Memaparkan catatan dengan label SAKIT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SAKIT. Papar semua catatan

14/11/16

NGERI LIHAT KETUMBUHAN BESAR DALAM BUAH PINGGANG


Doktor di sebuah hosptal di sini berjaya mengeluarkan ketumbuhan sebesar bola sepak dari buah pinggang seorang wanita dalam satu pembedahan baru-baru ini.

Wanita tempatan berusia 35 tahun itu sebelum ini menjalani beberapa siri imbasan dan pemeriksaan selepas mengadu berat badannya naik tiba-tiba.

Pemeriksaan itu mengesahkan dia mempunyai ketumbahan dalam organnya yang jika tidak dibuang boleh membawa maut.

Pakar bedah mulanya bercadang membuang seluruh buah pinggangnya, tetapi akhirnya mengambil keputusan menyelamatkan bahagian bawah organ itu.

Pembedahan selama enam jam itu berjaya dilakukan. Selain membuang ketumbuhan seberat hampir tujuh kilogram, doktor juga bertindak membuang tiga ketumbuhan kecil bagi mengelak ia tumbuh lebih besar.

Wanita itu menyedari berat badannya naik tiba-tiba sejak beberapa bulan lalu selain sakit perut. - Agensi

6/09/16

ADAKAH TAPAK KAKI ANDA NORMAL ATAU LUAR BIASA?


Setiap individu memiliki bentuk tapak kaki berbeza. Ada yang memiliki jenis tapak kaki melengkung, sederhana rata, rata sepenuhnya atau bengkok ke dalam.

Mungkin ramai yang tidak tahu jenis bentuk kaki masing-masing sehinggalah mula sakit dan tidak selesa yang akhirnya memaksa individu terbabit melakukan pemeriksaan kaki atau bertemu pakar perubatan.

Hakikatnya, individu yang memiliki tapak kaki sederhana rata, rata sepenuhnya dan bengkok ke dalam adalah individu mempunyai pelbagai masalah kaki. Manakala bagi mereka yang mempunyai tapak kaki melengkung tidak perlu risau kerana bentuk kaki jenis itu normal.

Menurut Pakar Orthotik Myortho Datuk Dr Edmund Lee, di negara ini kebiasaannya ramai individu yang mengalami masalah bentuk tapak kaki rata sepenuhnya.

Masalah itu disebabkan faktor keturunan, pemakaian kasut yang tidak sihat dan otot kaki tidak kuat.

“Individu yang mempunyai jenis tapak kaki rata sepenuhnya bakal berdepan masalah kesihatan apabila meningkat dewasa dan seterusnya ketika tua.

“Ini kerana jenis tapak kaki rata sepenuhnya ialah satu bentuk kecacatan kaki, namun jangan risau kerana kecacatan ini boleh diperbetulkan dan diatasi,” katanya.

Menurutnya, masalah terbabit boleh diperbetulkan sebelum individu terbabit berusia 14 tahun kerana ketika itu tulang masih lembut dan boleh dibentuk semula.

“Bagaimanapun, sekiranya masalah ini tidak diperbetulkan sehingga individu itu dewasa, mereka akan kekal dengan keadaan kaki itu selama-lamanya.

“Keadaan itu bukan saja memberi tekanan kerana perlu menanggung kesakitan dalam tempoh lama malah lebih membimbangkan apabila ia bakal memberi kesan negatif terutama kepada kesihatan individu itu,” ujarnya.

Normal atau luar biasa

Menurut Dr Lee, berdasarkan keadaan itu, ibu bapa atau golongan dewasa seharusnya memainkan peranan dengan bersikap lebih prihatin memantau perkembangan tapak kaki anak sama ada normal atau luar biasa kerana jenis atau kecacatan kaki hanya boleh dilihat selepas berusia lima tahun.

Mengenai komplikasi kesihatan bagi individu yang mempunyai tapak kaki rata sepenuhnya, Dr Edmund berkata, golongan itu akan mengalami masalah kesakitan seperti sakit pada tumit, tulang kering, tulang belakang, leher, lutut, postur badan yang tidak seimbang dan pergerakan jalan yang tidak cantik.

“Semua kesakitan akibat kecacatan itu hanya akan dirasai selepas individu terbabit meningkat dewasa kerana ia tidak terlihat ketika individu itu masih kanak-kanak.

“Lama-kelamaan individu terbabit akan berterusan berasa sakit kerana keadaan kaki akan bertambah teruk sekiranya ia tidak ditangani dengan betul,” katanya.

