Memaparkan catatan dengan label ILMU. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ILMU. Papar semua catatan

7/10/15

RAMAI YANG TAK TAHU AMALAN `DIET` YANG SEBENAR


Apabila menyentuh tentang soal diet, perkara yang terlintas di minda kita hanyalah pil kurus, jamu, dan ikat perut. Disebabkan itu ramai dalam kalangan kita yang dikatakan sedang ‘berdiet’ dimasukkan ke hospital gara-gara mahu menurunkan berat badan.

Memang tidak dinafikan dengan mengawal makan dan mengambil pil-pil kurus, mampu mengembalikan bentuk badan yang langsing, namun mengamalkan diet yang tidak tepat, berat badan ideal yang berjaya dicapai tidak semena-semena kembali naik malah kesihatan juga mungkin terjejas.

Menurut Perunding Diet dan Nutrisi Hospital Beacon, Gurdip Kaur, ramai yang tersalah anggap jika mahu kurus mereka tidak boleh makan. Sedangkan apabila mereka tidak mematuhi jadual pemakanan, kadar metabolisme akan turun mendadak lalu menyukarkan mereka menurunkan berat badan.

Kesalahan utama mereka yang gagal mendapatkan berat badan ideal adalah disebabkan tidak tahu cara yang betul untuk menetapkan sasaran penurunan berat badan yang realistik dan selamat.

Sebenarnya, tiada undang-undang khusus untuk menurunkan berat badan. Apa yang paling penting adalah ilmu nutrisi dan perubahan kepada gaya hidup yang sihat.

“Sokongan daripada orang sekeliling juga amat penting kerana motivasi yang tinggi amat diperlukan jika mereka serius untuk melakukannya. Jika mereka memandang rendah keinginan kita untuk menurunkan berat badan, berkemungkinan kita boleh gagal mencapai sasaran,” katanya.

Jangan elak pengambilan nasi
Ujar Gurdip, pengambilan kumpulan makanan yang salah juga banyak berlaku dalam kalangan mereka yang berdiet terutama sekali tentang pengambilan nasi.

Ramai yang mengelak untuk mengambil hidangan nasi sedangkan mereka tidak perlu berpantang 100 peratus nasi kerana makanan yang berlemak dan manisan yang akan menyebabkan kegemukan.

Akuinya, walaupun mereka tidak mengambil nasi, jika kandungan kalori di dalam badan melebihi keperluan turut akan mengganggu proses penurunan berat badan. Jelasnya, menghentikan sesuatu nutrisi seperti karbohidrat dalam pemakanan bukanlah sesuatu yang bijak dan tidak berkesan untuk jangka masa yang lama kerana nasi adalah makanan ruji orang Asia.

Katanya, satu gram karbohidrat mempunyai kadar sebanyak empat kalori sahaja berbanding lemak sembilan kalori.

Namun katanya, nasi yang mengandungi karbohidrat jika diambil berlebihan boleh membahayakan kesihatan kerana akan menukarkan kepada lemak, jadi sukatan yang dicadangkan adalah semangkuk kecil nasi bersama sayur-sayuran dan sedikit protein.

Cara penyediaan makanan juga berkait rapat dengan keperluan jumlah kalori di dalam badan. Di Malaysia, kita agak sukar untuk mengelak makanan yang bergoreng, berlemak, serta manis, sebaliknya jika diminta untuk mengambil makanan yang disediakan secara stim, kukus atau rebus, ramai yang tidak mahu.

Masakan yang dimasak juga perlu bebas lemak terutamanya santan yang banyak terdapat dalam hidangan orang kita. Santan boleh digantikan dengan susu rendah lemak atau menggunakan herba-herba seperti jintan putih, jintan manis, dan kayu manis.

“Saya sangat menggalakkan mereka yang sedang berdiet atau menjaga pemakanan agar tidak makan di luar kerana masakan yang disediakan sendiri lebih menyihatkan. Kita sendiri tahu apa bahan yang digunakan,” katanya.

Menurut Gurdip, ramai yang tidak tahu pengambilan buah-buahan secara berlebihan juga akan menyebabkan kandungan gula di dalam badan meningkat.

