Memaparkan catatan dengan label susu ibu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label susu ibu. Papar semua catatan

23/09/15

SI IBU JANGAN PANIK APABILA SUSU BADAN BERKURANGAN


Rasa sedih setiap kali susu badan merudum, tertekan ketika mengepam susu serta kecewa apabila susu yang dipam tidak seperti yang diharapkan atau umpama seperti kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang.

Namun hakikatnya, masalah yang membelenggu kebanyakan ibu menyusu itu sesuatu yang normal kerana rata-ratanya mengharapkan dapat memberikan yang terbaik kepada si kecil tersayang sehinggalah mereka berusia dua tahun.

Apa yang tidak normal dan ternyata salah apabila si ibu berterusan sedih tanpa melakukan sebarang usaha dan akhirnya menganggap diri tidak dapat menghasilkan jumlah susu badan yang mencukupi buat anak tersayang.

Jalan penyelesaiannya dengan memberikan si kecil susu formula walaupun menyedari mereka masih memerlukan susu ibu terutama bagi mendapatkan segala khasiat terbaik khusus untuk kesihatan.

Kaunselor laktasi, Hazarina Ishak berkata, setiap ibu terutama yang baru saja melahirkan bayi atau akan melahirkan bayi dalam tempoh terdekat perlu mengetahui kaedah dan teknik mengepam susu badan dengan betul.

Menurutnya, memahami kaedah itu bukan saja memudahkan, malah ia membantu dalam menghasilkan perahan susu badan yang mencukupi selain mengelak berlakunya masalah kurang susu.

Tiga cara mengepam susu badan:
- Mengepam secara intensif.
- Mengepam secara padu .
- Mengepam secara iringan.

Mengepam secara intensif
Kaedah ini dijalankan dengan mengepam setiap dua jam. Ia merujuk kepada konsep permintaan dan bekalan. Jangan melihat kepada hasilnya, fokus untuk memberikan isyarat pada badan supaya terus mengeluarkan susu dengan sistematik.

Mengepam secara iringan
Kaedah ini merujuk kepada tindakan sebelah payudara digunakan bayi untuk menyusu manakala sebelah lagi mengepam.

Kaedah ini diperlukan kerana badan mendapat isyarat susu diperlukan lebih daripada biasa seperti menyusukan anak kembar.

Kebaikan kaedah ini apabila penyusuan itu bermain dengan emosi yang membuatkan hati berasa lebih bahagia ketika menyusukan si kecil tersayang dan pada masa sama mengepam. Pasti hasilnya juga meningkat dan kaedah ini membuatkan susu keluar dengan lebih laju.

Mengepam secara padu
Kaedah ini seperti memberi kejutan daripada tidur kepada badan yang dalam keadaan rehat dengan penghasilan susunya.

Ia memerlukan masa sejam setiap hari dan dilakukan selama tiga hari berturut-turut. Ia dijalankan dengan berterusan mengosongkan payudara, memberikan isyarat pada badan untuk menghasilkan susu dengan lebih banyak serta lebih cepat.

Menurut Hazarina, apa juga kaedah digunakan bergantung kepada permintaan dan pemberian, selain setiap ibu perlu menjaga pengambilan makanan hariannya.

“Ibu digalakkan mengambil halba, habatussauda dan lobak putih bagi membantu penghasilan jumlah susu badan yang banyak dan mencukupi.

“Sekiranya si ibu tidak gemar dengan rasa ketiga-tiga makanan ini, mereka boleh mendapat sebarang makanan tambahan yang dibuat khas untuk menambah susu badan,” katanya.

Menurutnya, pemakanan yang diambil juga tidak dapat mengatasi masalah kekurangan penghasilan susu sekiranya tidak melakukan kaedah mengepam dengan betul dan konsisten.

“Ibu tidak seharusnya berasa putus asa dan me­ngambil jalan mudah dengan menghentikan pemberian susu badan sedangkan anak masih belum berusia dua tahun.

“Segalanya perlu kuat baik dari segi mental dan fizikal serta individu di sekeliling terutama suami perlu memberikan semangat serta membantu mengurangkan tekanan si ibu bagi memastikan susu badan tidak merudum,” ujarnya.

