19/05/16

JANGAN AMBIL REMEH KECEDERAAN SARAF TUNJANG


Jangan pandang remeh jika kaki tangan kita terasa kebas dan lama-kelamaan keadaan semakin parah seperti bertambah lemah sehingga tidak boleh diangkat. Pesakit yang mempunyai tanda-tanda seperti kebas kaki dan atau tangan disarankan agar segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik bagi mengelakkan daripada keadaan menjadi semakin buruk.

Pakar Runding Orthopedik dan Pakar Bedah Saraf Tunjang, Hospital Pantai Klang, Klang, Selangor, Dr. Sia Chong Yeow berkata setakat ini di Malaysia tidak mempunyai data pesakit mengenai penyakit berkaitan kecederaan saraf tunjang.

“Bagaimanapun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan terdapat 40 hingga 80 kes baru kecederaan saraf tunjang setiap tahun bagi satu juta populasi penduduk di dunia.

“Sebanyak 70 peratus pesakit adalah lelaki biasanya berusia dalam lingkungan 39 tahun,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Klang, Selangor baru-baru ini.

Biasanya jelas Dr. Sia, kebanyakkan pesakit datang sama ada dengan simptom kaki tangan lemah atau kebas atau mereka dirujuk oleh pakar perubatan lain kerana kemalangan.

Kecederaan

“Terdapat dua punca utama kecederaan saraf tunjang iaitu

1. Trauma

2. Bukan trauma

“Trauma biasanya disebabkan oleh kemalangan dan lebih 60 peratus kes melibatkan kemalangan jalan raya, jatuh dari tempat tinggi, kecederaan sukan, kecederaan semasa bekerja atau cedera dipukul menggunakan senapang api tetapi kes kecederaan disebabkan senjata api sering berlaku di negara Barat,” katanya.

Dr. Sia menambah punca bukan trauma biasanya disebabkan oleh kanser atau jangkitan kuman seperti batuk kering atau tibi, proses penuaan dan janin yang mengalami kecederaan saraf tunjang sejak lahir.

Menurut Dr. Sia lagi, biasanya lelaki pertengahan umur terutama mereka yang gemar melakukan aktiviti lasak seperti lumba kereta dan mendaki gunung sering terdedah kepada kecederaan saraf tunjang.

“Bagaimanapun semua orang mempunyai risiko terutama mereka yang:

1. Berusia muda akibat kemalangan sukan perlumbaan kereta atau mendaki gunung

2. Jangkitan kanser

3. Aktiviti lasak lain


Rehabilitasi

“Bagaimanapun sesetengah pesakitmempunyai kadar sembuh yang lambat dan mereka memerlukan rawatan sepatutnya supaya cepat sembuh,” katanya.

Buat masa ini terdapat rawatan baru saraf tunjang iaitu terapi sel stem yang masih baru dan masih dalam kajian.

Biasanya pesakit yang mengalami kecederaan saraf tunjang lengkap mungkin lumpuh sepenuhnya jika mereka tidak bergerak dan menggunakan sendi dan otot. Jadi mereka perlu menjalani latihan fisioterapi untuk mengelakkan fungsi sendi dan otot menyusut atau tidak berfungsi.

Dr. Sia berkata, program rehabilitasi amat penting bagi pesakit yang mengalami kecederaan saraf kerana jika mereka mendapat sokongan yang kuat daripada keluarga dan orang terdekat mereka boleh hidup lebih lama malah masih boleh berjaya seperti orang lain.

“Elakkan mereka daripada rasa terbeban atau rendah diri. Pesakit juga jangan cepat putus asa kerana mereka masih mempunyai peluang untuk berjaya seperti orang lain contohnya pemilik Speedmart 99 yang merupakan orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan kerusi roda disebabkan penyakit polio semasa masih bayi,” katanya.

11/05/16

CARA MUDAH CEPAT DAN TEPAT MENGESAN DIABETES


Diabetes atau lebih dikenali kencing manis, bukan lagi penyakit asing dalam kehidupan masyarakat masa kini.

Malah boleh dikatakan kebanyakan daripada kita sudah sedia maklum mengenai penyakit yang berkait rapat dengan pengambilan karbohidrat (gula, nasi dan lain-lain) secara berlebihan mahupun amalan gaya hidup tidak sihat.

Biarpun demikian, agak menghairankan apabila masih ada majoriti besar masyarakat memandang ringan terhadap penyakit kronik itu.

Ini dapat dilihat apabila statistik jumlah penghidap diabetes negara menyaksikan peningkatan kepada 17.5 peratus pada 2015 berbanding 15.2 peratus pada 2011 dan 11.6 peratus (2006).

Keadaan ini begitu membimbangkan. Apatah lagi apabila masih ada yang terus selesa dan tidak mahu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala, dan menjadi antara faktor yang menyebabkan ramai tidak tahu mereka sebenarnya penghidap diabetes.  

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Malaysia 2015, mendapati 1.8 juta daripada 3.5 juta individu dewasa yang menghidap diabetes di negara ini tidak mengetahui mereka mempunyai penyakit itu.

