Memaparkan catatan dengan label PENJAGAAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PENJAGAAN. Papar semua catatan

8/09/16

BOLEH PEKAK JIKA GEGENDANG TELINGA BOCOR ATAU PECAH


Terdapat tiub atau corong yang menghubungkan telinga tengah dengan kerongkong manusia. Ia sangat dipengaruhi oleh tekanan persekitaran atau tekanan atmosfera. Telinga tengah dipisahkan dengan telinga luar oleh gegendang telinga.

Gegendang telinga boleh pecah disebabkan perubahan tekanan pada atmosfera. Contohnya bagi mereka yang turun dari tempat tinggi secara mendadak seperti dalam kapal terbang, turun dari gunung atau kawasan tanah tinggi.

Ia juga boleh berlaku kepada penyelam skuba selain berlaku akibat terdedah pada bunyi yang kuat. Dalam kebanyakan kes, tekanan atmosfera yang berubah secara mendadak menyebabkan peningkatan tekanan dalam telinga tengah seterusnya menyebabkan gegendang telinga bocor atau pecah kerana ia tidak dapat menampung tekanan berkenaan.

Pesakit akan mengalami sakit telinga yang teruk disertai darah keluar dari corong telinga. Darah yang keluar akan menitis sedikit demi sedikit.

Selain daripada itu pesakit mengalami pening dan loya. Ini disebabkan oleh gangguan secara tidak langsung pada bahagian telinga yang juga berfungsi sebagai sistem keseimbangan badan.

Pendengaran juga akan terjejas pada bahagian telinga yang bocor. Ini disebabkan gegendang telinga yang tidak bergetar seperti biasa untuk menyampaikan denyutan kepada telinga tengah dan saraf ke otak. Ada kala pesakit mendengar bunyi bising berdesing yang tidak selesa pada bahagian telinga berkenaan.

Ketika pemeriksaan awal di klinik atau wad kecemasan, kebiasaannya gegendang telinga yang bocor tidak dapat disahkan. Ini kerana darah pada corong telinga luar akan mengganggu pandangan doktor untuk melihat gegendang telinga.

Oleh itu, pakar atau doktor di jabatan telinga, hidung dan tekak (ENT) terpaksa menyedut keluar darah dan ketulan daripada corong telinga luar. Selepas itu barulah kebocoran pada gegendang telinga dapat dikenal pasti.

Selain itu, ketika pemeriksaan, kemungkinan lain selaku penyebab telinga berdarah juga dapat dikesan. Dalam kebanyakan kes, gegendang telinga yang bocor akan sembuh atau tertutup sepenuhnya lepas beberapa minggu. Paling utama ialah memastikan telinga sentiasa kering untuk mengelakkan jangkitan kuman.

Ada kala ubat titisan telinga mengandungi antibiotik atau antibiotik diberi sama ada untuk dimakan atau suntikan bagi mengelakkan jangkitan kuman yang boleh melewatkan proses penyembuhan juga mengeruhkan keadaan.

Pendengaran akan baik seperti sedia kala sebaik sahaja kebocoran gegendang telinga tertutup sepenuhnya. Jika ini tidak berlaku, pesakit perlu menjalani pembedahan untuk menutup kawasan bocor itu.

4/11/15

ENAM PERKARA PENTING YANG HARUS ANDA TAHU BILA PERTAMA KALI MENIMANG CAHAYA MATA


LAHIRNYA si kecil membuatkan, ibu bapa baru cukup teruja. Pelbagai perkara mahu dilakukan untuk bayi tapi berpada-padalah. Kawal keterujaan itu papa dan mama.

Enam perkara ini terutamanya jangan dilakukan pada bayi baru lahir. Untuk ibu bapa baru, tip ini perlu anda tahu. Pelbagai perkara mahu dilakukan untuk bayi tapi berpada-padalah. Kawal keterujaan itu papa dan mama. Untuk ibu bapa baru, tip ini perlu anda tahu.

1. Jangan beri sembarangan orang cium
Memang nampak macam ‘over’ tapi pada minggu pertama hidup bayi, pendedahan ada bakteria dan kuman boleh beri masalah serius. Sebabnya sistem imuniasi mereka belum berfungsi sepenuhnya.

Jadi sebagai ibu prihatin pastikan sesiapa yang ingin mencium dan memegang bayi anda dalam keadaan bersih. Jika nampak kotor, berilah apa-apa alasan atau terus terang saja sebabnya.

