30/09/15

TIPS ELAK KEKEJANGAN OTOT

Kekejangan otot ialah kontraksi otot yang kuat di luar kawalan. Kontraksi otot ini akan berterusan dan biasanya terjadi secara tiba-tiba.

Keadaan itu menimbulkan rasa sakit kuat yang mengganggu pergerakan anggota berkenaan. Kekejangan otot sering berlaku ketika bersukan dan menjalani aktiviti fizikal terutama dalam kalangan atlet.

Punca kekejangan disebabkan pengumpulan asid laktik dan bahan toksik secara berlebihan. Pada masa sama, ia mengakibatkan kandungan oksigen dan nutrien di dalam otot semakin berkurangan.

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat tiga jenis kekejangan otot. Antaranya:
1. Kekejangan otot selepas bersenam
- Kontraksi otot luar kawal yang menyakitkan berlaku semasa atau selepas bersenam.
- Kelesuan yang melampau iaitu kehausan otot berpunca daripada aktiviti yang melebihi tahap   kemampuan.
- Fasa memanaskan dan menyejukkan badan yang tidak mencukupi.
- Hanya berlaku pada otot yang digunakan secara berlebihan daripada kemampuan.
2. Kekejangan otot akibat keletihan
- Ia biasa berlaku dalam kalangan atlet yang banyak kehilangan elektrolit selepas berpeluh.
3. Kekejangan otot akibat cuaca panas
- Ia berlaku disebabkan kehilangan sejumlah besar kuantiti air dan garam di dalam badan terutama selepas bersenam pada suhu yang panas.
- Selalunya bermula di kaki tetapi boleh membabitkan bahagian yang lain.

Faktor kekejangan otot berlaku disebabkan bersenam.
1. Umur - Individu yang berusia lebih cenderung mengalami kekejangan otot disebabkan otot badan yang mula kendur dan mengecil. Anggota badan mudah letih ketika aktiviti fizikal.
2. Atlet - Atlet acara jarak jauh mudah mengalami kekejangan terutama apabila cuaca panas. Kecederaan yang dialami ketika menjalani latihan pada awal musim boleh juga menjadi punca.
3. Dehidrasi - Kurang pengambilan air tetapi berpeluh secara berlebihan boleh meningkatkan risiko kekejangan otot.
4. Obesiti - Otot yang menampung berat badan berlebihan sering mengalami kekejangan terutama pada bahagian kaki kerana kekurangan daya tahan.
5. Intensiti dan tempoh senaman yang berlebihan - Senaman berintensiti tinggi yang dilakukan secara berlebihan menjadi punca berlakunya kekejangan otot.
6. Teknik regangan otot yang salah - Regangan otot yang dilakukan secara sambil lewa sebelum memulakan senaman boleh mengakibatkan otot menjadi kejang.

Perkara yang harus dilakukan ketika kekejangan otot:
1. Berhenti dan berehat di kawasan yang mempunyai pengaliran udara yang baik.
2. Minum air yang mencukupi. Elak minum air berkafein yang akan merangsang anda membuang air kecil.
3. Letak ais pada otot bagi mengurangkan intensiti sakit.
4. Urutan ringan akan membantu mengurangkan kekejangan.
5. Lakukan regangan secara perlahan sehingga simptom berkurangan.

Kekejangan otot disebabkan senaman boleh dikurangkan melalui beberapa cara. Antaranya:
1. Bersedia sepenuhnya dari segi fizikal sebelum memulakan aktiviti.
2. Lakukan regangan mencukupi ke atas otot yang cenderung mengalami kekejangan.
3. Pastikan pengambilan nutrisi dan air mencukupi.
4. Mulakan aktiviti dengan tempoh dan intensiti yang optimum.
5. Pastikan minum air pada kadar awal sekiranya berlaku dehirasi.
6. Kurangkan berat badan berlebihan.
7. Banyakkan pengambilan sayur dan buah-buahan.

29/09/15

JANGAN MALAS JIKA MAHU CANTIK DAN SIHAT


Sihat, cergas dan sejahtera adalah pakej lengkap untuk memastikan badan kekal bertenaga serta terhindar daripada pelbagai penyakit kronik pada zaman moden ini.

Bagi mendapatkan badan yang sihat dan sejahtera, gaya hidup sihat dengan mengamalkan diet seimbang serta bersenam ternyata satu cara yang mudah.

Menurut Juruterapi Senaman Adasandha Wellness Coach Studio, Adasandha Anuar, sibuk bekerja hinggakan ramai yang malas bergerak dan bersenam bukanlah alasan untuk kekal sihat.

“Jika banyak menghabiskan waktu bekerja di dalam pejabat atau duduk di depan komputer, sebaiknya banyakkan berjalan bagi memastikan badan kekal aktif dan sihat.

“Elak daripada gemar meminta bantuan rakan sekerja membeli makanan atau minuman kerana malas berjalan, sebaliknya pergi beli sendiri,” katanya.

Ujarnya, senaman sangat mudah dilakukan sendiri di rumah dan tidak memerlukan masa yang banyak bagi melengkapkan setiap set ulangan yang disarankan.

Justeru, lakukan beberapa latihan senaman dengan cara mudah selepas bangun tidur pada waktu pagi sebelum mandi bagi membantu mencergaskan badan untuk permulaan yang baik sebelum melakukan tugasan di pejabat.

Bagi menguatkan otot paha terutama individu yang memerlukan banyak pergerakan ketika bertugas, boleh lakukan beberapa senaman ringkas di rumah.

Pada masa sama, gerakan yang ditunjukkan Adasandha juga membantu menyingkirkan lemak pada bahagian dalam dan luar paha untuk mendapatkan bentuk kaki yang menarik.

Anda boleh mengunakan kerusi dan pastikan ia mampu menyokong berat badan bagi mengelak terjatuh atau sebarang kecederaan sepanjang sesi bersenam.

Bagi mendapatkan hasil memuaskan, ulang setiap set senaman (kiri dan kanan) dalam kiraan 12 hingga 15 kali dan sebaiknya lakukan dua set sehari.

