Memaparkan catatan dengan label IBU BAPA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label IBU BAPA. Papar semua catatan

4/12/18

TAHUKAH ANDA BAYI PALING MUDAH DIJANGKITI DEMAM VIRUS


Penyakit ringan seperti demam dan selesema sering dikaitkan dengan cuaca panas serta hujan tidak menentu yang berlaku sepanjang tahun. Walaupun ia masalah kesihatan biasa yang kita alami, jika ia kerap berulang tentu membuatkan kita bimbang dan tidak selesa.

Bagi orang dewasa, demam menjejaskan prestasi kerja. Namun, kita akan lebih gundah sekiranya masalah kesihatan ini dialami kanak-kanak yang masih dalam proses membina kekuatan antibodi atau imunisasi bagi melawan pelbagai penyakit, sama ada disebabkan bakteria atau virus.

Kita sering dengar luahan rakan yang mempunyai anak kecil terpaksa mengambil cuti apabila anak mereka dimasukkan ke wad kerana demam virus.

Menurut Pegawai Perubatan Kecemasan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Dr Shamsinar Samsuddin, demam virus adalah nama yang diberikan kepada demam akibat pelbagai jenis virus yang wujud di sekeliling manusia.

Beliau berkata, virus adalah organisma mikro yang menyebabkan jangkitan. Malah, ia lebih kecil daripada fungus dan bakteria.

“Virus ini akan memasuki sel perumah (individu yang dijangkiti) dan melepaskan asid ribonukleik (RNA) atau asid deoksiri bonukleik (DNA). Ia akan mengganda dan bertambah bilangannya yang menyebabkan kematian sel tuan rumah.

“Semua jenis jangkitan virus boleh menyebabkan demam. Virus yang paling sering menimbulkan gejala adalah seperti jangkitan pada saluran pernafasan, salur pemakanan, kulit dan sistem saraf serta otak,” katanya.

Katanya, virus boleh menyerang semua peringkat umur, sama ada kanak-kanak atau golongan dewasa. Golongan kanak-kanak adalah lebih sensitif dan lebih mudah terdedah kepada jangkitan ini disebabkan daya tahan tubuh yang masih lemah dan tidak berkembang sepenuhnya seperti golongan dewasa.

“Kanak-kanak yang jarang terdedah kepada persekitaran luar, contohnya bayi dan kanak-kanak bawah umur tiga tahun, rata-rata masih dijaga rapi oleh ibu mereka sendiri di rumah dan tidak pernah bergaul dengan kanak-kanak lain, secara amnya mempunyai daya tahan tubuh yang lemah terhadap virus biasa.

“Berbanding dengan kanak-kanak yang sudah terbiasa dijaga di tempat asuhan atau pusat jagaan kanak-kanak di luar, daya tahan tubuh lebih kuat,” katanya.

Dr Shamsinar berkata, golongan dewasa yang mendapat jangkitan virus juga akan mengalami gejala tidak sihat yang sama seperti kanak-kanak. Namun, gejala ini mungkin hilang dalam beberapa hari disebabkan daya ketahanan tubuh yang kuat serta kemampuan tubuh untuk melawan jangkitan berkenaan.

Jelasnya, bagi mengenali simptom demam virus, jangkitan virus secara umumnya akan memberikan gejala demam dan mungkin disertai batuk dan selesema.

Bagaimanapun, demam virus dapat dibezakan daripada demam yang disebabkan oleh jangkitan bakteria pada beberapa aspek seperti suhu badan meningkat sekitar 37.5 hingga 38 darjah Celsius,

“Demam bakteria pula boleh mencapai suhu yang lebih tinggi. Selain itu, keadaan kanak-kanak yang mengalami jangkitan virus secara umumnya adalah lebih baik berbanding kanak-kanak yang mendapat jangkitan bakteria, dalam erti kata mereka masih kelihatan aktif dan cergas walaupun sedang demam.

“Kanak-kanak yang diserang jangkitan bakteria umumnya kelihatan lebih sakit dan lesu. Muntah dan cirit-birit bukan faktor penentu sama ada kanak-kanak terbabit diserang jangkitan virus atau bakteria, ia hanyalah perkembangan daripada masalah kesihatan itu sendiri,” katanya.

Buat masa ini tidak ada rawatan khusus untuk merawat jangkitan virus, namun pelbagai kaedah boleh dilakukan bagi mengurangkan gejala yang dialami.

“Demam akan dirawat dengan pemberian ubat mengurangkan demam. Paracetamol kini tersedia luas di pasaran dan diperbuat dalam pelbagai jenama dan sediaan. Dos yang disarankan untuk kanak-kanak adalah sebanyak 15mg/kg berat badan dan boleh diberikan secara berulang-ulang setiap empat hingga enam jam.

“Pada masa yang sama, ibu bapa harus memastikan status hidrasi anak masing-masing tetap bagus, yang bermaksud anak masih mampu minum seperti biasa dan tidak mengalami dehidrasi (kekurangan air),” katanya.

Jelasnya lagi, apabila demam, kanak-kanak akan hilang selera makan. Ini adalah perkara biasa dan pada ketika ini doktor lebih menekankan kemampuan anak untuk minum berbanding makan dalam menentukan kadar hidrasi seorang kanak-kanak.

Tambahnya, jika anak menghidap gejala batuk, selesema, cirit-birit atau muntah, rawatan yang diberikan adalah berdasarkan simptom yang ditunjukkan. Bagaimanapun, tidak semua gejala berkenaan perlu dirawat kerana ia ada hadnya iaitu jangkitan akan hilang dengan sendirinya.

“Satu hal paling penting yang perlu diketahui oleh ibu bapa ialah, jangkitan virus tidak boleh diubati dengan pemberian antibiotik. Jadi, apabila doktor tidak memberikan antibiotik kepada anak, jangan minta!” katanya.

25/06/18

KESAN BURUK GAJET TERHADAP MATA KANAK-KANAK


Terdapat segelintir ibu bapa memberikan gajet kepada anak-anak bagi mengelakkan mereka merengek ketika memerlukan perhatian. 

Malah, ibu bapa mengambil kesempatan ini untuk berehat setelah penat bekerja. Masalah lain pula timbul apabila budaya ini diamalkan.

Berdasarkan kajian Akademi Pediatrik Amerika dan Persatuan Pediatrik Kanada berkenaan penggunaan teknologi mengikut umur, kanak-kanak berusia dua tahun tidak sepatutnya didedahkan dengan gajet, manakala penggunaan selama sejam sehari sahaja bagi kanak-kanak berusia tiga hingga lima tahun dan dua jam sehari bagi berusia enam hingga 18 tahun.

Sementara itu, seorang pakar terapi pediatrik, Cris Zone menyarankan agar larangan penggunaan gajet ke atas kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun. 

Pada usia itu, kanak-kanak akan sentiasa mencari cara mengembangkan kemampuan otak untuk mempelajari perkara baharu dan penggunaan gajet dalam tempoh lama akan memberi kesan buruk terhadap perkembangan otak.

Penggunaan gajet tanpa kawalan akan memberi kesan kepada urat saraf kanak-kanak kerana terdedah kepada cahaya berterusan. Saraf yang rosak akan mengakibatkan kesihatan mereka terganggu. 

Malah terdapat beberapa bukti pendedahan gajet terlalu awal menyebabkan pelbagai kesan sampingan seperti pembelajaran terjejas dan perubahan perlakuan.

Secara nisbahnya, seorang daripada tiga kanak-kanak yang memasuki alam persekolahan dilihat mempunyai kekurangan fungsi dan perhatian dalam melakukan sesuatu, kognitif lembab, pembelajaran terjejas, peningkatan kepada perlakuan mengikut emosi dan kurang kebolehan untuk mengawal diri serta cepat mengamuk.

Kanak-kanak ialah masa depan kita, justeru menjadi kewajipan ibu bapa untuk mendidik mereka dengan cara lebih kreatif biarpun tanpa menggunakan gajet dan teknologi.

7/02/18

RISIKO BAYI BANTUT


Sikap sambil lewa ibu bapa terhadap ujian saringan berjadual dilakukan di hospital boleh mengundang kelewatan mengesan penyakit serius pada bayi seperti hipotiroidisme kongenital.

Menurut portal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu myhealth.gov.my, kajian mengenai kes hipotiroidisme di Malaysia menganggarkan 120 kelahiran bayi mempunyai penyakit itu setiap tahun.

Bayi berpenyakit ini berisiko mengalami tumbesaran terbantut, lewat perkembangan dan terencat akal kerana ketiadaan serta kekurangan hormon tiroksin dihasilkan kelenjar tiroid.

Turut berkongsi pandangan ialah Pakar Perubatan Keluarga, Dr Sakinah Sulong menerusi laman Facebook peribadinya mengingatkan pentingnya ibu bapa melakukan saringan darah tali pusat bayi. Ia dikenali dengan prosedur ‘cord TSH’ (hormon perangsang tiroid) dalam kalangan pengamal perubatan.

“Inilah gunanya program saringan hipotiroidisme kongenital yang dimulakan sejak 1998 di hospital kerajaan di seluruh negara.

“Darah tali pusat bayi diuji sebaik dilahirkan untuk mengesan masalah itu lebih awal.

“Sekiranya keputusan darah ini tidak normal, ibu bapa pesakit akan dihubungi untuk makluman agar mereka diberi rawatan secepat mungkin,” katanya.

Turut berkongsi kaedah rawatan diberikan kepada bayi dikesan awal menghadapi masalah terbabit menerusi pemberian pil tiroksin boleh menggantikan masalah hormon tiroid yang kurang.