2. Jangan ubah suasana rumah
Bayi memang perlukan banyak perhatian tapi tak perlulah sampai mengubah suasana rumah antaranya seperti langsung tak boleh pasang TV, sentiasa menutup pintu dan langsir kerana bimbang bising. Suasana yang sedikit bising tak beri masalah, biarkan bayi terbiasa dengan suasana itu.

3. Jangan biar lampir kotor terlalu lama
Sebabnya bayi bawah enam bulan memang banyak kencing jadi lampin perlu ditukar selalu. Periksa selalu keadaan lampin supaya bayi selesa dan untuk mengelakkan ruam.

4. Jangan guna puting
Baru seminggu lahir bayi sudah beri puting, tindakan ini tidak elok. Pemberian puting terlalu awal boleh kelirukan rutin penyusuan. Sebabnya bayi memang suka menghisap. Terbaik berikan susu ibu sebab bayi sudah terbiasa dengan suhu tubuh, degupan jangtung dan bau ibu.

5. Jangan terlebih gaya
Ada ibu yang terlalu teruja mahu memakaikan baju cantik pada bayi. Boleh, tapi jangan berlebihan baju penuh renda dan anak tak selesa. Selain itu ramai ibu selalu bimbang bayi sejuk dan pakaikan baju tebal. Baju yang begini boleh menyebabkan bayi demam dan dehidrasi. Perhatikan kesesuaian cuaca dan keselesaan bayi.

6. Jangan abai temu janji doktor
Doktor akan mengatur jadual pemeriksaan untuk bayi jadi jangan sesekali abaikan terutama  bila nampak bayi ada masalah. Ibu bapa baru memang selalu risau tentang perkara yang sebenarnya normal dan doktor mampu memberi penjelasannya.

21/04/15

WANITA LEBIH CENDERUNG HADAPI KEMURUNGAN DARI LELAKI


WANITA mempunyai lebih 70 peratus risiko untuk menghadapi kemurungan berbanding lelaki menurut rekod yang dikeluarkan oleh Institut Kesihatan Mental Nasional, Amerika Syarikat.

Menurut dapatan itu lagi, wanita yang lebih berpotensi menghadapi kemurungan biasanya berusia bawah 32 tahun di mana 3.3 peratus daripadanya adalah wanita peringkat remaja yang berumur 13 hingga 18 tahun.

Kebanyakan kes disebabkan kesan yang terhasil dari faktor biologi, genetic, persekitaran dan psikologi.

“Kemurungan adalah sejenis ‘penyakit’ yang menyebabkan gangguan kepada otak. Pengimejan otak pada Mesin Magnetik (MRI) menunjukkan bahawa aktiviti otak individu yang menghidap kemurungan berbeza berbanding individu yang sihat dan normal.

Bahagian-bahagian otak yang terlibat adalah bahagian otak yang menentukan aktiviti harian seperti waktu tidur, tingkah laku, selera makan dan pemikiran.

“Sesetengah jenis kemurungan ‘diwarisi’ daripada ahli keluarga yang sebelum ini meghidap penyakit yang sama. Bagaimanapun kemurungan juga boleh terjadi kepada individu yang tidak mempunyai sejarah dalam ahli keluarganya.

Episod kemurungan boleh dicetuskan oleh beberapa faktor atau punca yang dikatakan memberi kesan mendalam kepada penghidapnya,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan tersebut.

Antara simptom atau tanda-tanda si penghidap kemurungan termasuk lesu, hilang selera makan, sakit kepala, kekejangan, hilang minat terhadap aktiviti harian, sentiasa dibelenggu perasaan bersalah, sering berasa putus asa, gelisah, mudah lupa, hilang fokus, sering mengalami kekejangan.

Kemurungan atau 'depressions' merupakan penyakit keempat paling berbahaya yang boleh membunuh jiwa.

Oleh itu, individu yang menghadapi kemurungan harus mendapat rawatan awal oleh pakar perubatan.

“Sebaik sahaja pesakit didiagnos, pesakit yang mengalami kemurungan boleh dirawat dengan pelbagai kaedah termasuk pengambilan ubat anti-kemurungan dan rawatan psiko-terapi.

“Namun pengambilan ubat anti-kemurungan harus dirujuk dengan pakar perubatan terlebih dahulu kerana kesesuaian ubat ditentukan oleh tahap depressi seseorang individu,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan tersebut.

