ibu bapa.

"Apabila anak sudah mula diperkenalkan dengan agama dan ibadah, hati anak akan lebih mudah dibentuk membawa ke usia remaja,” katanya.

Seterusnya, katanya, ibu bapa digalakkan untuk membawa si kecil bertarawih dan membaca al-Quran bersama.

“Beritahu mereka bahawa Ramadan adalah bulan yang perlu dimeriahkan dengan ibadah. Pastinya mereka berasa suatu kelainan dan keistimewaan dalam bulan ini berbanding bulan lain,” katanya.

Akhir sekali, jelasnya, berikan ganjaran yang berupa bahan pendidikan kerana ia turut merangsang minda separuh sedar mereka untuk berusaha mendapatkan apa yang mereka mahukan.

“Kata pada si kecil, ganjaran orang berpuasa adalah sangat besar dan datangnya daripada ALLAH SWT. Pendidikan awal mengenai puasa dapat membentuk peribadi si kecil dari awal," katanya. 

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak berusia enam tahun ke atas, sudah tentu mengambil peluang mendidik si anak untuk mengenal erti berpuasa. Sememangnya didikan awal ini sangat digalakkan agar jiwa muda mereka terdidik kea rah ibadah yang mulia.

Beberapa strategi tersebut mungkin boleh membantu anda dalam usaha mendidik si manja untuk berpuasa.

Secara berperingkat
Bagi anak yang baharu belajar berpuasa, anda boleh benarkan mereka berpuasa secara berperingkat. Misalnya minggu pertama, berpuasa sehingga pukul 10 pagi dan seterusnya hingga minggu terakhir sampai waktu berbuka.


Sabar
Selain daripada memberi sokongan, papa dan mama juga mesti bersabar menghadapi kerenah awal si manja. Jangan cepat marah atau memaksanya jika dia mengadu lapar atau dahaga.


Kerap bercerita
Dengan bercerita tentang apa itu puasa, walaupun masih kecil dan belum mengerti sedikit sebanyak dia dapat gambaran awal dan akan menyimpan maklumat tersebut dalam kotak memorinya.


Buat aktiviti
Melakukan aktiviti yang boleh melekakan si kecil dapat membantu mengalih tumpuannya daripada lapar dan dahaga. Anda boleh mengajaknya membantu menyediakan juadah berbuka puasa, mengaji al-Quran, bermain komputer atau membaca buku cerita.


Makanan kegemaran
Menyediakan makanan kegemaran anak anda untuk berbuka puasa secara tidak langsung mendorongnya untuk terus berpuasa. Mungkin dengan bertanya apa yang dia inginkan untuk berbuka puasa membuatkan anak rasa dihargai

2/07/14

KES LOLA DEDAH KEPINCANGAN INSTITUSI KEKELUARGAAN


Sikap tidak peduli, pentingkan diri antara penyebab tragedi 

Hampir seminggu berlalu, kes remaja kurang upaya, Muhammad Firdaus Dullah terus dipaparkan media massa. Kisahnya meruntun jiwa satu Malaysia, turut mendapat tempat dalam media sosial. 

Banyak pendedahan, luahan rasa dan pelbagai komen berbaur pujian, hinaan dan kebencian terhadap tindakan ibunya, Lolanopita Sadi, 40, lebih dikenali sebagai Lola turut mewarnai laman sesawang dan media sosial termasuk blog sosial serta peribadi. 

Seperti beberapa isu semasa sebelum ini, isu ini turut ‘dimeriahkan’ oleh wartawan tidak bertauliah yang mengulas sampai ke tahap fitnah. 

Turut mengambil bahagian selebriti yang kononnya serba tahu akhirnya memakan diri dan mengundang kutukan ramai. 

Kisah Muhammad Firdaus bukan mengenai diri beliau dan ibunya saja, tetapi kepincangan sistem kekeluargaan, masyarakat setempat dan mendedahkan isu berkaitan. 

Dari satu sudut yang lain, ramai yang marah, kecewa dan geram dengan tindak-tanduk ibu kandung Muhammad Firdaus yang sudah didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, atas dua pertuduhan iaitu mengabaikan dan meninggalkan anak tanpa pengawasan, Jumaat lalu. 
Kata orang kucing pun tahu sayang anaknya, bagaimana seorang manusia sanggup berbuat begitu pada anak kandung sendiri lebih-lebih lagi Muhammad Firdaus adalah orang kurang upaya (OKU) yang menghidap celebral palsy. 

