13/11/15

KANAK-KANAK MUDAH TERDEDAH PADA ALAHAN PERSEKITARAN


PUNCA MASALAH kesihatan yang dilihat semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak hari ini sebahagiannya adalah berpunca daripada persekitaran yang tidak sihat.

Dengan keadaan pencemaran udara termasuk jerebu yang melanda negara baru-baru ini, ibu bapa dinasihatkan agar mengambil langkah proaktif dengan mengurangkan aktiviti luar anak masing-masing.

Persekitaran yang tercemar boleh menyebabkan masalah kesihatan menjadi bertambah teruk terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai alahan.

Gangguan alahan bukan hanya dialami oleh orang dewasa malah golongan kanak-kanak. Alahan awal yang dikenali sebagai alahan rhinitis ini akan menjadi lebih serius sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Menurut Pakar Telinga, Hidung, Tekak, Kepala, dan Leher, Hospital Pakar Ampang Puteri, Datuk Dr. Narizan Ariffin, alahan rhinitis merupakan permulaan penyakit alahan dalam hidung yang akan dialami oleh sesiapa sahaja sebelum merebak dan menjadi lebih teruk.

Untuk itu, tambahnya, rawatan awal perlulah diberikan kepada pesakit untuk mengelakkan perkara yang lebih serius terjadi terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak.

Ini kerana sekiranya merebak, penyakit tersebut susah untuk diubati dan dipulihkan seperti sedia kala.
“Tanda-tanda awal yang menunjukkan seseorang itu sedang mengalami alahan rhinitis adalah kerap bersin, hidung berhingus, hidung tersumbat, dan gatal di sekitar hidung.

Alahan rhinitis berlaku apabila membran hidung mengalami radang dan akan mengakibatkan berlendir akibat pendedahan dan pencemaran dalam udara.

Apabila bahan yang mencetuskan alahan dan antibodi bercampur, badan akan memberi tindak balas dengan menyedari kehadiran bahan-bahan kimia tertentu seperti histamina, leukotrienes, dan prostaglandin.

“Sekiranya alahan rhinitis ini tidak dibendung pada peringkat awal akan menjadi lebih serius, bukan sahaja menyebabkan penyakit sinusitis malah boleh mengakibatkan hidung berdarah,” ujarnya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai hal tersebut, Dr. Narizan memberitahu, selama ini orang ramai beranggapan simptom yang berlaku terhadap penyakit alahan ini adalah sinus.

Sebenarnya tanggapan tersebut tidak benar kerana sinus bermaksud rongga kosong yang terdapat di dalam tulang tengkorak atau pipi di bahagian muka.

Beritahunya lagi, sinusitis adalah penyakit yang berpunca daripada alahan rhinitis, yang mana semua rongga-rongga sinus akan tersumbat sama ada oleh nanah atau hingus.

Sinusitis boleh menyebabkan kesakitan dan sakit apabila disentuh dan membengkak di sekeliling mata, pipi, hidung atau pun dahi.

Begitu pun beliau berkata, sinusitis jarang dijangkiti kanak-kanak melainkan mereka memasukkan benda ke dalam lubang hidung.

Tuturnya lanjut, melalui penyakit alahan rhinitis ini, kanak-kanak juga boleh menghidap penyakit asma dan ekzema. Keadaan itu akan berlaku pada masa yang sama, bagaimanapun penyakit asma akan berkurangan sekiranya alahan rhinitis ini dirawat pada peringkat awal.

Alahan rhinitis sebenarnya berpunca daripada habuk-habuk di dalam rumah dan juga persekitaran termasuklah asap rokok dan tidak terkecuali makanan, ubat-ubatan dan susu tepung.

“Selain itu elakkan atau jauhkan anak-anak daripada terlalu rapat dengan haiwan peliharaan seperti kucing, kerana bulu binatang boleh menyebabkan alahan rhinitis. Begitu juga persekitaran dalam rumah seperti permaidani yang mudah mengumpul habuk,” sambung beliau lagi.

Bercakap pula mengenai rawatan untuk alahan rhinitis, Dr. Narizan memberitahu, untuk kanak-kanak, ujian darah akan dilakukan dan sekiranya antibodi Immunoglobin E (IgE) tinggi maka anak anda sememangnya mempunyai alahan.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihatkan kepada mereka yang sememangnya mempunyai penyakit alahan, elakkan atau jauhi benda-benda yang boleh menyebabkan alahan terjadi.

Ini kerana sekiranya pesakit hanya bergantung kepada pengambilan ubat, keputusan yang diperoleh tidak 100 peratus.

Dan untuk pengambilan ubat pula, biasanya kanak-kanak ini akan dibekalkan dengan ubat-ubatan anti alahan selain ubat semburan untuk membuka rongga-rongga sinus.

Yang pasti, kadar kesedaran masyarakat terhadap alahan hari ini masih belum memuaskan. Disebabkan faktor ini, ramai pesakit tidak mendapatkan diagnosis doktor atau rawatan lebih awal sehingga menjurus kepada pelbagai masalah seperti sakit kepala, gangguan tidur, kurang daya tumpuan, lelehan hingus, dan sesak nafas.

9/11/15

AWAS, SERANGAN STROK DI KALANGAN ORANG MUDA MENINGKAT


TANGGAPAN serangan strok hanya berlaku kepada orang yang lebih berusia dan tidak perlu dibimbangi golongan muda adalah salah sama sekali, kerana berita buruk itu boleh terjadi pada sesiapa sahaja tanpa dibatasi faktor usia mahupun jantina.

