Hepatitis C (HCV) boleh dikategorikan sebagai virus yang amat ‘bijak’ kerana ia akan melakukan apa saja yang terdaya untuk mengelak dikesan oleh sistem pertahanan badan manusia.
Ini membuatkan ‘pembunuh senyap’ itu mampu bertahan selama puluhan tahun dalam tubuh pesakit tanpa menunjukkan tanda dan penghidap pula menyangkakan diri mereka sihat.
Lebih 451,000 rakyat Malaysia menghidap HCV manakala di seluruh dunia lebih tiga hingga empat juta orang dijangkiti setiap tahun. Sebanyak 80 peratus daripada mereka yang dijangkiti HCV kronik tidak mengalami sebarang gejala sedangkan kerosakan kepada hati berlaku tanpa disedari.
Komplikasi hati yang serius boleh mengambil masa sehingga 30 tahun untuk terbentuk. Virus berkenaan mampu melakukan kerosakan kepada hati sedikit demi sedikit dalam jangka panjang sehingga berlaku kegagalan fungsi hati dan kanser hati seterusnya menyumbang kepada kematian.
Berbanding Hepatitis A dan Hepatitis B, HCV yang juga dikategorikan sebagai penyakit bawaan darah, tidak mempunyai vaksin yang mampu mencegahnya.
Oleh itu, satu-satunya cara untuk mengesannya adalah dengan melakukan ujian darah khusus yang mudah dan ringkas, seawal mungkin iaitu sebelum sebarang simptom muncul dan sebelum kerosakan hati berlaku.
Berita baiknya, ia boleh dirawat dalam tempoh antara enam bulan hingga satu tahun, sehingga pesakit bebas daripada HCV, sekiranya dikesan pada peringkat awal sebelum berlakunya fibrosis, cirrhosis hati atau kanser hati.
Abdomen
Ini kerana apabila jangkitan sudah merebak, tubuh akan mula menunjukkan simptom antaranya demam, mual, muntah dan sakit di bahagian abdomen, sekali gus menandakan berlaku kerosakan hati yang serius dan sukar dirawat.
HCV yang lazimnya menjejaskan hati, boleh menyebabkan kedua-dua keradangan hati akut dan kronik. Julat spektrum penyakit itu adalah daripada jangkitan tanpa simptom, akut ringan hinggalah kepada komplikasi hati serius.
Ia adalah virus yang dijangkiti melalui darah tercemar HCV. Gejala jangkitan akut termasuk demam, lesu, hilang selera makan, loya, najis berwarna kelabu dan sakit sendi.
Perunding perubatan gastroenterologi, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, HCV sering dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’ kerana mereka yang menghidapinya boleh hidup bertahun-tahun tanpa menyedari mereka mengalami penyakit itu, dan pada masa sama, kerosakan hati mula berlaku dan semakin lama semakin teruk.
Katanya, jika ia dibiarkan tanpa rawatan, HCV boleh merebak dan berkembang menjadi sirosis hati, kegagalan hati atau kanser hati. Fungsi hati akan mula terjejas sebaik sirosis merebak, mengakibatkan pengumpulan bahan toksin yang lazimnya disingkirkan oleh sel hati yang sihat.
Tiada vaksin yang dapat mencegah HCV namun rawatan mampu menyembuhkan penyakit ini. Jangka masa rawatan sedia ada bergantung kepada jenis jangkitan Hepatitis C.
Apa yang cuba kami capai menerusi usaha Gabungan ‘My Commitment to Cure Hepatitis C’ ini adalah untuk mewujudkan kesedaran mengenai HCV dan menggalakkan mereka yang berisiko membuat pemeriksaan awal. Ia hanyalah ujian darah ringkas, lebih baik mengesannya lebih awal kerana langkah sewajarnya dapat diambil untuk mendapatkan bantuan perubatan.
Kami mahu menguar-uarkan mengenai bebanan penyakit ini di Malaysia dan menekankan betapa pentingnya pengesanan, penjagaan dan penyembuhan,” katanya yang juga anggota gabungan itu.
Komprehensif
Gabungan My Commitment to Cure Hepatitis C merawat penyakit Hepatitis C yang pertama seumpamanya di Malaysia baru-baru ini dilancarkan bertujuan menawarkan pendekatan bersepadu untuk menangani Hepatitis C di Malaysia.