BAHAYA

"Laporan kesihatan menunjukkan golongan muda berusia antara 18 hingga 30 tahun yang menghidap diabetes semakin meningkat. Keadaan ini menggusarkan kerana kebanyakan mereka tidak tahu ada diabetes.

"Ini kerana, mereka akan mengambil makanan ikut suka hati ditambah pula dengan gaya hidup tidak aktif yang diamalkan sekarang ini. Apabila lambat mengesan penyakit dan mendapatkan rawatan, diabetes akan mendedahkan mereka kepada pelbagai komplikasi.

"Antara risiko utama penyakit ini adalah penyakit jantung koronari, angin ahmar, kerosakan organ seperti buah pinggang, buta penglihatan dan kehilangan kaki," kata Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS) Prof Dr Nor Azmi Kamaruddin kepada Bernama.

Diabetes atau penyakit yang kerap kali disifatkan sebagai pembunuh senyap ini adalah keadaan di mana paras gula/glukos di dalam darah seseorang itu melebihi tahap normal berikutan kegagalan kelenjar pankreas untuk mengeluarkan hormon insulin yang secukupnya.

Tidak boleh dipandang ringan, kehadiran insulin ini amat penting kerana ia akan menyalur setiap makanan yang telah diproses menjadi glukos ke dalam sel-sel badan bagi mengeluarkan tenaga.

Bagaimanapun, bagi pesakit diabetes, organ pankreas mereka tidak dapat mengeluarkan insulin secukupnya ataupun jumlah insulin yang dikeluarkan itu kurang berkesan.

Keadaan tersebut membuatkan glukos tidak dapat masuk ke dalam sel badan, sekali gus terkumpul di dalam darah yang kemudian menyebabkan parasnya meningkat tinggi sehingga melimpah ke dalam air kencing, yang mana ia dikenali sebagai diabetes.

PUNCA UTAMA JANTUNG

"Terdapat dua jenis diabetes. Jenis pertama, kerosakan pankreas daripada mula lagi menyebabkan ketiadaan langsung hormon insulin dalam badan. Manakala jenis kedua, badan tidak mengeluarkan hormon insulin secukupnya untuk mengawal paras gula dalam darah.

"Di Malaysia, diabetes jenis kedua paling ramai iaitu merangkumi 98 hingga 99 peratus daripada jumlah pesakit diabetes," ujar Prof Dr Nor Azmi yang juga Pakar Perunding Perubatan Diabetes dan Endokrinologi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata peningkatan taraf glukos di dalam saluran darah yang tidak terkawal boleh mendedahkan pesakit dengan pelbagai masalah kesihatan sepanjang hayat.

Bahkan, paling menakutkan apabila ia boleh mengakibatkan maut dalam bentuk serangan penyakit jantung koronari sekiranya melengah-lengahkan rawatan!

Di peringkat global, diabetes menjadi satu daripada faktor utama penyakit kardiovaskular yang adalah punca utama kematian di serata dunia terutamanya dalam kalangan negara membangun.

Manakala di Malaysia, 35 peratus punca kematian adalah disebabkan penyakit kardiovaskular yang mana hampir 69 peratus daripada mereka mempunyai diabetes.

UJIAN MUDAH

Justeru, segala simptom berkaitan dengan kencing manis seperti letih, kerap kencing terutama waktu malam, sentiasa rasa dahaga perlu diberi perhatian serius.

Apatah lagi, Malaysia berada di tangga pertama di rantau Asia Tenggara sebagai negara yang mempunyai peratusan paling tinggi pesakit diabetes.

Memandang berat senario berkenaan, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan sentiasa berusaha mengukuhkan perkhidmatan rawatan pesakit diabetes di Malaysia.

Ini termasuklah melancarkan 'Clinical Practice Guideline Management of Type-2 Diabetes Mellitus' Edisi ke-lima semasa Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2016 peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Ia adalah garis panduan amalan klinikal rawatan penyakit diabetes dan paling menarik ujian mudah mengesan penyakit itu yang dikenali sebagai A1c turut diperkenalkan.

"Dokumen ini akan menjadi dokumen rasmi yang dapat memberi panduan kepada anggota kesihatan sama ada dari pihak kerajaan, swasta, mahupun universiti bukan sahaja untuk memberi perawatan terbaik dan berkesan kepada pesakit diabetes.

"Malah, untuk menjalankan saringan dan pencegahan yang berkesan di peringkat kesihatan primer," kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam semasa berucap merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2016 peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya. Bagi tahun ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memilih slogan Tumpaskan Diabetes: "Tingkatkan Pencegahan, Kukuhkan Rawatan dan Mantapkan Saringan" sebagai tema sambutan Hari Kesihatan Sedunia tahun ini.

LAGI TEPAT

Mengulas mengenai ujian mudah diabetes, Prof Dr Nor Azmi berkata mengesan penyakit itu sebelum ini agak sukar kerana memerlukan seseorang itu berpuasa selama lapan jam sebelum menjalani ujian darah glukos.

"Selain berpuasa lapan jam untuk memeriksa tahap glukos di dalam darah, ada dalam keadaan tertentu memerlukan mereka mengambil minuman yang mengandungi 75 gram glukos di dalam cawan 300ml.

