Memaparkan catatan dengan label PANDUAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PANDUAN. Papar semua catatan

22/07/16

DIAGNOSIS SEGERA JIKA BUASIR ATAU SEMBELIT ANDA BERTERUSAN


Meskipun beribu rakyat Malaysia tidak menyedarinya, mereka sebenarnya mempunyai persamaan dengan beberapa pelakon terkenal Hollywood, seperti George Clooney dan mendiang Marilyn Monroe, iaitu mengalami ketidakselesaan pada hemoroid.

Ketidakselesaan pada hemoroid atau bahasa mudahnya, buasir, merupakan masalah biasa masyarakat moden kini.

Keadaan ini berlaku kepada orang yang kerap mengalami keadaan sembelit atau kesusahan membuang air besar.

Buasir merupakan komponen normal dalam anatomi manusia, iaitu kusyen vaskular yang bertindak sebagai penghadang setiap kali membuang air besar dan akan menutup dubur secara menyeluruh dengan lembut bagi mengelakkan kebocoran najis atau cecair.

Menurut Pakar Bedah Am, Hospital Pantai Kelang, Dr. Lam Yeaw Fah, masalah timbul apabila kusyen vaskular menjadi bengkak akibat tekanan yang diberikan pada rektum berikutan aktiviti meneran.

Keadaan ini akan mengakibatkan pesakit berasa kurang selesa.

Terdapat dua jenis buasir, iaitu buasir dalaman yang berlaku pada saluran dubur, manakala buasir luaran boleh dilihat dan dirasai.

“Ironinya, gejala buasir seringkali berlaku apabila pesakit pulang dari bercuti kerana ketika tempoh itu mereka lazimnya mengabaikan pengambilan serat dan air putih yang mencukupi dalam diet makanan.

“Mereka juga mengambil peluang tersebut untuk mencuba pelbagai jenis makanan di negara orang.

“Pada amnya, seseorang yang mengalami buasir buat pertama kali akan berasa takut dan panik apabila melihat najis berdarah atau kadangkala darah menitik dalam mangkuk tanda. Proses membuang air besar akan menjadi tidak selesa dan mengerikan kerana menyebabkan rasa sakit,” katanya.

Dr. Yeaw Fah berkata, buasir boleh menyerang sesiapa saja, tidak kira usia dan jantina.

Ujarnya, simptom utama buasir adalah bengkak dan berlaku pendarahan dari dubur ketika membuang air besar. Jika simptom berpanjangan, boleh menyebabkan rasa sakit, berlaku pengeluaran lendir dan kecacatan kosmetik.

Faktor yang menyebabkan buasir masih tidak jelas dan berbeza mengikut pesakit. Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa keadaan ini berpunca daripada sembelit berpanjangan, meneran ketika membuang air besar, peningkatan tekanan intra-abdomen yang disebabkan oleh kehamilan dan batuk kronik.

“Meskipun ramai pesakit yang menghidapnya, masalah ini boleh dirawat dengan adanya pelbagai pilihan rawatan yang berkesan. Bergantung kepada tahap keseriusan buasir mereka, dalam kebanyakan kes, pesakit boleh dirawat tanpa perlu dimasukkan ke hospital,” katanya.

Ujar Dr. Yeaw Fah, sebelum rawatan dimulakan, doktor terlebih dahulu perlu mengambil sejarah gejala pesakit, tempoh buasir dan apa-apa sahaja yang mungkin mempunyai kaitan dengan penyakit ini.

Pesakit kemudian diperiksa secara klinikal, bermula dengan pemeriksaan rektum digital, diikuti oleh proktoskopi untuk mengesahkan adanya masalah buasir.

“Memilih rawatan yang betul bergantung kepada keadaan penyakit. Bagi kes-kes yang lebih ringan, seperti pendarahan rektum, pesakit mungkin dinasihatkan untuk mengambil pelembut najis dan julap, di samping meningkatkan jumlah serat dalam diet mereka dan mengelakkan meneran terlalu banyak semasa buang air besar.

“Bagi pesakit yang memerlukan prosedur ligation iaitu dengan mengikat band getah pada buasir, mereka boleh terus pulang ke rumah selepas menjalani rawatan. Pilihan rawatan lain adalah terapi sclero, iaitu suntikan penyelesaian khas yang akan mengurangkan saiz buasir,” ujarnya.

Namun demikian jelasnya, bagi kes yang serius iaitu hemoroid tahap dua, tiga, dan empat, prosedur pembedahan merupakan pilihan terbaik buat pesakit.

“Sudah tentu pesakit perlu dimasukkan ke hospital dan prosedur yang dijalankan menggunakan bius, namun ternyata prosedur ini lebih berkesan dan potensi untuk penyakit berulang kembali adalah kurang,” kata Dr. Lam.

Bagaimanapun, Dr. Lam mengingatkan bukan semuanya kes pendarahan ketika membuang air besar adalah disebabkan buasir kerana tanda-tanda yang berlaku mungkin disebabkan oleh penyakit yang lain seperti kanser dubur atau kanser rektum.

“Disarankan, bagi mereka yang mempunyai masalah pendarahan ketika membuang air besar, seelok-eloknya berjumpa doktor bagi menentukan masalah sebenar bukan dengan melakukan diagnosis dan rawatan sendiri yang hanya mengakibatkan masalah yang lebih besar,” ujarnya.

11/07/16

KEBURUKAN MELIHAT GAJET ATAU TELEFON PINTAR KETIKA DALAM SUASANA GELAP


Rasanya hampir semua orang membelek telefon pintar masing-masing di atas katil sebelum melelapkan mata. Dalam suasana gelap, membaca puluhan mesej, berita atau apa juga dalam telefon sambil baring mengiring sudah menjadi tabiat yang sukar ditinggalkan.

Namun tahukah anda, ini adalah tabiat yang tidak baik kerana ia boleh menyebabkan sensasi penglihatan dan sering dianggap sebagai ‘kehilangan penglihatan sementara’ pada sebelah mata.

Doktor di United Kingdom melaporkan, kehilangan penglihatan sementara ini boleh berlaku pada individu yang suka membaca menerusi telefon pintar mereka sambil berbaring mengiring di dalam bilik gelap.

Selepas berhenti membaca dan mahu bangun untuk melakukan perkara lain, sebelah mata yang digunakan untuk merenung telefon pintar mungkin ‘tidak nampak’, kata pakar mata di Hospital Mata Moorfields di London, Dr Gordon Plant.

Menurut Dr Plant, berita baiknya, keadaan ini bersifat sementara hanya beberapa minit dan ia tidak akan menyebabkan kerosakan kekal.

Dalam satu laporan yang disiarkan dalam Jurnal Perubatan New England, pada 23 Jun lalu, Dr Plant menulis, ramai orang menyangka mereka mendapat serangan strok atau masalah kesihatan lain.

“Saya melihat banyak kes sebegini. Saya mahu orang tahu mengenai perkara ini kerana ia boleh menyebabkan rasa panik dan membuatkan seseorang itu mendapatkan pemeriksaan yang tidak perlu. Selain pesakit, doktor yang ditemui juga mungkin beranggapan ia serangan iskemia sementara (TIA) berdasarkan simptom berkenaan,” katanya.

TIA ialah keadaan apabila edaran darah di otak berhenti seketika dan ia petanda penting untuk serangan strok.

Bagaimanapun kehilangan penglihatan sementara ini sebenarnya adalah satu sensasi yang terhasil apabila mata cuba membuat penyesuaian dalam keadaan gelap, kata Dr Plant.

Untuk lebih mudah faham, cuba ingat perubahan penglihatan yang dirasakan gelap seketika apabila anda keluar ke tempat terang selepas berada dalam bilik yang sangat gelap beberapa ketika.

“Ramai yang melihat telefon bimbit sambil baring mengiring di dalam bilik gelap. Jika mereka baring mengiring di sebelah kiri, mata kiri akan terlindung oleh bantal dan mereka membaca teks di telefon menggunakan mata kanan. Jadi mata kiri akan cuba mengadaptasi dengan persekitaran gelap sedangkan mata kanan pula mengadaptasi dengan cahaya dari telefon pintar,” katanya.

Jadi, apabila telefon itu dipadamkan, mereka tidak boleh melihat dengan mata yang sudah mengadaptasi dengan keadaan bercahaya dan akan mengambil masa beberapa minit untuk mata ini membuat penyesuaian dengan keadaan gelap. Bagaimanapun, ketika proses penyesuaian ini, mereka masih boleh melihat dengan mata sebelah lagi. Inilah yang membuatkan mereka menyangka mata kanan hilang penglihatan.

Kertas laporan itu menampilkan dua kes kajian - seorang wanita berusia 22 tahun yang mengalami kehilangan penglihatan berulang pada mata kanannya selama beberapa bulan dan seorang wanita berumur 40 tahun yang mengadu kehilangan penglihatan pada sebelah matanya berlarutan sehingga 15 minit.

Kedua-dua wanita berkenaan menjalani pelbagai siri ujian dan pemeriksaan termasuk pengimejan resonans magnetik (MRI) dan ekokardiogram sebelum doktor boleh mengesahkan keadaan itu hanyalah penyesuaian yang dilakukan oleh mata kerana melihat di telefon bimbit dalam keadaan gelap sambil berbaring.

