Memaparkan catatan dengan label GEJALA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label GEJALA. Papar semua catatan

15/07/18

RISIKO TERKENA JANGKITAN KUMAN JIKA MANDI TERLALU LAMA


Mandi dalam keadaan berpeluh selepas melakukan pelbagai aktiviti harian membantu memberi kesegaran pada permukaan kulit. Mandi juga mengurangkan risiko menghadapi penyakit bawaan kuman dan bakteria.

Namun kajian Pusat Sains Genetik di Universiti Utah, Amerika Syarikat (AS) mendapati tabiat membersihkan diri secara keterlaluan boleh merosakkan mikrob sihat yang baik hidup dalam tubuh.

Untuk pengetahuan, mikrob perlu dikekalkan dalam ekosistem tubuh sebagai perlindungan bagi sistem imun, pencernaan dan jantung.

Pakar Dermatologi dari Metairie, Louisiana AS, Dr Patricia Farris berkata, apabila umur meningkat, kelenjar minyak lebih terbuka menjadikan kelembapan kulit lebih cepat hilang.

Beliau menyarankan individu tidak mandi terlalu lama iaitu melebihi 10 minit agar kerosakan pada kulit dan rambut tidak berlaku.

Berikut disenaraikan 10 tabiat perlu dikikis ketika membersihkan diri;

1. Culas gosok kaki

Saranan kepada individu melakukan aktiviti menggosok badan termasuk membersihkan dan mengeringkan kaki setiap hari.

Gunakan sabun lembut dan perlu membasuh di celah ibu jari. Tabiat ini membantu mengurangkan bau kaki selain merendahkan risiko jangkitan kulat.

2. Letak span basah di dalam bilik air

Menurut pakar dermatologi antarabangsa tabiat meninggalkan span basah di dalam bilik air boleh menggalakkan pembiakan bakteria yang terus hidup di sel kulit mati yang ada pada span berkenaan.

Kulit mati adalah makanan bakteria apatah lagi dengan suhu lembap meningkatkan kadar pembiakannya. Sebaik-baiknya gantung dan keringkan bagi mencegah jangkitan bakteria.

3. Lap kulit dengan tuala kasar

Mengesat badan dengan tuala yang kasar boleh menjejaskan tekstur kulit yang lembut dan menyebabkan pengelupasan. Cara terbaik mengelap badan dengan lembut menggunakan tuala yang gebu.

4. Terlalu kerap guna sabun dan syampu

Tidak sah mandi kalau tidak meratakan sabun ke seluruh badan. Tidak puas juga rasanya jika tidak mencuci rambut dengan syampu kegemaran. Namun sedarkah anda mandi terlalu kerap dan lama boleh menyebabkan kulit kehilangan kelembapannya, apatah lagi jika mandi air suam. Inilah sebabnya juga, kebanyakan portal kesihatan menyarankan penggunaan mandian bersifat organik dan kurang buih.

Walaupun ada orang mencuci rambut setiap hari, ramai pakar penjagaan kecantikan menyarankan supaya hadkan kepada dua kali seminggu bagi mengekalkan pengeluaran minyak semula jadi yang dapat mengembalikan kelembapan kulit.

5. Elak mandi air sejuk

Mandi air panas membantu menenangkan diri. Namun sentuhan air sejuk tidak boleh dinafikan sebagai terapi yang baik bagi tubuh.

Dalam satu kajian mendapati siraman air sejuk pada bilasan akhir yang dikenakan selama 30 saat pada tubuh membantu memperbaiki toleransi terhadap stres, menguatkan sistem imun, meningkatkan pembakaran lemak dan ada kesan antikemurungan.

6. Kerap bungkus rambut

Meskipun tiada kajian merekodkan tabiat membungkus rambut dengan tuala boleh menyebabkan botak, tetapi ia mengakibatkan tekanan dan kerosakan pada akar rambut. Memadai mengelap lembut rambut selain membelai hujung rambut. Kemudian dibiarkan kering dengan semula jadi.

7/02/17

APA ITU RADANG SENDI?


