Memaparkan catatan dengan label UBAT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label UBAT. Papar semua catatan

31/03/15

RAHSIA KHASIAT DAUN SALAM


Kegunaan daun salam atau juga dikenali daun bay bukan sekadar penyedap rasa masakan, malah berkhasiat untuk membantu mengatasi pelbagai masalah kesihatan dan mengekalkan kesegaran tubuh.Daun salam dikatakan mampu melawan beberapa jenis kanser, malah pengambilan daun salam secara teratur dapat meningkatkan daya tahan tubuh dan menjaga kesihatan.

Mencegah kanser
Daun salam kaya dengan vitamin C, vitamin A, zat besi, kalsium dan magnesium. Kandungan lain yang terdapat di dalam daun salam antaranya adalah kandungan asid caffeic, eugenol, quercetin dan catechin. Parthenolide adalah zat fitonutrien yang terkandung di dalam daun salam. Zat ini dipercayai dapat menyingkirkan sel kanser serviks dengan cara menginduksi apoptosis, meminimumkan aktiviti penggalak tumor dan menyingkir tumor yang berhubung dengan angiogenesis. Untuk menggunakan daun ini, masukkan dua lembar daun salam dalam setiap masakan atau menjadikannya teh.


Baik untuk kesihatan jantung
Daun salam mengandung beberapa bahagian penting untuk kesihatan tubuh seperti asid caffeic, fitonutrien dan salisilat yang berperanan penting untuk menjaga kesihatan jantung sehingga seseorang yang mengambil daun salam atau mencampurkan daun salam ke dalam masakannya berisiko rendah untuk diserang penyakit jantung.

Mengatasi radang
Kandungan parthenolide dalam daun salam berkhasiat sebagai agen antiradang semula jadi. Daun salam membantu untuk menangani penyakit artritis dan beberapa jenis radang lain. Selain itu, daun salam juga dapat membantu mengatasi gangguan ketika haid pada wanita, mengatasi reumatik, mengubati luka dan mengatasi gangguan kencing. Untuk memperoleh manfaat ini, anda boleh merebus 10 lembar daun salam dengan tiga gelas air. Rebus dan minum ramuan tersebut setiap hari secara teratur.

Mengubati gangguan pencernaan
Khasiat daun salam juga dipercayai dapat membantu mengubati gangguan pencernaan dan gangguan perut. Enzim yang terdapat di dalam daun salam dapat membantu mengatasi kerosakan protein dan memperbaiki sistem pencernaan. Jika anda mengalami gangguan pencernaan, minum air rebusan daun salam secara teratur.

Mengatasi penyakit diabetes
Daun salam berkhasiat sebagai antioksidan, antiinflamasi, antikulat dan antibakteria. Sifat antioksidan yang dimiliki daun salam dapat membantu mengatasi penyakit diabetes. Dengan antioksidan yang cukup, tubuh penderita diabetes pun dapat memproses hormon insulin dengan lebih baik.

Baik untuk darah tinggi
Daun salam memiliki kandungan flavonoid dan zat tanin yang cukup banyak untuk membolehkannya mengatasi tekanan darah tinggi. Untuk menyebuhkan darah tinggi dengan daun salam, siapkan 10 lembar daun salam. Cuci bersih daun alam dan rebus dengan tiga gelas air. Didihkan dan biarkan hingga airnya hanya tersisa satu gelas saja. Minum ramuan ini satu kali sehari secara teratur.

Penyakit gout
Daun salam juga sangat bermanfaat untuk menangani gout. Ia mengandungi vitamin B kompleks dan vitamin C yang dapat membantu mengubati gout. Untuk mengubati gout, sediakan 10 lembar daun salam yang sudah dijemur kering. Cuci daun terbabit hingga bersih. Rebus daun salam dengan 10 gelas air dan biarkan sampai hanya tinggal tujuh gelas. Minum air daripada rebusan daun salam terbabit semasa masih panas.

Meningkatkan daya tahan tubuh
Daun salam juga bermanfaat untuk meningkatkan daya tahan tubuh kerana daun salam mengandung vitamin C dan memiliki sifat antioksidan semula jadi sehingga dapat meningkatkan sistem kekebalan tubuh. Untuk mendapatkan khasiat daun salam, campurkan daun salam dalam masakan.

