4/08/15

KETAHUI APA ITU SINDROM KEMATIAN MENGEJUT BAYI KETIKA TIDUR (SIDS)


Ramai ibu bapa beranggapan tidur bersama bayi dengan berkongsi katil atau tilam adalah cara paling selamat untuk melindungi si kecil, di samping dapat mengeratkan lagi ikatan antara kedua-dua pihak.

Memang benar tidur bersama bayi atau istilahnya ‘co-sleeping’ membolehkan ibu bapa lebih rapat dengan si kecil kerana langkah itu memberi ibu bapa masa tambahan bersama bayi. Tidur dengan bayi juga membolehkan ibu bapa segera bertindak jika si kecil mula batuk atau menangis pada waktu malam.

Malah, bayi yang tidur berkongsi katil dengan ibu mereka dikatakan cenderung untuk menyusu lebih kerap dan tempoh lebih lama berbanding bayi yang tidur bersendirian.

Bayi yang tidur dengan ibu bapa juga dikatakan tidak kerap terbangun pada waktu malam dan berjaga dalam tempoh masa lebih pendek serta kurang menangis.

Namun, amalan ‘co-sleeping’ jika tidak dilakukan dengan kaedah yang betul dan selamat boleh membahayakan nyawa bayi kerana meningkatkan risiko sindrom kematian bayi mengejut (SIDS).

Sindrom ini berlaku dalam kalangan bayi berusia kurang setahun dan kematian bayi yang tidak dapat diungkapkan puncanya ini biasa berlaku ketika si kecil tidur. Oleh itu, kematian sedemikan juga dikenali sebagai maut di tempat tidur (crib death).

SIDS dikaitkan dengan ketidaknormalan sebahagian otak bayi yang mengawal pernafasan dan bangkit tidur. Penyelidik menemui beberapa faktor yang meletakkan bayi pada risiko kematian terbabit.

Kombinasi fizikal dan faktor persekitaran tidur boleh menyebabkan bayi mudah terdedah kepada SIDS. Namun demikian faktor risiko adalah berbeza bagi setiap bayi.

Faktor fizikal yang dikaitkan dengan SIDS seperti kelainan otak bayi apabila ada bayi dilahirkan dengan masalah dalam kawalan pernafasan dan bangkit tidur, dilahirkan pra matang atau tidak cukup berat dan otak bayi yang tidak matang sepenuhnya menyebabkan kurang kawalan pada proses bernafas dan degup jantung.

Jangkitan respiratori juga dikaitkan dengan SIDS apabila kebanyakan bayi yang maut secara tiba-tiba itu menghidap selesema yang menyumbang kepada masalah pernafasan.

Bagi faktor persekitaran tidur pula sama ada peralatan seperti bantal, selimut dan anak patung yang diletakkan di tempat tidur dan posisi bayi tidur juga meningkatkan risiko SIDS. 

Bayi yang ditidurkan meniarap mungkin berdepan masalah sukar bernafas berbanding tidur terlentang, malah tilam atau alas tidur lembut boleh menyekat pernafasan bayi kerana muka si kecil terbenam ketika tidur.

Bayi yang tidur bersama ibu bapa atau adik-beradik juga menyumbang kepada risiko SIDS kerana bila-bila masa si kecil boleh maut akibat lemas disebabkan tertindih atau terhimpit secara tidak sengaja.

Perunding Pediatrik dan Neonatologi Hospital Pakar KPJ Damansara (KPJ DSH), Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar berkata, tidak dinafikan tidur bersama bayi itu ada kebaikannya, tetapi pada masa sama ibu bapa perlu sedar risiko yang ada dan boleh menjejaskan keselamatan bayi termasuk mengancam nyawa.

“Di Barat sebelum ini tidak menggalakkan amalan ‘co-sleeping’ atas faktor keselamatan, namun kini dibenarkan tetapi perlu dilakukan dengan cara yang selamat dan ibu bapa mendapatkan nasihat pakar terlebih dulu atau melakukan rujukan.

“Bagaimanapun, amalan itu tidak disyorkan bagi bayi pramatang dan kurang berat kerana menyumbang kepada SIDS. Bagi bayi kurang enam bulan lebih selamat ditidurkan berhampiran ibu dalam bilik tetapi katil atau tilam berlainan. Ini boleh mengurangkan risiko bayi mendapat SIDS akibat lemas kepanasan kerana berkongsi selimut de­ngan ibu.

“Ibu bapa di bawah pe­ngaruh alkohol atau ubatan dan terlalu letih juga tidak digalakkan tidur bersama bayi kerana mereka mungkin tidur lena sehingga tidak sedar si kecil bersama dan tidak dapat bertindak balas jika bayi bangkit dan menangis. Merokok sebelum tidur juga mendedahkan bayi kepada bahan toksik asap kedua.

