18/06/15

UTAMAKAN KESELAMATAN ANAK ANDA KETIKA BERADA DI DALAM KENDERAAN


Di Malaysia, kesedaran mengenai kepentingan penggunaan tempat duduk bayi dan kanak-kanak kecil di dalam kereta masih berada pada tahap rendah.

Apabila memandu, kita sering melihat anak kecil melompat-lompat atau memanjat kerusi belakang kenderaan.

Bayangkan apa yang berlaku sekiranya secara tiba-tiba berlaku kemalangan? Jika kanak-kanak atau bayi itu tidak tercampak keluar sekali pun, pasti tercedera terjatuh atau terhentak kepala di dalam kenderaan.

Sikap terlalu mengambil mudah perkara yang serius dalam kalangan ibu bapa di negara ini terhadap keselamatan anak masing-masing mengundang malapetaka sekiranya berlaku kemalangan ataupun kejadian brek mengejut.

Antara alasan ibu bapa tidak meletakkan anak mereka di tempat duduk khas kerana anak mereka enggan dan akan menangis sekiranya diarah berbuat demikian.

Lalu, mereka lebih rela melihat anak mereka melompat kegembiraan di dalam kereta atau mungkin ‘terlompat’ keluar dari kenderaan daripada mendisiplinkan anak untuk duduk di kerusi khas kanak-kanak.

Sekiranya dilatih dari kecil, anak tidak akan membantah dan melakukannya dengan rela, duduk sendiri di dalam kerusi tanpa banyak kerenah.

Apa yang penting, bayi dan kanak-kanak kecil mendapat perlindungan sewajarnya ketika duduk di dalam kenderaan bergerak dan tidak terdedah kepada kecederaan sekiranya kenderaan terpaksa dihentikan secara mengejut ataupun berlaku kemalangan kecil.

Berita kanak-kanak atau bayi tercampak keluar dari kenderaan bukan sesuatu yang asing dan jika diperhatikan, ia juga banyak berlaku di negara ini.

Seringkali kita terbaca di akhbar mengenai kes bayi tercampak keluar dari kenderaan apabila berlaku kemalangan disebabkan mereka tidak diletakkan di tempat duduk khas, sebaliknya didukung oleh ibu atau ahli keluarga lain ketika berada di dalam kenderaan bergerak.

Ini amat berbeza dengan peraturan jalan raya yang ketat di Eropah yang mensyaratkan ibu bapa meletakkan anak mereka di tempat duduk khas atau berdepan dengan tindakan undang-undang kerana lalai melindungi keselamatan anak masing-masing.

Di Jerman misalnya, kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan berketinggian kurang 1.5 meter wajib diletakkan di tempat duduk khas, sama ada kerusi bayi atau ‘booster’ iaitu tempat duduk kanak-kanak yang memberi perlindungan daripada hentakan tepi.

Kanak-kanak juga dilarang duduk di tempat duduk penumpang hadapan tanpa menggunakan kerusi khas yang termaktub dalam undang-undang di negara itu.

Di Perancis pula, kanak-kanak di bawah usia 10 tahun tidak dibenarkan duduk di bahagian hadapan ketika kenderaan bergerak kecuali bayi berusia bawah sembilan bulan dengan berat kurang sembilan kilogram dan diletakkan dalam kerusi yang menghadap ke belakang.

Di negara itu, semua kanak-kanak di bawah usia 10 tahun serta kanak-kanak kecil perlu duduk di tempat duduk khas.

Di Sepanyol pula, kanak-kanak berusia bawah tiga tahun wajib diletakkan di tempat duduk khas, begitu juga kanak-kanak berusia sehingga 12 tahun, perlu mempunyai perlindungan ketika menaiki kenderaan.

Di Itali, kanak-kanak berusia bawah tiga tahun tidak dibenarkan menaiki kenderaan sekiranya mereka tidak duduk di kerusi khas kanak-kanak.

Begitu juga dengan kanak-kanak berusia antara empat hingga 12 tahun tidak boleh duduk di kerusi penumpang melainkan duduk di kerusi khas ataupun menggunakan tai pinggang keledar dewasa yang ada dalam kenderaan.

Biarpun peraturan sedikit berbeza antara negara Eropah, apa yang pasti setiap kanak-kanak sehingga usia 12 tahun, wajib diletakkan di tempat duduk khas ataupun bagi kanak-kanak yang sudah besar sedikit, mereka boleh menggunakan tali pinggang dewasa.

