26/06/15

SISTEM BADAN MANUSIA PERLUKAN AIR SECUKUPNYA UNTUK KEKAL SIHAT


Setiap sistem dalam tubuh memerlukan air, bahkan sebahagian besar badan merangkumi air. Otot yang kecil, darah dan otak mengandungi lebih 70 peratus air. Cecair penting ini adalah ramuan penting yang diperlukan oleh tubuh setiap hari. Begitupun, kebanyakan orang tidak meminum air yang mencukupi.

Air mengawal suhu badan, pembawa nutrien dan oksigen, menyahkan bahan buangan, menolong menyahkan toksik daripada buah pinggang dan hati, melarutkan vitamin dan mineral dan menghalang badan daripada kecederaan.

Setiap hari badan kehilangan secara purata 10 hingga 12 cawan air yang perlu diganti untuk me­ngekalkan keseimbangan tubuh. Namun, masih ramai yang mengabaikan pengambilan air untuk anggota badan.

Pakar perunding diet berkata, air adalah elemen terpenting kepada tubuh. Badan kita terdiri daripada 70 peratus air dan jika air ini bersih, sel badan jadi lebih segar dan kuat.

Air bersih boleh merangsang sistem pertahanan badan, metabolisme sel dan mengurangkan risiko sel menjadi tidak normal, mencegah bahan toksik daripada merebak ke sel lain dan mengurangkan risiko terhadap jangkitan.

Menurut pakar lagi, bagi mendidik kanak-kanak minum air secukupnya, ibu bapa terlebih dulu perlu menjadi contoh terbaik kepada anak mereka.

Penting bagi masyarakat dan keluarga lebih peka serta berpengetahuan dalam isu air seterusnya lebih proaktif dalam mengambil langkah pencegahan.

“Sebelum meminta anak minum air secukupnya, ibu bapa perlu memulakannya terlebih dulu. Didik anak supaya mengambil air secukupnya bagi mengelak dehidrasi,” katanya.

Sumber air bukan hanya air minuman semata-mata, juga terdapat pada sumber makanan lain. Misalnya, buah-buahan seperti tembikai dan strawberi yang mengandungi kandungan air 92 peratus; tomato, 94 peratus; timun, 96 peratus; saleri, 95 peratus; susu, 89 peratus; jus oren, 88 peratus serta kopi 98.7 peratus.

Selain itu, bagi mengetahui badan kita memperoleh sumber air mencukupi atau tidak, ia boleh dikesan melalui air kencing.

Air kencing mengandungi pigmen urokrom yang memberinya warna kuning. Warna ini berubah-ubah setiap hari daripada kuning gelap hinggalah kuning cair, bergantung kepada kepekatan air kencing kita.

Air kencing yang gelap biasanya menandakan kita tidak minum cukup air. Badan kita memerlukan air secukupnya setiap hari untuk membolehkan ia berfungsi dengan cekap.

“Apabila badan kekurangan air, ia mengekalkan jumlah cecair dalam badan dengan mengurangkan penghasilan air kencing. Ini sebabnya air kencing menjadi pekat dan berwarna gelap. Sebaliknya jika kita minum banyak air, lebih banyak air kencing dihasilkan dan warnanya menjadi lebih cerah dan cair,” katanya.

18/06/15

UTAMAKAN KESELAMATAN ANAK ANDA KETIKA BERADA DI DALAM KENDERAAN


Di Malaysia, kesedaran mengenai kepentingan penggunaan tempat duduk bayi dan kanak-kanak kecil di dalam kereta masih berada pada tahap rendah.

Apabila memandu, kita sering melihat anak kecil melompat-lompat atau memanjat kerusi belakang kenderaan.

Bayangkan apa yang berlaku sekiranya secara tiba-tiba berlaku kemalangan? Jika kanak-kanak atau bayi itu tidak tercampak keluar sekali pun, pasti tercedera terjatuh atau terhentak kepala di dalam kenderaan.

Sikap terlalu mengambil mudah perkara yang serius dalam kalangan ibu bapa di negara ini terhadap keselamatan anak masing-masing mengundang malapetaka sekiranya berlaku kemalangan ataupun kejadian brek mengejut.

Antara alasan ibu bapa tidak meletakkan anak mereka di tempat duduk khas kerana anak mereka enggan dan akan menangis sekiranya diarah berbuat demikian.

Lalu, mereka lebih rela melihat anak mereka melompat kegembiraan di dalam kereta atau mungkin ‘terlompat’ keluar dari kenderaan daripada mendisiplinkan anak untuk duduk di kerusi khas kanak-kanak.

Sekiranya dilatih dari kecil, anak tidak akan membantah dan melakukannya dengan rela, duduk sendiri di dalam kerusi tanpa banyak kerenah.

Apa yang penting, bayi dan kanak-kanak kecil mendapat perlindungan sewajarnya ketika duduk di dalam kenderaan bergerak dan tidak terdedah kepada kecederaan sekiranya kenderaan terpaksa dihentikan secara mengejut ataupun berlaku kemalangan kecil.

Berita kanak-kanak atau bayi tercampak keluar dari kenderaan bukan sesuatu yang asing dan jika diperhatikan, ia juga banyak berlaku di negara ini.

Seringkali kita terbaca di akhbar mengenai kes bayi tercampak keluar dari kenderaan apabila berlaku kemalangan disebabkan mereka tidak diletakkan di tempat duduk khas, sebaliknya didukung oleh ibu atau ahli keluarga lain ketika berada di dalam kenderaan bergerak.

Ini amat berbeza dengan peraturan jalan raya yang ketat di Eropah yang mensyaratkan ibu bapa meletakkan anak mereka di tempat duduk khas atau berdepan dengan tindakan undang-undang kerana lalai melindungi keselamatan anak masing-masing.