Menurut Dr Plant menerusi artikel yang disiarkan dalam portal HealthDay News, kesan yang dialami mata itu boleh disebabkan apa saja objek atau peralatan yang mengeluarkan cahaya terbang. Dia menambah, penyelesaian kepada perkara itu amat mudah iaitu memandang telefon bimbit dengan kedua-dua belah mata.

Dengan cara ini, kedua-dua mata akan membuat penyesuaian yang sama terhadap cahaya dan pendapat ini dipersetujui pakar mata lain.

Pakar mata di Mountain View California, Dr Rahul Khurana berkata, jika kita membaca teks di telefon pintar dengan kedua-dua belah mata, kita tidak akan mengalami keadaan ‘kehilangan penglihatan sementara’ yang menimbulkan kebimbangan kepada semua orang.

Katanya, maklumat ini akan membantu doktor supaya tidak menyarankan pesakit menjalani ujian imbasan otak atau ujian lain yang mahal. Sebaliknya, mereka boleh membuat siasatan sendiri dengan bertanya beberapa soalan kepada pesakit mengenai tabiat penggunaan telefon pintar.

“Ada banyak punca yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan sementara. Dan sering juga kita terlepas pandang pada punca yang biasa-biasa seperti adaptasi terhadap cahaya,” katanya.

4/07/16

KETAHUI APA ITU ENDEMIK HFMD DAN LANGKAH PENCEGAHANNYA


Hasil yang besar bermula daripada langkah yang kecil. Demikian juga dalam menangani penularan penyakit berjangkit berbahaya dan boleh menyebabkan maut.

Amalan mencuci tangan adalah satu langkah paling mudah yang boleh kita ambil untuk mengelakkan jangkitan penyakit menerusi penyebaran bakteria, virus dan parasit.

Ini kerana, tangan kita boleh menjadi tempat persembunyian pelbagai jenis mikroorganisma yang menjadi punca penyakit. Jangkitan merebak dari individu ke individu melalui tangan yang tidak dicuci bersih selepas menyentuh permukaan atau memegang peralatan yang tercemar dengan virus daripada batuk atau bersin pesakit.


Menerusi tangan, anggota badan ini cekap memindahkan bakteria dan virus berikutan selepas menyentuh muka terutama mata, hidung atau mulut, mikroorganisma terbabit terus sampai ke pintu masuk badan kita.

Antara penyakit yang tersebar melalui sentuhan seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Coronavirus (MERS-CoV), Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dan Demam Virus Influenza A (H1N1).

Sementara itu, HFMD yang kerap menyerang kanak-kanak adalah endemik di Malaysia dan berlaku sepanjang tahun serta mempunyai aliran kitaran dengan kemuncak setiap tiga tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penyakit ini disebabkan oleh beberapa jenis virus dan kebanyakannya adalah ringan ke sederhana, namun jangkitan dengan enterovirus 71 (EV71) boleh menjadi teruk dan seterusnya menyebabkan kematian.

Menurutnya, pada minggu epidimeologi ke-23 bagi tahun ini bermula 5 Jun hingg 11 Jun lalu, bilangan kes HFMD yang dilaporkan di seluruh negara ialah 1,379 kes iaitu peningkatan sebanyak 6.4 peratus berbanding minggu sebelumnya yang mencatat 1,296 kes.

“Trend peningkatan kes HFMD mula dikesan sejak minggu epidimeologi ke-17 pada 24 hingga 30 April lalu apabila 794 kes dicatatkan dan ia melepasi paras amaran yang ditetapkan berdasarkan jumlah kes HFMD pada tahun lalu iaitu 644 kes seminggu.

“Sehubungan itu, pihak kementerian sudahpun mengeluarkan surat Amaran Peningkatan Kes HFMD di Malaysia pada 9 Mei lalu kepada semua Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) supaya mempertingkatkan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mencegah dan mengawal penularannya.

“Pihak kementerian sentiasa membuat pemantauan bukan sahaja terhadap kejadian kes tetapi juga jenis virus yang berada dalam komuniti,” katanya.

Selangor menyumbangkan jumlah kes tertinggi sehingga kini berbanding negeri lain iaitu 4,441 kes atau 32.6 peratus. Tiga daerah di Selangor yang tinggi bilangan kes adalah Petaling yang mencatat 1,626 kes, Hulu Langat mencatat 1,172 kes dan Klang dengan 618 kes.

Diikuti Johor dengan 1,393 kes (10.2 peratus), Kuala Lumpur mencatat 1,317 kes (9.7 peratus), Sabah mencatat 1,299 kes (9.5 peratus). Sarawak mencatat 1,108 kes (8.1 peratus), Perak mencatat 892 kes (6.5 peratus) dan Melaka dengan 727 kes (5.3 peratus)

Pulau Pinang dengan 713 kes (5.2 peratus), Negeri Sembilan mencatat 522 kes (3.8 peratus), Pahang mencatat 345 kes (2.5 peratus) dan Kedah dengan 265 kes (1.9 peratus), manakala negeri lain melaporkan kurang daripada 200 kes.

Wabak HFMD ditakrifkan apabila ada dua atau lebih kes HFMD dengan gejalanya timbul dalam tempoh dua minggu di lokaliti yang sama.

Sehingga minggu epidiologi ke-23 tahun ini, Selangor mencatatkan bilangan kejadian wabak tertinggi dengan 135 wabak berbanding negeri lain, diikuti Sarawak (116 wabak), Kuala Lumpur (58 wabak) Johor (49 wabak), Melaka (39 wabak), Perak (26 wabak) dan Negeri Sembilan (20 wabak), manakala negeri lain kurang daripada 20 wabak.

Dr Noor Hisham berkata, HFMD disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti adalah disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV 71).

“Virus ini merebak secara sentuhan dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis mereka yang berpenyakit, manakala tempoh inkubasi adalah antara tiga hingga lima hari.

“Kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam, diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan perubatan dalam masa tujuh hingga 10 hari.

“Pesakit kanak-kanak juga boleh mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit-birit dan kurang selera makan. Jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis, tetapi ianya jarang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, penyakit ini cepat menular dengan kadar hampir 100 peratus dalam kalangan kanak-kanak berusia kurang 10 tahun terutama yang ditinggalkan di premis tempat tumpuan kanak-kanak seperti di taska atau tadika.

“Oleh itu, pihak kementerian menasihatkan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan supaya mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang digariskan.

“Pengusaha taska, tadika atau pusat jagaan kanak-kanak lain disarankan supaya mengambil langkah pencegahan ditetapkan. Di samping itu, saringan di pintu masuk perlu dilakukan bagi memastikan tiada tanda-tanda jangkitan HFMD sebelum kanak-kanak dibenarkan memasuki premis.

“Langkah pencegahan adalah penting bagi mengelakkan peningkatan kes pada tahun ini. Pihak kementerian sentiasa memantau kejadian penyakit HFMD di seluruh negara dan mengambil tindakan kawalan dan pencegahan,” katanya.

HFMD adalah penyakit berjangkit yang perlu dinotifikasi mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Pengamal Perubatan dan orang ramai boleh melaporkan kejadian kes HFMD di premis seperti taska, tadika atau sekolah ke Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran.

Langkah Pencegahan HFMD

1. Tidak membawa anak yang dijangkiti ke tempat awam seperti sekolah, taska, tadika atau pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan.

2. Membawa anak yang mempunyai tanda jangkitan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.

3. Mengamalkan kebersihan dengan mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, selepas menyentuh atau merawat lepuh dan semasa mencuci najis kanak-kanak yang dijangkiti.

4. Membersihkan dengan cara basmi kuman menggunakan larutan berasaskan klorin semua permainan kanak-kanak dan lantai rumah terutama tandas.

5. Memastikan pembuangan lampin pakai buang dibuat dengan betul.

6. Menggunakan peralatan makan dan minum yang berasingan dan tidak berkongsi barangan dengan kanak-kanak lain yang tidak dijangkiti.

16/06/16

TIDUR YANG CUKUP AMAT PENTING UNTUK KANAK-KANAK


TIDUR yang cukup amat penting untuk kanak-kanak dan remaja yang akan menghabiskan masa siang mereka dengan belajar dan melakukan aktiviti.

Tidur yang cukup juga mampu mengurangkan risiko penyakit kronik seperti hypertension, obesiti, diabetes dan masalah mental.

American Academy of Sleep Medicine mengesyorkan supaya rutin tidur yang cukup dimulakan untuk bayi berumur 4 bulan hingga 12 bulan, iaitu  tidur 12 hingga 16 jam sehari.

Kemudian, kanak-kanak berumur 1 hingga 2 tahun tidur secukupnya selama 11 hingga 14 jam. Kanak-kanak 3 hingga 5 tahun pula memerlukan 10 hingga 13 jam sehari. Menginjak umur 6 hingga 12 tahun, kanak-kanak mestilah tidur selama 9 hingga 12 jam sehari.

Di peringkat remaja, mereka yang berumur 12 hingga 18 tahun memerlukan tidur selama 8 jam hingga 10 jam.

"Tidur yang cukup amat penting untuk kesihatan, dan perlu dimulakan ketika kecil," kata Pakar.

Cadangan yang dikeluarkan oleh American Academy of Sleep Medicine terhasil dari 864 penyelidikan.

Secara asasnya, durasi tidur mempengaruhi kesihatan am, daya metabolisma, kesihatan mental, fungsi imun, pertumbuhan dan prestasi selepas tidur.

"Orang ramai perlu tahu betapa pentingnya tidur yang cukup.