Peranan suami membantu isteri yang menyusukan bayinya:
Bantu melakukan tugasan harian di rumah seperti membasuh pakaian, menjaga anak serta mengemas rumah.

Menjaga emosi isteri dan jangan memberi tekanan kepadanya.

Beri semangat kepada isteri supaya mampu menyusukan anak sehingga usia dua tahun.

Sediakan keperluan seperti alat pengepam dan tempat khusus yang selesa buat isteri untuk mengepam susu di rumah.

Mendoakan kesihatan dan kesejahteraan isteri supaya dapat menyusukan anak dalam keadaan yang sihat dan baik.

2/04/15

KETAHUI PUNCA BAYI MENANGIS TANPA HENTI


Bayi mempunyai pelbagai ragam serta reaksi antaranya menangis, resah dan tersenyum. Itu cara bayi berkomunikasi atau menunjukkan rasa gembira mahupun tidak selesa dengan situasi yang dialami.

Ramai ibu bapa mula bimbang apabila bayi mereka menangis tanpa henti walaupun sudah melakukan pelbagai cara untuk menenangkan si kecil. Malah, ada bayi yang mampu menangis dalam tempoh lama dan akan berhenti apabila sudah letih atau tertidur.

Menangis secara berterusan adalah masalah biasa bagi bayi baru lahir atau berusia kurang daripada setahun. Menangis adalah satu cara bayi berhubung untuk menunjukkan mereka mempunyai masalah atau tidak selesa.

Menurut perunding tangisan bayi Uswatun Hasanah Mohd Habib, ibu bapa perlu faham dan tahu terdapat tiga kategori bayi iaitu mudah, sensitif dan kolik.

“Kategori bayi yang mudah tidak banyak masalah dan biasanya senang dikawal atau ditenangkan apabila mula menangis. Bayi mungkin menunjukkan keresahan dan tidak mahu diletak selain menangis.

“Kebiasaannya, si kecil akan diam dan berasa selesa apabila sentiasa dibelai atau didukung. Berbeza dengan bayi sensitif dan kolik, si kecil agak sukar ditenangkan. Bayi sensitif banyak menangis, namun akan berhenti apabila ada sentuhan kulit ke kulit dengan ibu.

“Bagi bayi kolik pula, bayi lebih banyak menangis dan susah dikawal walaupun si ibu berada berhampiran dengan anaknya atau pelbagai cara sudah dilakukan kerana untuk menenangkan si kecil itu memerlukan teknik betul,” katanya.

Apabila si kecil tidak tenteram, gelisah dan menangis tanpa henti, ibu bapa mula bimbang kerana tidak mengetahui puncanya.

Bukan sakit, gangguan makhluk halus mahupun sebarang sebab, namun ia adakalanya berkaitan dengan ‘jam tersihir’ atau lebih dikenali sebagai gejala ‘witching hour’.

Ini boleh berlaku dalam kalangan bayi seawal usia dua minggu, namun ia jarang terjadi. Kebiasaannya, ia banyak terjadi kepada bayi apabila mula memasuki usia enam hingga lapan minggu.
Kejadian bayi menangis tanpa henti apabila tiba waktu biasa setiap hari boleh berlarutan sehingga bayi berusia tiga bulan. Namun, bayi kolik akan mengalami keadaan berkenaan hingga usia sekitar lima ke tujuh bulan.

Perkara berkaitan ‘jam tersihir’ masih asing dalam kalangan ibu bapa hari ini. Ia mendapat nama apabila kebanyakan budaya menganggap bayi menangis pada waktu penghujung hari itu dikaitkan dengan unsur sihir yang bukan saja dalam kalangan masyarakat di negara ini namun pemikiran orang Eropah.

Kekerapan bayi menangis tanpa sebab dan tidak dapat ditenangkan itu biasa berlaku pada waktu tertentu di penghujung hari terutama lewat tengah hari, petang dan malam.

Punca bayi meragam
“Apabila bayi sering menangis, ramai mengaitkan masalah berkenaan unsur mistik walaupun hidup dalam dunia serba moden.

“Tidak dinafikan saya juga perlu percaya dengan alam ghaib, namun tidak adil jika kita sering mengaitkan setiap masalah yang berlaku pada bayi dengan unsur mistik hingga ada ibu bapa yang mempercayai perkara khurafat seperti pemakaian tangkal.