2/04/15

KETAHUI PUNCA BAYI MENANGIS TANPA HENTI


Bayi mempunyai pelbagai ragam serta reaksi antaranya menangis, resah dan tersenyum. Itu cara bayi berkomunikasi atau menunjukkan rasa gembira mahupun tidak selesa dengan situasi yang dialami.

Ramai ibu bapa mula bimbang apabila bayi mereka menangis tanpa henti walaupun sudah melakukan pelbagai cara untuk menenangkan si kecil. Malah, ada bayi yang mampu menangis dalam tempoh lama dan akan berhenti apabila sudah letih atau tertidur.

Menangis secara berterusan adalah masalah biasa bagi bayi baru lahir atau berusia kurang daripada setahun. Menangis adalah satu cara bayi berhubung untuk menunjukkan mereka mempunyai masalah atau tidak selesa.

Menurut perunding tangisan bayi Uswatun Hasanah Mohd Habib, ibu bapa perlu faham dan tahu terdapat tiga kategori bayi iaitu mudah, sensitif dan kolik.

“Kategori bayi yang mudah tidak banyak masalah dan biasanya senang dikawal atau ditenangkan apabila mula menangis. Bayi mungkin menunjukkan keresahan dan tidak mahu diletak selain menangis.

“Kebiasaannya, si kecil akan diam dan berasa selesa apabila sentiasa dibelai atau didukung. Berbeza dengan bayi sensitif dan kolik, si kecil agak sukar ditenangkan. Bayi sensitif banyak menangis, namun akan berhenti apabila ada sentuhan kulit ke kulit dengan ibu.

“Bagi bayi kolik pula, bayi lebih banyak menangis dan susah dikawal walaupun si ibu berada berhampiran dengan anaknya atau pelbagai cara sudah dilakukan kerana untuk menenangkan si kecil itu memerlukan teknik betul,” katanya.

Apabila si kecil tidak tenteram, gelisah dan menangis tanpa henti, ibu bapa mula bimbang kerana tidak mengetahui puncanya.

Bukan sakit, gangguan makhluk halus mahupun sebarang sebab, namun ia adakalanya berkaitan dengan ‘jam tersihir’ atau lebih dikenali sebagai gejala ‘witching hour’.

Ini boleh berlaku dalam kalangan bayi seawal usia dua minggu, namun ia jarang terjadi. Kebiasaannya, ia banyak terjadi kepada bayi apabila mula memasuki usia enam hingga lapan minggu.
Kejadian bayi menangis tanpa henti apabila tiba waktu biasa setiap hari boleh berlarutan sehingga bayi berusia tiga bulan. Namun, bayi kolik akan mengalami keadaan berkenaan hingga usia sekitar lima ke tujuh bulan.

Perkara berkaitan ‘jam tersihir’ masih asing dalam kalangan ibu bapa hari ini. Ia mendapat nama apabila kebanyakan budaya menganggap bayi menangis pada waktu penghujung hari itu dikaitkan dengan unsur sihir yang bukan saja dalam kalangan masyarakat di negara ini namun pemikiran orang Eropah.

Kekerapan bayi menangis tanpa sebab dan tidak dapat ditenangkan itu biasa berlaku pada waktu tertentu di penghujung hari terutama lewat tengah hari, petang dan malam.

Punca bayi meragam
“Apabila bayi sering menangis, ramai mengaitkan masalah berkenaan unsur mistik walaupun hidup dalam dunia serba moden.

“Tidak dinafikan saya juga perlu percaya dengan alam ghaib, namun tidak adil jika kita sering mengaitkan setiap masalah yang berlaku pada bayi dengan unsur mistik hingga ada ibu bapa yang mempercayai perkara khurafat seperti pemakaian tangkal.

“Saya menolak isu bayi menangis disebabkan unsur mistik kerana ia mempunyai penerangan yang jelas puncanya dari sudut sains. Malah, ada kaedah tertentu untuk membantu mengelakkan gejala bayi menangis lama seperti menggunakan cara ‘cuddle cure’ iaitu dengan membedung,” katanya.

Baginya, tidak ada masalah untuk berubat secara tradisional mahupun moden, namun jika ada kaedah tertentu yang logik dari sudut sains untuk menenangkan bayi, tiada salah mencubanya.

Rujuk komuniti bebas kolik untuk dijadikan bukti bagi menyanggah unsur mistik apabila bayi mengalami masalah terutama kerap menangis pada penghujung hari.