Artritis atau radang sendi adalah gejala kepada lebih 100 penyakit berkaitan sendi seperti artritis reumatoid, osteoartritis, gout dan artritis psoriatik.

Namun, artritis reumatoid adalah radang sendi paling serius dan biasa dialami. Gejalanya termasuk keradangan dan pembengkakan tisu lembut di beberapa sendi pada masa yang sama. Ia adalah gangguan pada autoimun mengakibatkan sistem imun yang dikawal mula menyerang sendi dan tisu yang bertindak sebagai pelapik dan pelincir sendi meradang.

Perunding Pakar Reumatologi Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Chow Sook Khuan berkata secara dasarnya artritis reumatoid boleh menyerang semua peringkat usia termasuk kanak-kanak, tetapi ia biasanya berlaku dalam lingkungan usia 30 tahun ke atas dan golongan wanita berisiko tiga hingga empat kali ganda mengalaminya berbanding lelaki.

“Simptom utama yang ditunjukkan seperti sakit, bengkak dan kejang pada sendi di tangan, pergelangan tangan, siku, kaki, tumit, lutut atau leher. Jika sendi pada sebelah badan terjejas, biasanya sebelah badan lagi turut akan terjejas sama.

“Kesakitan akibat artritis reumatoid biasanya lebih teruk pada waktu pagi dibandingkan kesakitan klasik akibat osteoartritis yang lebih teruk sepanjang hari, malah kekejangan pada waktu pagi selalunya berlangsung lebih sejam,” katanya.

Menurutnya, penyakit ini tiada penawarnya dan diagnosis bagi artritis reumatoid yang dilakukan di peringkat awal boleh menentukan jenis rawatan berikutan kira-kira 80 peratus sendi akan rosak dalam tempoh dua tahun jika penyakit terbabit dibiarkan tanpa rawatan wajar.

“Pakar reumatologi biasanya akan menggunakan kombinasi rawatan untuk menyingkirkan kesakitan dengan lebih cekap, meningkatkan keupayaan fungsi dan mencegah kerosakan sendi. Pesakit juga akan disyorkan mengambil ubat antireumatik (DMARDs) sebaik saja reumatoid artritis dikesan dan ubat berkenaan boleh dibahagikan kepada agen xenobiotik dan agen biologikal.

“Xenobiotik yang juga ubatan DMARDs konvensional tidak bertindak secara semula jadi dalam badan seperti biologikal. Walaupun ia terbukti memperlahankan aktiviti artritis reumatoid tetapi turut mempunyai kelemahan apabila ia mungkin tidak berkesan kepada 20 hingga 30 peratus pesakit.

“Kerosakan sendi halus masih berlaku walaupun ada penyembuhan klinikal. Kumpulan ubat ini juga boleh menyebabkan kesan sampingan tertentu yang memerlukan pengawasan,” katanya.

Dr Chow berkata, ubat dalam kumpulan biologikal seperti penghalang faktor tumor nekrosis (TNF) alfa terbukti mampu menghalang aktiviti artritis reumatoid, mencegah kecacatan sendi dan meningkatkan fungsi sendi serta kualiti hidup.

“Ada juga ubatan biologik lain terbukti untuk pengurusan penyakit ini seperti penghalang sel B dan penghalang Interleukin 6. Semua jenis terapi ini mampu memberikan harapan kepada pesakit yang menderita radang sendi sedemikian.

“Ini kerana, amat sukar bagi pesakit meneruskan kehidupan mereka dengan menderita penyakit kronik seperti artritis reumatoid yang mengehadkan keupayaan bergerak walaupun tugasan paling ringan,” katanya.

Menurutnya, walaupun artritis reumatoid adalah penyakit kronik tetapi ia boleh dirawat dan dengan terapi yang bersesuaian pesakit boleh dipulihkan terutama apabila penyakit dikesan di peringkat awal.

7/07/15

JANGAN AMBIL RINGAN GEJALA SEMBELIT


Hampir semua orang pernah mengalami masalah sembelit pada waktu tertentu. Ia mungkin berpunca daripada kesan perjalanan jauh disebabkan urusan kerja mahupun bercuti, tekanan, kekurangan serat dalam diet, senaman atau pelbagai akibat lain.