Namun, asalkan mereka tahu jumlah hidangan yang sepatutnya diambil, buah-buahan memang digalakkan. Sebagai contoh, sebiji epal sudah mencukupi untuk satu hidangan, manakala lapan biji buah anggur juga bersamaan dengan satu hidangan.

Menurutnya, setiap orang juga tidak boleh mengabaikan gaya hidup aktif kerana membantu mengekalkan kadar metabolisme di dalam badan.

Jika mampu, setiap orang digalakkan bersenam pada setiap hari selama 40 minit pada setiap sesi. Namun, adalah disyorkan untuk bersenam dua atau tiga kali seminggu.

“Jika tidak mempunyai masa untuk bersenam, pastikan anda aktif dalam aktiviti harian. Sebagai contoh, di tempat kerja elakkan menggunakan lif dan hanya menggunakan tangga manakala di rumah pula, sekadar mengemas rumah seperti mop lantai juga sudah dikira melakukan senaman,” katanya.

Kini ramai orang Malaysia mula mengikuti diet-diet yang diperkenalkan dan popular dari negara-negara Barat seperti diet Atkin dan diet detox, namun bukan semuanya bersesuaian serta mempunyai pro dan kontranya.

Jelas Gurdip, diet Atkin yang dikenali sebagai diet rendah karbohidrat popular diamalkan oleh golongan yang mahu kurus dengan cepat, namun sebenarnya hanya berhasil dalam tempoh jangka masa yang pendek sahaja.

Secara am, konsep diet Atkin adalah mengurangkan karbohidrat dalam diet tetapi melebihkan makanan yang tinggi dengan protein, sedangkan jumlah pengambilan protein yang disyorkan adalah satu gram bagi setiap berat manusia.

Badan kita memerlukan semua zat makanan, bukan bergantung kepada protein semata-mata. Protein akan mengambil masa yang lama untuk dicerna dan boleh memberi tekanan kepada buah pinggang.

“Mungkin ramai yang mengamalkannya namun bukan dalam tempoh masa yang lama, dan apabila keadaan itu berlaku, berat badan kembali naik kerana badan mula menerima karbohidrat,” ujarnya.

Bagi diet detox pula, adalah diet berasaskan tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, dan sayur-sayuran hijau bertujuan mencuci sistem penghadaman dan dikatakan memberi tenaga kepada sel.

Ujarnya, diet ini juga tidak digalakkan kerana tidak memberi sumber tenaga yang mencukupi. Menurutnya, detox hanya memberi kebaikan kepada mereka yang menghadapi masalah pencernaan seperti sukar membuang air besar, tetapi bukan orang yang normal.

Beliau hanya mengesyorkan diet seimbang, yang mampu membekalkan nutrien mencukupi kepada pengamalnya kerana mengandungi kesemua nutrisi diperlukan daripada semua kumpulan makanan untuk fungsi sel-sel badan, organ dan tisu.

Mengamalkan diet yang seimbang boleh meringankan masalah kesihatan termasuk masalah jantung, artritis, tekanan darah tinggi dan kolesterol.

“Badan yang seimbang dari segi mental dan fizikal memberi kecergasan dan kekuatan yang lebih, membolehkan kita menjalani kehidupan lebih panjang dan sihat,” katanya.

17/02/15

IQ ANAK TINGGI BILA RAPAT DENGAN AYAH


Biasanya ibu akan menjadi orang yang paling sibuk sekali apabila anak menghadapi ujian persekolahan. Ibu akan seboleh mungkin membantu anak ketika belajar kerana mahu si kecil mendapat keputusan cemerlang. Tetapi hakikatnya peranan ayah tidak kurang penting dalam mendampingi anak belajar.

Bimbingan terus daripada ayah dalam proses pembelajaran dapat memberi kesan positif pada perkembangan fizikal, kognitif, emosi dan sikap anak. Anak sememangnya mencari keselesaan daripada seorang ibu, namun ia tetap memerlukan interaksi yang intensif dengan ayah.