Ia menggabungkan beberapa orang pakar yang komited dan berdedikasi untuk menggerakkan pelan komprehensif dalam meningkatkan kesedaran, pengesanan dan penjagaan pesakit yang hidup dengan jangkitan Hepatitis C.
Anggota gabungan dan Ketua Perkhidmatan Hepatologi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Tan Soek Siam berkata, terdapat enam jenis genotaip HCV utama yang dikenal pasti dan ia berbeza mengikut kelaziman di seluruh dunia.
Katanya, genotaip pertama adalah yang paling lazim di seluruh dunia dan genotaip kedua paling lazim ditemui di Malaysia selepas genotaip tiga, empat dan enam. Genotaip satu mempunyai kadar penyembuhan paling rendah dengan rawatan yang sedia ada pada masa ini.
Hospital kerajaan kita mempunyai rawatan yang mampu menyembuhkan pesakit daripada HCV iaitu melalui penggunaan suntikan Interferon dan tablet ribavirin untuk meningkatkan tindak balas viralogik berterusan (SVR).
SVR amat penting kerana ia boleh mengurangkan masalah simptom akibat jangkitan HCV. Kini kita sudah memasuki era baru di mana terdapat rawatan HCV menggunakan ubatan oral antiviral (DAA) yang mampu menyekat perkembangan virus dan kerosakan yang boleh dilakukannya pada hati dan rawatannya adalah lebih pantas iaitu antara lapan minggu 12 minggu.
“Sebagai pakar, kami cuba mengingatkan orang ramai supaya melakukan ujian darah terutama bagi golongan berisiko supaya rawatan awal dapat dilakuakn seterusnya membebaskan mereka daripada HCV,” katanya.
Disteril
Golongan yang berisiko untuk mendapat HCV adalah mereka yang pernah melakukan pemindahan darah sebelum 1994 iaitu sebelum virus berkenaan dikesan, mereka yang berkongsi barangan peribadi seperti pencukur dan berus gigi, mengambil dadah secara suntikan, pemindahan organ, dilahirkan ibu yang juga penghidap HCV, melakukan hubungan seks dengan penghidap HCV, suntikan tercemar dengan HCV, bertatu, akupuntur atau bekam yang tidak disteril.
Gabungan itu dianggotai Pengerusi Bersama WHO Jawatankuasa Penasihat Teknikal Strategik untuk Hepatitis Viral dan Pakar Perunding Hepatologis di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr Rosmawati Mohamed; Pakar Perunding Gastroenterologis, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan; Pakar Perunding Hepatologis, Hospital Selayang, Dr Tan Soek Siam; Pakar Perunding Gastroenterologis Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Hamizah Razlan; Pakar Perunding Hepatologis, Hospital Selayang, Dr Haniza Omar; Pakar Perunding Gastroenterologis, Ketua Jabatan Perubatan, Hospital Ampang, Dr Rosaida Md Said; Pakar Perunding Gastroenterologis, Hospital Tuanku Ampuan Afzan; Dr Tee Hoi Poh dan Pakar Perunding Gastroenterologis, Hospital Kuala Lumpur, Dr Saravanan Arjunan.
Gabungan pakar berkenaan menyasarkan untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam merumus serta mempromosi strategi dan pelan tindakan utama ke arah membanteras Virus Hepatitis C (HCV).
Menerusi pelbagai inisiatif, kerjasama itu akan meningkatkan kesedaran terhadap penyakit Hepatitis C dan memperkenalkan hala tuju untuk maklum balas HCV di Malaysia, sambil memberi tumpuan kepada bebanan HCV di Malaysia dan menekankan betapa pentingnya pengesanan awal, pencegahan dan kaitannya dengan penjagaan.
Inisiatif pertama gabungan itu adalah menganjurkan jelajah ‘My Commitment to Cure’ di The Piazza@The Curve Damansara baru-baru ini. Pelbagai aktiviti dijalankan seperti pemeriksaan percuma penyakit Hepatitis C kepada mereka yang berisiko tinggi, kempen ikrar dan gerai pendidikan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit ini.
0 Comment to "BAHAYA HEPATITIS C LEBIH TINGGI"
Catat Ulasan