22/01/18

ELAK BENTAN SELEPAS BERSUNAT


Bagi kanak-kanak lelaki, musim cuti persekolahan membawa dua kemungkinan sama ada percutian menyeronokkan tanpa perlu menelaah buku atau kegusaran untuk menempuh alam dunia lelaki baligh, berkhatan.

Berkhitan, bersunat, ‘masuk jawi’ antara kata nama lain merujuk kepada khatan dan sangat sinonim dengan musim cuti sekolah dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Umumnya, masyarakat Islam Malaysia bermazhab as-Syafie memegang hukum berkhitan adalah wajib kerana ia tuntutan Islam.

Hukum ini diperkuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW menerusi hadis riwayat Muslim yang bermaksud; “Fitrah itu ada lima perkara, berkhitan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur misai.”

Menariknya, berbanding membantu memberi galakan untuk persediaan mental, masyarakat kita lebih seronok menyakat anak muda ini dengan pelbagai gurauan hingga mengurangkan tahap keyakinan mereka.

Malah dengan kecanggihan teknologi hari ini, ada segelintir individu merakam tingkah laku ‘mangsa’ sebelum ia tular.

Menurut Doktor Perubatan Am Klinik Dr Norman, Dr Norman Mohd Norawi, kanak-kanak perlu bersedia dengan persiapan mental untuk menghadapi proses berkhatan.

“Ibu bapa dan individu terdekat bertanggungjawab memberi galakan kepada anak untuk memberanikan diri menghadapi ketakutan dan sedikit kesakitan ketika proses berkhatan berlangsung.

“Apabila ibu bapa ‘menipu’ anak dengan mengatakan berkhatan tidak sakit, realitinya anak ini akan memberi reaksi melampau sama ada tidak memberi kerjasama baik, meronta-ronta mahupun menangis apabila mereka mengalami kesakitan ketika proses bius dilakukan.

“Berdasarkan pengalaman saya, kanak-kanak yang datang dalam psikologi lebih bersedia boleh memberikan kerjasama baik sekali gus memudahkan proses khatan tanpa masalah dan komplikasi,” katanya.

Merujuk kepada proses pemulihan selepas berkhatan, Dr Norman berkata, luka boleh pulih dalam tempoh antara satu hingga dua minggu dan sekiranya ia melebihi tempoh berkenaan, disaran mendapatkan nasihat doktor.

Manakala lelaki dewasa yang disahkan berpenyakit kronik seperti diabetes, selalunya mengambil masa lebih lama untuk pulih berbanding lelaki sihat.

Menurutnya, berkhatan tanpa melakukan kaedah antiseptik boleh mengakibatkan jangkitan kuman pada luka seterusnya melarat.

Katanya, ia boleh merosakkan kulit di seluruh bahagian kelamin hingga menyebabkan jangkitan kuman dalam darah yang membawa maut jika tidak dirawat segera.

Jelasnya, ia juga boleh dikaitkan dengan pesanan orang tua mengatakan, ‘bentan’ merujuk kepada bengkak dan sakit berterusan.

“Dari sudut perubatan, bentan adalah kawasan luka akibat berkhatan yang mengalami jangkitan kuman dan bernanah.

“Untuk mengelakkan risiko ini, selalunya kakitangan perubatan menitikberatkan kaedah antiseptik dan pemberian ubat antibiotik.

“Justeru, dalam fasa pemulihan kebersihan alat kelamin sangat penting dan penjagaannya bergantung kepada kaedah khatan yang dilakukan sama ada berjahit atau menggunakan ‘alat klamp’.

“Berkhatan menggunakan kaedah berjahit lebih sukar dibersihkan kerana jahitan itu tidak boleh terkena air. Berbeza pula ‘alat klamp’ kerana bahagian luka terlindung di bawah plastik alat berkenaan dan ia lebih mudah,” jelasnya.

Ambil diet seimbang

Berkongsi tip kesihatan dan penjagaan selepas berkhatan, Dr Norman menyarankan pengambilan diet seimbang seperti sayuran, buahan dan makanan berprotein tinggi.

Makanan berprotein tinggi termasuk telur, daging, ayam, ikan, makanan laut dan kekacang sangat baik dalam membantu mempercepatkan proses pemulihan luka.

Namun, penting mengelakkan pengambilan makanan proses dan bergula tinggi kerana mengganggu proses pemulihan luka berkhatan.

Bagi kanak-kanak mahupun lelaki dewasa yang mempunyai alahan makanan tertentu, pantang-larang perlu dipatuhi kerana ia boleh mengakibatkan kegatalan pada luka berkenaan.

Menyentuh kaedah berkhatan terkini, Dr Norman menyifatkan kaedah menggunakan alat klamp lebih disarankan kerana cepat, mudah, bersih, kurang pendarahan mahupun risiko jangkitan kuman.

Jelasnya, penggunaan alat klamp lebih praktikal kepada kanak-kanak kerana mereka boleh memakai seluar selepas berkhatan dan membersihkan diri sama ada mandi mahupun beristinjak tanpa kesakitan.

“Ada juga kaedah berkhatan dengan alat ‘stapler’ yang berfungsi memudahkan proses menjahit luka tetapi ia mahal dan lebih sesuai buat lelaki dewasa.

“Selalunya kaedah ini lebih dikenali sebagai sunat laser, meskipun ia sebenarnya menggunakan ‘kauteri’ (besi panas) sebagai alat pembedahan.

“Kauteri boleh memotong kulit dengan cepat dan tiada pendarahan namun kaedah ini masih memerlukan jahitan pada luka berkenaan.

“Risikonya kaedah ini, jika tidak berhati-hati, ia boleh mengakibatkan bahagian glans penis (kepala zakar) terpotong secara tidak sengaja,” jelasnya.

Merujuk beberapa kes kesilapan berkhatan seperti terpotong kepala zakar dilaporkan, Perunding Klinikal Andrologi, Dr Mohd Ismail Tambi berkata, risiko boleh terjadi ketika proses pembedahan atau memotong kulit penghujung zakar sama ada menggunakan pisau, gunting atau ‘kauteri’.

“Hanya kaedah berkhatan yang tidak memerlukan pemotongan boleh dikatakan selamat daripada risiko ini.

“Sekiranya hal ini terjadi, bahagian hujung zakar yang terpotong perlu dicantumkan semula namun ia tidak akan menjadi seperti keadaan asal kerana adanya parut.

“Pembedahan plastik perlu dilakukan apabila bahagian terpotong yang cuba dicantumkan tidak bercantum semula. Selalunya, tisu lembut dari bahagian kerandut digunakan bagi tujuan pencantuman itu,” jelasnya.

Wujud persoalan sama ada kes seperti ini akan memberi kesan jangka panjang kepada individu terbabit, Dr Mohd Ismail mengakui keadaan zakar kelihatan ‘cacat’.

Katanya, segelintir lelaki tidak dapat menerima kemungkinan ini malah takut menghadapi situasi dalam alam rumah tangga.

Justeru, individu berkenaan perlu menerima bimbingan, motivasi dan melakukan proses rehabilitasi anggota kelaminnya supaya kembali positif.

Share this

0 Comment to "ELAK BENTAN SELEPAS BERSUNAT"

Catat Ulasan