Lihat saja etnik orang asli Kung San di tiga daerah iaitu Bostwana, Angola dan Namibia yang tinggal di Gurun Kalahari, Afrika. Selain itu, puak asli di Bali, Indonesia mempunyai adat tersendiri untuk menjaga bayi bagi mengelakkan anak mereka mengalami gejala kolik.

Malah, ada juga kaum asli Banjar yang mengamalkan adat ‘berpukong’ atau menidurkan bayi yang sememangnya popular bagi kaum itu sejak dulu, namun tradisi itu semakin dilupakan.

“Ada tiga sebab utama bayi menangis secara berpanjangan iaitu terlalu penat, rimas dan penyusuan berangkai (cluster feeding). Kebiasaannya, ibu sudah dapat mengagak waktu anak akan menangis yang berlaku hampir sama setiap hari.

“Jika sudah tahu waktu itu, sebaiknya berikan bantuan dengan segera sebelum bayi menangis. Jika ia berlaku tanpa disedari, ibu bapa akan mendapati bayi mereka tidak dapat dibantu atau ditenangkan dengan pelbagai kaedah dan hanya berhenti menangis apabila tertidur.

“Masalah bayi menangis dan meragam dalam tempoh lama boleh dielakkan jika ibu memberi bantuan segera sebelum memasuki zon ‘jam tersihir’,” katanya.

Terlalu penat
Bayi boleh meragam jika terlalu penat. Walaupun bayi masih belum boleh bermain, ramai ibu bapa yang tidak tahu stimulasi tidur yang dialami bayi sudah cukup besar bagi mereka dan ia juga boleh membuatkan si kecil berasa penat.

Secara saintifiknya, otak akan memberikan mesej kepada badan untuk berehat atau tidur apabila penat. Apabila keperluan itu tidak dipenuhi, otak akan menghantar mesej kepada sistem badan yang akan mengeluarkan hormon kortisol (tekanan) dan adrenalin (aktif atau membuatkan badan terjaga).

Dua hormon berkenaan dihasilkan dalam badan menyebabkan hormon melatonin yang menggalakkan tidur akan dikurangkan. Jika ia berlaku, badan yang penat akan kembali segar, namun menyebabkan individu itu berasa tertekan secara tidak langsung.

Orang dewasa boleh mengawalnya namun tidak bayi. Justeru, si kecil akan menunjukkan tindak balas dengan menolak semua bantuan yang diberikan oleh ibu apabila sudah terlalu letih dan terus menangis tanpa mempedulikan sebarang pujukan.

Setiap bayi mengalami tempoh penat yang berbeza misalnya jika bayi bangun awal pagi, tidak mustahil dia boleh rasa penat lebih awal iaitu mungkin lewat tengah hari atau petang.

“Bayi boleh menjadi terlalu penat apabila ibu tidak menyedari anak mereka sudah menunjukkan tanda keletihan awal hingga menyebabkan si kecil resah dan tidak selesa.

“Sebaiknya, segera berikan bantuan kepada bayi apabila melihat ketidakselesaan anak atau tempoh ‘jam tersihir’ semakin hampir dengan menjauhkan si kecil daripada bunyi bising atau masuk ke dalam bilik dengan suasana cahaya malap atau gelap.

“Ini kerana hormon melatonin boleh dimusnahkan atau dikurangkan dengan kehadiran hormon kortisol dan cahaya hingga menyebabkan bayi terjaga serta sukar untuk tidur,” katanya.

Ada tiga cara menggalakkan bayi tidur iaitu suasana cahaya gelap atau malap, bunyian yang menenangkan dan suhu yang bersesuaian (tidak terlalu panas atau sejuk).

Terlalu rimas
Apabila tanda keletihan anak tidak disedari, ia boleh membawa kepada rasa rimas dan tidak selesa terutama apabila perlu melalui suasana bising di sekelilingnya.

Bunyi bising boleh mengganggu bayi terutama apabila si kecil sudah keletihan misalnya kehadiran tetamu yang ramai dan keriuhan orang sekeliling bercakap atau televisyen yang kuat pada lewat petang.

Ia bertambah buruk apabila berlaku dalam tempoh biasa bayi mula meragam dan menangis. Jika ia berlaku, jauhkan bayi daripada suasana bising untuk berehat bagi mengelakkan bayi berasa terganggu dan rimas.

