3/08/15

BAHAYA VIRUS DEMAM CAMPAK


DI Amerika Syarikat, sesiapa yang lahir sebelum 1957 diterima sebagai bukti oleh pihak berkuasa sebagai telah sedia memiliki imuniti atau kekebalan terhadap virus campak. Kekebalan bersifat tahan lama tersebut dipercayai berpunca daripada pendedahan semula jadi iaitu dengan mengalami infeksi virus campak.

Untuk pengesahan sila baca keterangan CDC (Center for Disease Control and Prevention, Amerika Syarikat) berjudul Measles (Rubeola) di http://www.cdc.gov/measles/hcp/.

Simptom akibat infeksi virus campak bermula dengan demam suhu tinggi sehingga 40.5 darjah Celcius, lesu, batuk, sakit tekak, radang membran mukus hidung yang menyebabkan hidung berair, dan sakit mata. Ruam berbintik kemerah-merahan biasanya dialami selepas 14 hari seseorang terdedah kepada virus campak.

Bagaimanapun, tempoh inkubasi ialah antara 7 dan 21 hari. Penghidap campak dikatakan boleh menjangkiti orang lain 4 hari sebelum dan selepas ruam terbentuk.

Beberapa komplikasi akibat infeksi virus campak ialah radang bahagian tengah telinga (otitis media), radang paru-paru termasuk tenggorok dan cabang tenggorok (bronchopneumonia), sejenis radang tekak (laryngotracheobronchitis) dan diarea.

Menurut CDC, infeksi campak boleh menyebabkan penyakit serius kepada kanak-kanak yang dalam keadaan sihat sebelum dijangkiti dan perlu dimasukkan ke hospital. 1 daripada setiap 1,000  yang dijangkiti akan mengalami radang otak akut (encephalitis). Ia dikatakan biasanya berakhir dengan kerosakan kekal otak. Satu atau dua orang yang mengalami infeksi berakhir dengan kematian berpunca daripada masalah pernafasan dan saraf.

Sejenis penyakit degeneratif yang jarang berlaku dikenali sebagai penyakit Dawson atau Dawson encephalitis juga dikatakan boleh dialami oleh penghidap campak. Ia berlaku akibat serangan virus campak secara berpanjangan lalu menyebabkan keradangan otak. Penyakit yang dialami setelah 7 atau 10 tahun setelah seseorang mengalami infeksi campak ini dikatakan akan mengalami kemerosotan kelakuan dan kepintaran.

Penyebaran

Campak dikatakan merupakan penyakit berjangkit yang paling mudah berjangkit. Seramai 9 dari 10 orang yang sering  mendampingi penghidap campak dikatakan mudah mengalami infeksi. Virus campak mudah menjangkiti seseorang melalui titisan air liur atau dari hidung penghidap yang mengandungi virus atau penyebaran melalui udara iaitu apabila penghidap bersin, batuk atau bernafas!

Virus campak dikatakan masih boleh menjangkiti seseorang sungguhpun setelah 2 jam penghidap meninggalkan sesuatu tempat dengan meninggalkan titisan cecair mengandungi virus campak.

Kebanyakan orang sekarang yang hidup dalam zaman serba moden menganggap campak sebagai penyakit yang amat berbahaya. Simptom seperti disebutkan pada awal artikel dianggap sebagai simptom yang terlalu mengganggu kehidupan harian dan merunsingkan fikiran. Apatah lagi apabila tahu virus campak boleh masuk ke otak dan seterusnya menyebabkan radang otak.

Sifat rasa sayang kepada anak dan tidak rela melihat anak menanggung simptom yang pada sesetengah orang sebagai amat tidak menyelesakan dikatakan dijadikan modal utama oleh pendukung pemvaksinan agar ibu bapa merelakan anak mereka disuntik vaksin.

Beberapa manfaat hasil pemvaksinan pelbagai jenis vaksin iaitu anak kebal kepada virus campak dan tidak mengganggu produktiviti anak serta ibu bapa dijadikan alasan oleh sebahagian besar orang zaman serba moden ini untuk mengecap keselesaan hidup.