“Saya menolak isu bayi menangis disebabkan unsur mistik kerana ia mempunyai penerangan yang jelas puncanya dari sudut sains. Malah, ada kaedah tertentu untuk membantu mengelakkan gejala bayi menangis lama seperti menggunakan cara ‘cuddle cure’ iaitu dengan membedung,” katanya.

Baginya, tidak ada masalah untuk berubat secara tradisional mahupun moden, namun jika ada kaedah tertentu yang logik dari sudut sains untuk menenangkan bayi, tiada salah mencubanya.

Rujuk komuniti bebas kolik untuk dijadikan bukti bagi menyanggah unsur mistik apabila bayi mengalami masalah terutama kerap menangis pada penghujung hari.

Lihat saja etnik orang asli Kung San di tiga daerah iaitu Bostwana, Angola dan Namibia yang tinggal di Gurun Kalahari, Afrika. Selain itu, puak asli di Bali, Indonesia mempunyai adat tersendiri untuk menjaga bayi bagi mengelakkan anak mereka mengalami gejala kolik.

Malah, ada juga kaum asli Banjar yang mengamalkan adat ‘berpukong’ atau menidurkan bayi yang sememangnya popular bagi kaum itu sejak dulu, namun tradisi itu semakin dilupakan.

“Ada tiga sebab utama bayi menangis secara berpanjangan iaitu terlalu penat, rimas dan penyusuan berangkai (cluster feeding). Kebiasaannya, ibu sudah dapat mengagak waktu anak akan menangis yang berlaku hampir sama setiap hari.

“Jika sudah tahu waktu itu, sebaiknya berikan bantuan dengan segera sebelum bayi menangis. Jika ia berlaku tanpa disedari, ibu bapa akan mendapati bayi mereka tidak dapat dibantu atau ditenangkan dengan pelbagai kaedah dan hanya berhenti menangis apabila tertidur.

“Masalah bayi menangis dan meragam dalam tempoh lama boleh dielakkan jika ibu memberi bantuan segera sebelum memasuki zon ‘jam tersihir’,” katanya.

Terlalu penat
Bayi boleh meragam jika terlalu penat. Walaupun bayi masih belum boleh bermain, ramai ibu bapa yang tidak tahu stimulasi tidur yang dialami bayi sudah cukup besar bagi mereka dan ia juga boleh membuatkan si kecil berasa penat.

Secara saintifiknya, otak akan memberikan mesej kepada badan untuk berehat atau tidur apabila penat. Apabila keperluan itu tidak dipenuhi, otak akan menghantar mesej kepada sistem badan yang akan mengeluarkan hormon kortisol (tekanan) dan adrenalin (aktif atau membuatkan badan terjaga).

Dua hormon berkenaan dihasilkan dalam badan menyebabkan hormon melatonin yang menggalakkan tidur akan dikurangkan. Jika ia berlaku, badan yang penat akan kembali segar, namun menyebabkan individu itu berasa tertekan secara tidak langsung.

Orang dewasa boleh mengawalnya namun tidak bayi. Justeru, si kecil akan menunjukkan tindak balas dengan menolak semua bantuan yang diberikan oleh ibu apabila sudah terlalu letih dan terus menangis tanpa mempedulikan sebarang pujukan.

Setiap bayi mengalami tempoh penat yang berbeza misalnya jika bayi bangun awal pagi, tidak mustahil dia boleh rasa penat lebih awal iaitu mungkin lewat tengah hari atau petang.

“Bayi boleh menjadi terlalu penat apabila ibu tidak menyedari anak mereka sudah menunjukkan tanda keletihan awal hingga menyebabkan si kecil resah dan tidak selesa.

“Sebaiknya, segera berikan bantuan kepada bayi apabila melihat ketidakselesaan anak atau tempoh ‘jam tersihir’ semakin hampir dengan menjauhkan si kecil daripada bunyi bising atau masuk ke dalam bilik dengan suasana cahaya malap atau gelap.

“Ini kerana hormon melatonin boleh dimusnahkan atau dikurangkan dengan kehadiran hormon kortisol dan cahaya hingga menyebabkan bayi terjaga serta sukar untuk tidur,” katanya.

