Memaparkan catatan dengan label DIABETES. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label DIABETES. Papar semua catatan

23/01/18

BAHAYA DIABETES KETIKA HAMIL


Berada di kedudukan kesembilan sebagai ‘pembunuh’ wanita di seluruh dunia dengan catatan 2.1 juta kematian, Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil tindakan proaktif dalam meningkatkan kesedaran mengenai penyakit diabetes sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia pada 14 November lalu.

Bersesuaian dengan tema Wanita dan Diabetes: Kesihatan Kita, Milik Kita, Hak Kita; Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kempen tahun ini fokus kepada wanita untuk menerima akses penjagaan dan pengetahuan lengkap dalam mengawal diabetes.

Statistik terbaru 2016 menunjukkan seramai 3.6 juta penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas adalah penghidap diabetes dan daripada jumlah berkenaan, seramai 1.8 juta adalah wanita.

“Kementerian komited memberikan akses penjagaan dan maklumat yang cukup supaya wanita mampu mengawal diabetes.

“Ini merangkumi golongan wanita mengandung untuk mendapatkan saringan, didikan dan penjagaan terbaik demi kesihatan ibu serta anak dalam kandungan.

“Bagi semua ibu hamil yang berisiko, mereka disarankan melakukan saringan diabetes mellitus gestasi (GDM) antara minggu ke-24 hingga 28 kehamilan dengan ujian ‘modified’ toleransi glukosa oral (mOGTT).

“Manakala, pesakit diabetes yang mahu hamil, perlu menghadiri kaunseling prakehamilan sebelum hamil supaya mereka mampu mengawal paras gula dalam darah dengan lebih baik sebelum dan sewaktu kehamilan,” katanya.

Bagi ibu hamil yang berisiko perlu melakukan ujian OGTT untuk memeriksa tindakan balas badan ibu mengawal tahap gula dalam darah sekali gus mengenal pasti penyakit kencing manis ketika hamil.

Berdasarkan kajian Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat, ibu yang hamil bersama diabetes memiliki risiko tinggi antara 20 hingga 50 peratus untuk mendapat penyakit diabetes mellitus (jenis 2) berterusan dalam tempoh lima hingga 10 tahun selepas melahirkan anak.

Untuk mengurangkan risiko penyakit ini, wanita perlu menjalani pemeriksaan gula dalam darah secara tahunan selepas bersalin.

Selain itu, mereka perlu fokus pada penjagaan kesihatan, pemakanan seimbang dan gaya hidup aktif.

Bagi pesakit diabetes mellitus jenis 1 (IDDM) yang berhasrat untuk memiliki cahaya mata pula, mereka perlu mendapatkan khidmat runding daripada pakar perubatan pelbagai bidang selain obstetrik dan ginekologi.

Ini kerana mereka berdepan risiko keguguran atau bayi dilahirkan dengan kecacatan, serta mendapat penyakit jantung 10 kali ganda berbanding ibu normal.

Antara perkara perlu dititikberatkan ketika hamil termasuklah imbasan terhadap pemeriksaan fizikal, darah, air kencing dalam menjaga kesuburan kandungan.

Selain mengamalkan gaya hidup aktif, golongan ibu perlu mengambil makanan berserat untuk kesihatan jantung mereka dan mengurangkan makanan bergula, berlemak serta berminyak.

Peningkatan kes diabetes antara penyakit kronik yang kian membimbangkan, justeru KKM menyambut baik inisiatif daripada pelbagai pihak untuk bersama-sama membantu menyebarkan kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya penyakit diabetes.

5/12/16

ADAKAH DIABETES PENYAKIT YANG SERIUS??


Benar, malah diabetes adalah penyakit kronik yang boleh menyebabkan komplikasi serius membawa maut. Menurut Persekutuan Diabetes Antarabangsa, Malaysia merekodkan sebanyak 34,576 kematian dalam kalangan orang dewasa disebabkan diabetes pada tahun lalu.

Ramai penduduk Malaysia mungkin mempunyai aras glukosa darah yang tinggi tetapi tidak menyedarinya kerana simptom dan tanda diabetes seperti kerap kencing, mulut kering atau rasa kurang bertenaga tidak diambil berat.

Secara umumnya, keputusan untuk melakukan pemeriksaan gula dalam darah dibuat apabila berlaku simptom lebih serius yang timbul daripada kenaikan aras glukosa dalam darah yang tidak terkawal dan berpanjangan, yang mungkin membawa kepada komplikasi selanjutnya seperti kebutaan, penyakit buah pinggang dan kematian.