"Ia, perlu dihabiskan dalam tempoh masa tiga hingga lima minit. Kemudian, mereka tidak boleh balik atau berjalan ke sana ke mari kerana itu akan memberi kesan kepada tahap glukos di dalam badan.
"Sebaliknya, perlu duduk diam-diam dalam tempoh dua jam dan selepas itu baharu ambil lagi satu ujian darah glukos. Tidak ramai yang sanggup menjalani ujian yang rumit dan berperingkat-peringkat ini," katanya.

Berbanding penggunaan ujian darah A1c, diabetes dapat dikesan dengan lebih tepat, mudah serta tidak memerlukan mereka berpuasa ataupun meminum air glukos.

Malah, keputusannya pun cepat dalam masa dua jam dan ini diharap dapat menarik minat 1.8 juta daripada 3.5 juta pesakit diabetes di negara ini yang tidak tahu mereka ada penyakit itu untuk tampil membuat pemeriksaan.

"Ujian glukos di dalam darah yang digunakan untuk mengesan diabetes sebelum ini hanya mengukur tahap glukos dalam saluran darah yang hanya mencerminkan tahap glukos pada sesuatu ketika sahaja.

"Berbanding A1c, ujian ini akan mengukur purata tahap glukos di dalam sel-sel darah merah yang mempunyai jangka hayat selama tiga hingga empat bulan dan keputusannya lebih tepat," katanya.

NEGARA PERTAMA DI ASIA

Justeru, dengan termaktubnya A1c sebagai antara satu ujian darah mengesan diabetes di negara ini, ia telah meletakkan Malaysia sebagai negara pertama di benua Asia yang berbuat demikian.

Sebelum ini, hanya Amerika Syarikat, Eropah dan New Zealand sahaja yang mengguna ujian A1c sebagai satu kaedah mendiagnosis diabetes.

Manakala negara Jepun, hanya membenarkan penggunaan ujian A1c jika ianya disertakan serentak dengan ujian glukos selepas lapan jam berpuasa dan selepas minum 75 gram glukos, bukan bersendirian dan berasingan.

Untuk makluman, perkhidmatan ujian darah A1c ini sudah boleh diperoleh di mana-mana hospital dan klinik kesihatan kerajaan dan swasta.

1/05/16

BAKAL IBU MASIH WAS WAS DENGAN PANTANG LARANG KETIKA HAMIL


Setiap pasangan yang berkahwin pasti mahukan cahaya mata sebagai pelengkap hidup. Waktu hamil adalah saat yang paling tidak dapat dilupakan oleh semua wanita.

Apatah lagi pertama kali bakal bergelar ibu, banyak perkara yang perlu dipelajari. Malah sesetengah ibu masih keliru dengan perkara yang boleh dilakukan atau tidak ketika hamil.

Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Colombia Asia, Petaling Jaya, menjelaskan, penting buat bakal ibu mempunyai ilmu mengenai kehamilan.

“Ibu yang hamil kali pertama disaran menghadiri kelas penjagaan kehamilan kerana ia penting sebagai langkah memantau kelancaran kehamilan serta pembesaran bayi dalam kandungan.

“Menghadiri kelas berkenaan, bakal ibu tahu mengenai perkara asas antaranya berat badan ideal ketika hamil, tekanan darah normal, makanan untuk ibu hamil, simptom awal kelahiran serta pengambilan makanan tambahan,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu baru-baru ini.

Menurut Nicholas, ibu yang hamil disaran berjumpa doktor mengikut usia kandungan. Misalnya kandungan berusia hingga 28 minggu disaran berjumpa doktor empat minggu sekali, 28 hingga 36 minggu dua minggu sekali manakala kandungan berusia 36 minggu ke atas pula setiap minggu.

“Bakal ibu hendaklah berjumpa doktor dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengetahui perkembangan bayi dalam kandungan seperti pergerakan, saiz bayi, kedudukan, keadaan jantung dan sebagainya.

“Waktu ini juga, apabila kandungan sudah mencapai tiga bulan ke atas, pasangan boleh membuat ujian imbasan janin bagi mengetahui jantina bayi,” katanya.

Selain itu, terdapat bakal ibu masih ragu dan sering disogok dengan mitos terhadap makanan yang boleh diambil dan tidak ketika hamil.

Mengulas mengenainya, Nicholas berkata, memang ada bakal ibu masih was-was dan sering bertanya mengenai pantang larang mengambil makanan ketika hamil.

“Antara yang sering didengar ialah mitos ibu hamil tidak boleh mengambil teh herba, barli, susu soya, makanan pedas, kopi serta teh. Perkara itu tidak benar sama sekali.

“Makanan yang dilarang seperti ginseng, alkohol, ubat-ubatan, susu yang tidak dipastur, makanan laut serta telur mentah.

Selain itu, ada juga yang masih bertanya mengenai seks ketika hamil sama ada dibenarkan atau tidak.
Menurutnya, seks boleh selagi ia tidak mendatangkan kesakitan, pendarahan atau air ketuban pecah, serta keguguran.

