18/10/16

KAEDAH DAN RAWATAN MASALAH ANGIN DALAM BADAN


Perut senak atau kembung, badan rasa sakit, tidak selesa dan lesu. Masalah angin yang terlalu banyak dalam badan juga boleh menjejaskan kelancaran bekerja yang secara tidak langsung membuatkan seseorang itu tertekan.

Bagi kebanyakan orang, masalah angin ini mungkin bukan gangguan yang menjejaskan hidup. Tetapi bagi sesetengah orang khususnya golongan muda, ia boleh menjejaskan keyakinan diri. Walaupun gejala yang dialami mungkin sama, tetapi punca masalah ini berbeza antara individu.

Masalah angin dalam badan kebanyakannya berpunca daripada udara yang ditelan dan apabila seseorang dalam keadaan tertekan, mereka lebih kerap menelan udara tanpa disedari.

Masalah ini juga boleh disumbangkan oleh proses penghancuran makanan oleh bakteria di dalam usus besar yang tidak berlaku seperti sepatutnya. Ini bermakna ia mungkin disebabkan gangguan dalam sistem penghadaman.

Terdapat beberapa kaedah rawatan bagi menyelesaikan masalah ini. Paling utama adalah penghidapnya perlu membuat perubahan kecil dalam pemakanan dengan mengelakkan pengambilan makanan berangin dan bergas, ambil ubat serta cuba untuk tidak menelan terlalu banyak udara.

Kaedah perlu dilakukan penghidap masalah angin:

Menukar jenis makanan

Kandungan gas yang dihasilkan daripada makanan berbeza antara individu. Seseorang itu perlu memastikan jenis makanan khusus yang menyebabkan berlakunya masalah angin ini berdasarkan pengalaman. Sekiranya makanan itu dapat dikenal pasti, hindarkan daripada mengambil makanan itu.

Ubat-ubatan

Ubat-ubatan seperti antasid, simethicone dan arang diaktifkan yang boleh didapati di farmasi dapat membantu mengurangkan masalah angin. Selain itu, enzim penghadaman seperti laktase membantu menghadamkan karbohidrat di samping membolehkan seseorang mengambil makanan yang biasanya menghasilkan angin.

Kurangkan menelan udara

Individu yang mengalami masalah sendawa yang kronik dinasihatkan supaya kurang mengambil gula-gula getah dan gula-gula. Anda dinasihatkan supaya mengunyah makanan secara perlahan-lahan dan tidak banyak bercakap ketika makan. Sekiranya pesakit memakai gigi palsu, dinasihatkan supaya berjumpa doktor gigi untuk memastikan ia sesuai dipakai.

Hindari makanan yang menghasilkan angin

Makanan yang mengandungi gula raffinose, fruktosa, laktosa dan sorbitol menghasilkan banyak angin. Raffinose terkandung dalam makanan seperti kacang yang mengandungi banyak gula kompleks manakala bunga kubis, kubis brussel, asparagus, brokoli dan kubis pula mengandungi fruktosa. Laktosa ialah gula semula jadi yang terdapat dalam susu dan makanan mengandungi susu seperti keju dan aiskrim.

Fruktosa banyak terdapat pada bawang, buah pir dan gandum. Ia juga banyak digunakan sebagai pemanis dalam minuman ringan dan jus buah-buahan.

Ubatan dan urutan

Selain pengambilan ubat yang sesuai bagi mengurangkan masalah angin sama ada dengan bertemu doktor atau berkunjung ke farmasi terdekat, teknik urutan juga satu daripada kaedah yang dapat membantu anda.

Melalui teknik urutan yang betul, angin dalam badan seseorang itu mampu dikeluarkan dan ia akan memberikan kelegaan segera.

Menurut pakar terapi Nor Qamarul Ramdhah Ahmad Rashidi, teknik urutan yang betul mampu melegakan atau mengurangkan rasa kurang selesa individu berkenaan.

“Terdapat pelbagai jenis masalah angin yang biasa terjadi antaranya angin di badan, kepala, rahim, perut dan bawah bahu yang boleh menyebabkan seseorang itu berasa lesu dan mengalami kesakitan.

“Masalah angin ini sekiranya tidak dirawat atau diurut dengan betul bukan saja menyebabkan rasa tidak selesa malah boleh menjadi punca kesakitan atau bisa pada badan atau tempat yang bermasalah itu,” ujarnya.

Nor Qamarul Ramdhah yang mempunyai pengalaman mengurut masalah angin lebih 10 tahun itu berkata, pengambilan makanan yang betul antara perkara yang perlu diberikan perhatian.