Namun, jangan bersedih dan takut jika anda sedang menderitai penyakit diabetes dan sakit saraf. Ini kerana, berita baik untuk anda ialah anda boleh membantu proses penghasilan semula saraf yang rosak dengan mengambil khasiat pemakanan yang betul dan melakukan beberapa perubahan gaya hidup.

Berikut beberapa panduan praktikal untuk membantu kekalkan aras glukosa darah dan melindungi daripada kerosakan saraf diabetes:

Galakkan imuniti dan kawal aras glukosa darah dengan formula multivitamin.

Multivitamin baik akan membantu kuatkan sistem imun anda untuk melawan penyakit dan melindungi tubuh daripada kerosakan radikal bebas yang membahayakan sel, tisu dan organ tubuh.

Bagaimanapun, penting diketahui penghidap diabetes contoh spesifik nutrien utama yang mereka perlukan dalam amaun yang lebih tinggi untuk menambah baik pengawalan glukosa darah dan pada masa yang sama, melengahkan perkembangan komplikasi diabetes. Sebagai contoh:

• Asid Lipoik Alfa (ALA) adalah antioksidan kuat yang mempunyai keupayaan meneutralkan radikal bebas yang boleh menyebabkan komplikasi berkaitan diabetes dan menggalakkan penggunaan glukosa oleh sel-sel otot.

• Vanadium adalah bahan galian yang memberi kesan seperti insulin untuk menggalakkan pengambilan glukosa dalam tubuh dan seterusnya mengurangkan aras glukosa darah dalam penghidap diabetes Jenis II.

• Kromium adalah mineral surih penting yang diguna oleh penghidap pradiabetes dan diabetes dalam usaha mengawal atur paras glukosa darah dengan menambah baik tindakan insulin dan meningkatkan sensitiviti insulin.

• Biotin adalah satu bentuk vitamin B yang penting kerana diabetes boleh mengurang aras biotin dalam tubuh. Ia penting dalam mempertingkatkan aktiviti enzim glokokinase bagi mengawal atur glukosa dalam darah dengan lebih baik.

Ambil Vitamin B12 (Mecobalamin) bentuk Aktif untuk penghasilan semula saraf rosak.

Jari, tangan, jari kaki dan kaki mempunyai jutaan hujung saraf yang memberi rasa sentuhan, sakit dan suhu untuk mengelakkan anda daripada bahaya. Bagaimanapun, diabetes boleh menyebabkan saraf berkenaan rosak. Oleh itu, pilihlah khasiat pemakanan yang mengandungi bentuk aktif Vitamin B12, juga dikenali Mecobalamin yang bermanfaat untuk kesihatan saraf, dan bukan Vitamin B12 biasa (sianokobalamin). Khasiat Mecobalamin dipercayai boleh membantu:

• Perlindungan daripada kerosakan saraf diabetes.

• Cegah keradangan saraf.

• Hasilkan semula saraf-saraf baharu yang sihat.

• Baiki dan pulihkan saraf-saraf yang rosak.

Amalkan penjagaan dan pemeriksaan kaki setiap hari.

Periksa dan jaga kaki anda dengan baik setiap hari. Pertama, basuh kaki anda dalam air suam. Kemudian, periksa kaki anda jika ada sebarang luka, kemerahan atau kesan lebam. Anda boleh letakkan cermin di atas lantai atau minta seseorang untuk membantu anda jika anda berasa sukar untuk melihat bahagian bawah kaki anda.

Selain itu, selalu potong kuku kaki dan senantiasa pakai kasut dan stoking untuk melindungi kaki. Anda juga boleh mendapatkan pemeriksaan kaki komprehensif daripada doktor setiap tahun.

Peruntukkan masa untuk bersenam secara tetap.

Senaman berintensiti sederhana selama 30 minit untuk sekurang-kurangnya lima kali seminggu adalah standard terbaik tetapi anda boleh mulakan dengan menetapkan matlamat yang boleh dicapai dan ajak juga rakan dan keluarga.

Anda akan tetap mendapat manfaat walaupun anda bahagikan masa anda kepada dua atau tiga segmen selama

10 hingga 15 minit setiap satu. Ini tidak sahaja membantu kawal aras glukosa darah, juga berat badan anda.

Selain ubat-ubatan untuk mengawal aras glukosa darah yang diambil setiap hari, anda ada pilihan jika mahu memulakan program sokongan nutrisi harian yang mengandungi formula multivitamin komprehensif padat dengan 19 vitamin, mineral dan antioksidan penting termasuk Asid Lipoik Alfa, Vanadium, Kromium dan Biotin untuk memberi semula tenaga dan menambah baik kecergasan tubuh anda.