Di Jerman misalnya, kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan berketinggian kurang 1.5 meter wajib diletakkan di tempat duduk khas, sama ada kerusi bayi atau ‘booster’ iaitu tempat duduk kanak-kanak yang memberi perlindungan daripada hentakan tepi.

Kanak-kanak juga dilarang duduk di tempat duduk penumpang hadapan tanpa menggunakan kerusi khas yang termaktub dalam undang-undang di negara itu.

Di Perancis pula, kanak-kanak di bawah usia 10 tahun tidak dibenarkan duduk di bahagian hadapan ketika kenderaan bergerak kecuali bayi berusia bawah sembilan bulan dengan berat kurang sembilan kilogram dan diletakkan dalam kerusi yang menghadap ke belakang.

Di negara itu, semua kanak-kanak di bawah usia 10 tahun serta kanak-kanak kecil perlu duduk di tempat duduk khas.

Di Sepanyol pula, kanak-kanak berusia bawah tiga tahun wajib diletakkan di tempat duduk khas, begitu juga kanak-kanak berusia sehingga 12 tahun, perlu mempunyai perlindungan ketika menaiki kenderaan.

Di Itali, kanak-kanak berusia bawah tiga tahun tidak dibenarkan menaiki kenderaan sekiranya mereka tidak duduk di kerusi khas kanak-kanak.

Begitu juga dengan kanak-kanak berusia antara empat hingga 12 tahun tidak boleh duduk di kerusi penumpang melainkan duduk di kerusi khas ataupun menggunakan tai pinggang keledar dewasa yang ada dalam kenderaan.

Biarpun peraturan sedikit berbeza antara negara Eropah, apa yang pasti setiap kanak-kanak sehingga usia 12 tahun, wajib diletakkan di tempat duduk khas ataupun bagi kanak-kanak yang sudah besar sedikit, mereka boleh menggunakan tali pinggang dewasa.

Peraturan jalan raya yang dikuatkuasakan itu bukan bertujuan menyusahkan pemandu, namun ia digubal kerana mahu melindungi keselamatan kanak-kanak ketika kenderaan bergerak supaya mereka tidak menjadi antara statistik kemalangan.

Kerusi duduk bayi di dalam kenderaan juga perlu dipilih sesuai dengan usia dan berat kanak-kanak bagi memberi perlindungan maksimum, bukan sekadar meng­gunakan apa yang ada atau pemberian orang lain.

Setiap kerusi bayi mempunyai peranan dan fungsi berbeza mengikut tahap umur, berat dan ketinggian.

Bagi bayi dengan berat sehingga sembilan kilogram yang berusia di bawah setahun, mereka perlu meng­gunakan kerusi bayi yang menghadap ke belakang tempat duduk di bahagian belakang kenderaan.

Bagi kanak-kanak yang memiliki berat antara sembilan kg hingga 18kg dan melebihi usia setahun, mereka perlu duduk di tempat duduk khas yang menghadap ke hadapan dalam kenderaan.

Kanak-kanak prasekolah yang memiliki berat antara sembilan kg hingga 36kg, tetapi mempunyai ketinggian kurang 1.4m, perlu menggunakan tempat duduk ‘booster’ sehingga usia mereka mencecah lapan tahun, manakala semua kanak-kanak di bawah usia 13 tahun perlu diletakkan di tempat duduk belakang kenderaan.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Malaysia (Maconas) Datuk Amarjit Singh Gill, pihaknya menyarankan supaya kerajaan di negara ini memperkenalkan undang-undang yang mewajibkan penggunaan tempat khas duduk bayi dan kanak-kanak dalam kenderaan demi keselamatan mereka dan mengelak kejadian tidak diingini.

Beliau berkata, ibu bapa perlu diberi peringatan supaya kanak-kanak kecil dan bayi diletakkan di tempat duduk khas yang sesuai dengan mereka di dalam kenderaan.

“Ini sesuatu yang amat penting dan perlu diwajibkan supaya banyak nyawa dapat diselamatkan dan kanak-kanak dilindungi ketika berada dalam kenderaan bergerak.

“Dalam satu kes kemalangan baru-baru ini membabitkan seorang bayi berusia tujuh bulan yang maut apabila tercampak keluar daripada kenderaan yang kemalangan, mungkin jika bayi itu diletakkan di tempat duduk khas dengan perlindungan secukupnya, dia boleh diselamatkan dan tidak tercampak keluar,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut Amarjit, ribuan kenderaan bergerak di jalan raya setiap hari dan membawa bayi serta kanak-kanak kecil yang terdedah kepada risiko kemalangan apabila tidak ditempatkan di tempat duduk khas.

Katanya, ada pula ibu bapa yang meriba anak mereka ketika membawa kenderaan yang jelas membahayakan diri kanak-kanak itu.

“Keadaan itu bukan saja membahayakan kanak-kanak itu, tetapi juga penumpang lain dalam kenderaan sekiranya berlaku sebarang situasi buruk.

“Menurut kajian yang dijalankan, tempat duduk khas bayi boleh merendahkan risiko kematian sehingga 71 peratus bagi bayi dan 54 peratus bagi kanak-kanak berusia antara satu hingga lima tahun.

“Jika kita mahu serius mengenai keselamatan jalan raya, kita juga perlu serius mengenai langkah berjaga-jaga yang perlu diambil bagi memastikan keselamatan mereka yang berada di dalam kenderaan,” katanya yang juga seorang peguam.

Amarjit berkata, pihak berkuasa juga perlu menguatkuasakan peraturan bagi penggunaan tali pinggang pengguna kenderaan.

Katanya, tidak guna sekiranya mempunyai peraturan semata-mata, tetapi tidak menguatkuasakannya kerana ia akan mensia-siakan semua usaha dilakukan bagi meningkat­kan keselamatan pengguna jalan raya.