Tanda bayi alami masalah hipotiroidisme kongenital

• Jaundis neonatal berpanjangan

• Suara tangisan yang kasar atau garau

• Sembelit

• Perut yang buncit

• Hernia di pusat

• Kulit kering, kasar dan pucat

• Lidah besar (makroglosia)

• Raut muka kasar

• Tidak aktif dan banyak tidur

• Terencat akal

• Tumbesaran terbantut

3/09/16

KESEDARAN IBU BAPA TERHADAP KANDUNGAN GULA DALAM MAKANAN MASIH RENDAH


Gula sama ada semula jadi atau diproses adalah karbohidrat ringkas yang membekalkan kalori kepada tubuh kita untuk digunakan sebagai tenaga dan tiada nilai nutrisi lain.

Gula semula jadi adalah pemanis dalam makanan bukan proses seperti susu, buah-buahan, sayur-sayuran dan segelintir bijian. Fruktosa adalah gula semula jadi yang paling banyak didapati dalam buah-buahan, manakala laktosa adalah gula semula jadi dalam susu.

Gula tambahan pula adalah pemanis yang ditambah ke dalam makanan atau minuman yang diproses bagi menjadikan sajian berkenaan lebih enak.

Selain itu, gula tambahan juga bermanfaat dalam industri makanan kerana makanan yang mengandungi gula lebih tahan lama berikutan membantu meningkatkan rasa, warna dan tekstur makanan dan minuman, mengawet makanan seperti jem dan jeli supaya tidak mudah rosak, membantu proses penapaian dalam roti, menjadikan kuih-muih tahan segar dan mengimbangkan makanan bercuka.

Bagaimanapun, industri makanan sedemikian juga dapat menarik minat pengguna untuk memilih makanan yang sedap, manis dan lebih menyelerakan daripada makanan yang menyihatkan. Golongan kanak-kanak khususnya juga cenderung memilih makanan manis seperti kek, biskut, jus, gula-gula dan jeli berbanding makanan seimbang seperti nasi, roti, mi dan sayuran.

Perunding Pakar Diet, Indra Balaratnam berkata kandungan gula yang melebihi daripada had yang sesuai diberikan kepada anak-anak menjadi faktor pendorong untuk mereka mendapat masalah obesiti, kerosakan gigi, kekurangan mikronutrien dan diabetes.

Bagaimanapun, segelintir ibu bapa mungkin tidak sedar mengenai kandungan makanan yang diberikan kepada anak-anak lebih-lebih lagi apabila mereka bebas untuk memilih makanan yang digemari.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 mendapati lebih tujuh peratus kanak-kanak di bawah umur lima tahun di negara ini dikenal pasti mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Masalah obesiti boleh menjejaskan dengan teruk perkembangan kanak-kanak dan kualiti kehidupan yang membawa kepada komplikasi sekunder seperti diebetes jenis 2, masalah kardiovaskular, asma dan gangguan tidur.

Sementara itu, kajian dijalankan Persatuan Pemakanan Malaysia mendedahkan hampir 30 peratus kanak-kanak dan remaja berusia enam hingga 17 tahun di negara ini mengalami obesiti.

“Masalah obesiti itu berpunca daripada amalan pemakanan kanak-kanak yang lebih gemar sajian mengandungi kadar gula tinggi seperti aiskrim, donut, coklat, gula-gula, biskut dan minuman berkarbonat.

“Pengambilan gula tambahan ini daripada sumber makanan berkenaan boleh mengakibatkan pengambilan kalori yang berlebihan dan dalam jangka masa panjang boleh meningkatkan berat badan serta menyebabkan obesiti. Keadaan ini akan menjadi lebih serius sekiranya diet harian adalah tinggi lemak dan kurangnya aktiviti fizikal.

“Oleh itu, adalah penting kepada ibu bapa untuk memastikan pemberian makanan yang sihat kepada anak dengan mengetahui kepentingn nutrisi yang baik untuk mereka adalah makanan dan minuman yang memberikan tenaga, perkembangan fizikal dan pembangunan mental,” katanya ketika perbincangan meja bulat, Membesar Tanpa Gula Tambahan, anjuran Fonterra Brands Malaysia di ibu negara, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Pembangunan Produk, Saintifik dan Hal Ehwal Perundangan, Fonterra Brands Malaysia, Megawati Suzari.

Indra berkata, ibu bapa perlu berhati-hati dengan kebanyakan produk makanan dan minuman yang mengandungi gula tambahan dan cara paling mudah adalah memeriksa dengan membaca senarai kandungan pada bungkusan atau label pemakanan.

“Gula tambahan merangkumi fruktosa, glukosa, sukrosa, sirap jagung, sirap glukosa, madu, gula perang, gula melaka dan molases. Tubuh kita sebenarnya tidak mempunyai keperluan kepada gula itu berikutan makanan yang mempunyai karbohidrat juga mengandungi gula.

“Tiada sumber vitamin mahupun protein dan lain-lain nutrisi boleh didapati dalam gula. Jadi, ibu perlu menitikberatkan amalan pemakanan anak dengan sentiasa menyedari kesan buruk yang akan berlaku kepada anak mereka jika pengambilan gula melebihi kadar yang disarankan,” katanya.

Tahun lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan garis panduan baru saranan pengambilan gula dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak bagi membendung masalah obesiti yang semakin menjadi-jadi di seluruh dunia.

Had baru itu menetapkan pengambilan gula harian tidak melebihi lima peratus jumlah keseluruhan kalori harian atau 25 gram yang bersamaan dengan enam sudu teh gula sehari.

Indra berkata, ibu bapa mampu memastikan anak-anak mereka mendapat pelbagai nutrien yang diperlukan dalam jumlah yang betul dengan merujuk Piramid Panduan Makanan Malaysia yang menunjukkan dengan jelas jenis dan jumlah makanan perlu diambil setiap hari.

“Ini bagi mengatasi masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak, malah ibu bapa juga perlu memainkan peranan mengawal dan menentukan jenis hidangan dinikmati anak.

“Ibu bapa juga perlu melengkapkan diri dengan maklumat mengenai sajian terbaik untuk anak dan sewajarnya turut menerangkan secara terperinci kepada anak-anak mengapa sesuatu makanan itu perlu atau tidak perlu dimakan,” katanya.

Sementara itu, Megawati berkata, pihaknya melaburkan RM20 juta setahun untuk menjalankan kajian dan penyelidikan terhadap produk tenusu sejak 2011 termasuk memulakan langkah mengurangkan gula tambahan atau tidak menggunakan langsung gula dalam setiap produk yang dikeluarkan dalam usaha memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat di negara ini.

“Ini adalah komitmen kami untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan terhadap kepentingan nutrisi yang baik terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

10/08/16

IBU BAPA PERLU PEKA KEADAAN FIZIKAL ANAK


Pernahkah anda melihat situasi di mana kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun mengalami masalah tumbesaran terbantut. Jika ia, anda perlu segera mencari alternatif untuk mengatasinya.

Lazimnya kadar tumbesaran bagi setiap kanak-kanak adalah setara sekiranya mereka diberi nutrien yang mencukupi dan seimbang.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik Endokrinologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Muhammad Yazid Jalaludin, pertumbuhan normal seorang kanak-kanak adalah hasil pengaruh banyak faktor dan merangkumi nutrisi, genetik, hormon tumbesaran (growth hormone) serta pelbagai lagi hormon yang lain.

“Ibu bapa seharusnya peka dengan keadaan fizikal anak masing-masing, sama ada mereka mempunyai saiz yang sama dengan kanak-kanak seusia mereka atau sebaliknya.

“Sekiranya tidak, ini bermakna anak mengalami masalah tumbesaran yang salah satu penyebabnya adalah apabila badan tidak dapat menghasilkan hormon tumbesaran yang mencukupi dengan sendirinya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Genotropin GoQuick oleh Pfizer, di ibu kota, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, di Malaysia, hormon tumbesaran manusia rekombinan (rhGH) untuk pesakit yang mempunyai kekurangan hormon tumbesaran dijual secara komersial sejak 1982.

Bagaimanapun, penggunaan terapi hormon tumbesaran tidak berkembang sepantas yang diingini walaupun ia semakin mudah didapati, disebabkan kekurangan kesedaran bukan sahaja dalam kalangan orang awam tetapi juga kakitangan kesihatan.

“Oleh kerana kekurangan hormon tumbesaran hanya dialami oleh sebahagian kecil populasi, kira-kira 0.0003 peratus kebanyakan pengamal penjagaan kesihatan mungkin tidak pernah berhadapan kes seperti ini.

“Kesilapan diagnosis mungkin terjadi dan menyebabkan pesakit lewat menerima rawatan serta memberikan kesan yang kurang memberangsangkan kepada hasil rawatannya.

“Sebagai contoh, kanak-kanak yang dilahirkan lebih kecil daripada umur kandungan yang menunjukkan kadar tumbesaran yang rendah, iaitu kumpulan terbesar yang boleh mendapat manfaat daripada terapi hormon tumbesaran, sering diberikan diagnosis yang salah atau lewat didiagnosis, dan ini mengakibatkan hasil rawatan yang kurang optimum.

“Peningkatan kesedaran dan seterusnya berusaha untuk mendiagnosis dan merawat kanak-kanak ini pada peringkat awal adalah amat penting, memandangkan terapi ini harus dimulakan pada usia muda (seperti yang disyorkan) untuk mengoptimumkan kesan dan manfaat rawatan,” katanya.

Dalam pada itu, Prof Pediatrik dan Pakar Perunding Genetik Klinikal, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Thong Meow Keong berkata, setiap tahun, kira-kira enam peratus daripada bayi yang baru lahir di seluruh dunia mengalami kecacatan lahir yang serius, berpunca daripada faktor genetik atau separa genetik.