Penyusuan berangkai
Selain itu, kekerapan keperluan menyusu sebelum waktu tidur yang panjang seperti sejam atau dua jam awal membuatkan bayi tidak mahu melepaskan susu.

Ia adalah proses semula jadi yang dilakukan oleh bayi bagi memenuhi bekalan susu sebelum memasuki tempoh tidur yang panjang. Ada ibu yang menganggap bayi mereka cerewet atau meragam kerana tidak mahu melepaskan susu.

17/03/15

JANGAN AMBIL RINGAN TENTANG JANGKITAN SALURAN PERNAFASAN PADA KANAK-KANAK


Antara jangkitan saluran pernafasan yang boleh berlaku pada kanak-kanak dan perlu diberi perhatian ialah jangkitan croup. Jangkitan ini membabitkan jangkitan dari peti suara, trakea dan saluran bronkus.

Croup sering berlaku terutama dalam kalangan kanak-kanak berumur enam bulan hingga enam tahun. Lazimnya ia disebabkan jangkitan virus, terutama Parainfluenza.

Selain itu, virus influenza A dan B boleh menyebabkan jangkitan croup. Bakteria juga boleh menyebabkan jangkitan croup tetapi kesnya sangat terpencil disebabkan pemberian program imunisasi yang diperkenalkan.

Jangkitan pada saluran pernafasan menyebabkan bengkak pada kawasan berkenaan. Itu menyebabkan suara pesakit berubah menjadi garau, batuk berbunyi seolah-olah anjing menyalak, nafas menjadi laju, bunyi nafas seperti bersiul, terutama ketika menarik nafas, dan demam. 

Simptom menjadi lebih teruk pada waktu malam.Jika bengkak pada saluran pernafasan, terutama peti suara, ia boleh mengganggu kemasukan oksigen ke dalam badan pesakit.

Keadaan ini jarang berlaku tetapi masih boleh berlaku jika tidak diberi rawatan awal. Bekalan oksigen yangrendah dalam badan boleh merosakkan beberapa organ badan, terutama otak.

Rawatan awal perlu diberi ialah steroid. Pengambilan steroid melalui suntikan atau topeng pengabut (nebulizer) dapat mengurangkan radang yang menyebabkan bengkak pada saluran pernafasan pesakit.

Selain itu, pilihan beberapa ubatan lain boleh diberi bertujuan mengurangkan radang. Nilai oksigen dalam badan juga perlu diperiksa untuk mengenal pasti tahap jangkitan.

Ujian darah dan sinar X tidak banyak membantu pesakit yang mengalami croup. Ia boleh dilakukan jika ada tanda masalah atau komplikasi lain akibat jangkitan virus yang berlaku kepada pesakit.

Dalam kebanyakan kes, pesakit hanya dirawat sebagai pesakit luar tetapi mereka yang mengalami tahap jangkitan lebih teruk sebaik-baiknya harus dipantau di hospital.

Pengenalan immunisasi, terutama kepada bakteria Diphtheria yang lama diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan, banyak membantu mengurangkan kes jangkitan akibat bakteria.

Selain itu, pemberian suntikan imunisasi tambahan untuk jangkitan influenza juga banyak membantu mengurangkan jumlah kes jangkitan, seterusnya mengurangkan kadar komplikasi akibat jangkitan croup.

30/11/14

APAKAH RISIKO MAKAN UBAT KETIKA MENYUSU BAYI?


Kementerian Kesihatan meng­galakkan amalan penyusuan susu ibu kepada bayi yang baru lahir. Amalan penyusuan susu ibu adalah diet terbaik untuk bayi kerana ia memberi fa­edah nutrisi yang lengkap dan berupaya meningkatkan sistem pertahanan tubuh daripada jangkitan kuman. Ia juga boleh mengurang­kan risiko alahan kepada bayi.

Tempoh penyusuan ibu yang disaran adalah sehingga anak berusia dua tahun. Sepanjang tempoh itu ada kalanya pengambilan ubat-ubatan adalah satu keperluan kepada ibu.

Ramai ibu yang menyusukan anak tidak pasti sama ada boleh meneruskan penyusuan atau tidak jika mengambil ubatan. Justeru penting bagi ibu yang menyusukan anak mengetahui jenis ubat-ubatan yang berse­suaian diambil atau sebaliknya ketika tempoh penyusuan.

