9/02/15

TIPS HINDARI BAU "CAGU" DI KAKI


RAMAI antara kita, tidak kira sama ada lelaki atau perempuan sering kali berdepan masalah bau kaki. Masalah ini sinonim dengan semua golongan tidak kira sama ada mereka yang aktif bersukan atau kuat berkerja.

Bau kaki boleh meruntuhkan tembok keyakinan seseorang. Tambah pula apabila bau kaki tersebar semasa seseorang itu membuka kasut ketika berada dalam kawasan tertutup.

Adapun masalah itu berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Kajian perubatan mendapati lebih banyak kelenjar peluh di bahagian kaki berbanding anggota badan yang lain. Ini menerangkan siapa sahaja akan mengalami kaki berpeluh tidak kira di mana dan bila-bila masa.

Bagi golongan remaja dan wanita hamil, kekerapan kaki mereka berpeluh adalah lebih tinggi ekoran perubahan hormon dalam badan yang mengakibatkan badan berpeluh dengan lebih banyak.

Seseorang itu juga cenderung mengalami kaki berpeluh jika kerap berdiri sepanjang hari, berdepan tekanan di pejabat atau mengalami masalah kesihatan yang dipanggil ‘hiperhidrosis’ iaitu keadaan berpeluh secara luar biasa.

Apabila peluh bercampur dengan bakteria yang terdapat pada kulit kaki, maka terhasil bau kaki yang busuk. Ditambah pula apabila kaki yang berpeluh dipakaikan pada stokin dan kasut yang lembap, bau kaki lebih kronik akan terhasil.

Namun begitu, masalah bau kaki ada penyelesaiannya. Ruangan kesihatan berkongsikan tip mudah dan cepat untuk mengelak serta menghapuskan masalah bau kaki.


Air garam bercampur asam jawa
Ini merupakan cara tradisional yang terbukti menghapuskan bau kaki. Caranya adalah dengan memasukkan air bersih ke dalam besen dan kemudian campurkannya dengan dua sudu garam dan satu genggam asam jawa. Gaulkan campuran tadi dan kemudian rendamkan kaki anda ke dalamnya selama satu jam. Ketika rendamkan kaki, bolehlah gosokkan asam jawa ke seluruh bahagian kaki termasuk di kawasan kuku. Cara ini membantu dalam menanggalkan sel-sel kulit mati dan yang paling penting menghilangkan bau kaki.


Soda bikarbonat
Ramai beranggapan bahawa soda bikarbonat hanya digunakan untuk menghasilkan makanan. Namun, sebenarnya bahan tersebut amat berkesan dalam menghapuskan bau kaki. Ia dapat membunuh bakteria pada kulit yang menjadi faktor terhasilnya bau kaki. Masukkan soda bikarbonat ke dalam besen berisi air suam dan kemudian rendamkan kaki selama 15 minit. Lakukannya sebanyak dua atau tiga kali seminggu.


Keringkan kaki selepas mandi
Adalah amat penting untuk memastikan kaki kita dalam keadaan kering sepenuhnya selepas mandi. Ini bagi memastikan bakteria tidak berada pada kulit kaki sebelum stokin dan kasut disarungkan. Pada masa sama, disaran menggunakan bedak kaki antibakteria sebelum menyarungkan stokin. Cara ini akan membuatkan kaki anda berasa segar dan untuk mengelakkan daripada bau yang tidak diingini.


Kuku dipotong pendek dan bersih
Sudah pasti memotong kuku kaki menjadi rutin penting untuk memastikan kuku kaki berada dalam keadaan kemas. Amalan ini juga amat penting untuk mengelakkan daripada berlakunya bau kaki. Ini adalah kerana bahagian kuku kaki yang tidak dipotong menyimpan banyak kotoran dan bakteria. Selain kekemasan, kebersihan kuku juga perlu dijaga. Ini termasuklah mencuci kuku dengan pembersih khas yang boleh didapati di farmasi.


Guna stokin bersesuaian
Penggunaan stokin yang bersesuaian dan mempunyai material yang dapat menyerap peluh amat penting bagi memastikan kaki dapat bernafas. Pastikan juga stokin sentiasa ditukar dan elakkan amalan menggunakan stokin sama untuk tempoh masa panjang.

Share this

0 Comment to "TIPS HINDARI BAU "CAGU" DI KAKI"

Catat Ulasan