“Sebahagian daripada kes ini ialah penyakit jarang jumpa, yang ditakrifkan sebagai penyakit yang dialami oleh kurang daripada 1 dalam 2,000 orang .

“Pesakit yang menghidap penyakit jarang jumpa berhadapan dengan cabaran kerana kurang kesedaran, pengetahuan dan pemahaman dalam kalangan orang awam mahupun pakar penjagaan kesihatan. Ini ditambah pula dengan ketiadaan ubat dan kekurangan dana untuk membantu rawatan, serta kekurangan kumpulan sokongan awam.

“Faktor itu mungkin sukar bagi pesakit untuk menikmati kualiti hidup yang baik. Oleh itu, usaha yang dilakukan oleh Persatuan Penyakit Jarang Jumpa Malaysia (PPJJM) adalah sangat penting untuk mengubah kehidupan mereka yang mengalami penyakit jenis ini.

“Penyelidikan dan Pembangunan Perubatan memberikan harapan kepada pesakit yang menghidap penyakit seperti Sindrom Turner, iaitu penyakit kromosom yang dikaitkan dengan tubuh yang rendah dalam kalangan wanita dan diketahui bertindak balas dengan baik terhadap terapi hormon tumbesaran,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Hal Ehwal Korporat, Kesihatan dan Nilai-Nilai Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd, Azwar Kamarudin serta Penasihat Perubatan Pfizer, Dr Chan Min-Kyi.


INFO

Hormon tumbesaran semula jadi ialah bahan yang dihasilkan daripada kelenjar pituitari badan. Kelenjar ini akan mengeluarkan hormon yang mengawal banyak fungsi badan.

Misalnya, hormon tumbesaran semula jadi membantu kanak-kanak membesar, dan orang dewasa memerlukannya untuk kekal sihat. Pertumbuhan normal adalah hasil pengaruh banyak faktor. Faktor ini merangkumi nutrisi, genetik dan pelbagai hormon.

Jika kanak-kanak menunjukkan tumbesaran yang tidak normal, mereka boleh dirujuk kepada pakar endokrin pediatrik yang mahir dalam rawatan masalah tumbesaran dan hormon.

Kekurangan hormon tumbesaran berlaku apabila badan pesakit tidak dapat menghasilkan hormon tumbesaran yang mencukupi dengan sendiri. Bagi kanak-kanak, mereka tidak mampu mencapai kadar tumbesaran normal dan mungkin mengalami masalah kesihatan lain dalam jangka masa panjang seperti pengurangan jisim otot dan ketumpatan mineral tulang serta peningkatan tekanan darah dan tahap kolesterol LDL.

Selain itu, ia turut meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular, manakala pesakit dewasa pula mengalami gejala seperti peningkatan lemak badan, pengecilan otot, pengurangan tahap kekuatan dan kesihatan fizikal, kemurungan dan keresahan.

Bagi kanak-kanak, gangguan ini akan menghalang mereka membesar sama seperti rakan sebaya. Keadaan yang boleh menyebabkan gangguan tumbesaran merangkumi:

l Kekurangan Hormon Tumbesaran pada kanak-kanak (GHD), yang berlaku apabila badan kanak-kanak itu sendiri tidak menghasilkan hormon tumbesaran dengan mencukupi. Salah satu petanda jelas GHD ialah kadar pertumbuhan yang sangat perlahan.

Di antara umur dua tahun hingga akil baligh, kanak-kanak yang mengalami GHD mungkin membesar kurang daripada 5 sentimeter (dua inci) setiap tahun. Hormon tumbesaran boleh membantu kanak-kanak mencapai potensi ketinggian yang optimum.

l Kanak-kanak yang dilahirkan kecil berbanding umur kandungan (SGA), berlaku apabila kanak-kanak dilahirkan lebih kecil berbanding kanak-kanak lain yang lahir selepas tempoh kehamilan yang sama.

Kira-kira 2.3 hingga 10 peratus daripada semua bayi dilahirkan dengan SGA. Kebanyakan bayi

SGA mencapai pertum­buhan pampasan yang sewajarnya menjelang umur dua tahun. Bagaimanapun, kira-kira 15 peratus tidak membesar secukupnya dan terus mengalami pertumbuhan yang perlahan sepanjang zaman kanak-kanak.

Rawatan awal dengan rhGH boleh dipertimbangkan bagi kanak-kanak SGA yang masih belum mencapai tahap ketinggian yang sepatutnya apabila mencapai umur lima tahun.

l Sindrom Prader-Willi (PWS), sejenis gangguan genetik yang kompleks yang disebabkan oleh perubahan dalam gen tertentu. Gangguan ini jarang diwarisi daripada ibu bapa. Sindrom ini biasanya berlaku semasa pembentukan janin.

Sindrom Prader-Willi dialami oleh 1 dalam 10,000 hingga 1 dalam 16,000 bayi yang dilahirkan hidup. Selain daripada tubuh yang rendah dan kerencatan mental, kanak-kanak dengan PWS mempunyai lemak badan yang berlebihan, jisim otot yang berkurangan, gangguan tidur dan apnea sentral. Sindrom ini dialami oleh lelaki dan perempuan dengan kekerapan yang sama dan berlaku kepada semua bangsa dan kaum.

Terapi hormon tumbesaran boleh membantu kanak-kanak yang mengalami PWS menjadi lebih tinggi dan meningkatkan jisim otot badan tanpa menambah lemak.

l Sindrom Turner (TS), sejenis gangguan kromosom yang dialami oleh perempuan sahaja. Gangguan ini disebabkan oleh perubahankepada atau ketiadaan satu daripada dua kromosom X yang terdapat pada perempuan.

Sindrom ini dialami oleh kira-kira satu dalam 2,500 bayi perempuan yang dilahirkan hidup, dan menyebabkan pelbagai isu genetik, perkembangan, endokrin, kardiovaskular, psikososial dan reproduktif.

Kekurangan Hormon Tumbesaran (GHD) dalam kalangan orang dewasa, yang berlaku apabila badan orang dewasa tidak menghasilkan hormon tumbesaran yang mencukupi. GHD dalam kalangan orang dewasa mungkin disebabkan oleh kecederaan pada otak atau kelenjar pituitari, atau disebabkan gangguan yang bermula sejak zaman kanak-kanak.

Kekurangan hormon tumbesaran ini juga mungkin disebabkan oleh pembedahan atau rawatan radiasi pada kelenjar pituitari. Dilaporkan bahawa 71.9 peratus daripada pesakit yang mengalami kekurangan hormon tumbesaran sejak zaman kanak-kanak (COGHD) terus mengalami GHD apabila dewasa dan besar kemungkinan memerlukan terapi hormon tumbesaran yang lebih lanjut.

21/07/16

LAPOR SEGERA JIKA TASKA DAN TADIKA SWASTA MENGENAKAN CAJ KETERLALUAN


Ibu bapa disaran membuat aduan kepada Kementerian Pendidikan sekiranya dikenakan bayaran keterlaluan oleh tadika swasta semasa mendaftar, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.

Mengulas laporan akhbar tempatan terdapat tadika swasta yang mengenakan caj sehingga RM9,000 setahun untuk seorang pelajar, beliau berkata ia bagi membolehkan kementerian mengawasi dan mengambil tindakan sewajarnya kepada operator tadika terbabit.

Katanya pengusaha tadika tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan atau mengenakan bayaran yang keterlaluan kerana mereka tertakluk kepada kaedah atau mekanisme tertentu yang telah ditetapkan kementerian.

Antara kaedah penentuan kadar bayaran tadika swasta ialah faktor lokasi, jumlah pelajar dan kualiti kaedah pembelajaran yang diketengahkan serta taraf tenaga pengajar, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang sebelum itu merasmikan Pendidikan Awal Kanak-Kanak sempena Forum Dasar Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Asia Pasifik 2016 (APFEC 2016) berkata kementerian mengambil maklum mengenai perkara itu namun dalam kes sedemikian, keputusan menghantar anak ke tadika swasta sebenarnya ditentukan ibu bapa.

Beliau berkata modus operandi atau konsep perniagaan operator tadika swasta adalah berbeza antara satu sama lain dan biasanya ibu bapa memilih sesebuah tadika berdasarkan lokasi dan keupayaan kewangan masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Kamalanathan berkata pelaksanaan aplikasi Pepatih MySekolah yang dilaksanakan di empat buah sekolah merupakan projek perintis untuk menguji keberkesanannya.

Beliau bagaimanapun berkata pelaksanaan aplikasi melalui teknologi biometrik yang membolehkan ibu bapa memantau kehadiran pelajar secara terperinci melalui aplikasi yang dimuat turun dalam telefon pintar masing-masing itu perlu mendapat kelulusan ibu bapa sebelum dilaksanakan.

"Walaupun sekolah mungkin ada sebab tertentu untuk mereka menggunakan aplikasi ini tetapi kementerian menggariskan bahawa pengunaan inovasi itu hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat persetujuan daripada semua waris pelajar," katanya.

Sistem yang pertama seumpamanya di Malaysia itu kini dilaksanakan sejak Januari lalu di empat buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Muda di Sentul, SMK Dato' Ibrahim Yaacob di Jalan Ipoh, SMK Sungai Besi dan SMK Selandar di Melaka.

12/07/16

KEGHAIRAHAN IBU BAPA MENINDIK TELINGA BAYI PEREMPUAN MEREKA BOLEH MENGUNDANG PADAH


Semakin ramai ibu bapa ghairah menindik telinga bayi perempuan mereka hingga kini menjadi semacam satu trend.

Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa tanpa pengawasan sewajarnya, luka tindikan oleh menyebabkan bayi mengalami kekejangan dan sawan.

Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Ahmad berkata jika tidak dirawat atau dibiarkan, luka tindikan boleh menyebabkan jangkitan kuman tetanus.

"Prosedur menindik telinga anak seharusnya dilakukan dengan cara yang bersih supaya tidak berlaku jangkitan kuman pada cuping telinga.

"Pastikan anak telah disuntik dengan vaksin diphtheria-tetanus-pertussis (DTap) yang melindunginya daripada kuman tetanus," kata beliau kepada Bernama.

Dr Zubaidi berkata bayi secara umumnya mempunyai daya tahan yang lemah berbanding orang dewasa.

Justeru beliau mengesyorkan ibu bapa yang mahu menindik telinga bayi agar menunggu sehingga anak mereka berusia enam bulan ke atas.

Katanya, menindik sebaiknya dilakukan di klinik kerana doktor menggunakan jarum pakai buang yang telah disterilkan.

"Doktor juga akan membius cuping telinga sebelum menindiknya.

"Selain itu pastikan anting-anting untuk bayi dibuat daripada bahan berkualiti dan tidak menyebabkan alahan seperti emas, platinum dan titanium," katanya.

Dr Zubaidi berkata, anting-anting yang dibuat daripada kromium (bahan logam disadur dan mudah berkarat) selalunya menyebabkan radang dan alahan pada cuping telinga.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa supaya memberi perhatian terhadap luka tindikan dalam masa enam minggu pertama dengan membasuh bahagian ditindik itu menggunakan air bersih bagi mengelak jangkitan kuman dan alahan.

1/07/16

DIFTERIA BOLEH BAWA MAUT JIKA TIDAK TERIMA IMUNIASI LENGKAP


SUHU badan yang agak panas, dengan tangisan tanpa henti, batuk dan nafas yang seolah-olah tidak lancar – seorang bayi boleh membuatkan mana-mana ibu gusar. Pada mulanya Puan Siti (bukan nama sebenar) menyangka keadaan itu mungkin kerana anaknya sedang demam panas biasa atau proses pembesaran.

Kegusaran Puan Siti bertambah dan terlintas persoalan di hati mungkinkah sesuatu yang lebih serius? Dia dan suami lantas segera membawa bayi mereka ke hospital pakar berdekatan.

Jika anda seorang ibu atau bapa, pasti anda akan melakukan tindakan sama seperti Puan Siti.

Setelah mendapatkan pemeriksaan doktor, anak Puan Siti didapati sakit kerongkong. Kemudian doktor bertanya kepada Puan Siti dan suaminya adakah anak mereka sudah mendapatkan imunisasi yang lengkap? Menurut doktor tersebut, anak mereka mengalami sakit kerongkong atau difteria.

Penyakit ini kembali menular apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kes difteria dalam kalangan tiga beradik di Melaka dan lapan kes disyaki difteria di Kedah. Sebanyak satu kes yang disahkan difteria di Melaka telah dilaporkan meninggal dunia pada 18 Jun 2016. 

Manakala satu kes disyaki difteria di Kedah yang kanak-kanak berumur dua tahun meninggal dunia pada 22 Jun 2016. Kedua-dua kes kematian tidak menerima imunisasi difteria yang lengkap dan meninggal dunia kerana komplikasi jangkitan.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik, Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Dr. B Kishore, difteria ialah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Corynebacterium diphteriae.

Difteria merupakan penyakit lazim yang mengancam nyawa kanak-kanak kerana ia menjejaskan sistem pernafasan.

Di Amerika Syarikat, sebanyak 206,000 kes difteria dengan 15,520 kematian direkodkan pada 1921 sehingga banyak keluarga membuat keputusan untuk berkurung di rumah masing-masing bagi memastikan anak mereka selamat.

Lebih membimbangkan ketika itu, penyakit ini juga merebak di Eropah sehingga mengakibatkan ribuan kematian setiap tahun. Di Barat, difteria juga digelar Malaikat Melemaskan (The Strangling Angel) disebabkan oleh pembentukan membran berwarna kelabu keputihan yang berbentuk sayap pada tonsil kanak-kanak yang menghidap penyakit ini.

Selaput ini akan memenuhi dan menyekat tekak, peti suara dan paru-paru lalu mengakibatkan mangsa sesak nafas. Vaksin melawan difteria mengurangkan kadar kematian dan morbiditi penyakit ini secara mendadak, bagaimanapun difteria masih menjadi masalah kesihatan kanak-kanak yang ketara di negara yang liputan program lanjutan imunisasi (EPI) terendah.

Di negara endemik untuk difteria, penyakit ini berlaku kebanyakannya sebagai kes sporadik atau wabak kecil. Difteria mengakibatkan kematian dalam lima hingga 10 peratus kes dengan kematian tertinggi membabitkan kanak-kanak. Rawatan pula membabitkan antitoksin difteria bagi meneutralkan kesan toksin difteria sebagaimana antibiotik membunuh bakteria.

“Difteria tersebar melalui titisan cecair pernafasan. Bakteria ini menjangkiti tekak (tonsil dan farinks) dan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas.

“Toksin ini juga boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis) yang menyebabkan kematian. Jangkitan difteria mempunyai kadar kematian yang tinggi, iaitu antara 25 ke 50 peratus,” katanya.

Vaksin difteria terkandung dalam vaksin lima serangkai, DTaP-IPV//Hib (Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus influenzae type Imunisasi diberikan pada usia dua, tiga, lima dan 18 bulan.

Liputan imunisasi yang melebihi 95 peratus dalam komuniti akan memberi imuniti kelompok (herd immunity) dan melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti bakteria ini. Kanak-kanak yang telah menerima imunisasi lengkap hanya akan mengalami gejala ringan apabila dijangkiti dan terlindung daripada komplikasi.

Justeru, pihak Kementerian Kesihatan sangat menekankan betapa pentingnya kanak-kanak diberikan imunisasi yang lengkap termasuk vaksin difteria bagi memberikan perlindungan terhadap jangkitan penyakit dan mencegah berlaku komplikasi akibat jangkitan.

“Ibu bapa yang masih lagi belum membawa anak-anak mereka mengambil imunisasi hendaklah segera membawa mereka untuk mendapatkan imunisasi vaksin lima serangkai yang lengkap. Ini merupakan tanggungjawab ibu bapa untuk memberikan perlindungan dan menyelamatkan anak-anak daripada mendapat jangkitan dan seterusnya komplikasi jangkitan dan kematian, seperti apa yang sedang berlaku sekarang,” jelasnya.

Tanda dan Gejala
*Pembebasan sitotoksin menyebabkan keradangan dan terbentuknya selaput lembut berwarna kelabu di sekitar tekak.

*Sukar menelan kerana tekak berasa sakit di kawasan antara rongga mulut, farinks dan bengkak pada kelenjar leher.

*Bagi kes yang teruk, leher menjadi bengkak dan edema.

Komplikasi
*Kelumpuhan saraf kranial, motor periferi dan deria serta miokarditis.Kelumpuhan saraf otak, kaki dan tangan (motor periferi) serta deria dan radang pada jantung (miokarditis)

Rawatan khusus:
* Antitoksin diberikan serta-merta selepas spesimen bakteria diambil tanpa menunggu keputusan.
* Antibiotik tidak boleh mengantikan antitoksin.
* Eritromisin dan penisilin diberi selepas kultur diperolehi.

Pencegahan
 Semua individu yang melakukan perjalanan ke luar negara perlu mendapatkan vaksin.
Jenis vaksin:
Toksoid Difteria.
Bilangan dos: 
Sekurang-kurangnya tiga, disuntik ke dalam otot.
Jadual vaksin: 
Ketika berumur dua, tiga dan lima bulan berdasarkan Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia.
Dos tambahan: 
Ketika berumur 18 bulan dan 7 tahun.
Kontraindikasi: 
Kesan buruk terhadap dos sebelumnya.
Kesan buruk: 
Kesan ringan di tempat suntikan atau seluruh tubuh.
Sebelum berlepas: 
Dapatkan vaksin seawal mungkin.

28/06/16

KETAHUI APA ITU WABAK/PENYAKIT DIFTERIA


PADA 18 Jun lalu, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun meninggal dunia di Melaka akibat dijangkiti penyakit difteria.

Empat hari kemudian seorang lagi kanak-kanak berusia dua tahun di Kedah meninggal dunia akibat penyakit sama.

Beberapa hari lalu, Kementerian Kesihatan melaporkan kedua-dua mangsa tidak menerima imunisasi lengkap.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menasihati ibu bapa untuk memastikan anak mereka mendapat imunisasi vaksin lima serangkai yang lengkap bagi melindungi mereka daripada pelbagai ancaman penyakit termasuk jangkitan difteria.

Lihat infografik tersebut bagi mengetahui apa itu penyakit difteria:


16/06/16

TIDUR YANG CUKUP AMAT PENTING UNTUK KANAK-KANAK


TIDUR yang cukup amat penting untuk kanak-kanak dan remaja yang akan menghabiskan masa siang mereka dengan belajar dan melakukan aktiviti.

Tidur yang cukup juga mampu mengurangkan risiko penyakit kronik seperti hypertension, obesiti, diabetes dan masalah mental.

American Academy of Sleep Medicine mengesyorkan supaya rutin tidur yang cukup dimulakan untuk bayi berumur 4 bulan hingga 12 bulan, iaitu  tidur 12 hingga 16 jam sehari.