Membantu program diet sihat
Mengambil air rebusan daun salam juga dapat menjadi salah satu penyelesaian diet semula jadi kerana daun salam mengandung enzim dan serat. Jika ingin menjalankan diet sihat dengan daun salam, sediakan 30 lembar daun salam, cuci bersih dan rebus dalam empat gelas air. Didihkan dan biarkan sampai airnya tinggal separuh. Tunggu hingga sejuk dan minum ramuan ini dua gelas setiap hari secara rutin sebelum tidur.

2/01/15

APA ITU POLIFARMASI?


Apa itu polifarmasi? Polifarmasi atau juga dikenali sebagai pengambilan pelbagai jenis ubat merujuk kepada keadaan apabila seseorang pesakit mengambil lebih daripada empat jenis ubat secara serentak untuk merawat satu atau lebih penyakit.

Golongan yang kerap terdedah kepada kesan buruk polifarmasi adalah warga emas. Ini kerana ramai antara mereka mempunyai lebih daripada satu jenis penyakit. Bagaimanapun, pesakit lain juga berisiko mendapat kesan buruk polifarmasi jika mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Mempunyai lebih daripada satu penyakit dan mengambil rawatan ubat-ubatan.
2. Mengambil pelbagai ubat herba, tradisional dan komplimentari, vitamin dan ubat-ubatan am (produk 'over the counter'-OTC).
3. Mengambil ubat-ubatan tidak berdaftar bersama ubat terkawal.
4. Berjumpa lebih seorang dok­tor atau ahli farmasi untuk mendapatkan rawatan dan nasihat.
5. Mempunyai masalah penglihatan atau pendengaran yang menyebabkan gangguan untuk membaca label ubat atau mendengar arahan pengambilan ubat yang disampaikan.
6. Mempunyai penyakit seperti mudah lupa atau nyanyuk.
7. Tinggal berseorangan dan tiada penjaga untuk membantu pengambilan pelbagai jenis ubat.

Antara kesan buruk yang mungkin berlaku disebabkan polifarmasi adalah kesilapan pengubatan, ketidakpatuhan pengambilan ubat, peningkatan risiko mengalami kesan sampingan dan kesan mudarat ubat, peningkatan kadar kemasukan hospital, peningkatan risiko mengalami tidak balas ubat dan peningkatan kos perubatan.

Kesilapan pengubatan boleh berlaku kerana pesakit mudah keliru kepada arahan pengambilan ubat apabila jumlah ubat yang perlu diambil melebihi empat jenis.

Bagi golongan warga emas pula, risiko berlaku kesilapan pengubatan semakin tinggi kerana penglihatan dan pendengaran yang kurang serta masalah mudah lupa atau nyanyuk yang dialami.

Selain itu, amalan mendapatkan rawatan dari beberapa tempat juga boleh menyebabkan berlaku kesilapan pengubatan. Pesakit akan menerima pelbagai jenis ubat daripada pelbagai tempat rawatan dikunjungi. Keadaan ini menyebabkan pesakit mudah keliru ketika mengambil ubat dan dikhuatiri mengambil ubat sama tetapi berlainan bentuk dan warna.

Polifarmasi juga boleh me­nyumbang kepada ketidakpatuhan pesakit dalam pengambilan ubat. Perkara ini berlaku apabila pesakit perlu mengambil ubat dalam kuantiti banyak. Semakin banyak jenis ubat perlu diambil, semakin kompleks cara pengambilan ubat.

Seterusnya ia boleh menyebabkan pesakit kurang bermotivasi, mudah lupa dan pesakit mula memilih jenis ubat yang hendak diambil dan selebihnya ditinggalkan.Dalam golongan warga emas pula, masalah menelan ubat yang banyak antara faktor utama ketidakpatuhan dalam pengambilan ubat.

