1/08/15

MASALAH KAKI PENGKAR DI KALANGAN KANAK-KANAK


Masalah kaki tidak lurus atau pengkar dalam kalangan kanak-kanak terutama bayi baru dilahirkan adalah perkara biasa dan kebanyakan kes tidak berbahaya, bersifat sementara dan hanya sebahagian daripada proses tumbesaran membabitkan tulang, sendi dan otot.

Oleh itu, ibu bapa tidak perlu risau jika mendapati kaki bayi mereka yang baru dilahirkan membengkok sedikit kerana ia berlaku secara fisiologi iaitu akan pulih sendiri seiring dengan peningkatan usia.

Bagaimanapun, masalah kaki tidak lurus menjadi satu kecacatan seandainya tiada perubahan pada keadaan kaki selepas usia yang sepatutnya anggota itu perlu lurus dan pada masa sama kanak-kanak berasa sakit atau kebas.

Keadaan ini memerlukan rawatan lanjut kerana masalah kaki tidak lurus mungkin disebabkan gangguan sistemik atau sindrom, ketumbuhan pada tulang, tulang patah dan kekurangan nutrien.

Perunding Ortopedik, Pakar Bedah Trauma dan Pakar Bedah Ortopedik Kanak-kanak, Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Ong Shong Meng berkata, ibu bapa perlu mengetahui bahawa di peringkat awal bayi yang dilahirkan biasanya mengalami keadaan lutut yang membengkok ke luar menyebabkan kaki melengkung dan kedudukannya kelihatan seperti busur panah, oleh sebab itu juga masalah ini dinamakan Bow Leg atau istilah perubatannya Genu Varum.

Bayi dalam keadaan Bow Leg, jarak antara kedua-dua lututnya berada jauh dan apabila berdiri buku lalinya dirapatkan. Masalah itu jika disebabkan punca fisiologikal kaki akan perlahan-lahan menjadi lurus menjelang usia 18 bulan, namun jika masalah bengkok disebabkan punca patologikal bayi memerlukan rawatan dan mungkin pembedahan.

Proses tumbesaran seterusnya menyaksikan lutut perlahan-lahan membengkok ke dalam menyebabkan kedua-dua lutut berlaga, manakala jarak buku lali pula jauh ketika berdiri dan masalah ini dinamakan Knock Knee atau Genu Valgum.

Masalah ini biasa berlaku ketika usia kanak-kanak tiga hingga empat tahun dan sudut lutut (tibiofemoral) kembali normal mengikut peringkat dewasa 5 hingga 7 darjah menjelang usia tujuh tahun.

“Perubahan sudut lutut yang membengkok ke luar dan ke dalam seiring dengan peningkatan usia diterangkan dengan jelas dalam graf Salenius. Kajian itu mula diguna sejak pertengahan 70-an bagi menjelaskan kepada ibu bapa tulang lutut menunjukkan perubahan sedemikian ketika proses tumbesaran.

“Berdasarkan graf berkenaan juga rawatan tidak diperlukan bagi kanak-kanak yang mengalami kedua-dua keadaan bengkok ke luar dan ke dalam. Ini membuktikan keadaan kaki itu berlaku secara fisiologikal atau kanak-kanak tidak berasa sakit dan menunjukkan gejala menghidap penyakit yang mengakibatkan kakinya membengkok.

“Bagaimanapun, rawatan perlu dilakukan jika masalah kaki tidak lurus berlaku secara patologikal dan pemeriksaan lanjut perlu dijalankan bagi memastikan puncanya kerana kaedah rawatan bergantung kepada punca terbabit dan tahap serius keadaan kaki yang membengkok,” katanya.

Dr Ong berkata, masalah tulang kaki disebabkan metabolik seperti riket boleh diperbetulkan dengan rawatan perubatan seperti pemberian makanan tambahan mengandungi kalsium dan vitamin D kerana riket adalah penyakit disebabkan kekurangan vitamin D yang mengakibatkan tulang menjadi lembut dan bengkok.

“Bagi masalah tulang kaki membengkok yang lain mungkin memerlukan pembedahan osteotomy untuk meluruskan sendi lutut yang sudah bengkok atau memasang plat besi untuk membantu tulang membesar dengan lurus,” katanya.

Share this

0 Comment to "MASALAH KAKI PENGKAR DI KALANGAN KANAK-KANAK"

Catat Ulasan