Kemudian, kanak-kanak berumur 1 hingga 2 tahun tidur secukupnya selama 11 hingga 14 jam. Kanak-kanak 3 hingga 5 tahun pula memerlukan 10 hingga 13 jam sehari. Menginjak umur 6 hingga 12 tahun, kanak-kanak mestilah tidur selama 9 hingga 12 jam sehari.

Di peringkat remaja, mereka yang berumur 12 hingga 18 tahun memerlukan tidur selama 8 jam hingga 10 jam.

"Tidur yang cukup amat penting untuk kesihatan, dan perlu dimulakan ketika kecil," kata Pakar.

Cadangan yang dikeluarkan oleh American Academy of Sleep Medicine terhasil dari 864 penyelidikan.

Secara asasnya, durasi tidur mempengaruhi kesihatan am, daya metabolisma, kesihatan mental, fungsi imun, pertumbuhan dan prestasi selepas tidur.

"Orang ramai perlu tahu betapa pentingnya tidur yang cukup.

"Ini adalah kali pertama kami melakukan penyelidikan yang banyak dan membuat kesimpulan dan membuat cadangan seperti yang tersebut,".

25/05/16

MENGAPA BAYI PERLUKAN SUNTIKAN IMUNISASI?


Jabatan Kesihatan Kelantan meminta ibu bapa supaya membenarkan bayi mereka diberi suntikan imunisasi dalam usaha mencegah daripada dijangkiti penyakit serius termasuk campak.

Pengarahnya Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher berkata bayi sepatutnya diberi suntikan imunisasi secara berperingkat untuk 12 penyakit selepas dilahirkan.

Namun, katanya ada ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anak mereka diberi suntikan imunisasi itu kerana terpengaruh dengan dakwaan kononnya vaksin imunisasi yang digunakan itu daripada bahan haram.

"Sikap ibu bapa berkenaan menyukarkan pihak kami dalam melaksanakan pelbagai langkah untuk mencapai matlamat sifar kes campak di Kelantan menjelang 2018," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Seminar Imunisasi Peringkat Kelantan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, Tangok di sini, hari ini.

Beliau berkata sejak Januari hingga 15 Mei lepas, sebanyak 10 kes campak membabitkan pesakit berusia di antara 5 bulan dan 31 tahun dlaporkan di negeri ini.

Sebanyak empat kes dilaporkan di jajahan Pasir Mas diikuti tiga kes di Bachok, masing-masing satu kes di Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat.

Jabatan Kesihatan Kelantan jug amerekodkan 31 kes campak pada 2011, diikuti 71 kes (2012), 44 kes (2013), 20 kes (2014) dan 25 kes (2015).

"Kebanyakan pesakit terbabit didapati tidak mengambil suntikan imunisasi bagi mencegah campak," kata Dr Ahmad Razin.

Sementara itu, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang turut hadir pada majlis itu berkata Islam membenarkan pengambilan suntikan imunisasi.

"Jika tidak diambil, ia memberi mudarat...oleh itu, hukumnya harus (diambil suntikan imunisasi) kerana ia dilakukan oleh pakar bidang berkenaan," katanya.

11/02/16

IBU BAPA PERLU TAHU LANGKAH KESELAMATAN KETIKA MENAIKI ESKALATOR


Pemakaian sandal atau kasut getah yang lembut oleh kanak-kanak perlu diberi perhatian dan diawasi oleh penjaga kerana ia lebih mudah ditarik atau tersangkut pada eskalator yang sedang bergerak.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa tanggungjawab bagi memastikan keselamatan ketika menggunakan eskalator terletak pada pemunya dan pengguna.

"Tanggungjawab pihak pemunya adalah sentiasa memastikan setiap eskalator yang dipasang di premis mereka disenggara mengikut jadual penyenggaraan yang ditetapkan oleh pembuat," katanya.

Tanggungjawab pengguna pula memerlukan mereka lebih berhati-hati dan berwaspada semasa menggunakan eskalator termasuk memastikan dan mengawasi anak-anak yang dibawa bersama, katanya.

Ini termasuk memastikan kaki berada dalam garisan yang ditetapkan (yellow demarcation line) serta mematuhi setiap arahan dan tatacara penggunaan yang disediakan oleh pihak pemunya.

"Sekiranya semua langkah ini dipraktiskan oleh pemunya dan pengguna, kemalangan boleh dielakkan," menurut kenyataan itu yang dikeluarkan susulan kes kemalangan eskalator di KL Sentral pada 8 Feb lalu, melibatkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun.

JKKP memandang serius insiden tersebut, tambah kenyataan itu. Jabatan itu sebelum ini menerima laporan 31 kes kemalangan melibatkan eskalator dari 2011 sehingga Mei 2015.


Ketahui 8 langkah keselamatan yang boleh dipraktikkan sama ada kepada diri sendiri mahupun anak-anak kecil.

1.Awasi kanak-kanak setiap kali menaiki eskalator. Jangan benarkan mereka duduk, bermain atau bersandar pada selusur tangga bergerak.

2.Sentiasa kekalkan jarak di antara kasut atau selipar dengan bahagian tangga yang sedang bergerak. Elakkan berdiri terlalu dekat dengan bahagian tepi eskalator.

3.Setiap kali melangkah, perhatikan pakaian yang bertali atau labuh agar tidak terperangkap di antara alur eskalator.

4.Pandang ke hadapan dan pegang kuat pemegang tepi eskalator. Larang kanak-kanak daripada memegang susur tangan kerana pergerakkannya yang laju boleh mengejutkan mereka.

5.Mendukung kanak-kanak kecil adalah lebih baik daripada menyuruh mereka menaiki sendiri eskalator.

6.Gunakan lif sekiranya membawa kereta sorong bayi, kerusi roda, skuter elektrik, bagasi dan lain-lain kerana kemalangan boleh berlaku sekiranya menggunakan eskalator.

7.Semasa melangkah meninggalkan eskalator, jangan teragak-agak lantaran kelewatan boleh menyebabkan kesesakan kepada pengguna lain di belakang.

8.Berdiri di sebelah kiri dan beri ruang kepada pengguna yang sedang bergegas berjalan di sebelah kanan.

Selain panduan keselamatan buat pengguna, beberapa langkah keselamatan tambahan disaran dilaksanakan bagi mengelak tragedi sama daripada berulang. Antaranya dengan memasang penghadang tambahan, penyangga (guard rail) dan jaring keselamatan.

4/08/15

KETAHUI APA ITU SINDROM KEMATIAN MENGEJUT BAYI KETIKA TIDUR (SIDS)


Ramai ibu bapa beranggapan tidur bersama bayi dengan berkongsi katil atau tilam adalah cara paling selamat untuk melindungi si kecil, di samping dapat mengeratkan lagi ikatan antara kedua-dua pihak.

Memang benar tidur bersama bayi atau istilahnya ‘co-sleeping’ membolehkan ibu bapa lebih rapat dengan si kecil kerana langkah itu memberi ibu bapa masa tambahan bersama bayi. Tidur dengan bayi juga membolehkan ibu bapa segera bertindak jika si kecil mula batuk atau menangis pada waktu malam.

Malah, bayi yang tidur berkongsi katil dengan ibu mereka dikatakan cenderung untuk menyusu lebih kerap dan tempoh lebih lama berbanding bayi yang tidur bersendirian.

Bayi yang tidur dengan ibu bapa juga dikatakan tidak kerap terbangun pada waktu malam dan berjaga dalam tempoh masa lebih pendek serta kurang menangis.

Namun, amalan ‘co-sleeping’ jika tidak dilakukan dengan kaedah yang betul dan selamat boleh membahayakan nyawa bayi kerana meningkatkan risiko sindrom kematian bayi mengejut (SIDS).

Sindrom ini berlaku dalam kalangan bayi berusia kurang setahun dan kematian bayi yang tidak dapat diungkapkan puncanya ini biasa berlaku ketika si kecil tidur. Oleh itu, kematian sedemikan juga dikenali sebagai maut di tempat tidur (crib death).

SIDS dikaitkan dengan ketidaknormalan sebahagian otak bayi yang mengawal pernafasan dan bangkit tidur. Penyelidik menemui beberapa faktor yang meletakkan bayi pada risiko kematian terbabit.

Kombinasi fizikal dan faktor persekitaran tidur boleh menyebabkan bayi mudah terdedah kepada SIDS. Namun demikian faktor risiko adalah berbeza bagi setiap bayi.

Faktor fizikal yang dikaitkan dengan SIDS seperti kelainan otak bayi apabila ada bayi dilahirkan dengan masalah dalam kawalan pernafasan dan bangkit tidur, dilahirkan pra matang atau tidak cukup berat dan otak bayi yang tidak matang sepenuhnya menyebabkan kurang kawalan pada proses bernafas dan degup jantung.

Jangkitan respiratori juga dikaitkan dengan SIDS apabila kebanyakan bayi yang maut secara tiba-tiba itu menghidap selesema yang menyumbang kepada masalah pernafasan.

Bagi faktor persekitaran tidur pula sama ada peralatan seperti bantal, selimut dan anak patung yang diletakkan di tempat tidur dan posisi bayi tidur juga meningkatkan risiko SIDS. 

Bayi yang ditidurkan meniarap mungkin berdepan masalah sukar bernafas berbanding tidur terlentang, malah tilam atau alas tidur lembut boleh menyekat pernafasan bayi kerana muka si kecil terbenam ketika tidur.

Bayi yang tidur bersama ibu bapa atau adik-beradik juga menyumbang kepada risiko SIDS kerana bila-bila masa si kecil boleh maut akibat lemas disebabkan tertindih atau terhimpit secara tidak sengaja.