"Ini adalah kali pertama kami melakukan penyelidikan yang banyak dan membuat kesimpulan dan membuat cadangan seperti yang tersebut,".

1/05/16

BAKAL IBU MASIH WAS WAS DENGAN PANTANG LARANG KETIKA HAMIL


Setiap pasangan yang berkahwin pasti mahukan cahaya mata sebagai pelengkap hidup. Waktu hamil adalah saat yang paling tidak dapat dilupakan oleh semua wanita.

Apatah lagi pertama kali bakal bergelar ibu, banyak perkara yang perlu dipelajari. Malah sesetengah ibu masih keliru dengan perkara yang boleh dilakukan atau tidak ketika hamil.

Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Colombia Asia, Petaling Jaya, menjelaskan, penting buat bakal ibu mempunyai ilmu mengenai kehamilan.

“Ibu yang hamil kali pertama disaran menghadiri kelas penjagaan kehamilan kerana ia penting sebagai langkah memantau kelancaran kehamilan serta pembesaran bayi dalam kandungan.

“Menghadiri kelas berkenaan, bakal ibu tahu mengenai perkara asas antaranya berat badan ideal ketika hamil, tekanan darah normal, makanan untuk ibu hamil, simptom awal kelahiran serta pengambilan makanan tambahan,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu baru-baru ini.

Menurut Nicholas, ibu yang hamil disaran berjumpa doktor mengikut usia kandungan. Misalnya kandungan berusia hingga 28 minggu disaran berjumpa doktor empat minggu sekali, 28 hingga 36 minggu dua minggu sekali manakala kandungan berusia 36 minggu ke atas pula setiap minggu.

“Bakal ibu hendaklah berjumpa doktor dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengetahui perkembangan bayi dalam kandungan seperti pergerakan, saiz bayi, kedudukan, keadaan jantung dan sebagainya.

“Waktu ini juga, apabila kandungan sudah mencapai tiga bulan ke atas, pasangan boleh membuat ujian imbasan janin bagi mengetahui jantina bayi,” katanya.

Selain itu, terdapat bakal ibu masih ragu dan sering disogok dengan mitos terhadap makanan yang boleh diambil dan tidak ketika hamil.

Mengulas mengenainya, Nicholas berkata, memang ada bakal ibu masih was-was dan sering bertanya mengenai pantang larang mengambil makanan ketika hamil.

“Antara yang sering didengar ialah mitos ibu hamil tidak boleh mengambil teh herba, barli, susu soya, makanan pedas, kopi serta teh. Perkara itu tidak benar sama sekali.

“Makanan yang dilarang seperti ginseng, alkohol, ubat-ubatan, susu yang tidak dipastur, makanan laut serta telur mentah.

Selain itu, ada juga yang masih bertanya mengenai seks ketika hamil sama ada dibenarkan atau tidak.
Menurutnya, seks boleh selagi ia tidak mendatangkan kesakitan, pendarahan atau air ketuban pecah, serta keguguran.

Jelas beliau, hubungan seksual sememangnya digalakkan bagi memudahkan bukaan ketika bersalin.
Persepsi ibu hamil tidak boleh melakukan perjalanan jauh juga harus diperbetulkan kerana ia boleh dengan syarat keadaan kesihatan mengizinkan.

26/01/16

KANSER OVARI PEMBUNUH SENYAP KAUM WANITA?


KANSER OVARI adalah pembunuh wanita secara senyap. Bukan sahaja salah satu kanser reproduktif wanita yang paling berbahaya dan sukar dirawat, ia juga sering lambat dikesan.

Sering disedari hanya bila tiba tahap yang tinggi iaitu tahap tiga dan empat, simptomnya yang tidak nyata membuatkan ia sukar dikesan.

Penyakit yang amat berbahaya ini merupakan punca kepada kebanyakan kematian daripada mana-mana kanser reproduktif yang lain.

Tidak seperti kanser-kanser reproduktif yang lain seperti kanser pangkal rahim yang sering diterangkan kepada umum, ramai yang tidak sedar akan kanser ovari.

Sedangkan, berdasarkan Pendaftaran Kanser Kebangsaan 2006 di Malaysia, kanser ovari merupakan kanser keempat paling banyak ditemui dalam kalangan wanita.

Menurut Konsultan Perubatan Onkologi Hospital Beacon, Dr. Azura Rozila Ahmad, penemuan pada tahap yang tinggi membuatkan ia sukar dirawati kerana ia telah merebak ke organ lain.

Kanser ovari sememangnya diagnosis yang menakutkan tetapi tahap kejayaan untuk pulih bergantung kepada tahap kanser yang ditemui.

Malangnya, kira-kira 70 peratus kanser ovari dikesan pada tahap yang tinggi bermaksud hanya dalam satu daripada lima ditemui di peringkat awal sedangkan 90 peratus kanser ovari di tahap satu boleh dirawat.

Simptom kanser ovari tidak jelas seperti perut buncit, perubahan cara pembuangan air besar, kurang nafsu makan, cepat kenyang dan rasa tidak selesa di bahagian perut.

“Simptom tersebut sering disalah erti sebagai masalah biasa membuatkan mereka tidak bertemu dengan pakar untuk mengadakan pemeriksaan terperinci,” terangnya ketika ditemui di Hospital Beacon, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Terang Dr. Azura, selain simptomnya yang tidak nyata, diagnosis kewujudan kanser ini menggunakan pengimejan ultra bunyi dan CT-Scan hanya dapat mengesahkan kewujudan ketum­buhan kerana ia terlalu jauh di dalam pelvis.

31/12/15

PANDUAN CEGAH KENCING KOTOR


Kekerapan membuang air kecil bukan sahaja dialami oleh wanita hamil malah wanita yang tidak hamil juga. Bagi bakal ibu, mereka akan berhadapan dengan kebiasaan membuang air kecil pada minggu keenam kehamilan hingga berakhirnya trimester pertama. Ada juga yang mengalaminya ketika kandungan memasuki usia 12 ke 14 minggu.

Sebenarnya semasa hamil kandungan darah bakal ibu akan meningkat dua liter lebih daripada biasa. Tambahan darah ini digunakan untuk pembesaran rahim. Ia juga berfungsi membantu organ tubuh untuk bekerja lebih kuat, menggalakkan pertumbuhan jaringan payudara dan gusi ibu serta mengangkut oksigen dan makanan ke janin. Peningkatan jumlah darah yang mendadak ini mengakibatkan cecair yang perlu ditapis ginjal (buah pinggang) dikeluarkan daripada tubuh dalam bentuk air kencing. Manakala peningkatan jumlah darah yang berlaku di bahagian pinggul menyebabkan kantung rahim menjadi penuh dan perlu dikosongkan sekerapnya.

Ginjal dan saluran air kencing membesar kerana peningkatan kadar hormon progesteron yang berlaku sebaik-baik sahaja janin berada dalam kandungan. Begitu juga dengan ukuran rahim yang semakin membesar sehingga mendesak pundi kencing yang berada di bawah rahim. Akibatnya, daya menahan di bahagian pundi kencing menjadi berkurangan sehingga ia perlu kerap dikosongkan. Begitu juga dengan diabetes kehamilan yang berlaku sepanjang kehamilan juga menggalakkan wanita hamil kerap membuang air kecil.

Cara Mengatasi
Kita boleh mengurangkan kekerapan ke tandas pada waktu malam dengan minum banyak air pada waktu siang dan hanya minum sedikit air menjelang malam. Elakkan minum minuman yang bersifat diuretik seperti kopi dan teh kerana minuman sebegini hanya akan membuatkan kita lebih kerap membuang air.

Banyakkan minum air di siang hari dan kurangkan pengambilannya pada sebelah malam. Pastikan jumlah air yang diambil mencukupi. Sekiranya kita perlu berulang ke tandas, ia hanya akan dilakukan di siang hari dan bukannya pada sebelah malam sehingga mengganggu tidur. Pastikan pundi kencing kita benar-benar kosong setiap kali membuang air kecil.

Pastikan kita membuang air kecil sebelum pergi atau pulang dari tempat kerja agar kita tidak perlu bersusah payah mencari tandas ketika dalam perjalanan pergi dan balik.

Berhati-hati sewaktu membuang air kecil. Sekiranya kita merasakan seakan-akan terbakar pada alat sulit, ia merupakan tanda berlakunya jangkitan kuman pada saluran pundi kencing yang kerap berlaku kepada wanita hamil. Segera dapatkan nasihat daripada doktor jika mengalami masalah sedemikian.

Wanita hamil mudah mendapat kencing kotor atau jangkitan kuman.
Secara amnya, wanita lebih mudah menghidap penyakit kencing kotor berbanding lelaki kerana wanita mempunyai uretra (salur kencing) yang pendek dan berada berdekatan dengan dubur (anus). Wanita yang hamil pula mudah menghidap jangkitan kuman berbanding dengan wanita yang tidak hamil. Ini disebabkan perubahan hormon dalam wanita hamil.

Ketika hamil, tahap kandungan hormon yang tinggi menyebabkan kekuatan otot ureter dan pundi kencing bertambah lemah seterusnya menyebabkan ia merenggang dan melambatkan pengaliran air kencing. Pada masa yang sama, rahim yang membesar juga menekan ureter dari luar menyebabkan pergerakan air kencing bertambah tersekat.