Setiap tahun, lebih  50,000 kes  baru berkaitan strok atau angin ahmar direkodkan di Malaysia dan ia terus meningkat dari tahun ke tahun.

Perunding Neurologi Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC), Dr. Loh Pei Kee memaklumkan, kini risiko strok terhadap golongan muda semakin meningkat dan ia agak membimbangkan.

Mungkin sekitar 20 tahun lepas sering kita dengar orang yang diserang strok pada usia 40 atau 50 tahun, namun sekarang ini bukan sahaja ia boleh terjadi pada kanak-kanak malah mereka dalam golongan usia 20 hingga 30 tahun merupakan kumpulan yang semakin meningkat risikonya.

“Saya rasa golongan ini yang lebih penting kerana mereka mempunyai risiko tertentu yang menyebabkan mereka mendapat strok ada usia muda," ujarnya.

Menurutnya, tabiat merokok adalah salah satu daripada amalan gaya hidup tidak sihat yang menjadi punca utama strok kerana ia boleh menyebabkan salur darah tersekat seterusnya merosakkan fungsinya.

“Satu lagi faktor adalah diet. Sekarang ini ramai golongan muda tidak menjaga diet mereka dengan baik hinggakan mereka berisiko mendapat kencing manis, darah tinggi dan serangan jantung,” jelasnya.

Dr. Loh menambah, semua tabiat itu hanya akan mempercepatkan kemerosotan fungsi sistem kesihatan tubuh dan disebabkan itu juga, risiko strok yang lazimnya terjadi dalam kalangan golongan lebih berusia sudah meluas demografinya .

PEMULIHAN DAN SOKONGAN

Kajian bagaimanapun mendapati 80 peratus pesakit strok dapat dirawat dengan mengubah gaya hidup kepada amalan yang lebih sihat dan mendapatkan rawatan susulan.

Apabila diserang strok, pendarahan atau bahagian otak yang terjejas itu mungkin agak besar. Mangsa yang dalam keadaan tidak sedarkan diri perlu segera dihantar ke hospital. Dalam situasi itu kematian mungkin boleh berlaku.

“Namun, tidak semua serangan strok membawa maut. Jika bahagian yang terjejas itu tidak berapa besar, peluang untuk hidup itu cerah dan pesakit perlu dirawat untuk membolehkan mereka boleh diselamatkan," jelas Perunding Neurologi di ADMC, Dr. N. Ramesh Narenthiranathan.

Rawatan itu juga penting kerana ia boleh mengembalikan kemampuan seseorang pesakit untuk berdikari dalam urusan seharian tanpa bergantung kepada bantuan orang lain.

Katanya lagi, dengan mendapatkan rawatan yang cepat dan mengikuti proses rehabilitasi dalam tempoh enam bulan hingga dua tahun, pesakit strok boleh pulih sepenuhnya seperti sedia kala.

Rawatan yang pantas dengan proses rehabilitasi membolehkan pesakit strok menjalani kehidupan normal.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ADMC, Su TL Lee, selain mengikuti rawatan khusus, proses pemulihan pesakit juga memerlukan sokongan moral yang kuat daripada keluarga dan masyarakat sekeliling.

"Masa itu penting. Seperti saya katakan, anda perlu kenal pasti simptom strok dan segera ke hospital yang mempunyai fasiliti yang betul, doktor dan pakar dengan teknologi terkini untuk bantu pesakit pulih daripada strok," jelasnya.

Serentak itu,  ADMC melancarkan Hotline pertama bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat perkhidmatan perubatan terbaik dengan cepat.

Pusat Perkhidmatan Komprehensif Strok yang  beroperasi 24 jam sehari itu boleh dihubungi di talian 019-217 9442 atau 03-7839 9987.

4/11/15

ENAM PERKARA PENTING YANG HARUS ANDA TAHU BILA PERTAMA KALI MENIMANG CAHAYA MATA


LAHIRNYA si kecil membuatkan, ibu bapa baru cukup teruja. Pelbagai perkara mahu dilakukan untuk bayi tapi berpada-padalah. Kawal keterujaan itu papa dan mama.

Enam perkara ini terutamanya jangan dilakukan pada bayi baru lahir. Untuk ibu bapa baru, tip ini perlu anda tahu. Pelbagai perkara mahu dilakukan untuk bayi tapi berpada-padalah. Kawal keterujaan itu papa dan mama. Untuk ibu bapa baru, tip ini perlu anda tahu.

1. Jangan beri sembarangan orang cium
Memang nampak macam ‘over’ tapi pada minggu pertama hidup bayi, pendedahan ada bakteria dan kuman boleh beri masalah serius. Sebabnya sistem imuniasi mereka belum berfungsi sepenuhnya.

Jadi sebagai ibu prihatin pastikan sesiapa yang ingin mencium dan memegang bayi anda dalam keadaan bersih. Jika nampak kotor, berilah apa-apa alasan atau terus terang saja sebabnya.

2. Jangan ubah suasana rumah
Bayi memang perlukan banyak perhatian tapi tak perlulah sampai mengubah suasana rumah antaranya seperti langsung tak boleh pasang TV, sentiasa menutup pintu dan langsir kerana bimbang bising. Suasana yang sedikit bising tak beri masalah, biarkan bayi terbiasa dengan suasana itu.

3. Jangan biar lampir kotor terlalu lama
Sebabnya bayi bawah enam bulan memang banyak kencing jadi lampin perlu ditukar selalu. Periksa selalu keadaan lampin supaya bayi selesa dan untuk mengelakkan ruam.

