Memaparkan catatan dengan label WANITA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label WANITA. Papar semua catatan

16/11/17

BENARKAH DURIAN MEMPUNYAI ANTIOKSIDA TINGGI DAN MAMPU MELEGAKAN BATUK?


Kerajaan akan membuat kajian terhadap khasiat memakan durian yang dikatakan memberi kebaikan untuk kesihatan lelaki.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ia tambahan beberapa kajian dari seluruh negara terhadap sudut positif memakan durian.

Jelasnya, ia termasuk kajian di luar negara mengenai komposisi durian yang mempunyai antioksida lebih tinggi selain berkaitan kulit durian yang mempunyai antibiotik untuk melegakan batuk.

"Durian juga seperti makanan lain ianya boleh dimakan, baik untuk  dimakan tetapi dalam bentuk kesederhanaan.

"Jangan berlebih-lebihan terutamanya kepada pesakit kencing manis. Ada kajian durian ini ada unsur baik untuk lelaki dan kita akan beri badan berkaitan untuk buat kajian lebih mengenai hal ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Noor Azmi Ghazali (Barisan Nasional-Bagan Serai) mengenai kajian durian dan kesan pengambilannya terhadap kesihatan.

Dalam pada itu, jelasnya, teknologi simpanan durian menggunakan kaedah sejuk beku membolehkan buah itu dapat dinikmati sepanjang masa dan bukan hanya waktu musimnya sahaja.

Selain itu katanya, kaedah penggunaan kolagen pada durian juga membolehkan buah itu bertahan sehingga setahun.

Bagaimanapun katanya, jika diberi pilihan, orang ramai lebih menggemari durian Malaysia berbanding dari Thailand.

Sebelum ini, Shabery menjelaskan, kerajaan memohon kelulusan segera daripada Kerajaan China untuk membolehkan durian Musang King segar dibawa ke pasaran republik itu dalam masa terdekat.

Tegasnya, ia secara tidak langsung membolehkan pasaran raja buah itu mampu bersaing dengan buah-buahan tempatan yang sudah berjaya dieks­port ke negara itu sebelum ini.

Jelasnya, setakat ini negara tersebut hanya menerima pasaran eksport musang king sejuk beku sahaja.

15/02/17

ADA ENAM JENIS PENYAKIT MEROYAN


Negara digemparkan dengan berita bayi berusia tiga bulan maut akibat dikelar ibunya sendiri baru-baru ini. Peristiwa tragis itu bukan pertama berlaku malah sebelum ini kita pernah disajikan dengan berita bayi dicampak dari pangsapuri akibat masalah sama.

Jika difikir secara logik akal, seorang ibu yang waras tidak akan tergamak berbuat demikian terhadap zuriat sendiri. Dalam keadaan tertentu, gangguan fikiran dan emosi dihadapi menyebabkan sesetengah ibu bertindak di luar kawalan. Bagi masyarakat kita, ia dipanggil meroyan atau kemurungan postpartum yang berlaku selepas melahirkan anak.

Mengikut ilmu perbidanan Melayu, meroyan atau merian hendaklah diberi perhatian kerana penyakit itu akan berlarutan seumur hidup sekiranya dibiarkan tanpa rawatan.

Perunding Perbidanan dan Sakit Puan juga Pakar Kesuburan Pusat Perubatan Tropicana, Dr Nurhazinat Mohamed Yunus berkata meroyan adalah masalah mental selepas bersalin atau acut psychosis.

“Meroyan dikenali dalam kalangan ahli perubatan sebagai postpartum depression (PPD) satu bentuk kemurungan klinikal (clinical depression) yang menjejaskan wanita, dan kadangkala lelaki selepas kelahiran anak.


“Terdapat beberapa jenis meroyan yang biasa menyerang wanita selepas bersalin antaranya postpartum blues, pospartum depression dan yang paling merisaukan ialah pospartum psikosis,” katanya ketika ditemui di hospital itu baru-baru ini.

Menurutnya, postpartum adalah masalah biasa dan tidak perlu dirisaukan. Ada yang mengalaminya pada kelahiran pertama saja. Antara gejalanya ialah rasa tertekan, sedikit murung, sedih, mudah menangis, berasa terlalu terharu tanpa sebab dan emosi cepat berubah.

“Postpartum depression pula ialah ibu yang mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidap kemurungan, hilang selera makan, cepat letih, tidak yakin dan rasa bersalah serta mudah marah.

“Pospartum psikosis pula adalah keadaan yang paling merisaukan di mana ibu akan mendengar suara halus yang menyuruh melakukan perkara di luar batasan seperti yang terjadi baru-baru ini,” katanya.

Beliau juga memberitahu, sokongan dan perhatian suami dan keluarga memainkan peranan terpenting bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

“Misalnya jika isteri mengadu atau meluahkan perkara yang agak tidak masuk akal seperti rasa mahu membunuh bayi, ambilnya sebagai perkara yang serius dan jangan menganggap ia sekadar gurauan. Dalam keadaan seperti ini, sokongan ahli keluarga, terutama suami, sangat penting. Suami perlu beri kerjasama menjaga anak seperti bangun malam atau membantu menukar lampin, supaya isteri boleh mendapat tidur yang cukup.

“Kurang sokongan daripada suami dan ahli keluarga boleh menyebabkan wanita mengalami kemurungan. Apabila ini berlaku dan tidak dibantu segera, masalah jadi lebih berat kerana pesakit tidak dapat mengawal perasaan dan dibelenggu pelbagai perkara yang menekan fikiran,” katanya.

Dr Nurhazinat berkata, kehamilan yang tidak dirancang atau tidak dikehendaki juga boleh menjadikan wanita tertekan dan murung selepas bersalin. Kajian menunjukkan hampir 70 peratus kehamilan yang berlaku adalah tidak dirancang dan ini meningkatkan risiko untuk mengalami kemurungan.

INFO:

Jenis meroyan mengikut kepercayaan masyarakat Melayu

1. Meroyan Api

- Ibu akan menjadi bengis, baran, cepat marah hingga tahap menjerit dan lupa diri

- Perubahan mood yang ketara

- Perubahan sikap lebih ketara ketika datang bulan

2.Meroyan Ketung

- Ibu menjadi murung, hiba, sayu, mudah menangis, perasa (sensitif) dan ada kalanya kelihatan seperti bodoh

- Kebanyakan berlaku kepada ibu yang kehilangan anak

- Ada kes sehingga membunuh diri

3. Meroyan Urat

- Ibu mengalami ketegangan urat sarat sehingga sentiasa mengeraskan diri seperti mengalami kekejangan otot

- Selalu berlaku ketika cuaca sejuk, atau jika ibu tersilap makan benda yang bersifat sejuk

- Berlaku kepada ibu yang melakukan kerja berat atau banyak menggunakan urat besar sejurus lepas bersalin

4. Meroyan Lendir

- Ibu sentiasa pucat, lesu, mata pudar, keguguran rambut dan badan menjadi susut

- Keguguran rambut yang melampau

- Mengalami masalah dingin seks terhadap pasangan

- Penyebab utama apabila darah kotor dan angin jahat di dalam tubuh tidak dikeluarkan sepenuhnya sepanjang tempoh berpantang

5. Meroyan Tinggal

- Ibu tiba-tiba asyik berleter, bercakap seorang diri dan mengambil peluang melarikan diri dari rumah

- Ibu mungkin tidak mahu bayinya sendiri

- Ada tahap sehingga menjadi ganas

6. Meroyan Bulu

- Ibu sentiasa seram sejuk selepas bersalin

- Jika berlarutan, ibu akan mula menghidap rheumatoid artiritis atau keradangan sendi

- Ini berlaku apabila ibu banyak bermain air dan bersejuk ketika berpantang

7. Meroyan Kulit

- Ibu akan berasa gatal serta miang seluruh badan dan tergaru-garu seperti kera

- Ia berlaku disebabkan darah kotor tidak habis keluar menyebabkan kekotoran keluar melalui liang roma peluh

- Ini akan berterusan jika darah nifas tidak habis dikeluarkan sepanjang tempoh berpantang

Antara simptom

- Terlalu lesu

- Hilang kegembiraan untuk menjalani hidup

- Tidak boleh tidur malam (insomnia)

- Sedih keterlaluan

- Menangis tanpa sebab

- Resah gelisah

- Berasa diri tidak berharga

- Sentiasa berasa bersalah

- Emosi mudah terganggu

- Hilang selera makan

- Tidak boleh menumpukan perhatian

Antara punca

- Pernah mengalami kemurungan, sama ada pada diri sendiri atau ahli keluarga (termasuk skizofrenia)

- Perubahan hormon yang banyak (perubahan hormon mendadak boleh merangsang kemurungan)

- Tekanan

- Kurang sokongan keluarga

- Gangguan psiko sosial seperti masalah perkahwinan atau pergaduhan

- Tidak cukup tidur kerana terpaksa bangun malam untuk menyusukan anak

- Melahirkan anak yang tidak dikehendaki (unplaned pregnancy)

- Kekecewaan akibat terlalu inginkan anak lelaki, tetapi dianugerahkan anak perempuan (atau sebaliknya)

17/07/16

RAMAI WANITA BIMBANG FARAJ LONGGAR SELEPAS BERSALIN


Masalah faraj longgar sering dialami wanita selepas melahirkan anak. Bagaimanapun, perkara itu kurang diberi perhatian disebabkan malu atau kurang pemahaman mengenainya.