Ada tiga cara menggalakkan bayi tidur iaitu suasana cahaya gelap atau malap, bunyian yang menenangkan dan suhu yang bersesuaian (tidak terlalu panas atau sejuk).

Terlalu rimas
Apabila tanda keletihan anak tidak disedari, ia boleh membawa kepada rasa rimas dan tidak selesa terutama apabila perlu melalui suasana bising di sekelilingnya.

Bunyi bising boleh mengganggu bayi terutama apabila si kecil sudah keletihan misalnya kehadiran tetamu yang ramai dan keriuhan orang sekeliling bercakap atau televisyen yang kuat pada lewat petang.

Ia bertambah buruk apabila berlaku dalam tempoh biasa bayi mula meragam dan menangis. Jika ia berlaku, jauhkan bayi daripada suasana bising untuk berehat bagi mengelakkan bayi berasa terganggu dan rimas.

Penyusuan berangkai
Selain itu, kekerapan keperluan menyusu sebelum waktu tidur yang panjang seperti sejam atau dua jam awal membuatkan bayi tidak mahu melepaskan susu.

Ia adalah proses semula jadi yang dilakukan oleh bayi bagi memenuhi bekalan susu sebelum memasuki tempoh tidur yang panjang. Ada ibu yang menganggap bayi mereka cerewet atau meragam kerana tidak mahu melepaskan susu.

3/09/14

TAHUKAH ANDA SUP LONGAN MAMPU TAMBAH SUSU IBU

Sup "longan kering" tambah susu ibu



Susu ibu sumber makanan penting untuk tumbesaran si kecil kerana kandungan khasiatnya yang boleh membantu menguatkan antibodi si kecil bagi melawan penyakit.

Ada beberapa sebab apabila ibu berasa susu yang dihasilkan semakin berkurangan. Ini mungkin disebabkan si ibu tidak memulakan penyusuan awal atau tidak menyusukan bayi dengan kerap. 

Sekiranya si ibu menyusukan anak secara eksklusif bermula sebaik bayi dilahirkan, susu akan keluar dengan banyak dan payudara sentiasa penuh walaupun bayi anda sedang menyusu. 

Ini kerana semasa baru melahirkan atau berpantang, badan si ibu dalam proses penyesuaian dengan hormon yang dihasilkan. Namun, selepas beberapa bulan, badan ibu sudah mampu mengikut sepenuhnya hormon yang terhasil dan susu yang dihasilkan akan mengikut keperluan bayi.

Oleh itu, jika si ibu menyusukan bayinya secara eksklusif dan bayi menghisap kedua-dua payudara, susu yang terhasil lebih banyak berbanding jika lewat memulakan penyusuan.

Pemakanan yang sesuai penting bagi ibu yang memberikan anak mereka susu ibu kerana apa yang dimakan oleh ibu akan diserap juga oleh si kecil. 

Terdapat pelbagai cara untuk menambah penghasilan susu badan, antaranya dengan pengambilan makanan yang betul dan berkhasiat khusus untuk penambahan susu ibu. 

Fokus perlu diberi pada pengambilan bijiran penuh seperti nasi perang dan bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran segar serta makanan yang memberikan banyak protein, kalsium dan zat besi. 

Ibu juga digalakkan memilih snek berkhasiat seperti yogurt, kekacang, telur dan roti sandwic diperbuat daripada roti gandum penuh. Hadkan pengambilan makanan bergoreng serta makanan yang disediakan dengan minyak sapi dan santan kelapa. 

Dalam sesetengah komuniti, mungkin ada pantang pada sesetengah jenis makanan untuk bulan pertama atau 44 hari selepas kelahiran. Bagaimanapun, pakar tetap mengatakan anda tidak perlu mengehadkan diet anda kecuali bayi anda menunjukkan tanda sensitif selepas me­nyusu. 

P Pakar Dieyy yang juga chef Pusat Perubatan Tropicana (TMC) berkongsi resipi mudah dan ringkas, sup longan kering khusus bagi membantu menambah jumlah pengeluaran susu ibu.