4. Jangan guna puting
Baru seminggu lahir bayi sudah beri puting, tindakan ini tidak elok. Pemberian puting terlalu awal boleh kelirukan rutin penyusuan. Sebabnya bayi memang suka menghisap. Terbaik berikan susu ibu sebab bayi sudah terbiasa dengan suhu tubuh, degupan jangtung dan bau ibu.

5. Jangan terlebih gaya
Ada ibu yang terlalu teruja mahu memakaikan baju cantik pada bayi. Boleh, tapi jangan berlebihan baju penuh renda dan anak tak selesa. Selain itu ramai ibu selalu bimbang bayi sejuk dan pakaikan baju tebal. Baju yang begini boleh menyebabkan bayi demam dan dehidrasi. Perhatikan kesesuaian cuaca dan keselesaan bayi.

6. Jangan abai temu janji doktor
Doktor akan mengatur jadual pemeriksaan untuk bayi jadi jangan sesekali abaikan terutama  bila nampak bayi ada masalah. Ibu bapa baru memang selalu risau tentang perkara yang sebenarnya normal dan doktor mampu memberi penjelasannya.

3/11/15

BAHAYA GANGGUAN EMOSI SELEPAS BERSALIN


Tragedi seorang ibu berpantang bertindak membunuh diri selepas 10 hari melahirkan anak baru-baru ini mengundang pelbagai persepsi.

Ada yang mengatakan wanita tersebut tertekan kerana tidak mampu memberi susu badan kepada anaknya dan ada juga yang mendakwa bahawa wanita tersebut meroyan dan kemurungan.

Menurut Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pakar Regency, Dr. Sharifah Halimah Jaafar, kemurungan selepas bersalin ialah penyakit psikologi serius yang boleh berlaku dalam beberapa bulan pertama selepas bersalin. Ini juga boleh berlaku selepas keguguran dan kelahiran mati.

"Ibu yang mengalami kemurungan lepas bersalin akan berasa amat sedih, putus asa, dan tidak bernilai sehingga menyebabkannya menyendirikan dirinya daripada keluarga atau dijauhi oleh ahli keluarganya. Ibu ini juga mengalami masalah ikatan dengan bayinya, malah dia boleh berasa benci dengan bayinya sehingga boleh mencederakannya," katanya.

Terdapat juga kes yang jarang berlaku iaitu kemurungan selepas bersalin melampau yang lebih bahaya dikenali sebagai psikosis lepas bersalin. Ibu yang mengalami psikosis selepas bersalin akan mempunyai pemikiran psikotik, khayalan, halusinasi dan pergolakan yang mendorong seseorang untuk mencederakan diri sendiri atau orang lain. Terdapat satu kes di Amerika Syarikat pada tahun 2001 mengenai seorang ibu bernama Andrea Yates yang membunuh kesemua lima orang anaknya akibat kemurungan lepas bersalin.

Tambah beliau, kemurungan selepas bersalin boleh disebabkan oleh perubahan hormon yang berlaku selepas kehamilan. Ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira bangsa, etnik, umur, budaya dan pendidikan. tidak kira sama ada anda ialah seorang ibu yang baru atau mempunyai beberapa orang anak.

Walau bagaimanapun, ada terdapat faktor faktor risiko yang harus diberi perhatian kerana ia boleh meningkatkan kecenderungan ibu mendapat kemurungan lepas bersalin.

Mengikut kajian oleh Universiti Malaya (Siti R.M et al, 2014) mengenai kemurungan ibu lepas bersalin di Malaysia, didapati faktor risiko yang berkaitan rapat dengan kemurungan lepas bersalin ialah ibu muda (umur kurang 30 tahun), ibu yang kurang berpengalaman (anak pertama atau kedua), ibu yang tidak berkerja dan ibu yang mengandung tak terancang.

Dr. Sharifah Halimah menjelaskan, selain daripada jagaan fizikal, penjagaan psikologi ibu lepas bersalin sangat perlu dalam bentuk sokongan emosi dan bantuan kepada ibu untuk mengadaptasi perubahan dan mengatasi tekanan akibat kehadiran bayi yang baru terutamanya pada bulan yang bertama.

"Melahirkan dan penjagaan bayi pada beberapa bulan yang pertama sukar dan boleh menjadi satu tekanan yang serius kepada ibu tidak kira sama ada ibu baharu (anak pertama) atau ibu yang telah berpengalaman (ramai anak). Terutamanya bagi ibu muda dan ibu yang hamil tidak terancang dan mempunyai anak-anak yang masih kecil, ibu ibu ini harus mendapat bantuan dan pertolongan dari ahli keluarganya," katanya.

Bagi mengelak daripada mengalami kemurungan, pasangan perlu merancang kehamilan dengan teliti. Ini kerana kehamilan yang tidak terancang, tidak bersedia, tidak rela atau tidak dikehendaki adalah faktor risiko utama yang boleh membawa kepada kemurungan lepas bersalin.

Selain itu, pasangan suami isteri perlu merancang masa yang sesuai untuk menerima kehadiran bayi baharu. Perancangan ini termasuklah membuatkan persediaan kewangan serta psikologi dan perancangan mengenai bantuan ahli keluarga atau komuniti atau kumpulan sokongan yang boleh didapati selepas bersalin nanti.

Ibu-ibu muda yang baru juga harus membuat persediaan psikologi dengan mendapatkan lebih informasi dan pengetahuan mengenai penjagaan bayi, penyusuan bayi yang betul dan mengenai maslah masalah yang bakal dihadapi seperti permasalahan penyusuan bayi, dan juga perubahan diri yang bakal dialami.