Tambahnya, kaki rata merujuk kepada keadaan gerbang atau lengkungan kaki tersentuh sepenuhnya atau hampir lengkap pada tanah ketika individu itu berdiri.

“Bagi individu yang memiliki tapak kaki rata, pemilihan kasut sangat penting dengan mengikut saiz kaki kerana sekiranya tidak dilakukan dengan betul, ia menyebabkan kesakitan serta berdepan dengan masalah penjajaran kaki.

“Individu yang mengalami masalah tapak kaki rata, ketika berjalan atau berdiri, beban tekanan dan lebihan tenaga akan tertumpu sepenuhnya kepada tapak kaki yang akan menyebabkan kaki berasa sakit,”ujarnya.

Selain itu, individu yang mengalami masalah tapak kaki rata sepenuhnya bakal menghadapi kesukaran untuk berjalan atau berdiri terlalu lama.

Kasut dan pelapik kasut sesuai

Menurut Dr Lee, kecacatan tapak kaki rata boleh diperbetulkan tanpa sebarang pembedahan, sebaliknya ditangani dengan penggunaan kasut atau pelapik kasut yang sesuai dengan kaki.

Bagaimanapun, katanya, tidak semua pelapik kasut sesuai dengan setiap orang kerana keperluan yang berbeza-beza.

“Majoriti masyarakat Malaysia cenderung memilih kasut tanpa mengukur kaki mereka terlebih dulu. Sebenarnya, apa yang mereka perlu lakukan adalah menyarungkan kaki terus ke dalam kasut.

“Apabila memilih kasut, jangan pilih kasut yang muat-muat dengan kaki dan pilihlah saiz longgar sedikit, sekurang-kurangnya lebihkan dua jari pada bahagian hadapan kasut supaya jari-jemari kaki tidak tersekat serta boleh digerakkan,” katanya.

Dia turut memberi panduan supaya mencuba kasut dengan kaki kanan terlebih dahulu kerana kaki kanan lebih besar saiznya daripada kaki kiri ketika membeli kasut.

“Salah satu faktor terjadinya masalah tapak kaki rata sepenuhnya ialah pemakaian kasut yang tapaknya terlalu lembut.

“Oleh itu, mereka yang mengalami masalah kaki digalakkan bertemu dengan pakar ortotik bagi menjalani rawatan manakala kesedaran mengenai penjagaan kaki dari awal amat penting supaya tidak memudaratkan,”ujarnya.

24/03/16

KANAK-KANAK BERISIKO HADAPI SAKIT BUAH PINGGANG DAN GINJAL?


KEGAGALAN buah pinggang atau ginjal antara penyakit yang boleh berlaku pada bila-bila masa dengan setiap peringkat usia termasuk kanak-kanak berisiko untuk mendapat penyakit tersebut.

Diklasifikasikan sebagai penyakit ‘senyap’ dan perlahan, penyakit buah pinggang boleh mengundang maut sekiranya pesakit tidak mendapatkan rawatan awal.

Menurut Pakar Perubatan dan Nephrologi, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr. Philip N. Jeremiah, kegagalan buah pinggang adalah penyakit yang perlu diberikan perhatian khusus kerana sekiranya tidak mendapatkan rawatan awal boleh menyebabkan pesakit ‘merana’ seumur hidup kerana terpaksa menjalani proses dialisis.

Beliau berkata, kegagalan buah pinggang bukan hanya berlaku pada orang dewasa, malah kanak-kanak turut berisiko tinggi untuk mendapat penyakit tersebut.

“Penyakit yang tidak mengenal jantina dan umur kerana semua individu tidak kira lelaki mahu pun perempuan, tua atau muda berisiko tinggi untuk menghidap penyakit ini.

“Oleh yang demikian setiap individu adalah dinasihatkan agar menitik beratkan kesihatan diri masing-masing dengan membuat pemeriksaan secara berkala untuk mengesan penyakit sekiranya ada.

“Dengan ini secara tidak langsung penyakit yang dihidapi akan dapat dirawat pada peringkat awal,” ujarnya ketika ditemui di kliniknya, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai penyakit tersebut dalam kalangan kanak-kanak, tutur Dr. Philip, menurut statistik di negara ini pada tahun 2013, seramai 32,000 hingga 33,000 pesakit menjalani rawatan dialisis dan daripada jumlah tersebut, 1,000 pesakit adalah terdiri daripada golongan kanak-kanak.