23/09/15

SI IBU JANGAN PANIK APABILA SUSU BADAN BERKURANGAN


Rasa sedih setiap kali susu badan merudum, tertekan ketika mengepam susu serta kecewa apabila susu yang dipam tidak seperti yang diharapkan atau umpama seperti kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang.

Namun hakikatnya, masalah yang membelenggu kebanyakan ibu menyusu itu sesuatu yang normal kerana rata-ratanya mengharapkan dapat memberikan yang terbaik kepada si kecil tersayang sehinggalah mereka berusia dua tahun.

Apa yang tidak normal dan ternyata salah apabila si ibu berterusan sedih tanpa melakukan sebarang usaha dan akhirnya menganggap diri tidak dapat menghasilkan jumlah susu badan yang mencukupi buat anak tersayang.

Jalan penyelesaiannya dengan memberikan si kecil susu formula walaupun menyedari mereka masih memerlukan susu ibu terutama bagi mendapatkan segala khasiat terbaik khusus untuk kesihatan.

Kaunselor laktasi, Hazarina Ishak berkata, setiap ibu terutama yang baru saja melahirkan bayi atau akan melahirkan bayi dalam tempoh terdekat perlu mengetahui kaedah dan teknik mengepam susu badan dengan betul.

Menurutnya, memahami kaedah itu bukan saja memudahkan, malah ia membantu dalam menghasilkan perahan susu badan yang mencukupi selain mengelak berlakunya masalah kurang susu.

Tiga cara mengepam susu badan:
- Mengepam secara intensif.
- Mengepam secara padu .
- Mengepam secara iringan.

Mengepam secara intensif
Kaedah ini dijalankan dengan mengepam setiap dua jam. Ia merujuk kepada konsep permintaan dan bekalan. Jangan melihat kepada hasilnya, fokus untuk memberikan isyarat pada badan supaya terus mengeluarkan susu dengan sistematik.

Mengepam secara iringan
Kaedah ini merujuk kepada tindakan sebelah payudara digunakan bayi untuk menyusu manakala sebelah lagi mengepam.

Kaedah ini diperlukan kerana badan mendapat isyarat susu diperlukan lebih daripada biasa seperti menyusukan anak kembar.

Kebaikan kaedah ini apabila penyusuan itu bermain dengan emosi yang membuatkan hati berasa lebih bahagia ketika menyusukan si kecil tersayang dan pada masa sama mengepam. Pasti hasilnya juga meningkat dan kaedah ini membuatkan susu keluar dengan lebih laju.

Mengepam secara padu
Kaedah ini seperti memberi kejutan daripada tidur kepada badan yang dalam keadaan rehat dengan penghasilan susunya.

Ia memerlukan masa sejam setiap hari dan dilakukan selama tiga hari berturut-turut. Ia dijalankan dengan berterusan mengosongkan payudara, memberikan isyarat pada badan untuk menghasilkan susu dengan lebih banyak serta lebih cepat.

Menurut Hazarina, apa juga kaedah digunakan bergantung kepada permintaan dan pemberian, selain setiap ibu perlu menjaga pengambilan makanan hariannya.

“Ibu digalakkan mengambil halba, habatussauda dan lobak putih bagi membantu penghasilan jumlah susu badan yang banyak dan mencukupi.

“Sekiranya si ibu tidak gemar dengan rasa ketiga-tiga makanan ini, mereka boleh mendapat sebarang makanan tambahan yang dibuat khas untuk menambah susu badan,” katanya.

Menurutnya, pemakanan yang diambil juga tidak dapat mengatasi masalah kekurangan penghasilan susu sekiranya tidak melakukan kaedah mengepam dengan betul dan konsisten.

“Ibu tidak seharusnya berasa putus asa dan me­ngambil jalan mudah dengan menghentikan pemberian susu badan sedangkan anak masih belum berusia dua tahun.

“Segalanya perlu kuat baik dari segi mental dan fizikal serta individu di sekeliling terutama suami perlu memberikan semangat serta membantu mengurangkan tekanan si ibu bagi memastikan susu badan tidak merudum,” ujarnya.

Peranan suami membantu isteri yang menyusukan bayinya:
Bantu melakukan tugasan harian di rumah seperti membasuh pakaian, menjaga anak serta mengemas rumah.

Menjaga emosi isteri dan jangan memberi tekanan kepadanya.

Beri semangat kepada isteri supaya mampu menyusukan anak sehingga usia dua tahun.

Sediakan keperluan seperti alat pengepam dan tempat khusus yang selesa buat isteri untuk mengepam susu di rumah.

Mendoakan kesihatan dan kesejahteraan isteri supaya dapat menyusukan anak dalam keadaan yang sihat dan baik.

13/09/15

KOLESTEROL TINGGI PENYEBAB UTAMA KEMATIAN DI MALAYSIA


Penyakit kardiovaskular (CVD) seperti strok dan jantung antara penyebab utama kematian di Malaysia. Sehingga 2011, kategori ‘pembunuh se­nyap’ itu membunuh kira-kira 17 juta penduduk dan setiap tiga daripada 10 kematian adalah disebabkan CVD.

Kolesterol tinggi menjadi antara faktor utama penyakit jantung koronari, serangan jantung serta strok. Individu yang mempunyai kolesterol tinggi adalah dua kali lebih tinggi berisiko mendapat serangan jantung.

Berdasarkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) satu dalam tiga rakyat Malaysia menderita akibat kolesterol tinggi.

Meskipun telah banyak kempen kesedaran dijalankan mengenai bahaya kolesterol tinggi, penduduk negara ini masih tidak meng­ambil langkah bagi mengurangkan serta mengekalkan kolesterol baik dalam badan mereka.

Lebih mengejutkan, usia mereka yang berisiko mendapat kolesterol tinggi adalah golongan muda. Institut Jantung Negara (IJN) merekodkan kes remaja berusia 19 tahun yang menderita akibat serangan jantung disebabkan tabiat makan yang kurang sihat.