Jelas beliau, hubungan seksual sememangnya digalakkan bagi memudahkan bukaan ketika bersalin.
Persepsi ibu hamil tidak boleh melakukan perjalanan jauh juga harus diperbetulkan kerana ia boleh dengan syarat keadaan kesihatan mengizinkan.

20/04/16

TIDAK PERLU `SUPLEMEN` JIKA BADAN SIHAT


ORANG ramai yang mempunyai tahap kesihatan yang baik tidak digalakkan mengambil makanan tambahan atau suplemen, kata pakar pemakanan.

Pensyarah Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan Prof Madya Dr Hamid Jan Jan Mohamed menegaskan bahawa pengambilan makanan tambahan hanya perlu untuk golongan ibu hamil, ibu menyusukan bayi, individu berdiet (kerana makan terlalu sedikit dan perlukan lebih tenaga) serta warga tua yang uzur.

Beliau menasihatkan orang ramai yang ingin mengambil makanan tambahan atau yang merasakan perlu berbuat demikian merujuk serta mendapatkan nasihat pakar pemakanan dan doktor terlebih dahulu.

Tidak dinafikan wujud kesedaran di kalangan rakyat Malaysia mengenai keperluan makanan tambahan, malah ada yang mengamalkannya sebagai rutin harian, namun kata beliau, seseorang yang makan mengikut piramid makanan dan sentiasa bergerak aktif sepatutnya tidak memerlukan makanan tambahan, kecuali kemungkinan vitamin D sahaja yang jarang ada dalam makanan harian.

"Ada kalangan ibu bapa berkemampuan yang memberikan anak-anak mereka vitamin... sedar atau tidak tindakan mereka itu boleh menyebabkan anak-anak tidak gemar untuk makan sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Kanak-kanak akan beranggapan vitamin yang diambil sudah mencukupi, maka mereka tidak perlu makan sayur atau buah," katanya ketika ditemui Bernama pada forum 'Amalan Rawatan Asas pada Abad ke-21' anjuran Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) Selangor baru-baru ini.


BAHAN KIMIA

Beliau berkata terdapat banyak kajian yang menunjukkan pengambilan makanan tambahan tidak berkesan kerana ia terhasil daripada bahan kimia sintetik yang menyerupai sesuatu vitamin berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Hamid Jan berkata vitamin dalam bentuk sintetik bukanlah kandungan yang diperoleh secara semula jadi malah kandungan zatnya tidak menyeluruh berbanding sumber makanan asli.

"Kita sering melihat individu mengambil vitamin C untuk mengelakkan virus selesema tetapi secara logiknya berapa banyak buah oren yang perlu diekstrak bagi menghasilkan sebiji vitamin.

"Ia berbeza apabila kita makan sebiji oren yang bukan sahaja mengandungi vitamin C malah pelbagai nutrisi lain," katanya ketika ditemui selepas membentangkan kertas kerja bertajuk "Makanan Tambahan dan Vitamin Dalam Amalan Harian" pada forum itu.

Justeru, beliau menyarankan agar masyarakat mengambil makanan secara semula jadi kerana produk-produk yang diproses terdiri daripada struktur khasiat yang amat berbeza.

Dr Hamid Jan berkata kepelbagaian dalam penyediaan makanan sihat boleh membantu tubuh seseorang mendapat kesemua nutrien yang mencukupi dan kaedah ini amat penting bagi mengelakkan kebergantungan terhadap pengambilan vitamin serta makanan tambahan.

"Namun amat mengecewakan kerana rata-rata rakyat Malaysia didapati kurang mengamalkan pemakanan daripada kumpulan makanan sayur-sayuran dan buah-buahan khususnya dalam menu harian mereka," katanya.

Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran secara seimbang pula akan membuatkan seseorang itu berasa kenyang kerana kedua-duanya mempunyai kandungan fiber yang boleh diserap tubuh manusia.

Malangnya, kata beliau, rakyat Malaysia lebih gemar mengambil kumpulan makanan yang kaya karbohidrat, lemak dan protein, di mana ketiga-tiga kumpulan makanan tersebut adalah sumber tenaga utama, namun boleh mengundang masalah obesiti dan kegemukan.


ILMU DIET

Dr Hamid Jan berkata sering kali individu yang mengalami masalah berat badan berlebihan akan mengamalkan diet namun ada antara mereka berdiet tanpa ilmu dan hanya bergantung kepada maklumat di Internet semata-mata.

Mengulas lanjut, beliau berkata adalah lebih baik jika individu berkenaan mendapatkan panduan dan nasihat pakar-pakar dietetik tentang cara mengamalkan diet dengan betul dan berdisiplin.

Berdiet tanpa bersenam tidak membawa apa-apa makna kerana amalan diet perlu seiring dengan latihan senaman yang teratur dan konsisten.

"Adalah lebih baik jika penurunan berat badan berlaku secara perlahan-lahan kerana jika turun mendadak, tidak mustahil juga ia akan naik dengan cepat.