Kira-kira 48 peratus menyatakan kebimbangan terhadap masalah faraj longgar manakala 20 peratus pula membincangkan hal itu dengan doktor mereka.

Pengasas dan Pengarah Pakar Perubatan Pusat Perubatan Dr Alice, Dr Alice Prethima berkata, ketika proses kelahiran, tisu introital (pembukaan) faraj boleh menjadi terlalu regang dan menyebabkan rasa longgar.

“Akibat kerosakan tisu ini, wanita akan hilang sensasi fizikal dan mengalami ketidakpuasan seks. Ia boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan seksual dan kualiti hidup mereka.

“Antara yang berisiko adalah wanita melahirkan ramai anak, wanita hamil, wanita lanjut usia,wanita yang mempunyai sejarah kecederaan lampau, kelahiran berulang dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Viveve iaitu rawatan memperbaiki kelonggaran faraj pertama di Malaysia, baru-baru ini.

Viveve adalah rawatan tanpa bedah berasaskan tenaga yang memulihkan tisu serta mengetatkan faraj tanpa menggunakan anestesia. Rawatan ini hanya dilakukan kira-kira 30 minit.

Rawatan Viveve sesuai untuk wanita berusia, aktif seks terutama yang melahirkan anak melalui faraj. Ia menggunakan tenaga frekuensi radio (RF) yang dipatenkan untuk merangsang proses pembinaan semula kolagen semula jadi badan.

Tip semula jadi mengetatkan faraj

Senaman Kegel adalah senaman yang bagus untuk wanita terutama yang berkahwin dan melahirkan anak. Ramai tak tahu senaman Kegel berfungsi membantu mengatasi masalah seperti tidak boleh mengawal kencing, mengurangkan kes peranakan turun, meningkatkan aliran darah ke uterus atau vagina, meningkatkan kualiti hubungan kelamin dan menguatkan otot vagina seterusnya memudahkan proses bersalin dan mengurangkan koyak pada perinium.

Cara melakukan senaman kegel:

• Ketika membuang air kecil, buat kemutan bagi menghentikan aliran air kencing secara tiba-tiba.

• Tahan dan kira sehingga 10 saat sebelum melepaskan baki kencing seperti biasa.

• Otot pada pangkal rahim cukup kuat jika anda mampu menahan air kencing tanpa menggerakkan kaki.

• Untuk pastikan kaedah ini betul, anda boleh masukkan jari yang bersih ke dalam faraj dan cuba cengkam jari ini mengunakan faraj anda.

Cengkaman itu lazimnya terasa pada bahagian pangkal jari saja. Otot punggung, otot abdomen dan otot paha seelok-eloknya tidak dikemutkan pada waktu ini.

1/05/16

BAKAL IBU MASIH WAS WAS DENGAN PANTANG LARANG KETIKA HAMIL


Setiap pasangan yang berkahwin pasti mahukan cahaya mata sebagai pelengkap hidup. Waktu hamil adalah saat yang paling tidak dapat dilupakan oleh semua wanita.

Apatah lagi pertama kali bakal bergelar ibu, banyak perkara yang perlu dipelajari. Malah sesetengah ibu masih keliru dengan perkara yang boleh dilakukan atau tidak ketika hamil.

Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Colombia Asia, Petaling Jaya, menjelaskan, penting buat bakal ibu mempunyai ilmu mengenai kehamilan.

“Ibu yang hamil kali pertama disaran menghadiri kelas penjagaan kehamilan kerana ia penting sebagai langkah memantau kelancaran kehamilan serta pembesaran bayi dalam kandungan.

“Menghadiri kelas berkenaan, bakal ibu tahu mengenai perkara asas antaranya berat badan ideal ketika hamil, tekanan darah normal, makanan untuk ibu hamil, simptom awal kelahiran serta pengambilan makanan tambahan,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu baru-baru ini.

Menurut Nicholas, ibu yang hamil disaran berjumpa doktor mengikut usia kandungan. Misalnya kandungan berusia hingga 28 minggu disaran berjumpa doktor empat minggu sekali, 28 hingga 36 minggu dua minggu sekali manakala kandungan berusia 36 minggu ke atas pula setiap minggu.

“Bakal ibu hendaklah berjumpa doktor dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengetahui perkembangan bayi dalam kandungan seperti pergerakan, saiz bayi, kedudukan, keadaan jantung dan sebagainya.

“Waktu ini juga, apabila kandungan sudah mencapai tiga bulan ke atas, pasangan boleh membuat ujian imbasan janin bagi mengetahui jantina bayi,” katanya.

Selain itu, terdapat bakal ibu masih ragu dan sering disogok dengan mitos terhadap makanan yang boleh diambil dan tidak ketika hamil.

Mengulas mengenainya, Nicholas berkata, memang ada bakal ibu masih was-was dan sering bertanya mengenai pantang larang mengambil makanan ketika hamil.

“Antara yang sering didengar ialah mitos ibu hamil tidak boleh mengambil teh herba, barli, susu soya, makanan pedas, kopi serta teh. Perkara itu tidak benar sama sekali.

“Makanan yang dilarang seperti ginseng, alkohol, ubat-ubatan, susu yang tidak dipastur, makanan laut serta telur mentah.

Selain itu, ada juga yang masih bertanya mengenai seks ketika hamil sama ada dibenarkan atau tidak.
Menurutnya, seks boleh selagi ia tidak mendatangkan kesakitan, pendarahan atau air ketuban pecah, serta keguguran.

Jelas beliau, hubungan seksual sememangnya digalakkan bagi memudahkan bukaan ketika bersalin.
Persepsi ibu hamil tidak boleh melakukan perjalanan jauh juga harus diperbetulkan kerana ia boleh dengan syarat keadaan kesihatan mengizinkan.

9/02/16

LEBIH 3000 WANITA MENGANDUNG DI COLOMBIA TELAH DI JANGKITI VIRUS ZIKA


Lebih daripada 3,100 wanita mengandung di Colombia telah dijangkiti virus Zika bawaan nyamuk, kata Presiden Juan Manuel Santos kelmarin ketika virus itu terus menular dengan pantas di benua Amerika.

Virus tersebut telah dikaitkan dengan kecacatan bayi baru lahir dikenali sebagai mikrosefali yang menghalang otak bayi dalam kandungan berkembang secara normal.

Santos memaklumkan belum ada kes mikrosefali berkait dengan Zika direkodkan di Colombia tetapi terdapat 25,645 orang dijangkiti virus tersebut di Colombia setakat ini dengan 3,177 daripadanya adalah wanita mengandung.

“Perangkaan semasa menunjukkan kita mungkin berdepan dengan 600,000 kes jangkitan Zika,” kata Santos ketika berucap secara langsung di televisyen.

Tambahnya, Colombia mungkin menyaksikan sehingga 1,000 kes Sindrom Guillain-Barre iaitu sejenis penyakit serius jarang ditemui yang boleh menyebabkan kelumpuhan dan dikaitkan kerajaan di beberapa negara dengan jangkitan Zika.

Pihak berkuasa dan pemimpin masyarakat akan berusaha mengekang pembiakan nyamuk di seluruh negara ini dengan menyembur asap dan membantu penduduk membersihkan takungan air, tegas Santos.

Menteri Kesihatan Colombia, Alejandro Gaviria sebelum ini memaklumkan dia percaya tiga kematian boleh dikaitkan dengan jangkitan virus Zika. – Reuters

26/01/16

KANSER OVARI PEMBUNUH SENYAP KAUM WANITA?


KANSER OVARI adalah pembunuh wanita secara senyap. Bukan sahaja salah satu kanser reproduktif wanita yang paling berbahaya dan sukar dirawat, ia juga sering lambat dikesan.

Sering disedari hanya bila tiba tahap yang tinggi iaitu tahap tiga dan empat, simptomnya yang tidak nyata membuatkan ia sukar dikesan.

Penyakit yang amat berbahaya ini merupakan punca kepada kebanyakan kematian daripada mana-mana kanser reproduktif yang lain.

Tidak seperti kanser-kanser reproduktif yang lain seperti kanser pangkal rahim yang sering diterangkan kepada umum, ramai yang tidak sedar akan kanser ovari.

Sedangkan, berdasarkan Pendaftaran Kanser Kebangsaan 2006 di Malaysia, kanser ovari merupakan kanser keempat paling banyak ditemui dalam kalangan wanita.

Menurut Konsultan Perubatan Onkologi Hospital Beacon, Dr. Azura Rozila Ahmad, penemuan pada tahap yang tinggi membuatkan ia sukar dirawati kerana ia telah merebak ke organ lain.

Kanser ovari sememangnya diagnosis yang menakutkan tetapi tahap kejayaan untuk pulih bergantung kepada tahap kanser yang ditemui.

Malangnya, kira-kira 70 peratus kanser ovari dikesan pada tahap yang tinggi bermaksud hanya dalam satu daripada lima ditemui di peringkat awal sedangkan 90 peratus kanser ovari di tahap satu boleh dirawat.

Simptom kanser ovari tidak jelas seperti perut buncit, perubahan cara pembuangan air besar, kurang nafsu makan, cepat kenyang dan rasa tidak selesa di bahagian perut.