“Perkara ini sangat penting apatah lagi ketika musim perayaan atau cuti am yang panjang apabila ramai berpusu-pusu balik kampuung. Penguatkuasaan ini perlu diperbaiki untuk kesejateraan semua pengguna jalan raya,” katanya.

26/05/15

BERPANTANG CARA YANG SIHAT

IKAN tenggiri bakar enak dinikmati bersama hidangan sayur.

Wanita yang baru lepas bersalin kebiasaannya akan berusaha menjaga kesihatan diri dengan mematuhi amalan semasa dalam pantang seperti yang disarankan oleh budaya mereka.

Kebanyakan budaya mengakui kemungkinan berlakunya kerosakan kepada tubuh wanita akibat proses mengandung dan bersalin yang perlu dipulihkan, dijaga dan dicegah supaya badan dapat kembali segar seperti sebelum ini.

Ini termasuk proses pemulihan akibat kehilangan darah semasa bersalin, pengecutan rahim, keseimbangan hormon, ketegangan urat saraf dan kehilangan tenaga semasa proses bersalin.

Tempoh berpantang dianggap sebagai masa bagi ibu lepas bersalin untuk merawat, menyucikan dan memulihkan tubuh selepas bersalin.

Pemakanan yang baik adalah kunci utama untuk membolehkan wanita terus kekal sihat selepas bersalin. Rehat yang cukup juga amat penting untuk proses pemulihan.

Menurut kaunselor laktasi, Siti Asma Moin, wanita selepas bersalin perlu mengamalkan diet seimbang untuk memastikan tubuh badan mendapat nutrien yang diperlukan.

“Amalan pemakanan ikan yang mengandungi protein tinggi membantu mempengaruhi sistem tubuh yang masih lemah untuk menambah tenaga.

“Selain itu, daging kambing juga baik untuk membina sel badan dan tulang yang kuat selain membantu memanaskan badan. Bahagian isi daging ayam pula dapat membantu mengawal berat badan selepas berpantang.

“Sayuran hijau tidak boleh dielakkan kerana ia membantu merawat luka dalam perut ketika proses bersalin,” katanya.

Ujarnya, semasa berpantang ada sesetengah makanan yang dilarang diambil oleh ibu yang baru bersalin. Namun, makanan berkenaan perlu diganti dengan sumber lain daripada kumpulan makanan yang sama bagi memastikan zat diperlukan diperoleh badan.

Misalnya, ada jenis ikan tertentu yang dianggap boleh menyebabkan ‘gatal’ dan tidak boleh diambil oleh ibu dalam pantang seperti ikan kembung atau ikan tongkol.

Namun, ibu boleh mengambil ikan jenis lain seperti tenggiri untuk memastikan sumber protein dapat diperoleh. Begitu juga dengan sumber bijirin, sayur dan buah.

21/05/15

RANSANG PERKEMBANGAN OTAK SI KECIL KETIKA MANDI


Rangsangan bayi yang diterima melalui sentuhan individu paling rapat dengannya bukan saja membantu perkembangan minda yang baik malah menyebabkan proses pembesarannya menjadi lebih hebat.

Tidak semua ibu bapa mahupun penjaga menitikberatkan waktu memandikan si kecil tersayang namun hakikatnya, saat itu antara detik paling istimewa yang mampu digunakan untuk mengoptimumkan perkembangan otak mereka.

Sehingga 85 peratus daripada perkembangan otak bayi dicapai menjelang usia tiga tahun dan disebabkan itu, setiap pengalaman yang dilalui sehingga usia itu banyak membantu pembentukan otak bayi terutama ketika waktu mandi.

Proses pembelajaran otak si kecil dapat dipertingkatkan apabila pelbagai deria dirangsang ketika waktu mandi berbanding penggunaan satu deria saja.

Sentuhan, percakapan dan usapan yang diterima si manja ketika saat dimandikan ternyata waktu paling sesuai yang boleh digunakan dalam menjana perkembangan minda mereka.

Oleh itu, setiap ibu bapa mahupun penjaga perlu menyedari kepentingan waktu mandi bayi atau kanak-kanak untuk memperoleh hasil yang istimewa terutama dalam perkembangan dan tumbesaran mereka.


Rangsang berbilang deria
Bertujuan mendidik ibu bapa Malaysia mengenai amalan semasa mandi yang mengoptimumkan perkembangan otak si manja, jenama Johnson & Johnson baru-baru ini melancarkan kempen terbarunya So Much More.

Hasil penyelidikan daripada Science of Senses menunjukkan keseimbangan antara satu amalan biasa dan rangsangan kepada deria dapat menggalak dan mencorakkan perkembangan otak bayi.

Proses pembelajaran otak dipertingkatkan apabila berbilang deria dirangsang, berbanding penggunaan hanya satu deria.

Hakikatnya, kempen itu mendorong ibu bapa menjadikan masa mandi sebagai masa yang berkualiti, dipenuhi dengan rangsangan berbilang deria untuk memupuk keupayaan bayi belajar, berfikir, berkasih sayang dan membesar dengan sihat.

Untuk menjayakan kempen ini, Johnson & Johnson bekerjamasa dengan Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri untuk mengubah persepsi terhadap masa mandi iaitu daripada masa untuk melakukan satu tugas biasa kepada masa untuk menimba pengalaman mesra yang sangat bermakna.

Menerusi kerjasama dengan pembekal perkhidmatan penjagaan kesihatan ini, ia berhasrat untuk memberi kesedaran dan mendidik ibu bapa mengenai pendekatan baru dalam penjagaan bayi dan mengoptimumkan perkembangan otak si manja.

Majlis dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun.