Juga, jangan lupa menambah Mecobalamin iaitu bentuk aktif Vitamin B12 untuk membantu penghasilan semula saraf-saraf anda yang rosak atau melindungi daripada proses degenerasi.

Artikel ini ihsan Live-well Nutraceuticals.

11/05/16

CARA MUDAH CEPAT DAN TEPAT MENGESAN DIABETES


Diabetes atau lebih dikenali kencing manis, bukan lagi penyakit asing dalam kehidupan masyarakat masa kini.

Malah boleh dikatakan kebanyakan daripada kita sudah sedia maklum mengenai penyakit yang berkait rapat dengan pengambilan karbohidrat (gula, nasi dan lain-lain) secara berlebihan mahupun amalan gaya hidup tidak sihat.

Biarpun demikian, agak menghairankan apabila masih ada majoriti besar masyarakat memandang ringan terhadap penyakit kronik itu.

Ini dapat dilihat apabila statistik jumlah penghidap diabetes negara menyaksikan peningkatan kepada 17.5 peratus pada 2015 berbanding 15.2 peratus pada 2011 dan 11.6 peratus (2006).

Keadaan ini begitu membimbangkan. Apatah lagi apabila masih ada yang terus selesa dan tidak mahu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala, dan menjadi antara faktor yang menyebabkan ramai tidak tahu mereka sebenarnya penghidap diabetes.  

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Malaysia 2015, mendapati 1.8 juta daripada 3.5 juta individu dewasa yang menghidap diabetes di negara ini tidak mengetahui mereka mempunyai penyakit itu.

BAHAYA

"Laporan kesihatan menunjukkan golongan muda berusia antara 18 hingga 30 tahun yang menghidap diabetes semakin meningkat. Keadaan ini menggusarkan kerana kebanyakan mereka tidak tahu ada diabetes.

"Ini kerana, mereka akan mengambil makanan ikut suka hati ditambah pula dengan gaya hidup tidak aktif yang diamalkan sekarang ini. Apabila lambat mengesan penyakit dan mendapatkan rawatan, diabetes akan mendedahkan mereka kepada pelbagai komplikasi.

"Antara risiko utama penyakit ini adalah penyakit jantung koronari, angin ahmar, kerosakan organ seperti buah pinggang, buta penglihatan dan kehilangan kaki," kata Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS) Prof Dr Nor Azmi Kamaruddin kepada Bernama.

Diabetes atau penyakit yang kerap kali disifatkan sebagai pembunuh senyap ini adalah keadaan di mana paras gula/glukos di dalam darah seseorang itu melebihi tahap normal berikutan kegagalan kelenjar pankreas untuk mengeluarkan hormon insulin yang secukupnya.

Tidak boleh dipandang ringan, kehadiran insulin ini amat penting kerana ia akan menyalur setiap makanan yang telah diproses menjadi glukos ke dalam sel-sel badan bagi mengeluarkan tenaga.

Bagaimanapun, bagi pesakit diabetes, organ pankreas mereka tidak dapat mengeluarkan insulin secukupnya ataupun jumlah insulin yang dikeluarkan itu kurang berkesan.

Keadaan tersebut membuatkan glukos tidak dapat masuk ke dalam sel badan, sekali gus terkumpul di dalam darah yang kemudian menyebabkan parasnya meningkat tinggi sehingga melimpah ke dalam air kencing, yang mana ia dikenali sebagai diabetes.

PUNCA UTAMA JANTUNG

"Terdapat dua jenis diabetes. Jenis pertama, kerosakan pankreas daripada mula lagi menyebabkan ketiadaan langsung hormon insulin dalam badan. Manakala jenis kedua, badan tidak mengeluarkan hormon insulin secukupnya untuk mengawal paras gula dalam darah.

"Di Malaysia, diabetes jenis kedua paling ramai iaitu merangkumi 98 hingga 99 peratus daripada jumlah pesakit diabetes," ujar Prof Dr Nor Azmi yang juga Pakar Perunding Perubatan Diabetes dan Endokrinologi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata peningkatan taraf glukos di dalam saluran darah yang tidak terkawal boleh mendedahkan pesakit dengan pelbagai masalah kesihatan sepanjang hayat.

Bahkan, paling menakutkan apabila ia boleh mengakibatkan maut dalam bentuk serangan penyakit jantung koronari sekiranya melengah-lengahkan rawatan!

Di peringkat global, diabetes menjadi satu daripada faktor utama penyakit kardiovaskular yang adalah punca utama kematian di serata dunia terutamanya dalam kalangan negara membangun.