“Simptom tersebut sering disalah erti sebagai masalah biasa membuatkan mereka tidak bertemu dengan pakar untuk mengadakan pemeriksaan terperinci,” terangnya ketika ditemui di Hospital Beacon, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Terang Dr. Azura, selain simptomnya yang tidak nyata, diagnosis kewujudan kanser ini menggunakan pengimejan ultra bunyi dan CT-Scan hanya dapat mengesahkan kewujudan ketum­buhan kerana ia terlalu jauh di dalam pelvis.

7/10/15

RAMAI YANG TAK TAHU AMALAN `DIET` YANG SEBENAR


Apabila menyentuh tentang soal diet, perkara yang terlintas di minda kita hanyalah pil kurus, jamu, dan ikat perut. Disebabkan itu ramai dalam kalangan kita yang dikatakan sedang ‘berdiet’ dimasukkan ke hospital gara-gara mahu menurunkan berat badan.

Memang tidak dinafikan dengan mengawal makan dan mengambil pil-pil kurus, mampu mengembalikan bentuk badan yang langsing, namun mengamalkan diet yang tidak tepat, berat badan ideal yang berjaya dicapai tidak semena-semena kembali naik malah kesihatan juga mungkin terjejas.

Menurut Perunding Diet dan Nutrisi Hospital Beacon, Gurdip Kaur, ramai yang tersalah anggap jika mahu kurus mereka tidak boleh makan. Sedangkan apabila mereka tidak mematuhi jadual pemakanan, kadar metabolisme akan turun mendadak lalu menyukarkan mereka menurunkan berat badan.

Kesalahan utama mereka yang gagal mendapatkan berat badan ideal adalah disebabkan tidak tahu cara yang betul untuk menetapkan sasaran penurunan berat badan yang realistik dan selamat.

Sebenarnya, tiada undang-undang khusus untuk menurunkan berat badan. Apa yang paling penting adalah ilmu nutrisi dan perubahan kepada gaya hidup yang sihat.

“Sokongan daripada orang sekeliling juga amat penting kerana motivasi yang tinggi amat diperlukan jika mereka serius untuk melakukannya. Jika mereka memandang rendah keinginan kita untuk menurunkan berat badan, berkemungkinan kita boleh gagal mencapai sasaran,” katanya.

Jangan elak pengambilan nasi
Ujar Gurdip, pengambilan kumpulan makanan yang salah juga banyak berlaku dalam kalangan mereka yang berdiet terutama sekali tentang pengambilan nasi.

Ramai yang mengelak untuk mengambil hidangan nasi sedangkan mereka tidak perlu berpantang 100 peratus nasi kerana makanan yang berlemak dan manisan yang akan menyebabkan kegemukan.

Akuinya, walaupun mereka tidak mengambil nasi, jika kandungan kalori di dalam badan melebihi keperluan turut akan mengganggu proses penurunan berat badan. Jelasnya, menghentikan sesuatu nutrisi seperti karbohidrat dalam pemakanan bukanlah sesuatu yang bijak dan tidak berkesan untuk jangka masa yang lama kerana nasi adalah makanan ruji orang Asia.

Katanya, satu gram karbohidrat mempunyai kadar sebanyak empat kalori sahaja berbanding lemak sembilan kalori.

Namun katanya, nasi yang mengandungi karbohidrat jika diambil berlebihan boleh membahayakan kesihatan kerana akan menukarkan kepada lemak, jadi sukatan yang dicadangkan adalah semangkuk kecil nasi bersama sayur-sayuran dan sedikit protein.

Cara penyediaan makanan juga berkait rapat dengan keperluan jumlah kalori di dalam badan. Di Malaysia, kita agak sukar untuk mengelak makanan yang bergoreng, berlemak, serta manis, sebaliknya jika diminta untuk mengambil makanan yang disediakan secara stim, kukus atau rebus, ramai yang tidak mahu.

Masakan yang dimasak juga perlu bebas lemak terutamanya santan yang banyak terdapat dalam hidangan orang kita. Santan boleh digantikan dengan susu rendah lemak atau menggunakan herba-herba seperti jintan putih, jintan manis, dan kayu manis.

“Saya sangat menggalakkan mereka yang sedang berdiet atau menjaga pemakanan agar tidak makan di luar kerana masakan yang disediakan sendiri lebih menyihatkan. Kita sendiri tahu apa bahan yang digunakan,” katanya.

Menurut Gurdip, ramai yang tidak tahu pengambilan buah-buahan secara berlebihan juga akan menyebabkan kandungan gula di dalam badan meningkat.

Namun, asalkan mereka tahu jumlah hidangan yang sepatutnya diambil, buah-buahan memang digalakkan. Sebagai contoh, sebiji epal sudah mencukupi untuk satu hidangan, manakala lapan biji buah anggur juga bersamaan dengan satu hidangan.

Menurutnya, setiap orang juga tidak boleh mengabaikan gaya hidup aktif kerana membantu mengekalkan kadar metabolisme di dalam badan.

Jika mampu, setiap orang digalakkan bersenam pada setiap hari selama 40 minit pada setiap sesi. Namun, adalah disyorkan untuk bersenam dua atau tiga kali seminggu.

“Jika tidak mempunyai masa untuk bersenam, pastikan anda aktif dalam aktiviti harian. Sebagai contoh, di tempat kerja elakkan menggunakan lif dan hanya menggunakan tangga manakala di rumah pula, sekadar mengemas rumah seperti mop lantai juga sudah dikira melakukan senaman,” katanya.

Kini ramai orang Malaysia mula mengikuti diet-diet yang diperkenalkan dan popular dari negara-negara Barat seperti diet Atkin dan diet detox, namun bukan semuanya bersesuaian serta mempunyai pro dan kontranya.

Jelas Gurdip, diet Atkin yang dikenali sebagai diet rendah karbohidrat popular diamalkan oleh golongan yang mahu kurus dengan cepat, namun sebenarnya hanya berhasil dalam tempoh jangka masa yang pendek sahaja.

Secara am, konsep diet Atkin adalah mengurangkan karbohidrat dalam diet tetapi melebihkan makanan yang tinggi dengan protein, sedangkan jumlah pengambilan protein yang disyorkan adalah satu gram bagi setiap berat manusia.

Badan kita memerlukan semua zat makanan, bukan bergantung kepada protein semata-mata. Protein akan mengambil masa yang lama untuk dicerna dan boleh memberi tekanan kepada buah pinggang.

“Mungkin ramai yang mengamalkannya namun bukan dalam tempoh masa yang lama, dan apabila keadaan itu berlaku, berat badan kembali naik kerana badan mula menerima karbohidrat,” ujarnya.

Bagi diet detox pula, adalah diet berasaskan tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, dan sayur-sayuran hijau bertujuan mencuci sistem penghadaman dan dikatakan memberi tenaga kepada sel.

Ujarnya, diet ini juga tidak digalakkan kerana tidak memberi sumber tenaga yang mencukupi. Menurutnya, detox hanya memberi kebaikan kepada mereka yang menghadapi masalah pencernaan seperti sukar membuang air besar, tetapi bukan orang yang normal.

Beliau hanya mengesyorkan diet seimbang, yang mampu membekalkan nutrien mencukupi kepada pengamalnya kerana mengandungi kesemua nutrisi diperlukan daripada semua kumpulan makanan untuk fungsi sel-sel badan, organ dan tisu.

Mengamalkan diet yang seimbang boleh meringankan masalah kesihatan termasuk masalah jantung, artritis, tekanan darah tinggi dan kolesterol.

“Badan yang seimbang dari segi mental dan fizikal memberi kecergasan dan kekuatan yang lebih, membolehkan kita menjalani kehidupan lebih panjang dan sihat,” katanya.

5/10/15

WANITA PERLU AMBIL BERAT GANGGUAN (KILANG TELUR) SISTA OVARI.


Banyak wanita menganggap sista dan endometriosis serupa. Hakikatnya, kedua-duanya merujuk penyakit pada ovari atau kilang telur. Sista pada ovari atau ketumbuhan dalam ovari yang mengandungi pembendungan cecair. Golongan wanita mengambil berat terhadap sista disebabkan kebimbangan mereka tentang kanser ovari. 


Dalam pada itu, endometriosis merupakan penyakit yang berkait dengan kehadiran tisu atau darah ditemui di kawasan luar rahim. Bagi sebahagian penghidap, tisu endometriosis ini tidak gugur semuanya menuruni pintu rahim ke luar faraj sebagai haid, tetapi masuk menembusi dinding otot rahim ataupun keluar menerusi laluan salur Fallopio ke dalam ruang pelvis atau abdomen.

Kebanyakan sista ovari ini bukanlah ketumbuhan kanser. Berita yang menggembirakan hampir semua sista ovari ini akan hilang secara spontan tanpa memerlukan rawatan. Memandangkan kebanyakan sista ovari benigna (bukan kanser), kewujudan sista ini biasanya tidaklah membimbangkan. Walau bagaimanapun, sebahagian daripada sista benigna sebenarnya memerlukan rawatan kerana tidak hilang dengan sendirinya. Malahan, terdapat beberapa kes terpencil yang telah berlaku sista benigna mampu bertukar menjadi kanser. 

Lazimnya, sista ovari tidak membahayakan serta tidak menimbulkan gejala. Sekiranya berlaku, antara gejala yang mungkin dirasai wanita termasuklah berasa sesak atau bengkak dalam abdomen dan berat badan boleh bertambah. 