Tindakan ibu dikecam 
Tiada siapa yang tahu apa sebenarnya berlaku sehingga ibu kandung itu sanggup bertindak sedemikian rupa. 

Benarkah beliau sayangkan anaknya dan jika sayang mengapa mengabaikan anak sedemikian rupa, kebuluran dan sakit di rumah sendiri. 

Tiada siapa yang tahu gelodak dalam jiwa Lola kerana beliau juga menjadi isteri kedua dan menurut cerita, suaminya sendiri jarang menjenguknya walaupun mereka dikurniakan seorang anak lelaki, kini berusia tujuh tahun. 

Selain itu, Lola menyatakan beliau tidak tahu bagaimana hendak mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

Sekali pandang, jawapan Lola adalah alasan orang yang mahu melepaskan diri untuk tidak dipersalahkan. 

Menurut pakar psikologi, kemungkinan Lola menghadapi tekanan perasaan kerana tiada sokongan keluarga, termasuk suami untuk menjaga dua anaknya termasuk Muhammad Firdaus yang cacat. 

Mungkin ada benarnya, kerana sejak kisah ini dipaparkan tiada berita atau pihak yang tampil mengakui mereka keluarga Lola mahupun bekas suaminya yang sudah meninggal dunia. Hanya bekas pengasuh Muhammad Firdaus saja yang tampil. 

Sekali pandang memang nampak Lola sepatutnya tiada masalah kewangan kerana suami masih memberikan nafkah dan beliau bekerja. 

Kes buka mata masyarakat 

Kisah duka ini membuka mata masyarakat mengenai kepincangan warga kawasan perumahan berkenaan, selain kelemahan pemimpin masyarakat dan sikap tidak ambil tahu jiran tetangga. 

Berdasarkan lokasi, kisah ini bukannya berlaku di bandar besar sebaliknya pinggir bandar, dengan suasana komuniti masyarakat masing-masing bersikap tidak mahu ambil tahu hal orang lain. 

Dari sudut lain, sudah tiba masanya JKM memikirkan cara masyarakat umum terutama mereka yang ada anak OKU boleh berhubung dengan mereka. 

Memang benar sudah banyak usaha dibuat, malah terbaharu JKM sendiri turun padang buat bancian dan mencari golongan sedemikian. 

Usaha perlu ditingkatkan bagi mewujudkan peraturan mewajibkan hospital melaporkan terus kepada JKM berhubung bayi OKU yang lahir untuk didaftarkan terus dengan jabatan itu. 

Peraturan yang sama juga diguna pakai jika ada kes baharu berkaitan OKU yang disahkan akibat kemalangan atau baharu disahkan kecacatannya. 
Cara berkenaan lebih praktikal dan kemungkinan soal tidak mengetahui cara berhubung dengan JKM dapat diatasi. 

Satu lagi yang perlu difikirkan adalah bagaimana pegawai JKM boleh lebih kerap turun padang untuk melawat mereka yang berdaftar bagi memantau keadaan kesihatan, kehidupan dan kebajikan mereka. 

Aspek keluarga OKU yang berdaftar juga perlu dipantau JKM supaya kes seumpama ini tidak berulang. 

Apa pun, jalan penyelesaian perlu dicari dalam usaha memastikan kebajikan dan nasib OKU terus terbela di negara ini dan peranan jiran tetangga dan masyarakat setempat dalam isu kebajikan komuniti juga dapat ditingkatkan. 

MENGAPA SYURGA DI BAWAH TELAPAK KAKI IBU??

Ajar anak mengaji

Bagi wanita berkerjaya, melalui rutin harian yang ‘menyesakkan’ setiap hari sering dianggap perkara biasa. Bangun seawal jam 5 pagi, menyediakan sarapan anak ke sekolah dan kemudian ke pejabat. Apabila pulang ke rumah, mereka perlu menyediakan hidangan makan malam, mengajar anak membuat kerja sekolah dan menyelesaikan kerja rumah.

Ini menyebabkan kebanyakan wanita berasa mereka tiada masa untuk diri sendiri seperti membuat kek, menjahit atau berkebun serta membelai wajah dan tubuh di spa.

Bagi wanita yang tidak mempunyai pembantu rumah, sudah pasti harapan kepada suami untuk membantu. Namun ada yang tidak bernasib baik apabila suami kurang memberikan kerjasama. Mungkin bagi yang mempunyai seorang anak tidak menjadi masalah kerana masih mampu mengurus keluarga tetapi bayangkan jika punya dua, tiga atau empat anak.