"Persediaan ini dapat mengurangkan tekanan kerana ibu lebih dapat mengawal keadaannya jika menghadapi kesukaran dan emosinya lebih terkawal. Mendapat pertolongan daripada ahli keluarga terutamanya ibu sendiri pada bulan pertama selepas bersalin dapat mengurangkan bebanan pada ibu lepas bersalin dan memberinya ruang untuk mengadaptasikan perubahan pada keluarga dan kehidupan hariannya akibat kehadiran bayi yang baru," jelasnya.

22/10/15

SEJAUH MANA KITA MENGHARGAI JANTUNG KITA?

Sering terjadi apabila berlakunya serangan jantung, pesakit atau ahli keluarga tergamam hingga tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Panik dan lambat dibawa ke hospital yang betul adalah antara punca yang menyebabkan kematian.

Pengetahuan mengenai teknologi-teknologi perubatan terkini dalam bidang kardiovaskular sewajarnya diambil tahu oleh setiap individu.

Pengetahuan ini amat penting kerana ia dapat memberikan kita pilihan kaedah perawatan yang sesuai dengan pesakit dalam usaha menyelamatkan nyawa khasnya kepada penghidap penyakit jantung.

Sering terjadi apabila berlakunya serangan jantung pesakit atau ahli keluarga terdekat terkejut, tergamam hingga tidak tahu apa yang perlu dilakukan bagi membantu pesakit. Panik dan lambat dibawa ke hospital yang betul adalah satu daripada punca yang boleh mengakibatkan kematian.

Menurut Pakar Jantung yang juga Ketua Unit Kardiologi dari Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), Prof Dr Wan Azman Wan Ahmad, di negara ini terdapat 19 buah hospital kerajaan berkemampuan melakukan prosedur segera bagi CAD.

"Sering terjadi pesakit meninggal sewaktu dalam perjalanan kerana lambat dibawa ke hospital."

Penyakit Koronari Arteri (Coronary Artery Disease-CAD) adalah penyakit yang berlaku apabila arteri-arteri yang membekalkan darah ke jantung menjadi sempit atau tersumbat.

"Ia berlaku akibat saluran tersebut tersumbat dengan mendapan lemak yang dikenali sebagai plak. Kesannya, arteri-arteri akan menghadapi halangan untuk membekalkan darah ke jantung," jelas Dr Wan Azman.

Antara tanda-tanda CAD termasuklah:

1. Rasa sakit di bahagian dada (angina)
2. Sesak nafas
3. Rasa berat di bahagian dada
4. Rasa sakit di bahagian rahang dan bawah lengan
5. Pedih hulu hati
6. Loya
7. Muntah
8. Perpeluhan melampau

Selain perubahan gaya hidup dan ubat-ubatan, cara berkesan untuk membuka semula saluran darah yang tersumbat ialah dengan menggunakan kaedah koronari angioplasti.

Kaedah rawatan ini ialah dengan memasukkan belon dan stent melalui saluran darah di tangan atau di peha untuk membuka semula saluran darah koronari yang tersumbat atau yang mengalami penyempitan.

INOVASI PROSEDUR CAD

Di PPUM misalnya, rawatan angioplasti bagi pesakit jantung koronari pertama kali dilakukan pada tahun 1984. Setelah 30 tahun, rawatan ini mengalami perubahan yang sangat pesat.

Daripada sekadar menggunakan belon sahaja untuk meluaskan saluran jantung, kini rawatan diperluas menggunakan stent yang berteknologi tinggi. Kemajuan stent ini juga semakin meningkat dari semasa ke semasa.

"Dari bare metal stent, ia beralih kepada stent yang mempunyai ubat untuk mengurangkan risiko penyempitan semula," kata Dr Wan Azman.

Stent yang mempunyai ubat terus ditambahbaik sehinggalah stent generasi baharu yang sangat efektif. Malah ia mempunyai risiko komplikasi yang sangat rendah.

Terkini, satu lagi evolusi yang berlaku dalam kaedah rawatan angioplasti adalah dengan menggunakan stent yang hancur sendiri setelah 2 atau 3 tahun dipakai oleh pesakit. Teknologi ini dikenali sebagai Bioresorbable Vascular Scaffold (Absorb).

Pemasangan Absorb sama seperti prosedur belon angioplasti yang akan memasukkan tiub gegelung bukan logam beserta belon angioplasti ke dalam saluran darah, yang telah sempit.

Ia kemudian diimplan di arteri sebelum larut secara perlahan setelah arteri yang tersumbat dapat berfungsi dengan biasa dan terbuka dengan sendiri.

"Ia akan larut selepas sesuatu tempoh setelah bertindak dengan unsur-unsur yang terdapat di dalam badan iaitu air (H20) dan karbon dioksida (C02)," jelas beliau.

CAD BUKAN PENYAKIT LAZIM

"Rawatan CAD telah menjadi prosedur rawatan yang semakin lazim. Hingga ia disalah anggap sebagai penyakit yang biasa. Walaupun rawatan CAD mengambil tempoh yang singkat, ia tetap mempunyai risiko serta komplikasi. Cara terbaik ialah melakukan perbincangan dengan doktor yang merawat," kata Dr Wan Azman.

Risiko yang terbabit adalah lebih tinggi ke atas wanita, warga emas yang berusia 75 tahun dan ke atas pesakit yang menghidap penyakit buah pinggang atau diabetes, atau pesakit yang menghidap penyakit saluran darah yang serius.

Selepas prosedur dijalankan, kebanyakan pesakit akan bermalam di hospital bagi pemantauan dan akan pulang pada hari yang seterusnya.

Mereka akan dinasihatkan mengambil ubat-ubatan sepanjang waktu pemulihan dan sebarang rawatan susulan.