Ada sebuah kajian yang dilakukan oleh University Oxford menunjukkan bahawa ada kaitan antara perhubungan rapat ayah dan anak dan pencapaian akademiknya di sekolah. Dikatakan anak yang banyak berinteraksi dengan ayah mempunyai IQ lebih tinggi berbanding anak yang kurang berinteraksi dengan ayahnya.

Bahkan, mereka juga memiliki kemampuan berbahasa dan kognitif yang lebih baik. Kajian lain juga mendapati anak yang dididik dengan sempurna oleh ayah mempunyai kurang masalah di sekolah dan apabila meningkat dewasa.

Maka jelaslah bahawa ayah mempunyai peranan penting dalam kemampuan akademik anak. Oleh itu ibu dan ayah perlu saling bekerjasama membahagi tugas untuk membimbing si kecil menghadapi ujian.

Ayah bukan sekadar membantu anak mengulang kaji pelajaran tetapi menyiapkan mental si kecil agar lebih yakin untuk menghadapi ujian tersebut. Karektor ayah yang berbeza dengan ibu tentu dapat mencipta corak pembelajaran yang berbeza berbanding ibu. Ciptakan suasana ceria dan menyeronokkan agar anak lebih bersemangat untuk belajar.

Mungkin anda berdua boleh bermain kuiz mengenai pelajaran yang dipelajari berbanding sekadar membaca yang tentu boleh membosankan si kecil. Pelbagai kreativiti boleh dicipta bagi menimbulkan suasana menyeronokkan semasa belajar. Jelas sekali interaksi ayah memainkan peranan penting dalam membantu pencapaian positif si anak di sekolah.

10/02/15

AKSESORI KEPALA MAMPU UNDANG BAHAYA KEPADA BAYI ANDA

“Wah, comelnya anak kau pakai reben dekat kepala tu. Beli dekat mana? Murah ke mahal?”

Itu antara kata-kata atau pujian yang sering kita dengar jika memakaikan bayi atau kanak-kanak perempuan dengan pelbagai aksesori di kepala.

Bayi atau kanak-kanak perempuan pastinya tidak boleh dipisahkan dengan perhiasan sama ada di kepala, leher, pergelangan tangan mahupun di pergelangan kaki.

Tidak cukup dihias dengan pelbagai jenis dan bentuk reben, ada pula yang meletakkan kuntuman bunga pelbagai warna, manik dan labuci berkelipan serta menjadikan replika haiwan comel sebagai aksesori kepala pilihan.

Menurut Perunding Pediatrik Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr. Nor Mahani Harun, pemakaian aksesori kepala tidak salah jika ibu bapa bijak memilih kesesuaian aksesori untuk bayi mereka.

Katanya, jenis fabrik serta tahap fleksibiliti regangan aksesori kepala menjadi faktor penting yang perlu dititikberatkan ibu bapa dalam memilih aksesori untuk bayi mereka.

Tidak hanya mementingkan cantik ketika dipakaikan, Nor Mahani memberitahu, tulang bayi ketika usia selepas lahir sehingga 18 bulan amat sensitif, lembut dan masih dalam proses pertumbuhan menyebabkan tulang mereka mudah tercedera.

“Tulang kepala bayi yang baharu dilahirkan sehingga 18 bulan sangat mudah tercedera dan pemakaian aksesori kepala tanpa pengawasan dan pengetahuan boleh mengundang bahaya kepada bayi.

“Pada tempoh itu, tulang dan otak bayi akan membesar setiap hari dan pemakaian aksesori kepala terlalu kerap akan membantutkan perkembangan tulang bayi secara tidak langsung.

“Walaupun pemakaian aksesori bukanlah punca utama kepada masalah itu, ibu bapa harus berwaspada agar bayi mereka berada dalam keadaan yang tidak bahaya,” katanya.

Ditanya bagaimana pemakaian aksesori berkenaan mengganggu perkembangan tulang bayi, Nor Mahani berkata, risiko berkenaan bergantung kepada jenis aksesori yang dipakaikan sama ada selamat atau tidak.

Pemakaian terlalu lama atau kerap boleh mengganggu tumbesaran fizikal bayi dan dibimbangkan turut memberi kesan kepada bahagian dalaman.