Ketua Pegawai Klinikal IJN, Datuk Dr Rosli Mohd Ali berkata, kurang pengetahuan ditambah pula dengan gaya hidup tidak sihat adakalanya menyebabkan orang ramai kurang mengambil berat mengenai penyakit yang tidak dapat dilihat ini.

“Sebaiknya mereka yang mempunyai genetik atau sejarah keluarga penghidap CVD hendaklah melakukan pemeriksaan kesihatan awal bagi mengenal pasti tahap kesihatan.

“Apatah lagi kebanyakan pesakit CVD adalah golongan muda, namun mereka tidak sedar dan selalu beranggapan penyakit berkenaan hanya menyerang golongan berusia,” katanya ketika ditemui pada majlis Perbincangan Meja Bulat antara Nestle Omega Plus dengan Institut Jantung Negara di pusat perubatan itu baru-baru ini.

Menurutnya, melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam serta olahraga dapat mengurangkan risiko kolesterol tinggi serta menyihatkan jantung.

“Zaman serba moden ini, masyarakat sibuk dengan gajet. Begitu juga dengan anak yang hanya diberi gajet sebagai ‘gula-gula’ kepada mereka.

“Apabila sibuk dengan permainan seperti game, akhirnya mereka tiada masa melakukan aktiviti di luar yang boleh mengeluarkan peluh seterusnya meningkatkan risiko penyakit CVD,” katanya.

Ketua Pakar Diet IJN, Mary Easaw pula berkata, slogan ‘syurga makanan’ di negara ini menyebabkan masyarakat mudah mendapatkan apa yang mereka mahu makan.

“Sebut saja apa yang tiada di Malaysia. Paling popular nasi lemak, teh tarik dan roti canai. Memang sedap apa yang kita makan, namun dalam masa sama ada ‘penyakit’ di sebaliknya jika dimakan tanpa kawalan.

“Bukan tidak boleh ambil langsung, namun perlu dikawal. Begitu juga dengan peranan ibu bapa penting bagi memastikan anak mendapat makanan sihat dan berkhasiat,”katanya.

Sementara itu, Farmakologi Queen’s Universiti Belfast, United Kingdom (UK) Dr Zhao Youyou berkata, apabila terlalu banyak mengambil makanan tidak sihat, ia boleh meningkatkan tahap kolesterol tidak baik yang dikenali sebagai low density lipoprotein (LDL).

“Tahap LDL yang banyak akan menyebabkan kolesterol berkumpul pada dinding salur darah (arteri). Lama kelamaan, lapisan kolesterol yang dipanggil plak kolesterol ini semakin menebal dan akhirnya menyebabkan ruang untuk pengaliran darah menjadi sempit.

“Jika keadaan berterusan, ia boleh menyebabkan salur darah tersumbat. Proses pemendapan plak kolesterol dinamakan aterosklerosis.

“Namun kolesterol boleh dikurangkan dengan pengambilan susu yang mengandungi acticol iaitu sterol tumbuhan yang ditemui dalam buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, kekacang dan bijian. Sterol tumbuhan boleh mengurangkan penyerapan kolesterol pemakanan di dalam usus kecil, dengan itu membantu mengurangkan paras kolesterol tidak baik dalam badan,” katanya.

Turut hadir Pengurus Pemakanan Nestle, Cher Siew Wei serta Pakar Fisioterapi Kanan IJN, Erleena Boey.


Langkah mudah untuk jantung sihat
Untuk kekal sihat tidak bermakna anda perlu mengubah gaya hidup. Beberapa langkah mudah boleh membantu dalam jangka masa panjang.
* Bersenam
* Kurangkan pengambilan makanan berlemak - Kurangkan mengambil makanan manis dan segera - Baca label makanan terlebih dulu
* Tidak merokok
Simptom penyakit jantung
* Kesukaran bernafas terutama jika berbaring
* Sakit kepala
* Pening
* Pengsan
* Berasa tertekan
* Kerap terjaga ketika tidur
* Sakit dada
* Rasa pijar (sensations) di bahagian dada
* Bengkak di bahagian buku lali


Apa itu kolesterol
* Kolesterol adalah bahan melekit seakan-akan lemak dalam sel darah dan setiap sel dalam badan. Badan kita memerlukan kolesterol untuk membentuk hormon, vitamin D dan enzim bagi sesetengah makanan seperti daging, organ dalaman dan telur kuning.
* Kolesterol bergerak melalui peredaran darah dalam bentuk lipoprotein (lip-o-PRO-teen). Lipoprotein ini diperbuat daripada lemak (lipid) di dalam dan protein di luar.
* Dua jenis lipoprotein membawa kolesterol dalam peredaran darah kita. Low density lipoprotein (LDL) dan high density lipoprotein (HDL). Kedua-dua penting untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik.
* Kolesterol LDL dipanggil kolesterol jahat. Tahap LDL yang tinggi boleh membentuk kolesterol dalam saluran darah.
* Kolesterol HDL dipanggil kolesterol baik. Ini kerana ia membawa kolesterol dari bahagian badan lain kembali ke hati untuk metabolisme. Hati anda membuang kolesterol daripada badan.
Antara cara mendapatkan paras kolesterol sihat
* Kurangkan pengambilan daging merah, lemak haiwan dan produk tenusu.
* Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kolesterol seperti hati dan sesetengah makanan laut.
* Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi gula dan karbohidrat ring­kas.
* Tingkatkan pengambilan buah-buahan dan sayuran segar.
* Pengambilan lecithin bantu mengelakkan pemendapan dan memudahkan penyingkiran lemak badan.
* Senaman berterusan bantu meningkatkan kolesterol baik dan bantu mengurangkan kolesterol secara menyeluruh.
* Elak pengambilan alkohol secara berlebihan kerana ia menurunkan paras kolesterol baik, sekali gus menambah risiko penyakit jantung.

