24/03/16

KANAK-KANAK BERISIKO HADAPI SAKIT BUAH PINGGANG DAN GINJAL?


KEGAGALAN buah pinggang atau ginjal antara penyakit yang boleh berlaku pada bila-bila masa dengan setiap peringkat usia termasuk kanak-kanak berisiko untuk mendapat penyakit tersebut.

Diklasifikasikan sebagai penyakit ‘senyap’ dan perlahan, penyakit buah pinggang boleh mengundang maut sekiranya pesakit tidak mendapatkan rawatan awal.

Menurut Pakar Perubatan dan Nephrologi, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr. Philip N. Jeremiah, kegagalan buah pinggang adalah penyakit yang perlu diberikan perhatian khusus kerana sekiranya tidak mendapatkan rawatan awal boleh menyebabkan pesakit ‘merana’ seumur hidup kerana terpaksa menjalani proses dialisis.

Beliau berkata, kegagalan buah pinggang bukan hanya berlaku pada orang dewasa, malah kanak-kanak turut berisiko tinggi untuk mendapat penyakit tersebut.

“Penyakit yang tidak mengenal jantina dan umur kerana semua individu tidak kira lelaki mahu pun perempuan, tua atau muda berisiko tinggi untuk menghidap penyakit ini.

“Oleh yang demikian setiap individu adalah dinasihatkan agar menitik beratkan kesihatan diri masing-masing dengan membuat pemeriksaan secara berkala untuk mengesan penyakit sekiranya ada.

“Dengan ini secara tidak langsung penyakit yang dihidapi akan dapat dirawat pada peringkat awal,” ujarnya ketika ditemui di kliniknya, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai penyakit tersebut dalam kalangan kanak-kanak, tutur Dr. Philip, menurut statistik di negara ini pada tahun 2013, seramai 32,000 hingga 33,000 pesakit menjalani rawatan dialisis dan daripada jumlah tersebut, 1,000 pesakit adalah terdiri daripada golongan kanak-kanak.

Katanya, kegagalan buah pinggang juga boleh berlaku kepada bayi semasa pembentukan fetus dalam kandungan dan tidak ketinggalan faktor keturunan merupakan antara punca penyakit buah pinggan ini berlaku kepada kanak-kanak.

Menyatakan bahawa 40 peratus penyebabnya tidak diketahui, Dr. Philip menjelaskan 23 peratus penghidapnya adalah disebabkan inflamasi dalam buah pinggang.

“Dalam kes ini, kanak-kanak juga boleh dilahirkan dengan buah pinggang yang tidak normal dan tidak berupaya berfungsi dengan betul.

“Ini mungkin berkaitan atau pun tidak berkaitan dengan sekatan saluran kencing dan sebab-sebab lain yang menyebabkan penyakit ini termasuklah pembalikan aliran air kencing ke dalam buah pinggang.

“Namun apa yang pasti, penyebab yang diketahui hanyalah disebabkan inflamasi dalam buah pinggang selain ia adalah diwarisi secara turun temurun dalam kalangan ahli keluarga,” ujarnya lagi.

Oleh itu, ibu bapa harus lebih prihatin dengan perkembangan serta tumbesaran anak masing-masing selain mengambil tindakan cepat apabila mereka (anak) mengalami bengkak terutamanya kawasan sekeliling mata atau pun kaki, kencing kotor atau berdarah, dan tidak ketinggalan mengalami tekanan darah tinggi.

Ini kerana apa yang dinyatakan tersebut merupakan tanda-tanda awal kegagalan buah pinggang dan sekiranya penyakit ini menjadi semakin teruk, ia akan menyebabkan kegagalan buah pinggang peringkat akhir yang memerlukan dialisis atau pun pembedahan pemindahan buah pinggang.

Kepada mereka yang menghidap penyakit diabetes, golongan ini juga perlulah berhati-hati kerana Dr. Philip memberitahu lebih daripada 10 peratus pesakit diabetes berkemungkinan menghidap masalah kegagalan buah pinggang.

Sementara itu, sempena Hari Buah Pinggang Sedunia yang disambut pada setiap Khamis minggu kedua bulan Mac, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri tidak ketinggalan akan menyambutnya pada 19 Mac ini.