Otot pada pundi kencing menjadi lemah dan tidak dapat mengempis dan mengeluarkan kesemua air kencing yang disimpannya. Ini memudahkan kuman yang berada di pundi kencing membiak. Malah air kencing wanita hamil lebih berasid dan lebih mengandungi gula (akibat perubahan hormon) seterusnya menyebabkan kuman bakteria lebih mudah membiak.

Oleh sebab faktor-faktor ini, wanita yang hamil mudah dijangkiti kencing kotor. Komplikasi kepada masalah ini ialah jangkitan kuman pada buah pinggang (dinamakan pyelonephritis). Ini ialah komplikasi yang serius semasa hamil. Jangkitan kuman itu boleh merebak ke seluruh peredaran darah dan boleh menyebabkan kematian.

Bayi yang dikandung juga mengalami kesan teruk jika ibu yang hamil mengalami komplikasi ini. Antaranya ialah risiko kelahiran awal dan bayi yang dilahirkan mempunyai berat badan yang rendah.
Jika ada tanda kuman di dalam air kencing, maka antibiotik harus diberikan walaupun ketika hamil. Antibiotik tertentu selamat dimakan dan tidak memberi kesan buruk kepada bayi yang dikandung. Antibiotik harus dihabiskan dan minum banyak air akan membantu mengeluarkan kuman yang terdapat dalam pundi atau air kencing.

*Larutkan satu sudu teh soda ke dalam air dan minum setiap enam jam sekali untuk menawarkan asid dalam air kencing serta mengurangkan gangguan pada pundi kencing.

*Jika berkesempatan ke farmasi dapatkan beberapa bungkus URAL iaitu effervescent granules yang mudah larut dalam air. Setiap sachet mengandungi Sodium Bcarbonate 1.76 gram dan mempunyai rasa lemon.

*Namun jika berlangsung selama tiga hari atau air kencing kelihatan berdarah atau demam yang teruk, dinasihatkan agar terus berjumpa doktor.

*Bagi wanita yang hamil, dinasihatkan berjumpa terus dengan doktor untuk mendapatkan rawatan antibiotik. Jangan membuang masa mencuba panduan di atas kerana bagi wanita hamil, kencing kotor mudah merebak ke buah pinggang.

*Minumlah air dengan banyak, sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas air sehari, sehingga air kencing menjadi jernih.

*Terus buang air kencing jika terasa untuk berbuat demikian. Menangguhkan membuang kencing akan menggalakan pembiakan bakteria dalam pundi kencing.

*Wanita hamil perlu menjaga kebersihan diri. Selepas membuang air kecil, biasakan mengelap dari depan ke belakang selepas ke tandas, untuk mengurangkan bakteria merebak dari kawasan dubur ke uretra.

*Wanita yang hamil digalakkan memakai pakaian dalam daripada kapas dan pakaian hendaklah longgar. Elakkan pakaian dalam yang ketat dan diperbuat daripada nilon.

*Walaupun hamil, aktiviti seks boleh dilakukan dengan suami. Namun dinasihatkan untuk membuang air kecil sebelum dan selepas melakukan hubungan seks.

*Tukar tuala wanita atau seluar dalam dengan lebih kerap jika telah kotor.

*Kurangkan makan makanan manis atau minum air yang mengandungi kafein.

*Pastikan mengambil Vitamin C (antara 250 - 500gm), Beta-carotene (25000 - 50000 IU) dan Zink (30 - 50mg) sehari untuk membantu melawan jangkitan kuman jika mendapati daya tahan tubuh lemah.

9/12/15

CEGAH KUMAN ELAK PENYAKIT

Sentiasa bersiap sedia untuk mencegah kuman demi keluarga yang lebih sihat

Kanak-kanak masa kini membesar dan terdedah kepada pelbagai suasana dan persekitaran yang berbeza daripada apa yang kita alami dulu.

Zaman buku mewarna dan bersuka ria di taman permainan kanak-kanak yang berhampiran sudah berlalu. Kanak-kanak zaman sekarang lebih seronok bermain telefon dan belajar menggunakan aplikasi pada tablet.

Masihkah anda ingat satu masa dulu bila kanak-kanak seronok berlari-lari di luar tidak kira panas atau hujan, tanpa khuatir mereka akan jatuh sakit. Tatkala itu pengambilan dos harian vitamin C dan ubat tradisional boleh menjamin gaya hidup yang sihat.

Kini, ibu bapa tidak boleh lagi mengharapkan khasiat kebaikan oren untuk menguatkan sistem imun. Sebaliknya zat tambahan harian perlu disokong oleh pelbagai pilihan produk antibakteria seperti pembersih tangan, tisu basah, cucian tangan dan cucian badan antibakteria sebagai langkah berjaga bagi memastikan keluarga mereka bebas daripada ancaman kuman.


Penyelidikan dan penemuan
Ada sebab munasabah mengapa ini berlaku, kerana kuman membiak dengan cepat dan bertambah kuat menyebabkan jangkitan baru, untuk tempoh lebih lama dan lebih kerap.

Tahap keimunan yang baik dan amalan menjaga kebersihan peribadi kini tidak cukup, kerana keadaan alam sekitar juga memainkan peranan dalam usaha kita menentang kuman.

Dengan kuman sekarang yang mempunyai daya jangkitan lebih tinggi, ibu bapa kini perlu lebih menitikberatkan kesihatan anak mereka serta berusaha menjauhkan kuman daripada anak tersayang.

Kebimbangan mereka dan usaha memastikan anak selamat daripada kuman sudah sampai ke tahap paranoid dan obsesi pada sesetengah ibu bapa terlalu memikirkan soal pelindungan kuman dan kebersihan seisi keluarga.

Laporan menunjukkan, kuman yang dianggap sudah terkawal misalnya tibi kini muncul semula dengan daya jangkitan lebih kuat (TDR-TB).

Sesetengah jenis kuman baru seperti Methicillin Resistant S Aureus (MRSA) dan NDM1 telah membina keupayaan untuk menentang kesan antibiotik, lantas menjejaskan rawatan.

Tahun ini, sejumlah 13,497 kes penyakit tangan, kaki dan mulut telah dilaporkan di seluruh negara, iaitu purata 964 seminggu.

Ia peningkatan 83 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, dengan 7,368 kes.

Kuman seperti ini mudah merebak namun mudah dicegah. Amalan menjaga kebersihan yang wajar menerusi langkah mudah seperti membasuh tangan secara kerap ialah barisan pertahanan pertama terhadap kuman, menjadikan pencegahan lebih baik daripada rawatan.

Tidak hairanlah semakin ramai ibu bapa muda yang mengambil pendekatan semula jadi atau organik untuk menjaga anak mereka.

Bagaimanapun, implikasi tindakan seperti ini amat meluas dan memberi kesan terhadap kesihatan anak kita selama bertahun.

Pada 2013, kurang daripada 500 ibu bapa menolak pemvaksinan, dan bilangan ini telah meningkat kepada 1,300 kes pada 2014. Sehingga Mei tahun ini, angka itu sudah mencecah 1,054.

Trend ini boleh dihubungkaitkan dengan peningkatan kejadian campak, tetanus dan batuk kokol, penyakit yang boleh dikekang dengan mudah jika kanak-kanak divaksinkan seperti masa lalu.

Sebaliknya, ibu bapa kini lebih cenderung dengan alternatif seperti ubat tradisional apabila mendapatkan rawatan. Bilangan kanak-kanak yang semakin terdedah kepada jangkitan dan penyakit yang sepatutnya boleh dielakkan pada usia muda telah menyebabkan tahap imun rendah apabila dewasa kelak.

Mengapa kuman kini menjadi semakin kuat
- Secara beransur-ansur, kuman telah membina daya rintangan terhadap antibiotik.

- Ubat yang lebih kuat dan terkhusus telah dicipta, setiap satu dengan manfaat awal, tetapi ia mesti digantikan secara berterusan dengan sesuatu yang lebih kuat. Kini 'super germ' sukar dirawat.

- Orang ramai tidak begitu mengendahkan kebersihan peribadi kerana mereka tidak sedar pelbagai cara kuman boleh merebak.

- Pengumpulan bakteria berterusan pada permukaan apabila kita tidak membersihkan atau membasmi kuman dengan baik.


Mengapa perlindungan kuman penting untuk kekal sihat
- Perlindungan kuman ialah barisan pertahanan pertama terhadap penyebaran kuman.

- Mengurangkan kemungkinan jatuh sakit.

- Mengurangkan risiko orang sakit menyebarkan kuman.


Bagaimana kuman boleh merebak
- Dari hidung, mulut atau mata ke tangan orang lain: Kuman boleh disebarkan ke tangan menerusi bersin, batuk atau gosokan mata seterusnya boleh dipindahkan kepada ahli keluarga atau orang lain.

- Dari tangan ke makanan: Biasanya kuman dipindahkan dari tangan yang tidak bersih ke makanan oleh penyedia makanan dijangkiti yang tidak mencuci tangannya. Kuman kemudian boleh menjang­kiti mereka yang makan makanan itu.

- Dari makanan ke tangan ke makanan: Kuman dipindahkan dari makanan mentah, seperti ayam, ke tangan semasa menyediakan makanan. Kuman pada tangan kemudian dipindahkan ke makanan mentah lain, seperti salad. Memasak makanan mentah membunuh kuman di peringkat awal, tetapi salad masih tercemar.