“Apa yang penting adalah kurangkan makanan pedas, berlemak dan minuman berkarbonat kerana itu akan menambah angin selain perlu pastikan minum air masak secukupnya.

“Pengambilan buah sebelum makan nasi selain minum air masak sebaik bangun daripada tidur juga antara kaedah yang dapat membantu mengurangkan masalah angin,” katanya.

2/10/16

PENGGUNAAN GAJET SECARA BERLEBIHAN BOLEH KECUTKAN OTAK KANAK-KANAK?


Kanak-kanak di bawah usia dua tahun yang dibiar memandang skrin untuk satu jangka masa tanpa kawalan dibimbangi boleh terjejas perkembangan bahasa, skil membaca dan ingatan memori jangka pendek mereka.

Apabila meningkat umur, ia juga akan mengganggu tabiat tidur dan tumpuan mereka.

Ini semua merujuk kepada kepada satu fenomena generasi baharu, kecanduan internet dan gajet hingga ada yang melabelkannya kokain elektronik, heroin digital dan sebagainya.

Tahukah anda, disebalik kemajuan kecanggihan teknologi ini, tersembunyi impak yang membimbangkan?

Gangguan emosi

Kajian akademik pediatrik Amerika Syarikat pada 2013 mendapati kanak-kanak dan remaja negara itu menghabiskan masa 8 hingga 11 jam sehari dengan gajet.

Malah seorang daripada tiga kanak-kanak yang masih belum bertutur telah diberi telefon pintar dan tablet.

Fenomena ini dilabelkan sebagai ketagihan internet.

Di Malaysia, antara penemuan kajian mendapati penggunaan gajet berterusan boleh mengecutkan otak anak, terutamanya yang berumur di bawah tiga tahun.

Dari sisi psikologi pula, emosi mereka juga didapati turut terganggu.

Pakar Perunding Psikiatri dan Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), Prof. Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari memberitahu, kawalan emosi anak-anak  perlu ada hubung kait dengan ibu bapa.

"Maknanya kalau ada gangguan emosi mimik muka semua ini penting. Kalau kita dedah terlalu awal gajet, pembelajaran itu tidak akan berlaku, atau sangat minimum.

"Ia boleh mengganggu kemahiran sosial, malu berjumpa orang, dengan peruntukan masa banyak dengan gajet dan dia akan tertekan," kata Dr. Muhsin kepada Astro AWANI ketika ditemubual di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), baru-baru ini.


Peranan Ibu bapa

Dalam hal ini katanya, ibu bapa memainkan peranan amat penting terutama dari segi pemantauan dan had masa.

Paling penting, kawalan had masa. Ibu bapa perlu mematau rapi penggunaan gajet anak-anak agar mereka tidak terlalu ghairah.

"Penggunaan tidak melebihi dua jam dengan kawalan ketat dan mungkin setiap kali penggunaan di bawah usia 5 tahun, ibu bapa harus duduk sekali dengan anak untuk mengurangkan kebergantungan (terhadap gajet).

Sekali guna sekurang-kurangnya 10 minit sahaja," ujarnya lagi.

(Klik Gambar Untuk Lihat Video)

Tegasnya, gajet bukanlah langkah terbaik untuk mengawal dan mententeramkan anak khususnya di bawah usia empat tahun.

Turut senada, Pengarah Pusat Mata dan Lasik, Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad yang memberitahu masalah mata kering boleh berlaku apabila terlalu fokus kepada skrin.

"Apabila terlalu fokus kepada skrin gajet secara langsung, kanak-kanak boleh terkena rabun jauh atau Myopia. Kajian juga menunjukkan kanak-kanak yang mempunyai genetik, masalah rabun pada mereka boleh terjadi lebih awal daripada usia yang sepatutnya," katanya.

(Klik Gambar Untuk Lihat Video)

Selain itu, kanak-kanak juga berpotensi mengalamai masalah mata kering.

Ia disebabkan mata tidak berkelip untuk satu tempoh yang lama menyebabkan berlakunya penyejatan.

Prof Muhaya turut menekankan, ibu bapa perlu memberi perhatian sewajarnya kepada anak-anak dan bukannya gajet. 

"Anak-anak yang tidak dapat melihat mata ibu bapa dengan kata-kata pujian dan kasih sayang akan mencari gajet yang boleh beri mereka kasih sayang," katanya.

27/09/16

MADU TUALANG BOLEH BANTU PULIH TULANG RAPUH?


