20/04/16

TIDAK PERLU `SUPLEMEN` JIKA BADAN SIHAT


ORANG ramai yang mempunyai tahap kesihatan yang baik tidak digalakkan mengambil makanan tambahan atau suplemen, kata pakar pemakanan.

Pensyarah Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan Prof Madya Dr Hamid Jan Jan Mohamed menegaskan bahawa pengambilan makanan tambahan hanya perlu untuk golongan ibu hamil, ibu menyusukan bayi, individu berdiet (kerana makan terlalu sedikit dan perlukan lebih tenaga) serta warga tua yang uzur.

Beliau menasihatkan orang ramai yang ingin mengambil makanan tambahan atau yang merasakan perlu berbuat demikian merujuk serta mendapatkan nasihat pakar pemakanan dan doktor terlebih dahulu.

Tidak dinafikan wujud kesedaran di kalangan rakyat Malaysia mengenai keperluan makanan tambahan, malah ada yang mengamalkannya sebagai rutin harian, namun kata beliau, seseorang yang makan mengikut piramid makanan dan sentiasa bergerak aktif sepatutnya tidak memerlukan makanan tambahan, kecuali kemungkinan vitamin D sahaja yang jarang ada dalam makanan harian.

"Ada kalangan ibu bapa berkemampuan yang memberikan anak-anak mereka vitamin... sedar atau tidak tindakan mereka itu boleh menyebabkan anak-anak tidak gemar untuk makan sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Kanak-kanak akan beranggapan vitamin yang diambil sudah mencukupi, maka mereka tidak perlu makan sayur atau buah," katanya ketika ditemui Bernama pada forum 'Amalan Rawatan Asas pada Abad ke-21' anjuran Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) Selangor baru-baru ini.


BAHAN KIMIA

Beliau berkata terdapat banyak kajian yang menunjukkan pengambilan makanan tambahan tidak berkesan kerana ia terhasil daripada bahan kimia sintetik yang menyerupai sesuatu vitamin berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Hamid Jan berkata vitamin dalam bentuk sintetik bukanlah kandungan yang diperoleh secara semula jadi malah kandungan zatnya tidak menyeluruh berbanding sumber makanan asli.

"Kita sering melihat individu mengambil vitamin C untuk mengelakkan virus selesema tetapi secara logiknya berapa banyak buah oren yang perlu diekstrak bagi menghasilkan sebiji vitamin.

"Ia berbeza apabila kita makan sebiji oren yang bukan sahaja mengandungi vitamin C malah pelbagai nutrisi lain," katanya ketika ditemui selepas membentangkan kertas kerja bertajuk "Makanan Tambahan dan Vitamin Dalam Amalan Harian" pada forum itu.

Justeru, beliau menyarankan agar masyarakat mengambil makanan secara semula jadi kerana produk-produk yang diproses terdiri daripada struktur khasiat yang amat berbeza.

Dr Hamid Jan berkata kepelbagaian dalam penyediaan makanan sihat boleh membantu tubuh seseorang mendapat kesemua nutrien yang mencukupi dan kaedah ini amat penting bagi mengelakkan kebergantungan terhadap pengambilan vitamin serta makanan tambahan.

"Namun amat mengecewakan kerana rata-rata rakyat Malaysia didapati kurang mengamalkan pemakanan daripada kumpulan makanan sayur-sayuran dan buah-buahan khususnya dalam menu harian mereka," katanya.

Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran secara seimbang pula akan membuatkan seseorang itu berasa kenyang kerana kedua-duanya mempunyai kandungan fiber yang boleh diserap tubuh manusia.

Malangnya, kata beliau, rakyat Malaysia lebih gemar mengambil kumpulan makanan yang kaya karbohidrat, lemak dan protein, di mana ketiga-tiga kumpulan makanan tersebut adalah sumber tenaga utama, namun boleh mengundang masalah obesiti dan kegemukan.


ILMU DIET

Dr Hamid Jan berkata sering kali individu yang mengalami masalah berat badan berlebihan akan mengamalkan diet namun ada antara mereka berdiet tanpa ilmu dan hanya bergantung kepada maklumat di Internet semata-mata.

Mengulas lanjut, beliau berkata adalah lebih baik jika individu berkenaan mendapatkan panduan dan nasihat pakar-pakar dietetik tentang cara mengamalkan diet dengan betul dan berdisiplin.

Berdiet tanpa bersenam tidak membawa apa-apa makna kerana amalan diet perlu seiring dengan latihan senaman yang teratur dan konsisten.

"Adalah lebih baik jika penurunan berat badan berlaku secara perlahan-lahan kerana jika turun mendadak, tidak mustahil juga ia akan naik dengan cepat.

"Berdiet dengan 'skip' untuk tidak makan adalah salah dan tidak digalakkan kerana makanan perlu untuk tenaga, namun hendaklah menjaga jumlah kalori setiap yang dimakan.

"Ada individu yang kononnya berdiet dan tidak mahu makan sepinggan nasi sebaliknya individu sama makan lima biji karipap sedangkan jumlah kalorinya adalah lebih tinggi," katanya, dan menambah kata bahawa keperluan tenaga setiap individu adalah berbeza bergantung kepada aktiviti fizikal harian masing-masing.

Jika ingin memiliki tubuh yang langsing dan sihat, kata beliau, makanan dengan kandungan nutrien yang cukup dan seimbang amat penting dalam diet harian.

Dr Hamid Jan berkata setiap hidangan bukan sahaja perlu mempunyai karbohidrat, vitamin, protein dan lemak, malah hendaklah divariasikan serta diambil mengikut kuantiti yang diperlukan tubuh masimg-masing.

BUDAYA SIHAT

Sehubungan itu, beliau berkata institusi kekeluargaan perlu mewujudkan gaya hidup sihat dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menyihatkan tubuh badan.

Dr Hamid Jan berkata ibu bapa yang sentiasa menjaga kesihatan dan mengawal pemakanan, sekali gus akan mendidik anak-anak supaya menjalani kehidupan secara sihat.

"Jika ibu bapa sentiasa bersenam, anak-anak juga akan rajin bersenam, begitu juga amalan-amalan lain, akan menjadi contoh kepada anak-anak, jadi perlu ada kerjasama antara ibu bapa dan anak-anak.

"Selain itu, punca penyakit bukan hanya disebabkan pengambilan makanan tidak seimbang tetapi boleh berlaku atas faktor masalah tekanan di tempat kerja dan tidak mendapat tidur yang cukup," katanya.

Beliau berkata bagi menikmati kehidupan yang sihat, setiap individu perlu tahu menjaga kesihatan tubuh badan demi kesejahteraan diri, keluarga dan negara.

Share this

0 Comment to "TIDAK PERLU `SUPLEMEN` JIKA BADAN SIHAT"

Catat Ulasan