Memaparkan catatan dengan label SALAD. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SALAD. Papar semua catatan

23/02/16

KESAN NEGATIF TOKSIK BERLEBIHAN DALAM TUBUH KITA


Perut buncit? Diri pula mula lesu walaupun tidak melakukan kerja atau angkat bebanan berat? Ia mungkin petanda tubuh dipenuhi toksik atau racun disebabkan gaya hidup yang tidak sihat.

Sekurang-kurangnya itulah andaian pertama sebilangan pelatih kecergasan hipster yang mengatakan ia simptom awal kepada masalah toksik lalu mengesyorkan pengambilan pelbagai jenis jus, hidangan organik atau dalam kumpulan tertentu sebagai satu cara untuk menyahtoksikkannya.

Ia trend kesihatan yang semakin popular dalam kalangan masyarakat dunia. Rangkaian ‘juice bar’ atau gerai yang menjual jus buah-buahan dengan memasarkannya sebagai sumber detoksifikasi bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Di negara Barat ketika ini, pengambilan minuman atau hidangan detoksifikasi ini semakin popular dalam kalangan mereka yang giat menurunkan berat badan.

Pengambilan buah-buahan yang banyak sememangnya digalakkan sebagai sumber serat, namun ia tidak boleh dijadikan bahan tunggal untuk menyingkirkan toksik atau racun dalam badan.

Idea di sebalik detoksifikasi ini ialah membuang bahan toksik daripada tubuh lalu membantu kekal sihat. Namun jika sebelum ini kita biasa mengambil makanan dalam hidangan besar, bergoreng, bergula dan semuanya tidak seimbang, sudah pasti diri rasa lebih ringan apabila mula mengubah diet kepada sayuran serta buah-buahan.

Pada masa sama, mental kita juga mula mengatakan ia langkah yang baik untuk tubuh selepas melihat atau berasakan kesan ringan itu.

Bagaimanapun, detoksifikasi ialah amalan yang tidak disokong secara saintifik. Ia terlalu digembar-gemburkan hingga ramai percaya detoksifikasi ini amalan sihat dan terbaik untuk tubuh.

Wujud beberapa jenis diet atau amalan detoksifikasi dan yang paling popular ialah pengambilan jus tanpa bahan tambahan seperti gula atau mengekang pengambilan sesetengah jenis kumpulan makanan.

Alasannya, apabila diri diajar tidak mengambil sesetengah jenis kumpulan makanan atau sekadar mengamalkan diet cecair, sistem dalaman tubuh akan lebih bersih dan mengurangkan risiko penyakit.
Kesan negatif pada pesakit

Amalan detoksifikasi ini bukan saja tidak sesuai untuk mereka yang mengalami sesetengah masalah kesihatan, tetapi turut memberi kesan buruk kepada tubuh yang sihat,

Wujud mitos mengenai detoksifikasi dan ramai yang mempercayainya. Namun ia tidak disokong oleh doktor dan pakar nutrisi kerana memberi kesan negatif lain pada tubuh.

Apabila seseorang itu mengehadkan pengambilan sesetengah kumpulan makanan atau cuma mengamalkan buah-buahan dan sayuran, tubuh individu itu sebenarnya akan mengalami masalah kekurangan vitamin tertentu hingga merisikokannya dengan penyakit lain.

Secara asasnya, kita akan mudah berasa sakit jika tubuh benar-benar dipenuhi toksik. Jika pengambilan makanan dihadkan kerana mengamalkan detoksifikasi untuk tempoh lama, tubuh tidak mendapat kalori mencukupi lalu mengakibatkan penambahan bahan kimia dikenali ketones yang menguraikan lemak.

Untuk jangka masa panjang, bahan kimia ini boleh menyebabkan seseorang itu kerap loya dan mengalami penyahhidratan kronik. Itu belum lagi dikira tahap protein yang merosot hingga berupaya membuatkan tubuh menguraikan sendiri otot serta mengganggu sistem imunisasi.