Kajian oleh sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati madu tualang berkesan membantu masalah osteoporosis (tulang rapuh) dalam kalangan wanita menopause (putus haid),setanding dengan ubat moden.

Timbalan Dekan (Bahagian Penyelidikan) Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Prof. Dr. Rosline Hassan berkata, penemuan itu hasil kajian sejak 2006 melibatkan sekumpulan wanita berusia 45 tahun dan ke atas.

"Kami membuat satu perbandingan antara wanita yang diberikan madu tualang secara konsisten iaitu sebanyak 20 gram sehari selama empat bulan dengan wanita yang mengambil ubat moden.

"Kajian mendapati madu tualang mempunyai kebaikan yang sama dengan ubat moden dari segi ketumpatan tulang," katanya kepada Bernama di luar Koloquium mengenai Kajian Produk Semulajadi dalam Kesihatan, di USM Kubang Kerian di sini hari ini.

Dr. Rosline berkata, kajian sama turut dilakukan ke atas perokok dan didapati tahap keracunan dalam tubuh mereka berkurangan selepas mengambil madu tualang sebanyak 20 gram sehari selama tiga bulan.

"Pembuktian secara saintifik ini menunjukkan produk semulajadi mempunyai kelebihan tersendiri yang perlu terus diterokai penyelidik negara khususnya penyelidik USM dari semasa ke semasa," katanya.

Bagaimanapun, katanya, ketulenan produk semulajadi terutama madu tualang perlu ditekankan untuk memastikan ubat-ubatan tradisional berkualiti serta selamat untuk digunakan.

12/09/16

TAHUKAH ANDA APA ITU VIRUS DEMAM BERDARAH (CCF)?


Simptom bermula secara tiba-tiba apabila pesakit yang dijangkiti virus berbahaya ini akan mendapat demam, sakit otot (myalgia), pening, sakit leher, sakit belakang, sakit kepala, sakit mata dan sensitif kepada cahaya (photophobia). Pesakit juga mengadu loya, muntah, cirit-birit, sakit abdomen, sakit tekak dan disusuli perubahan mood serta kekeliruan.

Selepas dua hingga empat hari, kesakitan ini bertambah buruk dengan rasa mengantuk, murung, letih dan sakit abdomen yang menjurus bahagian atas kanan serta pembesaran hati (hepatomegaly).

Tanda klinikal lain termasuk jantung berdegup laju (tachycardia), pembesaran kelenjar limfa (lymphadenopathy) dan bintik-bintik merah yang menyebabkan pendarahan pada permukaan mukosa dalaman seperti mulut, tekak dan kulit.

Bintik-bintik merah itu boleh mengakibatkan ruam lebih teruk atau kecederaan tisu sehingga darah berlebihan pada kulit (ecchymoses) dan fenomena berdarah yang lain. Pesakit yang sudah teruk mungkin mengalami kemerosotan buah pinggang dengan pantas, kegagalan hati secara tiba-tiba atau kegagalan pulmonari (pengangkutan darah) selepas hari kelima.

Kematian boleh berlaku pada minggu kedua sakit, namun pesakit yang sembuh menunjukkan perubahan pada hari kesembilan atau ke-10 selepas menunjukkan gejala.

Demikian adalah simptom bagi penyakit maut virus demam berdarah Crimean-Congo (CCHF) yang berpunca daripada gigitan sengkenit atau kutu babi. Demam berdarah ini kali pertama dicirikan di Crimea pada 1944 sebelum sekali lagi dikenal pasti pada 1969 sebagai punca satu penyakit yang teruk di Republik Demokratik Congo pada 1969.

Di Sepanyol, seorang lelaki berusia 62 tahun di Madrid maut selepas dijangkiti virus demam berdarah CCHF pada 25 Ogos lalu. Lelaki terbabit dipercayai dijangkiti virus itu selepas digigit sengkenit ketika berjalan dalam hutan berhampiran bandar Avila, kira-kira 50 kilometer barat laut ibu negara Sepanyol.

Mangsa pada mulanya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Infanta Leonor sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Gregorio Maranon untuk rawatan lanjut tetapi meninggal dunia. Malangnya, jururawat wanita yang merawat mangsa di hospital pertama turut dijangkiti virus sama dan kini dirawat di unit penyakit berjangkit Hospital La Paz-Carlos III selepas menunjukkan gejala penyakit terbabit.

Susulan kes pertama CCHF tempatan di Eropah Barat itu, pihak berkuasa kesihatan Madrid mengenal pasti seramai 200 orang yang berhubung dengan mangsa dan jururawat terbabit untuk dipantau termasuk mengambil suhu badan jika menunjukkan gejala penyakit berbahaya itu serta arahan pengasingan dalam rumah.