Bertempat di kawasan permainan wad kanak-kanak, aras 6, orang ramai berpeluang mendengar ceramah ‘Penyakit Buah Pinggang dan Kanak-Kanak’ yang akan disampaikan oleh Pakar Buah Pinggang, Datuk Dr. Zaki Morad.

Pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak turut diadakan selain saringan kesihatan secara percuma kepada orang ramai.

23/02/16

KESAN NEGATIF TOKSIK BERLEBIHAN DALAM TUBUH KITA


Perut buncit? Diri pula mula lesu walaupun tidak melakukan kerja atau angkat bebanan berat? Ia mungkin petanda tubuh dipenuhi toksik atau racun disebabkan gaya hidup yang tidak sihat.

Sekurang-kurangnya itulah andaian pertama sebilangan pelatih kecergasan hipster yang mengatakan ia simptom awal kepada masalah toksik lalu mengesyorkan pengambilan pelbagai jenis jus, hidangan organik atau dalam kumpulan tertentu sebagai satu cara untuk menyahtoksikkannya.

Ia trend kesihatan yang semakin popular dalam kalangan masyarakat dunia. Rangkaian ‘juice bar’ atau gerai yang menjual jus buah-buahan dengan memasarkannya sebagai sumber detoksifikasi bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Di negara Barat ketika ini, pengambilan minuman atau hidangan detoksifikasi ini semakin popular dalam kalangan mereka yang giat menurunkan berat badan.

Pengambilan buah-buahan yang banyak sememangnya digalakkan sebagai sumber serat, namun ia tidak boleh dijadikan bahan tunggal untuk menyingkirkan toksik atau racun dalam badan.

Idea di sebalik detoksifikasi ini ialah membuang bahan toksik daripada tubuh lalu membantu kekal sihat. Namun jika sebelum ini kita biasa mengambil makanan dalam hidangan besar, bergoreng, bergula dan semuanya tidak seimbang, sudah pasti diri rasa lebih ringan apabila mula mengubah diet kepada sayuran serta buah-buahan.

Pada masa sama, mental kita juga mula mengatakan ia langkah yang baik untuk tubuh selepas melihat atau berasakan kesan ringan itu.

Bagaimanapun, detoksifikasi ialah amalan yang tidak disokong secara saintifik. Ia terlalu digembar-gemburkan hingga ramai percaya detoksifikasi ini amalan sihat dan terbaik untuk tubuh.

Wujud beberapa jenis diet atau amalan detoksifikasi dan yang paling popular ialah pengambilan jus tanpa bahan tambahan seperti gula atau mengekang pengambilan sesetengah jenis kumpulan makanan.

Alasannya, apabila diri diajar tidak mengambil sesetengah jenis kumpulan makanan atau sekadar mengamalkan diet cecair, sistem dalaman tubuh akan lebih bersih dan mengurangkan risiko penyakit.
Kesan negatif pada pesakit

Amalan detoksifikasi ini bukan saja tidak sesuai untuk mereka yang mengalami sesetengah masalah kesihatan, tetapi turut memberi kesan buruk kepada tubuh yang sihat,

Wujud mitos mengenai detoksifikasi dan ramai yang mempercayainya. Namun ia tidak disokong oleh doktor dan pakar nutrisi kerana memberi kesan negatif lain pada tubuh.

Apabila seseorang itu mengehadkan pengambilan sesetengah kumpulan makanan atau cuma mengamalkan buah-buahan dan sayuran, tubuh individu itu sebenarnya akan mengalami masalah kekurangan vitamin tertentu hingga merisikokannya dengan penyakit lain.

Secara asasnya, kita akan mudah berasa sakit jika tubuh benar-benar dipenuhi toksik. Jika pengambilan makanan dihadkan kerana mengamalkan detoksifikasi untuk tempoh lama, tubuh tidak mendapat kalori mencukupi lalu mengakibatkan penambahan bahan kimia dikenali ketones yang menguraikan lemak.

Untuk jangka masa panjang, bahan kimia ini boleh menyebabkan seseorang itu kerap loya dan mengalami penyahhidratan kronik. Itu belum lagi dikira tahap protein yang merosot hingga berupaya membuatkan tubuh menguraikan sendiri otot serta mengganggu sistem imunisasi.