Sesetengah pihak berpendapat, kebiasaan menjaga kesihatan contohnya melalui pemvaksinan melahirkan generasi manusia yang ‘manja.’ Manja bukan sahaja dari segi kebiasaan mendapatkan perhatian golongan perubatan moden yang dikatakan sentiasa dianggap sebagai mentor utama dan penyelesai segala masalah kesihatan malah memanjakan diri kerana membiarkan sikap menjaga kesihatan diri dibentuk oleh orang lain.

Antara perkara yang menarik minat penulis mengenai pemvaksinan secara umum ialah setiap pihak iaitu golongan pendukung pemvaksinan dan golongan yang menentangnya (antivaxers) mempertahankan pandangan masing-masing dengan alasan tertentu. Golongan pendukung pemvaksinan misalnya menggunakan fakta-fakta berasaskan kajian di mana kebanyakannya mereka dakwa kajian-kajian termasuk yang berskala besar tidak menunjukkan kaitan antara pemvaksinan dan autism.

Golongan antivaxers mengeluarkan hujah bahawa alasan pendukung pemvaksinan tidak boleh diterima kerana terdapat kelemahan tertentu pada hampir setiap kajian yang diketengahkan oleh golongan pendukung pemvaksinan. Di sini penulis bawa sebuah contoh kajian di mana dipercayai terdapat bukti CDC menyembunyikan kaitan penyebab (causal link) antara autisme dan merkuri (pengawet/afjuvant thimerosal) dalam vaksin.     

Kajian yang dimaksudkan berjudul ‘Methodological Issues and Evidence of Malfeasance in Research Purporting to Show Thimerosal in Vaccines Is Safe’ yang terbit dalam jurnal Biomed Research International (2014). Antara kelemahan utama kajian yang diketengahkan CDC ialah kajia tersebut dipercayai mengandungi unsur berat sebelah kerana saintis penyelidik yang menyertai sebahagian besar kajian merupakan penyelidik CDC. Kajian tersebut juga ditaja CDC.

Kelemahan utama lain ialah kajian-kajian tersebut mengandungi beberapa kelemahan dari sudut methodologi.

CDC akui

Hanya sebuah kajian tajaan CDC yang menunjukkan kaitan jelas antara merkuri dalam vaksin dan gangguan perkembangan neuron (saraf) termasuk autisme. Kajian terdiri daripada lima fasa berjudul ‘Increased risk of developmental neurologic impairment after high exposure to thimerosal-containing vaccine in first month of life’ dipercayai sengaja dimanipulasikan agar menunjukkan kesan thimerosal kurang berbahaya. Kajian tersebut terdapat dalam Proceedings of the Epidemic Intelligence Service Annual Conference (2,000), jilid 49, CDC.

Untuk mengetahui kupasan mengenai ‘bukti penyembunyian CDC’ terhadap penyebab antara thimerosal dalam vaksin dan autism sila baca artikel berjudul Study Finds Evidence for CDC CoverUp of Link Between Autism and Mercury In VACCINES di GreenMedInfo.com. Sebuah artikel menarik berjudul  ‘Who Was First With Shocking CDC Autism Data?’ yang terbit dalam majalah Forbes atas talian juga membongkar isu serupa.

Menurut CDC dalam keterangan Q & A berjudul Thimerosal and 2014-2015 Seasonal Flu Vaccines, sejak 2001 tiada sebarang vaksin baru yang ditambah thimerosal. Namun begitu, vaksin flu terutama dalam bekas selinder kaca bagi penggunaan beberapa kali (multidose vials) pada tahun 2014 dan 2015 ditambah thimerosal bertujuan mencegah pencemaran apabila bekas selinder kaca dibuka. Vaksin flu dos tunggal yang digunakan dengan cara menyembur dalam hidung tidak mengandungi thimerosal.

Share this

0 Comment to "BAHAYA VIRUS DEMAM CAMPAK"

Catat Ulasan