Katanya, kegagalan buah pinggang juga boleh berlaku kepada bayi semasa pembentukan fetus dalam kandungan dan tidak ketinggalan faktor keturunan merupakan antara punca penyakit buah pinggan ini berlaku kepada kanak-kanak.

Menyatakan bahawa 40 peratus penyebabnya tidak diketahui, Dr. Philip menjelaskan 23 peratus penghidapnya adalah disebabkan inflamasi dalam buah pinggang.

“Dalam kes ini, kanak-kanak juga boleh dilahirkan dengan buah pinggang yang tidak normal dan tidak berupaya berfungsi dengan betul.

“Ini mungkin berkaitan atau pun tidak berkaitan dengan sekatan saluran kencing dan sebab-sebab lain yang menyebabkan penyakit ini termasuklah pembalikan aliran air kencing ke dalam buah pinggang.

“Namun apa yang pasti, penyebab yang diketahui hanyalah disebabkan inflamasi dalam buah pinggang selain ia adalah diwarisi secara turun temurun dalam kalangan ahli keluarga,” ujarnya lagi.

Oleh itu, ibu bapa harus lebih prihatin dengan perkembangan serta tumbesaran anak masing-masing selain mengambil tindakan cepat apabila mereka (anak) mengalami bengkak terutamanya kawasan sekeliling mata atau pun kaki, kencing kotor atau berdarah, dan tidak ketinggalan mengalami tekanan darah tinggi.

Ini kerana apa yang dinyatakan tersebut merupakan tanda-tanda awal kegagalan buah pinggang dan sekiranya penyakit ini menjadi semakin teruk, ia akan menyebabkan kegagalan buah pinggang peringkat akhir yang memerlukan dialisis atau pun pembedahan pemindahan buah pinggang.

Kepada mereka yang menghidap penyakit diabetes, golongan ini juga perlulah berhati-hati kerana Dr. Philip memberitahu lebih daripada 10 peratus pesakit diabetes berkemungkinan menghidap masalah kegagalan buah pinggang.

Sementara itu, sempena Hari Buah Pinggang Sedunia yang disambut pada setiap Khamis minggu kedua bulan Mac, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri tidak ketinggalan akan menyambutnya pada 19 Mac ini.

Bertempat di kawasan permainan wad kanak-kanak, aras 6, orang ramai berpeluang mendengar ceramah ‘Penyakit Buah Pinggang dan Kanak-Kanak’ yang akan disampaikan oleh Pakar Buah Pinggang, Datuk Dr. Zaki Morad.

Pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak turut diadakan selain saringan kesihatan secara percuma kepada orang ramai.

15/04/15

JANGKITAN BENGUK PADA KANAK-KANAK


Rasa perit, tidak selesa, sakit ketika menelan air liur dan mengunyah, sakit di bahagian telinga dan leher serta ada kalanya menyebabkan sakit kepala akibat bengkak yang berlaku di belakang telinga sehingga ke dagu.

Itu antara kesakitan yang terpaksa ditanggung individu yang dijangkiti beguk (mumps) yang disebabkan oleh kuman paramyxoviridae daripada virus genus rubula yang lazimnya menyerang di bahagian kelenjar air liur terutama kelenjar parotid.

Biasanya beguk menyerang golongan dewasa, namun kanak-kanak juga tidak terlepas dari serangan virus tersebut akibat jangkitan daripada orang dewasa sama ada melalui sentuhan, batuk atau bersin mahupun percikan air liur penghidap.

Pun begitu, sejak vaksin diperkenalkan, kanak-kanak kurang berisiko dijangkiti beguk, namun kegagalan mereka mendapat suntikan ulangan vaksin pencegahan jangkitan itu menyebabkan mereka mudah dijangkiti virus berkenaan apabila meningkat usia.

Menurut Perunding Kanak-kanak Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr. Nor Mahani Harun, beguk bukanlah satu virus yang berbahaya kepada mereka, namun memberi rasa tidak selesa kepada kanak-kanak terutamanya boleh menyebabkan selera makan mereka berkurangan.

Ini kerana katanya, keadaan itu boleh berlaku apabila jangkitan virus berkenaan menyebabkan mereka sukar untuk mengunyah makanan akibat bengkak di bahagian leher dan telinga selain daripada sukar menelan makanan.

“Mereka yang kena beguk, sebenarnya telah dijangkiti virus tersebut sekitar seminggu sebelum bengkak di leher kelihatan lazimnya sekitar 10 hingga 12 hari.

