13/08/14

ABAI ANAK KERANA TEKANAN HIDUP

Disini kita ingin kongsikan bersama kisah-kisah mengenai peranan dan tanggugjawab ibu bapa terhadap anak-anak mereka.Ini kerana banyak perkara negatif yang telah berlaku di dalam institusi kekeluargaan di kalangan orang melayu yang tidak dapat menanggung bebanan tekanan hidup lalu mengabaikan anak-anak mereka.Ikuti perkongsian ilmu di bawah ini..

Radiah seorang isteri dan ibu kepada dua cahaya mata. Dia juga bekerja di pejabat bermula jam 9 pagi hingga 5 petang. Tamat tugasan dia pulang ke rumah bagi menunaikan tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak. Dia sedar walau bagaimana sibuk sekalipun anak tidak harus diabaikan. Mereka adalah anugerah Allah paling berharga dan harus diuruskan sebaiknya.

Apa yang dialami Radiah mungkin jauh berbeza ­dengan ibu zaman dulu yang hanya menyelesaikan ­tugasan di rumah ­sedangkan ibu pada zaman moden ini memikul semua tugasan sama ada mencari rezeki dan menguruskan anak-anak.

Akibatnya ada di antara wanita tidak dapat memikul bebanan sehingga wujud tekanan dalam diri mereka. Senario lain pula berlaku ibu muda yang tidak tahu tanggungjawab mereka sehing­ga timbul isu pengabaian anak, penderaan dan kes pembuangan bayi. Akhirnya mereka dipersalahkan tanpa melihat terlebih dulu tekanan atau masalah yang dihadapi.

Menurut Perunding Keibubapaan dan juga penulis buku motivasi Ibu Cool Bapa Hebat, Jamilah Samian mengenai rentetan berita dalam akhbar yang memaparkan gejala kerapuhan nilai murni, tidak adil menyamaratakan semua ibu bermasalah.

JAMILAH sentiasa memberikan sokongan kepada anaknya untuk lebih berjaya dalam pelajaran.

Seorang ibu tidak harus diterima seratus peratus atau dilabel sebagai sama. Walaupun banyak berita memaparkan kisah kegagalan ibu menjalankan tanggungjawab, masyarakat harus lihat skop yang lebih luas kerana jumlah ibu bekerjaya yang berjaya mendidik anak dengan sempurna tidak terhitung.

Ramai ibu bapa akur kos kehidupan di kota raya semakin tinggi menyebabkan ramai isteri terpaksa bekerja untuk membantu suami. Gaji suami seorang tidak mencukupi, terutama apabila anak mula bersekolah. Ini satu realiti.

Masalah lain pula timbul apabila perceraian berlaku dan si bapa secara sengaja atau tidak gagal memberi nafkah yang memaksa ibu keluar mencari rezeki bagi meneruskan kehidupannya anak beranak. 

“Ada ibu terpaksa melakukan lebih satu pekerjaan bagi menampung kos sewa rumah, perbelanjaan anak dan keperluan harian,” ujarnya. 

Dari segi akauntabiliti, ibu bapa tetap memikul tanggungjawab membentuk perilaku anak. Tidak ­boleh menyalahkan orang lain apabila anak melakukan kesilapan. Ini bermakna ibu bapa perlu peka, sedar dan arif mengenai pengaruh 
luar dan lakukan apa saja bagi membentuk peribadi mereka menjadi insan sempurna dan berguna.

Ini jelas disebut dalam al-Quran bahawa pendidikan anak adalah amanah ke atas kedua ibu bapa, bukan ibu saja. Malah peranan ibu dan bapa masih kekal sebagai pendidik utama anak.

“Ayah tetap sebagai kapten dan tunggak keluarga bukannya ibu. Ini jelas disebut dalam al-Quran, surah At Tahrim, ayat 6 (66:6) yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman. Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakar adalah manusia dan batu,” katanya.

Memang benar pelbagai tekanan dan masalah yang menjadi faktor utama berlakunya penderaan dan pengabaian seperti yang berlaku kepada adik Firdaus menuntut pengorbanan wanita bergelar ibu untuk lebih peka dengan tanggung jawab mereka. Begitu juga dengan fenomena atau gejala buang bayi yang banyak berlaku, namun ada pelbagai punca yang harus dikaji.

“Masalah multidimensi iaitu pada usia remaja, anak remaja lelaki lebih tertarik kepada remaja perempuan, begitu juga sebaliknya. Ini fitrah. Ibu bapa perlu rapat dengan anak dan bijak menerangkan kepada mereka mengenai perubahan diri yang dialami. Anak remaja perlu bijak memilih kawan dan aktiviti ­bermanfaat serta kurang potensi untuk terbabit dalam gejala negatif. Pendedahan Internet dengan imej negatif di luar kawalan juga satu faktor yang ketara,” jelasnya.

