KANSER OVARI adalah pembunuh wanita secara senyap. Bukan sahaja salah satu kanser reproduktif wanita yang paling berbahaya dan sukar dirawat, ia juga sering lambat dikesan.
Sering disedari hanya bila tiba tahap yang tinggi iaitu tahap tiga dan empat, simptomnya yang tidak nyata membuatkan ia sukar dikesan.
Penyakit yang amat berbahaya ini merupakan punca kepada kebanyakan kematian daripada mana-mana kanser reproduktif yang lain.
Tidak seperti kanser-kanser reproduktif yang lain seperti kanser pangkal rahim yang sering diterangkan kepada umum, ramai yang tidak sedar akan kanser ovari.
Sedangkan, berdasarkan Pendaftaran Kanser Kebangsaan 2006 di Malaysia, kanser ovari merupakan kanser keempat paling banyak ditemui dalam kalangan wanita.
Menurut Konsultan Perubatan Onkologi Hospital Beacon, Dr. Azura Rozila Ahmad, penemuan pada tahap yang tinggi membuatkan ia sukar dirawati kerana ia telah merebak ke organ lain.
Kanser ovari sememangnya diagnosis yang menakutkan tetapi tahap kejayaan untuk pulih bergantung kepada tahap kanser yang ditemui.
Malangnya, kira-kira 70 peratus kanser ovari dikesan pada tahap yang tinggi bermaksud hanya dalam satu daripada lima ditemui di peringkat awal sedangkan 90 peratus kanser ovari di tahap satu boleh dirawat.
Simptom kanser ovari tidak jelas seperti perut buncit, perubahan cara pembuangan air besar, kurang nafsu makan, cepat kenyang dan rasa tidak selesa di bahagian perut.
“Simptom tersebut sering disalah erti sebagai masalah biasa membuatkan mereka tidak bertemu dengan pakar untuk mengadakan pemeriksaan terperinci,” terangnya ketika ditemui di Hospital Beacon, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Terang Dr. Azura, selain simptomnya yang tidak nyata, diagnosis kewujudan kanser ini menggunakan pengimejan ultra bunyi dan CT-Scan hanya dapat mengesahkan kewujudan ketumbuhan kerana ia terlalu jauh di dalam pelvis.
0 Comment to "KANSER OVARI PEMBUNUH SENYAP KAUM WANITA?"
Catat Ulasan