“Antara tanda-tanda mereka telah diserang termasuklah sakit kepala, hilang selera makan, letih dan demam. Ibu bapa yang menyedari anak-anak mereka mempunyai tanda seperti ini perlu bawa anak mereka ke klinik untuk mendapatkan rawatan dengan segera selain perlu mengasingkan mereka agar virus itu tidak berjangkit dengan orang lain.

“Bagi mengelakkan kesakitan yang lebih teruk, elakkan memberi makan makanan yang masam atau yang keras. Beri makanan lembut seperti bubur atau mi sup kerana lebih mudah ditelan,” katanya.

Tambah beliau lagi, bagi mengelakkan kanak-kanak dijangkiti beguk, suntikan vaksin ulangan perlu diberikan ketika umur mereka mencecah empat hingga lima tahun.

“Pada usia kanak-kanak setahun vaksin ini perlu diberi dan diulang sebagai tambahan pada usia lima tahun, kegagalan mereka mendapat imunisasi tersebut boleh menyebabkan kanak-kanak dijangkiti virus itu,” jelas beliau.

Lazimnya jika terkena beguk, ibu-ibu sering menggunakan rawatan tradisional seperti menyapukan nila di bahagian yang terkena beguk tersebut.

Tidak dinafikan rawatan tradisional itu berkesan, jelas Dr. Nor Mahani, tiada salahnya menggunakan kaedah turun-temurun berkenaan kerana fungsinya adalah untuk menyejukkan bengkak.

“Kita boleh menggunakan apa sahaja cara yang tidak memudaratkan untuk menyejukkan kawasan yang dijangkiti kerana dengan secara tidak langsung ianya dapat mengurangkan kesakitan.

“Secara perubatan tiada rawatan spesifik , rawatannya adalah untuk mengurangkan sakit iaitu dengan memberi ubat bagi mengurangkan bengkak,mengurangkan sakit dan menyembuhkan demam.

“Kita tidak akan memberikan antibiotik kecuali jika ada bakteria atau virus lain di kawasan jangkitan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, kanak-kanak yang dijangkiti beguk kurang mengalami komplikasi kepada penyakit yang lain, namun virus yang menyerang kelenjar air liur itu boleh menyebabkan berlakunya masalah kepada pendengaran jika tidak dirawat dengan segera.

“Biasanya untuk tempoh tertentu, pendengaran kanak-kanak yang dijangkiti beguk akan mengalami masalah, namun biasanya selepas beguk hilang, pendengaran akan kembali pulih.

“Namun, jika beguk menyerang orang dewasa, penghidap perlu lebih berhati-hati kerana beguk boleh menyebabkan beberapa masalah lain seperti meningitis (radang lapisan otak), pankreatitis (radang pankreas), orkitis (radang testis) dan ensefalitis (radang otak),” katanya.

Beliau turut mengingatkan, ibu yang menyusukan bayi juga boleh memberi jangkitan beguk kepada bayi, iaitu melalui percikan air liur atau kurangnya penjagaan kebersihan ketika menguruskan bayi berkenaan.

Oleh itu, mereka dinasihatkan agar memakai penutup mulut dan hidung ketika menyusukan anak bagi mengelakkan risiko beguk menjangkiti anak mereka.

“Beguk memang tidak kelihatan berbahaya, tetapi kanak-kanak yang diserang beguk boleh menyebabkan mereka menjadi lemah, malah terpaksa menahan kesakitan yang sama seperti ditanggung oleh orang dewasa.

“Justeru, ibu bapa tidak boleh mengambil mudah tentang masalah beguk kerana dibimbangkan membawa kepada masalah lain,” ujarnya.

24/11/14

APA ITU "CMPA" DARI SUSU LEMBU?

Jangan ambil mudah sekiranya anak anda sering mengalami muntah atau cirit-birit selepas diberi rumusan susu kanak-kanak kerana ia mungkin disebabkan masalah alahan makanan terhadap protein susu lembu (CMPA).


CMPA ialah satu tindak balas luar biasa yang berlaku apabila tubuh terdedah kepada protein susu lembu.

Tindak balas ini dicetuskan oleh sistem imunisasi tubuh hingga boleh mempengaruhi pelbagai bahagian dalam tubuh seperti kulit, paru-paru dan usus.

Namun, ramai yang menganggap alahan bukan satu penyakit serius yang perlu dirawat dengan segera sedangkan jika dibiarkan, ia boleh memudaratkan kesihatan si kecil.

Simptom CMPA boleh berlaku beberapa minit selepas susu diminum bermula dengan keradangan kulit, masalah penghadaman dan mungkin juga mengakibatkan tindak balas alahan lebih teruk iaitu anafilaksis.

