Ramai ibu menghadapi masalah memberhentikan penyusuan badan kala anak sudah meningkat usia dua tahun ke atas. Ini kerana dalam tempoh ini bayi disusukan dengan susu ibu sepenuhnya sehingga si kecil merasakan aktiviti itu menjadi satu keperluan yang harus dilakukan tanpa mengira waktu. Selain khasiat susu ibu yang tiada tandingannya, penyusuan badan menjadikan hubungan ibu dan anak bertambah akrab selain jalinan emosi yang stabil serta daya tahan badan yang tinggi berbanding bayi yang tidak disusukan sepenuhnya.
Namun begitu selepas anak meningkat usia dua tahun ke atas, ramai ibu mengeluh kerana proses menceraikan susu badan menjadi amat sukar. Apatah lagi bagi mereka yang ingin hamil kembali. Untuk itu pelbagai cara dilakukan supaya si kecil tidak lagi menyusu. Ada yang menggunakan petua dulu kala dengan meletakkan sesuatu yang masam atau pahit seperti asam jawa, pewarna merah, bawang putih dan belacan pada bahagian payudara bagi memberikan rasa kurang enak lantas anak akan berhenti menyusu sendiri.
Namun keberkesanannya kurang dipastikan. Ini kerana ada anak yang masih boleh menerima dan hanya berhenti sekiranya ibu melakukan secara konsisten selama enam bulan ke atas. Jika tidak rasa pahit, masam, kelat atau bau busuk semuanya diterima saja.
Menurut Perunding Laktasi Siti Nur Suraya Mohamed Ali, dia tidak menggalakkan ibu meletakkan sesuatu pada payudara kerana ia akan mengganggu emosi ibu dan anak sehingga membuatkan bayi tidak menyukai susu ibu. Walaupun ada ibu mengakui ia hanyalah langkah terakhir selepas cara diplomatik tidak berhasil namun sebaiknya guna cara yang lebih praktikal dan sesuai.
“Bayi akan melalui pelbagai fasa berbeza ketika menikmati aktiviti penyusuan susu badan. Biasanya proses bercerai susu akan berjaya jika dilakukan secara perlahan-lahan atau berperingkat dalam masa beberapa minggu atau bulan sebelum anak mencecah usia dua tahun,” katanya.
Apa yang boleh dilakukan adalah dengan mengurangkan penyusuan susu badan sedikit demi sedikit dan kemudian apabila anak sudah selesa dan tidak lagi meminta barulah proses memberhentikannya dilakukan.
“Memberhentikan penyusuan badan secara drastik kadang kala boleh menyebabkan perubahan besar kepada ibu dan anak. Selain kesan fizikal, anda juga akan mengalami kesan emosi. Sesetengah wanita berasa sedih kehilangan keakraban antara ibu dan anak ketika menyusukan bayi mereka,” katanya.
Dalam hal ini tiada masa yang betul atau salah untuk memberhentikan penyusuan. Ada yang bermula ketika anak genap berusia dua tahun, ada pula mengambil masa dua tahun enam bulan malah ada bayi mungkin menyusu lebih lama berbanding kanak-kanak sebaya bergantung kepada kesediaan ibu dan bayi untuk melalui proses ini.
Setiap ibu akan melalui pengalaman berbeza bergantung kepada berapa cepat dan mudah bayi membuat penyesuaian. Bercerai susu akan mengambil masa lebih lama sekiranya bayi belum bersedia melakukannya.
Lebih baik sekiranya ibu tidak menghentikan penyusuan badan serta merta. Ini kerana ia akan mengganggu bayi dan membuatkan ibu berasa kurang selesa apabila mengalami payudara bengkak dan kemungkinan berhadapan penyakit mastitis, satu penyakit radang payudara. Jika bayi tidak menunjukkan tanda dia mahu berhenti menyusu, bersabarlah sehingga dia benar-benar bersedia.
“Untuk itu ia terpulang kepada ibu membuat keputusan dan menentukan masanya. Tetapi nasihat saya jangan cuba memberhentikan penyusuan ketika anak atau keluarga mengalami tekanan seperti ketika bayi tumbuh gigi, berpindah ke rumah baru atau anda mula menghantar anak ke pusat jagaan. Ini kerana pada saat emosi kurang stabil ia akan menyebabkan ibu menjadi lebih tertekan dan memaksa bayi bersama-sama menghadapi tekanan ini,” katanya.