Ada sesetengah amalan detoksifikasi seperti pembersihan atau ‘cucian’ usus boleh mendatangkan bahaya kerana menyebabkan kehilangan air dalam tubuh secara mendadak yang boleh membawa maut.

Diet detoksifikasi juga tidak membantu memperbaiki tahap tekanan darah atau kolesterol. Contohnya ia amat berbahaya bagi pesakit diabetes. Apa jua diet yang mengehadkan pengambilan kumpulan makanan tertentu boleh meningkatkan risiko kepada berlakunya tahap gula yang terlalu rendah.

Bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan pula, jangan terburu-buru untuk mengubah diet kepada detoksifikasi kerana kesannya yang boleh memudaratkan diri.

Ia tiada sokongan saintifik yang kukuh dan tidak disokong pengamal perubatan. Buah pinggang kita sendiri menjalankan tugas sebagai penyahtoksik dan bekerja setiap masa menerusi peluh dan najis.

Detoksifikasi atau mengamalkan satu kumpulan makanan saja hanya akan membuatkan merosotnya tenaga dan hilangnya nutrien penting dalam tubuh.

Ramai yang seronok melihat hasil detoksifikasi terutama bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan. Hakikatnya, penurunan berat badan itu disebabkan kehilangan air, glikogen (sel penyimpanan karbohidrat dalam tubuh) dan otot, bukannya lemak.

Kebanyakan program detoksifikasi juga tidak mampu bertahan lama. Apabila diri kembali ke tabiat pemakanan asal, berat badan akan bertambah semula.

Pendekatan konvensional seperti pengambilan makanan seimbang, senaman berterusan dan mengamalkan gaya hidup sihat amat digalakkan untuk memperoleh tahap kesihatan optimum.

22/02/16

KHASIAT BUAH DELIMA KINI JADI PERHATIAN


Punica granatum atau lebih dikenali sebagai buah delima menjadi pilihan ramai masa kini untuk menjaga kesihatan. Ia juga dikenali sebagai pomegranate, rumman, rumien atau rimmon.

Buah delima memang terkenal dengan khasiat kerana mengandungi antioksidan yang tinggi malah kajian menunjukkan kandungan antioksidan dalam buah itu dua atau tiga kali lebih tinggi berbanding anggur merah.

Malah kualiti antioksidan delima juga dikatakan lebih baik daripada beri biru, kranberi dan oren kerana polifenol di dalamnya lebih tinggi.

Ketika ini ramai pengusaha produk kecantikan mahupun makanan berlumba menggunakan buah delima dalam produk mereka disebabkan khasiatnya.

Bagi pencinta aiskrim, anda boleh mendapatkan khasiat buah delima melalui Magnum Pink Pomegranate yang dihasilkan daripada seratus peratus buah delima asli serta coklat Belgium.

Menurut Chef Isadorai Chai, umum mengetahui buah delima menjadi pilihan ramai masa kini untuk menjaga kesihatan. Ia kaya dengan sodium dan mengandungi unsur nutrien seperti riboflavin, tiamin, niasin, vitamin C, kalsium dan fosforus. Kajian dijalankan juga menunjukkan buah delima mengandungi zat protein dan lemak dalam kuantiti sedikit.

“Selain bagus untuk kesihatan, buah delima juga tidak mempunyai kandungan gula yang tinggi malah lebih baik berbanding buah oren.

“Selain itu coklat pahit (dark chocolate) juga kaya dengan kandungan mineral penting antaranya, kalium, kalsium, magnesium, zat besi dan tembaga selain mineral coklat juga mengandungi vitamin C yang sangat baik untuk memperkuat sistem imun,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Magnum Teases Upcoming Ice Cream Launch Through A Molecular Gastronomic di ibu negara, baru-baru ini.

Jelasnya lagi, pesakit kecing manis juga boleh makan buah delima tetapi dalam kuantiti yang sederhana kerana setiap buah mempunyai rasa manis sendiri.

“Saya percaya setiap makanan yang diambil dalam kuantiti yang sederhana tidak akan mendatangkan kesan mudarat. Semuanya terpulang kepada individu itu sendiri,” katanya.