Apabila banyak jenis ubat perlu diambil, interaksi antara ubat juga boleh berlaku. Mungkin interaksi antara ubat terkawal untuk rawatan penyakit kronik dipertimbangkan oleh doktor dan ahli farmasi ketika pemberian ubat itu. Namun pengambilan ubat herba, ubat tradisional dan ubat am (OTC) secara sendirian tanpa pengetahuan doktor bersama ubat terkawal boleh menyebabkan berlaku interaksi ubat.

Seterusnya, interaksi ubat boleh menyebab­kan kesan sesuatu ubat itu berkurangan atau bertambah. Jika interaksi itu menyebabkan kesan ubat berkurangan, dikhuatiri ubat itu tidak dapat memberi kesan sepatutnya kepada pesakit mengikut dos diberi. Jika interaksi itu menyebabkan kesan ubat bertambah, ia mungkin mencapai tahap toksik dan boleh memudaratkan pesakit.

Kesan tidak langsung daripada kesilapan pe­ngubatan, ketidakpatuhan pengambilan dan interaksi ubat-ubatan akibat polifarmasi pula boleh penyebabkan kadar kemasukan ke hospital meningkat dan seterusnya meningkatkan kos rawatan pada masa depan.

Tip mengelak polifarmasi dan kesan buruknya
Sebagai langkah berjaga-jaga, masyarakat dinasihatkan lebih berhati-hati dalam pengambilan ubat supaya masalah polifarmasi dapat ditangani. Antara amalan yang membantu mengelak polifarmasi adalah sentiasa berbincang dengan doktor atau ahli farmasi berkaitan penggunaan ubat diberi serta ubat tambahan yang diambil dalam rawatan kendiri.

Pesakit juga boleh bawa bersama semua ubat yang diambil setiap kali bertemu doktor atau ahli farmasi untuk mendapatkan nasihat sesuai.

Pembabitan pesakit untuk mengatasi polifarmasi sangat penting. Melalui pembabitan ini, semua informasi tambahan seperti pengambilan ubat herba, tradisional dan komplimentari, vitamin dan ubat-ubatan am (OTC) dapat dikenal pasti dan nasihat sesuai dapat diberi oleh dok­tor dan ahli farmasi.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1 800-88-6722.

Disediakan oleh: Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan

19/12/14

KETAHUI KESAN SAMPINGAN UBAT KEPADA ANAK ANDA


Dalam merawat kanak-kanak, penggunaan ubat yang selamat sangat penting kerana tindak balas tubuh kanak-kanak terhadap ubat tidak sama dengan orang dewasa. Ini kerana wujud perbezaan keadaan fisiologi dan kematangan organ dalam tubuh mengikut peringkat usia dan perkembangan mereka.

Kanak-kanak lebih terdedah kepada risiko mendapat kesan toksik dan kesan sampingan ubat jika berlaku kesilapan pemberian dos ubat. Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting, terutama dalam aspek kesedaran dan pengetahuan berkaitan penggunaan ubat yang betul dan selamat untuk kanak-kanak.

Antara pengetahuan penting harus diberi penekanan adalah cara penyediaan, pengambilan dan penyimpanan ubat untuk memastikan keselamatan dan keberkesanannya ketika digunakan.

Cara pengambilan ubat juga penting bagi memastikan kanak-kanak mendapat rawatan optimum. Ibu bapa atau penjaga perlu mengikut arahan doktor dan ahli farmasi dalam memastikan keberkesanan rawatan.

Pengetahuan berkaitan ubat yang betul, dos yang betul, cara dan masa pengambilan yang betul serta tempoh rawatan ubat yang optimum dapat membantu dalam pemulihan dan pencegahan penyakit.

Beberapa jenis ubat memerlukan penyediaan khas. Sebagai contoh, ubat antibiotik yang biasanya dibekalkan dalam bentuk serbuk perlu dilarutkan dengan air dalam sukatan yang ditetapkan sebelum diberi kepada kanak-kanak.

Ibu bapa atau penjaga perlu tahu cara penyediaan dan sukatan betul dalam memastikan ketepatan dos bagi mengelak kesilapan dos ubat yang membahayakan kanak-kanak.