Indikator bacaan kolesterol:
* Kurang 5.2 mmol = ideal
* Antara 5.2 hingga 6.2 mmol = berwaspada
* Lebih 6.2 mmol = tinggi

1/09/15

JANGAN AMBIL RINGAN KUMAN KUSTA


Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membebaskan beban endemik kusta dari Malaysia pada 1994 selepas bilangan pesakit kusta berjaya mencapai bawah 1:10,000 penduduk. Susulan itu, kerajaan mengisytiharkan kusta tidak lagi menjadi ancaman kepada kesihatan awam.

Kini pesakit kusta boleh mendapatkan rawatan di mana-mana klinik dan hospital kerajaan atau swasta serta tidak perlu menjalani pengasingan seperti dilakukan sebelum itu apabila pesakit kusta ditempatkan di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN).

Menurut laporan WHO, sasaran bebas kusta secara global dicapai pada 2000 apabila kadar prevalen kusta kurang satu daripada 10,000 orang. Hampir 16 juta pesakit kusta dipulihkan menerusi terapi pelbagai ubat (MDT) iaitu dapsone, rifampicin dan clofazimine sejak 20 tahun lalu. Kombinasi ubatan berkenaan bukan saja menyembuhkan pesakit, malah membunuh patogen.

Berdasarkan laporan rasmi diterima daripada 103 negara yang juga dalam lima kumpulan WHO, prevalen kusta yang berdaftar di seluruh dunia pada akhir 2013 adalah 180,618 kes, manakala kes baru dicatatkan pada 2013 adalah 215,565 berbanding 232,857 (2012) dan 226,626 (2011).

Program kusta kebangsaan untuk 2011 hingga 2015 menumpukan lebih kepada populasi yang tidak mendapat rawatan dan kawasan pedalaman. Disebabkan strategi kawalan adalah terhad, program kebangsaan ini menjalankan kerja pada kes semasa, pengawasan dan pengurusan rekod.

Kusta bukan saja boleh menyebabkan pesakitnya mengalami kecacatan kekal apabila kehilangan anggota tubuh yang terjejas dengan kuman seperti jari tangan, kaki, hidung, telinga dan mata, malah dipandang hina oleh masyarakat disebabkan kecacatan itu sehingga disisihkan kerana bimbang mendapat jangkitan.

Penyakit jangkitan kronik itu berpunca daripada kuman berbentuk rod Mycobacterium leprae yang membiak sangat perlahan dan tempoh inkubasi antara lima tahun. Ini menyebabkan simptom penyakit hanya muncul paling lewat selepas 20 tahun.

Seseorang hanya boleh mendapat jangkitan selepas kuman disebarkan kepadanya melalui titisan air seperti batuk atau bersin daripada pesakit kusta yang aktif. Kuman kemudian menyerang kulit, saraf periferal, mukosa saluran pernafasan atas, lapisan tisu yang nipis dalam hidung termasuk mata.

Kuman kusta ini juga gemar mendiami kawasan tubuh bersuhu sejuk seperti hidung, cuping telinga dan kulit.

Pegawai Perubatan PKKN, Dr Radhiah Mustafar berkata, simptom kusta boleh dilihat apabila tubuh seseorang mempunyai tompok putih atau merah pada kulit, tetapi tompokan terbabit tidak mendatangkan rasa sama ada gatal atau sakit, tidak ditumbuhi bulu roma dan tidak berpeluh.

Tompokan juga tidak sembuh selepas beberapa minggu atau bulan, kemudian otot menjadi lemah dan pesakit mengalami kebas atau kurang rasa pada bahagian kaki dan tangan.

Kuman kusta bermula dengan merosakkan saraf kecil pada permukaan kulit. Tanda awal yang muncul biasanya tompokan putih yang kurang rasa. Jika pada peringkat awal ini tidak dirawat, kuman ini kemudian merosakkan saraf lebih besar pada siku, pergelangan tangan, lutut dan buku lali kaki.

“Kerosakkan saraf itu mengakibatkan hilang daya rasa pada bahagian tangan dan kaki, manakala otot lumpuh. Keadaan ini menyebabkan jari tangan mengerekot ke dalam (claw finger) dan kelemahan otot kaki (foot drop),” katanya.

Dr Radhiah berkata, ketiadaan deria rasa pada kaki dan tangan menjejaskan aktiviti harian termasuk mengundang bahaya kepada pesakit apabila mereka tidak sedari jika terkena api atau terluka terkena batu kecil dalam kasut dan membawa kepada masalah lain seperti pembentukan ulser.

Pesakit tidak tahu jika anggota badan mereka terluka kerana tidak rasa apa-apa menyebabkan mereka tidak merawatnya. Ini menyebabkan komplikasi lain seperti jangkitan pada luka dan jangkitan semakin serius menyebabkan kecacatan pada jari tangan dan kaki serta pemotongan anggota badan.

Kuman penyakit juga boleh merosakkan saraf di bahagian muka menyebabkan otot kelopak mata tidak berfungsi. Mata boleh menjadi buta disebabkan organ ini tidak dilindungi kerana tidak boleh berkelip, di samping bulu mata dan kening gugur.

“Selain itu, kuman juga menyerang tulang hidung menyebabkan organ itu tertanggal dan menjadi rata. Oleh itu, kebanyakan pesakit kusta tiada batang hidung,” katanya.

Katanya, bagi diagnosis penyakit kusta, individu disyaki akan menjalani ujian calitan kulit (slit skin smear) dengan mengambil sedikit cecair di belakang telinga sebelum dihantar ke makmal dan kuman boleh dilihat menerusi mikroskop selepas sampel ditambah bahan kimia.

Kusta boleh disembuhkan dengan rawatan MDT seperti digariskan WHO. Mengikut pertubuhan kesihatan berkenaan, pesakit kusta mesti mematuhi pengambilan pil setiap hari selama setahun bagi mengelak kehilangan anggota badan.

“Selepas setahun mengambil ubat, pesakit perlu membuat pemeriksaan susulan dengan doktor selama 15 tahun bagi mencegah kuman kusta menyerang semula. Oleh itu, mereka yang mengesyaki terkena kusta selepas mengalami simptomnya perlu mendapat rawatan kerana tindakan pantas mampu mengelak jangkitan lebih buruk dan menyebarkannya kepada orang lain,” katanya.