Anafilaksis adalah reaksi alergi teruk berbahaya kerana ia terjadi secara tiba-tiba dan boleh membahayakan nyawa anak.

Menurut pakar perunding pediatrik, Dr Chin Wai Seong, CMPA ialah alahan makanan paling lazim yang berlaku pada kanak-kanak.

Dianggarkan lima hingga lapan peratus kanak-kanak mengalami reaksi alahan terhadap susu lembu di seluruh dunia.

"Masalah CMPA boleh menyebabkan kanak-kanak berdepan gejala ruam, gegata atau urtikaria (bintat merah dan gatal) dan ekzema pada kulit.

"Selain itu, ia juga boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami muntah, cirit-birit, susut berat badan, hidung berair, bersin dan nafas menjadi kasar," katanya.

Dr Chin berkata, alahan itu berlaku kerana sistem usus kanak-kanak kurang matang dan ia boleh menyebabkan protein susu lembu meresap ke dalam saluran darah. Secara tidak langsung, ia menyebabkan sistem imunisasi menghasilkan antibodi dan mengakibatkan alahan.

Menurutnya, masalah paling sukar untuk diatasi apabila anak mengalami CMPA adalah pengesanan awal.

Kebanyakan kanak-kanak yang mengalaminya juga mempunyai ekzema dan ada yang akan terus alah terhadap sesetengah makanan.

"Dalam hal ini, sebenarnya masih ramai ibu bapa yang tersalah anggap bahawa CMPA sama dengan masalah ketidaktoleransi laktosa sedangkan ia tidak benar sama sekali.

"Ini kerana masalah ketidaktoleransi laktosa terjadi kerana ketiadaan enzim laktase untuk mencerna gula (laktosa) dalam susu.

"Justeru, sebaik saja mengesan ada yang tidak kena kepada anak terutama selepas menyusu, ambil langkah segera dengan merujuk kepada pegawai perubatan," katanya.

Bagi membantu mengatasi masalah kesihatan disebabkan alahan berkenaan, Dr Chin menasihati ibu bapa supaya mengelakkan susu lembu daripada amalan pemakanan anak mereka.

Perkara itu mudah dilakukan pada kanak-kanak tetapi bagi kanak-kanak yang besar, ibu bapa mestilah mengenal pasti makanan yang mengandungi protein susu lembu.

"Sebaiknya ibu perlu mengelak daripada memberi anak mereka makan makanan yang mengandungi susu lembu dalam diet harian.

"Susu pula boleh digantikan dengan susu berasaskan soya yang turut mengandungi kandungan nutrisi penting untuk tumbesaran kanak-kanak," katanya.

Sementara itu, Dr Chin turut menyarankan ibu bapa membaca label makanan dengan teliti sebelum membeli kerana ia mungkin mengandungi kandungan berasaskan susu lembu.

Ini kerana masalah alahan walaupun bukan seumur hidup, biasanya akan hanya dapat diatasi selepas usia anak melewati tiga hingga empat tahun.

"Bagaimanapun, ada kes yang mana masalah alahan berkenaan berterusan sehingga usia 18 tahun," katanya.

Sebagai panduan, bagi ibu bapa yang mempunyai anak mengalami CMPA, susu berasaskan soya seperti Isomil Plus adalah gantian untuk susu rumusan biasa.

A. Simptom utama alahan protein susu lembu (CMPA)

Gangguan sistem usus:
> Loya, sakit perut
> Muntah selepas minum susu
> Cirit-birit
> Sembelit
> Darah dalam najis

Gangguan pada kulit:
> Ekzema/ruam
> bengkak kulit

Gangguan sistem pernafasan:
> selesema atau resdung
> lelah

Berat badan yang tidak naik dan perkembangan yang terbantut.

B. Jenis makanan yang perlu dielak
> Semua jenis susu atau makanan mengandungi protein susu lembu (susu skim, tepung, pepejal atau sejat).
> Keju, dadih keju, dadih dan aiskrim.
> Mentega, mentega susu atau marjerin yang mengandungi susu.
> Produk soya yang mengandungi protein susu lembu. Kebanyakan produk soya di pasaran seperti manisan soya mengandungi sedikit susu lembu. Jadi, pastikan anda membaca label sebelum membeli.
> Bijirin campur mengandungi susu tepung.
> Semua produk mengandungi kasein, kaseinate, natrium atau kalsium kaseinate, laktalbumin atau dadih. Ia menandakan kehadiran protein susu.
> Susu bebas laktosa. Walaupun anak anda alah pada susu lembu, kajian menunjukkan kanak-kanak jarang mengalami masalah apabila makan daging lembu. Jadi anda boleh menambah daging ke dalam diet kanak-kanak.