Ada sesetengah amalan detoksifikasi seperti pembersihan atau ‘cucian’ usus boleh mendatangkan bahaya kerana menyebabkan kehilangan air dalam tubuh secara mendadak yang boleh membawa maut.

Diet detoksifikasi juga tidak membantu memperbaiki tahap tekanan darah atau kolesterol. Contohnya ia amat berbahaya bagi pesakit diabetes. Apa jua diet yang mengehadkan pengambilan kumpulan makanan tertentu boleh meningkatkan risiko kepada berlakunya tahap gula yang terlalu rendah.

Bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan pula, jangan terburu-buru untuk mengubah diet kepada detoksifikasi kerana kesannya yang boleh memudaratkan diri.

Ia tiada sokongan saintifik yang kukuh dan tidak disokong pengamal perubatan. Buah pinggang kita sendiri menjalankan tugas sebagai penyahtoksik dan bekerja setiap masa menerusi peluh dan najis.

Detoksifikasi atau mengamalkan satu kumpulan makanan saja hanya akan membuatkan merosotnya tenaga dan hilangnya nutrien penting dalam tubuh.

Ramai yang seronok melihat hasil detoksifikasi terutama bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan. Hakikatnya, penurunan berat badan itu disebabkan kehilangan air, glikogen (sel penyimpanan karbohidrat dalam tubuh) dan otot, bukannya lemak.

Kebanyakan program detoksifikasi juga tidak mampu bertahan lama. Apabila diri kembali ke tabiat pemakanan asal, berat badan akan bertambah semula.

Pendekatan konvensional seperti pengambilan makanan seimbang, senaman berterusan dan mengamalkan gaya hidup sihat amat digalakkan untuk memperoleh tahap kesihatan optimum.

12/03/15

RESIPI MAKARONI SALAD UNTUK SI KECIL


Kala bercerita mengenai hidangan pasta, lazimnya ramai yang gemarkan spageti dan fettuccine. Makaroni pula biasanya dijadikan sebagai tambahan dalam hidangan salad biasa untuk lebih rasa dan tekstur yang ditawarkannya.

Makaroni yang dijadikan salah satu menu salad pasta ini mudah disediakan dan boleh dinikmati bersama gabungan protein atau karbohidrat lain.

Tetapi makaroni sebaiknya dipadankan bersama sayur-sayuran bagi keseimbangan nutrien dan dapat menarik perhatian si kecil untuk menikmati sayuran segar.

Di Amerika Utara, makaroni adalah antara hidangan utama masyarakatnya. Di Asia, contohnya di China, pengaruh budaya Barat digabung bersama resipi tradisional lalu menghasilkan masakan Cina ala Barat.

Di Hong Kong, makaroni direbus dalam air kemudian dibasuh dengan kanji sebelum dimasak dalam sup bersama sosej, kekacang, cendawan hitam dan telur. Selain hidangan berat, makaroni juga sering dijadikan dalam bentuk puding manis dan popular di negara Eropah.

Berikut cara mudah menyediakan salad makaroni manis dan berkrim yang sesuai untuk empat ke enam hidangan.

BAHAN A:
- 1/2 peket makaroni
- 1/2 cawan saderi (apabila dipotong dadu)
- 1/2 cawan cili benggala (apabila dipotong dadu)
- 1/2 cawan lobak (apabila dipotong dadu)
- 1/4 cawan bawang besar (apabila dipotong dadu)
- Segenggam parsli (dipotong lumat)

BAHAN B:
- 3/4 cawan mayonis
- 1/3 cawan susu pekat
- 1/4 cawan cuka epal
- 1 sudu teh serbuk paprika
- 1/2 sudu mustard (serbuk atau biasa)
- 1/4 sudu teh serbuk cayenne
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/36180#sthash.GsT25s6j.dpuf