Perunding Pediatrik dan Neonatologi Hospital Pakar KPJ Damansara (KPJ DSH), Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar berkata, tidak dinafikan tidur bersama bayi itu ada kebaikannya, tetapi pada masa sama ibu bapa perlu sedar risiko yang ada dan boleh menjejaskan keselamatan bayi termasuk mengancam nyawa.

“Di Barat sebelum ini tidak menggalakkan amalan ‘co-sleeping’ atas faktor keselamatan, namun kini dibenarkan tetapi perlu dilakukan dengan cara yang selamat dan ibu bapa mendapatkan nasihat pakar terlebih dulu atau melakukan rujukan.

“Bagaimanapun, amalan itu tidak disyorkan bagi bayi pramatang dan kurang berat kerana menyumbang kepada SIDS. Bagi bayi kurang enam bulan lebih selamat ditidurkan berhampiran ibu dalam bilik tetapi katil atau tilam berlainan. Ini boleh mengurangkan risiko bayi mendapat SIDS akibat lemas kepanasan kerana berkongsi selimut de­ngan ibu.

“Ibu bapa di bawah pe­ngaruh alkohol atau ubatan dan terlalu letih juga tidak digalakkan tidur bersama bayi kerana mereka mungkin tidur lena sehingga tidak sedar si kecil bersama dan tidak dapat bertindak balas jika bayi bangkit dan menangis. Merokok sebelum tidur juga mendedahkan bayi kepada bahan toksik asap kedua.

“Bagi segelintir ibu mudah untuk menyusukan bayi jika tidur bersama, namun apa akan jadi jika si ibu tertidur? Bayi mungkin lemas akibat kesukaran bernafas kerana wajahnya tertangkup pada payudara ibu. Begitu juga dengan ibu bapa yang menghadapi gangguan tidur dan mungkin menindih bayi mereka ketika tidur bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah Peranan Ibu Bapa dalam Meningkatkan Emosi Cemerlang Kanak-kanak sempena pelancaran Hari Bayi Tollyjoy 2015 anjuran Tollyjoy Corporation, syarikat yang menjalankan perniagaan pengilangan dan penjualan barangan penjagaan bayi dan ibu di hospital berkenaan baru-baru ini. Majlis turut dianjurkan dengan kerjasama Yayasan OrphanCARE.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Tollyjoy Corporation, Tan Wee Keng dan Pengerusi Yayasan OrphanCARE, Tan Sri Faizah Mohd Tahir.

Amalan ‘co-sleeping’ mungkin sesuai bagi segelintir ibu bapa, namun beberapa aspek keselamatan perlu dipatuhi bagi ibu bapa yang tetap mahu melakukan amalan berkenaan atas alasan ingin mengukuhkan ikatan dengan si kecil.

Ibu bapa perlu memastikan tempat tidur mereka sesuai untuk bayi dengan menggunakan katil, tilam, bantal dan selimut yang mesra bayi.

Elak meletakkan banyak bantal, anak patung dan selimut tebal supaya bayi tidak lemas, gunakan tilam yang rata dan keras kerana tilam lembut menyebabkan muka bayi terbenam mengakibatkan sesak nafas. Lebih baik bayi tidur di katil berasingan yang dikhaskan untuk bayi kerana mempunyai penghadang keselamatan.

Dr Mohammad Iqbal berkata, bayi memerlukan sejumlah besar perhatian dan penjagaan yang penuh dengan kasih sayang terutama pada tahun pertama usia mereka. Persekitaran yang dipenuhi dengan emosi positif akan membantu bayi meningkatkan rasa selamat dan memberikan mereka suntikan emosi yang penting untuk pembelajaran dan perkembangan mereka.

“Pada tahun pertama, bayi menambah berat badan mereka dua kali ganda dan pada masa sama otak mereka juga berkembang sehingga 60 peratus saiz dewasa membentuk pembangunan optimum intelektual, sosial dan kecerdasan emosi.

“Dalam tempoh 12 bulan ini juga bayi mula membentuk sikap, personaliti, tabiat atau kebolehan yang kekal sehingga dewasa dan keyakinan diri. Oleh itu, ibu bapa berperanan penting dalam membantu bayi mereka memupuk tingkah-laku berkenaan.

“Ada tujuh langkah proses ikatan antara ibu bapa dan bayi yang membantu meningkatkan emosi cemerlang iaitu menunjukkan kasih sayang dengan sentuhan, kucupan, bercakap dengan bayi, membaca kepada bayi, senyuman, bermain dan aktiviti atas perut (tummy time),” katanya.

Sentuhan terhadap bayi bukan sekadar memegang tetapi lebih kepada membelai si kecil dengan urutan lembut yang boleh merangsang deria mereka. Tidak semestinya menggunakan minyak bayi, urutan dimulakan pada dada dan abdomen, tangan, kaki dan bahagian belakang. Kucupan terhadap bayi untuk si kecil tahu bahawa mereka disayangi dan dikagumi sekali gus mewujudkan perhatian.

“Kebanyakan ibu bapa tidak bercakap kepada bayi mereka, sedangkan langkah ini baik untuk proses ikatan kedua-dua pihak. Ibu bapa boleh bercerita apa saja seperti bercakap dengan orang dewasa tetapi mesti guna ayat yang positif. Dengan ini bayi akan mula faham bahasa yang digunakan.

“Selalunya ibu bapa tidak membaca banyak untuk anak-anak, sedangkan membaca kepada bayi juga dapat merangsang daya imaginasi dan kemahiran bahasa. Gunakan bahasa dan intonasi suara yang pelbagai untuk penceritaan supaya interaksi dengan bayi dapat dipertingkatkan.

“Menggalakkan bayi senyum dengan membuat mimik muka lucu adalah kaedah berseronok dengan anak sendiri. Kaedah lain adalah bermain dengan bayi, tidak perlu beli permainan yang mahal tetapi boleh guna apa saja yang boleh datangkan kegembiraan,” katanya.

Katanya, aktiviti atas perut pula seperti mendukung bayi membantu tumbesaran dan pembangunan si kecil, di samping mencegah tompok rata terbentuk di kepala dan kelewatan pencapaian motor akibat banyak berbaring.

22/07/15

BERWASPADA DENGAN JANGKITAN CACING JARUM


Masalah kecacingan adalah suatu penyakit biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Bagaimanapun, ibu bapa disarankan supaya tidak mengambil mudah dengan masalah kecacingan kerana kebanyakan kita mungkin beranggapan cacing hanya berada di dalam usus saja.

Sebenarnya, jangkitan cacing boleh berlaku di mana-mana bahagian badan seperti mata, hati, paru-paru dan salur darah. Jangkitan juga boleh berlaku melalui sentuhan pada kulit.

Sistem imun kanak-kanak yang tidak cukup kuat untuk melawan jangkitan cacing antara penyebab utama mereka mudah dijangkiti, tetapi jangkitan boleh berlaku pada golongan dewasa juga sekiranya kebersihan tidak diamalkan.

Jangkitan cacing juga boleh diperoleh daripada haiwan peliharaan anda seperti kucing atau anjing dengan hanya menyentuhnya (jangkitan melalui kulit).

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan, cacing jarum atau cacing benang ialah sejenis cacing yang sangat halus berukuran kira-kira setengah inci panjang dan tinggal di dalam usus.

Cacing jarum betina keluar dari dubur pada waktu malam dan bertelur berhampiran dengan kulit dubur. Jangkitan cacing yang disebabkan oleh cacing jarum dikenali sebagai 'enterobiasis', satu penyakit yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

Cara jangkitan
Jangkitan berlaku apabila kanak-kanak menelan telur cacing jarum. Seorang kanak-kanak mendapat telur cacing jarum melalui sentuhan dengan kanak-kanak yang dijangkiti atau melalui pakaian tidur, cadar atau persekitaran kediaman kanak-kanak lain yang dijangkiti.

Apabila dijangkiti, kanak-kanak menggaru di kawasan dubur kerana gatal.
Telur cacing jarum melekat di celah kuku. Apabila kanak-kanak makan tanpa mencuci tangan dengan sempurna, telur terbabit akan masuk melalui mulut dan menjadi cacing dewasa dan tinggal di dalam usus.

Kebanyakan kanak-kanak tidak mendapat sebarang tanda dan gejala, namun ada juga kanak-kanak yang mengalami kegatalan di sekeliling dubur dan faraj. Komplikasi yang biasa berlaku adalah tempat yang digaru itu mungkin terdedah kepada jangkitan bakteria.

Ibu bapa boleh mengetahui bahawa anak mereka dijangkiti cacing jarum apabila terdapat cacing di dalam najis anak.

Telur cacing jarum dapat dilihat melalui pemeriksaan di bawah mikroskop dengan cara melekatkan pita pelekat pada kawasan dubur anak dan menanggalkannya semula. Telur cacing jarum melekat pada pita terbabit.

Kaedah rawatan
- Satu dos ubat Albendazole atau Mebendazole diberikan dan diulang selepas dua minggu.
- Rawatan ini perlu diberikan untuk semua ahli keluarga.
- Sapukan jeli petroleum di kawasan yang gatal untuk menghilangkan kegatalan (di sekeliling kawasan dubur atau faraj).
- Cadar dan pakaian yang digunakan perlu direbus dan dibasuh dengan air panas dan bahan pencuci untuk menghapuskan telur cacing jarum.
- Penyakit ini sebenarnya boleh dicegah dengan mengamalkan kebersihan menyeluruh. Selain itu, anak perlu mandi dengan kerap selain menggunakan cadar, pakaian dalam dan pakaian tidur yang bersih.
- Basuh tangan dengan sempurna selepas ke tandas dan sebelum menyediakan makanan.


