4/08/14

PETUA HALANG `BATU KARANG`

Sitrat halang kristal melekat

Batu karang terbentuk apabila terdapat kepekatan bahan tertentu yang tinggi di dalam air kencing yang menyebabkan terbentuknya kristal.

Biasanya air kencing mempunyai bahan dipanggil ‘penghalang’ yang menghalang pembentukan batu karang, tetapi ada setengah kes ia tidak berfungsi.

Sebahagian pesakit mungkin mempunyai paras bahan (penghalang) yang lebih tinggi daripada paras normal di dalam darah dan meningkatkan jumlahnya di dalam air kencing.

Jangkitan salur kencing yang berulang kali juga menggalakkan pembentukan batu karang. Apabila terdapat halangan pada saluran air kencing seperti pembesaran kelenjar prostat, takungan air kencing akan menyebabkan berlakunya jangkitan dan pembentukan batu karang yang berulang.

BANYAKKAN minum air terutama ketika musim panas.

Sebahagian pesakit mungkin dilahirkan dengan saluran air kencing yang tidak normal yang menyebabkan halangan pada saluran air kencing.

Air kencing terbentuk di dalam buah pinggang, mengalir melalui struktur tiub yang dipanggil ureter ke pundi kencing sebelum dikeluarkan.

Batu karang atau kalkuli boleh ditemui di mana saja pada buah pinggang, ureter atau pundi kencing. Di Malaysia, batu karang biasa ditemui di bahagian atas saluran kencing (buah pinggang dan ureter).

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, kekerapan batu karang ini antara 10 hingga 20 peratus di Asia berbanding 15 hingga 18 peratus di negara barat.


Batu karang ginjal

Pakar Urologi Pusat Perubatan Tropicana Dr Muhilan Parameswaran berkata, kepekatan air kencing yang tinggi ini biasa terjadi pada mereka yang sering mengalami masalah kekeringan (dehidrasi) kerana kurang pengambilan cecair (minuman).

“Karang ginjal adalah kristal keras atau batuan yang terbentuk di dalam ginjal. Batuan ini bermula daripada kristal kecil dan kemudiannya melekat dan tumbuh menjadi lapisan.

“Bentuknya akan menjadi seperti biji mutiara yang diselaputi lapisan bakteria dan kalsium atau asid urik. Ada beberapa jenis batu karang antaranya ialah kalsium oxalat, asid urik dan xanthine,” katanya.

Batu karang di buah pinggang biasanya tidak menyebabkan kesakitan dan mungkin ditemui secara tidak sengaja semasa pemeriksaan ultrabunyi atau sinaran-X abdomen untuk sebab yang lain.

Batu yang kecil mungkin boleh keluar tanpa rasa sakit atau mungkin menyebabkan rasa sakit yang teramat sangat dari bahagian belakang hingga ke kemaluan dengan rasa mual dan muntah yang biasanya disebut sebagai ‘renal colic’.

Ini berlaku apabila batu itu bergerak melalui saluran ureter yang sempit yang mengecut untuk mengeluarkannya. Setengah pesakit berasa sakit yang tajam pada testikel mereka atau sepanjang zakar mereka semasa kencing.

Mereka biasanya dapat mengesan adanya darah di dalam air kencing. Batu yang lebih besar yang tidak boleh keluar dengan sendiri mungkin tersekat di dalam ureter dan menyebabkan halangan.

Ini akan menyebabkan sakit yang berterusan dan mungkin demam jika terdapat jangkitan kuman. Biasanya pesakit batu karang pada buah pinggang akan rasa sakit dan sengal-sengal di belakang.

Sakit ini tidak dipengaruhi oleh pergerakan atau perubahan postur yang biasanya disebabkan oleh sakit yang berpunca daripada tulang ataupun otot.


Jenis batu karang ginjal

1. Batu kalsium oxalate - Ini terjadi apabila diet yang diambil tinggi dalam oxalate iaitu garam asid oksalik yang terbentuk sebagai hasil sampingan dalam air kencing. Makanan yang mengandungi oxalate tinggi termasuk daging kambing, soya, buah tomato, coklat, teh dan bayam.

2. Batu kalsium fosfat - Ia sering dikaitkan dengan jangkitan. 

3. Batu asid urik - Biasanya asid urik dibuang daripada badan melalui air kencing. Makanan seperti ikan bilis, otak, ginjal dan hati haiwan, sardin serta daging merah meninggikan risiko batu asid urik. 

4. Batu xanthine - Batu kongenital dan ketumbuhan batu xanthine bermula sejak lahir.


Punca batu karang ginjal

“Tidak ada jawapan yang tetap untuk persoalan ini, tetapi yang pasti ia tidak berkaitan dengan isu menahan air kencing.