Delima berasal dari Iran dan juga didapati di India, Afghanistan dan Syria. Daun delima mempunyai permukaan yang berkilat dan berbentuk oblong berukuran antara tiga hingga tujuh sentimeter (sm) panjang dan 1.3sm lebar.

Bunga delima berwarna merah terang, ada yang mempunyai bunga oren terang terutama bagi spesies delima katik atau kerdil (dwarf pomergranate) atau nama saintifiknya punica granatum nana.


MANFAAT DAN KEBAIKAN BUAH DELIMA
- Dapat menurunkan kadar kolesterol dalam darah. Penelitian dijalankan American Journal of Clinical Nutrition, mendapati antioksidan dalam delima dapat mengurangkan oksidasi LDL (kolesterol jahat) pada tikus. Hal ini menurunkan kadar LDL dan meningkatkan HDL (kolesterol baik).

- Dapat mencegah dan mengubati barah. Buah delima memiliki khasiat mencegah dan mengubati pelbagai jenis barah. Jus delima dapat menghancurkan sel barah payudara dan mengaktifkan sel sihat. Ini kerana ekstrak biji delima kaya dengan polifenol yang berupaya memulihkan leukemia.

- Ia merencatkan barah paru-paru dan prostat. Dalam penelitian terhadap 50 lelaki yang minum 205 gram jus delima setiap hari didapati melambatkan ukuran perkembangan barah prostat.

- Buah delima dikatakan mencegah dan melambatkan penyakit Alzheimer. Kajian dijalankan ke atas tikus yang diberi minum jus delima menunjukkan sel aktif meningkat.

- Kandungan gula dalam delima bertindak sebagai ‘penggosok’ untuk menyingkirkan sel kulit mati. Hasilnya kulit segar dan muda.

- Kulit buah delima boleh digunakan untuk menghilangkan jerawat. Kulitnya yang dijemur dikisar dan digunakan bersama sedikit air perahan limau nipis.

- Dapat menghilangkan kejang kaki yang biasa dihadapi wanita hamil.

- Bagi ibu mengandung, delima baik diambil kerana kandungan asid folik tinggi mencegah kecacatan tiub saraf yang menyebabkan kerosakan pada sumsum tulang belakang dan langit bibir sumbing pada bayi.

- Ketika membeli delima, pilih buah yang berat dan kulitnya bersih tanpa cela serta tidak merekah.

- Boleh dibeli banyak kerana ia tahan enam bulan dalam peti sejuk.

11/02/16

IBU BAPA PERLU TAHU LANGKAH KESELAMATAN KETIKA MENAIKI ESKALATOR


Pemakaian sandal atau kasut getah yang lembut oleh kanak-kanak perlu diberi perhatian dan diawasi oleh penjaga kerana ia lebih mudah ditarik atau tersangkut pada eskalator yang sedang bergerak.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa tanggungjawab bagi memastikan keselamatan ketika menggunakan eskalator terletak pada pemunya dan pengguna.

"Tanggungjawab pihak pemunya adalah sentiasa memastikan setiap eskalator yang dipasang di premis mereka disenggara mengikut jadual penyenggaraan yang ditetapkan oleh pembuat," katanya.

Tanggungjawab pengguna pula memerlukan mereka lebih berhati-hati dan berwaspada semasa menggunakan eskalator termasuk memastikan dan mengawasi anak-anak yang dibawa bersama, katanya.

Ini termasuk memastikan kaki berada dalam garisan yang ditetapkan (yellow demarcation line) serta mematuhi setiap arahan dan tatacara penggunaan yang disediakan oleh pihak pemunya.

"Sekiranya semua langkah ini dipraktiskan oleh pemunya dan pengguna, kemalangan boleh dielakkan," menurut kenyataan itu yang dikeluarkan susulan kes kemalangan eskalator di KL Sentral pada 8 Feb lalu, melibatkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun.

JKKP memandang serius insiden tersebut, tambah kenyataan itu. Jabatan itu sebelum ini menerima laporan 31 kes kemalangan melibatkan eskalator dari 2011 sehingga Mei 2015.


Ketahui 8 langkah keselamatan yang boleh dipraktikkan sama ada kepada diri sendiri mahupun anak-anak kecil.

1.Awasi kanak-kanak setiap kali menaiki eskalator. Jangan benarkan mereka duduk, bermain atau bersandar pada selusur tangga bergerak.