Terdapat sebahagian penghidap mengalami sakit (bukan mencucuk-cucuk) dan berlaku berterusan sama ada di sebelah atau di kedua-dua belah pelvis, sakit semasa hubungan seks, haid yang tertunda, tidak teratur dan sakit. Malahan, ada penghidap yang mengalami masalah pertumbuhan bulu roma yang agak banyak sama ada di lengan, betis dan muka. 

Bagi penghidap yang mempunyai sista yang besar mungkin berisiko mengalami gejala sakit teruk yang mencucuk dalam abdomen, demam, adakalanya disertai muntah. Kemungkinan keadaan ini disebabkan oleh sista yang berdarah kerana telah pecah atau terpulas. 

Terdapat beberapa jenis sista ovari antaranya termasuklah sista fisiologikal (physiological cyst), sista folikel dan korpus luteum. Sista fisiologikal merupakan sista yang sangat lazim berlaku dan dikaitkan dengan kelainan daripada fungsi ovari yang normal. 

Contohnya, sista terbentuk apabila ovari cuba dikeluarkan seperti dalam proses pengovulan biasa yang mungkin berlanjutan antara empat hingga enam minggu. Sista ini jarang-jarang merembeskan hormon. Sista folikel dan korpus luteum pula terbentuk apabila folikel yang menghasilkan ovum di dalam ovari membesar dan dipenuhi cecair. 

Sista korpus luteum merupakan jisim tisu berwarna kuning yang terbentuk daripada folikel selepas proses pengovulan. Sista jenis ini sering timbul dan hilang setiap bulan malah sering dikaitkan dengan fungsi normal ovari. Sista yang abnormal terjadi kesan daripada pertumbuhan sel dan kebanyakannya merupakan ketumbuhan benigna. 

Dalam beberapa kes tertentu, sista boleh menjadi kanser. Sista yang abnormal memerlukan rawatan susulan. Sista dermoid ialah sista abnormal yang mengandungi pelbagai jenis tisu seperti bahan lemak, rambut, gigi, serpihan tulang dan tisu rawan. Masalah lain berkaitan sista di ovari juga mungkin disebabkan oleh sindrom ovari polisistik. 

Sista ini terjadi disebabkan timbunan sista kecil yang berganda sehingga menyebabkan berlaku ketidakseimbangan hormon. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya haid yang tidak teratur, timbulnya bulu-bulu roma di badan dan ketidaksuburan atau infertiliti. Tumor Ovari Memandangkan sista ovari biasanya tidak menunjukkan gejala, maka penting bagi wanita yang pernah mengalaminya menjalani pemeriksaan pelvis secara berkala. 

Sekiranya wanita pernah mengalami sista pada masa dahulu atau mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidap tumor ovari, pematuhan kepada pemeriksaan amat diperlukan. Wanita yang pernah mengalami sista ovari mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk dijangkiti lagi pada masa hadapan. 

Endometriosis mungkin menjadi lebih serius jika berlakunya sista ovari. Malahan, penghidapnya berisiko tinggi dan terpaksa menjalani oforektomi, iaitu pembedahan untuk membuang ovari. Dalam beberapa kes tertentu, jika berlakunya sista ovari yang maligna (kanser ovari), rawatan awal biasanya memberikan lebih jaminan untuk sembuh. 

Wanita yang mendapat sista ovari selepas putus haid lebih berisiko tinggi mengalami kanser ovari. Sehubungan dengan hal itu, amat penting bagi wanita tersebut mendapatkan nasihat doktor dengan segera jika mengalami sebarang rasa sesak, tekanan atau kurang selesa di bahagian pelvis. 

Semakin cepat sista itu dikesan dan dirawat maka semakin cerah peluang wanita untuk sembuh. Sista ovari boleh dikesan melalui pemeriksaan pelvis apabila doktor dapat merasai saiz ovari dan mengesan sebarang keabnormalan yang wujud. 

Ujian lain yang perlu dijalankan ialah ujian imbasan ultrabunyi pelvis, ujian darah dan juga mungkin prosedur laparoskopi. Imbasan ultra bunyi merupakan alat yang menggunakan gelombang bunyi untuk menghasilkan gambar atau imej organ dalaman. Satu alat khas perlu diletakkan di atas abdomen atau dimasukkan ke dalam faraj untuk mendapatkan gambaran yang jelas. 

Ujian darah bagi mengesan tumor juga perlu dilakukan jika doktor mensyaki adanya maligna. Sesetengah penghidap perlu menjalani prosedur laparoskopi, iaitu satu pembedahan kecil yang dilakukan untuk membolehkan doktor melihat struktur dalaman abdomen atau ruang pelvis. 

Rawatan bagi sista ovari ini bergantung pada saiz dan jenis sista, usia sama ada penghidap berada dalam tahun-tahun yang subur atau telah putus haid. Faktor lain yang patut dipastikan ialah keinginan penghidap untuk mendapatkan anak, tahap kesihatan keseluruhannya dan keterukan atau keseriusan gejala yang dialami. 

Sesetengah sista akan hilang begitu sahaja dalam masa satu hingga dua bulan tanpa dirawat. Sekiranya tidak sembuh, pembedahan mungkin diperlukan untuk membuang sista tersebut. Malahan, jika dapat dikesan lebih awal lagi, mungkin pembedahan kecil diperlukan untuk membuang sista tanpa melibatkan ovari. 

Terdapat juga penghidap endometriosis yang tidak bernasib baik apabila terpaksa menjalani pembedahan membuang ovari dan rahim, manakala salur Fallopio pula terpaksa dipotong. Memandangkan risiko yang serius yang terpaksa dihadapi penghidap endometriosis, beberapa langkah pencegahan perlu diberikan perhatian yang serius. 

Antara langkah tersebut termasuklah mendapatkan pemeriksaan pelvis secara berkala seperti yang disarankan oleh doktor dan mengambil ubat tahan sakit jika kesakitan ringan.

1/10/15

KETAHUI APA ITU KETUMBUHAN FIBROID DALAM RAHIM


SOALAN : Saya mengalami haid yang agak banyak sejak enam bulan kebelakangan ini dan telah berjumpa doktor. Doktor mendapati bahawa saya mempunyai fibroid. Saya ada beberapa soalan berkenaan fibroid. Adakah fibroid boleh menjejaskan kesihatan setiap individu? Siapakah yang berisiko untuk mempunyai fibroid? Bagaimanakah manifestasi bagi mereka yang mempunyai fibroid? Mohon doktor perjelaskan.

JAWAPAN : Fibroid merupakan penyakit yang berkaitan dengan rahim. Fibroid atau nama lainnya leiomyoma merupakan salah satu ketumbuhan benigna yang wujud di dalam rahim dan boleh berlaku dalam bentuk ketumbuhan tunggal atau ketumbuhan berganda.

Fibroid membesar secara perlahan-lahan di beberapa lokasi yang berbeza. Pada kebiasaannya, fibroid terjadi kepada wanita yang berusia sekitar 30-an hingga 40-an, iaitu dalam lingkungan usia subur (peringkat reproduktif) dan akan kembali mengecut (mengecil) apabila seseorang wanita itu sudah mengalami menopaus atau putus haid. Wanita yang berisiko untuk mempunyai fibroid ialah wanita pada usia subur (30 hingga 40 tahun), wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan atau indeks jisim badan melebihi 25kg/m, wanita yang mempunyai ahli keluarga yang pernah mengalami fibroid dan juga wanita yang tidak pernah melahirkan anak (nulliparous).

Ada fibroid yang mencetuskan gejala dan ada juga yang berlaku tanpa sebarang gejala. Gejala atau simptom wanita mengalami fibroid adalah berdasarkan lokasi fibroid itu sendiri. Ada sesetengah pesakit yang menghidap fibroid mengalami perdarahan yang berlebihan dan berpanjangan setiap kali mereka mengalami haid dan kadangkala mereka juga mungkin mengalami masalah ketidaksuburan atau infertiliti.

Walau bagaimanapun, fibroid biasanya tidak mempunyai gejala. Lebih kurang 80 peratus wanita tidak mengalami gejala. Hal ini menyebabkan fibroid tidak dapat dikesan. Menoragia atau perdarahan berlebihan ketika haid merupakan tanda utama yang dialami oleh wanita yang mengalami fibroid. Akan tetapi, bebas daripada tanda ini tidak bermakna kita bebas daripada fibroid dan juga sebaliknya. Bagi wanita yang menghidap fibroid dan mengalami simptom, mereka perlu dirawat untuk mengurangkan simptom yang dihadapi sama ada secara rawatan ubatan seperti pil hormon dan suntikan ataupun secara pembedahan dan sebagainya.

Secara umumnya, wanita yang berada dalam lingkungan usia subur (usia reproduktif) akan berisiko tinggi untuk menghidap fibroid. Dalam lingkungan umur ini, wanita digalakkan untuk hamil dan melahirkan anak. Hal ini demikian kerana para pengkaji menyatakan bahawa anak yang dikandung pada umur ini kurang berisiko untuk mengalami kecacatan. Selain faktor umur, wanita juga perlu menitikberatkan berat badan mereka kerana hal ini juga merupakan faktor risiko fibroid. Fibroid juga dikatakan berisiko kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga yang pernah mengalami fibroid mahupun mereka yang tidak pernah melahirkan anak.