Manakala di Malaysia, 35 peratus punca kematian adalah disebabkan penyakit kardiovaskular yang mana hampir 69 peratus daripada mereka mempunyai diabetes.

UJIAN MUDAH

Justeru, segala simptom berkaitan dengan kencing manis seperti letih, kerap kencing terutama waktu malam, sentiasa rasa dahaga perlu diberi perhatian serius.

Apatah lagi, Malaysia berada di tangga pertama di rantau Asia Tenggara sebagai negara yang mempunyai peratusan paling tinggi pesakit diabetes.

Memandang berat senario berkenaan, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan sentiasa berusaha mengukuhkan perkhidmatan rawatan pesakit diabetes di Malaysia.

Ini termasuklah melancarkan 'Clinical Practice Guideline Management of Type-2 Diabetes Mellitus' Edisi ke-lima semasa Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2016 peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Ia adalah garis panduan amalan klinikal rawatan penyakit diabetes dan paling menarik ujian mudah mengesan penyakit itu yang dikenali sebagai A1c turut diperkenalkan.

"Dokumen ini akan menjadi dokumen rasmi yang dapat memberi panduan kepada anggota kesihatan sama ada dari pihak kerajaan, swasta, mahupun universiti bukan sahaja untuk memberi perawatan terbaik dan berkesan kepada pesakit diabetes.

"Malah, untuk menjalankan saringan dan pencegahan yang berkesan di peringkat kesihatan primer," kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam semasa berucap merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2016 peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya. Bagi tahun ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memilih slogan Tumpaskan Diabetes: "Tingkatkan Pencegahan, Kukuhkan Rawatan dan Mantapkan Saringan" sebagai tema sambutan Hari Kesihatan Sedunia tahun ini.

LAGI TEPAT

Mengulas mengenai ujian mudah diabetes, Prof Dr Nor Azmi berkata mengesan penyakit itu sebelum ini agak sukar kerana memerlukan seseorang itu berpuasa selama lapan jam sebelum menjalani ujian darah glukos.

"Selain berpuasa lapan jam untuk memeriksa tahap glukos di dalam darah, ada dalam keadaan tertentu memerlukan mereka mengambil minuman yang mengandungi 75 gram glukos di dalam cawan 300ml.

"Ia, perlu dihabiskan dalam tempoh masa tiga hingga lima minit. Kemudian, mereka tidak boleh balik atau berjalan ke sana ke mari kerana itu akan memberi kesan kepada tahap glukos di dalam badan.
"Sebaliknya, perlu duduk diam-diam dalam tempoh dua jam dan selepas itu baharu ambil lagi satu ujian darah glukos. Tidak ramai yang sanggup menjalani ujian yang rumit dan berperingkat-peringkat ini," katanya.

Berbanding penggunaan ujian darah A1c, diabetes dapat dikesan dengan lebih tepat, mudah serta tidak memerlukan mereka berpuasa ataupun meminum air glukos.

Malah, keputusannya pun cepat dalam masa dua jam dan ini diharap dapat menarik minat 1.8 juta daripada 3.5 juta pesakit diabetes di negara ini yang tidak tahu mereka ada penyakit itu untuk tampil membuat pemeriksaan.

"Ujian glukos di dalam darah yang digunakan untuk mengesan diabetes sebelum ini hanya mengukur tahap glukos dalam saluran darah yang hanya mencerminkan tahap glukos pada sesuatu ketika sahaja.

"Berbanding A1c, ujian ini akan mengukur purata tahap glukos di dalam sel-sel darah merah yang mempunyai jangka hayat selama tiga hingga empat bulan dan keputusannya lebih tepat," katanya.

NEGARA PERTAMA DI ASIA

Justeru, dengan termaktubnya A1c sebagai antara satu ujian darah mengesan diabetes di negara ini, ia telah meletakkan Malaysia sebagai negara pertama di benua Asia yang berbuat demikian.

Sebelum ini, hanya Amerika Syarikat, Eropah dan New Zealand sahaja yang mengguna ujian A1c sebagai satu kaedah mendiagnosis diabetes.

Manakala negara Jepun, hanya membenarkan penggunaan ujian A1c jika ianya disertakan serentak dengan ujian glukos selepas lapan jam berpuasa dan selepas minum 75 gram glukos, bukan bersendirian dan berasingan.

Untuk makluman, perkhidmatan ujian darah A1c ini sudah boleh diperoleh di mana-mana hospital dan klinik kesihatan kerajaan dan swasta.