- Dari kanak-kanak terjangkit kepada kanak-kanak lain: Kuman dipindahkan dari kanak-kanak yang mengalami cirit-birit ke tangan ibu bapa semasa menukar lampin. Jika ibu bapa tidak mencuci tangan serta-merta, kuman yang menyebabkan cirit-birit kemudian dipindahkan kepada orang lain.

- Dari permukaan kepada individu: Kuman boleh diperolehi apabila seseorang menyentuh permukaan yang dicemari kuman, dan kemudian menyentuh mukanya, luka atau lebam pada badannya.


Bagaimana kita mencegah penyebaran kuman
- Kerap mencuci tangan dalam sehari boleh membantu mencegah penyebaran kuman.

- Lebih prihatin terhadap bahan yang digunakan dalam sabun antibakteria (perlindungan kuman, pencucian dan penjagaan kulit).

- Cuba gunakan sabun dwifungsi yang mempunyai Activ Naturol Shield untuk perlindungan kuman dan penjagaan kulit anda yang lebih baik. Ahli sains telah mengkaji beribu tumbuhan untuk mengekstrak bahan yang membantu menjauhkan penyakit, dan inilah yang dinamakan Activ Naturol Shield.

Hakikatnya, keimunan ialah sesuatu yang perlu kita ambil berat tidak kira menerusi langkah semula jadi atau pendekatan saintifik. Keseimbangan yang baik diperlukan untuk terus mengatasi jangkitan kerana mencegah lebih baik daripada merawat.

Kita hendaklah mengambil langkah untuk memastikan anak dilindungi kerana jika mereka jatuh sakit, tumbesaran dan pengalaman hidup akan terjejas dengan ketara.

Sentiasa bersiap sedia untuk menentang ancaman kuman dan pastikan kesihatan keluarga anda dijaga baik menerusi amalan kebersihan yang menyeluruh dengan produk perlindungan kuman yang berkesan selain mengamalkan gaya hidup yang sihat.

1/12/15

KETAHUI RISIKO MASALAH JANTUNG KETIKA HAMIL


Sebagai wanita normal tentu saja mereka ingin hamil dan melahirkan anak tanpa sebarang masalah serius. Namun wanita yang mengalami penyakit jantung sebelum berkahwin dan mereka yang berusia seringkali mendapat tekanan daripada saudara-mara dan keluarga untuk mempunyai anak. Hal ini boleh memberi tekanan kepada ibu-ibu berpenyakit jantung semasa kehamilan.

Pakar Kardiologi Pusat Perubatan Seri Kota, Klang, Selangor, Dr, Shahrul Zuraidi Idris berkata, walaupun tidak ramai wanita hamil mengalami masalah jantung tetapi masalah berkenaan tetap memerlukan perhatian yang sewajarnya. 

“Pesakit jantung tidak dilarang untuk hamil tetapi semuanya bergantung kepada keadaan tahap penyakit yang dideritai,” katanya semasa ditemui di Pusat Perubatan Seri Kota, Klang, Selangor.

Wanita hamil dan mengalami masalah jantung perlu mendapatkan nasihat pakar kardiologi (jantung) bagi memastikan sama ada mereka termasuk dalam kategori penyakit jantung teruk atau ringan berdasarkan beberapa kriteria tertentu. 

“Biasanya, pesakit yang mengalami masalah jantung ringan dan tidak mengambil sebarang ubat untuk merawat kegagalan jantung atau antibiotik pencegah boleh hamil dan bersalin dengan selamat,” katanya.

1. Deruan jantung Murmurs
Deruan jantung mungkin berlaku pada sesetengah wanita yang sihat buat pertama kalinya semasa mengandung. Deruan jantung adalah bunyi luar biasa yang dapat didenngar menggunakan stetoskop (semasa jantung mengepam darah). Ia tidak semestinya menghasilkan sebarang simptom kepada pesakit.

Kebanyakan deruan jantung adalah tidak merbahaya dan tidak memerlukan rawatan. Walau bagaimanapun doktor perlu menyiasat keadaan jantung dengan teliti. Kadang-kadang deruan jantung yang tidak normal boleh dikaitkan dengan penyakit injap jantung atau sebarang masalah struktur jantung lain termasuk jantung berlubang.

2. Palpitasi jantung
Palpitasi jantung adalah sensasi atau kesedaran denyutan jantung anda sendiri yang berlaku secara tidak normal. Ini boleh berlaku di kalangan wanita hamil kerana perubahan hormon dalam badan. Kebanyakan palpitasi jantung adalah tidak merbahaya dan tidak membimbangkan. Tetapi ia mungkin satu petunjuk masalah jantung termasuk anemia dalam kehamilan atau aritmia.

3. Aritmia
Hampir 50 peratus daripada wanita mempunyai denyutan jantung yang tidak normal dipanggil aritmia jantung semasa mengandung. Sebahagian besar aritmia tidak menyebabkan gejala dan hanya dikesan apabila doktor mengambil nadi pesakit.

Aritmia boleh menyebabkan gejala pening atau berdebar-debar. Pesakit mungkin tidak memerlukan rawatan, hanya pemantauan. Jika gejala berterusan atau menjadi lebih teruk, rawatan aritmia seperti ubat “anti - aritmia” boleh diberi.

4. Darah tinggi
Terdapat beberapa jenis penyakit darah tinggi yang boleh berlaku semasa kehamilan. Seorang wanita mungkin mengandung dengan sejarah penyakit darah tinggi sedia ada (penyakit darah tinggi kronik). Pesakit juga boleh menghidap penyakit darah tinggi semasa mengandung.

Penyakit darah tinggi sementara adalah penyakit darah tinggi berlaku semasa hamil, berterusan selepas bersalin tetapi hilang dalam tempoh 12 minggu selepas bersalin.

Tekanan darah tinggi juga boleh melonjak secara tiba-tiba ketika hamil. Keadaan ini merupakan tanda komplikasi kehamilan yang lebih serius yang dipanggil pre- eklampsia.

Jika tekanan darah menjadi terlalu tinggi (lebih tinggi daripada 160/100 mm Hg) semasa hamil, doktor akan memberikan ubat tekanan darah.

5. Strok (angin ahmar) Semasa hamil
Risiko strok meningkat 2.5 kali ganda semasa dan selepas kehamilan. Kira-kira 90 peratus daripada semua strok berkaitan kehamilan berlaku semasa bersalin atau dalam masa enam minggu selepas bersalin.

Sebanyak 45 peratus strok disebabkan oleh pra-eklampsia atau eklampsia. Risiko strok iskemia adalah 8.7 kali lebih tinggi dalam enam minggu pertama selepas bersalin.

Bagi strok yang disebabkan oleh pendarahan di dalam otak, kajian di Peranchis menunjukkannya berlaku dalam 6.1 kes bagi setiap 100,000 ibu yang mengandung dalam setahun.

Namun demikian, secara keseluruhan risiko strok berkaitan kehamilan masih rendah.

6. Peripartum Cardiomyo­pathy
Ini adalah suatu keadaan jarang berlaku yang menyebabkan lemah jantung dalam bulan terakhir kehamilan sehingga tempoh enam bulan selepas bersalin. Puncanya tidak diketahui. Sekiranya berlaku boleh menyebabkan kelemahan jantung yang berkekalan kepada pesakit.

Walaupun jantung boleh kembali normal ia dikaitkan dengan peningkatan risiko komplikasi semasa kehamilan.

Bayi
Terdapat risiko sekatan disebabkan ketumbuhan dalam rahim atau saiz bayi yang kecil ketika hamil disebabkan kekurangan bekalan oksigen jika jantung tidak mengepam dengan baik.

Bagi penyakit jantung yang serius, bayi mungkin mengalami kematian dalam rahim disebabkan kekurangan oksigen dan bekalan oksigen yang kurang kepada plasenta dan bayi dalam kandungan.

Jika pesakit mewarisi atau mengalami penyakit jantung kongenital sejak lahr, bayi mempunyai risiko satu hingga tiga peratus mewarisi penyakit jantung daripada ibunya.

Sesetengah penyakit jantung mungkin memerlukan beberapa jenis ubat semasa kehamilan. Ubat-ubat ini boleh melepasi plasenta dan imbasan teliti diperlukan ketika kehamilan kerana bayi mungkin terjejas.

Bersalin normal
Dr. Shahrul berkata, keadaan jantung pesakit akan diperiksa sepanjang kehamilan jadi pesakit tidak boleh terlepas sebarang janji temu dengan pakar jantung dan obsterik.

Doktor pakar akan menentukan masa yang sesuai untuk kelahiran bayi, sebaiknya dalam situasi terkawal dan terancang di mana pakar kemungkinan perlu ada semasa proses bersalin.

Bagaimanapun dalam kes di mana keadaan jantung semakin teruk, pesakit mungkin perlu melahirkan anak lebih awal atau kemungkinan digugurkan bagi mengelakkan kemerosotan kesihatan ibu.

“Bagi kes yang boleh memudaratkan nyawa si ibu, adakalanya si ibu dinasihatkan untuk menggugurkan kandungannya terutama pada proses awal kehamilan,” katanya.

Kaedah kelahiran akan ditentukan oleh doktor bergantung kepada jenis penyakit jantung. Pada pesakit jantung yang lebih teruk, pembedahan Caesarean elektif adalah pilihan utama bersama sokongan ICU bagi bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan. Bagi ibu-ibu yang dirasakan sesuai untuk kelahiran normal, epidural analgesia disyorkan untuk mengelakkan sebarang stres tambahan ketika bersalin.

