10/09/14

PENGARUHI ANAK BELAJAR SAMBIL BERMAIN


Kebanyakan ibu bapa terutama di kawasan bandar selalunya lebih gemar menghantar anak mereka menghadiri kelas seni se­perti tarian, lukisan atau muzik dalam usaha merangsang minda kreatif selain meningkatkan tahap keyakinan diri.

Namun, kreativiti sebenarnya mempunyai ruang lingkup lebih luas dan tidak hanya terbatas secara spesifik dalam bidang seni.

Kreativiti serta keyakinan diri juga terbit apabila seseorang kanak-kanak didedahkan ­dengan pemahaman mendalam dalam bidang teknologi, sains, kejuruteraan dan matematik.

Sifat kanak-kanak yang suka bermain tidak bermakna mereka tidak mampu memahami asas bidang sains dan teknologi yang dicurahkan kepada mereka, apatah lagi sekiranya permainan digunakan sebagai alat pembelajaran.


Pengarah Urusan ­Creative Child Development Sdn Bhd, Demitrius Lam berkata, dalam usaha meningkatkan daya kreativiti si kecil, program pembangunan kanak-kanak seperti Bricks4Kidz mampu memupuk minda mereka menjadi lebih kreatif dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Bricks4Kidz adalah program pembangunan berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang menjadi nadi kepada perkemba­ngan minda golongan cilik.

Menurut Lam, program itu menggunakan per­mainan blok Lego Bricks yang berwarna-warni dan pelbagai bentuk dalam menerapkan pemahaman mengenai STEM dalam diri kanak-kanak seawal usia dua tahun hingga 10 tahun mengikut peringkat per­kembangan masing-masing.

Katanya, Lego Bricks yang digunakan juga me­ngikut spesifikasi daripada jenis paling mudah untuk kanak-kanak kecil hing­ga kepada Lego yang lebih teknikal dan kompleks untuk kanak-kanak lebih besar.

“Bricks4Kidz adalah program yang sangat berjaya di Amerika Syarikat (AS) ­dengan 590 pusat sudah dibangunkan selain beroperasi di kira-kira 27 negara.

“Program kami dirang­ka khusus untuk memba­ngunkan kemahiran berfikir secara inovatif dan kreativiti yang boleh dipraktikkan dalam pembangunan peribadi kanak-kanak, kehidupan seharian serta pendidikannya secara menyeluruh,” katanya.

Program yang memenangi anugerah sebagai francais nombor satu di AS bagi kategori Program Pembangunan Kanak-Kanak pada 2014 itu menawarkan modul pembelajaran eks­klusif yang hanya boleh didapati di Bricks4Kidz.

Katanya, pihaknya me­nyediakan 80 model Lego Bricks untuk kanak-kanak lebih kecil dan 150 model untuk kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas.

“Kami menggunakan pendekatan yang meluas dan menawarkan lebih 200 topik pengajian dalam bidang sains hidup, fizik, seni bina, sejarah, reka cipta, budaya, geografi dan teknologi dalam suasana menyeronok­kan hingga kanak-kanak tidak sedar sebenarnya mereka sedang belajar.

“Kanak-kanak berpeluang mengembangkan kreativiti mereka dan kita hanya memberi panduan dan kata-kata positif kepada mereka hingga berjaya menyiapkan setiap projek mengikut keupayaan masing-masing.

“Sebelum kanak-kanak ditempatkan dalam tahap masing-masing dan diuji oleh tenaga pengajar yang memerhatikan kreativiti mereka membentuk model berdasarkan Lego di pusat program itu.

“Apabila kanak-kanak memahami konsep yang diterangkan melalui pembinaan model Lego, mereka akan menunjukkan prestasi cemerlang di sekolah kerana lebih memahami apa yang diajar hingga menjadikan pembelajaran di sekolah ­lebih bermakna,” katanya.

Menerusi maklumat program yang dipaparkan di laman www.bricks4kidz.com/malaysia, projek yang disusun menggunakan alat pembelajaran Lego Bricks menekankan pemahaman bahawa kanak-kanak perlu mengambil langkah secara tersusun bagi mencapai sesuatu objektif.

Ia juga mendidik kanak-kanak untuk fokus dalam menyelesaikan masalah, menggalakkan pemikiran kreatif, mengembangkan kemahiran sosial dan emosi, membaiki kemahiran motor, meningkatkan keyakinan diri dan mendidik mereka bekerjasama dalam satu kumpulan sejak usia kecil.

“Program ini turut membantu memupuk nilai kepemimpinan dalam diri kanak-kanak kerana kami menggalakkan mereka yang sudah menguasai tahap tertentu untuk membantu rakan yang belum memahami sesuatu konsep pembelajaran.

“Semua kemahiran yang diterapkan secara tidak langsung akan membina asas kukuh dalam diri kanak-kanak dan membantunya memiliki pemikiran yang inovatif apabila berdepan sebarang masalah atau cabaran sepanjang hidup­nya,” katanya.

Share this

0 Comment to "PENGARUHI ANAK BELAJAR SAMBIL BERMAIN"

Catat Ulasan