CEGAH

Mengakui masih ramai yang bersikap sambil lewa dengan gejala ini, Dr Wan Azman memberitahu pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan sejak bertahun-tahun lamanya bagi menyedarkan orang ramai mengenai CAD.
Menurut beliau, nilai sebuah jantung yang sihat terlalu tinggi untuk disia-siakan.Ramai yang menganggapnya sebagai masalah biasa kerana terlalu ramai yang menghidapnya di negara ini.

Setiap individu yang berisiko perlu mengambil langkah pencegahan. Cara terbaik adalah dengan mengubah gaya hidup seperti aktif dan juga mengawal pemakanan.

"Pertama sekali kita kena tahu adakah kita berisiko tinggi atau tidak. Buatlah pemeriksaan dan sekiranya anda berisiko, doktor akan mengesyorkan kaedah-kaedah terbaik dan bersesuaian sebagai langkah pencegahan," saran beliau.

Apa yang perlu difahami oleh orang ramai ialah apabila diserang CAD, hanya 50 peratus sahaja yang selamat. Selebihnya akan meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke hospital.

"Ketika itu barulah nilai sebuah jantung itu dirasakan sangat-sangat berharga," ujarnya.

Beliau sekali lagi menekankan betapa pentingnya setiap individu mengambil tahu mengenai CAD, apa dan bagaimana tindakan yang perlu diambil jika diserang CAD.

Juga mengambil tahu hospital atau pusat perubatan yang menyediakan prosedur intervensi CAD serta rawatan-rawatan terkini yang berkaitan.

19/10/15

KANAK-KANAK DAN GAJET, KEBAIKAN DAN KEBURUKAN..


Di zaman serba moden ini, teknologi ibarat nyawa kepada setiap kanak-kanak malah mereka dilihat tidak boleh berenggang walau sesaat dengan gajet.

Situasi itu bukan sahaja berlaku di luar negara tetapi di Malaysia sendiri, ia sudah menjadi budaya yang semakin berkembang sehingga menghakis nilai-nilai murni kemanusiaan.

Bunyinya agak kejam namun itu lah kenyataan yang harus diterima hari ini apabila gajet menjadi penyambung nyawa berbeza dengan kanak-kanak dulu.

Ironinya, ibu bapa sekarang lebih mudah menghadiahkan anak-anak dengan gajet termoden kononnya untuk merangsang anak-anak belajar atau pendorong supaya mereka menjadi rajin.

Menurut pensyarah Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Wan Hartini Wan Zainodin, teknologi bukanlah racun dalam masyarakat pada zaman ini memandangkan fitrahnya yang membantu dalam mempercepatkan proses kehidupan.

Namun begitu, disebabkan kekangan masa ibu bapa yang sibuk bekerja, anak-anak didedahkan dengan teknologi tanpa mengambil kira batasan.

“Ia sebenarnya tidaklah salah kerana berkaitan dengan perkembangan minda namun apa yang dibimbangkan adalah apabila tiada pemantauan daripada ibu bapa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Wan Hartini berkata, ibu bapa perlu sedar bahawa kanak-kanak belum matang berfikir mengenai kesan negatif sebaliknya mereka hanya tahu berseronok untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Garis panduan
Dalam keluarga, ibu bapa seharusnya menyediakan jadual dan membuat garis panduan untuk memantau aktiviti anak-anak mereka.

Pembahagian masa dan jadual perlu dipraktikkan ibu bapa supaya anak-anak dapat belajar menyeimbangkan masa untuk bermain serta belajar.

“Sekiranya anak-anak diajar untuk mendisiplinkan diri mengikut apa yang digariskan untuknya, tidak timbul soal penyalahgunaan teknologi,” ujarnya.

Berikutan situasi yang dilihat semakin melemahkan sistem komunikasi kekeluargaan, Wan Hartini memberitahu, sudah tiba masa perlu ada garis panduan khusus terhadap penggunaan teknologi dalam kalangan kanak-kanak.

Mengambil contoh di Taiwan, terdapat undang-undang yang menghalang ibu bapa memberi gajet kepada kanak-kanak di bawah usia dua tahun manakala melarang mereka berusia 18 tahun ke atas menggunakan barang elektronik dalam tempoh masa panjang.

Di negara tersebut, mereka menekankan penggunaan teknologi selama 30 minit bagi mereka berusia 18 tahun ke atas.

Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mengawasi anak-anak yang menggunakan teknologi kerana golongan remaja memang tidak mengetahui kesan negatif akibat penggunaan yang terlalu lama.

Anak-anak akan kurang berinteraksi dengan orang sekeliling termasuk ibu bapa malah kemahiran belajar mereka hanya tertumpu kepada visual berbanding auditori.

“Ini akan memberi kesan kepada pembelajaran kerana sukar bagi mereka menumpukan perhatian jika tidak melihat sesuatu visual. Selain itu, pertuturan dan perkembangan bahasa tidak dapat dikuasai dengan baik,” jelasnya.

Namun apa yang lebih membimbangkan apabila ia turut memberi kesan negatif terhadap kesihatan kanak-kanak kerana penggunaan gajet yang keterlaluan boleh menyebabkan berlaku gangguan motor halus iaitu dari segi pergerakan jari yang tidak berkembang.

Menurutnya, ia akan menyebabkan kanak-kanak kurang cergas dalam aktiviti fizikal.

Bagi memastikan penggunaan teknologi itu memberi implikasi positif, ibu bapa perlu menetapkan isi kandungan bersesuaian supaya mereka memang belajar sekali gus memberi perkembangan kognitif.