2.Sentiasa kekalkan jarak di antara kasut atau selipar dengan bahagian tangga yang sedang bergerak. Elakkan berdiri terlalu dekat dengan bahagian tepi eskalator.

3.Setiap kali melangkah, perhatikan pakaian yang bertali atau labuh agar tidak terperangkap di antara alur eskalator.

4.Pandang ke hadapan dan pegang kuat pemegang tepi eskalator. Larang kanak-kanak daripada memegang susur tangan kerana pergerakkannya yang laju boleh mengejutkan mereka.

5.Mendukung kanak-kanak kecil adalah lebih baik daripada menyuruh mereka menaiki sendiri eskalator.

6.Gunakan lif sekiranya membawa kereta sorong bayi, kerusi roda, skuter elektrik, bagasi dan lain-lain kerana kemalangan boleh berlaku sekiranya menggunakan eskalator.

7.Semasa melangkah meninggalkan eskalator, jangan teragak-agak lantaran kelewatan boleh menyebabkan kesesakan kepada pengguna lain di belakang.

8.Berdiri di sebelah kiri dan beri ruang kepada pengguna yang sedang bergegas berjalan di sebelah kanan.

Selain panduan keselamatan buat pengguna, beberapa langkah keselamatan tambahan disaran dilaksanakan bagi mengelak tragedi sama daripada berulang. Antaranya dengan memasang penghadang tambahan, penyangga (guard rail) dan jaring keselamatan.

9/02/16

LEBIH 3000 WANITA MENGANDUNG DI COLOMBIA TELAH DI JANGKITI VIRUS ZIKA


Lebih daripada 3,100 wanita mengandung di Colombia telah dijangkiti virus Zika bawaan nyamuk, kata Presiden Juan Manuel Santos kelmarin ketika virus itu terus menular dengan pantas di benua Amerika.

Virus tersebut telah dikaitkan dengan kecacatan bayi baru lahir dikenali sebagai mikrosefali yang menghalang otak bayi dalam kandungan berkembang secara normal.

Santos memaklumkan belum ada kes mikrosefali berkait dengan Zika direkodkan di Colombia tetapi terdapat 25,645 orang dijangkiti virus tersebut di Colombia setakat ini dengan 3,177 daripadanya adalah wanita mengandung.

“Perangkaan semasa menunjukkan kita mungkin berdepan dengan 600,000 kes jangkitan Zika,” kata Santos ketika berucap secara langsung di televisyen.

Tambahnya, Colombia mungkin menyaksikan sehingga 1,000 kes Sindrom Guillain-Barre iaitu sejenis penyakit serius jarang ditemui yang boleh menyebabkan kelumpuhan dan dikaitkan kerajaan di beberapa negara dengan jangkitan Zika.

Pihak berkuasa dan pemimpin masyarakat akan berusaha mengekang pembiakan nyamuk di seluruh negara ini dengan menyembur asap dan membantu penduduk membersihkan takungan air, tegas Santos.

Menteri Kesihatan Colombia, Alejandro Gaviria sebelum ini memaklumkan dia percaya tiga kematian boleh dikaitkan dengan jangkitan virus Zika. – Reuters

4/02/16

WHO KELUAR AMARAN GLOBAL MENGENAI VIRUS ZIKA


Bagi mengelak penularan jangkitan virus Zika, semua pelawat dari benua Amerika Selatan, Amerika Tengah dan rakyat Malaysia yang pulang dari benua berkenaan serta mempunyai gejala demam dan bintik-bintik dikehendaki melaporkan diri ke Pusat Kuarantin Kesihatan atau Pejabat Kesihatan berhampiran sebaik tiba di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Umum) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, wanita mengandung dari negara ini juga dinasihatkan supaya tidak melawat negara berkenaan.

Katanya, selain itu, kementerian juga akan akan mengedarkan nasihat kesihatan kepada pelancong dan rakyat Malaysia berkenaan langkah yang perlu diambil jika gejala berkenaan berlaku, selain dikehendaki terus ke klinik kesihatan berhampiran.