Cara penyimpanan ubat juga tidak kurang pentingnya. Bukan saja kanak-kanak, malah ubat-ubatan dewasa perlu disimpan dengan selamat. Maklumat penyimpanan ubat yang betul boleh didapati dalam sisip bungkusan atau pada label sesuatu ubat. Suhu, kelembapan dan cahaya mempengaruhi kestabilan dan keberkesanan ubat.

Selain itu, ubat perlu disimpan di tempat yang sukar dicapai kanak-kanak bagi mengelak kes termakan ubat secara berlebihan atau tersalah makan ubat orang dewasa.

Ubat diberi kepada kanak-kanak mesti disukat dengan betul menggunakan sudu penyukat atau picagari penyukat. Amalan memasukkan ubat dalam makanan atau minuman seperti susu tidak digalakkan bagi memastikan semua dos ubat yang diperlukan diambil dengan tepat.

Kesilapan pengubatan
Kesilapan pengubatan boleh berlaku di mana-mana dan dilakukan oleh sesiapa saja. Antara kesilapan yang kerap berlaku adalah pemberian dos dan penggunaan ubat yang tidak disaran pemberiannya untuk kanak-kanak.

Sering berlaku anggapan bahawa dos kanak-kanak adalah separuh daripada dos orang dewasa. Anggapan ini tidak benar kerana dos kanak-kanak ditentukan oleh berat badan. Pengetahuan berkaitan dos betul sangat penting untuk mengelak kesan sampingan atau kesan toksik akibat kesilapan pemberian dos ubat.

Selain itu, ibu bapa atau penjaga perlu faham tujuan dan fungsi setiap ubat dibekalkan untuk mengelak penggunaan ubat yang tidak diperlukan.

Sebagai contoh, penggunaan ubat batuk dan selesema dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur dua tahun. Pada 2008, Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA) mengeluarkan amaran berkaitan penggunaan ubat batuk dan selesema untuk kanak-kanak di bawah umur dua tahun tanpa arahan doktor.

Ubat batuk dan selesema mudah diperoleh di kedai kesihatan dan runcit, oleh itu pemantauan penggunaannya sukar. Beberapa kes kesan sampingan buruk seperti sawan, peningkatan kadar denyutan jantung dan koma serta kes kematian dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur dua tahun yang diberi ubat batuk dan selesema di seluruh dunia.

Hasil kajian dan penyelidikan juga mendapati tiada bukti kukuh menunjukkan keberkesanan ubat ini dalam kalangan kanak-kanak berumur kurang dari dua tahun. Oleh itu, Kementerian Kesihatan menarik balik indikasi penggunaan ubat batuk dan selesema dalam kalangan kanak-kanak kurang dari dua tahun.

Kesan toksik dan kesan sampingan
Keadaan fisiologi dan organ badan tidak matang boleh melambatkan kadar perkumuhan ubat daripada tubuh kanak-kanak. Perkara ini menyebabkan ubat terkumpul di dalam tubuh dan boleh mengakibatkan kesan toksik atau kesan sampingan yang tidak diingini seperti gangguan fungsi buah pinggang atau hati.

Ada juga kesan sampingan berbentuk alahan seperti sesak nafas, keradangan atau kegatalan kulit disebabkan oleh kesan toksik. Oleh itu, kanak-kanak mempunyai risiko tinggi untuk mendapat kesan ini dan ibu bapa atau penjaga perlu tahu dan mengenal pasti kesan ini pada peringkat awal.

Selain itu, jika ada sejarah alahan terhadap ubat, ibu bapa atau penjaga harus memaklumkan doktor atau ahli farmasi ketika mendapatkan rawatan untuk mengelak perkara seperti ini berulang. Pesakit yang diberi kad alahan perlu membawa kad ketika berjumpa doktor.

Nasihat untuk ibu bapa atau penjaga
Semua informasi penting berkaitan ubat ada pada label ubat. Ibu bapa atau penjaga perlu membaca label ubat dengan teliti supaya tidak tersalah memberi ubat. Elak berkongsi ubat walaupun untuk simptom penyakit sama. Ini kerana, simptom penyakit mungkin sama tetapi penyakit berbeza.