Walaupun kuman kusta merebak melalui titisan air dari pesakit yang aktif, seseorang sebenarnya tidak mudah terkena jangkitan. Faktor risiko penyakit ini membabitkan seseorang yang mempunyai sistem imun lemah seperti kanak-kanak, wanita hamil dan ibu yang menyusukan anak. Selain itu, kepadatan penduduk apabila menghuni bersama kalangan pesakit kusta selama bertahun-tahun menyebabkan terdedah kepada kuman.


Kusta

Pengenalan

Penyakit Kusta adalah disebabkan oleh sejenis bakteria dipanggil Mycobacterium leprae yang berjangkit secara perlahan-lahan dan menyerang bahagian kulit, saraf kaki dan tangan, serta lain-lain organ seperti mata dan hidung.Penyakit Kusta juga dikenali sebagai Penyakit Hansen

Cara jangkitan tidak diketahui secara tepat tetapi difahamkan ia merebak dari seorang ke seseorang melalui percikan air pernafasan. Faktor-faktor persekitaran yang tidak bersih dan keadaan tempat tinggal yang sesak adalah penyumbang kepada merebaknya penyakit ini di samping kekurangan zat makanan dan daya tahan badan yang lemah.

Tempoh mendapat jangkitan adalah terlalu lama iaitu di antara 1 hingga 40 tahun. Mereka yang kerap dijangkiti adalah golongan muda berumur di antara 10 hingga 20 tahun di mana lelaki lebih mudah dijangkiti berbanding perempuan.Penyakit Kusta adalah endemik di Malaysia, walau bagaimanapun kadar jangkitan adalah rendah.

Tanda dan Gejala

Terdapat 2 jenis Penyakit Kusta:

Paucibacillary (smear calitan kulit negatif)
Satu atau beberapa tompok samada putih atau merah yang tidak gatal atau sakit. Kulit yang terlibat menjadi kering dan kasar serta tidak berpeluh dan tidak berbulu. Sekiranya tidak dirawat ia boleh merebak.

Multibacillary(smear calitan kulit positif)
Tompokan putih kemerah-merahan yang boleh merebak lebih meluas. Tanda-tanda awal boleh dilihat pada muka dan telinga. Jenis ini boleh menjangkiti orang lain jika tidak dirawat dan menyebabkan kecacatan.

Di kawasan wabak penyakit yang endemik, jika ujian calitan seseorang adalah positif bagi bakteria AFB (Acid Fast Bacilli) atau jika ada luka pada kulit yang mempunyai ciri-ciri tertentu, seseorang itu boleh dikatakan mendapat Penyakit Kusta. Selalunya, sedikit perubahan warna kulit terjadi dan hilang deria rasa. Saraf menjadi tebal serta otot menjadi lemah adalah di antara akibat penyakit ini. Salah satu ciri penyakit adalah hujunh kaki menjadi lemah dan tidak boleh dibengkokkan ke atas dengan sendiri serta sukar untuk berjalan.

Komplikasi

Pengesanan awal adalah penting. Rawatan awal dapat mengelakkan kecacatan. Dengan ini pesakit dapat menghalang jangkitan kepada orang lain.

Kecacatan di muka termasuk batang hidung menjadi rata dan gugur alis dan bulu mata.

Kecacatan pada tangan termasuk otot tapak tangan mengecut, jari-jari membengkok, tangan menjadi lemah dan hilang fungsi tangan.

Kecacatan pada kaki termasuk hilang deria rasa jari kaki dan di peringkat akhir tapak kaki dan jari kaki menjadi luka.

Rawatan

Penyakit Kusta boleh disembuhkan, dan rawatan di peringkat awal dapat menghindarkan kecacatan. Semua pesakit mesti patuh pada aturan rawatan WHO bagi mengelakkan kecacatan. WHO mengesyorkan MDT. MDT merangkumi 3 jenis ubat iaitu Dapsone, Rifampicin dan Clofazimine bagi multibacillary. Bagi paucibacillary, pesakit akan diberikan dapsone dan rifampicin. Kombinasi ubat ini boleh membunuh pathogen dan menyembuhkan pesakit. Selepas tamat rawatan, esakit perlu dipantau setiap tahun untuk tempuh 5 tahun bagi paucibacillary dan 15 tahun bagi multibacillary.

Pencegahan

Diagnosis awal dan rawatan sempurna bagi seseorang yang dijangkiti, dapat mengawal Penyakit Kusta. Pencegahan berterusan dapat mengelakkan hubungan rapat secara fizikal dengan mereka yang tidak dirawat. .

Mereka yang mempunyai pertalian dengan pesakit kusta dikehendaki menjalani ujian pengesanan kusta. Pemeriksaan tahunan hendaklah dilakukan ke atas saudara mara sekurang-kurangnya dalam tempoh 5 tahun bermula dari terdedahnya kepada pesakit kusta.

Pemulihan

Kecacatan dan kerosakan saraf disebabkan penyakit Kusta selalunya kekal. Pencegahan atau pemulihan akibat penyakit ini adalah sebahagian daripada tindakan yang perlu dilakukan. Pembedahan rekonstruktif adalah bertujuan untuk mengelak dan membetulkan kecacatan.

Penjagaan komprehensif melibatkan pengajaran kepada pesakit untuk menjaga diri sendiri. Pesakit yang menunjukkan tanda-tanda kerosakan saraf yang jelas dan berisiko mendapat kecacatan perlu di ajar kaedah penjagaan anggota yang tidak sensitif sama seperti pesakit diabetes yang mengalami kerosakan saraf pada kaki. Keadaan ini memerlukan mereka sentiasa memeriksa diri sendiri bagi mengelak dari sebarang luka dan kecederaan lain.

Kumpulan Sokongan

Hubungi doktor anda jika terdapat tanda-tanda dan gejala seperti di atas.