Peraturan jalan raya yang dikuatkuasakan itu bukan bertujuan menyusahkan pemandu, namun ia digubal kerana mahu melindungi keselamatan kanak-kanak ketika kenderaan bergerak supaya mereka tidak menjadi antara statistik kemalangan.

Kerusi duduk bayi di dalam kenderaan juga perlu dipilih sesuai dengan usia dan berat kanak-kanak bagi memberi perlindungan maksimum, bukan sekadar meng­gunakan apa yang ada atau pemberian orang lain.

Setiap kerusi bayi mempunyai peranan dan fungsi berbeza mengikut tahap umur, berat dan ketinggian.

Bagi bayi dengan berat sehingga sembilan kilogram yang berusia di bawah setahun, mereka perlu meng­gunakan kerusi bayi yang menghadap ke belakang tempat duduk di bahagian belakang kenderaan.

Bagi kanak-kanak yang memiliki berat antara sembilan kg hingga 18kg dan melebihi usia setahun, mereka perlu duduk di tempat duduk khas yang menghadap ke hadapan dalam kenderaan.

Kanak-kanak prasekolah yang memiliki berat antara sembilan kg hingga 36kg, tetapi mempunyai ketinggian kurang 1.4m, perlu menggunakan tempat duduk ‘booster’ sehingga usia mereka mencecah lapan tahun, manakala semua kanak-kanak di bawah usia 13 tahun perlu diletakkan di tempat duduk belakang kenderaan.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Malaysia (Maconas) Datuk Amarjit Singh Gill, pihaknya menyarankan supaya kerajaan di negara ini memperkenalkan undang-undang yang mewajibkan penggunaan tempat khas duduk bayi dan kanak-kanak dalam kenderaan demi keselamatan mereka dan mengelak kejadian tidak diingini.

Beliau berkata, ibu bapa perlu diberi peringatan supaya kanak-kanak kecil dan bayi diletakkan di tempat duduk khas yang sesuai dengan mereka di dalam kenderaan.

“Ini sesuatu yang amat penting dan perlu diwajibkan supaya banyak nyawa dapat diselamatkan dan kanak-kanak dilindungi ketika berada dalam kenderaan bergerak.

“Dalam satu kes kemalangan baru-baru ini membabitkan seorang bayi berusia tujuh bulan yang maut apabila tercampak keluar daripada kenderaan yang kemalangan, mungkin jika bayi itu diletakkan di tempat duduk khas dengan perlindungan secukupnya, dia boleh diselamatkan dan tidak tercampak keluar,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut Amarjit, ribuan kenderaan bergerak di jalan raya setiap hari dan membawa bayi serta kanak-kanak kecil yang terdedah kepada risiko kemalangan apabila tidak ditempatkan di tempat duduk khas.

Katanya, ada pula ibu bapa yang meriba anak mereka ketika membawa kenderaan yang jelas membahayakan diri kanak-kanak itu.

“Keadaan itu bukan saja membahayakan kanak-kanak itu, tetapi juga penumpang lain dalam kenderaan sekiranya berlaku sebarang situasi buruk.

“Menurut kajian yang dijalankan, tempat duduk khas bayi boleh merendahkan risiko kematian sehingga 71 peratus bagi bayi dan 54 peratus bagi kanak-kanak berusia antara satu hingga lima tahun.

“Jika kita mahu serius mengenai keselamatan jalan raya, kita juga perlu serius mengenai langkah berjaga-jaga yang perlu diambil bagi memastikan keselamatan mereka yang berada di dalam kenderaan,” katanya yang juga seorang peguam.

Amarjit berkata, pihak berkuasa juga perlu menguatkuasakan peraturan bagi penggunaan tali pinggang pengguna kenderaan.

Katanya, tidak guna sekiranya mempunyai peraturan semata-mata, tetapi tidak menguatkuasakannya kerana ia akan mensia-siakan semua usaha dilakukan bagi meningkat­kan keselamatan pengguna jalan raya.

“Perkara ini sangat penting apatah lagi ketika musim perayaan atau cuti am yang panjang apabila ramai berpusu-pusu balik kampuung. Penguatkuasaan ini perlu diperbaiki untuk kesejateraan semua pengguna jalan raya,” katanya.

Share this

0 Comment to "UTAMAKAN KESELAMATAN ANAK ANDA KETIKA BERADA DI DALAM KENDERAAN"

Catat Ulasan