Mengikut kajian yang telah dilakukan, apabila fibroid membesar, ia akan menekan salur darah dan menyebabkan kawasan itu tidak mendapat bekalan darah yang mencukupi. Keadaan ini menyebabkan kawasan tersebut kekurangan oksigen dan dikenal sebagai iskemia. Seterusnya, keadaan ini boleh merangsang sel-sel di sekitar kawasan itu untuk menghasilkan bahan kimia yang akan merangsang pusat kesakitan. Hal ini akan mendatangkan gejala kesakitan yang teruk pada bahagian pelvis. Selain itu, proses pengecutan oleh miometrium ketika haid untuk mengeluarkan ketulan fibroid juga akan menyebabkan kesakitan. Wanita yang menghidap fibroid akan mengalami kesakitan setiap kali waktu haid. Mereka juga akan berasa lenguh atau kurang selesa atau berasa berat (heaviness) di kawasan pelvis. Dalam keadaan tertentu, ketulan fibroid yang tersekat pada bahagian pelvis akan memberikan tekanan pada saraf di bahagian tersebut. Pesakit akan mengalami sakit di bahagian punggung dan menjalar ke bahagian bawah.

Jika fibroid berada di bahagian pangkal rahim, keadaan ini akan menyebabkan kesakitan ketika mengadakan hubungan seks (dyspareunia). Bagi wanita hamil yang mengalami fibroid, mereka juga akan berasa sakit kerana fibroid menjadi tegang dan tertekan. Di samping itu, fibroid akan mengalami proses perubahan yang dinamakan degenerasi. Proses inilah yang menyebabkan kesakitan bagi wanita hamil yang mempunyai fibroid pada bahagian rahim.

Tekanan
Fibroid yang membesar kebiasaannya akan memberikan tekanan pada organ yang berada di sekitar rahim (uterus), iaitu pundi kencing dan hujung usus (rektum). Akibatnya, seseorang wanita akan mengalami masalah kencing seperti kerap kali hendak kencing, sering kali tidak dapat mengawal kencing dan kadang-kadang mereka akan mengalami kesukaran untuk kencing. Jika hal ini berterusan, air kencing akan bertakung di dalam pundi kencing dan akan menyebabkan seseorang wanita itu berisiko untuk mendapat jangkitan kuman pada pundi kencing. Apabila berlaku jangkitan kuman pada pundi kencing, wanita itu akan berasa pedih atau sakit ketika kencing. Apabila fibroid menekan pada usus pula, ia akan menyebabkan simptom seperti sembelit atau sukar untuk membuang air besar.

Pembesaran Rahim dan Perut
Jika fibroid cukup besar, ia akan menyebabkan pembesaran pada saiz rahim dan juga perut. Seseorang wanita itu akan kelihatan buncit di bahagian bawah perut. Perlu diingatkan bahawa keadaan ini bukan disebabkan oleh penambahan berat badan yang ketara.

Keguguran
Ketumbuhan fibroid juga boleh menyebabkan keguguran kandungan. Hal ini bergantung pada saiz fibroid dan lokasinya. Jika fibroid besar dan berada dalam rongga rahim, ia akan mengubah dinding rahim dan seterusnya mengganggu proses penempelan embrio (janin). Oleh itu, wanita itu akan mengalami keguguran pada awal kandungan lagi. Walau bagaimanapun, tidak semua fibroid akan mengganggu kehamilan dan menyebabkan keguguran.

Infertiliti
Mengikut kajian yang dilakukan, fibroid mempengaruhi infertiliti sebanyak lebih kurang lima peratus sahaja. Infertiliti yang terjadi pada wanita yang menghidap fibroid bukan disebabkan oleh fibroid semata-mata. Hal ini demikian kerana mengikut kajian yang dilakukan, fibroid tidak mengganggu proses pengovulan (ovulasi).

Jadi, wanita yang mempunyai fibroid tidak semestinya mengalami kesukaran untuk hamil. Ada kalanya, jika kesukaran untuk hamil berpunca daripada fibroid itu sendiri, hal ini mungkin disebabkan oleh saiz fibroid yang besar dan menyekat salur Fallopio. Jadi, ovum (telur) yang melalui salur Fallopio itu tidak dapat berjumpa dengan sperma (benih lelaki) dan dengan itu persenyawaan tidak dapat berlaku.

Selain masalah kesuburan, bagi wanita yang berjaya hamil, fibroid mungkin akan menimbulkan masalah sepanjang kehamilannya. Antaranya termasuklah mengganggu kedudukan bayi dalam kandungan seperti songsang, melintang dan sebagainya. Dengan itu, proses kelahiran tidak dapat berlaku secara normal. Pembedahan caesarean terpaksa dilakukan ke atas wanita tersebut. Tidak semua wanita mengalami gejala seperti yang disebutkan itu. Fibroid yang kecil tidak akan memberikan sebarang gejala dan tidak memerlukan sebarang rawatan. Akan tetapi, jika seorang wanita mempunyai salah satu simptom yang telah disebutkan itu, tidak semestinya dia menghidap fibroid.

26/05/15

BERPANTANG CARA YANG SIHAT

IKAN tenggiri bakar enak dinikmati bersama hidangan sayur.

Wanita yang baru lepas bersalin kebiasaannya akan berusaha menjaga kesihatan diri dengan mematuhi amalan semasa dalam pantang seperti yang disarankan oleh budaya mereka.

Kebanyakan budaya mengakui kemungkinan berlakunya kerosakan kepada tubuh wanita akibat proses mengandung dan bersalin yang perlu dipulihkan, dijaga dan dicegah supaya badan dapat kembali segar seperti sebelum ini.

Ini termasuk proses pemulihan akibat kehilangan darah semasa bersalin, pengecutan rahim, keseimbangan hormon, ketegangan urat saraf dan kehilangan tenaga semasa proses bersalin.

Tempoh berpantang dianggap sebagai masa bagi ibu lepas bersalin untuk merawat, menyucikan dan memulihkan tubuh selepas bersalin.

Pemakanan yang baik adalah kunci utama untuk membolehkan wanita terus kekal sihat selepas bersalin. Rehat yang cukup juga amat penting untuk proses pemulihan.

Menurut kaunselor laktasi, Siti Asma Moin, wanita selepas bersalin perlu mengamalkan diet seimbang untuk memastikan tubuh badan mendapat nutrien yang diperlukan.

“Amalan pemakanan ikan yang mengandungi protein tinggi membantu mempengaruhi sistem tubuh yang masih lemah untuk menambah tenaga.

“Selain itu, daging kambing juga baik untuk membina sel badan dan tulang yang kuat selain membantu memanaskan badan. Bahagian isi daging ayam pula dapat membantu mengawal berat badan selepas berpantang.

“Sayuran hijau tidak boleh dielakkan kerana ia membantu merawat luka dalam perut ketika proses bersalin,” katanya.

Ujarnya, semasa berpantang ada sesetengah makanan yang dilarang diambil oleh ibu yang baru bersalin. Namun, makanan berkenaan perlu diganti dengan sumber lain daripada kumpulan makanan yang sama bagi memastikan zat diperlukan diperoleh badan.

Misalnya, ada jenis ikan tertentu yang dianggap boleh menyebabkan ‘gatal’ dan tidak boleh diambil oleh ibu dalam pantang seperti ikan kembung atau ikan tongkol.

Namun, ibu boleh mengambil ikan jenis lain seperti tenggiri untuk memastikan sumber protein dapat diperoleh. Begitu juga dengan sumber bijirin, sayur dan buah.

28/04/15

SENGGUGUT TERUK PENYEBAB WANITA SUKAR HAMIL?


Seorang wanita berumur lingkungan 38, tidak menyangka senggugut yang teruk setiap kali datang haid sehingga memaksa dia bercuti dan mengambil suntikan adalah petanda dia mengalami masalah endometriosis.

Pada mulanya dia beranggapan kesakitan ini hanya perkara biasa untuk wanita sedang datang bulan, tetapi sebenarnya tidak. Lebih memburukkan keadaan apabila masalah itu menyebabkan dia sukar mendapat cahaya mata walaupun sudah lima tahun berkahwin.

Tidak tahan menunggu lama, dia terus mendapatkan rawatan daripada doktor bagi membolehkannya mengandung. Selepas pemeriksaan barulah diketahui rupa-rupanya selama ini dia mengalami masalah endometriosis.

Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pusat Fertiliti KL, Dr Natasha Ain Mohd Nor, secara saintifik, endometriosis adalah salah satu punca lazim yang boleh menyebabkan ketidaksuburan dalam kalangan wanita. 

Ia dikatakan berlaku ke atas tujuh peratus daripada wanita dalam lingkungan usia 18 hingga 35 tahun dan menjadi sebab utama mengapa wanita gagal hamil.

Endometriosis membawa maksud selaput rahim yang tumbuh di luar rahim iaitu pada usus, pundi kencing, salur kencing, tiub fallopia dan bahagian lain di luar kawasan pelvik.

Ia berlaku apabila selaput endometrium menebal dan berdarah sewaktu kitaran haid, tetapi ia tidak mengalir keluar daripada tubuh. Ini boleh mengakibatkan inflamasi tisu di sekelilingnya dan seterusnya penghasilan tisu parut.

Apabila ini terjadi, kilang telur mula membengkak dan darah kotor terkumpul di dalamnya manakala saluran peranakan juga boleh rosak dan tersumbat.