Penyelidikan mendalam
Dalam usaha merintis jalan untuk menjamin penjagaan bayi secara berkesan, Johnson & Johnson turut menjalankan penyelidikan secara mendalam menerusi Science of Senses untuk menggalakkan perkembangan bayi yang ceria dan sihat.

Hasil penyelidikan menunjukkan rangsangan berbilang deria penting dalam tiga tahun pertama untuk perkembangan laluan yang menyokong komunikasi, kefahaman, perkembangan sosial dan kesejahteraan emosi.

Otak bayi mencipta sehingga 1.8 juta sambungan sinaps baru setiap saat dan pengalaman ini akan menentukan kesinambungannya.

Rangsangan berbilang deria iaitu apa yang dirasa, dihidu, didengar dan dilihat oleh bayi dapat membantu memupuk kelangsungan jangka panjang.

Sentuh:
Bayi yang biasa mendapat sentuhan dan belaian ibu bapa atau penjaga yang penyayang 50 peratus lebih berkemungkinan membuat hubungan mata dan mempunyai ekspresi positif secara keseluruhan (senyuman, pandangan mata).

Bau:
Bau yang lazim seperti bau ibu antara lain bertindak untuk menambah baik emosi, ketenangan dan kecerdasan. Hasil kajian menunjukkan bayi yang dimandikan dengan produk mandian berbau harum memperlihatkan 30 peratus lebih keupayaan untuk bermesra dengan ibu bapa mereka selepas mandi dan mengurangkan hampir 25 peratus masa menangis sebelum tidur.

Dengar:
Bercakap berulang kali dengan bayi semasa mandi boleh membantu perkembangan bahasa mereka. Hasil kajian menunjukkan bayi yang lebih kerap diajak berbual mempunyai kosa kata lebih luas apabila mencapai usia 24 bulan.

Lihat:
Bayi bertindak balas kepada rangsangan visual dan menunjukkan pemprosesan neutral yang dipertingkatkan apabila dipandang terus atau diberi tumpuan perhatian. Ini adalah koordinasi mata, tangan dan kemahiran pengamatan yang penting untuk perkembangan sosial.

Pengarah Kumpulan Johnson & Johnson Malaysia Stuart Crabb berkata, jenama terbabit mempelopori sains dan menetapkan piawaian global dalam penjagaan kulit bayi selama lebih 120 tahun.

Pihaknya berpegang kepada warisan setiap produk Johnson & Johnson dicipta khusus dengan mengambil kira kepentingan dan keperluan bayi dan menepati piawaian Best For Baby.

“Penyelidikan adalah aspek penting kami kerana ia meluaskan sempadan sains untuk merintis kemungkinan baru dalam menambah baik penjagaan bayi sama ada menerusi kefahaman proses perkembangan bayi atau tingkah laku ibu bapa,” katanya.

Kerjasama antara Johnson & Johnson dan Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri membolehkan penambahbaikan kemudahan penjagaan bayi baru lahir di hospital, latihan untuk kakitangan dan pendidikan dalam kalangan ibu baru mengenai Science of Senses.

Dengan peluang untuk menggunakan deria bau, sentuh, lihat dan dengar, ia menumpukan kepada masa mandi sebagai taman permainan berbilang deria yang menawarkan peluang kepada ibu bapa dan bayi untuk berhubung mesra dan menjalin ikatan kasih sayang.

Pihak KPJ Healthcare pula teruja dapat berganding bahu dengan perintis dan penggerak dalam industri penjagaan bayi untuk menambah nilai kepada ramai ibu baru di 25 hospitalnya di seluruh negara.

Kerjasama unik ini membawa pengalaman berharga dalam penjagaan bayi dan bayi baru dilahirkan ke tahap baru dengan menyemaikan bibit amalan masa mandi yang betul kepada ibu sejak awal.

19/05/15

BAHAYA HEPATITIS C LEBIH TINGGI


Hepatitis C (HCV) boleh dikategorikan sebagai virus yang amat ‘bijak’ kerana ia akan melakukan apa saja yang terdaya untuk mengelak dikesan oleh sistem pertahanan badan manusia.

Ini membuatkan ‘pembunuh senyap’ itu mampu bertahan selama puluhan tahun dalam tubuh pesakit tanpa menunjukkan tanda dan penghidap pula menyang­kakan diri mereka sihat.

Lebih 451,000 rakyat Malaysia menghidap HCV manakala di seluruh dunia lebih tiga hingga empat juta orang dijangkiti setiap tahun. Sebanyak 80 peratus daripada mereka yang dijangkiti HCV kronik tidak mengalami sebarang gejala sedangkan kerosakan kepada hati berlaku tanpa disedari.

Komplikasi hati yang serius boleh mengambil masa sehingga 30 tahun untuk terbentuk. Virus berkenaan mampu melakukan kerosakan kepada hati sedikit demi sedikit dalam jangka panjang sehingga berlaku kegagalan fungsi hati dan kanser hati seterusnya menyumbang kepada kematian.

Berbanding Hepatitis A dan Hepatitis B, HCV yang juga dikategorikan sebagai penyakit bawaan darah, tidak mempunyai vaksin yang mampu mencegahnya.

Oleh itu, satu-satunya cara untuk mengesannya adalah dengan melakukan ujian darah khusus yang mudah dan ringkas, seawal mungkin iaitu sebelum sebarang simptom muncul dan sebelum kerosakan hati berlaku.

Berita baiknya, ia boleh dirawat dalam tempoh antara enam bulan hingga satu tahun, sehingga pesakit bebas daripada HCV, sekiranya dikesan pada peringkat awal sebelum berlakunya fibrosis, cirrhosis hati atau kanser hati.


Abdomen
Ini kerana apabila jangkitan sudah merebak, tubuh akan mula menunjukkan simptom antaranya demam, mual, muntah dan sakit di bahagian abdomen, sekali gus menandakan berlaku kerosakan hati yang serius dan sukar dirawat.