"Berdiet dengan 'skip' untuk tidak makan adalah salah dan tidak digalakkan kerana makanan perlu untuk tenaga, namun hendaklah menjaga jumlah kalori setiap yang dimakan.

"Ada individu yang kononnya berdiet dan tidak mahu makan sepinggan nasi sebaliknya individu sama makan lima biji karipap sedangkan jumlah kalorinya adalah lebih tinggi," katanya, dan menambah kata bahawa keperluan tenaga setiap individu adalah berbeza bergantung kepada aktiviti fizikal harian masing-masing.

Jika ingin memiliki tubuh yang langsing dan sihat, kata beliau, makanan dengan kandungan nutrien yang cukup dan seimbang amat penting dalam diet harian.

Dr Hamid Jan berkata setiap hidangan bukan sahaja perlu mempunyai karbohidrat, vitamin, protein dan lemak, malah hendaklah divariasikan serta diambil mengikut kuantiti yang diperlukan tubuh masimg-masing.

BUDAYA SIHAT

Sehubungan itu, beliau berkata institusi kekeluargaan perlu mewujudkan gaya hidup sihat dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menyihatkan tubuh badan.

Dr Hamid Jan berkata ibu bapa yang sentiasa menjaga kesihatan dan mengawal pemakanan, sekali gus akan mendidik anak-anak supaya menjalani kehidupan secara sihat.

"Jika ibu bapa sentiasa bersenam, anak-anak juga akan rajin bersenam, begitu juga amalan-amalan lain, akan menjadi contoh kepada anak-anak, jadi perlu ada kerjasama antara ibu bapa dan anak-anak.

"Selain itu, punca penyakit bukan hanya disebabkan pengambilan makanan tidak seimbang tetapi boleh berlaku atas faktor masalah tekanan di tempat kerja dan tidak mendapat tidur yang cukup," katanya.

Beliau berkata bagi menikmati kehidupan yang sihat, setiap individu perlu tahu menjaga kesihatan tubuh badan demi kesejahteraan diri, keluarga dan negara.

13/04/16

RISIKO JIKA AMBIL AIR DETOKS SECARA BERLEBIHAN


BAGI yang sedang diet air lemon ini memang tak asing lagi. Ia menjadi sebahagian minuman untuk tujuan detoks membuang toksin yang juga salah satu cara untuk menurunkan berat badan.

Botol air berisi hirisan lemon ini selalunya bekalan wajib mereka yang berdiet hingga kadang-kadang ada yang membawa beberapa botol besar untuk minuman seharian di tempat kerja.

Tapi tahukah anda bahawa air lemon ini kalau diminum berlebihan boleh mendatangkan kesan sampingan yang tidak baik untuk tubuh.

Tiga perkara berikut mungkin anda alami jika mengambilnya terlalu banyak. Kurangkan pengambilannya jika kesan ini sudah anda rasai.

1. Hakisan gigi

Terlalu banyak mengambil makanan atau minuman berasid seperti air lemon bergelas-gelas akan menyebabkan gigi turut kerap diselaputi asid.

Ia mampu menghakis enamel gigi dan membuat gigi semakin sensitif pada makanan sejuk dan panas. Bagi melindungi gigi ketika minum minuman berasid sebaiknya gunakan straw.

2. Pedih ulu hati

Minum air lemon juga boleh mencetuskan pedih ulu hati. Ia akan menjadi lebih serius jika anda pernah mengalaminya sebelum ini.

Pedih ulu hati ini akan menyebabkan rasa panas dan juga sakit di bahagian dada. Kurangkan pengambilan makanan dan minuman berasid untuk mengelak serta mengurangkan simptom pedih ulu hati.

3. Kerap buang air dan dehidrasi

Ini juga salah satu kesan sampingan yang mungkin anda alami jika terlebih minum air lemon. Buah ini mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi.

Nutrien ini memang bersifat diuretik yang bermakna ia meningkatkan penghasilan urin oleh buah pinggang untuk membantu tubuh mengeluarkan cecair dan sodium berlebihan dengan cepat.

Sekiranya anda merasai tanda-tanda dehidrasi seperti mulut kering, haus, pening kepala atau mengantuk segera kurangkan pengambilan air lemon.

Apa-apa makanan pun kalau diambil berlebihan tak elok, jadi bersederhanalah. jangan kerana mahu kurus cepat, penyakit lain pula yang datang.

4/04/16

BAKTERIA DARI MULUT MAMPU JADI PUNCA PENYAKIT KRONIK?


JIKA anda merasakan dengan menggosok gigi setiap hari sudah mencukupi untuk menjaga kesihatan mulut dan tubuh badan, anda silap.

Ia masih belum mampu menghalang bekteria di dalam mulut masuk ke saluran darah yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit kronik.

Penyakit kencing manis, kardiovaskular malahan risiko bayi lahir kurang berat badan antara kajian yang dilakukan para saintis dan doktor yang berpunca daripada masalah kesihatan mulut.

Kajian Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati lebih separuh daripada rakyat Malaysia merasakan mereka mempunyai tahap kesihatan mulut yang baik.