Ibu bapa harus sedar ubat bukan saja boleh memulihkan, bahkan memudaratkan anak jika tidak diguna dengan betul dan selamat. Masyarakat dan ibu bapa atau penjaga perlu mengambil berat pengambilan ubat anak bawah jagaan mereka.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai ubat, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1800-88-6722. Disediakan: Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan.

11/12/14

DUA PRODUK DIET DI KATEGORI MERBAHAYA

Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli atau memakan dua produk menurunkan berat badan haram yang diperoleh secara dalam talian, sehingga menyebabkan dua remaja dimasukkan ke hospital kerana mengalami halusinasi dan kegagalan buah pinggang yang teruk selepas menggunakannya.

Salah satu produk, 'Nutri Drops Grapefruit Diet' diuji oleh HSA mengandungi bahan kimia yang tidak diisytiharkan seperti sibutramine, benzyl sibutramine (sejenis sebatian berkaitan kimia daripada sibutramine) dan phenolphthalein, kata pihak berkuasa itu dalam kenyataan.

Sibutramine, sejenis ubat menurunkan berat badan diharamkan di Singapura sejak 2010 berikutan kebimbangan keselamatan yang serius terhadap pengguna.

Paras sibutramine yang dikesan dan ditemui adalah pada kuantiti yang tinggi dan boleh meningkatkan toksik dalam produk tersebut.

Produk kedua adalah 'Nutrex Research Adipodex' yang dipasarkan secara dalam talian sebagai makanan diet tambahan dan dilabel mengandungi yohimbine iaitu mengandungi ramuan perubatan barat yang tidak dibenarkan dijual dalam makanan tambahan yang dijual di negara ini. 

Kedua-dua kes penyakit serius berkaitan dengan produk menurunkan berat badan yang menyalahi undang-undang itu, dilaporkan kepada HSA oleh mereka yang profesional dalam penjagaan kesihatan, baru-baru ini.

Seorang remaja mengalami halusinasi selepas memakan 'Nutri Drops Grapefruit Diet' lebih daripada sebulan untuk mengurangkan berat badan dan beliau telah dimasukkan ke hospital.

Seorang lagi individu berusia 20-an menggunakan 'Nutrex Research Adipodex' yang diiklankan untuk menurunkan berat badan dan mengalami kegagalan buah pinggang yang teruk menyebabkan beliau dimasukkan ke hospital.

Kedua-dua produk berkenaan dibeli secara dalam talian dan dikatakan dapat membantu mengurangkan berat badan. 

'Nutri Drops Grapefruit Diet' dilabel mengandungi bahan-bahan semula jadi seperti anggur, 'raspberry ketone', 'hawthorn berry', teh hijau dan delima tetapi dikesan mengandungi bahan-bahan yang diharamkan.- Bernama





30/11/14

APAKAH RISIKO MAKAN UBAT KETIKA MENYUSU BAYI?


Kementerian Kesihatan meng­galakkan amalan penyusuan susu ibu kepada bayi yang baru lahir. Amalan penyusuan susu ibu adalah diet terbaik untuk bayi kerana ia memberi fa­edah nutrisi yang lengkap dan berupaya meningkatkan sistem pertahanan tubuh daripada jangkitan kuman. Ia juga boleh mengurang­kan risiko alahan kepada bayi.

Tempoh penyusuan ibu yang disaran adalah sehingga anak berusia dua tahun. Sepanjang tempoh itu ada kalanya pengambilan ubat-ubatan adalah satu keperluan kepada ibu.

Ramai ibu yang menyusukan anak tidak pasti sama ada boleh meneruskan penyusuan atau tidak jika mengambil ubatan. Justeru penting bagi ibu yang menyusukan anak mengetahui jenis ubat-ubatan yang berse­suaian diambil atau sebaliknya ketika tempoh penyusuan.

Kerisauan timbul kerana ada ubat-ubatan yang diambil boleh meresap masuk ke dalam susu ibu. Situasi seperti ini boleh mendatangkan kemudaratan kepada bayi jika kepekatan ubat yang memasuki susu ibu adalah tinggi.

Selain itu, fungsi organ seperti hati dan buah pinggang pada bayi yang baru lahir belum cukup matang. Keadaan ini menjadi lebih kritikal lagi jika bayi dilahirkan pramatang.