Kesibukan yang tiada kesudahan ini sudah pasti sedikit sebanyak menggang­gu tugasan ibu dalam menyediakan masa berkualiti bersama anak-anak. Akibatnya, peranan yang sepatut­nya dimainkan mereka tidak dapat dijalankan dengan sempurna disebabkan kekangan masa.

HUSNA bersama suami dan anak mereka, Ammar dan Alana.

Sebagai contoh ramai ibu ingin mengajar anak mereka mengaji al-Quran, namun akibat pengurusan masa yang tidak cekap, tugasan ini diserahkan kepada ustazah di sekolah atau surau.

Berbeza bagi ibu kepada dua anak yang juga pensyarah perakaunan di sebuah universiti swasta, Husna Haron, 32, apabila mampu mengubah rutin seharian menjadi lebih cekap sehing­ga mampu mengajar anak sulungnya, Ammar El-Heqq Ubaidillah, 5, membaca al-Quran pada usia empat tahun.

Jelasnya, walaupun dia bukan ustazah atau orang yang mahir dalam bidang agama, dia sudah menetapkan matlamat ingin ­mengajar anak sendiri. Baginya, untuk mengajar anak mengaji cukup sekiranya mampu membaca dengan baik.

Menceritakan pengalaman ketika kelahiran anak pertama, dia yang tinggal berasingan dengan suami, Ubaidillah Ambiah berasa masih mampu menguruskan anak berseorangan di Johor Bahru.

“Namun selepas kelahiran anak kedua, Alana El Khaliqq, hidup saya menjadi huru-hara. Banyak masa dihabiskan dengan kerja dan anak-anak sehingga tiada masa untuk diri sendiri. Saya mencari puncanya.

“Oleh kerana saya me­nyusukan badan untuk kedua-dua anak, jadi aktiviti harian saya padat dengan mengepam susu empat kali sehari bagi memastikan bekalan mencukupi. Ini menyebabkan saya terpaksa bangun lebih awal sedangkan itulah kelemahan saya,” katanya.

Dari situ, Husna mula membuat jadual harian agar kehidupan menjadi lebih sistematik. Setiap kali apabila terpaksa membeli makanan di kedai, dia rasa sangat ­bersalah sedangkan dia boleh menyediakan ­hidangan sihat untuk keluarga.

Husna yakin dia mampu melakukan­nya dan akhirnya dia membuat analisis aktiviti harian di rumah.

“Saya mencari ruang yang boleh menjimatkan masa. Saya ‘selongkar’ seluruh rumah dan menghurai rutin harian sehingga menemui punca sebenar mengenai pengurusan masa iaitu ­dengan mengubah sistem di rumah.

“Umpamanya kita makan di restoran terkenal ­dengan pelanggan yang ramai. Perkhidmatannya bagus dan makanan sampai ­cepat. Tetapi ada juga restoran yang pelanggan tidak ­ramai tetapi makanan lambat. Saya bandingkan kedua-duanya dan menemui­ ­jawapan yang berkaitan pengurusan masa,” kata­nya.

Jelas Husna, untuk membuat perubahan dia mengkaji daripada pelbagai aspek di rumah. Perkara yang membuatkan dia lambat termasuk membuat pengubahsuaian beberapa perkara seperti mengemas di dapur, almari, bilik tidur dan bilik air selain me­nyediakan menu untuk seminggu, jadual mengemas rumah dan mengajar anak mengaji al-Quran.

“Hasilnya memang ­sangat mengujakan kerana saya mampu menguruskan rumah tangga dengan lebih baik dan ada ruang untuk diri sendiri. Lebih penting, saya dapat mengajar al-Quran untuk Ammar ketika dia berusia dua tahun,” katanya.


Luang masa ajar al-Quran setiap hari

Menurut Husna, sejak dari dalam kandungan dia sudah mendedahkan anaknya dengan bacaan al-Quran dan berazam untuk mengajar sendiri anaknya. Oleh itu, sejak berusia dua tahun Ammar didedahkan dengan Iqra menerusi laman YouTube selama 10 minit sehari.

“Pada masa sama, saya juga mengajar menerusi kad imbasan secara tidak formal ketika bermain. Lama-kelamaan Ammar sudah biasa dan dia sendiri meminta untuk membaca Iqra,” katanya.