Bagaimanapun kira-kira seminggu selepas kematian mangsa Kementerian Kesihatan Sepanyol mengeluarkan kenyataan bahawa pihak mereka menerima dua lagi kes pesakit di Madrid terpaksa diasingkan selepas disyaki menghidap CCHF. Ini menyebabkan pihak kementerian mengeluarkan arahan kepada semua hospital untuk mengaktifkan prosedur kecemasan menangani penyakit berjangkit yang berisiko tinggi.

Sementara itu di Pakistan, pihak berkuasa kesihatannya mencatatkan 19 kes kematian akibat jangkitan virus demam berdarah itu pada tahun ini saja. Sehingga Ogos lalu, kematian tertinggi sebanyak 12 kes dicatat di daerah Quetta, lima kes di Karachi, manakala dua kes lagi di Bahawalpur.

CCHF atau virus Congo adalah penyakit berjangkit yang disebarkan sengkenit daripada haiwan liar dan domestik seperti lembu, kambing, biri-biri dan arnab. Ini kerana, sengkenit berbentuk bulat dan tidak mempunyai sayap itu menjadikan haiwan berkenaan sebagai perumah berikutan araknid kecil itu menghisap darah untuk membiak.

Manusia mendapat jangkitan menerusi gigitan sengkenit terbabit atau sentuhan dengan darah haiwan yang dijangkiti sejurus selepas penyembelihan. Jangkitan kemudian merebak dari individu ke individu selepas menyentuh atau memegang darah, rembesan, organ atau cecair tubuh lain yang tercemar dengan virus daripada pesakit yang dijangkiti.

Majoriti kes jangkitan manusia membabitkan mereka dalam industri ternakan seperti pekerja di ladang ternakan, pusat penyembelihan dan pakar veterinar. Sehubungan itu, langkah pengawasan bagi penyakit berjangkit terbabit diperketatkan di Pakistan berikutan pasaran haiwan ternakan mendapat permintaan tinggi untuk digunakan dalam ibadat korban sempena sambutan Aidiladha.

Di Malaysia, penyakit virus Congo ini belum dilaporkan, tetapi kebimbangan untuk ia merebak masih ada berikutan permintaan terhadap lembu tempatan untuk ibadah korban sepanjang musim perayaan Aidiladha yang tidak mencukupi menyebabkan ramai penternak membawa masuk lembu import dari Thailand dan Myanmar.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), CCHF adalah penyakit berjangkit disebabkan virus bawaan sengkenit (Nairovirus) dari keluarga Bunyaviridae dan juga endemik di kebanyakan tempat di Afrika, Balkan, Asia Barat dan Asia. Ia menyebabkan kadar kematian kes antara 10 hingga 40 peratus.

Haiwan berkenaan mendapat jangkitan selepas digigit sengkenit yang membawa virus penyakit sebelum virus itu kekal dalam aliran darah kira-kira seminggu selepas dijangkiti dan kitaran ini berterusan dengan gigitan sengkenit lain. Namun demikian, haiwan yang dijangkiti tidak mendapat penyakit terbabit, sebaliknya menyebarkan penyakit kepada manusia.

Walaupun sebilangan keluarga sengkenit ini yang mendapat jangkitan, namun sengkenit dari genus Hyalomma adalah vektor utama. Diagnosis untuk penyakit ini dilakukan menerusi kaedah pengesanan virus atau asid ribonucleic (RNA) dalam sampel darah atau tisu pesakit serta beberapa ujian makmal yang lain.

Selepas jangkitan menerusi gigitan sengkenit, tempoh inkubasi atau pengeraman virus biasanya satu hingga tiga hari dan paling lama sembilan hari, manakala tempoh inkubasi jangkitan menerusi sentuhan darah tercemar pula mengambil masa lima hingga enam hari dan paling lama 13 hari.

Rawatan melegakan gejala dan rawatan sokongan adalah pendekatan utama dalam pengurusan demam berdarah virus Congo ini. Pesakit dinasihatkan supaya mendapatkan rehat yang mencukupi, mengawal keseimbangan cecair dalam badan dengan membaiki paras elektrolit serta sokongan oksigen dan hemodinamik (aliran darah) yang terganggu. Ubatan antivirus ribavirin juga digunakan dalam merawat jangkitan CCHF sama ada diambil secara oral atau suntikan ke dalam vena (IV).