24/08/15

KEBAIKAN MINYAK ZAITUN DALAM PEMAKANAN HARIAN KITA


Pemakanan sihat adalah kunci kesihatan yang baik. Pemahaman mengenai makanan sihat sangat penting untuk menjaga kesihatan. Pengetahuan mengenai lemak atau minyak sihat sangat penting untuk kesihatan kerana bukan semua lemak atau minyak tidak sihat.

Sejak 50 tahun lalu, kajian sains menunjukkan antara minyak yang sihat untuk kesihatan adalah minyak zaitun. Minyak zaitun berasal daripada buah zaitun (olea europaea) yang banyak digunakan dalam pemakanan dan juga kegunaan luar untuk disapu pada kulit.

Antara makanan sunah yang banyak diamalkan ialah minyak zaitun. Sejak 1,400 tahun lalu, Nabi Muhammad SAW menganjurkan penggunaan minyak zaitun kerana khasiatnya yang besar dikeluarkan dari pohon zaitun.

Allah SWT bersumpah dengan buah zaitun dan buah tin dalam surah at-Tin ayat satu menunjukkan buah zaitun adalah hebat dan mempunyai khasiat kesihatan yang sangat tinggi.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 11: “Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman; zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memikirkan.”

Diriwayatkan oleh Ibnu Umar ra, Rasulullah SAW bersabda: “Minumlah minyak zaitun dan berminyak dengannya kerana sesungguhnya ia adalah dari pohon yang diberkati.” (HR Al-Baihaqi & Ibnu Majah).

Kajian saintifik membuktikan khasiat minyak zaitun dan ia adalah bahan utama dalam makanan Mediterranean yang terbukti secara saintifik sangat menyihatkan.

Minyak zaitun mengandungi lemak mono tak tepu (MUFA) yang menyihatkan, di samping lemak tepu dan juga lemak poli tak tepu (PUFA) termasuk Omega 3 dan 6.

Minyak zaitun juga mengandungi bahan antioksidan iaitu hydroxy tyrosol, oleocanthal, squalene dan beta karotin. Ia juga mengandungi vitamin E tokoferol dan juga vitamin K.

Kajian sains menunjukkan penduduk di Mediterranean yang banyak mengambil minyak zaitun dalam pemakanan mereka mempunyai kadar sakit jantung yang jauh lebih rendah berbanding penduduk di Amerika Utara dan utara Eropah.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Pharmacological Research 2007 berdasarkan kajian mendalam yang dijalankan oleh Prof Maria Covas di Sepanyol menunjukkan seseorang yang mengambil minyak zaitun secara kerap akan mempunyai risiko lebih rendah mendapat penyakit kardiovaskular iaitu penyakit jantung, darah tinggi, strok dan kolesterol tinggi.

Kajian ini juga menunjukkan pengambilan minyak zaitun secara kerap akan mengurangkan masalah keradangan dan disfungsi endothelium saluran darah koronari serta penyumbatan saluran darah (thrombosis).

Kajian lain yang dijalankan di National Institute of Health and Medical Research (INSERM) di Bordeaux, Perancis menunjukkan pengambilan minyak zaitun setiap hari mampu mencegah angin ahmar atau strok.

Kajian ini dilaporkan dalam jurnal perubatan Neurology pada 2011 yang menunjukkan seseorang yang mengambil minyak zaitun setiap hari mempunyai 41 peratus risiko lebih rendah mendapat strok berbanding seseorang yang tidak mengambil minyak zaitun.

Satu lagi kajian menarik menunjukkan pengambilan minyak zaitun setiap hari juga boleh mencegah kanser payudara. Sepasukan ahli sains dari Universitat Autonoma de Barcelona di Sepanyol melaporkannya pada 2010.

Pengkaji ini mendapati minyak zaitun mengurangkan aktiviti onkogen p21Ras, mencegah kerosakan DNA sel dan menggalakkan kematian sel kanser payudara secara spontan.

Kajian ini menunjukkan minyak jagung yang kaya dengan Omega 6 mempunyai kesan yang bertentangan dengan minyak zaitun. Oleh itu pengambilan minyak zaitun boleh kita amalkan sebagai suplemen harian untuk mencegah penyakit berbahaya.

Kajian oleh ahli sains Jepun yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Medical Science Monitor pada 2004 menunjukkan pengambilan minyak zaitun oleh 28 pesakit yang mempunyai masalah kolesterol tinggi selama enam minggu membantu menurunkan paras kolesterol LDL dan meningkatkan kolesterol HDL.

Saintis berpendapat kesan ini kandungan asid oleic (MUFA), phenol dan vitamin E dalam minyak zaitun. Kajian diterbitkan dalam British Medical Journal pada 2012 menunjukkan menggoreng menggunakan minyak zaitun dan minyak bunga matahari tidak meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung.

Kajian ini membabitkan 40,000 peserta yang dijalankan oleh University Madrid di Sepanyol. Walaupun menggoreng menggunakan minyak zaitun akan mengurangkan khasiatnya, ia tetap memberi manfaat dengan tidak meningkatkan risiko penyakit jantung.

Kajian khusus mengenai penyakit Alzheimer juga mendapati minyak zaitun boleh mencegah penyakit ini kerana kandungan bahan ‘oleocanthal’ didalamnya.

Bahan oleocanthal ini membantu mengeluarkan protein beta-amyloid yang tidak normal daripada otak seseorang. Kajian ini menunjukkan penyakit Alzheimer mempunyai kadar rendah dalam kalangan penduduk di kawasan Mediterranean berbanding wilayah lain di seluruh dunia. Kajian ini diterbitkan dalam jurnal perubatan Chemical Neuroscience pada 2013.

Pelbagai lagi kajian saintifik yang dijalankan di seluruh dunia menunjukkan penggunaan mi­nyak zaitun mengurangkan masalah kemurungan, menguatkan memori, bengkak pankreas akut (acute pancreatitis), penyakit hati akibat stres oksidatif dan penyakit bengkak usus (ulcerative colitis).

