6/08/14

LUANGKAN MASA BERSAMA KELUARGA

Tanpa keluarga, kehidupan ini memang tidak bermakna. Lantaran itu, eratkan silaturahim sesama ahli keluarga untuk mewujudkan suasana harmoni, sekali gus membolehkan kita menempuh hari yang menggembirakan di sisi keluarga.

Tidak dinafikan, ada ahli keluarga yang suka menjalani kehidupan sendiri tanpa mempedulikan perasaan orang lain, namun keadaan sebegini tidak seharusnya dibiar berlarutan. 

Peluang untuk bersama ahli keluarga antara cara paling berkesan untuk mendekatkan diri dengan mereka terutama untuk mengeratkan silaturahim. 

Walau sesibuk mana aktiviti harian, luangkan waktu bersama ahli keluarga. Ciptalah sebuah ikatan kekeluargaan yang utuh dengan melakukan perkara berfaedah walaupun ia kelihatan begitu ringkas misalnya makan bersama.

BANYAK aktiviti menggembirakan boleh dilakukan bersama keluarga.


Makan bersama ~ Jika kelapangan, peruntukkan masa untuk makan bersama ahli keluarga khususnya pada waktu malam kerana suasananya lebih aman dan tenteram. Di kesempatan itu pastikan suis televisyen dimatikan dan cuba elak daripada menjawab sebarang panggilan telefon daripada sesiapa saja kecuali kecemasan sepanjang waktu makan malam. Nikmati makan malam itu dengan tenang dengan hanya berbual kosong serta bercerita hal yang menggembirakan.

Sedia hulurkan bantuan ~ Bantulah ahli keluarga yang mengalami masalah atau memerlukan bantuan dengan seikhlas hati pada bila-bila masa. Tugasan rumah misalnya elok dilakukan bersama supaya sambil membuat kerja, anda masih boleh berbual mesra dengan mereka. 

Luangkan masa hujung minggu ~ Luang­kan masa lapang untuk bersantai bersama de­ngan melakukan pelbagai aktiviti menyihatkan sama ada bersukan atau bersiar-siar di sekitar taman. Selain mengeluarkan peluh untuk kesihatan badan, ia berguna untuk mengeratkan hubungan. 

Tonton program kegemaran bersama ~ Jadikan waktu menonton televisyen sebagai satu amalan untuk mengeratkan hubungan kerana masing-masing boleh memberi pandangan dan pendapat berhubung rancangan kegemaran. Ia bukan saja mewujudkan suasana privasi, malah akan menjadikan anda dan ahli keluarga banyak berkomunikasi seterusnya mengeluarkan hujah berguna untuk topik perbualan yang lebih rancak. 

Keluar bersama ~ Sesekali keluarlah berjalan bersama ke pusat beli-belah atau ke kawasan percutian kerana ia akan mewujudkan suasana lebih tenang. Kongsi pandangan ketika membeli-belah malah ketika berjalan di taman pun, banyak perkara boleh menjadi topik perbualan. Perkongsian cerita ini akan menjadikan anda lebih rapat dengan ahli keluarga malah mungkin mengurangkan rasa malu apabila anda perlu memohon bantuan di masa depan. 

Lakukan kerja sosial ~ Aktiviti kebajikan ini bukan saja memberi sinar harapan kepada golo­ngan memerlukan, malah menunjukkan anda dan keluarga sangat mementingkan kebajikan golongan susah. Kerja sebegini juga akan menjadikan anda dan keluarga lebih menghargai antara satu sama lain. 

Melakukan aktiviti gembira ~ Berikan kegembiraan kepada keluarga dengan melakukan aktiviti ceria, bukannya menukarkan keadaan yang baik kepada lebih buruk. Banyak aktiviti menggembirakan boleh dilakukan antaranya bersama-sama bermain video kegemaran. 

Tunjukkan kasih sayang ~ Pelbagai cara boleh ditunjukkan bahawa anda amat menyayangi keluarga menerusi pemberian hadiah, mengingati hari penting dan sentiasa berhubung jika tinggal berjauhan. Jangan putuskan hubungan sesama ahli keluarga kerana ia hanya akan merugikan. Tanpa mereka, siapalah anda di bumi ini. 

Mengadakan hari keluarga ~ Majlis ini tidak perlu dilakukan secara besar-besaran atau berlangsung di tempat menarik. Memadai jika diadakan di tepi pantai atau berkumpul di rumah dengan me­ngadakan majlis makan bersama. Berkumpul bersama keluarga sememangnya detik paling indah yang tiada galang gantinya.

Share this

0 Comment to "LUANGKAN MASA BERSAMA KELUARGA"

Catat Ulasan