Masyarakat harus sedar masa cepat berlalu, secara tidak langsung persekitaran juga turut berubah. Tiga puluh tahun dulu gejala negatif seperti pornografi hanya disebar melalui majalah. Hari ini, sesiapa saja yang menggunakan Internet terdedah kepada perkara ini. Malah anak yang belum bersekolah atau prasekolah juga ­dapat menyaksikan pelbagai imej negatif melalui ‘pop up’ Internet tanpa ­menekan sebarang kekunci.

Jadi ibu bapa perlu berganding bahu, memastikan matlamat dan usaha selari, sepakat dalam mengurus rumah tangga serta mendidik anak. Ia akan membuatkan anak berasa dilindungi dan tidak disia-siakan.

Terangkan kepada anak mengapa kita bekerja, jadi anak faham dan sokong apa yang ibu bapa lakukan. Anak yang sudah besar, harus dirapati dan sering diajak berbual serta berbincang. Ini membolehkan mereka merasa diri dikasihi dan disayangi. Oleh itu mereka tidak mudah dipengaruhi orang lain dan mendengar cakap ibu bapa.

Bagaimanapun, untuk anak kecil yang masih menyusu, perlu diwujudkan satu sistem di mana ibu tetap menyusukan anak dengan sempurna, meskipun kembali bekerja beberapa bulan selepas bersalin. Ini amat penting bukan saja demi menjamin kesihatan anak, tetapi juga untuk merapatkan hubungan ibu dan anak.

Sentiasa ingat anak boleh jadi pintu syurga untuk ibu bapa. Sebaliknya anak yang salah didikan akan berubah tingkah laku dan mudah terjerumus dalam pelbagai kancah negatif termasuklah penagihan dadah, ­perhubungan bebas remaja lelaki dan perempuan.

Perlu diingat walau sesibuk mana pun, mendidik anak adalah tanggungjawab ibu bapa.

Selain itu kenali guru anak dengan pergi ke sekolah dan berjumpa mereka untuk mengetahui perkembangan anak. Ada banyak isu di sekolah yang perlukan pembabitan ibu bapa secara langsung seperti gengsterisme, melawan guru dan kes buli.

Jadikan waktu bersama anak satu keutamaan. Balik rumah, lakukan yang ‘wajib’ saja seperti memasak dan abaikan kerja sampingan seperti membasuh baju atau mengemas rumah kerana ia boleh dilakukan ketika anak sudah tidur.

Anda perlu bersikap fleksibel dalam meluangkan masa dan tenaga untuk anak. Namun perlu diingat, emosi anak lebih stabil apabila mereka melihat ibu bapa sepakat dan saling membantu. Untuk itu lakukan kerja rumah bersama suami dan elakkan melakukan sendirian.

Bagi yang ada anak remaja pula jangan malu untuk memeluk dan mencium mereka. Ajak bersembang, minta pendapat dan pandangan mereka. Ada kala ibu bapa perlu tegas untuk mendisiplinkan mereka sejak usia remaja.

“Mendidik anak ada batasnya. Terlalu manja atau terlalu keras kesannya tidak baik. Tegas dan manjakan anak biar bertempat.

Ibu bapa perlu tahu pering­kat umur serta fasa pembesaran serta cara terbaik ­untuk mendidik mereka. Anak yang sudah mula ­‘berakal’ iaitu berusia dua tahun ke atas perlu diajar mengenai ‘akibat’ perbuatan mereka. Perbuatan baik akan dibalas baik manakala perbuatan tidak baik akan menerima balasan negatif. Lakukan hukuman secara konsisten selaras ­dengan umur anak,” katanya.

Jamilah yang sering menyampaikan ceramah ­keibubapaan dan berinteraksi dengan ibu bapa ­menolak tanggapan ada ibu tidak bertanggungjawab ­terhadap anak mereka. Persepsi ini tidak benar. Mungkin ada ibu yang kurang pengetahuan mengenai tanggungjawabnya, tetapi jumlahnya tidak ramai. Mungkin ia berlaku dalam keadaan di bawah sedar, bukan sengaja, misalnya sewaktu terlalu sibuk ­dengan kerja.

“Bagi saya kebanyakan ibu bekerjaya peka dengan tanggungjawab serta amanah yang dipikul. Mereka juga ingin menyumbang kepada pembentukan dan pembangunan masyarakat. Ini tertera dalam hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak soleh yang berdoa untuk­nya,” katanya.

Share this

0 Comment to "ABAI ANAK KERANA TEKANAN HIDUP"

Catat Ulasan