Kita boleh mengamalkan minyak zaitun dalam pemakanan seharian sebagai makanan kesihatan atau diambil sebagai suplemen harian untuk membantu mencegah pelbagai penyakit kronik. Niatkan pengambilan minyak zaitun ini sebagai mengikut sunah Rasulullah SAW mudah-mudahan kita mendapat keberkatan, insya-Allah.

12/08/15

PENTING CUKUR RAMBUT BAYI


Tidak semua bayi dilahirkan dengan keadaan rambut hitam dan lebat kerana kadar pertumbuhan rambut terutama ketika bayi berada dalam kandungan berbeza.
Bagi masyarakat Melayu, kebiasaannya rambut bayi dicukur selepas dilahirkan bagi memastikan rambut baru yang tumbuh itu lebih lebat dan sihat.
Namun, terdapat juga bayi yang masih tidak tumbuh rambut walaupun selepas dicukur berbulan-bulan dan ia mungkin mendatangkan kebimbangan kepada ibu bapa.
Setiap ibu bapa akan melakukan pelbagai usaha supaya rambut si kecil tersayang tumbuh dengan lebat dan sihat selepas dicukur.
Hakikatnya, ketebalan rambut seseorang bayi itu amat dipengaruhi faktor genetik atau keturunan­nya.
Kaedah mencukur rambut bayi yang baru dilahirkan memiliki pelbagai manfaat, terutama untuk kesihatan kulit kepala.
Ini disebabkan terdapat banyak kerak kotoran yang ada di kepala ketika bayi berada dalam kandungan.
Namun, perlu diketahui faktor genetik memainkan peranan paling utama dalam pertumbuhan rambut si kecil tersayang.
Selain daripada faktor genetik dan keturunan, faktor pemakanan juga mempengaruhi kadar pertumbuhan rambut bayi anda.
Pastikan si kecil tersayang terutama yang sudah mula makan, menerima zat seimbang diperlukan bagi memastikan rambutnya mampu tumbuh dengan sihat.
- Protein seperti telur, ikan, daging, susu dan kekacang amat baik sebagai sumber protein pada tubuh.-
- Omega-3 seperti ikan salmon, kacang kenari dan minyak ikan.
- Zat besi seperti bayam, kacang merah, tomato dan kentang memiliki kandungan zat besi yang banyak.
- Vitamin kaya dalam buah-buahan, sayuran, kacang hijau dan gandum.
Namun, sekiranya bayi anda masih di bawah usia enam bulan, si ibu seharusnya perlu mengambil pemakanan seimbang bagi memastikan anak tersayang menerima khasiat diperlukan bagi membantu proses pertumbuhan rambutnya.

4/08/15

KETAHUI APA ITU SINDROM KEMATIAN MENGEJUT BAYI KETIKA TIDUR (SIDS)


Ramai ibu bapa beranggapan tidur bersama bayi dengan berkongsi katil atau tilam adalah cara paling selamat untuk melindungi si kecil, di samping dapat mengeratkan lagi ikatan antara kedua-dua pihak.

Memang benar tidur bersama bayi atau istilahnya ‘co-sleeping’ membolehkan ibu bapa lebih rapat dengan si kecil kerana langkah itu memberi ibu bapa masa tambahan bersama bayi. Tidur dengan bayi juga membolehkan ibu bapa segera bertindak jika si kecil mula batuk atau menangis pada waktu malam.

Malah, bayi yang tidur berkongsi katil dengan ibu mereka dikatakan cenderung untuk menyusu lebih kerap dan tempoh lebih lama berbanding bayi yang tidur bersendirian.

Bayi yang tidur dengan ibu bapa juga dikatakan tidak kerap terbangun pada waktu malam dan berjaga dalam tempoh masa lebih pendek serta kurang menangis.

Namun, amalan ‘co-sleeping’ jika tidak dilakukan dengan kaedah yang betul dan selamat boleh membahayakan nyawa bayi kerana meningkatkan risiko sindrom kematian bayi mengejut (SIDS).

Sindrom ini berlaku dalam kalangan bayi berusia kurang setahun dan kematian bayi yang tidak dapat diungkapkan puncanya ini biasa berlaku ketika si kecil tidur. Oleh itu, kematian sedemikan juga dikenali sebagai maut di tempat tidur (crib death).

SIDS dikaitkan dengan ketidaknormalan sebahagian otak bayi yang mengawal pernafasan dan bangkit tidur. Penyelidik menemui beberapa faktor yang meletakkan bayi pada risiko kematian terbabit.

Kombinasi fizikal dan faktor persekitaran tidur boleh menyebabkan bayi mudah terdedah kepada SIDS. Namun demikian faktor risiko adalah berbeza bagi setiap bayi.

Faktor fizikal yang dikaitkan dengan SIDS seperti kelainan otak bayi apabila ada bayi dilahirkan dengan masalah dalam kawalan pernafasan dan bangkit tidur, dilahirkan pra matang atau tidak cukup berat dan otak bayi yang tidak matang sepenuhnya menyebabkan kurang kawalan pada proses bernafas dan degup jantung.

Jangkitan respiratori juga dikaitkan dengan SIDS apabila kebanyakan bayi yang maut secara tiba-tiba itu menghidap selesema yang menyumbang kepada masalah pernafasan.

Bagi faktor persekitaran tidur pula sama ada peralatan seperti bantal, selimut dan anak patung yang diletakkan di tempat tidur dan posisi bayi tidur juga meningkatkan risiko SIDS. 

Bayi yang ditidurkan meniarap mungkin berdepan masalah sukar bernafas berbanding tidur terlentang, malah tilam atau alas tidur lembut boleh menyekat pernafasan bayi kerana muka si kecil terbenam ketika tidur.

Bayi yang tidur bersama ibu bapa atau adik-beradik juga menyumbang kepada risiko SIDS kerana bila-bila masa si kecil boleh maut akibat lemas disebabkan tertindih atau terhimpit secara tidak sengaja.