Statistik menunjukkan 12 hingga 19 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah sembelit. Walaupun sembelit adalah masalah biasa yang dialami keba­nyakan orang, ia kurang diambil perhatian dengan menjalani rawatan sepatutnya bagi mengelakkan masalah berkenaan berulang.

Gejala sembelit
Menurut wakil Hal Ehwal Perubatan Bahagian Penjagaan Kesihatan Asia Tenggara dan Korea Selatan SEASK Boehringer Ingelheim Dr Sunita Derksen, sembelit adalah satu gejala dan bukan penyakit.

“Ia berlaku apabila individu itu mengalami kesukaran atau kekerapan membuang air besar yang berkurangan. Setiap orang pernah mengalami sembelit dalam kehidupan mereka dan selalunya ia disebabkan amalan pemakanan yang kurang baik.

“Ketika makanan bergerak menerusi kolon, ia akan menyerap air ­daripada makanan yang diambil ketika membentuk bahan buangan atau najis.

“Pengecutan otot pada kolon akan menolak najis ke rektum (bahagian akhir pada usus besar). Selepas najis sampai ke rektum, ia menjadi keras kerana kebanyakan air sudah diserap,” katanya.

Sembelit berlaku apabila kolon menyerap terlalu banyak air atau jika otot kolon mengecut secara perlahan atau lembap menyebabkan najis bergerak terlalu perlahan.

Akibatnya, najis menjadi keras dan kering. Sembelit boleh berlaku disebabkan kekurangan serat dalam diet dan aktiviti fizikal terutama dalam kalangan warga tua.

Selain itu, ia juga boleh disebabkan sindrom gang­guan ketika pembuangan air besar, perubahan dalam kehidupan rutin seperti mengandung, penuaan dan pengembaraan serta gemar menahan membuang air besar.

Sembelit yang berpanjangan dan serius mungkin boleh menyebabkan buasir yang disebabkan kekerapan menahan untuk membuang air besar atau anal fissures (koyakan pada kulit di sekeliling anus).

Ia berlaku disebabkan najis yang keras meregangkan otot sphincter. Kesannya, pendarahan rektum mungkin berlaku yang menyebabkan darah kelihatan di permukaan najis.

Biarpun sembelit dianggap masalah biasa yang berlaku dalam kalangan kebanyakan orang, ia kurang diambil perhatian kerana terdapat mitos dan salah faham mengenai masalah berkenaan.

“Ini termasuk salah faham mengenai penggunaan ubat laksatif. Satu kajian baru-baru ini ditaja oleh Dulcolax, menunjukkan bahawa mitos ini tidak berasaskan bukti.

“Terdapat banyak mitos mengenai penggunaan laksatif termasuk kepercayaan bahawa ia boleh mengakibatkan ketagihan. Tiada asas kukuh dari segi farmasi mengenai ­ketagihan laksatif walaupun kadang kala ia mungkin disalahgunakan,” katanya.

Rawatan mudah
Sementara itu, Ketua Penjagaan Kesihatan ­Peng­guna Malaysia dan Singapura Boehringer Ingelheim Carmenza Alarcon berkata, laksatif membantu mempercepatkan pergerakan bahan buangan (najis).

“Pada masa sama, ia turut membantu merangsang otot usus dan melembutkan bahan buangan di dalam usus sekali gus melancarkan proses pembuangan.

“Pengambilan tablet yang lembut pada perut hanya bertindak apabila diperlukan selain membantu memberi kelegaan ketika mengalami masalah sembelit,” katanya.

Turut hadir pada sesi bual bicara berkenaan, pelakon tempatan, Yasmin Hani dan pakar kecergasan serta kesihatan, Kevin Zahri.

Untuk mendapatkan panduan berguna mengenai gejala sembelit, layari https://www.myconstipationrelief.com.my.

Fakta:
Dalam banyak kes, terdapat panduan mudah yang boleh membantu mengurang­kan masalah sembelit seperti:

- Makan pelbagai jenis makanan. Makan banyak kekacang, bijirin penuh, buah segar dan sayuran.