Hakikatnya daripada kaji selidik menunjukkan 98 peratus rakyat Malaysia kurang menjaga kesihatan mulut dengan 94 peratus daripada mereka berhadapan dengan masalah gusi.

Masalah gusi

Ramai yang tidak sedar masalah gusi yang dihadapi boleh membawa pelbagai kesan kepada kesihatan umum mereka, menurut doktor gigi, Dr Harlina Haron yang berpengalaman selama 25 tahun.

Penyakit gusi adalah titik permulaan kepada pelbagai komplikasi terutama risiko mendapat kencing manis.

Mulut yang menjadi takungan bakteria juga boleh menyebabkan ulser di perut selain turut dikaitkan untuk mendapat keradangan hati.

Kesan lain yang boleh menjejaskan kesihatan tubuh badan ia boleh menyebabkan peningkatan risiko pneumonia yang lebih tinggi dan akan memberi kesan kepada kelahiran bayi pra matang serta bayi yang dilahirkan kurang berat badan.

Semuanya berpunca daripada bakteria yang banyak di dalam mulut sekiranya gigi tidak dibersihkan dengan betul. Pembentukan plak pada gigi akan berlaku dalam masa yang cepat iaitu 20 minit selepas makan.

"Bakteria yang memasuki badan kita mengandungi protein beku yang dipercayai boleh menyumbat saluran darah dan arteri, yang berpotensi meningkatkan risiko strok dan penyakit jantung.

"Kerana itu diet pemakanan juga perlu dengan mengurangkan pengambilan makanan yang manis serta makanan snek," katanya ketika memberi penerangan tentang penjagaan kesihatan mulut yang betul bersempena Hari Kesihatan Mulut Sedunia yang disambut pada 20 Mac setiap tahun.

Tema pada tahun ini "Semuanya bermula di sini. Mulut Sihat, Tubuh Sihat" yang disertai lebih sejuta doktor gigi di seluruh dunia.

Kesihatan mulut bukan sekadar gigi sebaliknya merangkumi kesihatan gusi, lelangit keras dan lembut, lapisan permukaan mulut dan tekak, lidah, bibir, kelenjar air liur, otot mengunyah serta rahang bawah dan atas.

Apabila memiliki gigi dan gusi yang sihat, akan mengurangkan bekteria dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan keyakinan diri secara optimum.

Berus gigi dengan betul

Jutaan bakteria sentiasa wujud di dalam mulut dan membersihkan gigi dengan kerap serta mengurangkan penggambilan gula akan menghalang daripada pereputan dan kaviti gigi.

Jika tidak menggosok gigi dengan sempurna boleh menyebabkan masalah yang lebih serius seperti gingvitis, periodontitis dan akhirnya kehilangan gigi.

Untuk rekod sebanyak 7.3 peratus rakyat Malaysia telah kehilangan semua gigi semulajadi mereka.

Dr Harlina yang ditemui di klinik pergigiannya di Bangsar berkata 90 peratus masalah gigi berpunca daripada pengumpulan plak.

Penjagaan oral adalah wajib bagi semua orang yang ingin memperoleh kesihatan mulut yang baik. Caranya ialah dengan memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari.

Memberus gigi secara berkesan perlu bagi menyingkirkan sebanyak mungkin plak yang terkumpul selain melakukan flos sebagai satu-satunya cara menyingkirkan plak di kawasan yang sempit bagi menghalang masalah gusi peringkat awal.

Sekiranya tidak dilakukan dengan sempurna setiap hari akan meningkatkan risiko pereputan gigi termasuk tanda-tanda awal seperti gigi berlubang, kesakitan ketika mengigit dan rasa sensitif dan sakit pada gigi.

"Kajian mendapati mereka yang mempunyai masalah gusi atau periodontal yang kronik 40 peratus lebih tinggi berbanding mereka yang tidak mempunyai masalah tersebut.

"Tanda-tanda awal masalah gusi apabila memberus gigi, keluar darah. Jika keadaan berterusan setiap hari, elok bertemu dengan doktor gigi dengan segera bagi mendapatkan rawatan selanjutnya," katanya gigi membawa identiti diri setiap individu yang tidak akan sama dengan orang lain.

Tingkatkan kesedaran

Bersempana Hari Kesihatan Mulut Sedunia 2016, Philips bekerjasama dengan Persekutuan Pergigian Dunia (FDI) untuk meningkatkan kesedaran kepentingan kesihatan mulut.

Menurut Pengurus Philips Malaysia, Muhammad Ali Jaleel, memberus gigi dan flos bukan sekadar dapat memberikan senyuman yang manis dan nafas yang baik sebaliknya dapat meningkatkan kualiti kesihatan badan.

Bagi memperbaiki penjagaan kesihatan mulut, inovasi rangkaian produk kesihatan Oral Sonicare direka untuk membantu orang ramai tanpa perlu bersusah payah.

Menggunakan kuasa elektrik, berus gigi terbaharu Sonicare FlexCare dapat mengurangkan masalah gusi dan membuang 90 peratus kekotoran pada gigi.

Ia menyamai 31,000 kali memberus menggunakan berus gigi biasa pada setiap satu minit penggunaannya. Dicadangkan dua minit setiap kali penggunaan.