Tambahnya, endometrium ini juga boleh tumbuh dengan saiz luar biasa pada dinding dan otot rahim menyebabkan dinding rahim menjadi besar dan membengkak. Namun, bagaimana tisu endometrium ini boleh tumbuh pada tempat yang luar biasa, tidak diketahui dengan tepat.

Ada beberapa teori yang cuba menjelaskan bagaimana keadaan ini berlaku seperti kemungkinan darah kotor tumpah ke belakang rahim melalui tiub fallopia. Mungkin juga disebabkan kedudukan rahim yang tidak normal iaitu jatuh ke belakang ke arah tulang tongkeng.

“Keadaan rahim begini sering dikaitkan dengan penyakit endometriosis sedangkan pesakit yang memiliki rahim yang menghadap ke hadapan jarang mendapat endometriosis. Ada juga menyatakan bahawa tisu endometrium ini dibawa ke tempat lain melalui saluran darah atau saluran kelenjar ,” jelasnya.

Terdapat beberapa tanda seseorang itu mengalami endometriosis iaitu sakit pada bahagian pelvik dan ia kerap terjadi sebelum kitaran haid bermula, sakit juga kerap terasa semasa melakukan hubungan seks dan ketika membuang air kecil atau besar.

“Bagaimanapun, kekerapan dan intensiti rasa sakit sebenarnya tidak berkait dengan tahap serius penyakit yang dialami. Sesetengah wanita mungkin mengalami sakit yang keterlaluan, tetapi endometriosis mungkin masih dalam peringkat awal. Ada juga wanita yang tiada gejala atau sakit yang ringan, tetapi endometriosisnya sudah berada pada tahap teruk.

“Namun dalam kebanyakan kes, endometriosis gagal didiagnos pada peringkat awal sehinggalah wanita bertemu doktor disebabkan kegagalan untuk hamil. Ini kerana kebanyakan pesakit tidak mempunyai sebarang tanda dan gejala,” katanya.

Dr Natasha berkata, dalam keadaan normal, lapisan endometrium cuma ada pada dinding rahim saja manakala bagi kes endometriosis, lapisan tisu ini akan dijumpai pada kawasan badan yang lain terutama di dalam pelvis seperti ovari, tiub fallopia, di permukaan rahim, di ruangan pelvis, sekitar usus, rektum dan pundi kencing. Ia boleh juga dijumpai di bahagian yang lebih jauh pada tubuh termasuk paru-paru dan hati, tetapi ini sangat jarang berlaku.

“Walaupun tisu endometrium berada di luar kawasan yang tidak sepatutnya, ia masih responsif terhadap perubahan hormon semasa kitaran haid. Seperti mana haid, tisu endometriosis akan gugur dan berdarah, dengan cara yang sama dengan dinding rahim gugur dan berdarah semasa kitaran haid.

“Pendarahan ini boleh menyebabkan rasa sakit terutama sebelum dan semasa haid. Tisu yang gugur dan berdarah di sekitar organ pelvis akan menyebabkan parut dan organ lain yang berhampiran akan melekat antara satu sama lain,” terangnya.

Sekiranya tidak dikesan lebih awal dan tiada rawatan diberikan, ini akan menyebabkan struktur organ di pelvis beralih dari kedudukan asal.

Sebagai contoh yang paling kerap berlaku, apabila ovari melekat pada uterus ia akan menyebabkan tiub fallopia berjauhan dari ovari. Sekiranya berlaku ovulasi, telur tidak akan dapat dicapai oleh tiub fallopia dan persenyawaan tidak akan berlaku.

Dalam kes yang lebih serius, kerosakan mendalam pada tiub fallopia menyebabkan ia tersumbat, rosak menyebabkan ketidaksuburan. Ovari yang ditumbuhi endometriosis pula akan mengumpul darah semasa kitaran haid dan berlakulah sista ovari yang mengandungi darah iaitu seakan-akan seperti coklat cair di dalamnya.

“Ovari yang diselaputi endometriosis tidak dapat lagi berfungsi dengan normal dan gagal melepaskan telur disebabkan follikel terperangkap oleh parut pada permukaan ovari. Ini akan mengurangkan tahap kesuburan wanita dan sekiranya mereka boleh mengandung dikhuatiri akan menyebabkan masalah keguguran,” katanya.

Rawatan Endometriosis
Rawatan endometriosis bergantung kepada umur pesakit, simptom yang dihidapi dan sama ada pesakit itu masih mahu mengandung atau sebaliknya. Jika tujuan mendapatkan rawatan adalah untuk mengandung, doktor akan memeriksa bahagian peranakan dan membetulkannya.

Secara amnya rawatan boleh dibahagikan kepada konservatif, ubatan hormon dan pembedahan. Kaedah konservatif bersesuaian untuk pesakit yang menghidapi hanya pada tahap ringan dengan simptom yang sedikit.

Ubat hormon pula sesuai diberikan untuk wanita yang mengalami senggugut yang teruk atau hormon tidak seimbang. Ini kerana lapisan endometrium yang ektopik boleh dikawal menerusi cara menyekat tahap hormon estrogen dan progesteron di dalam tubuh pesakit.

“Untuk itu, hormon seperti pil perancang, progesteron dan Gonadotrophin-Releasing hormone (GnRH analog) dapat diberikan sebagai rawatan endometriosis. Hormon ini biasanya diberikan selama beberapa bulan untuk memastikan sebanyak mungkin lapisan ektopik endometriosis dapat dikurangkan,” katanya.

Biasanya doktor akan mengambil sejarah perubatan pesakit secara terperinci dan melakukan pemeriksaan fizikal, termasuk di bahagian faraj. Jika doktor mengesyaki kemungkinan wanita itu mengalami endometriosis, doktor menyarankan pembedahan laparoskopi dijalankan untuk melihat bahagian dalam ruang pelvis. Jika endometriosis dijumpai, doktor akan menentukan tahap endometriosis dan kerosakan yang berlaku.

“Diagnosis yang tepat hanya boleh dilakukan melalui pembedahan laparoskopi diagnostik iaitu menerusi kamera yang dimasukkan melalui tebukan kecil di pusat pesakit. Melalui kamera doktor boleh memeriksa keadaan organ dalaman terutama rahim, kilang telur dan saluran peranakan,” jelasnya.

Bagaimanapun, pesakit harus sedar proses yang menyebabkan endometrisis masih lagi berlaku dan akan berterusan sepanjang hidup selagi wanita mempunyai haid. Jadi risiko untuk mendapatkan penyakit ini semula adalah tinggi.

Rawatan ubat saja mungkin boleh menghilangkan rasa sakit, tetapi tidak akan menghalang endometriosis daripada merebak. Rawatan hormon pula boleh mempengaruhi kesuburan dan tidak sesuai untuk diberikan kepada mereka yang merancang untuk hamil.

Oleh itu dalam banyak kes endometriosis, pembedahan menjadi pilihan utama dan biasanya dilakukan melalui laparoskopi. Semasa laparoskopi, tisu endometriosis dimusnahkan atau dibuang dan tisu yang baru terjadi akan dibakar menggunakan alat khas.

Beberapa penyelidikan menunjukkan kadar kehamilan selepas pembedahan untuk wanita yang mengalami endometriosis adalah setinggi 47 peratus. Kepada mereka yang menghidap endometriosis yang serius, kadar kehamilan adalah sekitar 38 peratus. Walaupun angkanya tidaklah begitu tinggi, tetapi ia jauh lebih baik daripada kadar kehamilan tanpa sebarang rawatan pembedahan.


Pemakanan yang perlu dielakkan atau dikurangkan untuk pesakit endometriosis
Makanan mengandungi gandum. Ada kajian menyatakan gandum boleh menyebabkan inflamasi dan mengurangkan penyerapan galian penting seperti zink dan zat besi seperti roti putih, kek, pasta dan snek ringan yang mengandungi gandum.

Gula terutama gula yang diproses boleh menyebabkan hormon insulin berlebihan yang seterusnya mengganggu proses ovulasi.

Marjerin.
Kafein boleh menyebabkan paras gula di dalam darah terganggu.
Produk Tenusu. Ia juga mempunyai elemen yang boleh meningkatkan inflamasi di dalam badan.
Daging merah. Banyakkan pengambilan daging putih (seperti ayam) dan yang organik.
Soya kerana ia mempunyai kandungan fito-estrogen yang tinggi terutamanya susu soya dan tofu.
Makanan berlemak.

Pemakanan yang digalakkan
Banyakkan sayur-sayuran hijau dan buah-buahan segar yang mengandungi zat galian penting. Brokoli boleh merendahkan paras hormon estrogen yang berlebihan di dalam badan.

- Kekacang. Contoh kacang badam dan walnut.
- Oat yang organik yang kaya dengan zat galian dan mineral.
- Makanan berserat.
- Beras atau pasta perang.
- Beri goji - antioksidan yang bagus dan juga boleh meningkatkan kualiti telur yang dihasilkan.
- Lemak berkhasiat seperti asid lemak omega-3, avokado dan minyak zaitun.
- Minum air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.

21/04/15

WANITA LEBIH CENDERUNG HADAPI KEMURUNGAN DARI LELAKI


WANITA mempunyai lebih 70 peratus risiko untuk menghadapi kemurungan berbanding lelaki menurut rekod yang dikeluarkan oleh Institut Kesihatan Mental Nasional, Amerika Syarikat.

Menurut dapatan itu lagi, wanita yang lebih berpotensi menghadapi kemurungan biasanya berusia bawah 32 tahun di mana 3.3 peratus daripadanya adalah wanita peringkat remaja yang berumur 13 hingga 18 tahun.

