23/04/14

ATASI SI COMEL MENGAMUK


Mengamuk atau memberontak dengan menunjukkan sikap yang kurang menyenangkan kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia di antara 18 bulan hingga empat tahun.

Tindakan yang kurang menyenangkan ini sekadar mahu memberi isyarat kepada orang tua supaya memberi lebih perhatian kepada mereka. 

Dengan cara mengamuk, mereka beranggapan akan mendapat perhatian apabila ibu bapa mula memujuk dan memikirkan cara sesuai untuk menambat hati anak. 

Namun, ada segelintir ibu bapa yang tidak pandai memujuk anak apabila anak sering mengamuk untuk mendapatkan sesuatu.

Walaupun mengamuk disifatkan sesuatu yang normal bagi anak kecil, ia sememangnya mencabar kesabaran ibu bapa.

Mengamuk mempunyai pelbagai bentuk iaitu kemarahan, kekecewaan dan tingkah laku yang mencabar. 

Si kecil boleh menjerit, menangis, menendang, memecahkan barang di sekitar mereka, berkelakuan ganas dan menahan nafas mereka. 

Sikap sedemikian tentunya memberi kesan kepada kedua-dua pihak sama ada si anak mahupun ibu bapa atau penjaga dari segi emosi dan mental. 

Berikut antara cara yang boleh diamalkan ibu bapa untuk menangani masalah anak mengamuk: 


~ Ketika anak sedang mengamuk 

Langkah penting ketika ini adalah menenangkan kembali sikap anak khususnya memastikan beberapa perkara penting iaitu keselamatan si anak. 

Ibu bapa perlu memberi perlindungan sebaiknya kepada anak supaya mereka tidak berasa takut dan lebih selamat. 

Anak akan mengamuk sekiranya melihat keadaan yang menakutkan seperti pergaduhan di antara ibu bapa, jadi elakkan perkara ini daripada berlaku di depan mereka. 

Walaupun masih kecil, anak sudah mengerti apa yang terjadi di depan mata. 


~ Pastikan anak dalam keadaan tenang 

Anak seharusnya sentiasa berada dalam keadaan tenang. Sekiranya menangis inginkan sesuatu, ibu bapa perlu segera memujuk mereka supaya tangisan itu tidak berlanjutan hingga memudaratkan. 

Jangan biarkan si kecil menangis dalam keadaan begitu lama kerana keadaan ini boleh mengganggu kestabilan emosi. 


~ Jika boleh asingkan anak anda 

Anak yang suka mengamuk perlu diasingkan iaitu letak di sebuah bilik bersama anda. Jangan biarkan dia berada di persekitaran yang menggang-gu emosi kerana ini hanya akan memburukkan keadaan. 

Jangan mengurung anak seorang diri semata-mata mahu menghukum tetapi ibu bapa perlu memantau keadaan anak. 


~ Jangan menghukum 

Ramai ibu bapa mengambil pendekatan mudah dengan menghukum anak mereka yang sedang mengamuk. Sikap ini menjadikan suasana lebih buruk apabila anak akan menunjukkan reaksi yang lebih agresif. 

Elakkan memukul dan menjerit dengan memarahi anak kerana bukan saja anda yang tertekan, malah keadaan itu juga akan mengganggu emosi mereka. Lebih baik memujuk sambil memeluk supaya anak berasa lebih tenang dan rasa disayangi. 


~ Jangan memberi hadiah sebagai menghentikan sikap mengamuk 

Elakkan memberi hadiah atau apa yang diinginkan anak apabila mengamuk kerana tidak mustahil dia akan melakukan perkara serupa untuk mendapatkan sesuatu. 

Walaupun hanya pandai mengamuk untuk mendapatkan sesuatu, keadaan ini amat bahaya kerana anak akan mengulangi sikap ini walaupun di depan khalayak.

Share this

0 Comment to "ATASI SI COMEL MENGAMUK"

Catat Ulasan