- Minum banyak air.

- Lakukan senaman secara berkala.

- Jangan menahan atau menangguhkan jika mahu membuang air besar.

- Tabiat membuang air besar yang normal adalah berbeza mengikut individu.

- Sekiranya tabiat membuang air besar berubah, dapatkan pemeriksaan doktor.

Mitos mengenai laksatif dan sembelit
1. Mitos: Makanan kaya serat dapat mencegah sembelit.
Fakta: Kadangkala tabiat pemakanan yang kaya serat dapat membantu mencegah sembelit untuk individu sihat.Namun, peningkatan pengambilan serat boleh memburukkan keadaan bagi individu
yang mengalami sembelit serius.

2. Mitos: Peningkatan pengambilan cecair dapat melegakan sembelit.
Fakta: Tiada bukti yang menunjukkan pengambilan cecair yang tinggi dapat merawat sembelit kecuali untuk kes sembelit yang disebabkan penyahhidrasi yang serius.

3. Mitos: Kurang bersenam boleh menyebabkan sembelit.
Fakta: (Kadangkala) Walaupun gaya hidup kurang aktif boleh menyebabkan atau memburukkan sembelit dalam kalangan warga tua, ada faktor lain yang turut ­menyumbang kepada masalah berkenaan seperti ubat dan tabiat pemakanan.

4. Mitos: Wanita kerap mengalami sembelit sebelum mengalami kitaran haid.
Fakta: (Kadangkala) Hormon berperanan kecil dalam masalah sembelit, namun bagi sesetengah wanita kekerapan ­untuk ke tandas dipengaruhi kitaran haid mereka.

5. Fakta: Wanita hamil kerap mengalami sembelit. Ini disebabkan hormon kehamilan yang boleh mengurangkan kelajuan pergerakan makanan dan sisa dalam usus sekali gus menyebabkan sembelit.

6. Mitos: Ubat julap membantu dalam penurunan berat badan.
Fakta: Mengambil ubat julap tanpa keperluan hanya akan mengakibatkan badan kehilangan cecair dan garam.

7. Mitos: Bergantung kepada ubat julap adalah satu kemungkinan.
Fakta: Walaupun sesetengah invidiu yang mengalami sembelit kronik kerap memerlukan ubat julap untuk membantu melancarkan pembuangan najis, tiada kemungkinan pengambilan dos yang disyorkan boleh menyebabkan ketagihan.

25/10/14

KESIHATAN - PUNCA-PUNCA PEMBENGKAKAN TESTIS

NASIHAT KESIHATAN DAN PERKONGSIAN ILMU

Struktur di dalam kantung buah zakar amat kompleks. Bukan buah zakar atau testis saja terletak dalam kantung berkenaan, struktur salur darah dan saluran tiub pembiakan lelaki juga terdapat dalam kerandut itu.

Bengkak yang berlaku pada kerandut ialah perkara yang luar biasa dan memerlukan rawatan segera. Kebanyakan pesakit hanya menerima rawatan pesakit luar disebabkan oleh bengkak kerandut tidak berbahaya dan senang dirawat.

Ada kalanya, rawatan pembedahan kecemasan perlu dilakukan untuk mengelak risiko kerosakan buah zakar. Bengkak ini boleh terjadi kepada mana-mana lelaki semua peringkat umur.

Antara sebab biasa berlakunya bengkak kerandut ialah angin pasang atau hernia. Dalam kebanyakan kes, bengkak itu tidaklah berbahaya dan tidak sakit. Akan tetapi, jika hernia berpintal, pesakit akan mengalami bengkak dan sakit pada karung kerandut. Jika ini berlaku, rawatan pembedahan kecemasan perlu dilakukan untuk mengelakkan masalah yang tidak diingini.

Jangkitan kuman juga boleh berlaku pada struktur di dalam kantung kerandut. Buah zakar dan juga selaput di atas buah zakar iaitu epidydimis boleh mendapat radang dan jangkitan kuman. Jangkitan kuman biasanya berlaku pada mereka yang mengamalkan seks bebas dan kerap bertukar pasangan.
Kuman diperoleh daripada pasangan yang memasuki kantung berkenaan melalui saluran kencing. Biasanya pesakit mengalami bengkak dan sakit dalam kantung itu.