Elakkan kandungan yang menyebabkan anak-anak mudah terpengaruh terutama kanak-kanak bawah umur seperti permainan ganas kerana ia memang merangsang minda kanak-kanak untuk mencuba.

“Paling penting, setiap penggunaan gajet itu memberi manfaat terutama dalam aspek akademik memandangkan banyak aplikasi yang mengajak pengguna untuk mencabar minda seperti permainan silang kata atau kuiz matematik,” katanya.

13/10/15

SEJAUH MANA BAHAYA KANSER KOLOREKTAL


Sembelit yang teruk, hilang selera makan sehingga menyebabkan berat badan turun mendadak, kembung dan keluar darah dari dubur. Jika anda mempunyai salah satu daripada tanda ini, anda sepatutnya segera membuat pemeriksaan di hospital bagi melakukan saringan awal kanser kolorektal.

Walaupun ia berada dalam kumpulan kanser yang tidak popular, setiap tahun berlaku peningkatan dalam jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan sehingga ia dicatatkan sebagai kanser utama lelaki dan kedua paling banyak membabitkan wanita di negara ini.

Menurut Pakar Bedah Am Hospital Pusrawi Dr Syed Anees Ahmad, kanser kolorektal atau kanser usus berlaku pada organ penghadaman iaitu usus besar yang terletak pada bahagian bawah sistem perkumuhan.

Ia berlaku apabila sel kanser menyerang kolon dan rektum iaitu bahagian usus besar yang membantu mencernakan makanan dan membuang bahan kumuh.

Kebanyakan kes kanser kolorektal bermula daripada ketumbuhan kelompok sel bukan kanser (benign) yang digelar polip adenomatous dan dari semasa ke semasa, polip ini boleh bertukar menjadi kanser. Dalam kebanyakan kes, punca kanser kolorektal tidak dapat dikenal pasti, namun kanser ini berlaku apabila sel sihat di dalam usus mengalami perubahan.

Individu yang mempunyai genetik keluarga menghidap kanser dikatakan berisiko tinggi mendapat kanser usus. Oleh itu, golongan ini dinasihatkan membuat pemeriksaan awal pada usia 30 tahun ke atas manakala mereka yang tiada sejarah menghidap kanser sebaiknya menjalani pemeriksaan apabila usia meningkat 40 tahun.

“Daripada kajian yang dijalankan menunjukkan kanser kolorektal berpunca daripada interaksi kompleks antara faktor persekitaran dan genetik. Antara faktor persekitaran termasuk gaya hidup seperti tidak mengamalkan makanan sihat, kurang makan sayur-sayuran dan buah-buahan serta selalu mengambil daging dalam menu harian. Perokok tegar juga dikatakan berpeluang mendapat kanser usus termasuk golongan obes,” katanya.

Apa yang membuatkan individu lambat mendapatkan rawatan awal pengesanan kanser kerana kebanyakan permulaan kanser kolorektal tidak mempunyai simptom yang nyata. Mereka hanya mengalami perut kembung, selera makan berkurang sehingga berat badan turun mendadak.

“Pesakit juga biasanya mengalami simptom perubahan pembuangan air besar, sakit ketika membuang air besar dan keluar banyak lendir. Najis selalunya mengandungi banyak air dan kehilangan darah lalu menyebabkan pesakit mudah penat dan pucat,” terang Dr Syed Anees.

Oleh kerana simptom yang ditunjukkan kurang jelas dan berbeza-beza, sepatutnya individu mengambil tahu mengenai perubahan badan mereka serta segera bertemu dengan pakar. Ini bagi mengelak rawatan lambat diberikan kepada pesakit.

Jelasnya, kurang peka pada perubahan diri menyebabkan pesakit bersikap lewa dan membiarkan tanda seperti kembung, sembelit dan dubur berdarah sebagai perkara biasa.

“Apabila bertemu pakar dan membuat pemeriksaan, kanser sudah berada pada tahap empat. Apabila berada pada tahap ini sudah semestinya ia sukar dirawat dan memerlukan masa yang lama,” katanya.
Rawatan kanser kolorektal

Bagi mengenal pasti jenis kanser yang dialami pesakit, doktor biasanya mengesyorkan ujian darah pada tinja untuk memeriksa tanda awal kanser kolorektal. Sekiranya ujian pertama masih belum tepat, cara terbaik dengan melakukan kolonoskopi.

Namun berdasarkan pengalaman, kebanyakan pesakit tidak mahu melakukan pemeriksaan ini disebabkan rasa tidak selesa dan juga anggapan ia me–nyakitkan. Namun sebenarnya tidak.

Kolonoskopi ialah prosedur mengenal pasti bahagian usus pesakit menggunakan kabel gentian optik yang dipasangkan kamera pada hujungnya kemudian dimasukkan ke dalam usus besar. Ini membolehkan doktor melihat keadaan dalam usus dan mengenal pasti diagnosis yang sesuai untuk mereka.

Pada sesi yang sama, sebarang ujian atau prosedur lanjut yang diperlukan boleh diteruskan. Terdapat pelbagai sebab pesakit perlu menjalani kolonoskopi. Antaranya ialah perubahan pada tabiat pembuangan air besar seperti cirit-birit untuk masa yang lama, sembelit, pendarahan atau lendir pada najis, sakit di abdomen dan bengkak ketara di bahagian perut.

Tanda ini menunjukkan kemungkinan pesakit mengalami kanser usus, ketumbuhan kecil dalam usus besar. Oleh sebab itu, amat penting untuk pesakit menjalani kolonoskopi supaya diagnosis yang tepat boleh dibuat.