“Bagi segelintir ibu mudah untuk menyusukan bayi jika tidur bersama, namun apa akan jadi jika si ibu tertidur? Bayi mungkin lemas akibat kesukaran bernafas kerana wajahnya tertangkup pada payudara ibu. Begitu juga dengan ibu bapa yang menghadapi gangguan tidur dan mungkin menindih bayi mereka ketika tidur bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah Peranan Ibu Bapa dalam Meningkatkan Emosi Cemerlang Kanak-kanak sempena pelancaran Hari Bayi Tollyjoy 2015 anjuran Tollyjoy Corporation, syarikat yang menjalankan perniagaan pengilangan dan penjualan barangan penjagaan bayi dan ibu di hospital berkenaan baru-baru ini. Majlis turut dianjurkan dengan kerjasama Yayasan OrphanCARE.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Tollyjoy Corporation, Tan Wee Keng dan Pengerusi Yayasan OrphanCARE, Tan Sri Faizah Mohd Tahir.

Amalan ‘co-sleeping’ mungkin sesuai bagi segelintir ibu bapa, namun beberapa aspek keselamatan perlu dipatuhi bagi ibu bapa yang tetap mahu melakukan amalan berkenaan atas alasan ingin mengukuhkan ikatan dengan si kecil.

Ibu bapa perlu memastikan tempat tidur mereka sesuai untuk bayi dengan menggunakan katil, tilam, bantal dan selimut yang mesra bayi.

Elak meletakkan banyak bantal, anak patung dan selimut tebal supaya bayi tidak lemas, gunakan tilam yang rata dan keras kerana tilam lembut menyebabkan muka bayi terbenam mengakibatkan sesak nafas. Lebih baik bayi tidur di katil berasingan yang dikhaskan untuk bayi kerana mempunyai penghadang keselamatan.

Dr Mohammad Iqbal berkata, bayi memerlukan sejumlah besar perhatian dan penjagaan yang penuh dengan kasih sayang terutama pada tahun pertama usia mereka. Persekitaran yang dipenuhi dengan emosi positif akan membantu bayi meningkatkan rasa selamat dan memberikan mereka suntikan emosi yang penting untuk pembelajaran dan perkembangan mereka.

“Pada tahun pertama, bayi menambah berat badan mereka dua kali ganda dan pada masa sama otak mereka juga berkembang sehingga 60 peratus saiz dewasa membentuk pembangunan optimum intelektual, sosial dan kecerdasan emosi.

“Dalam tempoh 12 bulan ini juga bayi mula membentuk sikap, personaliti, tabiat atau kebolehan yang kekal sehingga dewasa dan keyakinan diri. Oleh itu, ibu bapa berperanan penting dalam membantu bayi mereka memupuk tingkah-laku berkenaan.

“Ada tujuh langkah proses ikatan antara ibu bapa dan bayi yang membantu meningkatkan emosi cemerlang iaitu menunjukkan kasih sayang dengan sentuhan, kucupan, bercakap dengan bayi, membaca kepada bayi, senyuman, bermain dan aktiviti atas perut (tummy time),” katanya.

Sentuhan terhadap bayi bukan sekadar memegang tetapi lebih kepada membelai si kecil dengan urutan lembut yang boleh merangsang deria mereka. Tidak semestinya menggunakan minyak bayi, urutan dimulakan pada dada dan abdomen, tangan, kaki dan bahagian belakang. Kucupan terhadap bayi untuk si kecil tahu bahawa mereka disayangi dan dikagumi sekali gus mewujudkan perhatian.

“Kebanyakan ibu bapa tidak bercakap kepada bayi mereka, sedangkan langkah ini baik untuk proses ikatan kedua-dua pihak. Ibu bapa boleh bercerita apa saja seperti bercakap dengan orang dewasa tetapi mesti guna ayat yang positif. Dengan ini bayi akan mula faham bahasa yang digunakan.

“Selalunya ibu bapa tidak membaca banyak untuk anak-anak, sedangkan membaca kepada bayi juga dapat merangsang daya imaginasi dan kemahiran bahasa. Gunakan bahasa dan intonasi suara yang pelbagai untuk penceritaan supaya interaksi dengan bayi dapat dipertingkatkan.

“Menggalakkan bayi senyum dengan membuat mimik muka lucu adalah kaedah berseronok dengan anak sendiri. Kaedah lain adalah bermain dengan bayi, tidak perlu beli permainan yang mahal tetapi boleh guna apa saja yang boleh datangkan kegembiraan,” katanya.

Katanya, aktiviti atas perut pula seperti mendukung bayi membantu tumbesaran dan pembangunan si kecil, di samping mencegah tompok rata terbentuk di kepala dan kelewatan pencapaian motor akibat banyak berbaring.

Share this

0 Comment to "KETAHUI APA ITU SINDROM KEMATIAN MENGEJUT BAYI KETIKA TIDUR (SIDS)"

Catat Ulasan