24/03/16

KANAK-KANAK BERISIKO HADAPI SAKIT BUAH PINGGANG DAN GINJAL?


KEGAGALAN buah pinggang atau ginjal antara penyakit yang boleh berlaku pada bila-bila masa dengan setiap peringkat usia termasuk kanak-kanak berisiko untuk mendapat penyakit tersebut.

Diklasifikasikan sebagai penyakit ‘senyap’ dan perlahan, penyakit buah pinggang boleh mengundang maut sekiranya pesakit tidak mendapatkan rawatan awal.

Menurut Pakar Perubatan dan Nephrologi, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr. Philip N. Jeremiah, kegagalan buah pinggang adalah penyakit yang perlu diberikan perhatian khusus kerana sekiranya tidak mendapatkan rawatan awal boleh menyebabkan pesakit ‘merana’ seumur hidup kerana terpaksa menjalani proses dialisis.

Beliau berkata, kegagalan buah pinggang bukan hanya berlaku pada orang dewasa, malah kanak-kanak turut berisiko tinggi untuk mendapat penyakit tersebut.

“Penyakit yang tidak mengenal jantina dan umur kerana semua individu tidak kira lelaki mahu pun perempuan, tua atau muda berisiko tinggi untuk menghidap penyakit ini.

“Oleh yang demikian setiap individu adalah dinasihatkan agar menitik beratkan kesihatan diri masing-masing dengan membuat pemeriksaan secara berkala untuk mengesan penyakit sekiranya ada.

“Dengan ini secara tidak langsung penyakit yang dihidapi akan dapat dirawat pada peringkat awal,” ujarnya ketika ditemui di kliniknya, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai penyakit tersebut dalam kalangan kanak-kanak, tutur Dr. Philip, menurut statistik di negara ini pada tahun 2013, seramai 32,000 hingga 33,000 pesakit menjalani rawatan dialisis dan daripada jumlah tersebut, 1,000 pesakit adalah terdiri daripada golongan kanak-kanak.

Katanya, kegagalan buah pinggang juga boleh berlaku kepada bayi semasa pembentukan fetus dalam kandungan dan tidak ketinggalan faktor keturunan merupakan antara punca penyakit buah pinggan ini berlaku kepada kanak-kanak.

Menyatakan bahawa 40 peratus penyebabnya tidak diketahui, Dr. Philip menjelaskan 23 peratus penghidapnya adalah disebabkan inflamasi dalam buah pinggang.

“Dalam kes ini, kanak-kanak juga boleh dilahirkan dengan buah pinggang yang tidak normal dan tidak berupaya berfungsi dengan betul.

“Ini mungkin berkaitan atau pun tidak berkaitan dengan sekatan saluran kencing dan sebab-sebab lain yang menyebabkan penyakit ini termasuklah pembalikan aliran air kencing ke dalam buah pinggang.

“Namun apa yang pasti, penyebab yang diketahui hanyalah disebabkan inflamasi dalam buah pinggang selain ia adalah diwarisi secara turun temurun dalam kalangan ahli keluarga,” ujarnya lagi.

Oleh itu, ibu bapa harus lebih prihatin dengan perkembangan serta tumbesaran anak masing-masing selain mengambil tindakan cepat apabila mereka (anak) mengalami bengkak terutamanya kawasan sekeliling mata atau pun kaki, kencing kotor atau berdarah, dan tidak ketinggalan mengalami tekanan darah tinggi.

Ini kerana apa yang dinyatakan tersebut merupakan tanda-tanda awal kegagalan buah pinggang dan sekiranya penyakit ini menjadi semakin teruk, ia akan menyebabkan kegagalan buah pinggang peringkat akhir yang memerlukan dialisis atau pun pembedahan pemindahan buah pinggang.

Kepada mereka yang menghidap penyakit diabetes, golongan ini juga perlulah berhati-hati kerana Dr. Philip memberitahu lebih daripada 10 peratus pesakit diabetes berkemungkinan menghidap masalah kegagalan buah pinggang.

Sementara itu, sempena Hari Buah Pinggang Sedunia yang disambut pada setiap Khamis minggu kedua bulan Mac, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri tidak ketinggalan akan menyambutnya pada 19 Mac ini.

Bertempat di kawasan permainan wad kanak-kanak, aras 6, orang ramai berpeluang mendengar ceramah ‘Penyakit Buah Pinggang dan Kanak-Kanak’ yang akan disampaikan oleh Pakar Buah Pinggang, Datuk Dr. Zaki Morad.

Pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak turut diadakan selain saringan kesihatan secara percuma kepada orang ramai.

23/02/16

KESAN NEGATIF TOKSIK BERLEBIHAN DALAM TUBUH KITA


Perut buncit? Diri pula mula lesu walaupun tidak melakukan kerja atau angkat bebanan berat? Ia mungkin petanda tubuh dipenuhi toksik atau racun disebabkan gaya hidup yang tidak sihat.