Kesimpulannya, bagi ibu-ibu yang memang menghidapi penyakit jantung dan penyakit kronik lain sebelum hamil dan juga ibu-ibu yang baru disyaki menghidap penyakit jantung perlu mengambil langkah-langkah serius dan sentiasa mendapatkan nasihat dan rawatan daripada pakar jantung dan pakar sakit puan secara berkala.

13/11/15

KANAK-KANAK MUDAH TERDEDAH PADA ALAHAN PERSEKITARAN


PUNCA MASALAH kesihatan yang dilihat semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak hari ini sebahagiannya adalah berpunca daripada persekitaran yang tidak sihat.

Dengan keadaan pencemaran udara termasuk jerebu yang melanda negara baru-baru ini, ibu bapa dinasihatkan agar mengambil langkah proaktif dengan mengurangkan aktiviti luar anak masing-masing.

Persekitaran yang tercemar boleh menyebabkan masalah kesihatan menjadi bertambah teruk terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai alahan.

Gangguan alahan bukan hanya dialami oleh orang dewasa malah golongan kanak-kanak. Alahan awal yang dikenali sebagai alahan rhinitis ini akan menjadi lebih serius sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Menurut Pakar Telinga, Hidung, Tekak, Kepala, dan Leher, Hospital Pakar Ampang Puteri, Datuk Dr. Narizan Ariffin, alahan rhinitis merupakan permulaan penyakit alahan dalam hidung yang akan dialami oleh sesiapa sahaja sebelum merebak dan menjadi lebih teruk.

Untuk itu, tambahnya, rawatan awal perlulah diberikan kepada pesakit untuk mengelakkan perkara yang lebih serius terjadi terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak.

Ini kerana sekiranya merebak, penyakit tersebut susah untuk diubati dan dipulihkan seperti sedia kala.
“Tanda-tanda awal yang menunjukkan seseorang itu sedang mengalami alahan rhinitis adalah kerap bersin, hidung berhingus, hidung tersumbat, dan gatal di sekitar hidung.

Alahan rhinitis berlaku apabila membran hidung mengalami radang dan akan mengakibatkan berlendir akibat pendedahan dan pencemaran dalam udara.

Apabila bahan yang mencetuskan alahan dan antibodi bercampur, badan akan memberi tindak balas dengan menyedari kehadiran bahan-bahan kimia tertentu seperti histamina, leukotrienes, dan prostaglandin.

“Sekiranya alahan rhinitis ini tidak dibendung pada peringkat awal akan menjadi lebih serius, bukan sahaja menyebabkan penyakit sinusitis malah boleh mengakibatkan hidung berdarah,” ujarnya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai hal tersebut, Dr. Narizan memberitahu, selama ini orang ramai beranggapan simptom yang berlaku terhadap penyakit alahan ini adalah sinus.

Sebenarnya tanggapan tersebut tidak benar kerana sinus bermaksud rongga kosong yang terdapat di dalam tulang tengkorak atau pipi di bahagian muka.

Beritahunya lagi, sinusitis adalah penyakit yang berpunca daripada alahan rhinitis, yang mana semua rongga-rongga sinus akan tersumbat sama ada oleh nanah atau hingus.

Sinusitis boleh menyebabkan kesakitan dan sakit apabila disentuh dan membengkak di sekeliling mata, pipi, hidung atau pun dahi.

Begitu pun beliau berkata, sinusitis jarang dijangkiti kanak-kanak melainkan mereka memasukkan benda ke dalam lubang hidung.

Tuturnya lanjut, melalui penyakit alahan rhinitis ini, kanak-kanak juga boleh menghidap penyakit asma dan ekzema. Keadaan itu akan berlaku pada masa yang sama, bagaimanapun penyakit asma akan berkurangan sekiranya alahan rhinitis ini dirawat pada peringkat awal.

Alahan rhinitis sebenarnya berpunca daripada habuk-habuk di dalam rumah dan juga persekitaran termasuklah asap rokok dan tidak terkecuali makanan, ubat-ubatan dan susu tepung.

“Selain itu elakkan atau jauhkan anak-anak daripada terlalu rapat dengan haiwan peliharaan seperti kucing, kerana bulu binatang boleh menyebabkan alahan rhinitis. Begitu juga persekitaran dalam rumah seperti permaidani yang mudah mengumpul habuk,” sambung beliau lagi.

Bercakap pula mengenai rawatan untuk alahan rhinitis, Dr. Narizan memberitahu, untuk kanak-kanak, ujian darah akan dilakukan dan sekiranya antibodi Immunoglobin E (IgE) tinggi maka anak anda sememangnya mempunyai alahan.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihatkan kepada mereka yang sememangnya mempunyai penyakit alahan, elakkan atau jauhi benda-benda yang boleh menyebabkan alahan terjadi.

Ini kerana sekiranya pesakit hanya bergantung kepada pengambilan ubat, keputusan yang diperoleh tidak 100 peratus.

Dan untuk pengambilan ubat pula, biasanya kanak-kanak ini akan dibekalkan dengan ubat-ubatan anti alahan selain ubat semburan untuk membuka rongga-rongga sinus.

Yang pasti, kadar kesedaran masyarakat terhadap alahan hari ini masih belum memuaskan. Disebabkan faktor ini, ramai pesakit tidak mendapatkan diagnosis doktor atau rawatan lebih awal sehingga menjurus kepada pelbagai masalah seperti sakit kepala, gangguan tidur, kurang daya tumpuan, lelehan hingus, dan sesak nafas.

9/11/15

AWAS, SERANGAN STROK DI KALANGAN ORANG MUDA MENINGKAT


TANGGAPAN serangan strok hanya berlaku kepada orang yang lebih berusia dan tidak perlu dibimbangi golongan muda adalah salah sama sekali, kerana berita buruk itu boleh terjadi pada sesiapa sahaja tanpa dibatasi faktor usia mahupun jantina.

Setiap tahun, lebih  50,000 kes  baru berkaitan strok atau angin ahmar direkodkan di Malaysia dan ia terus meningkat dari tahun ke tahun.

Perunding Neurologi Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC), Dr. Loh Pei Kee memaklumkan, kini risiko strok terhadap golongan muda semakin meningkat dan ia agak membimbangkan.

Mungkin sekitar 20 tahun lepas sering kita dengar orang yang diserang strok pada usia 40 atau 50 tahun, namun sekarang ini bukan sahaja ia boleh terjadi pada kanak-kanak malah mereka dalam golongan usia 20 hingga 30 tahun merupakan kumpulan yang semakin meningkat risikonya.

“Saya rasa golongan ini yang lebih penting kerana mereka mempunyai risiko tertentu yang menyebabkan mereka mendapat strok ada usia muda," ujarnya.

Menurutnya, tabiat merokok adalah salah satu daripada amalan gaya hidup tidak sihat yang menjadi punca utama strok kerana ia boleh menyebabkan salur darah tersekat seterusnya merosakkan fungsinya.

“Satu lagi faktor adalah diet. Sekarang ini ramai golongan muda tidak menjaga diet mereka dengan baik hinggakan mereka berisiko mendapat kencing manis, darah tinggi dan serangan jantung,” jelasnya.

Dr. Loh menambah, semua tabiat itu hanya akan mempercepatkan kemerosotan fungsi sistem kesihatan tubuh dan disebabkan itu juga, risiko strok yang lazimnya terjadi dalam kalangan golongan lebih berusia sudah meluas demografinya .

PEMULIHAN DAN SOKONGAN

Kajian bagaimanapun mendapati 80 peratus pesakit strok dapat dirawat dengan mengubah gaya hidup kepada amalan yang lebih sihat dan mendapatkan rawatan susulan.

Apabila diserang strok, pendarahan atau bahagian otak yang terjejas itu mungkin agak besar. Mangsa yang dalam keadaan tidak sedarkan diri perlu segera dihantar ke hospital. Dalam situasi itu kematian mungkin boleh berlaku.

“Namun, tidak semua serangan strok membawa maut. Jika bahagian yang terjejas itu tidak berapa besar, peluang untuk hidup itu cerah dan pesakit perlu dirawat untuk membolehkan mereka boleh diselamatkan," jelas Perunding Neurologi di ADMC, Dr. N. Ramesh Narenthiranathan.

Rawatan itu juga penting kerana ia boleh mengembalikan kemampuan seseorang pesakit untuk berdikari dalam urusan seharian tanpa bergantung kepada bantuan orang lain.

Katanya lagi, dengan mendapatkan rawatan yang cepat dan mengikuti proses rehabilitasi dalam tempoh enam bulan hingga dua tahun, pesakit strok boleh pulih sepenuhnya seperti sedia kala.

Rawatan yang pantas dengan proses rehabilitasi membolehkan pesakit strok menjalani kehidupan normal.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ADMC, Su TL Lee, selain mengikuti rawatan khusus, proses pemulihan pesakit juga memerlukan sokongan moral yang kuat daripada keluarga dan masyarakat sekeliling.

"Masa itu penting. Seperti saya katakan, anda perlu kenal pasti simptom strok dan segera ke hospital yang mempunyai fasiliti yang betul, doktor dan pakar dengan teknologi terkini untuk bantu pesakit pulih daripada strok," jelasnya.

Serentak itu,  ADMC melancarkan Hotline pertama bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat perkhidmatan perubatan terbaik dengan cepat.