HCV yang lazimnya menjejaskan hati, boleh menyebabkan kedua-dua keradangan hati akut dan kronik. Julat spektrum penyakit itu adalah daripada jangkitan tanpa simptom, akut ringan hinggalah kepada komplikasi hati serius.

Ia adalah virus yang dijangkiti melalui darah tercemar HCV. Gejala jangkitan akut termasuk demam, lesu, hilang selera makan, loya, najis berwarna kelabu dan sakit sendi.

Perunding perubatan gastroenterologi, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, HCV sering dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’ kerana mereka yang menghidapinya boleh hidup bertahun-tahun tanpa menyedari mereka mengalami penyakit itu, dan pada masa sama, kerosakan hati mula berlaku dan semakin lama semakin teruk.
Katanya, jika ia dibiarkan tanpa rawatan, HCV boleh merebak dan berkembang menjadi sirosis hati, kegagalan hati atau kanser hati. Fungsi hati akan mula terjejas sebaik sirosis merebak, mengakibatkan pengumpulan bahan toksin yang lazimnya disingkirkan oleh sel hati yang sihat.

Tiada vaksin yang dapat mencegah HCV namun rawatan mampu menyembuhkan penyakit ini. Jangka masa rawatan sedia ada bergantung kepada jenis jangkitan Hepatitis C.

Apa yang cuba kami capai menerusi usaha Gabungan ‘My Commitment to Cure Hepatitis C’ ini adalah untuk mewujudkan kesedaran mengenai HCV dan menggalakkan mereka yang berisiko membuat pemeriksaan awal. Ia hanyalah ujian darah ringkas, lebih baik mengesannya lebih awal kerana langkah sewajarnya dapat diambil untuk mendapat­kan bantuan perubatan.

Kami mahu menguar-uarkan mengenai bebanan penyakit ini di Malaysia dan menekankan betapa pentingnya pengesanan, penjagaan dan penyembuhan,” katanya yang juga anggota gabungan itu.
Komprehensif

Gabungan My Commitment to Cure Hepatitis C merawat penyakit Hepatitis C yang pertama seumpama­nya di Malaysia baru-baru ini dilancarkan bertujuan menawarkan pendekatan bersepadu untuk menangani Hepatitis C di Malaysia.

Ia menggabungkan beberapa orang pakar yang komited dan berdedikasi untuk menggerakkan pelan komprehensif dalam meningkatkan kesedaran, pengesanan dan penjagaan pesakit yang hidup dengan jangkitan Hepatitis C.
Anggota gabungan dan Ketua Perkhidmatan Hepatologi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Tan Soek Siam berkata, terdapat enam jenis genotaip HCV utama yang dikenal pasti dan ia berbeza mengikut kelaziman di seluruh dunia.

Katanya, genotaip pertama adalah yang paling lazim di seluruh dunia dan genotaip kedua paling lazim ditemui di Malaysia selepas genotaip tiga, empat dan enam. Genotaip satu mempunyai kadar penyembuhan paling rendah dengan rawatan yang sedia ada pada masa ini.

Hospital kerajaan kita mempunyai rawatan yang mampu menyembuhkan pesakit daripada HCV iaitu melalui penggunaan suntikan Interferon dan tablet ribavirin untuk meningkatkan tindak balas viralogik berterusan (SVR).

SVR amat penting kerana ia boleh mengurangkan masalah simptom akibat jangkitan HCV. Kini kita sudah memasuki era baru di mana terdapat rawatan HCV menggunakan ubatan oral antiviral (DAA) yang mampu menyekat perkembangan virus dan kerosakan yang boleh dilakukannya pada hati dan rawatannya adalah lebih pantas iaitu antara lapan minggu 12 minggu.

“Sebagai pakar, kami cuba mengingatkan orang ramai supaya melakukan ujian darah terutama bagi golongan berisiko supaya rawatan awal dapat dilakuakn seterusnya membebaskan mereka daripada HCV,” katanya.


Disteril
Golongan yang berisiko untuk mendapat HCV adalah mereka yang pernah melakukan pemindahan darah sebelum 1994 iaitu sebelum virus berkenaan dikesan, mereka yang berkongsi barangan peribadi seperti pencukur dan berus gigi, mengambil dadah secara suntikan, pemindahan organ, dilahirkan ibu yang juga penghidap HCV, melakukan hubungan seks dengan penghidap HCV, suntikan tercemar dengan HCV, bertatu, akupuntur atau bekam yang tidak disteril.

Gabungan itu dianggotai Pengerusi Bersama WHO Jawatankuasa Penasihat Teknikal Strategik untuk Hepatitis Viral dan Pakar ­Perunding Hepatologis di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr Rosmawati Mohamed; Pakar Perunding ­Gastroenterologis, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan; Pakar Perunding Hepatologis, Hospital Selayang, Dr Tan Soek Siam; Pakar Perunding Gastroenterologis Pusat Perubatan ­Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Hamizah Razlan; Pakar ­Perunding Hepatologis, Hospital Selayang, Dr Haniza Omar; Pakar Perunding ­Gastroenterologis, Ketua Jabatan Perubatan, Hospital Ampang, Dr Rosaida Md Said; Pakar Perunding Gastroenterologis, Hospital Tuanku Ampuan Afzan; Dr Tee Hoi Poh dan Pakar Perunding Gastroenterologis, Hospital Kuala ­Lumpur, Dr Saravanan Arjunan.

Gabungan pakar berkenaan menyasarkan untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam merumus serta mempromosi strategi dan pelan tindakan utama ke arah membanteras Virus Hepatitis C (HCV).

