4/08/16

PANDUAN PENGURUSAN URI BAYI SECARA ISLAM


    Tidak ada aturan dalam syariah Islam tentang cara tanam uri bayi. Kepercayaan bahawa uri mesti diuruskan dengan cara tertentu kerana memberi pengaruh kepada bayi, hanyalah kepercayaan kosong yang tidak ada dasarnya dalam syariah. Oleh itu, jangan sampai iman gugur hanya kerana kepercayaan salah tentang uri bayi.
      Uri orang-orang Islam adalah suci. Dengan itu, ia tidak boleh dibakar atau dijual. Mana-mana orang Islam yang melahirkan di hospital dikehendaki membawa balik uri untuk ditanam di tempat masing-masing.
        Uri merupakan sebahagian 'barang' yang lahir. Jadi, apabila tidak dikehendaki,digalakkan supaya dipelihara dan dijaga dengan baik. Bila ia mempunyai darah, ia ibarat najis dan seelok-eloknya dibasuh bersih bagi menghilangkan darah yang ada padanya dan ditanam supaya tidak kotor dan berbau busuk yang mungkin akan menimbulkan masalah kepada orang lain.
          Sebaik-baiknya uri ditanam bagi mengelakkannya menjadi makanan haiwan. Dalam pada itu, ia sama sekali tidak boleh dijadikan bahan di dalam pembuatan kosmetik.
            Pada masa kini terdapat pelbagai mitos mengenai cara penanaman uri. Misalnya, uri harus ditanam bersama benda-benda asing seperti garam,asam gelugur,paku dan sebagainya. Ia merupakan satu kepercayaan yang salah. Islam tidak mewajibkan uri ditanam dengan bahan-bahan tersebut. Cukup sekadar dibersihkan sahaja dan ditanam dengan baik.
              Begitu juga kepercayaan kononnya penanaman uri ditempat tertentu. Misalnya uri anak perempuan ditanam dihalaman rumah kononnya mempercepatkan jodoh adalah tidak benar sama sekali. Perkara jodohbukan ditentukan kerana uri tetapi ia merupakan kehendak Allah. Sepatutnya kepercayaan seperti ini tidak berlaku dan ia boleh dianggap khurafat.


              Share this

              0 Comment to "PANDUAN PENGURUSAN URI BAYI SECARA ISLAM"

              Catat Ulasan