Bagaimanapun, tidak semua ubat-ubatan itu berbahaya jika diambil ketika penyusuan.

Berikut beberapa contoh ubat-ubatan yang perlu diberi perhatian oleh ibu yang menyusukan anak, terutama baru lahir atau pramatang. Ubat-ubatan seperti ini boleh meresap masuk ke dalam susu ibu dalam kepekatan tinggi, seterusnya memberi kesan terapeutik ubat kepada bayi.

Sebagai contoh ubat darah tinggi seperti atenolol, ubat sawan seperti lamotrigine dan phenobarbitone, ubat antikemurungan seperti citalopram, fluoxetine dan venlafaxine, ubat antibiotik seperti metronidazole dan ubat tahan sakit yang selalu digunakan dalam rawatan radang sendi (arthritis) seperti piroxicam.

Contoh seterusnya adalah ubat-ubatan yang tidak selamat diambil ketika penyusuan kerana boleh memberi kesan sampi­ngan kepada bayi yang disusukan. Ubat-ubatan ini untuk rawatan penyakit parkinson seperti amantadine, ubat untuk rawatan jantung seperti amiodarone.

Ubat dalam kumpulan statin untuk rawatan kawalan lipid atau antikolesterol seperti atorvastatin, fluvastatin dan simvastatin, ubat untuk rawatan kanser, ubat untuk rawatan sakit mental seperti clozapine dan ubat untuk rawatan radang sendi (artritis) seperti sspirin dalam dos tinggi dan digunakan secara berterusan.

Ada juga ubat boleh mengurangkan pengeluaran susu ibu dan menyebabkan bayi mudah meragam. Contohnya ubat antihistamin seperti chlorpheniramine dan loratadine, sediaan ubat batuk dan selesema seperti dekstrometorfan dan pseudoefedrin.

Nikotin daripada tabiat merokok atau yang digunakan dalam rawatan terapi gantian, ubat darah tinggi dalam kumpulan diuretics thiazide, ubat hormon kontraseptif mengandungi hormon estrogen dan ubat yang digunakan untuk penyakit parkinson seperti bromokriptin.

Ada beberapa petua bagi me­ngurangkan pendedahan bayi terhadap ubat-ubatan ketika penyusuan. Antaranya, memberhentikan sementara waktu pengambilan ubat-ubatan yang tidak diperlukan.

Jika terpaksa ambil pun, pastikan sebaik selesai menyusukan anak supaya kepekatan ubat tidak terlalu tinggi apabila tiba sesi seterusnya. Penting diingat supaya susukan bayi dulu, kemudian baru ambil ubat atau boleh juga perah susu dulu sebelum me­ngambil ubat dan simpan susu untuk sesi penyusuan seterusnya.

Ibu perlu berbincang dengan doktor untuk menggantikan ubat yang tidak selamat diambil ketika penyusuan kepada ubat alternatif yang lebih selamat. Jika tiada ubat alternatif yang boleh ditukar ganti, ibu dinasihatkan berhenti menyusukan anak secara keseluruhan atau buat sementara waktu dalam tempoh rawatan menggunakan ubat-ubatan.

Demi memastikan bekalan susu tidak putus, kaedah perah dan buang boleh digunakan. Kaedah ini sesuai diamalkan dalam situasi terpaksa memberhentikan penyusuan anak buat sementara waktu ketika menjalani rawatan menggunakan ubat-ubatan. Kaedah seperti memastikan proses penyusuan boleh disambung semula selepas selesai rawatan kerana bekalan susu tidak putus atau kering.

Mana-mana ubat yang tidak dinyatakan dalam artikel ini tidak bermaksud ia selamat digunakan ketika penyusuan. Oleh itu, ibu harus sentiasa berwaspada dalam pengambilan ubat ketika penyusuan bayi. Minta nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil sesuatu ubat.

Ingat, susu ibu adalah sumber diet terbaik untuk bayi. Oleh itu, berusaha menyusukan anak dengan susu ibu.

Disediakan Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia. Sebarang pertanyaan lanjut mengenai ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1800-88-6722.