Menerusi pelbagai inisiatif, kerjasama itu akan meningkatkan kesedaran terhadap penyakit Hepatitis C dan memperkenalkan hala tuju untuk maklum balas HCV di Malaysia, sambil memberi tumpuan kepada bebanan HCV di Malaysia dan menekankan betapa pentingnya pengesanan awal, pencegahan dan kaitannya dengan penjagaan.

Inisiatif pertama gabungan itu adalah menganjurkan jelajah ‘My Commitment to Cure’ di The Piazza@The Curve Damansara baru-baru ini. Pelbagai aktiviti dijalankan seperti pemeriksaan percuma penyakit Hepatitis C kepada mereka yang berisiko tinggi, kempen ikrar dan gerai pendidikan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit ini.

14/05/15

KEGUGURAN RAMBUT KERANA GANGGUAN EMOSI?


Ada orang dianugerahkan dengan rambut yang tebal dan cantik. Namun kebanyakan orang, baik lelaki mahupun wanita termasuklah golongan remaja mengalami masalah rambut jarang, banyak gugur atau kering sehingga ia kadangkala membuatkan seseorang berasa rendah diri.

Kadar pertumbuhan rambut yang kurang selain masalah rambut gugur berkait rapat dengan faktor genetik, kaedah penjagaannya dan emosi.

Masalah rambut ini bukan saja membimbangkan wanita yang dilihat memberi lebih perhatian dan penjagaan kepada ‘mahkota’ kecantikan itu malah ia turut menjadi igauan ngeri bagi lelaki. Lelaki juga didapati semakin kerap mengalami masalah keguguran rambut dan kadar pertumbuhan rambut yang perlahan.

Hakikatnya, masyarakat Asia mempunyai kadar pertumbuhan rambut yang lebih rendah kerana secara purata, rambut orang Asia hanya tumbuh sekitar 90,000 helai jika dibandingkan dengan 110,000 helai bagi penduduk berbanding penduduk benua lain.

Ahli Persatuan Pertubuhan Farmasi Abbott Malaysia (Abbott), Dr Jia Wei Lu berkata, senario itu adalah normal dan sesuatu yang dianggap semula jadi bagi kebanyakan orang Asia.

“Tidak perlu bimbang jika rambut anda tidak lebat seperti penduduk Barat kerana ini adalah situasi yang biasa di Asia. Kadar pertumbuhan rambut berkait rapat dengan genetik dan tidak spesifik kepada sesuatu jantina atau usia saja.

“Masalah itu (kekurangan rambut) boleh terjadi kepada sesiapa saja dalam sesebuah keluarga sama ada si isteri mahupun suami juga anak-anak,” katanya.

Justeru, semua individu perlu sentiasa menjaga rambut bagi mengelak ia semakin berkurangan tatkala usia kian bertambah.

“Semua orang perlu tahu cara penjagaan rambut dan menggunakan produk bersesuaian bagi memastikan ia sentiasa terpelihara serta tidak mengalami sebarang kerosakan.

“Pewarna rambut adalah salah satu penyumbang kepada masalah rambut. Tidak salah untuk bergaya dengan mewarnakan rambut tetapi kalau dapat, meminimumkan penggunaannya supaya anda tidak mengalami masalah berkaitan rambut kelak,” jelasnya.

Pada masa sama, pengambilan makanan tambahan juga dapat membantu menguatkan akar rambut, sekali gus mengelak daripada masalah keguguran.

“Apa yang penting adalah mengamalkan gaya hidup sihat. Amalkan pemakanan seimbang, kerap bersenam dan mendapat rehat termasuk tidur secukupnya selain belajar menangani tekanan. Semua faktor ini saling berkait dan ia akan memberi kesan besar kepada kesihatan rambut,” katanya.

28/04/15

SENGGUGUT TERUK PENYEBAB WANITA SUKAR HAMIL?


Seorang wanita berumur lingkungan 38, tidak menyangka senggugut yang teruk setiap kali datang haid sehingga memaksa dia bercuti dan mengambil suntikan adalah petanda dia mengalami masalah endometriosis.

Pada mulanya dia beranggapan kesakitan ini hanya perkara biasa untuk wanita sedang datang bulan, tetapi sebenarnya tidak. Lebih memburukkan keadaan apabila masalah itu menyebabkan dia sukar mendapat cahaya mata walaupun sudah lima tahun berkahwin.

Tidak tahan menunggu lama, dia terus mendapatkan rawatan daripada doktor bagi membolehkannya mengandung. Selepas pemeriksaan barulah diketahui rupa-rupanya selama ini dia mengalami masalah endometriosis.

Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pusat Fertiliti KL, Dr Natasha Ain Mohd Nor, secara saintifik, endometriosis adalah salah satu punca lazim yang boleh menyebabkan ketidaksuburan dalam kalangan wanita. 

Ia dikatakan berlaku ke atas tujuh peratus daripada wanita dalam lingkungan usia 18 hingga 35 tahun dan menjadi sebab utama mengapa wanita gagal hamil.

Endometriosis membawa maksud selaput rahim yang tumbuh di luar rahim iaitu pada usus, pundi kencing, salur kencing, tiub fallopia dan bahagian lain di luar kawasan pelvik.

Ia berlaku apabila selaput endometrium menebal dan berdarah sewaktu kitaran haid, tetapi ia tidak mengalir keluar daripada tubuh. Ini boleh mengakibatkan inflamasi tisu di sekelilingnya dan seterusnya penghasilan tisu parut.

Apabila ini terjadi, kilang telur mula membengkak dan darah kotor terkumpul di dalamnya manakala saluran peranakan juga boleh rosak dan tersumbat.

Tambahnya, endometrium ini juga boleh tumbuh dengan saiz luar biasa pada dinding dan otot rahim menyebabkan dinding rahim menjadi besar dan membengkak. Namun, bagaimana tisu endometrium ini boleh tumbuh pada tempat yang luar biasa, tidak diketahui dengan tepat.