13/08/14

PRODUK GALAK PENYUSUAN IBU

Sebagai meraikan bulan penyusuan susu ibu Ogos ini, Bloom & Grow memperkenalkan pelbagai peralatan penyusuan yang bukan saja ditujukan untuk ibu, tetapi juga bakal ibu bagi menggalakkan penyusuan susu ibu. Dengan adanya aksesori ini, ia menjadikan proses penyusuan menjadi lebih senang, malah memberi semangat kepada bakal ibu menyusukan bayi mereka sepenuhnya.

Bantal Theraline - Bantal sokongan penyusuan dari Eropah direka bagi memberi keselesaan kepada ibu menyusukan anak dan melayan bayi mereka. Bantal berbentuk panjang dan fleksibel ini mampu mengurangkan ketegangan pada leher dan bahu ibu. Ia tidak berbau manakala manik mikro yang terdapat di dalamnya memberikan sokongan dan keselesaan berganda terutama untuk ibu yang hamil pada peringkat permulaan dan akhir kehamilan yang biasanya mengalami masalah sukar tidur. Theraline dijual di pasaran pada harga RM339 dan ia boleh didapati di semua kedai bayi seperti Bebe Totz, Happikiddo, Poppies, The Loft Baby dan Mothercare. 

Baju dalam menyusu - Baju dalam menyusu daripada Belly Bandit ini direka bagi memenuhi keperluan semua ibu. Ia bukan saja berfungsi memudahkan proses penyusuan badan, tetapi menyediakan akses seperti bengkung iaitu membentuk badan seperti sedia kala. Menggunakan fabrik lembut bagi memberikan sokongan kepada payudara serta tiga zon strategik menjadikan perut lebih leper. Pakaian ini berharga RM369 dan boleh didapati di The Babyloft, Little Whiz dan E Tiny Toes Concept. 

PENGGENDONG Ergobaby memudahkan bayi dibawa ke masa saja.

JUGA boleh digunakan sebagai kain bedung.

Penggendong Ergobaby - Penggendong Ergobaby direka bagi memudahkan ibu membawa bayi ke mana saja. Ia boleh dipakai di hadapan, belakang dan pinggang kemudian bayi diletakkan di dalamnya. Keselesaan dapat dirasa oleh bayi sama seperti ketika bayi dalam kandungan. Rekaan terkini kedudukan 360 darjah menjadikan penggendong bayi diletakkan dalam pelbagai kedudukan.

Selain itu penggendong kain yang mudah diregangkan ini digunakan dengan cara membalut dalam empat arah sangat fleksibel sehingga bayi anda berada dalam keadaan selesa ketika di luar rumah. Ia juga boleh digunakan ketika menyusukan bayi anda. Pengendong Ergobaby berharga daripada RM349 hingga RM689 dan boleh didapati di butik Mothercare, Fabulousmom, Little Whiz, Bebe Totz, Baby Invasion dan Bebehaus. 

Penggendong BabaSling - Penggendong berbentuk silang atau BabaSling memenangi pelbagai anugerah kerana penciptaan dan revolusi terkini dalam rekaan. Ia dihasilkan bagi memberi keselesaan dan kesederhanaan serta menyokong membangunkan tulang belakang terutama bayi baru lahir. Jalinan keakraban dapat dilihat apabila bayi sentiasa mendengar degupan jantung ibu menjadikan ikatan kemesraan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. 

BabaSling sesuai dipakai ketika perjalanan jauh, menyusukan bayi dengan selesa serta melakukan kerja rumah. Dengan lima fungsi berbeza, BabaSling boleh dilaraskan mengikut keperluan. Berharga RM274 BabaSling boleh didapati di BB Dot Com, Bebe Totz, Bebehaus, Happikiddo dan pusat bayi Manjaku. 

Kain pelbagai guna - Proses menyusukan bayi kini menjadi lebih mudah dengan adanya kain pelindung menyusu yang direka bagi memberi peluang ibu menyusukan bayi mereka walau di mana berada. Ia diperbuat daripada 100 peratus kapas tulen dan boleh digunakan dalam pelbagai cara. Selain menjadi pelindung ketika menyusu, kain ini juga digunakan sebagai lampin tradisional, selimut dan kain bedung bayi. 

Kain ini datang dalam pelbagai rekaan dan warna. Berharga RM129 untuk satu set. Kain pelbagai guna ini boleh didapati di BB dot com, Happikiddo, The Baby Outlet dan The Baby Loft.