"Rakyat Malaysia lain yang ke negara berkenaan hendaklah mengambil langkah pencegahan dari digigit oleh nyamuk Aedes seperti tidak berada di luar ketika waktu puncak gigitan Aedes di awal pagi dan lewat petang, memakai pakaian menutupi anggota badan dan menggunakan ubat pencegahan gigitan (repelen) secara tetap.

"Kementerian juga akan mengeluarkan amaran kesihatan (health alert) kepada semua fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta, selain meningkatkan pemantauan di klinik dan hospital bagi kes yang mempunyai tanda Zika dan mempunyai sejarah perjalanan ke 22 buah negara yang melaporkan jangkitan virus Zika,"katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Negara yang dilaporkan mempunyai kes Zika dari rantau Amerika Latin adalah Barbados, Bolivia, Brazil, Colombia, Republik Dominika, Ecuador, El Salvador, French Guiana, Guadeloupe, Guatemala, Guyana, Honduras, Martinique, Mexico, Panama, Paraguay, Puerto Rico, Saint Martin, Suriname, US Virgin Islands, Venezuela dan Samoa.

Dr Lokman Hakim berkata, kementerian turut meningkatkan pemantauan terhadap kes 'microcephaly' iaitu kelahiran bayi dengan kepala atau otak mengecil yang dikaitkan dengan gejala saraf iaitu sindrom 'Guillain-Barre.

27/01/16

NYAMUK AEDES BAWA VIRUS BAHARU MAMPU MEMUDARATKAN KANDUNGAN IBU..


VIRUS ZIKA yang disebabkan oleh nyamuk Aedes merebak di sebahagian Amerika Latin dan Caribbean telah menimbulkan kebimbangan malah ia dikatakan penyebab bayi yang dilahirkan berkepala kecil di Brazil dan berkemungkinan turut menyebabkan beberapa isu kesihatan yang lain.

Memetik laporan AP, virus Zika (ZEE-ka) ditemui kali pertama pada monyet di Uganda pada tahun 1947. Namanya diambil dari sebuah hutan Zika iaitu lokasi virus itu ditemui.

Ia berasal terutamanya dari tropika Afrika dengan wabak di Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik dan muncul di Brazil tahun lalu dan sejak itu telah dilihat di banyak negara-negara Amerika Latin dan kepulauan Caribbean.

Virus Zika disebarkan melalui gigitan dari nyamuk dari jenis yang sama yang menyebarkan penyakit tropika yang lain seperti demam denggi, chikungunya dan demam kuning.

Ia bagaimanapun masih tidak diketahui sama ada ia merebak dari individu ke individu yang lain.

Pengkaji sedang mengkaji kemungkinan virus tersebut boleh dijangkiti melalui seks.

Ia ditemui di dalam air mani seorang lelaki di Tahiti dan terdapat satu lagi laporan mengenai kemungkinan penyebaran virus melalui hubungan seks.

Pertubuhan Kesihatan Dunia berkata, virus Zika cepat merebak di Amerika kerana ia adalah sesuatu yang baru di rantau itu.

Orang ramai masih tidak kebal (imun) kepada virus itu dan nyamuk Aedes aegypti (Aedes) ada dimana sahaja termasuklah sepanjang selatan Amerika Syarikat.

Hanya Kanada dan Chile yang tidak mempunyai nyamuk jenis ini.

SIMPTOM

Pakar berpendapat, orang yang dijangkiti virus Zika ini tidak jatuh sakit. Biasanya mereka hanya mengalami gejala ringgan seperti deman, ruam, sakit sendi dan mata merah yang hanya untuk tidak kurang dari seminggu.

Tiada ubat yang khusus dan tiada vaksin yang dibangunkan untuk itu yang berlaku untuk beberapa penyakit tropika lain yang menyebabkan wabak berkala.

APA YANG MENJADI KEBIMBANGAN SEKARANG

Di Brazil, ada bukti yang mengaitkan virus Zika yang menjangkiti wanita hamil akan menyebabkan kecacatan kelahiran yang dipanggil microcephaly di mana kepala bayi yang baru lahir adalah lebih kecil daripada biasa dan otak bayi mungkin tidak berkembang dengan baik.

Pegawai kesihatan Brazil Oktober lalu menyedari peningkatan yang mendadak dalam kes-kes microcephaly seiring dengan wabak Zika itu.