Kebanyakan kes disebabkan kesan yang terhasil dari faktor biologi, genetic, persekitaran dan psikologi.

“Kemurungan adalah sejenis ‘penyakit’ yang menyebabkan gangguan kepada otak. Pengimejan otak pada Mesin Magnetik (MRI) menunjukkan bahawa aktiviti otak individu yang menghidap kemurungan berbeza berbanding individu yang sihat dan normal.

Bahagian-bahagian otak yang terlibat adalah bahagian otak yang menentukan aktiviti harian seperti waktu tidur, tingkah laku, selera makan dan pemikiran.

“Sesetengah jenis kemurungan ‘diwarisi’ daripada ahli keluarga yang sebelum ini meghidap penyakit yang sama. Bagaimanapun kemurungan juga boleh terjadi kepada individu yang tidak mempunyai sejarah dalam ahli keluarganya.

Episod kemurungan boleh dicetuskan oleh beberapa faktor atau punca yang dikatakan memberi kesan mendalam kepada penghidapnya,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan tersebut.

Antara simptom atau tanda-tanda si penghidap kemurungan termasuk lesu, hilang selera makan, sakit kepala, kekejangan, hilang minat terhadap aktiviti harian, sentiasa dibelenggu perasaan bersalah, sering berasa putus asa, gelisah, mudah lupa, hilang fokus, sering mengalami kekejangan.

Kemurungan atau 'depressions' merupakan penyakit keempat paling berbahaya yang boleh membunuh jiwa.

Oleh itu, individu yang menghadapi kemurungan harus mendapat rawatan awal oleh pakar perubatan.

“Sebaik sahaja pesakit didiagnos, pesakit yang mengalami kemurungan boleh dirawat dengan pelbagai kaedah termasuk pengambilan ubat anti-kemurungan dan rawatan psiko-terapi.

“Namun pengambilan ubat anti-kemurungan harus dirujuk dengan pakar perubatan terlebih dahulu kerana kesesuaian ubat ditentukan oleh tahap depressi seseorang individu,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan tersebut.

17/04/15

BENARKAH WANITA MALAYSIA OBSES MEMUTIHKAN KULIT?


Benarkah wanita kita obses untuk memiliki kulit cerah dan putih? Golongan ini berpendapat kulit putih membolehkan diri kelihatan menawan, muda, feminin dan mudah menjadi tumpuan umum. Wanita berkulit cerah juga dikatakan lebih dikagumi dan diterima masyarakat khususnya golongan lelaki. Terdapat juga kajian menunjukkan kulit cerah sangat penting untuk wanita agar mereka dapat memakai pakaian pelbagai warna.

Baju dan busana seksi yang banyak mendedahkan bahagian anggota wanita seperti betis, paha, belakang badan dan leher juga dirasakan tampak anggun jika si pemakainya memiliki kulit yang cerah. Dari sudut perasaan dalaman pula, kulit cerah berupaya meningkatkan status dalam kelompok masyarakat, membangkitkan keyakinan dan kebanggaan selain membentuk penghargaan sebagai seorang wanita.

Situasi ini menyebabkan ramai yang obses untuk mendapatkan produk, kosmetik dan suplemen pemutih kulit. Lambakan produk di pasaran menyebabkan golongan ini ghairah dan pada masa yang sama keliru tentang produk yang baik untuk mereka.

Persoalannya, apakah perbezaan mencerah dan memutihkan kulit? Kulit cerah dan terang pada asasnya perkara yang sama. Ini bermakna kita mencerahkan bahagian yang gelap atau pudar dalam tempoh yang cepat. Memutihkan kulit pula merujuk amalan menggunakan bahan kimia untuk mengurangkan warna gelap pada kulit atau mengurangkan tumpuan melanin pada kulit.

Membantu
Bolehkah seseorang mencerahkan kulit mereka? Dalam konteks ini, kita boleh melakukan perkara semula jadi seperti mengelakkan diri daripada terdedah pada cahaya matahari, memakan ubat, mengurangkan tekanan dan tidak bergantung pada penggunaan kosmetik yang mengandungi bahan kimia.

Pun begitu, pasaran kita kini dibanjiri dengan penjualan produk kosmetik kimia seperti krim dan losen untuk memutihkan kulit. Malangnya, kebanyakan produk tersebut memberi kesan sampingan lain dan dijual pada harga yang mahal.

Orang ramai mungkin boleh mencuba produk semula jadi yang kerap digunakan untuk memutihkan kulit termasuk yogurt, kapur, jus oren dan bedak kunyit. Madu pula digunakan untuk menghaluskan selain berfungsi sebagai ejen pelembap. Ini kerana kulit kering menjadi faktor biasa yang menyebabkan warna kulit tidak sekata.

Oren mengandungi vitamin C yang membantu anda memiliki kulit sihat. Kunyit mempunyai ciri antiradang untuk membantu mengurangkan tekanan kulit. Dalam pada itu, tumbuhan lidah buaya (vera) boleh memudarkan parut.

Bolehkah diet membantu memutih kulit? Sudah tentu boleh. Orang ramai digalakkan mengurangkan pengambilan makanan yang mengandungi bahan kimia dan makanan tambahan untuk mengekalkan kesihatan kulit. Makanan yang mengandungi enzim antioksida dan asid amino adalah untuk menghalus dan mencerahkan kulit.

Terdapat pelbagai cara untuk mempercepatkan proses pencerahan kulit termasuk:
i) Pencegahan: Anda perlu mengurangkan pendedahan matahari atau menggunakan pelindung matahari seperti topi dan payung jika perlu berada di bawah panas terik matahari. Gunakan krim pelindung matahari untuk melindungi kulit daripada cahaya matahari.

ii) Ambil antioksida khusus untuk mencegah pengoksidaan atau penggelapan melanin kulit sedia ada. Pada masa yang sama, kurangkan pigmentasi dengan pengambilan makanan tambahan atau suplemen yang betul.

Dalam pada itu, jangan guna produk-produk pemutih yang merosakkan kulit dengan membuang sawar perlindungan kulit hingga menyebabkan kulit terbakar serta kerosakan dermis.
Jika anda menggunakan bahan kimia terlalu banyak, ini boleh menyebabkan penuaan kulit yang pramatang, alahan kulit misalnya dermatitis sentuh, ekzema dan lain-lain. Bahan-bahan kimia terlarang lain termasuklah raksa, hydroquinol dan lain-lain.

18/11/14

PERUBAHAN BENTUK PAYUDARA MENGIKUT UMUR - PAKAR


Memiliki payudara cantik dan sihat adalah anugerah yang tidak ternilai dan sangat beruntung bagi mereka yang memilikinya. Namun, bukan mudah mengekalkan kecantikan dan kesihatan payudara kerana setiap wanita berisiko menghidap kanser payudara dan ia menjadi ancaman utama sehingga mengundang kematian.

Disebabkan anggapan payudara juga adalah lambang kewanitaan, setiap wanita tanpa me­ngira usia dibayangi kebimbangan mengenai bentuk payudara mereka apabila usia semakin mening­kat.

Ini kerana, wanita muda khuatir dengan saiz payudara sama ada terlalu kecil atau terlalu besar, manakala wanita yang semakin berusia pula runsing apabila payudara mula kendur dan tidak sepejal ketika muda.

Malah, segelintir wanita juga beranggapan memberi susu badan kepada anak akan menjejaskan bentuk payudara.

Perunding Pakar Bedah Payudara, Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Ng Char Hong berkata, sebagaimana tubuh berubah mengikut umur, bentuk dan keanjalan payudara juga akan berubah sebaik wanita memasuki usia 20-an, 30-an, 40-an dan 50-an.

Bagaimanapun, wanita muda atau berusia sepatutnya lebih mengutamakan kesihatan payudara dan bukan bentuk fizikalnya berikutan ancaman utama kepada payudara adalah kanser payudara, kanser paling banyak dihidapi golongan wanita di Malaysia.

Menurut Dr Ng, peluang terbaik untuk mengubati kanser payudara ialah apabila ia dikesan dan dirawat lebih awal. Justeru penting untuk setiap wanita menanam kesedaran mengenai kesihatan payudara dan menjaga bahagian tubuh berkenaan me­ngikut usia masing-masing.

"Pada usia 20-an, amalan penjagaan dilakukan wanita ketika ini mampu mengurangkan risiko mendapat kanser payudara. Amalan pertama, buat pemeriksaan klinikal payudara dan sentiasa peka dengan keadaan payudara. Pemeriksaan klinikal payudara adalah pemeriksaan fizikal yang dijalankan oleh mereka yang profesional dalam perubatan.

"Pemeriksaan sedemikian dan perbincangan bersama doktor mengenai kesihatan keseluruhan dan faktor risiko mendapat kanser terbabit secara peribadi adalah cara terbaik untuk me­ngambil tahu apa yang normal dan tidak untuk mereka.

"Pemeriksaan klinikal ini perlu dilakukan secara tahunan, manakala pemeriksaan kendiri payudara dilakukan secara bulanan bagi mengesan sebarang perubahan walaupun kecil dan segera menemui doktor jika ada benjolan," katanya.

Katanya, wanita juga perlu tahu jika ada sejarah dalam keluarga mereka yang pernah menghidap kanser payudara dan berbincang dengan doktor bagi memahami risiko bakal dihadapi.

