8/06/16

TAHUKAH ANDA TAHAP KOMPLIKASI DEMAM CAMPAK


Lazimnya penghidap demam campak atau ‘chicken pox’ mengambil masa satu hingga dua minggu untuk pulih. Ia membabitkan manifestasi ruam pada kulit tanpa komplikasi lain. Kebanyakan pesakit akan sembuh selepas jangka masa berkenaan.

Demam campak adalah jangkitan virus Varicella Zooster. Virus itu merebak melalui titisan udara dan senang menjangkiti individu lain terutama jika mereka berada terlalu hampir dengan pesakit.

Bercakap, batuk dan terbersin boleh menyebabkan virus ini tersebar. Selepas ruam kering dan tertanggal, ia tidak lagi menjangkiti individu lain.

Beberapa komplikasi boleh berlaku jika seseorang itu dijangkiti campak. Ia tidak sahaja membabitkan menifestasi kulit, virus ini juga boleh merebak ke organ lain seperti paru-paru, otak berserta selaputnya, saraf dan jangkitan kulit.

Virus itu boleh dipindahkan daripada ibu kepada kandungannya dan mengakibatkan komplikasi pada janin terutama jika ibu hamil dijangkiti pada enam bulan pertama kehamilan.

Komplikasi itu jarang berlaku tetapi mudah terjadi kepada mereka yang mempunyai daya imunisasi rendah. Jangkitan kepada paru-paru disebabkan kuman merebak ke organ berkenaan. Pesakit akan mengalami simptom batuk berkahak, demam berterusan, sesak nafas dan ada kalanya batuk berdarah.

Virus ini juga boleh merebak serta menyebabkan masalah pada otak juga selaput otak pesakit. Simptom seperti sakit kepala, muntah, demam berterusan, sawan, perubahan sifat dan juga emosi dan gangguan kawalan anggota badan serta kejang.

Simptom itu memberi gambaran jangkitan virus merebak ke organ terbabit. Selepas selesai jangkitan chicken pox ada kalanya virus bersembunyi dalam lapisan atau salut saraf pesakit.

Beberapa tahun kemudian ia diaktifkan semula menyebabkan ruam pada laluan saraf tertentu. Keadaan ini dipanggil kayap. Kayap menyebabkan rasa sakit dan pedih pada kawasan ruam yang membabitkan saraf tertentu.

Biasanya, jangkitan kuman pada kulit berlaku pada ruam yang pecah. Ruam ini senang dijangkiti oleh bakteria lain yang ada pada permukaan kulit. Ini terjadi terutama pada mereka yang tidak menjaga kesihatan kulit dengan baik.

Contohnya tidak kerap membersihkan atau basuh bahagian kulit itu. Pesakit digalakkan mandi seperti biasa untuk mengelakkan jangkitan ini. Adalah penting mengenal pasti simptom bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

Bagi mereka yang dijangkiti campak, ada rawatan menggunakan antivirus untuk melawan virus Varicella Zooste. Penggunaan antivirus ini pada peringkat awal jangkitan dapat mengurangkan risiko komplikasi akibat demam campak.

Share this

0 Comment to "TAHUKAH ANDA TAHAP KOMPLIKASI DEMAM CAMPAK"

Catat Ulasan