Biasanya ia dimulai dengan rasa pedih ketika kencing dan terdapat cecair keputihan keluar melalui saluran kencing. Untuk kes sebegini, pesakit memerlukan rawatan antibiotik dan juga ubat penahan sakit.

Kanser buah zakar pula biasanya tidak sakit. Pesakit dapat berasakan buah zakar mereka membengkak dan lama-kelamaan bengkak itu menjadi keras. Biasanya kanser buah zakar berlaku pada salah satu buah zakar saja dan kanser ini satu-satunya yang mempunyai kadar kematian paling rendah.

Ia perlu dirawat segera untuk mengelakkan kanser berkenaan merebak. Pembedahan disusuli rawatan kemoterapi dan radioterapi akan dipertimbangkan oleh pakar yang merawat.

Cecair juga boleh terkumpul di dalam buah zakar. Bengkak pada kerandut tidak menyakitkan tetapi pesakit akan berasa tidak selesa dan senak terutamanya pada bahagian pinggang.

Keadaan ini dipanggil Hydrocoele. Pesakit boleh rasa seolah-oloh terdapat belon air di dalam kantung itu. Bagi kanak-kanak, biasanya tiada rawatan aktif untuk kes seperti ini.

Pesakit akan dipantau di rumah dan selalunya surut dengan sendiri sedikit demi sedikit. Bagi pesakit dewasa pula, kebanyakannya perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan cecair itu.

Bengkak juga boleh disebabkan saluran darah yang terdapat dalam kantung berkenaan. Bengkak ini tidak sakit dan juga berlaku hanya pada bahagian atas buah zakar.

Biasanya, pemeriksaan klinikal boleh membezakan penyebab bengkak kerandut. Namun, untuk mengesahkan diagnosis tersebut, ujian ultrasound boleh dilakukan. Ianya dapat membantu pilihan rawatan yang bakal dilakukan. Ujian darah dan juga ujian air kencing jarang dilakukan. Ianya dapat membantu bagi kes yang disebabkan oleh jangkitan kuman.

Biasanya bengkak atau masalah-masalah yang menyebabkan bengkak pada kerandut tidak mengakibatkan kemandulan. Pembedahan membuang salah satu buah zakar juga tidak mengakibatkan kemandulan. Ini kerana buah zakar sebelah lagi masih mampu menghasilkan jumlah sperma untuk pembiakan lelaki.


31/08/14

BAHAYA AUTISME PADA KANAK-KANAK

Kira-kira 54 peratus kanak-kanak di Amerika Syarikat dan negara membangun menghidap satu atau lebih penyakit kronik dan berdasarkan saintis MIT, jika tiada sebarang tindakan, menjelang 2025 satu dalam dua kanak-kanak akan menghidap autisme.

Autisme adalah ketidakupayaan yang mendatangkan kesan teruk ke atas perkembangan penghidapnya yang memerlukan penjagaan sepanjang hayat. Autisme berasal daripada perkataan bahasa Greek iaitu ‘autos’ yang bermaksud sendiri. 
Ia merujuk kepada seseorang yang hidup dalam dunianya sendiri. Dari sudut perubatan, autisme ialah keadaan di mana interaksi sosial seseorang terganggu akibat masalah kemahiran berkomunikasi, tingkah laku tidak wajar yang berulangan, pemencilan diri serta mempunyai keinginan terhad terhadap sesuatu benda. 

Autisme juga dikenali sebagai gangguan pertumbuhan tumbesar seseorang dalam jangka masa panjang yang memberi kesan dalam pemikiran kanak-kanak serta dalam proses informasi.


Ia berlaku kepada satu hingga dua kanak-kanak dalam 1,000 dan terjadi empat kali lebih kerap dalam kalangan kanak-kanak lelaki. Biasanya ia dikenal pasti ketika usia kanak-kanak mencecah usia tiga tahun.