Sebaiknya pemakaian aksesori kepala dipakai selama satu hingga dua jam dan paling elok dimulakan selepas bayi berusia 18 bulan.

“Bagi ibu yang gemar memakaikan aksesori kepala kepada bayi, harus diingatkan saiz aksesori itu mesti ditukar setiap bulan kerana otak dan tulang bayi akan membesar dan ukur lilit kepala mereka berbeza setiap bulan.

“Lazimnya saiz ukur lilit bayi sekitar 32 sentimeter ketika dilahirkan dan akan membesar sehingga 10 hingga 12 sentimeter lagi apabila mencapai usia setahun.

“Jadi, jika bayi anda masih memakai aksesori yang dililitkan pada saiz ketika dia masih bayi, kita tidak membenarkan tulang itu untuk membesar dan ketika itu ibu bapa harus sedar bahawa tumbesaran tulang kepala bayinya mempunyai masalah,” jelasnya.

Selain saiz, jenis dan warna fabrik serta penggunaan manik atau labuci merupakan faktor penting untuk dinilai ibu bapa sebelum memilih sebarang aksesori untuk anak mereka.

Ini kerana, aksesori yang menggunakan fabrik seperti bulu, kulit gantian, renda berbiku tajam bukan sahaja melukakan kulit bayi malah memberi alahan seperti ruam dan kegatalan kepada bayi yang mempunyai kulit sensitif.

“Biasanya, jenis fabrik perlu selesa misalnya diperbuat daripada kapas, selain penggunaan warna pada aksesori mestilah bebas toksin serta perlu mengelakkan penggunaan manik dan labuci kerana dikhuatiri mereka memasukkan bahan-bahan berkenaan ke dalam mulut.

“Jika mengikat rambut pula, jangan terlalu ketat kerana akar rambut bayi dan kanak-kanak terlalu rapuh dan sebaiknya jika mereka tidur, cabut aksesori yang ada di kepala mereka,” jelas beliau.

Perlu diberi perhatian, pemakaian aksesori kepala harus diawasi oleh ibu bapa agar tidak terjatuh sehingga ke leher kerana boleh menyebabkan leher bayi terbelit terutama aksesori jenis reben panjang.

Aksesori yang dipenuhi manik dan labuci pula harus dielakkan kerana pada usia enam hingga 18 bulan, bayi gemar memasukkan barang ke ruang rongga.

“Ada kes yang kita pernah kendalikan di mana kanak-kanak itu memasukkan manik ke dalam telinga mereka, malah ada yang lambat dikesan sehingga membusuk di ruang rongga hidung.

“Ada ibu bapa hendak melihat anak mereka cantik, sehingga mengabaikan keselamatan,” katanya.

Lazimnya, jelas beliau soal harga mahal atau murah, cantik atau tidak, jenama popular atau dibeli di mana yang sering menjadi keutamaan berbanding memilih kualiti fabrik atau jenis yang bersesuaian untuk dipakaikan kepada anak-anak mereka.

Malah, kegilaan memakaikan bayi dengan aksesori kepala semakin menjadi trend memandangkan golongan ternama dan artis yang diminati turut menggayakan fesyen yang sama pada kepala bayi mereka.

Dunia laman sosial yang menghidangkan pelbagai ruang untuk peniaga mempromosikan barangan mereka selain menggunakan anak-anak artis sebagai bentuk promosi menjadikan ibu bapa lebih teruja dengan trend pemakaian aksesori kepala.

Tambahan pula, harga aksesori kepala yang dijual serendah RM5 menyebabkan ibu bapa menjadi teruja apatah lagi jika menerima pujian rakan-rakan lain selepas memuat naik gambar-gambar comel anak mereka.

Ini kerana, hakikatnya pemakaian aksesori kepala oleh ibu bapa kepada bayi dan kanak-kanak lazimnya bertujuan menjadikan mereka kelihatan comel tanpa menghiraukan ketidakselesaan, keselamatan dan kemudaratan yang bakal berlaku.

Keghairahan tersebut ada kalanya mengundang risiko bahaya kepada perkembangan tumbesaran bayi jika ibu bapa mengabaikan beberapa aspek dalam pemilihan aksesori kepala.