Kerisauan timbul kerana ada ubat-ubatan yang diambil boleh meresap masuk ke dalam susu ibu. Situasi seperti ini boleh mendatangkan kemudaratan kepada bayi jika kepekatan ubat yang memasuki susu ibu adalah tinggi.

Selain itu, fungsi organ seperti hati dan buah pinggang pada bayi yang baru lahir belum cukup matang. Keadaan ini menjadi lebih kritikal lagi jika bayi dilahirkan pramatang.

Bagaimanapun, tidak semua ubat-ubatan itu berbahaya jika diambil ketika penyusuan.

Berikut beberapa contoh ubat-ubatan yang perlu diberi perhatian oleh ibu yang menyusukan anak, terutama baru lahir atau pramatang. Ubat-ubatan seperti ini boleh meresap masuk ke dalam susu ibu dalam kepekatan tinggi, seterusnya memberi kesan terapeutik ubat kepada bayi.

Sebagai contoh ubat darah tinggi seperti atenolol, ubat sawan seperti lamotrigine dan phenobarbitone, ubat antikemurungan seperti citalopram, fluoxetine dan venlafaxine, ubat antibiotik seperti metronidazole dan ubat tahan sakit yang selalu digunakan dalam rawatan radang sendi (arthritis) seperti piroxicam.

Contoh seterusnya adalah ubat-ubatan yang tidak selamat diambil ketika penyusuan kerana boleh memberi kesan sampi­ngan kepada bayi yang disusukan. Ubat-ubatan ini untuk rawatan penyakit parkinson seperti amantadine, ubat untuk rawatan jantung seperti amiodarone.

Ubat dalam kumpulan statin untuk rawatan kawalan lipid atau antikolesterol seperti atorvastatin, fluvastatin dan simvastatin, ubat untuk rawatan kanser, ubat untuk rawatan sakit mental seperti clozapine dan ubat untuk rawatan radang sendi (artritis) seperti sspirin dalam dos tinggi dan digunakan secara berterusan.

Ada juga ubat boleh mengurangkan pengeluaran susu ibu dan menyebabkan bayi mudah meragam. Contohnya ubat antihistamin seperti chlorpheniramine dan loratadine, sediaan ubat batuk dan selesema seperti dekstrometorfan dan pseudoefedrin.

Nikotin daripada tabiat merokok atau yang digunakan dalam rawatan terapi gantian, ubat darah tinggi dalam kumpulan diuretics thiazide, ubat hormon kontraseptif mengandungi hormon estrogen dan ubat yang digunakan untuk penyakit parkinson seperti bromokriptin.

Ada beberapa petua bagi me­ngurangkan pendedahan bayi terhadap ubat-ubatan ketika penyusuan. Antaranya, memberhentikan sementara waktu pengambilan ubat-ubatan yang tidak diperlukan.

Jika terpaksa ambil pun, pastikan sebaik selesai menyusukan anak supaya kepekatan ubat tidak terlalu tinggi apabila tiba sesi seterusnya. Penting diingat supaya susukan bayi dulu, kemudian baru ambil ubat atau boleh juga perah susu dulu sebelum me­ngambil ubat dan simpan susu untuk sesi penyusuan seterusnya.

Ibu perlu berbincang dengan doktor untuk menggantikan ubat yang tidak selamat diambil ketika penyusuan kepada ubat alternatif yang lebih selamat. Jika tiada ubat alternatif yang boleh ditukar ganti, ibu dinasihatkan berhenti menyusukan anak secara keseluruhan atau buat sementara waktu dalam tempoh rawatan menggunakan ubat-ubatan.

Demi memastikan bekalan susu tidak putus, kaedah perah dan buang boleh digunakan. Kaedah ini sesuai diamalkan dalam situasi terpaksa memberhentikan penyusuan anak buat sementara waktu ketika menjalani rawatan menggunakan ubat-ubatan. Kaedah seperti memastikan proses penyusuan boleh disambung semula selepas selesai rawatan kerana bekalan susu tidak putus atau kering.

Mana-mana ubat yang tidak dinyatakan dalam artikel ini tidak bermaksud ia selamat digunakan ketika penyusuan. Oleh itu, ibu harus sentiasa berwaspada dalam pengambilan ubat ketika penyusuan bayi. Minta nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil sesuatu ubat.

Ingat, susu ibu adalah sumber diet terbaik untuk bayi. Oleh itu, berusaha menyusukan anak dengan susu ibu.

Disediakan Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia. Sebarang pertanyaan lanjut mengenai ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1800-88-6722.