Bagaimanapun kaitan virus Zika masih dalam siasatan dan pegawai maklum bahawa banyak sebab keadaan tu. Hampir 4,000 kes yang berkemungkinan mempunyai kaitan.

Sementara itu, doktor juga mengambil perhatian kepada peningkatan laporan terhadap penyakit keadaan saraf yang dipanggil Guillain-Barre (gee-YAHN'-bah-RAY) yang boleh menyebabkan lumpuh.

Namun  kaitan penyakit itu kepada virus Zika masih tidak jelas.

ADAKAH JANGKITAN DAPAT DIHENTIKAN

Individu boleh melindungi diri mereka daripada gigitan nyamuk dengan menggunakan penghalau serangga dan memakai baju serta seluar lengan panjang terutama pada waktu siang, apabila nyamuk cenderung untuk menjadi yang paling aktif.

Pegawai kesihatan berkata, menghapuskan tempat pembiakan dan mengawal populasi nyamuk boleh membantu mencegah penyebaran virus.

NASIHAT PERJALANAN

Pegawai kesihatan AS mengesyorkan bahawa wanita hamil perlu mengambil kira untuk menangguhkan perjalanan ke 22 destinasi di Amerika Latin iaitu Bolivia, Brazil, Colombia, Ecuador, El Salvador, French Guiana, Guatemala, Guyana, Honduras, Mexico, Panama, Paraguay, Suriname dan Venezuela. Di Caribbean: Barbados, Guadeloupe, Haiti, Martinique, St. Martin dan Puerto Rico, Cape Verde, di luar pantai barat Afrika dan Samoa di Pasifik Selatan.

Di Brazil, kebanyakan ibu yang mempunyai bayi microcephaly telah dijangkiti semasa trimester yang pertama tetapi terdapat beberapa bukti kecacatan kelahiran boleh berlaku di peringkat akhir kehamilan.

Amaran perjalanan dikeluarkan kepada wanita di semua peringkat kehamilan.

26/01/16

KANSER OVARI PEMBUNUH SENYAP KAUM WANITA?


KANSER OVARI adalah pembunuh wanita secara senyap. Bukan sahaja salah satu kanser reproduktif wanita yang paling berbahaya dan sukar dirawat, ia juga sering lambat dikesan.

Sering disedari hanya bila tiba tahap yang tinggi iaitu tahap tiga dan empat, simptomnya yang tidak nyata membuatkan ia sukar dikesan.

Penyakit yang amat berbahaya ini merupakan punca kepada kebanyakan kematian daripada mana-mana kanser reproduktif yang lain.

Tidak seperti kanser-kanser reproduktif yang lain seperti kanser pangkal rahim yang sering diterangkan kepada umum, ramai yang tidak sedar akan kanser ovari.

Sedangkan, berdasarkan Pendaftaran Kanser Kebangsaan 2006 di Malaysia, kanser ovari merupakan kanser keempat paling banyak ditemui dalam kalangan wanita.

Menurut Konsultan Perubatan Onkologi Hospital Beacon, Dr. Azura Rozila Ahmad, penemuan pada tahap yang tinggi membuatkan ia sukar dirawati kerana ia telah merebak ke organ lain.

Kanser ovari sememangnya diagnosis yang menakutkan tetapi tahap kejayaan untuk pulih bergantung kepada tahap kanser yang ditemui.

Malangnya, kira-kira 70 peratus kanser ovari dikesan pada tahap yang tinggi bermaksud hanya dalam satu daripada lima ditemui di peringkat awal sedangkan 90 peratus kanser ovari di tahap satu boleh dirawat.

Simptom kanser ovari tidak jelas seperti perut buncit, perubahan cara pembuangan air besar, kurang nafsu makan, cepat kenyang dan rasa tidak selesa di bahagian perut.

“Simptom tersebut sering disalah erti sebagai masalah biasa membuatkan mereka tidak bertemu dengan pakar untuk mengadakan pemeriksaan terperinci,” terangnya ketika ditemui di Hospital Beacon, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Terang Dr. Azura, selain simptomnya yang tidak nyata, diagnosis kewujudan kanser ini menggunakan pengimejan ultra bunyi dan CT-Scan hanya dapat mengesahkan kewujudan ketum­buhan kerana ia terlalu jauh di dalam pelvis.