Pusat Perkhidmatan Komprehensif Strok yang  beroperasi 24 jam sehari itu boleh dihubungi di talian 019-217 9442 atau 03-7839 9987.

4/11/15

ENAM PERKARA PENTING YANG HARUS ANDA TAHU BILA PERTAMA KALI MENIMANG CAHAYA MATA


LAHIRNYA si kecil membuatkan, ibu bapa baru cukup teruja. Pelbagai perkara mahu dilakukan untuk bayi tapi berpada-padalah. Kawal keterujaan itu papa dan mama.

Enam perkara ini terutamanya jangan dilakukan pada bayi baru lahir. Untuk ibu bapa baru, tip ini perlu anda tahu. Pelbagai perkara mahu dilakukan untuk bayi tapi berpada-padalah. Kawal keterujaan itu papa dan mama. Untuk ibu bapa baru, tip ini perlu anda tahu.

1. Jangan beri sembarangan orang cium
Memang nampak macam ‘over’ tapi pada minggu pertama hidup bayi, pendedahan ada bakteria dan kuman boleh beri masalah serius. Sebabnya sistem imuniasi mereka belum berfungsi sepenuhnya.

Jadi sebagai ibu prihatin pastikan sesiapa yang ingin mencium dan memegang bayi anda dalam keadaan bersih. Jika nampak kotor, berilah apa-apa alasan atau terus terang saja sebabnya.

2. Jangan ubah suasana rumah
Bayi memang perlukan banyak perhatian tapi tak perlulah sampai mengubah suasana rumah antaranya seperti langsung tak boleh pasang TV, sentiasa menutup pintu dan langsir kerana bimbang bising. Suasana yang sedikit bising tak beri masalah, biarkan bayi terbiasa dengan suasana itu.

3. Jangan biar lampir kotor terlalu lama
Sebabnya bayi bawah enam bulan memang banyak kencing jadi lampin perlu ditukar selalu. Periksa selalu keadaan lampin supaya bayi selesa dan untuk mengelakkan ruam.

4. Jangan guna puting
Baru seminggu lahir bayi sudah beri puting, tindakan ini tidak elok. Pemberian puting terlalu awal boleh kelirukan rutin penyusuan. Sebabnya bayi memang suka menghisap. Terbaik berikan susu ibu sebab bayi sudah terbiasa dengan suhu tubuh, degupan jangtung dan bau ibu.

5. Jangan terlebih gaya
Ada ibu yang terlalu teruja mahu memakaikan baju cantik pada bayi. Boleh, tapi jangan berlebihan baju penuh renda dan anak tak selesa. Selain itu ramai ibu selalu bimbang bayi sejuk dan pakaikan baju tebal. Baju yang begini boleh menyebabkan bayi demam dan dehidrasi. Perhatikan kesesuaian cuaca dan keselesaan bayi.

6. Jangan abai temu janji doktor
Doktor akan mengatur jadual pemeriksaan untuk bayi jadi jangan sesekali abaikan terutama  bila nampak bayi ada masalah. Ibu bapa baru memang selalu risau tentang perkara yang sebenarnya normal dan doktor mampu memberi penjelasannya.

22/10/15

SEJAUH MANA KITA MENGHARGAI JANTUNG KITA?

Sering terjadi apabila berlakunya serangan jantung, pesakit atau ahli keluarga tergamam hingga tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Panik dan lambat dibawa ke hospital yang betul adalah antara punca yang menyebabkan kematian.

Pengetahuan mengenai teknologi-teknologi perubatan terkini dalam bidang kardiovaskular sewajarnya diambil tahu oleh setiap individu.

Pengetahuan ini amat penting kerana ia dapat memberikan kita pilihan kaedah perawatan yang sesuai dengan pesakit dalam usaha menyelamatkan nyawa khasnya kepada penghidap penyakit jantung.

Sering terjadi apabila berlakunya serangan jantung pesakit atau ahli keluarga terdekat terkejut, tergamam hingga tidak tahu apa yang perlu dilakukan bagi membantu pesakit. Panik dan lambat dibawa ke hospital yang betul adalah satu daripada punca yang boleh mengakibatkan kematian.

Menurut Pakar Jantung yang juga Ketua Unit Kardiologi dari Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), Prof Dr Wan Azman Wan Ahmad, di negara ini terdapat 19 buah hospital kerajaan berkemampuan melakukan prosedur segera bagi CAD.

"Sering terjadi pesakit meninggal sewaktu dalam perjalanan kerana lambat dibawa ke hospital."

Penyakit Koronari Arteri (Coronary Artery Disease-CAD) adalah penyakit yang berlaku apabila arteri-arteri yang membekalkan darah ke jantung menjadi sempit atau tersumbat.

"Ia berlaku akibat saluran tersebut tersumbat dengan mendapan lemak yang dikenali sebagai plak. Kesannya, arteri-arteri akan menghadapi halangan untuk membekalkan darah ke jantung," jelas Dr Wan Azman.

Antara tanda-tanda CAD termasuklah:

1. Rasa sakit di bahagian dada (angina)
2. Sesak nafas
3. Rasa berat di bahagian dada
4. Rasa sakit di bahagian rahang dan bawah lengan
5. Pedih hulu hati
6. Loya
7. Muntah
8. Perpeluhan melampau

Selain perubahan gaya hidup dan ubat-ubatan, cara berkesan untuk membuka semula saluran darah yang tersumbat ialah dengan menggunakan kaedah koronari angioplasti.

Kaedah rawatan ini ialah dengan memasukkan belon dan stent melalui saluran darah di tangan atau di peha untuk membuka semula saluran darah koronari yang tersumbat atau yang mengalami penyempitan.

INOVASI PROSEDUR CAD

Di PPUM misalnya, rawatan angioplasti bagi pesakit jantung koronari pertama kali dilakukan pada tahun 1984. Setelah 30 tahun, rawatan ini mengalami perubahan yang sangat pesat.

Daripada sekadar menggunakan belon sahaja untuk meluaskan saluran jantung, kini rawatan diperluas menggunakan stent yang berteknologi tinggi. Kemajuan stent ini juga semakin meningkat dari semasa ke semasa.

"Dari bare metal stent, ia beralih kepada stent yang mempunyai ubat untuk mengurangkan risiko penyempitan semula," kata Dr Wan Azman.

Stent yang mempunyai ubat terus ditambahbaik sehinggalah stent generasi baharu yang sangat efektif. Malah ia mempunyai risiko komplikasi yang sangat rendah.

Terkini, satu lagi evolusi yang berlaku dalam kaedah rawatan angioplasti adalah dengan menggunakan stent yang hancur sendiri setelah 2 atau 3 tahun dipakai oleh pesakit. Teknologi ini dikenali sebagai Bioresorbable Vascular Scaffold (Absorb).

Pemasangan Absorb sama seperti prosedur belon angioplasti yang akan memasukkan tiub gegelung bukan logam beserta belon angioplasti ke dalam saluran darah, yang telah sempit.

Ia kemudian diimplan di arteri sebelum larut secara perlahan setelah arteri yang tersumbat dapat berfungsi dengan biasa dan terbuka dengan sendiri.

"Ia akan larut selepas sesuatu tempoh setelah bertindak dengan unsur-unsur yang terdapat di dalam badan iaitu air (H20) dan karbon dioksida (C02)," jelas beliau.

CAD BUKAN PENYAKIT LAZIM

"Rawatan CAD telah menjadi prosedur rawatan yang semakin lazim. Hingga ia disalah anggap sebagai penyakit yang biasa. Walaupun rawatan CAD mengambil tempoh yang singkat, ia tetap mempunyai risiko serta komplikasi. Cara terbaik ialah melakukan perbincangan dengan doktor yang merawat," kata Dr Wan Azman.

Risiko yang terbabit adalah lebih tinggi ke atas wanita, warga emas yang berusia 75 tahun dan ke atas pesakit yang menghidap penyakit buah pinggang atau diabetes, atau pesakit yang menghidap penyakit saluran darah yang serius.

Selepas prosedur dijalankan, kebanyakan pesakit akan bermalam di hospital bagi pemantauan dan akan pulang pada hari yang seterusnya.

Mereka akan dinasihatkan mengambil ubat-ubatan sepanjang waktu pemulihan dan sebarang rawatan susulan.

CEGAH

Mengakui masih ramai yang bersikap sambil lewa dengan gejala ini, Dr Wan Azman memberitahu pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan sejak bertahun-tahun lamanya bagi menyedarkan orang ramai mengenai CAD.
Menurut beliau, nilai sebuah jantung yang sihat terlalu tinggi untuk disia-siakan.Ramai yang menganggapnya sebagai masalah biasa kerana terlalu ramai yang menghidapnya di negara ini.

Setiap individu yang berisiko perlu mengambil langkah pencegahan. Cara terbaik adalah dengan mengubah gaya hidup seperti aktif dan juga mengawal pemakanan.

"Pertama sekali kita kena tahu adakah kita berisiko tinggi atau tidak. Buatlah pemeriksaan dan sekiranya anda berisiko, doktor akan mengesyorkan kaedah-kaedah terbaik dan bersesuaian sebagai langkah pencegahan," saran beliau.

Apa yang perlu difahami oleh orang ramai ialah apabila diserang CAD, hanya 50 peratus sahaja yang selamat. Selebihnya akan meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke hospital.

"Ketika itu barulah nilai sebuah jantung itu dirasakan sangat-sangat berharga," ujarnya.