Ada beberapa teori yang cuba menjelaskan bagaimana keadaan ini berlaku seperti kemungkinan darah kotor tumpah ke belakang rahim melalui tiub fallopia. Mungkin juga disebabkan kedudukan rahim yang tidak normal iaitu jatuh ke belakang ke arah tulang tongkeng.

“Keadaan rahim begini sering dikaitkan dengan penyakit endometriosis sedangkan pesakit yang memiliki rahim yang menghadap ke hadapan jarang mendapat endometriosis. Ada juga menyatakan bahawa tisu endometrium ini dibawa ke tempat lain melalui saluran darah atau saluran kelenjar ,” jelasnya.

Terdapat beberapa tanda seseorang itu mengalami endometriosis iaitu sakit pada bahagian pelvik dan ia kerap terjadi sebelum kitaran haid bermula, sakit juga kerap terasa semasa melakukan hubungan seks dan ketika membuang air kecil atau besar.

“Bagaimanapun, kekerapan dan intensiti rasa sakit sebenarnya tidak berkait dengan tahap serius penyakit yang dialami. Sesetengah wanita mungkin mengalami sakit yang keterlaluan, tetapi endometriosis mungkin masih dalam peringkat awal. Ada juga wanita yang tiada gejala atau sakit yang ringan, tetapi endometriosisnya sudah berada pada tahap teruk.

“Namun dalam kebanyakan kes, endometriosis gagal didiagnos pada peringkat awal sehinggalah wanita bertemu doktor disebabkan kegagalan untuk hamil. Ini kerana kebanyakan pesakit tidak mempunyai sebarang tanda dan gejala,” katanya.

Dr Natasha berkata, dalam keadaan normal, lapisan endometrium cuma ada pada dinding rahim saja manakala bagi kes endometriosis, lapisan tisu ini akan dijumpai pada kawasan badan yang lain terutama di dalam pelvis seperti ovari, tiub fallopia, di permukaan rahim, di ruangan pelvis, sekitar usus, rektum dan pundi kencing. Ia boleh juga dijumpai di bahagian yang lebih jauh pada tubuh termasuk paru-paru dan hati, tetapi ini sangat jarang berlaku.

“Walaupun tisu endometrium berada di luar kawasan yang tidak sepatutnya, ia masih responsif terhadap perubahan hormon semasa kitaran haid. Seperti mana haid, tisu endometriosis akan gugur dan berdarah, dengan cara yang sama dengan dinding rahim gugur dan berdarah semasa kitaran haid.

“Pendarahan ini boleh menyebabkan rasa sakit terutama sebelum dan semasa haid. Tisu yang gugur dan berdarah di sekitar organ pelvis akan menyebabkan parut dan organ lain yang berhampiran akan melekat antara satu sama lain,” terangnya.

Sekiranya tidak dikesan lebih awal dan tiada rawatan diberikan, ini akan menyebabkan struktur organ di pelvis beralih dari kedudukan asal.

Sebagai contoh yang paling kerap berlaku, apabila ovari melekat pada uterus ia akan menyebabkan tiub fallopia berjauhan dari ovari. Sekiranya berlaku ovulasi, telur tidak akan dapat dicapai oleh tiub fallopia dan persenyawaan tidak akan berlaku.

Dalam kes yang lebih serius, kerosakan mendalam pada tiub fallopia menyebabkan ia tersumbat, rosak menyebabkan ketidaksuburan. Ovari yang ditumbuhi endometriosis pula akan mengumpul darah semasa kitaran haid dan berlakulah sista ovari yang mengandungi darah iaitu seakan-akan seperti coklat cair di dalamnya.

“Ovari yang diselaputi endometriosis tidak dapat lagi berfungsi dengan normal dan gagal melepaskan telur disebabkan follikel terperangkap oleh parut pada permukaan ovari. Ini akan mengurangkan tahap kesuburan wanita dan sekiranya mereka boleh mengandung dikhuatiri akan menyebabkan masalah keguguran,” katanya.

Rawatan Endometriosis
Rawatan endometriosis bergantung kepada umur pesakit, simptom yang dihidapi dan sama ada pesakit itu masih mahu mengandung atau sebaliknya. Jika tujuan mendapatkan rawatan adalah untuk mengandung, doktor akan memeriksa bahagian peranakan dan membetulkannya.

Secara amnya rawatan boleh dibahagikan kepada konservatif, ubatan hormon dan pembedahan. Kaedah konservatif bersesuaian untuk pesakit yang menghidapi hanya pada tahap ringan dengan simptom yang sedikit.

Ubat hormon pula sesuai diberikan untuk wanita yang mengalami senggugut yang teruk atau hormon tidak seimbang. Ini kerana lapisan endometrium yang ektopik boleh dikawal menerusi cara menyekat tahap hormon estrogen dan progesteron di dalam tubuh pesakit.

“Untuk itu, hormon seperti pil perancang, progesteron dan Gonadotrophin-Releasing hormone (GnRH analog) dapat diberikan sebagai rawatan endometriosis. Hormon ini biasanya diberikan selama beberapa bulan untuk memastikan sebanyak mungkin lapisan ektopik endometriosis dapat dikurangkan,” katanya.

Biasanya doktor akan mengambil sejarah perubatan pesakit secara terperinci dan melakukan pemeriksaan fizikal, termasuk di bahagian faraj. Jika doktor mengesyaki kemungkinan wanita itu mengalami endometriosis, doktor menyarankan pembedahan laparoskopi dijalankan untuk melihat bahagian dalam ruang pelvis. Jika endometriosis dijumpai, doktor akan menentukan tahap endometriosis dan kerosakan yang berlaku.