2/04/15

KETAHUI PUNCA BAYI MENANGIS TANPA HENTI


Bayi mempunyai pelbagai ragam serta reaksi antaranya menangis, resah dan tersenyum. Itu cara bayi berkomunikasi atau menunjukkan rasa gembira mahupun tidak selesa dengan situasi yang dialami.

Ramai ibu bapa mula bimbang apabila bayi mereka menangis tanpa henti walaupun sudah melakukan pelbagai cara untuk menenangkan si kecil. Malah, ada bayi yang mampu menangis dalam tempoh lama dan akan berhenti apabila sudah letih atau tertidur.

Menangis secara berterusan adalah masalah biasa bagi bayi baru lahir atau berusia kurang daripada setahun. Menangis adalah satu cara bayi berhubung untuk menunjukkan mereka mempunyai masalah atau tidak selesa.

Menurut perunding tangisan bayi Uswatun Hasanah Mohd Habib, ibu bapa perlu faham dan tahu terdapat tiga kategori bayi iaitu mudah, sensitif dan kolik.

“Kategori bayi yang mudah tidak banyak masalah dan biasanya senang dikawal atau ditenangkan apabila mula menangis. Bayi mungkin menunjukkan keresahan dan tidak mahu diletak selain menangis.

“Kebiasaannya, si kecil akan diam dan berasa selesa apabila sentiasa dibelai atau didukung. Berbeza dengan bayi sensitif dan kolik, si kecil agak sukar ditenangkan. Bayi sensitif banyak menangis, namun akan berhenti apabila ada sentuhan kulit ke kulit dengan ibu.

“Bagi bayi kolik pula, bayi lebih banyak menangis dan susah dikawal walaupun si ibu berada berhampiran dengan anaknya atau pelbagai cara sudah dilakukan kerana untuk menenangkan si kecil itu memerlukan teknik betul,” katanya.

Apabila si kecil tidak tenteram, gelisah dan menangis tanpa henti, ibu bapa mula bimbang kerana tidak mengetahui puncanya.

Bukan sakit, gangguan makhluk halus mahupun sebarang sebab, namun ia adakalanya berkaitan dengan ‘jam tersihir’ atau lebih dikenali sebagai gejala ‘witching hour’.

Ini boleh berlaku dalam kalangan bayi seawal usia dua minggu, namun ia jarang terjadi. Kebiasaannya, ia banyak terjadi kepada bayi apabila mula memasuki usia enam hingga lapan minggu.
Kejadian bayi menangis tanpa henti apabila tiba waktu biasa setiap hari boleh berlarutan sehingga bayi berusia tiga bulan. Namun, bayi kolik akan mengalami keadaan berkenaan hingga usia sekitar lima ke tujuh bulan.

Perkara berkaitan ‘jam tersihir’ masih asing dalam kalangan ibu bapa hari ini. Ia mendapat nama apabila kebanyakan budaya menganggap bayi menangis pada waktu penghujung hari itu dikaitkan dengan unsur sihir yang bukan saja dalam kalangan masyarakat di negara ini namun pemikiran orang Eropah.

Kekerapan bayi menangis tanpa sebab dan tidak dapat ditenangkan itu biasa berlaku pada waktu tertentu di penghujung hari terutama lewat tengah hari, petang dan malam.

Punca bayi meragam
“Apabila bayi sering menangis, ramai mengaitkan masalah berkenaan unsur mistik walaupun hidup dalam dunia serba moden.

“Tidak dinafikan saya juga perlu percaya dengan alam ghaib, namun tidak adil jika kita sering mengaitkan setiap masalah yang berlaku pada bayi dengan unsur mistik hingga ada ibu bapa yang mempercayai perkara khurafat seperti pemakaian tangkal.

“Saya menolak isu bayi menangis disebabkan unsur mistik kerana ia mempunyai penerangan yang jelas puncanya dari sudut sains. Malah, ada kaedah tertentu untuk membantu mengelakkan gejala bayi menangis lama seperti menggunakan cara ‘cuddle cure’ iaitu dengan membedung,” katanya.

Baginya, tidak ada masalah untuk berubat secara tradisional mahupun moden, namun jika ada kaedah tertentu yang logik dari sudut sains untuk menenangkan bayi, tiada salah mencubanya.

Rujuk komuniti bebas kolik untuk dijadikan bukti bagi menyanggah unsur mistik apabila bayi mengalami masalah terutama kerap menangis pada penghujung hari.

Lihat saja etnik orang asli Kung San di tiga daerah iaitu Bostwana, Angola dan Namibia yang tinggal di Gurun Kalahari, Afrika. Selain itu, puak asli di Bali, Indonesia mempunyai adat tersendiri untuk menjaga bayi bagi mengelakkan anak mereka mengalami gejala kolik.

Malah, ada juga kaum asli Banjar yang mengamalkan adat ‘berpukong’ atau menidurkan bayi yang sememangnya popular bagi kaum itu sejak dulu, namun tradisi itu semakin dilupakan.

“Ada tiga sebab utama bayi menangis secara berpanjangan iaitu terlalu penat, rimas dan penyusuan berangkai (cluster feeding). Kebiasaannya, ibu sudah dapat mengagak waktu anak akan menangis yang berlaku hampir sama setiap hari.

“Jika sudah tahu waktu itu, sebaiknya berikan bantuan dengan segera sebelum bayi menangis. Jika ia berlaku tanpa disedari, ibu bapa akan mendapati bayi mereka tidak dapat dibantu atau ditenangkan dengan pelbagai kaedah dan hanya berhenti menangis apabila tertidur.

“Masalah bayi menangis dan meragam dalam tempoh lama boleh dielakkan jika ibu memberi bantuan segera sebelum memasuki zon ‘jam tersihir’,” katanya.

Terlalu penat
Bayi boleh meragam jika terlalu penat. Walaupun bayi masih belum boleh bermain, ramai ibu bapa yang tidak tahu stimulasi tidur yang dialami bayi sudah cukup besar bagi mereka dan ia juga boleh membuatkan si kecil berasa penat.

Secara saintifiknya, otak akan memberikan mesej kepada badan untuk berehat atau tidur apabila penat. Apabila keperluan itu tidak dipenuhi, otak akan menghantar mesej kepada sistem badan yang akan mengeluarkan hormon kortisol (tekanan) dan adrenalin (aktif atau membuatkan badan terjaga).

Dua hormon berkenaan dihasilkan dalam badan menyebabkan hormon melatonin yang menggalakkan tidur akan dikurangkan. Jika ia berlaku, badan yang penat akan kembali segar, namun menyebabkan individu itu berasa tertekan secara tidak langsung.

Orang dewasa boleh mengawalnya namun tidak bayi. Justeru, si kecil akan menunjukkan tindak balas dengan menolak semua bantuan yang diberikan oleh ibu apabila sudah terlalu letih dan terus menangis tanpa mempedulikan sebarang pujukan.

Setiap bayi mengalami tempoh penat yang berbeza misalnya jika bayi bangun awal pagi, tidak mustahil dia boleh rasa penat lebih awal iaitu mungkin lewat tengah hari atau petang.

“Bayi boleh menjadi terlalu penat apabila ibu tidak menyedari anak mereka sudah menunjukkan tanda keletihan awal hingga menyebabkan si kecil resah dan tidak selesa.

“Sebaiknya, segera berikan bantuan kepada bayi apabila melihat ketidakselesaan anak atau tempoh ‘jam tersihir’ semakin hampir dengan menjauhkan si kecil daripada bunyi bising atau masuk ke dalam bilik dengan suasana cahaya malap atau gelap.

“Ini kerana hormon melatonin boleh dimusnahkan atau dikurangkan dengan kehadiran hormon kortisol dan cahaya hingga menyebabkan bayi terjaga serta sukar untuk tidur,” katanya.

Ada tiga cara menggalakkan bayi tidur iaitu suasana cahaya gelap atau malap, bunyian yang menenangkan dan suhu yang bersesuaian (tidak terlalu panas atau sejuk).

Terlalu rimas
Apabila tanda keletihan anak tidak disedari, ia boleh membawa kepada rasa rimas dan tidak selesa terutama apabila perlu melalui suasana bising di sekelilingnya.

Bunyi bising boleh mengganggu bayi terutama apabila si kecil sudah keletihan misalnya kehadiran tetamu yang ramai dan keriuhan orang sekeliling bercakap atau televisyen yang kuat pada lewat petang.

Ia bertambah buruk apabila berlaku dalam tempoh biasa bayi mula meragam dan menangis. Jika ia berlaku, jauhkan bayi daripada suasana bising untuk berehat bagi mengelakkan bayi berasa terganggu dan rimas.

Penyusuan berangkai
Selain itu, kekerapan keperluan menyusu sebelum waktu tidur yang panjang seperti sejam atau dua jam awal membuatkan bayi tidak mahu melepaskan susu.

Ia adalah proses semula jadi yang dilakukan oleh bayi bagi memenuhi bekalan susu sebelum memasuki tempoh tidur yang panjang. Ada ibu yang menganggap bayi mereka cerewet atau meragam kerana tidak mahu melepaskan susu.

18/03/15

PENTINGNYA VAKSIN UNTUK SI KECIL


Mungkin ada antara kita pernah berdepan dengan sesetengah ibu bapa muda yang menolak pemberian vaksin kepada anak mereka sejak bayi, lantas tertanya-tanya apakah yang menyebabkan kumpulan ini berpendirian sebegitu.

Lebih membimbangkan apabila wujud gerakan antivaksin yang semakin menular dan semakin lantang memberikan hujah dangkal yang nyata bertentangan dengan sains dan perubatan menerusi laman sesawang dan jaringan media sosial. 