“Biasanya ketumbuhan batu karang ginjal berkaitan dengan masalah metabolisme makanan sejak lahir, pengambilan makanan yang kaya dalam oxalat atau daging merah dan kekurangan air kencing.

“Air kencing memainkan peranan penting sebagai pelarut untuk melarutkan bahan buangan dan menyimpan batu kecil serta mengurangkan jangkitan yang menyebabkan terjadinya batu karang,” katanya.

Tambahnya, jika batu karang hanya tumbuh di dalam ginjal, biasanya tidak akan ada gejala yang jelas kecuali air kencing.

Air kencing mungkin mengandungi darah, tetapi hanya boleh dikenal pasti melalui ujian lanjut. Pesakit juga mungkin akan mengalami jangkitan ginjal biasanya demam dan sakit belakang.

Apabila batu karang dikeluarkan, pesakit akan merasai kesakitan yang teruk di bahagian belakang badan, berhampiran dengan genitalia (alat kelamin) dan kemungkinan ada darah dalam air kencing.


Rawatan batu karang ginjal

Sehingga ke hari ini, belum ada rawatan yang terbukti dapat menghilangkan batu karang. Doktor merawat batuan kecil melalui ubat sakit dan ubatan yang dapat menolong mengeluarkan batu karang dari badan.

“Batuan yang lebih besar akan dirawat menggunakan gelombang kejutan (Extracorporeal Shockwave Lithotripsy - ESWL) untuk memecahkan batuan dari luar badan ataupun menggunakan laser untuk memecahkan batuan.

“Kebanyakan batu karang yang kurang daripada empat milimeter akan keluar dengan sendiri. Tetapi pesakit memerlukan rawatan jika batu itu tidak keluar selepas tempoh pemerhatian dan berterusan menyebabkan kesakitan.

“Batu berkenaan mungkin akan membesar atau menyebabkan komplikasi seperti halangan dan jangkitan. Kadangkala batu karang itu tidak menyebabkan kesakitan, tetapi menjadikan fungsi buah pinggang semakin teruk,” katanya. 

Ujarnya, rawatan batu karang ini bergantung kepada lokasi, saiz dan jenis batu karang. Pencegahan boleh dilakukan dengan mengurangkan makanan yang tinggi oxalate dan daging merah. 

Bagaimanapun selepas tiga tahun, 30 peratus pesakit akan kembali mendapat batu karang ginjal walaupun diet mereka dikawal. Namun, batu yang terbentuk di dalam ginjal itu kemungkinan lebih kecil dan boleh dibuang melalui air kencing. 

Kaedah yang paling efektif untuk mencegah kejadian batu karang ginjal adalah dengan memastikan badan membuang air kencing dalam jumlah mencukupi. 

Jumlah air kencing yang perlu dibuang setiap hari adalah kira-kira dua hingga 2.5 liter sehari manakala warna air kencing sepatutnya seperti air suling.

Justeru, cara paling mudah membuang air kencing mengikut jumlah diperlukan adalah dengan minum air yang mencukupi setiap hari.


Pencegahan

Apabila pesakit ada batu karang, dia mempunyai risiko untuk pembentukan batu karang semula. Pesakit dinasihatkan untuk meminum sekurang-kurangnya dua hingga tiga liter air sehari untuk memastikan tubuh mempunyai air mencukupi.

Panduan yang baik, apabila kencing, warnanya jernih seperti air. Nasihat ini lebih penting kerana kadangkala kita berada di iklim panas.

Perubahan dalam pemakanan mungkin diperlukan untuk mencegah pembentukan batu karang. Diet yang kaya dengan protein mungkin akan meningkatkan pengeluaran kalsium oxalate dan asid urik dalam air kencing. 

Pesakit yang mempunyai batu karang jenis asid urik dinasihatkan untuk mengurangkan makanan yang kaya dengan purin seperti daging merah, makanan laut dan alkohol.

Tidak ada halangan untuk mengambil makanan tenusu yang kaya dengan kalsium untuk mencegah batu karang jenis kalsium, tetapi biarlah bersederhana. 

Makanan seperti coklat, kopi dan bayam kaya dengan oxalate dan patut dikurangkan pengambilannya untuk mereka yang berulang kali membentuk batu karang jenis oxalate. 

Dalam keadaan lain pesakit mungkin perlu mengambil ubat untuk mencegah pembentukan batu karang jenis kalsium dan asid urik.

Ujar Dr Muhilan, antara makanan yang sesuai diambil pesakit adalah sumber yang kaya dengan sitrat seperti lemon dan limau. Makanan berkenaan akan membantu untuk melambatkan pembentukan batu karang ginjal kerana sitrat boleh memberhentikan kristal daripada melekat.

Share this

0 Comment to "PETUA HALANG `BATU KARANG`"

Catat Ulasan