Sejak membuat pe­ngubahsuaian jadual, dia mempunyai masa dan dapat mengajar Ammar setiap hari. Apa yang penting, ­aktiviti lain tidak terjejas dan dia dapat menguruskan keluarga dengan lebih cekap.

Walaupun menyediakan jadual waktu untuk diri sendiri dan anak, jadual hanya sebagai garis panduan bagi membolehkan dia merancang kerja seharian di rumah.

“Dengan berpandukan jadual, hari terisi ­dengan aktiviti lebih berfaedah. Masa lebih berkualiti ­dengan anak-anak. Saya dan suami langsung tidak mengehadkan waktu bermain mereka, sebaliknya menerapkan belajar sambil bermain. Secara tidak langsung mereka lebih bersemangat mengaji kerana selepas itu dapat bermain pula,” katanya.

Dengan segala usaha yang dilakukan Husna dan suaminya, pada usia empat tahun Ammar sudah boleh membaca al-Quran dengan lancar dan mampu menghafal surah terpilih. Teknik yang sama turut diterapkan kepada Alana sejak berusia enam bulan.


Bukukan pengalaman

Menyedari ingin berkongsi dengan semua ibu mengenai cara pe­ngurusan masa yang cekap serta ­mengajar anak me­ngaji ­dengan cara tersendiri, Husna membukukan semua pengalamannya dalam bentuk e-Book atau buku ­elektronik, Revamp Your Routine yang boleh diperoleh menerusi laman sesawang www.efficient2me.com berhalaman 88 muka surat.

“Dalam e-Book berbahasa Melayu ini terdapat pelbagai panduan berguna untuk wanita berkerjaya atau suri rumah mengenai pengurusan masa dengan cekap. Bagi mereka yang mendapatkannya akan menerima panduan ­terkini pada setiap bulan, video serta menyertai forum dan Facebook,” katanya.

Untuk pengurusan masa sepanjang Ramadan, Husna turut menyediakan e-Book panduan sepanjang ­Ramadan yang menyediakan teknik khatam al-Quran, kebaikan bersedekah serta mendapat lebih banyak ganjaran pahala dengan melakukan amal ibadat dan pada masa sama tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.

“Insya-Allah dengan panduan ini semoga ibu-ibu mampu menguruskan keluarga dengan lebih cekap dan berkesan. Paling penting ibu dapat memberikan masa berkualiti dengan anak dan dapat mendidik mereka berteraskan al-Quran dan hadis,” katanya yang gemar bermotosikal bersama suami apabila ada masa terluang.


Jangan biarkan beban pada isteri

Bagi Ubaidillah pula, ting­gal berasingan dengan isteri selama dua tahun menyebabkan dia tiada pengalaman menguruskan rumah tangga. Ini kerana setiap kali bertemu pada hujung minggu, semua kerja rumah disiap­kan isterinya manakala rumah berada dalam keadaan bersih dan kemas kerana Husna sendiri sangat sistematik.

“Peluang tinggal bersama selepas kelahiran anak kedua, saya mula memahami perasaan seorang isteri yang bukan saja sibuk di rumah tetapi di pejabat. Oleh kerana saya sering bekerja di luar daerah selama dua atau tiga bulan, ini menyebabkan saya banyak mengambil alih tugas isteri terutama dalam hal penjagaan anak apabila pulang ke rumah. Ini kerana saya ingin mengambil peluang untuk rapat dengan anak dan tidak mahu ada jurang antara kami. Saya juga membantu Husna membuat kerja rumah seperti membasuh, melipat baju dan ­mengemas rumah,” katanya.

Bagi meringankan tugas isteri, suami seharusnya membantu isteri terutama dalam hal penjagaan anak atau perkara mudah seperti membasuh dan melipat baju. Walaupun nampak ringan, ia banyak mengurangkan bebanan isteri terutama pada bulan puasa ini.

“Sebagai wanita berkerjaya, isteri mempu­nyai tugasan berat di rumah iaitu ­menyediakan juadah berbuka dan bersahur. Isteri juga sudah tentu mahu mengambil peluang beramal ibadat seperti bertarawih atau bertadarus al-Quran. Jadi pengurusan masa sangat penting.

“Diharap dengan adanya e-Book panduan Ramadan, ia dapat memberikan satu gambaran baru bagaimana wanita boleh menguruskan rumah tangga dan pada masa sama mencari banyak pahala,” jelasnya.