Cetusan ideologi baru ini pastinya menjadi kebimbangan kepada pengamal perubatan kerana ia secara tidak langsung meningkatkan risiko kepada kanak-kanak yang tidak boleh menerima vaksin (atas masalah kesihatan) kepada penyakit.

Vaksin dicipta seawal 1930-an dan digunakan di serata dunia untuk mencegah penyakit berjangkit berbahaya serta disahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Vaksin ialah virus atau bakteria yang telah mati atau dilemahkan fungsi virulen (bahaya) dengan kaedah tertentu. Imunisasi boleh diberi secara suntikan (melalui otot atau di bawah kulit) atau melalui mulut manakala kesan sampingan vaksinasi adalah perkara biasa. Biasanya kesannya amat ringan dan tidak membahayakan.

Vaksin terkini yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah berpandukan kepada Perluasan Program Imunisasi (EPI- Expanded Immunisation Programme) WHO.

Vaksin ini diberi secara percuma kepada semua bayi dan kanak-kanak di semua klinik kesihatan kerajaan dan ia merangkumi 10 jenis vaksin yang boleh menghalang penyakit. Pemberian vaksin secara menyeluruh adalah penting untuk menjayakan program imunisasi ini.

Lebih banyak vaksin mungkin akan diperkenalkan pada masa akan datang. Jadual imunisasi yang sedia ada ini mungkin akan diubah suai dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan.

Bagaimanapun, salah faham mengenai imunisasi bukanlah perkara baru, maka adalah penting bagi kakitangan kesihatan berpengetahuan dan arif agar dapat mengatasi keraguan dan salah faham yang timbul.

Menurut Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Batu 2.5 Chukai, Kemaman, Dr Suhazeli Abdullah, jika imunisasi tidak berkesan, maka negara kita akan menghadapi wabak pelbagai jenis penyakit berjangkit.

Katanya, tidak semua orang mempunyai sistem daya tahan melawan penyakit berbahaya dan oleh kerana tidak ada cara terbaik untuk kita mengenal pasti individu berkenaan, maka adalah penting setiap kanak-kanak diberi imunisasi lengkap supaya semua pihak mendapat perlindungan sepenuhnya.

“Ada beranggapan anak mereka tidak memerlukan imunisasi kerana penyakit berjangkit tidak selalu berlaku. Tanggapan ini tidak benar kerana imunisasi adalah penting untuk memastikan anak anda sihat. Masih lagi terdapat penyakit berjangkit yang berbahaya di Malaysia.

“Mungkin ibu bapa antivaksin ini menganggap boleh melindungi anak mereka daripada penyakit berjangkit dengan menjauh atau mengasingkan anak mereka daripada kanak-kanak lain. Kaedah ini tidak berkesan kerana masih ada kanak-kanak yang dijaga oleh ibu sendiri, dikawal ketat dan tidak dibawa ke tempat ramai orang masih mendapat jangkitan penyakit berbahaya.

“Tidak mungkin kita dapat melindungi anak sepenuhnya kerana kita sebagai ibu bapa masih perlu bekerja dan bergaul dengan masyarakat baik rakan sekerja mahupun pelanggan. Apabila balik ke rumah, kita akan membawa pelbagai bakteria atau virus dan memindahkan mikro organisma itu kepada anak tanpa disedari.

“Sebenarnya bakteria atau virus ini bukan hanya dibawa atau disebarkan oleh kanak-kanak bahkan juga orang dewasa termasuklah ibu bapa sendiri. Tidak mungkin kita boleh tanpa berurusan atau bercampur dengan masyarakat. Itu belum masuk faktor alam sekitar kerana bakteria sentiasa ada di sekeliling kita,” katanya.

Sebagai contoh, bakteria tetanus yang terdapat di dalam tanah juga boleh menjangkiti kanak-kanak melalui luka ringan yang sekali gus menyebabkan risiko mendapat penyakit tetanus atau kancing gigi.

Dr Suhazeli berkata, cara terbaik untuk melindungi anak terutama yang berumur kurang daripada lima tahun ialah melalui imunisasi. Tidak perlu risau, imunisasi adalah selamat kerana semua vaksin sudah diuji keberkesanan dan keselamatannya.

Tahap kesan sampingan terhadap imunisasi juga sudah diuji dan pemantauan berterusan dijalankan walaupun vaksin itu diluluskan oleh pihak bertanggungjawab dan juga KKM.

Beliau mengakui memang imunisasi ada kesan sampingan tertentu tetapi ia amat ringan dan ia adalah jauh lebih baik berbanding mendapat penyakit itu sendiri. Tanggapan bahawa imunisasi tidak selamat kononnya dan risikonya lebih tinggi berbanding penyakit itu sendiri adalah tidak benar sama sekali.

“Ada juga pihak mendakwa vaksinasi adalah agenda Yahudi dan persoalan ini sering ditimbulkan melalui media sosial, namun tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan.

“Mereka mendakwa Rockfellar, seorang saudagar tersohor Yahudi yang memulakan projek vaksin ini dan menaja WHO bagi membunuh kaum lain selain orang Yahudi termasuk umat Islam.

“Ironis juga kenyataan tanpa fakta jelas ini. Rockfellar meninggal dunia sekitar tahun 1937 manakala penubuhan WHO bermula pada 1948 (selepas Perang Dunia Kedua) dengan matlamat yang jelas demi kesinambungan kesihatan manusia sejagat, bukannya memusnahkan manusia di alam ini. Di negara mereka sendiri turut mewajibkan imunisasi vaksin ini kepada rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata, ia sebahagian mitos yang sering dibawa oleh golongan yang paranoid dengan vaksin. Ada antaranya menggunakan alasan keramat agama bagi menghindarkan anak mereka daripada disuntik vaksin.

“Tanpa sedar mereka sebenarnya menjalankan eksperimen ke atas anak sendiri, tanpa satu sandaran yang ampuh. Memang benar penyakit dan kematian adalah ketentuan Allah, namun Islam tidak menolak ikhtiar. Islam juga tidak menolak tawakal. Sebelum bertawakal, Rasulullah mengarahkan kita berazam, dengan erti kata lain melakukan ikhtiar dulu bagi menghindarkan musibah,” katanya.

Katanya, soal pemberian vaksin yang mengancam nyawa seperti didakwa sesetengah pihak tidak sepatutnya timbul. Ini kerana sistem pelaporan kesan sampingan atau kurang baik (advers) satu-satu ubat sudah diperkenalkan di negara ini bagi membolehkan anggota kesihatan untuk mengambil bahagian dalam pemantauan keselamatan ubat-ubatan dengan cara melaporkan kesan kurang baik yang ditemui.

Sistem Pemonitoran Kesan Advers ubat ini sudah wujud di setiap premis kesihatan dalam negara kita. Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan di bawah Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) bertanggungjawab mengumpul semua laporan kesan kurang baik berkaitan produk farmaseutikal termasuk vaksin selaras dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 di bawah Akta Jualan Dadah 1952 (Pindaan 1989) bagi memastikan ia selamat, berkualiti dan berkesan.

Semua laporan berkaitan kesan kurang baik berikutan pelalian akan dibentangkan oleh Pusat Pemantauan Kesan Advers Ubat Kebangsaan kepada Jawatankuasa Kecil Farmakovigilans Keselamatan Vaksin.

Jawatankuasa Kecil Farmakovigilans Keselamatan Vaksin boleh membuat syor mengenai keselamatan vaksin berdasarkan laporan analisis kesan kurang baik berikutan pelalian yang sudah dibentangkan.

Walaupun pada pering-kat awal kajian membuktikan sesuatu ubat berkesan kepada manusia, namun pelaporan dari semasa ke semasa penting bagi menjamin kualiti keberkesanan sesuatu ubat.

Sehingga kini tiada laporan serius atau bahaya yang dilaporkan daripada statistik farmakovigilans mengenai vaksin yang terdapat dalam pasaran.Menurut KKM, vaksin turut disediakan untuk remaja bagi mencegah daripada kanser serviks.

Terdapat formula yang berlainan untuk satu-satu jenis vaksin:
- Batuk kokol/Pertussis - Ada dua jenis iaitu vaksin tanpa sel atau seluruh sel.
- Vaksin polio - Ada dua jenis iaitu vaksin yang mengandungi sel yang sudah dimatikan terlebih dulu atau vaksin yang mengandungi sel hidup tetapi sudah dilemahkan.

Vaksin untuk kanak-kanak yang masih tiada dalam jadual imunisasi KKM ialah:
- Cacar air.
- Jangkitan meningokokal.
- Jangkitan pneumokokal.
- Rotavirus.
- Influenza.

Vaksin untuk kanak-kanak yang melancong ke luar negara atau mempunyai risiko untuk dijangkiti:
- Hepatitis A.
- Demam kepialu.

Vaksin yang disediakan untuk remaja bagi mencegah daripada kanser serviks:
- Human papilloma virus (HPV) - diberi secara percuma oleh Pasukan Sekolah Pejabat Kesihatan KKM seluruh negara.

Vaksin khusus untuk sesuatu penyakit:
- Pertussis - keseluruhan sel pertusis wP dan vaksin tanpa sel pertusis aP.
- Poliomyelitis - Vaksin hidup yang dilemahkan dan yang telah dimatikan terlebih dahulu.
- Cacar air atau varicella.
- Penyakit meningococcal .
- Penyakit pneumococcal.
- Jangkitan rotavirus.
- Jangkitan influenza.
- Hepatitis A.
- Demam kepialu.
- Human papillomavirus (HPV).