25/10/14

KESIHATAN - PUNCA-PUNCA PEMBENGKAKAN TESTIS

NASIHAT KESIHATAN DAN PERKONGSIAN ILMU

Struktur di dalam kantung buah zakar amat kompleks. Bukan buah zakar atau testis saja terletak dalam kantung berkenaan, struktur salur darah dan saluran tiub pembiakan lelaki juga terdapat dalam kerandut itu.

Bengkak yang berlaku pada kerandut ialah perkara yang luar biasa dan memerlukan rawatan segera. Kebanyakan pesakit hanya menerima rawatan pesakit luar disebabkan oleh bengkak kerandut tidak berbahaya dan senang dirawat.

Ada kalanya, rawatan pembedahan kecemasan perlu dilakukan untuk mengelak risiko kerosakan buah zakar. Bengkak ini boleh terjadi kepada mana-mana lelaki semua peringkat umur.

Antara sebab biasa berlakunya bengkak kerandut ialah angin pasang atau hernia. Dalam kebanyakan kes, bengkak itu tidaklah berbahaya dan tidak sakit. Akan tetapi, jika hernia berpintal, pesakit akan mengalami bengkak dan sakit pada karung kerandut. Jika ini berlaku, rawatan pembedahan kecemasan perlu dilakukan untuk mengelakkan masalah yang tidak diingini.

Jangkitan kuman juga boleh berlaku pada struktur di dalam kantung kerandut. Buah zakar dan juga selaput di atas buah zakar iaitu epidydimis boleh mendapat radang dan jangkitan kuman. Jangkitan kuman biasanya berlaku pada mereka yang mengamalkan seks bebas dan kerap bertukar pasangan.
Kuman diperoleh daripada pasangan yang memasuki kantung berkenaan melalui saluran kencing. Biasanya pesakit mengalami bengkak dan sakit dalam kantung itu.

Biasanya ia dimulai dengan rasa pedih ketika kencing dan terdapat cecair keputihan keluar melalui saluran kencing. Untuk kes sebegini, pesakit memerlukan rawatan antibiotik dan juga ubat penahan sakit.

Kanser buah zakar pula biasanya tidak sakit. Pesakit dapat berasakan buah zakar mereka membengkak dan lama-kelamaan bengkak itu menjadi keras. Biasanya kanser buah zakar berlaku pada salah satu buah zakar saja dan kanser ini satu-satunya yang mempunyai kadar kematian paling rendah.

Ia perlu dirawat segera untuk mengelakkan kanser berkenaan merebak. Pembedahan disusuli rawatan kemoterapi dan radioterapi akan dipertimbangkan oleh pakar yang merawat.

Cecair juga boleh terkumpul di dalam buah zakar. Bengkak pada kerandut tidak menyakitkan tetapi pesakit akan berasa tidak selesa dan senak terutamanya pada bahagian pinggang.

Keadaan ini dipanggil Hydrocoele. Pesakit boleh rasa seolah-oloh terdapat belon air di dalam kantung itu. Bagi kanak-kanak, biasanya tiada rawatan aktif untuk kes seperti ini.

Pesakit akan dipantau di rumah dan selalunya surut dengan sendiri sedikit demi sedikit. Bagi pesakit dewasa pula, kebanyakannya perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan cecair itu.

Bengkak juga boleh disebabkan saluran darah yang terdapat dalam kantung berkenaan. Bengkak ini tidak sakit dan juga berlaku hanya pada bahagian atas buah zakar.

Biasanya, pemeriksaan klinikal boleh membezakan penyebab bengkak kerandut. Namun, untuk mengesahkan diagnosis tersebut, ujian ultrasound boleh dilakukan. Ianya dapat membantu pilihan rawatan yang bakal dilakukan. Ujian darah dan juga ujian air kencing jarang dilakukan. Ianya dapat membantu bagi kes yang disebabkan oleh jangkitan kuman.

Biasanya bengkak atau masalah-masalah yang menyebabkan bengkak pada kerandut tidak mengakibatkan kemandulan. Pembedahan membuang salah satu buah zakar juga tidak mengakibatkan kemandulan. Ini kerana buah zakar sebelah lagi masih mampu menghasilkan jumlah sperma untuk pembiakan lelaki.