Perunding Pediatrik dan Neonatologi Hospital Pakar KPJ Damansara (KPJ DSH), Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar berkata, tidak dinafikan tidur bersama bayi itu ada kebaikannya, tetapi pada masa sama ibu bapa perlu sedar risiko yang ada dan boleh menjejaskan keselamatan bayi termasuk mengancam nyawa.

“Di Barat sebelum ini tidak menggalakkan amalan ‘co-sleeping’ atas faktor keselamatan, namun kini dibenarkan tetapi perlu dilakukan dengan cara yang selamat dan ibu bapa mendapatkan nasihat pakar terlebih dulu atau melakukan rujukan.

“Bagaimanapun, amalan itu tidak disyorkan bagi bayi pramatang dan kurang berat kerana menyumbang kepada SIDS. Bagi bayi kurang enam bulan lebih selamat ditidurkan berhampiran ibu dalam bilik tetapi katil atau tilam berlainan. Ini boleh mengurangkan risiko bayi mendapat SIDS akibat lemas kepanasan kerana berkongsi selimut de­ngan ibu.

“Ibu bapa di bawah pe­ngaruh alkohol atau ubatan dan terlalu letih juga tidak digalakkan tidur bersama bayi kerana mereka mungkin tidur lena sehingga tidak sedar si kecil bersama dan tidak dapat bertindak balas jika bayi bangkit dan menangis. Merokok sebelum tidur juga mendedahkan bayi kepada bahan toksik asap kedua.

“Bagi segelintir ibu mudah untuk menyusukan bayi jika tidur bersama, namun apa akan jadi jika si ibu tertidur? Bayi mungkin lemas akibat kesukaran bernafas kerana wajahnya tertangkup pada payudara ibu. Begitu juga dengan ibu bapa yang menghadapi gangguan tidur dan mungkin menindih bayi mereka ketika tidur bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah Peranan Ibu Bapa dalam Meningkatkan Emosi Cemerlang Kanak-kanak sempena pelancaran Hari Bayi Tollyjoy 2015 anjuran Tollyjoy Corporation, syarikat yang menjalankan perniagaan pengilangan dan penjualan barangan penjagaan bayi dan ibu di hospital berkenaan baru-baru ini. Majlis turut dianjurkan dengan kerjasama Yayasan OrphanCARE.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Tollyjoy Corporation, Tan Wee Keng dan Pengerusi Yayasan OrphanCARE, Tan Sri Faizah Mohd Tahir.

Amalan ‘co-sleeping’ mungkin sesuai bagi segelintir ibu bapa, namun beberapa aspek keselamatan perlu dipatuhi bagi ibu bapa yang tetap mahu melakukan amalan berkenaan atas alasan ingin mengukuhkan ikatan dengan si kecil.

Ibu bapa perlu memastikan tempat tidur mereka sesuai untuk bayi dengan menggunakan katil, tilam, bantal dan selimut yang mesra bayi.

Elak meletakkan banyak bantal, anak patung dan selimut tebal supaya bayi tidak lemas, gunakan tilam yang rata dan keras kerana tilam lembut menyebabkan muka bayi terbenam mengakibatkan sesak nafas. Lebih baik bayi tidur di katil berasingan yang dikhaskan untuk bayi kerana mempunyai penghadang keselamatan.

Dr Mohammad Iqbal berkata, bayi memerlukan sejumlah besar perhatian dan penjagaan yang penuh dengan kasih sayang terutama pada tahun pertama usia mereka. Persekitaran yang dipenuhi dengan emosi positif akan membantu bayi meningkatkan rasa selamat dan memberikan mereka suntikan emosi yang penting untuk pembelajaran dan perkembangan mereka.

“Pada tahun pertama, bayi menambah berat badan mereka dua kali ganda dan pada masa sama otak mereka juga berkembang sehingga 60 peratus saiz dewasa membentuk pembangunan optimum intelektual, sosial dan kecerdasan emosi.

“Dalam tempoh 12 bulan ini juga bayi mula membentuk sikap, personaliti, tabiat atau kebolehan yang kekal sehingga dewasa dan keyakinan diri. Oleh itu, ibu bapa berperanan penting dalam membantu bayi mereka memupuk tingkah-laku berkenaan.

“Ada tujuh langkah proses ikatan antara ibu bapa dan bayi yang membantu meningkatkan emosi cemerlang iaitu menunjukkan kasih sayang dengan sentuhan, kucupan, bercakap dengan bayi, membaca kepada bayi, senyuman, bermain dan aktiviti atas perut (tummy time),” katanya.

Sentuhan terhadap bayi bukan sekadar memegang tetapi lebih kepada membelai si kecil dengan urutan lembut yang boleh merangsang deria mereka. Tidak semestinya menggunakan minyak bayi, urutan dimulakan pada dada dan abdomen, tangan, kaki dan bahagian belakang. Kucupan terhadap bayi untuk si kecil tahu bahawa mereka disayangi dan dikagumi sekali gus mewujudkan perhatian.

“Kebanyakan ibu bapa tidak bercakap kepada bayi mereka, sedangkan langkah ini baik untuk proses ikatan kedua-dua pihak. Ibu bapa boleh bercerita apa saja seperti bercakap dengan orang dewasa tetapi mesti guna ayat yang positif. Dengan ini bayi akan mula faham bahasa yang digunakan.

“Selalunya ibu bapa tidak membaca banyak untuk anak-anak, sedangkan membaca kepada bayi juga dapat merangsang daya imaginasi dan kemahiran bahasa. Gunakan bahasa dan intonasi suara yang pelbagai untuk penceritaan supaya interaksi dengan bayi dapat dipertingkatkan.

“Menggalakkan bayi senyum dengan membuat mimik muka lucu adalah kaedah berseronok dengan anak sendiri. Kaedah lain adalah bermain dengan bayi, tidak perlu beli permainan yang mahal tetapi boleh guna apa saja yang boleh datangkan kegembiraan,” katanya.

Katanya, aktiviti atas perut pula seperti mendukung bayi membantu tumbesaran dan pembangunan si kecil, di samping mencegah tompok rata terbentuk di kepala dan kelewatan pencapaian motor akibat banyak berbaring.