Penulis buku Brighton Baby, Dr Roy Dittmann berkata, kebanyakan individu menderita akibat kekurangan mineral yang kronik dan tidak seimbang disebabkan tanah kekurangan mineral. 

“Keadaan ini me­ngakibatkan makanan kita kekurangan nutrisi. Kemurungan selepas bersalin dan penyakit kanak-kanak adalah tanda kekurangan mineral. Begitu juga keadaannya seperti petani pintar akan menyiram tanaman mereka menggunakan air laut bagi mengembalikan mineral ke tanah mereka. 

“Setiap kanak-kanak dilahirkan berbeza. Kekurangan mineral boleh menjejaskan kesihatan. Mineral adalah perlu bagi pengangkutan oksigen, metabolisme tenaga, pertumbuhan dan perlindungan sel dan saraf,” katanya ketika ditemui media pada pelancaran Kington Minerale di ibu negara, baru-baru ini. 

Kington Minerale menghadam, menyerap serta menggunakan ­nutrien daripada makanan. Ia juga berupaya mengembalikan kembali mineral kepada badan dan ­menambah baik persekitaran epigenetik. 

Kepekatan mineral yang tinggi dalam Kington Minerale meng­galakkan penghantaran 83 jenis mineral dalam sistem saraf pusat untuk mengekalkan minda sihat dan aktif. 

Menurut Dr Roy, Kington Minerale mengandungi enzim hidup, faktor sampingan serta sinergi yang diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran. 

“Mineral seperti kumprum, kalsium,magnesium, besi dan kalium boleh membantu mengurangkan kemurungan. 

“Terapi Cease meng­gunakan Kington Minerale sebagai sebahagian daripada rawatan autisme yang dibangunkan oleh Dr Tinus Smits. Ia berjaya merawat lebih daripada 300 pesakit autistik, dan memberi mereka kehidupan normal semula,” katanya. 


TANDA DAN GEJALA 

Tanda dan gejala berlaku disebabkan tiga faktor utama: 

KOMUNIKASI 

- Lambat, tidak normal atau tidak boleh bertutur 
- Bahasa tanpa lisan yang tidak normal contoh, kurang pergerakan anggota badan 
- Kurang cerdas semasa bermain 
- Kurang upaya bergaul atau berbincang dengan orang lain 
- Tindak balas sosial 


HILANG TUMPUAN DAN KURANG MIMIK MUKA 

- Tiada kesedaran perasaan terhadap orang lain 
- Suka bersendirian tanpa berkongsi pengalaman dengan orang lain 
- Suka bermain sendirian 
- Tingkah laku yang berulang dari segi minat dan aktiviti 
- Menggerakkan anggota badan berulang kali seperti bertepuk tangan, menggoyangkan badan ke depan dan belakang, mengangguk kepala 
- Menumpukan perhatian kepada satu objek saja seperti tayar kereta mainan 
- Tertekan ke atas perubahan kecil yang berlaku dalam persekitaran 
- Hanya berminat terhadap satu atau dua perkara 


KOMPLIKASI 

Seseorang yang meng­hidap autisme akan mendapat gejala yang berlainan me­ngikut umur masing-­masing 

- Peringkat awal kanak-kanak - Hiperaktif, panas baran 
- Peringkat akhir kanak-kanak - suka menyerang, mencederakan diri sendiri 
- Peringkat remaja dan dewasa - kemurungan dan epilepsi 


RAWATAN 

Beberapa orang yang pakar dalam bidang ini diperlukan untuk: 

- Membaiki kemahiran sosial 
- Menggalakkan lebih ramai masyarakat mengenal pasti kelakuan mereka 
- Menambah baik komunikasi verbal dan non verbal 
- Membantu keluarga mengendalikan masalah ini dengan jayanya 
- Tiada ubat dapat me­nyembuhkan autisme, tetapi beberapa jenis ubat dapat mengawal gejala yang timbul disebabkan autisme seperti: 
- Kelakuan ganas 
- Hiperaktif 
- Kebimbangan yang mung­kin timbul 
- Rehabilitasi