Masih tiada vaksin lagi untuk mencegah penyakit ini sama ada untuk manusia dan haiwan, namun langkah pencegahan boleh dimulakan dengan mengurangkan risiko jangkitan seperti penggunaan bahan kimia penghalau serangga terutama sengkenit atau kutu dan pakaian yang bersesuaian untuk pekerja ladang ternakan atau pengendali haiwan lain.

8/09/16

BOLEH PEKAK JIKA GEGENDANG TELINGA BOCOR ATAU PECAH


Terdapat tiub atau corong yang menghubungkan telinga tengah dengan kerongkong manusia. Ia sangat dipengaruhi oleh tekanan persekitaran atau tekanan atmosfera. Telinga tengah dipisahkan dengan telinga luar oleh gegendang telinga.

Gegendang telinga boleh pecah disebabkan perubahan tekanan pada atmosfera. Contohnya bagi mereka yang turun dari tempat tinggi secara mendadak seperti dalam kapal terbang, turun dari gunung atau kawasan tanah tinggi.

Ia juga boleh berlaku kepada penyelam skuba selain berlaku akibat terdedah pada bunyi yang kuat. Dalam kebanyakan kes, tekanan atmosfera yang berubah secara mendadak menyebabkan peningkatan tekanan dalam telinga tengah seterusnya menyebabkan gegendang telinga bocor atau pecah kerana ia tidak dapat menampung tekanan berkenaan.

Pesakit akan mengalami sakit telinga yang teruk disertai darah keluar dari corong telinga. Darah yang keluar akan menitis sedikit demi sedikit.

Selain daripada itu pesakit mengalami pening dan loya. Ini disebabkan oleh gangguan secara tidak langsung pada bahagian telinga yang juga berfungsi sebagai sistem keseimbangan badan.

Pendengaran juga akan terjejas pada bahagian telinga yang bocor. Ini disebabkan gegendang telinga yang tidak bergetar seperti biasa untuk menyampaikan denyutan kepada telinga tengah dan saraf ke otak. Ada kala pesakit mendengar bunyi bising berdesing yang tidak selesa pada bahagian telinga berkenaan.

Ketika pemeriksaan awal di klinik atau wad kecemasan, kebiasaannya gegendang telinga yang bocor tidak dapat disahkan. Ini kerana darah pada corong telinga luar akan mengganggu pandangan doktor untuk melihat gegendang telinga.

Oleh itu, pakar atau doktor di jabatan telinga, hidung dan tekak (ENT) terpaksa menyedut keluar darah dan ketulan daripada corong telinga luar. Selepas itu barulah kebocoran pada gegendang telinga dapat dikenal pasti.

Selain itu, ketika pemeriksaan, kemungkinan lain selaku penyebab telinga berdarah juga dapat dikesan. Dalam kebanyakan kes, gegendang telinga yang bocor akan sembuh atau tertutup sepenuhnya lepas beberapa minggu. Paling utama ialah memastikan telinga sentiasa kering untuk mengelakkan jangkitan kuman.

Ada kala ubat titisan telinga mengandungi antibiotik atau antibiotik diberi sama ada untuk dimakan atau suntikan bagi mengelakkan jangkitan kuman yang boleh melewatkan proses penyembuhan juga mengeruhkan keadaan.

Pendengaran akan baik seperti sedia kala sebaik sahaja kebocoran gegendang telinga tertutup sepenuhnya. Jika ini tidak berlaku, pesakit perlu menjalani pembedahan untuk menutup kawasan bocor itu.

6/09/16

ADAKAH TAPAK KAKI ANDA NORMAL ATAU LUAR BIASA?


Setiap individu memiliki bentuk tapak kaki berbeza. Ada yang memiliki jenis tapak kaki melengkung, sederhana rata, rata sepenuhnya atau bengkok ke dalam.

Mungkin ramai yang tidak tahu jenis bentuk kaki masing-masing sehinggalah mula sakit dan tidak selesa yang akhirnya memaksa individu terbabit melakukan pemeriksaan kaki atau bertemu pakar perubatan.

Hakikatnya, individu yang memiliki tapak kaki sederhana rata, rata sepenuhnya dan bengkok ke dalam adalah individu mempunyai pelbagai masalah kaki. Manakala bagi mereka yang mempunyai tapak kaki melengkung tidak perlu risau kerana bentuk kaki jenis itu normal.

Menurut Pakar Orthotik Myortho Datuk Dr Edmund Lee, di negara ini kebiasaannya ramai individu yang mengalami masalah bentuk tapak kaki rata sepenuhnya.