Sebelum kolonoskopi dijalankan, usus pesakit perlu dibersihkan terlebih dulu bagi membolehkan kabel gentian optik dimasukkan untuk mendapatkan imej yang jelas dalam usus besar. Pesakit juga diminta tidak mengambil makanan berserat seperti sayuran, daging atau makanan berasaskan protein, sehari sebelum prosedur dijalankan.

“Mereka diminta makan bubur, air dan jus tanpa serat sebelum ubat pembersihan usus dimasukkan. Kaedah biasa untuk membersihkan usus dengan mengambil sodium fosfat dan larutan macrogol,” katanya.

Prosedur kolonoskopi terbahagi kepada dua iaitu:

1. Diagnostik
Doktor akan melakukan prosedur ini dengan membuat penggambaran pada seluruh usus besar dan membuat pengenalan penyakit berdasarkan pemerhatian dalam usus besar misalnya kanser usus, radang usus atau kolitis.

2. Terapeutik
Terapeutik pula ialah prosedur tambahan ketika kolonoskopi diagnostik dijalankan. Apabila ketumbuhan dijumpai dalam usus besar seperti polip kolon, doktor boleh menjalankan pembedahan kecil untuk mengeluarkan ketumbuhan terbabit ketika kolonoskopi.

Ini dipanggil pembedahan buang polip atau polypectomy. Begitu juga dengan ketumbuhan dalam usus besar yang disyaki sebagai barah, pada sesi yang sama doktor melakukan biopsi sampel ketumbuhan dan menghantarnya ke makmal untuk pemeriksaan histopatologi untuk mengesahkan barah usus besar.

Dengan prosedur terapi sedia ada, ketumbuhan awal dalam usus boleh dikenal pasti dan dibuang. Prosedur ini membolehkan pesakit mendapatkan rawatan awal untuk mengelakkan ketumbuhan berlarutan menjadi barah.

Selepas melakukan kolonoskopi, biasanya pesakit mengalami rasa tidak selesa disebabkan kembung perut kerana udara terperangkap dalam usus besar, sedikit rasa sakit, dan ketidakselesaan abdomen. Ini komplikasi kecil yang boleh pulih dengan sendirinya.

Selepas menjalani kolonoskopi, sekiranya pesakit disahkan menghidap kanser kolorektal, rawatan diberikan kepada pesakit bergantung kepada tahap kanser. Ada tiga rawatan utama iaitu pembedahan, kemoterapi dan radiasi.

Pembedahan dilakukan sekiranya saiz sel kanser masih kecil, berbentuk polip dan berada pada tahap awal. Ini hanya dilakukan ketika menjalankan kolonoskopi. Namun sekiranya sel kanser merebak ke kedua-dua atau lebih bahagian usus, keseluruhan usus akan dibuang dan disambungkan hujungnya ke bawah. Sempadan tisu normal usus dan nodus limfa yang berdekatan turut dibuang bagi memastikan kanser tidak merebak.

Rawatan susulan pula bergantung kepada keadaan sama ada kemoterapi atau jika kanser berlaku pada bahagian rektum, biasanya radiasi dilakukan.

Pencegahan
Menurut Dr Syed Anees, amat penting masyarakat mempunyai kesedaran tinggi mengenai kanser kolorektal. Ini boleh dilakukan dengan mengubah gaya hidup menjadi lebih sihat. Mengamalkan diet seimbang, cuba untuk mengurangkan makanan berminyak, daging dan lemak serta melebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam menu hidangan.

Bagi individu berusia 45 tahun ke atas, amat penting menjalani pemeriksaan berkala kerana golongan ini berisiko tinggi mendapatnya. Namun begitu golongan muda juga kini semakin ramai mendapat kanser ini disebabkan faktor genetik atau sejarah keluarga terdekat yang pernah mengalaminya.

Selain itu, pemikiran orang ramai perlu ditukar supaya tidak membiarkan kanser berada pada tahap empat. Sebenarnya kanser kolorektal boleh dirawat jika mendapat rawatan awal dan pesakit boleh menjalani kehidupan seperti biasa selepas rawatan.

7/10/15

RAMAI YANG TAK TAHU AMALAN `DIET` YANG SEBENAR


Apabila menyentuh tentang soal diet, perkara yang terlintas di minda kita hanyalah pil kurus, jamu, dan ikat perut. Disebabkan itu ramai dalam kalangan kita yang dikatakan sedang ‘berdiet’ dimasukkan ke hospital gara-gara mahu menurunkan berat badan.

Memang tidak dinafikan dengan mengawal makan dan mengambil pil-pil kurus, mampu mengembalikan bentuk badan yang langsing, namun mengamalkan diet yang tidak tepat, berat badan ideal yang berjaya dicapai tidak semena-semena kembali naik malah kesihatan juga mungkin terjejas.

Menurut Perunding Diet dan Nutrisi Hospital Beacon, Gurdip Kaur, ramai yang tersalah anggap jika mahu kurus mereka tidak boleh makan. Sedangkan apabila mereka tidak mematuhi jadual pemakanan, kadar metabolisme akan turun mendadak lalu menyukarkan mereka menurunkan berat badan.

Kesalahan utama mereka yang gagal mendapatkan berat badan ideal adalah disebabkan tidak tahu cara yang betul untuk menetapkan sasaran penurunan berat badan yang realistik dan selamat.

Sebenarnya, tiada undang-undang khusus untuk menurunkan berat badan. Apa yang paling penting adalah ilmu nutrisi dan perubahan kepada gaya hidup yang sihat.

“Sokongan daripada orang sekeliling juga amat penting kerana motivasi yang tinggi amat diperlukan jika mereka serius untuk melakukannya. Jika mereka memandang rendah keinginan kita untuk menurunkan berat badan, berkemungkinan kita boleh gagal mencapai sasaran,” katanya.