Beliau sekali lagi menekankan betapa pentingnya setiap individu mengambil tahu mengenai CAD, apa dan bagaimana tindakan yang perlu diambil jika diserang CAD.

Juga mengambil tahu hospital atau pusat perubatan yang menyediakan prosedur intervensi CAD serta rawatan-rawatan terkini yang berkaitan.

13/10/15

SEJAUH MANA BAHAYA KANSER KOLOREKTAL


Sembelit yang teruk, hilang selera makan sehingga menyebabkan berat badan turun mendadak, kembung dan keluar darah dari dubur. Jika anda mempunyai salah satu daripada tanda ini, anda sepatutnya segera membuat pemeriksaan di hospital bagi melakukan saringan awal kanser kolorektal.

Walaupun ia berada dalam kumpulan kanser yang tidak popular, setiap tahun berlaku peningkatan dalam jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan sehingga ia dicatatkan sebagai kanser utama lelaki dan kedua paling banyak membabitkan wanita di negara ini.

Menurut Pakar Bedah Am Hospital Pusrawi Dr Syed Anees Ahmad, kanser kolorektal atau kanser usus berlaku pada organ penghadaman iaitu usus besar yang terletak pada bahagian bawah sistem perkumuhan.

Ia berlaku apabila sel kanser menyerang kolon dan rektum iaitu bahagian usus besar yang membantu mencernakan makanan dan membuang bahan kumuh.

Kebanyakan kes kanser kolorektal bermula daripada ketumbuhan kelompok sel bukan kanser (benign) yang digelar polip adenomatous dan dari semasa ke semasa, polip ini boleh bertukar menjadi kanser. Dalam kebanyakan kes, punca kanser kolorektal tidak dapat dikenal pasti, namun kanser ini berlaku apabila sel sihat di dalam usus mengalami perubahan.

Individu yang mempunyai genetik keluarga menghidap kanser dikatakan berisiko tinggi mendapat kanser usus. Oleh itu, golongan ini dinasihatkan membuat pemeriksaan awal pada usia 30 tahun ke atas manakala mereka yang tiada sejarah menghidap kanser sebaiknya menjalani pemeriksaan apabila usia meningkat 40 tahun.

“Daripada kajian yang dijalankan menunjukkan kanser kolorektal berpunca daripada interaksi kompleks antara faktor persekitaran dan genetik. Antara faktor persekitaran termasuk gaya hidup seperti tidak mengamalkan makanan sihat, kurang makan sayur-sayuran dan buah-buahan serta selalu mengambil daging dalam menu harian. Perokok tegar juga dikatakan berpeluang mendapat kanser usus termasuk golongan obes,” katanya.

Apa yang membuatkan individu lambat mendapatkan rawatan awal pengesanan kanser kerana kebanyakan permulaan kanser kolorektal tidak mempunyai simptom yang nyata. Mereka hanya mengalami perut kembung, selera makan berkurang sehingga berat badan turun mendadak.

“Pesakit juga biasanya mengalami simptom perubahan pembuangan air besar, sakit ketika membuang air besar dan keluar banyak lendir. Najis selalunya mengandungi banyak air dan kehilangan darah lalu menyebabkan pesakit mudah penat dan pucat,” terang Dr Syed Anees.

Oleh kerana simptom yang ditunjukkan kurang jelas dan berbeza-beza, sepatutnya individu mengambil tahu mengenai perubahan badan mereka serta segera bertemu dengan pakar. Ini bagi mengelak rawatan lambat diberikan kepada pesakit.

Jelasnya, kurang peka pada perubahan diri menyebabkan pesakit bersikap lewa dan membiarkan tanda seperti kembung, sembelit dan dubur berdarah sebagai perkara biasa.

“Apabila bertemu pakar dan membuat pemeriksaan, kanser sudah berada pada tahap empat. Apabila berada pada tahap ini sudah semestinya ia sukar dirawat dan memerlukan masa yang lama,” katanya.
Rawatan kanser kolorektal

Bagi mengenal pasti jenis kanser yang dialami pesakit, doktor biasanya mengesyorkan ujian darah pada tinja untuk memeriksa tanda awal kanser kolorektal. Sekiranya ujian pertama masih belum tepat, cara terbaik dengan melakukan kolonoskopi.

Namun berdasarkan pengalaman, kebanyakan pesakit tidak mahu melakukan pemeriksaan ini disebabkan rasa tidak selesa dan juga anggapan ia me–nyakitkan. Namun sebenarnya tidak.

Kolonoskopi ialah prosedur mengenal pasti bahagian usus pesakit menggunakan kabel gentian optik yang dipasangkan kamera pada hujungnya kemudian dimasukkan ke dalam usus besar. Ini membolehkan doktor melihat keadaan dalam usus dan mengenal pasti diagnosis yang sesuai untuk mereka.

Pada sesi yang sama, sebarang ujian atau prosedur lanjut yang diperlukan boleh diteruskan. Terdapat pelbagai sebab pesakit perlu menjalani kolonoskopi. Antaranya ialah perubahan pada tabiat pembuangan air besar seperti cirit-birit untuk masa yang lama, sembelit, pendarahan atau lendir pada najis, sakit di abdomen dan bengkak ketara di bahagian perut.

Tanda ini menunjukkan kemungkinan pesakit mengalami kanser usus, ketumbuhan kecil dalam usus besar. Oleh sebab itu, amat penting untuk pesakit menjalani kolonoskopi supaya diagnosis yang tepat boleh dibuat.

Sebelum kolonoskopi dijalankan, usus pesakit perlu dibersihkan terlebih dulu bagi membolehkan kabel gentian optik dimasukkan untuk mendapatkan imej yang jelas dalam usus besar. Pesakit juga diminta tidak mengambil makanan berserat seperti sayuran, daging atau makanan berasaskan protein, sehari sebelum prosedur dijalankan.

“Mereka diminta makan bubur, air dan jus tanpa serat sebelum ubat pembersihan usus dimasukkan. Kaedah biasa untuk membersihkan usus dengan mengambil sodium fosfat dan larutan macrogol,” katanya.

Prosedur kolonoskopi terbahagi kepada dua iaitu:

1. Diagnostik
Doktor akan melakukan prosedur ini dengan membuat penggambaran pada seluruh usus besar dan membuat pengenalan penyakit berdasarkan pemerhatian dalam usus besar misalnya kanser usus, radang usus atau kolitis.

2. Terapeutik
Terapeutik pula ialah prosedur tambahan ketika kolonoskopi diagnostik dijalankan. Apabila ketumbuhan dijumpai dalam usus besar seperti polip kolon, doktor boleh menjalankan pembedahan kecil untuk mengeluarkan ketumbuhan terbabit ketika kolonoskopi.

Ini dipanggil pembedahan buang polip atau polypectomy. Begitu juga dengan ketumbuhan dalam usus besar yang disyaki sebagai barah, pada sesi yang sama doktor melakukan biopsi sampel ketumbuhan dan menghantarnya ke makmal untuk pemeriksaan histopatologi untuk mengesahkan barah usus besar.

Dengan prosedur terapi sedia ada, ketumbuhan awal dalam usus boleh dikenal pasti dan dibuang. Prosedur ini membolehkan pesakit mendapatkan rawatan awal untuk mengelakkan ketumbuhan berlarutan menjadi barah.

Selepas melakukan kolonoskopi, biasanya pesakit mengalami rasa tidak selesa disebabkan kembung perut kerana udara terperangkap dalam usus besar, sedikit rasa sakit, dan ketidakselesaan abdomen. Ini komplikasi kecil yang boleh pulih dengan sendirinya.

Selepas menjalani kolonoskopi, sekiranya pesakit disahkan menghidap kanser kolorektal, rawatan diberikan kepada pesakit bergantung kepada tahap kanser. Ada tiga rawatan utama iaitu pembedahan, kemoterapi dan radiasi.

Pembedahan dilakukan sekiranya saiz sel kanser masih kecil, berbentuk polip dan berada pada tahap awal. Ini hanya dilakukan ketika menjalankan kolonoskopi. Namun sekiranya sel kanser merebak ke kedua-dua atau lebih bahagian usus, keseluruhan usus akan dibuang dan disambungkan hujungnya ke bawah. Sempadan tisu normal usus dan nodus limfa yang berdekatan turut dibuang bagi memastikan kanser tidak merebak.

Rawatan susulan pula bergantung kepada keadaan sama ada kemoterapi atau jika kanser berlaku pada bahagian rektum, biasanya radiasi dilakukan.

Pencegahan
Menurut Dr Syed Anees, amat penting masyarakat mempunyai kesedaran tinggi mengenai kanser kolorektal. Ini boleh dilakukan dengan mengubah gaya hidup menjadi lebih sihat. Mengamalkan diet seimbang, cuba untuk mengurangkan makanan berminyak, daging dan lemak serta melebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam menu hidangan.

Bagi individu berusia 45 tahun ke atas, amat penting menjalani pemeriksaan berkala kerana golongan ini berisiko tinggi mendapatnya. Namun begitu golongan muda juga kini semakin ramai mendapat kanser ini disebabkan faktor genetik atau sejarah keluarga terdekat yang pernah mengalaminya.

Selain itu, pemikiran orang ramai perlu ditukar supaya tidak membiarkan kanser berada pada tahap empat. Sebenarnya kanser kolorektal boleh dirawat jika mendapat rawatan awal dan pesakit boleh menjalani kehidupan seperti biasa selepas rawatan.