Masalah itu disebabkan faktor keturunan, pemakaian kasut yang tidak sihat dan otot kaki tidak kuat.

“Individu yang mempunyai jenis tapak kaki rata sepenuhnya bakal berdepan masalah kesihatan apabila meningkat dewasa dan seterusnya ketika tua.

“Ini kerana jenis tapak kaki rata sepenuhnya ialah satu bentuk kecacatan kaki, namun jangan risau kerana kecacatan ini boleh diperbetulkan dan diatasi,” katanya.

Menurutnya, masalah terbabit boleh diperbetulkan sebelum individu terbabit berusia 14 tahun kerana ketika itu tulang masih lembut dan boleh dibentuk semula.

“Bagaimanapun, sekiranya masalah ini tidak diperbetulkan sehingga individu itu dewasa, mereka akan kekal dengan keadaan kaki itu selama-lamanya.

“Keadaan itu bukan saja memberi tekanan kerana perlu menanggung kesakitan dalam tempoh lama malah lebih membimbangkan apabila ia bakal memberi kesan negatif terutama kepada kesihatan individu itu,” ujarnya.

Normal atau luar biasa

Menurut Dr Lee, berdasarkan keadaan itu, ibu bapa atau golongan dewasa seharusnya memainkan peranan dengan bersikap lebih prihatin memantau perkembangan tapak kaki anak sama ada normal atau luar biasa kerana jenis atau kecacatan kaki hanya boleh dilihat selepas berusia lima tahun.

Mengenai komplikasi kesihatan bagi individu yang mempunyai tapak kaki rata sepenuhnya, Dr Edmund berkata, golongan itu akan mengalami masalah kesakitan seperti sakit pada tumit, tulang kering, tulang belakang, leher, lutut, postur badan yang tidak seimbang dan pergerakan jalan yang tidak cantik.

“Semua kesakitan akibat kecacatan itu hanya akan dirasai selepas individu terbabit meningkat dewasa kerana ia tidak terlihat ketika individu itu masih kanak-kanak.

“Lama-kelamaan individu terbabit akan berterusan berasa sakit kerana keadaan kaki akan bertambah teruk sekiranya ia tidak ditangani dengan betul,” katanya.

Tambahnya, kaki rata merujuk kepada keadaan gerbang atau lengkungan kaki tersentuh sepenuhnya atau hampir lengkap pada tanah ketika individu itu berdiri.

“Bagi individu yang memiliki tapak kaki rata, pemilihan kasut sangat penting dengan mengikut saiz kaki kerana sekiranya tidak dilakukan dengan betul, ia menyebabkan kesakitan serta berdepan dengan masalah penjajaran kaki.

“Individu yang mengalami masalah tapak kaki rata, ketika berjalan atau berdiri, beban tekanan dan lebihan tenaga akan tertumpu sepenuhnya kepada tapak kaki yang akan menyebabkan kaki berasa sakit,”ujarnya.

Selain itu, individu yang mengalami masalah tapak kaki rata sepenuhnya bakal menghadapi kesukaran untuk berjalan atau berdiri terlalu lama.

Kasut dan pelapik kasut sesuai

Menurut Dr Lee, kecacatan tapak kaki rata boleh diperbetulkan tanpa sebarang pembedahan, sebaliknya ditangani dengan penggunaan kasut atau pelapik kasut yang sesuai dengan kaki.

Bagaimanapun, katanya, tidak semua pelapik kasut sesuai dengan setiap orang kerana keperluan yang berbeza-beza.

“Majoriti masyarakat Malaysia cenderung memilih kasut tanpa mengukur kaki mereka terlebih dulu. Sebenarnya, apa yang mereka perlu lakukan adalah menyarungkan kaki terus ke dalam kasut.

“Apabila memilih kasut, jangan pilih kasut yang muat-muat dengan kaki dan pilihlah saiz longgar sedikit, sekurang-kurangnya lebihkan dua jari pada bahagian hadapan kasut supaya jari-jemari kaki tidak tersekat serta boleh digerakkan,” katanya.

Dia turut memberi panduan supaya mencuba kasut dengan kaki kanan terlebih dahulu kerana kaki kanan lebih besar saiznya daripada kaki kiri ketika membeli kasut.

“Salah satu faktor terjadinya masalah tapak kaki rata sepenuhnya ialah pemakaian kasut yang tapaknya terlalu lembut.

“Oleh itu, mereka yang mengalami masalah kaki digalakkan bertemu dengan pakar ortotik bagi menjalani rawatan manakala kesedaran mengenai penjagaan kaki dari awal amat penting supaya tidak memudaratkan,”ujarnya.

