12/08/14

KASIH SAYANG YANG `TIDAK BETUL` MAMPU MEROSAKAN ANAK

"Jangan rosakkan anak dengan kasih sayang"

Anak anugerah yang tidak ternilai dan kasih sayang terhadap anak tidak mungkin dapat diungkapkan hanya dengan kata-kata. Pelbagai cara dan usaha dilakukan ibu bapa bagi menunjukkan rasa kasih yang mendalam kepada zuriat masing-masing.

Bagaimanapun, dalam keghairahan mencurahkan kasih sayang, ditambah pula ekonomi keluarga yang semakin baik, ramai ibu bapa tersilap langkah dan mempamerkan konsep sayang yang ‘merosakkan’ anak mereka. 

Ada ibu bapa sanggup menurut apa saja permintaan anak baik dari segi material mahupun keperluan harian. 

Segelintir ibu berasa kasihan melihat anak mereka meminta gula-gula, ais krim dan coklat, lalu membelikannya manakala anak pula dibiar menikmatinya sepanjang hari.

Menyediakan hidangan tinggi kolesterol kepada anak juga dilihat sebagai tanda kasih kepada mereka, lalu berkunjung ke restoran makanan segera setiap kali anak meminta, sedangkan apa yang harus dilakukan ibu bapa adalah membimbing anak dalam semua perkara termasuk soal pemakanan seimbang.

Tidak cukup dengan itu, anak zaman moden ditatang bagai minyak yang penuh dan setiap permintaan mendapatkan peranti mudah alih termasuk telefon pintar dan tablet dipenuhi. 

Mungkin kasih sayang yang ditunjukkan disebabkan rasa bersalah kebanyakan ibu bapa yang sibuk dengan urusan kerja masing-masing hingga tidak ada masa untuk dihabiskan bersama anak mereka. 

Bagi ‘membeli’ kasih sayang anak, ibu bapa bersikap kurang tegas dalam mendidik dan mendapatkan apa saja yang diminta anak sebagai menunjukkan rasa cinta yang mendalam. 

Biarpun setiap permintaan berbentuk bahan material diberikan kepada anak, ia tidak mungkin dapat menggantikan keperluan jiwa anak yang mahukan belaian kasih-sayang, perhatian, bimbingan dan sokongan ibu bapa dalam membesarkan mereka. 

Hakikatnya, anak mendambakan belaian ibu bapa serta peluang berbual-bual, bergurau dan berkongsi pengalaman supaya setiap hari menjadi lebih lebih bermakna dan bahagia di samping kedua-dua orang tua. 

Kasih sayang sebenar adalah bimbingan dan perhatian daripada ibu bapa supaya anak berasa selamat selain dapat membezakan antara perkara buruk dan baik. 

Bimbingan ibu bapa bukan sekadar membabitkan perlakuan positif, kata-kata membina, tetapi ia meliputi gaya hidup terbaik yang akan menjadi ikutan dan tersemat kemas dalam diri anak-anak untuk sepanjang hayat mereka. 

Komunikasi yang baik adalah kemahiran paling penting kepada setiap ibu bapa apabila bercakap dengan anak mereka. Tanpa perlu meninggikan suara atau memarahi, anak akan lebih terbuka dan bersedia untuk mendengar apa yang ingin disampaikan ibu bapa. 

Malah, sifat tenang ibu bapa memberi impak besar pada anak dan mereka sendiri akan datang meminta nasihat apabila berdepan sebarang masalah kerana rasa hormat dan sayang kepada ibu bapa. 

Hubungan ibu bapa dan anak akan menjadi lebih membahagiakan jika ia sentiasa berada dalam keadaan yang positif dan kukuh. Tidak kira peringkat usia anak, bermula dari bayi, remaja dan dewasa, layanan baik daripada ibu bapa akan membantu mengukuhkan hubungan. 

Apabila hubungan anak dengan ibu bapa kukuh, sukar untuk anak terpengaruh dengan anasir buruk, sebaliknya mereka akan merujuk kepada ibu bapa terlebih dulu apabila keliru, bukannya bertanya pada rakan sebaya. 

Ibu bapa mempunyai pengalaman hidup dan pengetahuan lebih luas berbanding rakan sebaya anak mereka lalu nasihat daripada ibu bapalah yang terbaik dan meletakkan keselamatan serta kesejahteraan anak-anak pada kedudukan teratas.

Share this

0 Comment to "KASIH SAYANG YANG `TIDAK BETUL` MAMPU MEROSAKAN ANAK"

Catat Ulasan