23/07/14

`SUSU IBU` - ELAK BERI SUSU FORMULA

Bagi ibu yang baru pertama kali melahirkan anak, semuanya satu pengalaman baru buat mereka, daripada memandikan anak, menidurkannya hinggalah memberi susu badan kepada si kecil.

Kebanyakan ibu baru masih terkontang-kanting dalam menguruskan bayi dek tiada pengalaman, ­ditambah pula tanggung­jawab menjaga kesihatan diri sendiri sepanjang berpantang.


Antara tanggungjawab paling berat dan kadangkala mampu mencabar kesabaran seorang ibu baru adalah memberikan susu badan kepada anak mereka.

Pemberian susu badan memerlukan komitmen ting­gi dan tidak boleh diambil mudah. Ini berikutan kadar susu badan boleh me­nyusut mendadak jika waktu menyusu atau mengepam susu tidak dilakukan secara konsisten.

Ada ibu menganggap mereka sememangnya tidak ada susu atau tidak banyak susu yang boleh diberikan kepada bayi, ada pula yang sudah menyerah kalah sebelum berusaha dan ini tentunya merugikan bayi mereka kerana susu badan adalah hak anak, bukannya ibu.

Oleh kerana rasa tertekan, sibuk dengan kerja atau mungkin tidak mahu memberatkan kepala, segelintir ibu mengambil keputusan mudah dengan memberikan susu formula kepada bayi mereka.

Susu badan mempunyai nutrien mengikut keperluan tepat berdasarkan usia bayi dan ia memiliki antibodi yang tidak ada di dalam susu formula. Pemberian susu badan bukan saja mencukup­kan semua zat yang ­diperlukan bayi untuk membesar, malah ia juga meningkatkan sistem pertahanan bayi.

Kolostrum yang keluar ketika pertama kali bayi disusukan secara terus membantu melindungi bayi sehingga sistem pertahanannya boleh berfungsi dengan sempurna.

Kolostrum juga mewujudkan kesan lawas yang lembut, membantu membuang mekonium (najis awal bayi) dan mengelak peningkatan jumlah bilirubin iaitu faktor penyumbang utama kepada masalah demam kuning dalam kalangan bayi baru lahir.

Banyak kebaikan apabila anak minum susu badan secara terus daripada ibunya. Antaranya, dia berada dalam dakapan dan sangat hampir dengan tubuh ibu, secara tidak langsung membuat­kannya rasa tenang dan ­selamat, selain merapatkan hubungan anak dan ibu.

Rangsangan daripada bayi yang minum susu badan secara terus juga akan membantu memperbanyakkan susu badan. Pemberian susu badan secara terus adalah cara paling bersih memberikan susu pada anak selain susu berada pada suhu yang tepat.

Namun, pengenalan susu formula atau badan menerusi botol boleh menimbulkan masalah ‘keliru puting’ dalam kalangan bayi, begitu juga memberikan anak puting untuk memujuknya supaya berhenti menangis.

Apabila anak ‘keliru puting’, bayi secara langsung enggan meminum susu ibunya secara terus, sebaliknya ia terpaksa dipam terlebih dulu untuk dimasukkan ke dalam botol biarpun ketika ibu ada di sisi anak.

Menurut pakar perunding pediatrik, Dr Yong Junina Fadzil, apabila bayi didedahkan dengan botol pada awal usia, dia secara tidak langsung akan mengalami keadaan keliru antara puting payudara ibu dengan puting lain, hingga agak sukar baginya untuk minum susu badan secara terus.

Puting yang diberi pada anak ketika ia meragam untuk menghentikannya menangis juga boleh menimbulkan kekeliruan pada bayi dan sebaik-baiknya ibu jangan memperkenalkan botol atau beri puting pada bayi yang masih kecil.

“Paling baik, beri terus minum susu badan dari mula dan langsung tidak memperkenalkan botol atau puting. Namun bagi ibu bekerja, pam susu dan penjaga perlu berikan susu badan menggunakan botol.