Mereka mungkin mempertimbangkan menjalani ujian mutasi gen dikenali sebagai Breast Cancer Susceptibility Gene 1 (BRCA-1) dan BRCA-2 yang berkaitan peningkatan risiko kanser payudara.

"Ibu yang baru melahirkan anak juga wajar memberi susu badan sekurang-kurangnya enam bulan berikutan beberapa kajian mendapati menyusu badan boleh mengurangkan risiko kanser payudara, terutama ibu yang menyusu badan selama setahun setengah hingga dua tahun.

"Kajian dikeluarkan Pusat Kajian Kanser Fred Hutchinson, Amerika Syarikat menunjukkan menyusu badan selama enam bulan atau lebih mengurangkan risiko kanser payudara sebanyak 20 peratus.

"Selain itu, wanita pada usia 20-an perlu melakukan senaman secara teratur sekurang-kurangnya 30 minit sehari sama ada berjalan, berbasikal, joging, menari atau apa saja aktiviti fizikal kerana ia juga mampu mengurangkan risiko kanser payudara sebanyak 20 peratus.

"Senaman adalah amalan yang bagus untuk kesihatan keseluruhan membabitkan tulang, sendi dan jantung. Pengambilan makanan seimbang juga perlu dititikberatkan pada usia ini sejajar dengan senaman dilakukan," katanya.

Pada usia 30-an, memupuk kesedaran mengenai penjagaan kesihatan payudara penting dilakukan. Walaupun kadar kanser payudara pada wanita berusia 30-an masih rendah, ini masa penting untuk memulakan penjagaan payudara.

Malah, pada usia ini masalah payudara berkait dengan ketumbuhan bukan kanser. Wanita muda biasanya mengalami pe­nyakit fibrosistik yang menunjukkan gejala seperti kesakitan payudara, sista dan benjolan bukan kanser.

"Kesakitan pada payudara boleh datang sekali-sekala, dialami ketika haid atau boleh juga menjadi tetap. Gangguan fibroadenoma atau ketulan pada payudara juga boleh menjejaskan wanita pada usia 30-an.

"Ketulan membabitkan fibro dan tisu glandular yang bukan kanser tetapi boleh menyakitkan. Jika ia mengganggu, benjolan itu boleh dibuang.

"Bagi meneruskan amalan penjagaan kesihatan yang dilakukan ketika usia 20-an, beberapa lagi perkara boleh dipertimbangkan seperti buat pemeriksaan klinikal payudara dan teruskan pemeriksaan setahun sekali walaupun usia masuk 30-an.

"Nilaikan risiko untuk merancang pelan tindakan. Jika berada dalam kumpulan berisiko tinggi disebabkan sejarah keluarga, doktor akan menyarankan pemeriksaan mamogram atau peng­imejan resonans magnet (MRI) setahun sekali," katanya.

Wanita berusia 30-an juga perlu bijak mengawal tekanan kerana kajian terbaru pada wanita bawah usia 45 tahun mendapati pendedahan kepada hidup yang penuh tekanan seperti mengalami perceraian atau kematian bersangkut-paut dengan risiko kanser payudara.

Bersikap ceria dan optimis mampu membangkitkan daya tahan semula jadi menentang penderitaan. Walaupun bersikap gembira tidak melindungi diri daripada kanser, berfikiran positif akan membuatkan kita terus kekal melakukan semua amalan baik yang dilakukan ketika usia 20-an yang menyumbang kepada gaya hidup sihat.

Ketika menginjak usia 40-an, wanita perlu lebih prihatin terhadap kesihatannya kerana ketika ini kadar kanser payudara mula meningkat berdasarkan kajian yang menunjukkan satu pertiga kanser payudara di Malaysia didiagnosis pada umur 40-an.

Pada usia ini, masalah berkaitan payudara paling kerap ditemui adalah sista iaitu kantung dipenuhi cecair. Walaupun ia sejenis ketulan bukan kanser, ia juga menyakitkan, namun masalah ini boleh diselesaikan menerusi pembedahan.

Jangkitan pada lapisan kulit dan sel tidak normal yang muncul pada kelenjar susu iaitu penyakit atypical ductal hyperplasia juga boleh muncul pada usia ini dan meningkatkan potensi mendapat kanser payudara.

"Selain mengambil pemakanan seimbang, melakukan senaman dan mengehadkan tekanan, penjagaan payudara pada usia ini membabitkan membuat jadual pemeriksaan klinikal dan mamogram tahunan. Wanita berusia 40 tahun ke atas wajar melakukan pemeriksaan klinikal payudara dan mamogram setiap tahun.

"Prihatin dengan keadaan payudara sendiri dan segera menemui doktor jika ada sebarang keganjilan. Walaupun keganjilan pada payudara membabitkan benjolan bukan kanser, wanita perlu bersikap berhati-hati dan prihatin dengan keadaan payudara.

"Elak terdedah kepada pe­nyebab kanser seperti radiasi dan bahan kimia. Beritahu pengamal perubatan yang melakukan sinaran X, terutama berdos tinggi seperti imbasan tomografi berkomputer (CT) jika pernah melakukan imbasan sedemikian.

"Jika perlu melakukan imbasan sedemikian, tanya doktor jika ada ujian alternatif seperti ultra bunyi atau MRI. Doktor akan membantu anda menilai sama ada anda memerlukan imbasan sedemikian atau tidak, bergantung kepada keperluan perubatan," katanya.

Pada usia 50 tahun ke atas, ketika menghampiri menopaus, risiko mendapat kanser payudara terus meningkat dan disebabkan itu wanita berusia 50 tahun ke atas perlu lebih waspada mengenai kesihatan payudara.

Selepas putus haid, payudara menjadi kurang anjal, kurang lembut dan kurang ada benjolan. Benjolan tidak berbahaya muncul dan hilang se­iring dengan kitaran haid pada wanita muda, tetapi benjolan yang muncul ketika usia ini memerlukan perhatian segera doktor.

Di samping meneruskan tabiat penjagaan payudara sebelum ini, wanita berusia 50 tahun ke atas boleh melakukan beberapa perkara untuk me­ngurangkan lagi risiko kanser payudara seperti mengekalkan berat badan yang sihat.

"Berat badan yang sihat membabitkan indeks jisim badan (BMI) sebanyak 25 peratus atau kurang. Kajian menunjukkan berat badan berlebihan atau obesiti, terutama wanita pada peringkat pos menopaus, meningkatkan risiko kanser payudara.

"Wanita dengan berat badan berlebihan mempunyai kadar rendah bertahan dari kanser payudara dan peluang tinggi untuk menghidap penyakit lebih agresif berbanding wanita dengan berat badan biasa atau kurang berat.

"Elak atau hadkan terapi penggantian hormon (HRT) kerana terapi ini meningkat­kan risiko kanser payudara walaupun pada wanita yang mempunyai isu putus haid," katanya.

Dr Ng berkata, penting menjaga payudara pada setiap dekad usia tanpa mengambil kira saiz dan bentuk payudara. Memahami payudara sendiri membantu anda lebih yakin jika wujud sebarang keganjilan.

Perubahan seperti saiz atau bentuk, benjolan berbeza daripada tisu payudara, perubahan pada tekstur kulit seperti kerutan, bengkak pada ketiak atau tulang leher, sakit terus-menerus pada payudara atau bawah lengan, kemerahan atau ruam pada kulit atau sekitar puting, puting berubah kedudukan dan keluar cairan dari puting tanpa memicitnya.

"Peluang untuk pulih adalah lebih baik jika kanser payudara dikesan dan dirawat di peringkat awal. Saiz kanser dan sejauh mana ia merebak adalah faktor penting dalam meramal prognosis pesakit.

"Wanita yang mahu memulakan penjagaan kesihatan payudara mereka tetapi kurang pengetahuan untuk melakukan apa yang perlu diamalkan boleh berkunjung ke hospital yang menyediakan perkhidmatan pusat penjagaan payudara seperti Pusat Kecemerlangan Rawatan Payudara SunMed," katanya.

Pusat berkenaan yang dirasmikan pembukaannya oleh Ahli Exco Kumpulan Sunway, Puan Sri Dr Susan Cheah, baru-baru ini, menyediakan rawatan perubatan bertaraf dunia dengan menjadi pusat maklumat, rawatan perubatan dan sokongan sehenti yang dikendalikan oleh pasukan perunding dan jururawat pelbagai disiplin.

Matlamatnya untuk menyediakan pendekatan bersepadu dan menyeluruh untuk menambah baik capaian, penyelarasan rawatan, pendidikan dan sokongan bagi mereka yang memerlukan rawatan.

Pusat ini dilengkapi alat pengesanan awal menerusi mamogram, pengimejan payudara, perkhidmatan diagnostik dan pembedahan serta kumpulan sokongan kepada pesakit kanser payudara yang menjalani pembedahan dan kemoterapi. Ia juga dileng­kapi perpustakaan dengan sumber seperti buku, risalah, video dan model payudara untuk mendidik pesakit dan pe­ngunjung mengenai pelbagai topik kesihatan.

Seorang jururawat payudara khas sedia menasihati pesakit dengan menyampaikan maklumat perubatan praktikal sambil memberi sokongan emosi dan kepastian di semua peringkat diagnosis, rawatan dan pertemuan susulan untuk kanser payudara serta masalah perubatan lain berkaitan payudara.