3/09/16

KESEDARAN IBU BAPA TERHADAP KANDUNGAN GULA DALAM MAKANAN MASIH RENDAH


Gula sama ada semula jadi atau diproses adalah karbohidrat ringkas yang membekalkan kalori kepada tubuh kita untuk digunakan sebagai tenaga dan tiada nilai nutrisi lain.

Gula semula jadi adalah pemanis dalam makanan bukan proses seperti susu, buah-buahan, sayur-sayuran dan segelintir bijian. Fruktosa adalah gula semula jadi yang paling banyak didapati dalam buah-buahan, manakala laktosa adalah gula semula jadi dalam susu.

Gula tambahan pula adalah pemanis yang ditambah ke dalam makanan atau minuman yang diproses bagi menjadikan sajian berkenaan lebih enak.

Selain itu, gula tambahan juga bermanfaat dalam industri makanan kerana makanan yang mengandungi gula lebih tahan lama berikutan membantu meningkatkan rasa, warna dan tekstur makanan dan minuman, mengawet makanan seperti jem dan jeli supaya tidak mudah rosak, membantu proses penapaian dalam roti, menjadikan kuih-muih tahan segar dan mengimbangkan makanan bercuka.

Bagaimanapun, industri makanan sedemikian juga dapat menarik minat pengguna untuk memilih makanan yang sedap, manis dan lebih menyelerakan daripada makanan yang menyihatkan. Golongan kanak-kanak khususnya juga cenderung memilih makanan manis seperti kek, biskut, jus, gula-gula dan jeli berbanding makanan seimbang seperti nasi, roti, mi dan sayuran.

Perunding Pakar Diet, Indra Balaratnam berkata kandungan gula yang melebihi daripada had yang sesuai diberikan kepada anak-anak menjadi faktor pendorong untuk mereka mendapat masalah obesiti, kerosakan gigi, kekurangan mikronutrien dan diabetes.

Bagaimanapun, segelintir ibu bapa mungkin tidak sedar mengenai kandungan makanan yang diberikan kepada anak-anak lebih-lebih lagi apabila mereka bebas untuk memilih makanan yang digemari.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 mendapati lebih tujuh peratus kanak-kanak di bawah umur lima tahun di negara ini dikenal pasti mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Masalah obesiti boleh menjejaskan dengan teruk perkembangan kanak-kanak dan kualiti kehidupan yang membawa kepada komplikasi sekunder seperti diebetes jenis 2, masalah kardiovaskular, asma dan gangguan tidur.

Sementara itu, kajian dijalankan Persatuan Pemakanan Malaysia mendedahkan hampir 30 peratus kanak-kanak dan remaja berusia enam hingga 17 tahun di negara ini mengalami obesiti.

“Masalah obesiti itu berpunca daripada amalan pemakanan kanak-kanak yang lebih gemar sajian mengandungi kadar gula tinggi seperti aiskrim, donut, coklat, gula-gula, biskut dan minuman berkarbonat.

“Pengambilan gula tambahan ini daripada sumber makanan berkenaan boleh mengakibatkan pengambilan kalori yang berlebihan dan dalam jangka masa panjang boleh meningkatkan berat badan serta menyebabkan obesiti. Keadaan ini akan menjadi lebih serius sekiranya diet harian adalah tinggi lemak dan kurangnya aktiviti fizikal.

“Oleh itu, adalah penting kepada ibu bapa untuk memastikan pemberian makanan yang sihat kepada anak dengan mengetahui kepentingn nutrisi yang baik untuk mereka adalah makanan dan minuman yang memberikan tenaga, perkembangan fizikal dan pembangunan mental,” katanya ketika perbincangan meja bulat, Membesar Tanpa Gula Tambahan, anjuran Fonterra Brands Malaysia di ibu negara, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Pembangunan Produk, Saintifik dan Hal Ehwal Perundangan, Fonterra Brands Malaysia, Megawati Suzari.

Indra berkata, ibu bapa perlu berhati-hati dengan kebanyakan produk makanan dan minuman yang mengandungi gula tambahan dan cara paling mudah adalah memeriksa dengan membaca senarai kandungan pada bungkusan atau label pemakanan.

“Gula tambahan merangkumi fruktosa, glukosa, sukrosa, sirap jagung, sirap glukosa, madu, gula perang, gula melaka dan molases. Tubuh kita sebenarnya tidak mempunyai keperluan kepada gula itu berikutan makanan yang mempunyai karbohidrat juga mengandungi gula.