Jangan elak pengambilan nasi
Ujar Gurdip, pengambilan kumpulan makanan yang salah juga banyak berlaku dalam kalangan mereka yang berdiet terutama sekali tentang pengambilan nasi.

Ramai yang mengelak untuk mengambil hidangan nasi sedangkan mereka tidak perlu berpantang 100 peratus nasi kerana makanan yang berlemak dan manisan yang akan menyebabkan kegemukan.

Akuinya, walaupun mereka tidak mengambil nasi, jika kandungan kalori di dalam badan melebihi keperluan turut akan mengganggu proses penurunan berat badan. Jelasnya, menghentikan sesuatu nutrisi seperti karbohidrat dalam pemakanan bukanlah sesuatu yang bijak dan tidak berkesan untuk jangka masa yang lama kerana nasi adalah makanan ruji orang Asia.

Katanya, satu gram karbohidrat mempunyai kadar sebanyak empat kalori sahaja berbanding lemak sembilan kalori.

Namun katanya, nasi yang mengandungi karbohidrat jika diambil berlebihan boleh membahayakan kesihatan kerana akan menukarkan kepada lemak, jadi sukatan yang dicadangkan adalah semangkuk kecil nasi bersama sayur-sayuran dan sedikit protein.

Cara penyediaan makanan juga berkait rapat dengan keperluan jumlah kalori di dalam badan. Di Malaysia, kita agak sukar untuk mengelak makanan yang bergoreng, berlemak, serta manis, sebaliknya jika diminta untuk mengambil makanan yang disediakan secara stim, kukus atau rebus, ramai yang tidak mahu.

Masakan yang dimasak juga perlu bebas lemak terutamanya santan yang banyak terdapat dalam hidangan orang kita. Santan boleh digantikan dengan susu rendah lemak atau menggunakan herba-herba seperti jintan putih, jintan manis, dan kayu manis.

“Saya sangat menggalakkan mereka yang sedang berdiet atau menjaga pemakanan agar tidak makan di luar kerana masakan yang disediakan sendiri lebih menyihatkan. Kita sendiri tahu apa bahan yang digunakan,” katanya.

Menurut Gurdip, ramai yang tidak tahu pengambilan buah-buahan secara berlebihan juga akan menyebabkan kandungan gula di dalam badan meningkat.

Namun, asalkan mereka tahu jumlah hidangan yang sepatutnya diambil, buah-buahan memang digalakkan. Sebagai contoh, sebiji epal sudah mencukupi untuk satu hidangan, manakala lapan biji buah anggur juga bersamaan dengan satu hidangan.

Menurutnya, setiap orang juga tidak boleh mengabaikan gaya hidup aktif kerana membantu mengekalkan kadar metabolisme di dalam badan.

Jika mampu, setiap orang digalakkan bersenam pada setiap hari selama 40 minit pada setiap sesi. Namun, adalah disyorkan untuk bersenam dua atau tiga kali seminggu.

“Jika tidak mempunyai masa untuk bersenam, pastikan anda aktif dalam aktiviti harian. Sebagai contoh, di tempat kerja elakkan menggunakan lif dan hanya menggunakan tangga manakala di rumah pula, sekadar mengemas rumah seperti mop lantai juga sudah dikira melakukan senaman,” katanya.

Kini ramai orang Malaysia mula mengikuti diet-diet yang diperkenalkan dan popular dari negara-negara Barat seperti diet Atkin dan diet detox, namun bukan semuanya bersesuaian serta mempunyai pro dan kontranya.

Jelas Gurdip, diet Atkin yang dikenali sebagai diet rendah karbohidrat popular diamalkan oleh golongan yang mahu kurus dengan cepat, namun sebenarnya hanya berhasil dalam tempoh jangka masa yang pendek sahaja.

Secara am, konsep diet Atkin adalah mengurangkan karbohidrat dalam diet tetapi melebihkan makanan yang tinggi dengan protein, sedangkan jumlah pengambilan protein yang disyorkan adalah satu gram bagi setiap berat manusia.

Badan kita memerlukan semua zat makanan, bukan bergantung kepada protein semata-mata. Protein akan mengambil masa yang lama untuk dicerna dan boleh memberi tekanan kepada buah pinggang.

“Mungkin ramai yang mengamalkannya namun bukan dalam tempoh masa yang lama, dan apabila keadaan itu berlaku, berat badan kembali naik kerana badan mula menerima karbohidrat,” ujarnya.

Bagi diet detox pula, adalah diet berasaskan tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, dan sayur-sayuran hijau bertujuan mencuci sistem penghadaman dan dikatakan memberi tenaga kepada sel.

Ujarnya, diet ini juga tidak digalakkan kerana tidak memberi sumber tenaga yang mencukupi. Menurutnya, detox hanya memberi kebaikan kepada mereka yang menghadapi masalah pencernaan seperti sukar membuang air besar, tetapi bukan orang yang normal.

Beliau hanya mengesyorkan diet seimbang, yang mampu membekalkan nutrien mencukupi kepada pengamalnya kerana mengandungi kesemua nutrisi diperlukan daripada semua kumpulan makanan untuk fungsi sel-sel badan, organ dan tisu.

Mengamalkan diet yang seimbang boleh meringankan masalah kesihatan termasuk masalah jantung, artritis, tekanan darah tinggi dan kolesterol.

“Badan yang seimbang dari segi mental dan fizikal memberi kecergasan dan kekuatan yang lebih, membolehkan kita menjalani kehidupan lebih panjang dan sihat,” katanya.