“Jika ibu bermasalah hendak beri susu badan ­secara terus, ibu boleh berikan susu menggunakan cawan kecil, bukannya ­botol. Namun untuk mengelak anak tersedak sekiranya tidak tahu cara betul atau memudahkan penjaga, pemberian susu dalam botol pilihan lebih wajar,” kata­nya.

Dr Yong Junina berkata, antara faktor yang menyebabkan bayi menolak minum susu badan secara terus kerana pengaliran susu badan lebih perlahan berbanding susu yang diminum daripada botol.

Jumlah susu badan yang dipam juga boleh terjejas sekiranya tidak mendapat rangsangan terus daripada bayi atau tidak dipam me­ngikut masa ditetapkan iaitu setiap tiga jam.

Menurutnya, antara cara memperbanyakkan susu badan bagi ibu yang mengepam susu adalah dengan melihat gambar bayi mereka untuk merangsang pengaliran susu lebih banyak.

Malah bagi bayi yang eng­gan minum susu secara terus daripada ibu selepas diperkenalkan dengan botol, Dr Yong Junina berkata, ­masih belum terlambat malah keadaan itu boleh diubah.

“Caranya memujuk bayi dengan menggalakkannya minum susu ibu secara terus setiap dua jam sambil me­ngusap pipinya. Ibu jangan sesekali mengalah dan perlu berfikiran positif. Jika lapar, bayi akan minum juga tetapi ibu kena banyak bersabar,” katanya.

Bayi di bawah usia enam bulan perlu diberi susu ibu secara eksklusif bagi mendapat manfaat terbaik daripada kandungan nutrien dan antibodi yang ada di dalam susu ibu.


Kebaikan susu ibu

• Melindungi bayi daripada penyakit antaranya virus perut, pernafasan, jangkitan telinga dan meningitis.

• Mengelak masalah alahan.

• Bayi lebih bijak kerana perkembangan kognitif yang lebih baik.

• Mengeratkan hubungan bayi dan ibu.

• Berat badan bayi terkawal.

• Mengurangkan risiko sindrom kematian bayi secara tiba-tiba (SIDS).

• Mampu mengurangkan tekanan diri si ibu dan mengelak daripada mengalami kemurungan selepas bersalin.

• Membantu ibu mengurangkan berat badan.

• Membantu melindu­ngi ibu daripada kanser ovari dan payudara.

• Mengurangkan risiko bayi menghidap diabetes, asma dan obesiti.

• Sumber zat lengkap sesuai untuk pertumbuhan bayi yang sihat.


Kandungan susu ibu

• Protein. Sejumlah 60 peratus daripada kandungan protein susu ibu adalah protein whey manakala 40 ­peratus lagi protein casein. Ini menyeimbangkan ­penyerapan protein dan mempercepatkan penghadaman.

• Laktoferin. Mengelak pertumbuhan bakteria ­dalam saluran usus yang bergantung kepada zat besi. Ibu yang makan ikan membantu memperbanyakkan protein jenis ini dalam susu mereka.

• Secretory IgA. Ia melindungi bayi daripada virus dan bakteria termasuk E coli dan alahan lain. 

• Enzim Lysozyme yang melindungi bayi ­daripada E coli dan Salmonella selain menyokong kesihatan usus serta bersifat antiradang.

• Bifidus menyokong bakteria jenis lactobacillus yang bermanfaat melindu­ngi bayi daripada bakteria berbahaya dengan ­membentuk persekitaran berasid.

• Lemak. Kandungan ­lemak dalam susu ibu ­memastikan perkembangan otak yang sihat, membantu serapan vitamin larut lemak dan sumber kalori untuk bayi. Lemak penting untuk pertumbuhan otak, retina dan sistem saraf yang sihat.

• Vitamin. Nutrien daripada pemakanan ibu secara sihat disalurkan ke dalam susu badan seterusnya kepada bayi.

• Karbohidrat. Laktosa adalah karbohidrat ­utama dalam susu ibu yang ­berfungsi mengurangkan jumlah bakteria tidak sihat dalam perut bayi dan menggalakkan serapan kalsium, fosforus dan magnesium.

• Leukocytes iaitu sel hidup yang hanya boleh didapati daripada susu ibu. Ia berperanan melawan serangan jangkitan. Ia adalah antibodi, sel hidup, enzim dan hormon yang menjadikan susu ibu sangat istimewa.