“Tiada sumber vitamin mahupun protein dan lain-lain nutrisi boleh didapati dalam gula. Jadi, ibu perlu menitikberatkan amalan pemakanan anak dengan sentiasa menyedari kesan buruk yang akan berlaku kepada anak mereka jika pengambilan gula melebihi kadar yang disarankan,” katanya.

Tahun lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan garis panduan baru saranan pengambilan gula dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak bagi membendung masalah obesiti yang semakin menjadi-jadi di seluruh dunia.

Had baru itu menetapkan pengambilan gula harian tidak melebihi lima peratus jumlah keseluruhan kalori harian atau 25 gram yang bersamaan dengan enam sudu teh gula sehari.

Indra berkata, ibu bapa mampu memastikan anak-anak mereka mendapat pelbagai nutrien yang diperlukan dalam jumlah yang betul dengan merujuk Piramid Panduan Makanan Malaysia yang menunjukkan dengan jelas jenis dan jumlah makanan perlu diambil setiap hari.

“Ini bagi mengatasi masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak, malah ibu bapa juga perlu memainkan peranan mengawal dan menentukan jenis hidangan dinikmati anak.

“Ibu bapa juga perlu melengkapkan diri dengan maklumat mengenai sajian terbaik untuk anak dan sewajarnya turut menerangkan secara terperinci kepada anak-anak mengapa sesuatu makanan itu perlu atau tidak perlu dimakan,” katanya.

Sementara itu, Megawati berkata, pihaknya melaburkan RM20 juta setahun untuk menjalankan kajian dan penyelidikan terhadap produk tenusu sejak 2011 termasuk memulakan langkah mengurangkan gula tambahan atau tidak menggunakan langsung gula dalam setiap produk yang dikeluarkan dalam usaha memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat di negara ini.

“Ini adalah komitmen kami untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan terhadap kepentingan nutrisi yang baik terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

2/09/16

JANGKITAN TRAKOMA MAMPU BUAT ANDA JADI BUTA


Penyakit mata, trakoma, adalah jangkitan penyebab utama kebutaan di seluruh dunia. Jangkitan pada mata disebabkan bakteria, Chlamydia trachomatis, ini menyebabkan kira-kira 1.9 juta penduduk dunia kehilangan deria penglihatan, malah ia turut menjadi masalah kesihatan awam di 42 negara.

Jangkitan trakoma disebarkan menerusi sentuhan titisan air daripada mata dan hidung individu yang dijangkiti terutama kanak-kanak. Malah, bakteria jangkitan juga disebarkan kepada orang lain daripada pembawaan vektor seperti lalat yang menghurung pesakit trakoma.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), trakoma adalah penyakit biasa dialami kanak-kanak prasekolah atau berusia lima tahun ke bawah dengan kadar kekerapan antara 60 hingga 90 peratus. Jangkitan akan menjadi kurang kerap dan lebih singkat dengan pertambahan usia.

Kawasan yang dikenal pasti mengalami masalah trakoma adalah di benua Afrika dan Asia iaitu bahagian pedalaman yang kekurangan sumber air bersih, kelemahan sistem sanitasi, kualiti penjagaan kesihatan yang rendah dan bilangan penghuni rumah yang padat.


Jangkitan trakoma kali pertama tidak menyebabkan kebutaan sebaliknya mengakibatkan kemerahan pada mata atau konjuktivitis, namun masalah mata menjadi lebih buruk jika jangkitan berlaku berulang-kali. Pada peringkat ini, bahagian dalam kelopak mata akan berparut teruk sehingga ia termasuk ke dalam mata mengakibatkan geseran antara bulu mata dengan bebola mata (trachomatous trichiasis).

Sentuhan antara bulu mata dengan bebola mata menyebabkan calar yang teruk pada kornea mengakibatkan kesakitan dan mata menjadi sensitif kepada cahaya. Jika dibiarkan tanpa rawatan, keadaan ini mengakibatkan kornea menjadi legap yang menjejaskan pandangan seterusnya kebutaan.

Program penghapusan penyakit ini di negara endemik sedang dilaksanakan menggunakan strategi dikenali sebagai SAFE yang disyorkan oleh WHO. Strategi itu terdiri rawatan dan pencegahan seperti pembedahan untuk pesakit yang berada di tahap kebutaan, pemberian antibiotik untuk menangani jangkitan, kebersihan muka dan pendidikan persekitaran terutama meningkatkan tahap kebersihan air dan sanitasi diri.