Sekurang-kurangnya itulah andaian pertama sebilangan pelatih kecergasan hipster yang mengatakan ia simptom awal kepada masalah toksik lalu mengesyorkan pengambilan pelbagai jenis jus, hidangan organik atau dalam kumpulan tertentu sebagai satu cara untuk menyahtoksikkannya.

Ia trend kesihatan yang semakin popular dalam kalangan masyarakat dunia. Rangkaian ‘juice bar’ atau gerai yang menjual jus buah-buahan dengan memasarkannya sebagai sumber detoksifikasi bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Di negara Barat ketika ini, pengambilan minuman atau hidangan detoksifikasi ini semakin popular dalam kalangan mereka yang giat menurunkan berat badan.

Pengambilan buah-buahan yang banyak sememangnya digalakkan sebagai sumber serat, namun ia tidak boleh dijadikan bahan tunggal untuk menyingkirkan toksik atau racun dalam badan.

Idea di sebalik detoksifikasi ini ialah membuang bahan toksik daripada tubuh lalu membantu kekal sihat. Namun jika sebelum ini kita biasa mengambil makanan dalam hidangan besar, bergoreng, bergula dan semuanya tidak seimbang, sudah pasti diri rasa lebih ringan apabila mula mengubah diet kepada sayuran serta buah-buahan.

Pada masa sama, mental kita juga mula mengatakan ia langkah yang baik untuk tubuh selepas melihat atau berasakan kesan ringan itu.

Bagaimanapun, detoksifikasi ialah amalan yang tidak disokong secara saintifik. Ia terlalu digembar-gemburkan hingga ramai percaya detoksifikasi ini amalan sihat dan terbaik untuk tubuh.

Wujud beberapa jenis diet atau amalan detoksifikasi dan yang paling popular ialah pengambilan jus tanpa bahan tambahan seperti gula atau mengekang pengambilan sesetengah jenis kumpulan makanan.

Alasannya, apabila diri diajar tidak mengambil sesetengah jenis kumpulan makanan atau sekadar mengamalkan diet cecair, sistem dalaman tubuh akan lebih bersih dan mengurangkan risiko penyakit.
Kesan negatif pada pesakit

Amalan detoksifikasi ini bukan saja tidak sesuai untuk mereka yang mengalami sesetengah masalah kesihatan, tetapi turut memberi kesan buruk kepada tubuh yang sihat,

Wujud mitos mengenai detoksifikasi dan ramai yang mempercayainya. Namun ia tidak disokong oleh doktor dan pakar nutrisi kerana memberi kesan negatif lain pada tubuh.

Apabila seseorang itu mengehadkan pengambilan sesetengah kumpulan makanan atau cuma mengamalkan buah-buahan dan sayuran, tubuh individu itu sebenarnya akan mengalami masalah kekurangan vitamin tertentu hingga merisikokannya dengan penyakit lain.

Secara asasnya, kita akan mudah berasa sakit jika tubuh benar-benar dipenuhi toksik. Jika pengambilan makanan dihadkan kerana mengamalkan detoksifikasi untuk tempoh lama, tubuh tidak mendapat kalori mencukupi lalu mengakibatkan penambahan bahan kimia dikenali ketones yang menguraikan lemak.

Untuk jangka masa panjang, bahan kimia ini boleh menyebabkan seseorang itu kerap loya dan mengalami penyahhidratan kronik. Itu belum lagi dikira tahap protein yang merosot hingga berupaya membuatkan tubuh menguraikan sendiri otot serta mengganggu sistem imunisasi.

Ada sesetengah amalan detoksifikasi seperti pembersihan atau ‘cucian’ usus boleh mendatangkan bahaya kerana menyebabkan kehilangan air dalam tubuh secara mendadak yang boleh membawa maut.

Diet detoksifikasi juga tidak membantu memperbaiki tahap tekanan darah atau kolesterol. Contohnya ia amat berbahaya bagi pesakit diabetes. Apa jua diet yang mengehadkan pengambilan kumpulan makanan tertentu boleh meningkatkan risiko kepada berlakunya tahap gula yang terlalu rendah.

Bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan pula, jangan terburu-buru untuk mengubah diet kepada detoksifikasi kerana kesannya yang boleh memudaratkan diri.

Ia tiada sokongan saintifik yang kukuh dan tidak disokong pengamal perubatan. Buah pinggang kita sendiri menjalankan tugas sebagai penyahtoksik dan bekerja setiap masa menerusi peluh dan najis.

Detoksifikasi atau mengamalkan satu kumpulan makanan saja hanya akan membuatkan merosotnya tenaga dan hilangnya nutrien penting dalam tubuh.

Ramai yang seronok melihat hasil detoksifikasi terutama bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan. Hakikatnya, penurunan berat badan itu disebabkan kehilangan air, glikogen (sel penyimpanan karbohidrat dalam tubuh) dan otot, bukannya lemak.

Kebanyakan program detoksifikasi juga tidak mampu bertahan lama. Apabila diri kembali ke tabiat pemakanan asal, berat badan akan bertambah semula.

Pendekatan konvensional seperti pengambilan makanan seimbang, senaman berterusan dan mengamalkan gaya hidup sihat amat digalakkan untuk memperoleh tahap kesihatan optimum.