Terdapat pelbagai cara yang lebih ‘manis’ dan berhemah boleh dimulakan ibu sebaik saja anak sudah meningkat usia dua tahun. Antaranya adalah:
1. Jangan tawarkan susu ibu dan lengahkan jika dia minta.
Pada ketika anak leka bermain, dia terlupa untuk menyusu. Ibu usah memanggil dan mengajaknya menyusu sebaliknya biarkan dia meneroka dunianya. Walaupun proses ini sangat sukar kerana naluri ibu biasanya ingin menyediakan yang terbaik untuk anak mereka.
Jadi dengan membiarkan anak tidak menyusu akan menyebabkan ibu risau mengenai kesihatan si kecil. Sekiranya bayi meminta susu, lengah-lengahkan seperti memberitahunya untuk basuh tangan atau meminta si comel mengambil air kosong dulu.
Pada usia dua tahun anak sebenarnya sudah boleh memahami sekiranya anda memberitahu yang pakaian anda tidak sesuai untuk menyusu atau beritahu yang dia hanya boleh menyusu di dalam kereta dan bukannya di tempat awam.
2. Berikan minuman lain.
Bagi ibu yang ingin memberhentikan penyusuan seharusnya sudah memikirkan jenis minuman gantian yang akan disediakan. Ibu atau penjaga boleh menawarkan minuman lain seperti air buah, susu segar, minuman dalam kotak atau air kosong.
Sediakan satu botol minuman dengan karakter yang disukainya dan ini membolehkan bayi mula menyukai perasaan menjadi kanak-kanak. Gantikan susu dengan snek berkhasiat seperti buah-buahan yang dipotong kecil supaya anak menjadi lebih kenyang.
3. Berhentikan penggunaan botol dan gunakan bekas air.
Pada usia bayi lapan bulan, dia sudah boleh mula memegang bekas air dan minum daripadanya. Botol susu ataupun susu formula bukanlah pengganti kepada penyusuan susu ibu. Ia lebih kepada peralihan yang melekakannya, namun apa yang sedang kita lakukan ialah melatih bayi untuk berdikari.
4. Penggantian rutin.
Perhatikan rutin bayi dan cuba gantikan dengan aktiviti berfaedah. Penyusuan sebelum tidur adalah waktu paling sukar untuk diberhentikan. Bapa boleh mengambil peluang ini dengan menggantikannya dengan tabiat baru seperti membacakan buku atau melihat bintang bersama-sama bapa. Suami juga boleh memainkan peranan dengan membawa anak yang baru bangun tidur bersarapan pada waktu pagi sebelum anak meminta susu daripada ibu.
5. Memendekkan tempoh penyusuan.
Ibu juga boleh mencuba dengan memendekkan waktu penyusuan. Sekiranya menyusu selama 30 minit ibu boleh memendekkan masa selama 10 hingga 15 minit saja. Cara ini berkesan untuk anak berusia dua tahun ke atas. Ibu boleh memujuk anak yang dia hanya boleh minum sedikit saja kerana sudah besar. Tunjukkan contoh abang atau kakak yang sangat baik apabila tidak menyusu.
6. Sebaik saja bayi anda memakan berbagai jenis makanan, anda akan dapati dengan sendirinya dia kurang meminta susu badan. Jika anda mahu membantu menggerakkan proses ini, ikutilah langkah-langkah ini:
Langkah 1: Biarkan bayi menghabiskan penyusuan sepenuhnya, kemudian berikan dia hidangan kecil makanan. Pada waktu ini bayi anda boleh menguji rasa dan tekstur makanan.
Langkah 2: Sebaik saja bayi anda mula makan dengan baik (tandanya kelihatan daripada najisnya), barulah anda membuat beberapa pertukaran. Cuba dengan beberapa sarapan dulu. Berikan dia makanan sebelum menyusu. Lakukan ini untuk setiap kali penyusuan.
Langkah 3: Lama kelamaan, berikan bayi anda air dalam cawan bermuncung lembut untuk menggantikan penyusuan badan. Sekurang-kurangnya dia boleh minum susu menggunakan cawan.
0 Comment to "ANAK SUKAR "BERCERAI SUSU""
Catat Ulasan