“Diagnosis yang tepat hanya boleh dilakukan melalui pembedahan laparoskopi diagnostik iaitu menerusi kamera yang dimasukkan melalui tebukan kecil di pusat pesakit. Melalui kamera doktor boleh memeriksa keadaan organ dalaman terutama rahim, kilang telur dan saluran peranakan,” jelasnya.

Bagaimanapun, pesakit harus sedar proses yang menyebabkan endometrisis masih lagi berlaku dan akan berterusan sepanjang hidup selagi wanita mempunyai haid. Jadi risiko untuk mendapatkan penyakit ini semula adalah tinggi.

Rawatan ubat saja mungkin boleh menghilangkan rasa sakit, tetapi tidak akan menghalang endometriosis daripada merebak. Rawatan hormon pula boleh mempengaruhi kesuburan dan tidak sesuai untuk diberikan kepada mereka yang merancang untuk hamil.

Oleh itu dalam banyak kes endometriosis, pembedahan menjadi pilihan utama dan biasanya dilakukan melalui laparoskopi. Semasa laparoskopi, tisu endometriosis dimusnahkan atau dibuang dan tisu yang baru terjadi akan dibakar menggunakan alat khas.

Beberapa penyelidikan menunjukkan kadar kehamilan selepas pembedahan untuk wanita yang mengalami endometriosis adalah setinggi 47 peratus. Kepada mereka yang menghidap endometriosis yang serius, kadar kehamilan adalah sekitar 38 peratus. Walaupun angkanya tidaklah begitu tinggi, tetapi ia jauh lebih baik daripada kadar kehamilan tanpa sebarang rawatan pembedahan.


Pemakanan yang perlu dielakkan atau dikurangkan untuk pesakit endometriosis
Makanan mengandungi gandum. Ada kajian menyatakan gandum boleh menyebabkan inflamasi dan mengurangkan penyerapan galian penting seperti zink dan zat besi seperti roti putih, kek, pasta dan snek ringan yang mengandungi gandum.

Gula terutama gula yang diproses boleh menyebabkan hormon insulin berlebihan yang seterusnya mengganggu proses ovulasi.

Marjerin.
Kafein boleh menyebabkan paras gula di dalam darah terganggu.
Produk Tenusu. Ia juga mempunyai elemen yang boleh meningkatkan inflamasi di dalam badan.
Daging merah. Banyakkan pengambilan daging putih (seperti ayam) dan yang organik.
Soya kerana ia mempunyai kandungan fito-estrogen yang tinggi terutamanya susu soya dan tofu.
Makanan berlemak.

Pemakanan yang digalakkan
Banyakkan sayur-sayuran hijau dan buah-buahan segar yang mengandungi zat galian penting. Brokoli boleh merendahkan paras hormon estrogen yang berlebihan di dalam badan.

- Kekacang. Contoh kacang badam dan walnut.
- Oat yang organik yang kaya dengan zat galian dan mineral.
- Makanan berserat.
- Beras atau pasta perang.
- Beri goji - antioksidan yang bagus dan juga boleh meningkatkan kualiti telur yang dihasilkan.
- Lemak berkhasiat seperti asid lemak omega-3, avokado dan minyak zaitun.
- Minum air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.

21/04/15

WANITA LEBIH CENDERUNG HADAPI KEMURUNGAN DARI LELAKI


WANITA mempunyai lebih 70 peratus risiko untuk menghadapi kemurungan berbanding lelaki menurut rekod yang dikeluarkan oleh Institut Kesihatan Mental Nasional, Amerika Syarikat.

Menurut dapatan itu lagi, wanita yang lebih berpotensi menghadapi kemurungan biasanya berusia bawah 32 tahun di mana 3.3 peratus daripadanya adalah wanita peringkat remaja yang berumur 13 hingga 18 tahun.

Kebanyakan kes disebabkan kesan yang terhasil dari faktor biologi, genetic, persekitaran dan psikologi.

“Kemurungan adalah sejenis ‘penyakit’ yang menyebabkan gangguan kepada otak. Pengimejan otak pada Mesin Magnetik (MRI) menunjukkan bahawa aktiviti otak individu yang menghidap kemurungan berbeza berbanding individu yang sihat dan normal.

Bahagian-bahagian otak yang terlibat adalah bahagian otak yang menentukan aktiviti harian seperti waktu tidur, tingkah laku, selera makan dan pemikiran.

“Sesetengah jenis kemurungan ‘diwarisi’ daripada ahli keluarga yang sebelum ini meghidap penyakit yang sama. Bagaimanapun kemurungan juga boleh terjadi kepada individu yang tidak mempunyai sejarah dalam ahli keluarganya.

Episod kemurungan boleh dicetuskan oleh beberapa faktor atau punca yang dikatakan memberi kesan mendalam kepada penghidapnya,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan tersebut.

Antara simptom atau tanda-tanda si penghidap kemurungan termasuk lesu, hilang selera makan, sakit kepala, kekejangan, hilang minat terhadap aktiviti harian, sentiasa dibelenggu perasaan bersalah, sering berasa putus asa, gelisah, mudah lupa, hilang fokus, sering mengalami kekejangan.

Kemurungan atau 'depressions' merupakan penyakit keempat paling berbahaya yang boleh membunuh jiwa.

Oleh itu, individu yang menghadapi kemurungan harus mendapat rawatan awal oleh pakar perubatan.

“Sebaik sahaja pesakit didiagnos, pesakit yang mengalami kemurungan boleh dirawat dengan pelbagai kaedah termasuk pengambilan ubat anti-kemurungan dan rawatan psiko-terapi.

“Namun pengambilan ubat anti-kemurungan harus dirujuk dengan pakar perubatan terlebih dahulu kerana kesesuaian ubat ditentukan oleh tahap depressi seseorang individu,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan tersebut.